Tuesday, July 27, 2021

Kerajaan PN sudah tumbang semalam

ULASAN PAGI

Mahiaddin hakikatnya sudah
tumbang.
APA yang berlaku di parlimen semalam, kecoh dan hebuh, jerit dan maki hamun adalah perkara biasa. Namun jika dilihat dari segi hakikatnya apa terpamer dan berlaku semalam bahawa kerajaan PN sudah tumbang. Kejadian semalam sepatutnya Mahiaddin Md Yassin telah menulis surat meletakkan jawatan sebagai PM.

Hari ini bukan lagi sambungan kepada sidang khas parlimen enam hari itu, tetapi upacara pembentukan kerajaan baharu. Itu sepatutnya. Sepatutnya Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Billah Shah telah memberi watikah kepada mana-mana ahli parlimen dipercayai dan diyakini dapat menyelamatkan keadaan negara untuk jadi perdana menteri ke-9.

Atau pun hari ini setidak-tidaknya sudah ada siaran dari Istana Negara memaklumkan Yang diPertuan Agong bercadang dan berkenaan untuk pembubaran parlimen.

Kenapa dikatakan demikian, kerana senario semalam, apa berlaku di parlimen jelas menunjukan bahawa Mahiaddin sudah tidak mempunyai majoriti secukupnya. Bahawa wibawa dan kredibiliti beliau seorang perdana menteri sudah tidak ada lagi walaupun secubit. Tanya dan perhatilah kepada sejarah mana-mana kerajaan demokrasi dan pemimpin gentleman, dengan apa yang berlaku itu menjelaskan Mahiaddin sudah tidak mendapat sokongan dan beliau perlu berundur.

Mahiaddin mempertahankan diri dan kedudukan bukan dengan sokongan dan semangat demokrasi tulen lagi tetapi dengan kedegilan dan muka yang tebal. Ia ditambah dengan pemanipulasian kuasa dan undang-undang, di dalam parlimen speaker menjadi penebat yang kebal buatnya. Nyawa Mahiaddin terpanggang ditangan speaker.  

Cemas dan takut. 

Ahli parlimen Pagoh itu semalam jelas ketakutan dan cemas. Sesiapa yang boleh menyorot raut wajahnya, yang berada di blok A dalam parlimen dapat mengamati, betapa resah, risau, takut dan gementarnya beliau sepanjang sidang berlangsung. Mukanya mengeruh sampai ke akhir, tanpa sejambat senyum sumbing pun. 

Hal ini terpancar sejak sebaik selesai doa dibaca Setiausaha Dewan, apabila seorang demi seorang ahli parlimen bangun mempertikaikan baik dari segi perundangan dan konvensyen parlimen kesahihan sidang khas berkenaan yang dipanggil oleh Mahiaddin menurut Perkara 11(a).  

Speaker Azhar Azizan adik Idris Harun juga turut sama terpalit dicemuhi oleh dan menerima bambuan, herdikan oleh ahli parlimen sehingga ditanya apakah beliau menjadi alat kerajaan. Azhar dibambu apabila bersikeras mempertahankan Mahiaddin dengan seribu alasan dangkal dan melanggar konvensyen parlimen cuba mengelakkan daripada berlaku apa-apa pengundian. 

Azhar telah menggunakan seoptimun kuasa vetonya selaku speaker tanpa menghiraukan lagi kepada falsafah profesyennya sebagai pengamal undang-undang yang harus telus, adil dan saksama. 

Semalam adik Peguam Negara itu telah mengunci kemas pintu sebarang pengundian diadakan kerana beliau tahu pengundian menjadi senjata sakti untuk menghapuskan Mahiaddin. Lagi pun tujuan Mahiaddin melantiknya jadi speaker adalah untuk itu. 

Manakala pembangkang pula sangat mengharapkan kepada ada sebarang pengundian untuk membuktikan kepada dunia bahawa Mahiaddin sudah hilang majoriti. Walaupun angka yang berpihak kepada Mahiaddin sudah disangsi sejak awal-awal lagi, tetapi hanya parlimen boleh memuktamadkannya. Kerana itu pembangkang berusaha keras agar berlaku sebarang pengundian. 

Bagi pembangkang pengundian sangat penting diadakan. Kepentingan ini mungkin bersebab mereka mahu buktikan kedudukan Mahiaddin dengan pengundian itu kepada Yang di-Pertuan Agong? Apakah semasa perjumpaan Agong dengan ketua-ketua parti sebelum ini, bagainda ada menyatakan sesuatu berupa janji sekiranya parlimen dapat menuntaskan kedudukan Mahiaddin, baginda akan berbuat sesuatu. Dan apakah sesuatu itu akan meminta Mahiaddin berundur?

Automatik tumbang.

Daripada beberapa perkara yang berlaku semalam sebenarnya Agong tidak perlu menunggu apa-apa lagi untuk mengambil perhatian serius khasnya bertindak ke atas memanda menterinya. Yang dapat ditafsirkan di parlimen semalam Mahiaddin sudah tidak mendapat sokongan dan kerajaan PN juga secara automatik tumbang. 

Nampak sekali di sepanjang sidang semalam, kerajaan begitu kelam kabut dan cemas tanpa ketentuan. Sidang semalam bukan normal lagi sebenarnya tetapi menjadi indikator kepada kecatatan institusi parlimen yang dibawah kawalan kerajaan PN. Ada beberapa perkara yang berlaku menunjukkan kegelabahan itu dan belum pernah terjadi sebelum ini.

Takiyuddin rampas kuasa
PM?.  
Pertama, dan ini menjadi kunci kepada kegelabahan kerajaan semalam apabila Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab mengenai Undang-Undang, Takiyuddin Hassan tiba-tiba bangun menjelaskan sesuatu yang mengejutkan, bahawa semua ordinan darurat di bawah Perkara 150 telah dibatal (revoke) sejak 21 Julai lalu, yakni lima hari sebelum sidang khas. 

Bukan itu sahaja, Takiyuiddin juga menegaskan bahawa kerajaan tidak bercadang untuk menasihat Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan prokalasi darurat kedua. Bererti darurat yang berlaku sekarang ini akan tamat pada 1 Ogos. 

Semua orang terperagah dan terpana-pana seketika mendengar pengakuan Takiyuddin itu. Ia sebagai sesuatu yang suprise oleh kerajaan sebagai jerat kepada pembangkang. Bagaimana pun ia menjadi persoalan dari segi perlembagaan dan undang-undang serta adat kenapa pembatalan itu tidak dimaklumkan oleh kerajaan pada tarikh ia dimansuhkan? 

Pemakluman oleh Takiyuddin itu dianggap suatu pelanggaran undang-undang bahkan ada yang menganggap sebagai jenayah. Kenapa ia tiba-tiba dibuat secara drastik dan spotaniti dalam sidang? 

Yang menjadi anehnya juga kenapa Menteri Undang-Undang yang membuat pengumuman itu bukannya Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri yang dilihat lebih pantas? 

Terdengar sewaktu Takiyuddin membuat pengumuman itu ada sorakan bercampur dalam kalangan ahli Parlimnen. Ada yang mengatakan, "terperangkap", ini mungkin daripada ahli parlimen kerajaan, sebagai sorakan kepada pembangkang yang beriya mahukan speaker membenarkan pengundian di sepanjang sidang itu terhadap ordinan berkenaan. Perkara yang hendak diundi itu tidak akan berlaku lagi apabila ia sudah dimansuhkan.

Ada juga suara berbunyi "kita sudah berjaya", maksudnya tuntutan agar darurat ditamatkan sudah tercapai.  Ini datang daripada pembangkang. 

Perkara yang dituntut oleh pembangkang sejak awal ialah supaya diadakan perbahasan dan pengundian terhadap beberapa perkara termasuklah ordinan yang digubal dibawah darurat, atas alasan ia banyak berlaku kepincangan, tidak telus dan kejam kepada rakyat seperti didenda sehingga RM50,000 kepada peniaga gerai burger. Maksud dan tujuan sebenar pembangkang dengan pengundian itu untuk mencari ruang dan kesempatan bagi mengesahkan kedudukan Mahiaddin yang tidak cukup majoriti. 

Bagi pihak kerajaan, apabila tiba-tiba Takiyuddin mengumumkan ordinan itu telah dibatalkan, dan kerajaan tidak akan menasihat Agong menyambung darurat disifatkan sebagai satu jerat dan perangkap kerajaan terhadap pembangkang yang beriya-iya minta pengundian berlaku dalam sidang. Sebenarnya anggapan itu salah, jerat dan perangkap itu dilihat suatu kebiadapan dan penipuan kerajaan kepada rakyat yang mana menjerat leher kerajaan sendiri.

Kenapa ia tidak diumumkan sebelum ini? Kenapa pengumumannya di backdated? Dan menjadi persoalan apakah pembatalan itu sudah dimaklumkan dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. Apakah pembatalan itu juga sudah dalam pengetahuan Jawatankuasa Khas Darurat yang bertindak menjadi penasihat kepada Agong? Sehinggakan pembantalan itu belum diwartakan. 

Percanggahan.

Pakar perlembnagaan dan ahli undang-undang pro kontra "berkadas" sesama sendiri dengan tindakan diambil Takiyuddin itu. Ada mengatakan pembatalan itu menjadi hak kerajaan. Sebaliknya ada menegaskan ia sepatutnya perlu dimaklumkan kepada Agong.

Kerajaan PN yang didewakan sebagai kerajaan Melayu Islam seharusnya pembatalan itu dimaklumkan terlebih dahulu kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai menyerikan adat dan menghormati Agong dan juga Raja-Raja Melayu. Memberi tahu Agong terkemudian seperti memberi makanan sisa. Mereka persoal kenapa kalau semasa hendak memohon perkenaan darurat diisytiharkan Mahiaddin sanggup tersengeh-sengeh naik turun ke istana, tetapi apabila hendak "memulang" kuasa dilepaskan di tepi jalan sahaja. 

Dari sisi lain tindakan Takiyuddin secara spontan dan menyalahi peraturan dan amalan kerajaan. Apakah beliau mendapat restu perdana menteri, atau pun atas pandai-pandainya sahaja kerana terlalu ghairah untuk mengenakan pembangkang demi membela Mahiaddin? Atau beliau terpaksa membuat pengumuman itu apabila takut dengan desakan presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang meminta semua ahli parlimen jangan menyokong darurat disambung. 

Apa dilakukan Takiyuddin itu sudah terlebih, bagaikan lebih sudu daripada kuah atau terlebih laju dari lajak. Bahawa apa dilakukan Takiyuddin itu suatu perbuatan mendahui perdana menteri yang boleh dianggap sebagai "merampas kuasa" perdana menteri. Sekiranya apa dilakukan oleh Setiausaha Agung Pas itu semalam bukan atas restu perdana menteri dan kabinet, maka wajar beliau mengambil tanggungjawab atas kekhilafannya itu dengan meletak jawatan

Perkara kedua bagi menjelaskan bahawa kerajaan PN sudah tumbang semalam ialah kegelabahan dan ketidakberanian bertanggungjawab Mahiaddin sebagai perdana menteri. Selepas beliau bentangkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) beliau terus cabut meninggalkan parlimen. Apakah beliau terkena cirit birit sekali lagi, tiada kenyataan akhbar daripada PMO pula? Ketidakberanian untuk mendengar segala teguran dan kritikan dan menjawab persoalan yang dibangkit, jelas dan sahih beliau takut untuk berhadapan dengan realiti.

Memang mengikut peraturan beliau boleh serahkan kepada Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz yang menjadi Menteri Penyelaras PPN menjawab, tetapi bukankah lebih baik dan bertanggungjawab kalau beliau sendiri menggulungnya. Apa dilakukan Mahiaddin itu disifatkan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim sebagai belum pernah berlaku dalam sejarah perdana menteri tidak menggulung perbahasan dan pengumuman pemansuhan ordinan darurat itu seperti dibuat di pasar malam sahaja. 

Sikap tidak bertanggungjawab dan pengecut ini juga menjadi bukti bahawa beliau tidak ada wibawa sebagai PM dan ia sungguh memalukan seluruh isi kerajaan dan menganggu emosi rakyat yang mementingkan integriti.

Kesimpulannya dengan apa yang berlaku semalam sudah lebih daripada bukti kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menolak Mahiaddin sebagai perdana menteri. Harapan kepada negara akan selamat, politik akan stabil, ekonomi akan pulih, Covid dapat ditangani, kematian dikurangkan, tidak boleh serahkan kepada Mahiaddin lagi, kerana sahih beliau seorang perdana menteri yang tidak mendapat sokongan dan tidak ada wibawa serta GAGAL. Terus menyerah negara kepada Mahiaddin samalah membiarkan tikus membaiki labu.

Kita percaya apa yang berlaku dalam sidang semalam khasnya, dan apa yang akan berlaku pada sidang hari ini dan seterusnya, turut diperhatikan penuh taakulan oleh Yang diPertuan Agong untuk menambahkan maklumat dan keyakinan baginda bahawa kerajaan PN gagal dan Mahiaddin tidak berkeupayaan untuk terus memikul jawatan perdana menteri bagi diharap untuk menyelamatkan rakyat dan negara. [wm.kl.7:17 am 27/07/21].

No comments: