SUSUPAN SENJA
PILIHAN Raya Negeri (Pirane) Johor ke-16 yang sedang berlangsung kini merupakan sebuah medanpertarungan antara tiga kuasa besar politik negara dewasa ini, BN, PH dan PN. Tiga kuasa besar ini asalnya satu, kemudian berpecah kerana dipecahkan oleh penjajahan nafsu politik.
Walaupun ada parti unggas dan haiwan berkaki empat lain turut bertanding, namun pertarungan sebenar ialah antara BN dengan PH. Kedua-duanya meletakkan calon di semua 56 kerusi. Manakala PN lebih kepada pengganggu ataupun menjadi pemasang lukah di pergentingan sahaja, terutamanya PAS yang menginding kejayaan BN.
Mereka sepatutnya tidak perlu pun ikut bertanding kerana kesatuan sesama mereka (PAS dan Bersatu) masih berpecah dan bercerai-berai. Mereka bercanggah pendapat dan berlawan antara satu sama lain menerusi proksi. Dalam keadaan bercerai-berai begitu, bagaimana mereka mampu menghadapi suatu peperangan?
Sebab itu penyertaan mereka sekadar mengganggu dan mengacau daun semata-mata. Standard parti ini sama dengan parti berkaki empat itu yang mengacau PH, khasnya Keadilan, semata-mata untuk melepaskan dendam.
Pilihan raya itu akan memberi kesan tersendiri. Masing-masing mencari signifikan masing-masing dan menjadikan pilihan raya itu sebagai modal atau pajakan masa depan. BN mahu menjadikan pilihan raya itu sebagai cetusan momentum untuk mereka merampas Putrajaya. BN sangat yakin akan hal itu, sebab itulah DUN Johor dibubarkan lebih awal tanpa berjemak-berkira dengan PH yang menjadi rakannya di peringkat Persekutuan. Dalam hal ini BN dilihat tidak menghormati kerjasama dengan PH, sebaliknya lebih mementingkan kepentingan sendiri.
Selain itu ada agenda sampingan di sebalik pilihan raya itu. Bagi BN, ia dijadikan pentas kempen untuk membebaskan bekas pemimpinnya yang kini diringkuk dalam penjara kerana kes jenayah kewangan. Perkara ini sudah pun ditonjolkan, bahawa kalau BN menang besar di Johor, ia diharap menjadi pintu kepada usaha mendapatkan pengampunan untuk "Bossmu", Datuk Seri Najib Razak.
Sikap atau pengeksploitasian pilihan raya untuk kepentingan diri sendiri adalah sesuatu yang bercanggah dengan semangat demokrasi kenegaraan dan tidak bermaruah.
Sementara bagi PH pula, pilihan raya itu mempunyai signifikan tersendiri. Kemenangan di Johor nanti akan dijadikan bukti kehebatan pemimpin utamanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Bukan itu sahaja, kejayaan di Johor diharapkan merebak ke dalam pilihan raya di Negeri Sembilan yang diadakan Ogoas nanti. PH sangat mengharapkan pilihan raya itu menjadi modal atau pelaburan politik untuk menunjukkan kejayaan Kerajaan Madani yang sudah berusia hampir tiga tahun.
PH akan menjadikan kemenangan di Johor, lebih-lebih lagi jika diikuti kemenangan di Negeri Sembilan, sebagai pengukuhan kepada kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri, sekali gus membuka laluan untuk beliau memimpin bagi penggal berikutnya.
PH mempunyai cita-cita dan strategi yang lebih jauh daripada itu untuk masa depan, termasuk menerima Anwar sebagai Perdana Menteri lebih daripada dua penggal sekiranya cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal tidak dimuktamadkan melalui pindaan Perlembagaan.
Kerana itu Pilihan Raya Johor penting. Ia menjadi pintu atau gerbang besar kepada BN dan PH dengan tujuan dan matlamat masing-masing.
Seperti disebut tadi, kehadiran PN tidak lebih daripada pengacau daun atau penyendal sahaja. Jika diibaratkan dalam bilik tidur, PN hanya menjadi bantal golek atau bantal sendal, baik kepada BN mahupun PH, khususnya kepada BN apabila PAS secara terang mengarahkan penyokongnya memberi sokongan kepada BN di kawasan tertentu. Tindakan PAS itu tidak berprinsip dan bersifat oportunis, menumpang tuah BN semata-mata. Perbuatan seperti itu, walaupun mungkin dihalalkan dalam politik, tetapi ia tidak bermaruah kerana sanggup menjilat ludah sendiri.
Pun begitu, sebagai parti yang sudah matang dan faham sepak terajang politik, UMNO tentu sudah tahu dan arif mengenai sikap "mulut manis, jubur masam" parti agama itu terhadapnya.
Selain menjadi medan pertarungan besar antara BN dengan PH, pilihan raya itu juga merupakan satu gelanggang perjudian politik. Pembubaran DUN Johor sebelum genap tamat penggalnya merupakan satu perjudian besar buat BN. BN meletakkan pertaruhan besar dengan mengorbankan kerajaan yang memiliki 40 kerusi, iaitu lebih daripada dua pertiga majoriti, semata-mata untuk mengejar sesuatu yang bersifat fatamorgana.
BN berjudi dengan harapan dapat mengekalkan penguasaan kerusi itu dan terus membentuk kerajaan sebagai bukti bahawa UMNO yang cedera dan sakit akibat kehilangan kerajaan Johor serta kerajaan Persekutuan pada 2018 dahulu kini sudah pulih sepenuhnya. BN mahu menunjukkan bahawa komponennya semakin pulih dan UMNO masih relevan sebagai parti utama negeri ini. BN tidak sanggup terus menderita dalam kancah kehinaan akibat kehilangan kuasa. Justeru, langkah itu dikira berani, suatu perjudian ala kamikaze. Bagaimana kalau takdirnya BN tewas dan hilang kerajaan?
Pilihan raya itu juga bakal menghadiahkan risiko besar buat PAS kerana ia melibatkan maruah dan prinsipnya. PAS memperjudikan prinsip dalam permainan politik yang dikira licik tetapi penuh hipokrasi apabila menyokong BN dalam keadaan masih berada di luar BN. PAS cuba mempraktikkan politik sejahteranya dalam keadaan yang tidak cukup sejahtera dan harmoni dengan UMNO. Pendekatan diambil Hadi Awang itu suatu keberanian bakal memusnahkannya.
Parti itu pernah membenci dan mengkhianati UMNO dalam episod keretakan Muafakat Nasional, tetapi dalam masa lain kembali mengedik mata kepadanya. Itu satu kecurangan politik. Paling mengejutkan bagi mereka yang mementingkan prinsip dan maruah ialah apabila PAS secara terang-terangan mengarahkan penyokongnya di kawasan yang tidak ditandinginya mengundi calon BN. Padahal kalau mengikut logik dan prinsip politik, PAS sepatutnya mengarahkan penyokongnya menyokong rakannya dalam PN, iaitu Bersatu, bukannya BN. Di sinilah terputar-baliknya fekah politik PAS.
Kita faham muslihat dan ulah PAS itu. Sekiranya BN menang besar nanti, PAS akan menuntut sebahagian daripada kemenangan itu atas restu dan bantuannya. Itulah lukah yang dipasang PAS di pergentingan pilihan raya ini. Dan klimaks kemenangan baginya ialah sekiranya lima kerusi ADUN lantikan yang diluluskan oleh DUN Johor benar-benar diwujudkan dan diperuntukkan kuota kepadanya. Apakah ia akan ditunaikan oleh BN? Sekiranya BN memboloti kelima-lima kerusi lantikan itu tanpa menyisakan satu pun untuk PAS, maka PAS dianggap kalah dalam perjudian kali ini dengan menanggung malu yang besar.
Kesimpulannya, Pirane Johor merupakan medan perang politik terbesar pada era pasca BN kehilangan kuasa, di samping sebuah perjudian yang bakal meninggalkan kesan moral politik yang amat buruk. Sejarah akan membungkus dan melipatkannya. Kalau boleh diibaratkan, pilihan raya itu tidak ubah seperti pesta bola sepak Piala Dunia yang hebat dan gah di seantero dunia, penuh dengan semangat kesukanan, perpaduan dan diplomasi, tetapi pada masa yang sama turut berlimpahan dengan perjudian yang menjijikkan. [wm.kl. 8:01 pm 03/07/2026].
No comments:
Post a Comment