Friday, July 30, 2021

Kalau Mahiaddin berundur siapa PM?

SESUDAH SUBUH 

SUHU politik negara naik mendadak apabila keluar kenyataan dari Istana Negara memaklumkan Yang di-Pertuan Agong dukacita terhadap tindakan Mahiaddin Md Yassin. Ahli parlimen yang sedang bersidang turut terkejut sama.

Seperti sedia maklum Agong menzahirkan rasa dukacita itu kerana tindakan mengumumkan pembatalan ordinan darurat dibuat dengan membelakangkan baginda. 

Pengumuman secara spontan itu dibuat Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan, pada hari pertama sidang khas parlimen 26 Julai. Takiyuddin memaklumkan ordinan darurat telah dimansuhkan (revoke) pada 21 Julai yang dipersetujui kabinet.
Kenyataan daripada Istana Negara itu diterjemahkan sebagai kemurkaan Agong kepada Mahiaddin yang dianggap sebagai derhaka dan menyebabkan suhu dan darjah politik yang sebelum ini tidak menentu berubah menjadi 360 darjah dengan tiba-tiba.

Bertolak daripada situasi itu jugalah maka secara automatik Mahiaddin dilihat menghadapi masalah besar perlu berundur. Kerana biasanya dalam budaya Melayu seorang hamba atau rakyat derhaka akan dikenakan hukuman. Kalau dia merupakan pengawal atau panglima, maka jawatannya akan dimadzulkan. Tradisi itulah yang ditunggu terjadi kini. 

Penderhaka atau pembelot tidak boleh dipelihara, dan berada dalam istana. Lazimnya raja atau istana tidak memberi muka dalam tempoh tertentu atau selama-lamanya. Contoh dalam zaman feudal moden ini, pernah berlaku kejadian di negeri, nun di Pantai Timur seorang hamba "berani lagi henelan" tidak dibenarkan masuk ke istana hingga kini kerana dianggap melakukan penderhakaan apabila menabalkan seorang kerabat lain sebagai sultan. 

Perbuatan itu satu keberanian luar biasa, tetapi telah dianggap derhaka kepada sultan kerana cuba mewujudkan dua raja dalam satu negeri.

Banyak sejarah dan tawarikh apabila seseorang pembesar (Menteri Besar) dimurkai oleh sultan atau bermasalah dengan raja ia berakhir dengan perletakan jawatan. Antara contoh klasik apa yang berlaku di Perak, di Pahang, di Terengganu dan lain-lain. Begitu juga beberapa MB terpaksa berundur secara terhormat atau lari waktu malam apabila sudah tidak disenangi sultan.

Sebenarnya kesalahan dilakukan Mahiaddin tidak sebesar mana. Ia berpunca daripada perbezaan tafsiran mengenai hak dan kuasa termaktub dalam Perlembagaan. Itu sahaja. Agong berpegang kepada Perkara 150 (2b) dan 150 (3) manakala Mahiaddin berpegang kepada Perkara 140(1) dan Perkara 40(1a). Menerusi artikel itu Mahiaddin mengira beliau tidak perlu mendapat perkenan daripada Agong, sebaliknya Agong memahami baginda mesti didahulukan kepadanya berdasarkan perkara 150 (2b) dan 150 (3), dan ordinan itu tidak boleh dimansuhkan oleh jemaah menteri melainkan diberi perkenan ataupun dibawa ke Parlimen.

Tetapi kerana kebetulan Mahiaddin sudah ada banyak penyakit, (bukan penyakit kanser pankreas dan cirit birit) maka kekhilafan itu terjadi kerana tergesa-gesa menyebabkan istana mengeluarkan kenyataan amat dukacita, yang menjadikan serius dan berat untuk beban ditanggung Mahiaddin.

Melihat kepada perkembangan hari ini, apabila berbagai pihak mendesak Mahiaddin berundur, ia tidak ada jalan selamat dan cara lain lagi untuk Mahiaddin memulihkan dirinya. Hampir semua parti-parti pembangkang mendesak agar Mahiaddin letak jawatan. Parti Umno yang bersama kerajaan PN pun mendesak demikian. 

Hanya parti Pas sahaja menyatakan simpati akan berdiri teguh di belakang Mahiaddin. Kalau kita kenal cara dan stail Pas berpolitik simpati itu pun tidak akan ke mana. Sokongan Pas itu lebih kepada sokong membawa rebah yang tidak menghairankan.  

Tindakan dan reaksi itu semua menunjukkan betapa beratnya masalah Mahiaddin kini. 

Kalau Agong sedia menerima permohonan maaf sekali pun, namun hubungan perasaan antara mereka berdua tidak akan pulih dan lendik macam sedia kala lagi. Ia telah meninggalkan stigma dalam kepala rakyat bahawa kedua institusi itu sudah tidak jilah lagi. Rakyat tetap menanggapi bahawa Mahiaddin sudah tercalar dengan Agong. 

Sudah barang tentu sekali kekhilafan itu menjadikan orang ramai lebih senang dan seronok untuk mengheret Mahiaddin dengan kegagalan dan kelemahannya mengurus negara sejak menjadi perdana menteri 16 bulan. Sebenarnya juga kelemahan itu masih boleh dipertimbangkan, tetapi pengkhianatannya menumbangkan kerajaan PH menjadi mercutanda kejahatannya dan kebencian orang kepadanya. 

Sudah tentu hal itu; kelemahan, kegagalan dan kerakusan Mahiaddin diperhati juga oleh Yang diPertuan Agong dari segenap penjuru dan sudut, menilai pencapaiannya sebagai perdana menteri dengan saksama. Kelemahan dan kelembaban dalam menguruskan negara menangani pendamik Covid-19 sehingga Malaysia menjadi negara pencatat rekod dari beberapa sudut, kegagalan pancu ekonomi negara, rasanya diperhitung sama oleh Agong untuk menilai ketidak-mampuan memanda menteri itu.

Rasa amat dukacita yang dizahirkan Agong itu juga mungkin terkait dengan kelemahan dan kegagalan Mahiaddin sebagai ketua negara secara umum yang disimbolikan melalui kekhilafan dilakukan Takiyuddin itu. 

Apabila tiang seri sudah terusik maka ramailah yang bergembira, seronok dan sukacita kerana rumah itu akan runtuh. Justeru apabila mendengar Agong dukacita kepada Mahiaddin ia segera diterjemahkan sebagai perdana menteri bermasalah dengan Yang diPertuan Agong. Gelar kepada Mahiaddin kini seorang penderhaka. Dan menghitung kemelut itu ia akan membawa pengunduran Mahiaddin, serentak itu ramai yang berkira Malaysia akan mendapat seorang perdana menteri baharu dalam masa terdekat.

Siapa PM?

Persoalan kini siapakah yang akan mengisi jawatan perdana menteri kalau Mahiaddin mengambil tanggungjawab berundur dengan apa yang berlaku? Ini menarik untuk dianalisa dan ia sedang ditunggu bukan sahaja oleh pemerhati dan peminat politik dalam negeri, tetapi di luar negara juga. 

Dipercaya sejak malam tadi sudah ramai wartawan luar negara yang berhubung dengan politician Malaysia. Para broker dan bomoh politik juga menjadi makin kalut menjampi "anak kerak" berharap calon mereka masing-masing terpilih dan naik. Mungkin ada yang berjumpa dan meminta bantuan sang Geraga Jiwa di langit. 

Tentu sosok yang menjadi tumpuan ialah Anwar Ibrahim. Semalam saya menghantar status kecil berbunyi; keadaan Mahiaddin tidak dapat diselamatkan lagi, tetapi tidak bermakna Anwar akan jadi perdana menteri. Status itu menjadi sedikit "skeptikal" kepada setengah mereka yang mendambakan Anwar untuk menjadi perdana menteri. Memang sepatutnya Anwarlah paling layak untuk diangkat jadi perdana menteri berdasarkan beberapa faktor dan track record serta karismatik yang dimiliki beliau.

Ukurlah dari sudut mana dengan menggunakan apa juga alat pengukur dan neraca, Anwar mempunyai kelebihan dan kedudukan tertinggi. Beliau didambakan oleh rakyat Malaysia yang sudah kehausan menanti kesekian lama untuk beliau berada di situ. Hakikat ini dapat dilihat kepada beberapa poll atau pun kaji selidik dan undian yang dibuat, menunjukkan beliau popular. Kewarasan manusia juga memilih Anwar. Yang menolaknya yang cemburu dan dendam dengannya sahaja.

Tetapi hakikatnya bukan segampang itu dan segala kelebihan milik ahli Parlimen Port Dickson itu bukan jaminan. Tidak semestinya beliau secara automatik boleh diangkat sebagai perdana menteri kerana tidak ada apa-apa perjanjian dan sumpah bahawa kalau Mahiaddin berundur, beliaulah akan mengambil alih. Pintu dan kerusi PM masih terbuka untuk direbut oleh sesiapa pun. Dan ramai pula yang mengidam termasuk yang tidak cukup inchi dan padan saiz atau yang sudah nyanyuk. Landasan demokrasi tetap dan relevan digunapakai untuk memilih PM.

Lainlah kalau sudah ada perjanjian sedemikian? Pun begitu jikalau ada perjanjian ia tidak boleh dipegang kerana perjanjian dalam politik bukan boleh dipercayai. Lama saya berfalsafah perjanjian dalam politik bukan untuk ditaati, tetapi untuk dimungkiri. Contoh terdekat apa yang berlaku dalam PH dialami Anwar sendiri, contohnya yang dilakukan oleh OT96. 

Memang ada desas desus kononnya ada persefahaman antara Umno dengan PH untuk mewujudkan penjajaran politik baru. Apakah yang dirintis sebelum ini sudah bersifat perjanjian atau terlembaga? Sebelum ini terdengar yang Umno akan bekerjasama dengan dengan PH? Sejauh manakah ia benar? Tidak ada perjanjian dan ikatan dipamerkan. 

Umno masih dengan tagline No Anwar No DAP. Jajaran baru itu hanya dicetuskan oleh Zahid Hamidi dan beberapa yang lain secara peribadi dengan Anwar ia berasaskan kepada hubungan persahabatan antara mereka berdua. Setakat itu sahaja. Ia diperingkat perancangan. 

Jajaran atau kolaborasi baru politik itu tidak mudah berlaku kerana dalam Umno ada yang menolak Anwar dan begitu juga dalam Keadilan ada yang tidak senang dengan Umno. Ada juga yang dalam PH khasnya daripada Amanah. Ia disulitkan lagi apabila ada orang mempunyai agenda peribadi dan bertindak tidak ikhlas. Kepentingan peribadi masih menjadi keutamaan berbanding daripada kepentingan rakyat dan negara. Sepatutnya kalau ia dibina untuk negara perasaan dan kecuakkan begitu tidak patut ada. 

Dengan mengambil kira reaksi dan apa yang ditunjukkan oleh pemimpin Umno ekoran masalah menimpa Mahiaddin itu, jelas ia tidak sekata dan Umno tidak sepadu. Pemimpin Umno seperti menaruh harapan dan impian tersendiri disebalik kemelut yang berlaku. Baik kenyataan daripada bekas presiden Najib Razak dan presiden Ahmad Zahid Hamidi mereka hanya mahu menolak Mahiaddin, tetapi tidak kerajaan PN. Jauh sekali untuk menamakan Anwar sebagai perdana menteri? 

Apakah maksud semua itu? Apa lagi bila Ismail Sabri Yaakob memngeluarkan kenyataan yang kononnya BN masih setia menyokong kerajaan PN ia memberi maksud lain. Jelas Ismail Sabri tidak akur kepada arahan presiden parti? Bahawa Timbalan Perdana Menteri itu seperti mempunyai agenda dan mengimpikan sesuatu. 

Sebelum ini saya sudah membuat tafsiran kenapa Ismail Sabri mudah menerima tawaran jawatan TPM oleh Mahiaddin dan kenapa ia tidak dibantah oleh Umno. Penerimaan itu besar kemungkinan ia atas restu Umno dan ada udang di sebaliknya.

Logik kalau ditanya Zahid atau Najib dan orang Umno lain, siapakah mereka akan pilih untuk jadi PM antara Ismail Sabri dengan Anwar, mereka tetap akan merit kepada Ismail Sabri. Kedua mereka yang sedang terikat dengan mahkamah itu lebih mempercayai Ismail Sabri daripada orang lain untuk melepasnya. Justeru Zahid dan Najib dan individu Umno lain yang menghadapi masalah serupa dengan Najib dan Zahid lebih yakin kepada Ismail.

Bagi saya Umno tidak akan lepas peluang untuk mendapat jawatan itu sekiranya Mahiaddin berundur. Kemelut dan keadaan yang tidak menentu yang menimpa Mahiaddin kini tentu dicatur sama oleh Umno untuk kepentingan mereka. 

Atas sebab dan senario itu saya mengatakan bukan mudah untuk Anwar mengambil alih kerusi PM kalau pun Mahiaddin turun. Jalannya masih berlekok dan mempunyai seribu liku dan curam yang dalam. Selain daripada Umno, masih ada beberapa sebab atau pun halangan lain lagi yang terpaksa ditempuhi Anwar. 

Walaupun halangan itu kecil, tetapi ia menyulitkan keadaan dan mengganggu. Apakah OT96 akan sedia memberi sokongan? Kalau OT96 ikhlas dan jujur serta ingin membuktikan bahawa beliau benar inginkan Anwar, sudah tentu ada kenyataan daripada beliau mengenai perkara itu. 

Dua tiga minggu lepas beliau mengakui yang beliau ingin berikan jawatan itu kepada Anwar, tetapi sayang ia dirampas oleh Mahiaddin. Maka saat Mahiaddin sudah nazak kini, ketika inilah beliau menebus dosa-dosa baru dan lamanya ke atas Anwar itu dengan membuat kenyataan sokongan kepada Anwar. Tetapi apakah ada. Jawabnya nol. 

Sampai ke bila pun selagi OT96 masih ada di dunia ini beliau tetap menjadi "hantu raya" dan "Mahwajawana" menghalang kepada Anwar untuk jadi perdana menteri.

Walaupun ada lebih daripada dua calon perdana menteri sebagai mengganti Mahiaddin, tetapi hakikat atau munasabahnya ada dua sahaja Anwar dan Ismail Sabri. Kekuatan dari segi demokrasi ada kepada Anwar kerana ia mewakili kelompok yang terbanyak dengan 35 (90) suara. Manakala Ismail Sabri hanya 38 suara sahaja. 

Jika tokoh lain dilantik menjadi perdana menteri ia seperti mahu menyambungkan kemarahan dan rasa marah rakyat yang dihasilkan oleh Mahiaddin. Pelantikan itu tidak akan membawa ketenangan dan jaminan kestabilan politik di negara ini. Alasan lain kenapa PM perlu dipilih dari kalangan PH adalah sebagai mengembalikan semula mandat rakyat yang dikhianati Mahiaddin dan Azmin Ali serta Jaafar Kamaruddin itu. 

Dalam hal ini ada dua formula yang boleh difikirkan untuk mengembalikan kedamaian politik negara setelah ia dirosakkan oleh OT96 dan Mahiaddin Yassin. Pertama cadangan untuk mewujudkan jajaran politik baru antara PH dengan Umno perlu dijayakan. Inilah waktu dan ketika terbaik. Jika ia hendak direalisasikan hendaklah mengambil kira sama parti-parti politik lain termasuk Warisan, Pejuang, Muda dan GPS di Sarawak. Pas pun kalau mereka bersetuju boleh diundang sama. 

Untuk menjayakan politik baru ini semua pihak dalam PH dan Umno khasnya dan lain-lain kena akur dan tidak perlu ada tawar menawar (demand) dan egois. Semua perlu berfikir, bertindak untuk kepentingan negara dan rakyat. Mungkin gagasan baru ini bersifat sementara sahaja, sebelum parlimen dibubarkan. Apabila parlimen dibubar nanti masing-masing boleh teruskan agenda masing-masing dengan strategi sendiri. Kalau ini berlaku satu sejarah akan dicatat dalam politik negara ini dan pengunduran Mahiaddin itu rahmatnya. [wm.kl.12:34 pm 30/07/2021]

No comments: