Saturday, May 25, 2013

Jangan Lepas Dendam Kepada Guru

RENUNGAN SENJA                                                                               

Kegagalan UBN untuk mendapat majoriti 2/3 di parlimen dan kekurangan undi popular buat pertama kali dalam sejarah pilihan raya menjadikan beberapa jabatan dan individu tertentu yang sedia menjadi perkakas buruk (baca juga perut labuh) kepada parti itu bertindak diluar batas kepada pihak-pihak yang disangka tidak memberi sokongan hatta walaupun sesama seprofesyen.

Salah satu kumpulan yang menjadi mangsa golongan menjadi perkakas buruk kepada UBN ialah, masyarakat guru. Pilihan raya tidak memberi keadaan kondusif buat golongan ini. Pilihan raya yang merupakan intipati kepada sistem demokrasi negara ini tidak menjamin hak kebebasan untuk mereka bersuara. Malahan pilihan raya menjadi malapetaka buruk sekiranya parti yang memerintah tidak menang. Mereka dijadikan "punching beg" oleh bos-bos atau orang atasan.

Guru adalah sebahagian pengundi yang berotak dan dapat menilai sendiri untuk memilih calon atau parti mana yang relevan mengikut keadaan semasa. Mereka adalah pengundi yang tahu membuat penilaian dan bukan jenis 'lembu rumput cerut'. Tetapi sayang pengokongan ke atas mereka secara keterlaluan membuat aset yang ada kepada mereka untuk menjadi pemilih yang tepat disia-siakan begitu saja. Lebih malang lagi mereka dipaksa hidup-hidup melakukan apa yang mereka tidak 'hingini'.

Bayangkan betapa zalimnya tindakan orang atasan (tentulah arahan pegawai di PPD), ada setengah yang bertugas sebagai pegawai pilihan raya diminta mengundi atau pangkah di hadapan guru besar. Lebih 'biawak cabuk' lagi guru besar itu apabila guru besar berkenaan dikatakan sedia untuk menghulurkan upah sebanyak RM50 atau mengikut (roma) guru berkenaan kalau perempuan yang cantik dan 'gelenyer' dengan guru besar akan diberi sampai RM200 ringgit. Apakah ini SOP guru-guru apabila tiba pilihan raya?

Saya tidak mahu mengimbau ke seluruh negara untuk bercerita mengenai nasib serta keadaan guru-guru ini. Tetapi saya akan bercerita apa yang ada di hadapan mata saya atau apa yang saya dengar sendiri. Saya akan mengisahkan apa yang berlaku ke atas guru-guru di Kelantan Darul Naim saja. Cerita di negeri lain juga di kalangan guru tidak banyak bezanya kerana mereka bementerikan sama, berketua pengarahkan sama dan juga berperdana menterikan orang yang sama. Arahan dan tindakan adalah standard.

Tekanan dan paksaan ke atas golongan guru di Kelantan sudah lama dilakukan. Mereka dipaksa menghadiri berbagai majlis; kursus, seminar atau majlis semata-mata bagi dipengaruhi agar menyokong UBN dan jangan sokong PAS. Mereka disogok bukan saja dengan makanan dan elaun sekadar RM10 atau RM20 tetapi juga dibekalkan bahan-bahan kempen yang sangat huduh dan tidak tergamak untuk disebutkan di sini.

Video seks, buka-buku yang penuh dengan fitnah disediakan kepada guru. Mereka dibekalkan dengan bahan-bahan tambahan dan rujukan yang tidak ada kena mengena dengan sekolah. Bahan itu bukan menambah minda kependidikan guru tetapi merosakan pemikiran guru. Menyedari ini saya pernah mengkritik Ketua Pengarah Pelajaran Kelantan bernama Hussein Awang itu. Beliau tidak boleh menafikan tidak terlibat dalam jenayah politik ini kerana beliau adalah Ketua Pengarah Pendidikan di Kelantan. Setiap apa yang berlaku dalam majlis guru di Kelantan atau di sekolah adalah dalam poket seluar dan bajunya.

Bukan jenis lembu rumput cerut.

Kita hairan macam mana seorang ketua pengarah boleh bertindak sedemikian? Bukankah cara itu membiarkan guru-guru dijadikan bahan paksaan adalah tindakan salah dan tidak profesional? Di sinilah saya katakan guru sebagai pemilih yang berotak telah dan cuba dilakukan seperti mereka semacam tidak ada otak kerana boleh diperkotak katikkan ilmu mereka. Jadi kalau ada yang pejal dan konsisten dengan prinsip mereka tidak boleh disalahkan kerana guru-guru memang ada ilmu boleh buat keputusan sendiri dan diperlakukan macam lembu rumput cerut.

