RENCANA
Semalam saya sempat mengikut siaran live menerus streamyx Himpunan Black 505 di Johor Bharu. Kebetulan waktu saya buka siaran itu yang sedang menjerit di atas pentas ialah anak muda berbangsa Cina. Saya tidak mengenali siapa dia. Dia sedang memimpin acara itu dengan melaungkan seruan ajakan supaya semua anak Cina muda bangkit menentang ketidaktelusan pilihan raya umum yang lalu.
"Ayuh bangkit, kita mahukan pilihan raya yang adil dan telus. Kalau pilihan raya lalu dijalankan dengan adil dan telus kita sudah dapat Putrajaya," katanya disambut dengan sorakan dan tiupan vuvuzela (trampik) menggegak gempitakan keadaan. Selepas itu tampil pula anak muda berbangsa India perempuan. Dia juga membuat seruan yang sama dan disambut dengan sorakan dan tiupan vuvuzela.
Katanya kita belum cukup, kita mahu ramai lagi. "Ajaklah saudara mara kamu, ayah kamu dan ibu kamu datang berhimpun. Kita mahukan keadilan dan kebebasan," jeritnya penuh bersemangat sampai hampir kehilangan suara. Kemudian diikuti pula oleh anak muda Melayu. Tentulah di pentas itu anak muda Melayu itu lebih lantang memimpin khalayak. Perkataan-perkataan yang terpancur dari mulutnya juga agak keras dan kasar, sampai ada perkataan "mampos BN.."