RENCANA
Semalam saya sempat mengikut siaran live menerus streamyx Himpunan Black 505 di Johor Bharu. Kebetulan waktu saya buka siaran itu yang sedang menjerit di atas pentas ialah anak muda berbangsa Cina. Saya tidak mengenali siapa dia. Dia sedang memimpin acara itu dengan melaungkan seruan ajakan supaya semua anak Cina muda bangkit menentang ketidaktelusan pilihan raya umum yang lalu.
"Ayuh bangkit, kita mahukan pilihan raya yang adil dan telus. Kalau pilihan raya lalu dijalankan dengan adil dan telus kita sudah dapat Putrajaya," katanya disambut dengan sorakan dan tiupan vuvuzela (trampik) menggegak gempitakan keadaan. Selepas itu tampil pula anak muda berbangsa India perempuan. Dia juga membuat seruan yang sama dan disambut dengan sorakan dan tiupan vuvuzela.
Katanya kita belum cukup, kita mahu ramai lagi. "Ajaklah saudara mara kamu, ayah kamu dan ibu kamu datang berhimpun. Kita mahukan keadilan dan kebebasan," jeritnya penuh bersemangat sampai hampir kehilangan suara. Kemudian diikuti pula oleh anak muda Melayu. Tentulah di pentas itu anak muda Melayu itu lebih lantang memimpin khalayak. Perkataan-perkataan yang terpancur dari mulutnya juga agak keras dan kasar, sampai ada perkataan "mampos BN.."
Saya tidak mahu salahkan kepada gelagat mereka. Anak muda memang begitu. Kalau mereka lemah dan lesu itu bukan anak muda, itu adalah orang-orang seperti saya yang sudah lunyai dan tenaga semakin kurang. Yang lebih berfikir bagaimana hendak harmoniskan negara, untuk hidup secara aman dan faham memahami di antara satu sama lain. Itu cara orang tua.
Melihat kepada aksi dan gelora yang ditunjukkan di Johor Bharu malam tadi ia memberi gambaran satu kebangkitan anak muda secara menyeluruh, mantap dan sepadu. Mereka menamakan diri mereka Anak Malaysia. Ada sepanduk tertulis, "Kami Anak Muda Malaysia Tanpa Mengira Warna." Lauangan bersemangat oleh puluhan ribu mereka itu dalam nada dan gaya sama itu menunjukkan mereka sepadu. Mereka semua percaya kepada penipuan dilakukan SPR seperti didakwa dan mereka menuntut agar pilihan raya negara ini dijalankan dengan bersih, telus dan adil.
Perjuangan mengikut naluri
Daripada yang tergambar di skrin laptop malam tadi dapat saya menyimpulkan kemarahan dan kebangkitan anak muda itu akan berterusan. Mereka tidak akan berhenti menyuarakan apa yang terrbuka di hati mereka. Mereka akan perjuangkan kebebasan dan keadilan mengikut naluri mereka. Mereka menuntut bukan kerana omongan tetapi berpegang kepada realiti yang mereka hadapi sendiri.
Apa yang merujakan saya ialah mengenai kehadiran atau penglibatan anak-anak muda Cina yang luar biasa. Saya bersetuju dengan seorang pemidato malam tadi yang membandingkan dengan mengatakan pada tahun 1998 dahulu tidak ramai anak muda Cina yang keluar ke jalan raya untuk berdemonstrasi dengan anak-anak muda dalam rally reformasi. Tetapi kali ini, di Johor Bharu malam tadi dan begitu juga di Ipoh, Penang dan Kuantan ramai anak-anak muda Cina yang ikut sama. Jumlah dan nisbah kehadiran antara tiga kumpulan anak muda Melayu, Cina dan India sama rata.
Fenomena inilah yang membimbangkan pihak-pihak tertentu. Yang menjadikan pembela Umno yang 'berjambul merah', merasa risau dan bimbang dengan ledakan itu. Yang membuatkan mereka tergamak mengutuk dan mengherdik orang Cina sebagai tidak mengenang jasa, rasis dan sebagainya. Yang menjadikan mereka lupa jasa dan sokongan Cina kepada mereka lebih 50 tahun dulu. Yang menjadikan akhbar PB, Utusan Malaysia bertanya kepada Cina dengan sinis dan dendam (rasis) kau mahu apa lagi, atau Lim Kit Siang mahu apa lagi? Mengapa begitu badut sekali akhbar berkenaan?
Kemarahan dan kebencian Utusan Malaysia dan pembela Melayu yang lebih bertindak atas emosi daripada melihat kepada realiti tidak akan menyelesaikan masalah. Kebencian berbentuk rasis itu akan 'memborakkan' lagi keadaan. Anak-anak muda Cina tidak akan berhenti dari terus bertindak seiringan dan sejalan dengan anak-anak muda Melayu dan India. Mereka sudah bergabung menjadi satu orkestra rakyat untuk menentang kejahatan. Kemenangan besar DAP memberi semangat kepada mereka untuk terus melawan ketidakadilan SPR dan juga kerajaan BN. Tidak dapat dinafikan lagi DAP sudah menjadi parti pelindung mereka. Bagi saya secara simbolik apabila DAP menang besar bererti penyokong MCA dan Gerakan sudah pun bergabung dengan DAP.
Situasi kemarahan itu ditambah lagi dengan perkembangan di dalam Kabinet Najib Razak yang diumumkan petang semalam. Tanpa adanya wakil Cina dari parti Gerakan dan MCA menyebabkan anak-anak muda Cina akan jadi bertambah 'murih' dan geram merasakan mereka sedang diskriminasi dan dihukum oleh Umno. Mereka tidak mengira bahawa ketidaan wakil Cina itu kerana kehendak dan prinsip MCA dan Gerakan yang tidak mahu menerima apa-apa jawatan kerajaan peringkat Perskutuan dan Negeri.
Mereka akan melihat itu satu penderaan kepada masyarakat Cina kerana tidak menyokong UBN dalam pilihan raya. Mereka akan menuduh ia satu pengkhianatan apabila mengaitkan dengan beberapa kenyataan dan statment dibuat oleh Najib dan juga para pembela Umno berjambul merah.
Komposisi kabinet Najib yang tidak ada orang Cina menjadi nilai tambah kemarahan anak-anak muda Cina. Mereka yang berfahaman sedarhana dan bersikap tunggu dan lihat sebelum ini akan mula melangkah kaki turun ke lapangan bersama menggabung diri menzahirkan kemarahan tanpa segan silu lagi dan penuh keberanian. Saya percaya selepas ini kalau diadakan himpunan raksasa baik Black 505 atau apa-apa, penyertaana masyarakat Cina akan lebih besar dan bersemangat lagi.
Ada 'kuliha'nya kalau ada sesetengah pihak menaruh kebimbangan di atas ledakan dan kebangkitan anak-anak muda Cina. Tetapi dengan meletakkan suasana itu kepada Anwar Ibrahim, kononnya Anwar diperalat adalah melampau dan tidak tepat. Bahkan sandaran itu menyebabkan mereka akan lebih murih lagi. Seolah-olah mereka yang melemparkan tuduhan itu memperkecilkan political will orang Cina. Apa yang perlu disedari orang Cina tahu bila masa mereka hendak bergerak dan bila masa mereka hendak bangkit.
Mereka dalam konteks ini umpama cendawan yang sudah membenih di bawah bumi kesekian lama dan akan tumbuh apabila hujan mulai turun.
Jalan penyelesaian perlu dicari segera. Pertamanya kenal pasti kenapa mereka bangkit seberani itu. Kajian dari segi sosiobudaya dan antropologi juga perlu dilakukan. Kalau soal pilihan raya yang mereka tuntut, Najib bersama SPR hendak ikhlas menyelesaikannya. Kalau perjalanan pilihan raya baru-baru ini telus dan adil nah buktikan sejelas-jelasnya dan tidak menjawab dalam nada kebenbcian. Masyarakat yang bermaklumat hari ini perlu ditangani dengan maklumat bukan dengan akta.
Kesalahan, kejahatan dan penyelewengan tidak boleh disapu di bawah karpet selama-lama. Kalau banyak sangat sampah sarap diherek ke bawah karpet lama-lama karpet juga akan jadi bonjol dan akan diketahui orang. Zaman sekarang ini zaman sarat dengan maklumat. Teknologi maklumat berada di mana-mana menjadi "Tuhan" untuk mendedahkan kejahatan dan juga mendedahkan kebaikan.
Sekiranya SPR benar-benar melakukan kesalahan, badan itu hendaklah mengaku dengan jujur. Kalau kesalahan itu sampai ke tahap meng'haprakkan' intergiriti badan itu eloklah kalau pilhan raya diadakan semula. Mengekalkan yang ada di dalam situasi 'batil wa batil' dan ianya tidak memberi kedamaian kepada negara tidak ada guna. SPR tidak boleh mempertahankan penipuan yang dilakukan dengan menyerahkan kepada kerajaan untuk menjawab. Apapun kebusukan akan disebut dan dikenang orang selamanya. Kita tidak mahu bangsa Malausia kencing atas kubur SPR.
Dalam masa sama, pihak Pakatan Rakyat atau mana-mana entiti yang bergabung menuntut pilihan raya bersih dan mendakwa pilihan raya lalu kotor hendaklah mengumpul segala maklumat. Segala macam penipuan dan salah lakukan perlu didedahkan siap dengan bukti-bukti yang jelas dan nyata. Kalau sekadar menuduh, ataupun beranggapan ia tidak mampu untuk meraih sokongan dan simpati lebih ramai lagi. Tuduhan tanpa bukti akan dilihat sebagai satu perbuatan yang tidak dapat menerima takdir dan kekalahan.
Kesimpulannya ledakan anak-anak muda yang menamakan mereka Anak Malaysia perlu ditangani segera. Penyelesaian terbaik ialah memberi jawaban ke atas apa yang mereka minta dan melayani perasaan mereka secara diplomasi. Tindakan menerusi akta polis, PBT dan sebagainya tidak akan menyelesaikan masalah bahkan ia memburukkan lagi keadaan. Zaman sekarang ini zaman orang sudah tidak takut kepada polis lagi. Uniform polis atau pun statment polis melarang sesuatu himpunan dan hentikan gerakan, bukan lagi ditakuti sebaliknya ia menjadi pemberi semangat dan perangsang kepada mereka. Naluri anak muda kena difahami sebaik mungkin.
Tindakan dari bapak Cina
Saya berani kata kalau gelora dan kebangkitan anak-anak muda hari ini tidak diselesaikan dengan baik dan adil, kepimpinan Najib Razak yang baru dibentuk semalam tidak akan bertahan lama. Ia akan goncang dan akhirnya akan tumbang. Tindakan susulan daripada bapak-bapak Cina pasti akan berlaku. Cabaran yang dibuat oleh Persatuan Pengguna Muslim Malaysia yang dilihat tidak Islamik dan rasis itu pasti akan diteliti sebaik mungkin oleh bapak-bapak dagangan berbangsa Cina. Apa kata kalau mereka menarik modal perniagaan dan membawa keluar wang mereka ke Singapura dan Hong Kong?
Apa yang pernah berlaku di Indonesia di zaman Seokarto dulu perlu dijadikan iktibar. Ekonomi Indonesia hampir lumpuh apabila para pedagang dan pelabor Cina telah menarik balik pelaboran mereka, membawa ke luar ke negara lain Hong Kong dan Singapura. Kita harus faham kita tidak ada kekuatan untuk berhadapan dengan orang Cina dalam bidang ini. Orang Melayu rata-rata berani dan kuat hanya dimulut saja.
Kita (Melayu) tidak mempunyai banyak simpanan dan modal untuk membantu menjana negara kita. Sesetengah orang kita yang kaya raya pula bukan simpan duit dalam negara, tetapi nun jauh di bank-bank bebas di luar negara. Sedar atau tidak yang menjadi agen pencair wang negara hari ini bukan kita tetapi orang Cina.
Atas hakikat itu orang Melayu khasnya Umno dan pembela Umno berjambul merah jangan mencari fasal untuk menunjukkan kekuatan dan kehebatan yang sebenarnya nihil itu. Cara paling baik ialah membina perpaduan dan kerjasama tanpa kita menggadaikan prinsip agama dan kemuliaan bangsa.
Sekali lagi diulang kepada SPR jangan sesekali cuba menegakkan benang basah. Tindakan terawal bagi meredakan keadaan dua individu bertanggungjawab terhadap SPR, Abdul Aziz Yusuf dan Wan Ahmad Wan Omar hendaklah meletak jawatan sebagai pengerusi dan timbalan pengerusi. Kalau anda sayangkan bangsa lakukanlah, bersaralah. Hisup bukan semuanya untuk Umno. [wm.kl.10:13 am 16/05/13]
2 comments:
..."dua individu bertanggungjawab terhadap SPR, Abdul Aziz Yusuf dan Wan Ahmad Wan Omar hendaklah meletak jawatan". Jadi ianya sama dengan persepsi saya. mereka berdua inilah yang menjadi punca ketidak-puasan hati rakyat. Terfikir juga di benak saya bahawa celaka berdua ini patut dah lama mampus!!! Maaf, kerana melepaskan rasa marah yang tak terhingga!!
Pak MSO,
saya bukan cina dan saya bukan melayu....
Tapi saya nak komen sedikit bagi pihak orang muda... Kenapa begitu marah??
UBN bergerak dalam politik hari ni seakan2 hilang arah... kenapa... ??
saya berumur 30an... saya bernasib baik da melepasi zaman kerja 10 thn.... bagi yang muda, zaman kini susah mencari kerja... orang asing diutamakan... kedai 7-11 da ada bangla, KK mart kat cheras ada orang myanmar UNHCR full staff, ramai afrika berkeliaran di KL dan Selangor...
Macam negara ni da tak terkawal bukan dari segi rasuah sahaja tapi dari segi sosial hancur...
Graduan unemployed terlalu rama, graduan nursing oversupply, tapi company crony mcm Mahsa dan Masterskill masih menipu gadis2 utk ambik kursus nursing, lepas grad hutang keliling pinggang dan tiada kerja...
Kawan saya doktor hosp kerajaan, kerja nak mampus...takde backup doktor dan standby tido kt hospital...
Sapa tak marah kalau begini... Isu Lahad Datu saya tak nak bagitau, sebab nanti jadi hal hasutan, saya ada dengar dr pegawai tentera isu sebenar kt sana punca dr sapa??
Tengoklah cerita Wag the Dog... anda akan faham...Kenapa Kiram 111 sekarang senyap jer?? Sandiwara sapa sebenarnya??
Post a Comment