Kita faham tidak ada kuasa guru-guru untuk melawan. Walaupun guru-guru ada kesatuan, tetapi kesatuan tidak akan mempedulikan soal hak asasi guru sebagai seorang manusia dan hak profesyen berkenaan. Kesatuan juga awal-awal lagi telah menjadi tali barut UBN atas nama tidak mahu mencampuri politik? Kesatuan akan bersetuju dengan apa juga tindakan asalkan kepentingan guru, soal gaji, elaun dan perkhidmatan lain dijanjikan kepada mereka. Soal minda guru dirogol dengan berbagai bentuk paksaan bukan menjadi tanggungjawab mereka.

Kini apa yang terdengar di Kelantan ialah nasib malang yang diterima oleh sesetengah guru ekoran kegagalan UBN untuk merampas Kelantan. Kegagalan itu telah diletakkan di atas kepala guru walaupun guru tidak pun sampai 20 peratus sebagai penentu kerajaan Kelantan. Tindakan balas dendam kini sudah mulai diambil ke atas guru-guru.

Di Pasir Puteh katanya seramai 69 orang guru di seluruh daerah itu sudah dikenal pasti akan dikenakan tindakan ditukar sekolah. Begitu juga di Bachok dan di daerah-daerah lain. Setengah sudah pun mula berkuatkuasa, sementara yang lain menanti surat pertukaran baru. Dipercayai ia akan selesai selepas cuti dua minggu ini. Masa sedang menikmati cuti dua minggu ini ada guru-guru yang cemas mengenai nasib mereka.

Bukan saja guru yang terlibat dengan pertukaran atas dendam dan khianat politik itu marah dengan tindakan berkenaan tetapi kaum keluarga dan orang ramai juga. Mereka mengira tidak patut tindakan sebegitu dikenakan terhadap guru-guru. Alasan mereka ditukar bukan kerana melakukan kesalahan yang digariskan dalam perkhidmatan perguruan, tetapi kerana melanggari undang-undang yang ditetapkan oleh Umno? Apakah jabatan pendidikan hari ini tidak ada garis panduan sendiri dan terpaksa serahkan tindakan ke atas guru kepada Umno?

Mereka yang disenaraikan akan ditukar katanya mempunyai atau melakukan beberapa sebab. Sebab utamanya kerana tidak menyokong UBN dalam pilihan raya lalu. Pengesanan atau bukti dibuat berdasarkan kepada beberapa keadah berupa laporan dari kalagan ahli Umno sendiri. Kaedah yang paling popular ialah keengganan guru-guru berkenaan menunjukkan sokongan terbuka kepada UBN.

Salah satu ukuran (dan ini paling melucukan) kerana tidak memakai stiker "T" di kereta masing-masing. Stiker "T" adalah bermaksud Tukar kerajaan PAS kepada UBN. Jadi mana-mana guru yang dikeretanya tidak dilekatkan stiker T akan disenaraikan sebagai penentang kerajaan.

Selain itu guru-guru yang jelas bertugas membantu parti PAS atau PKR baik sebagai tukang kempen, menjaga pos atau pun tampal poster. Mereka ini juga akan disenaraikan sebagai 'penentang' kerjaan dan perlu ditukar.

Bagaimana pun apa yang menyedihkan ialah tindakan atau satu mekanisme dikenakan oleh pihak tertentu ke atas guru-guru Kafa atau Farduin yang dikatakan enggan melakukan taklik sumpah sesuatu yang keji. Manamana guru Kafa ini yang enggan bersumpah taklik mereka akan dikenakan tindakan termasuk ditukar.

Guru-guru ini dipanggil ke dalam satu majlis dan kena berhadapan dengan seorang panel khas yang meminta mereka bertaklik. Bunyi takliknya ialah; bersumpah mereka tidak mnyokong PAS atau PKR didalam pilihan raya lepas. Mana-mana guru yang tidak hadir untuk bertaklik ini, mereka disenaraikan sebagai penentang kerajaan dan akan sedia untuk ditukar. Tindakan taklik ini sebenarnya lebih busuk dan buruk dari tindakan bersumpah lakukan sesetengah si jahil di hadapan Kaabah? Celaka.

Tindakan menukar guru-guru ini adalah satu huhuman kejam tanpa melihat kepentingan kepada pembangunan pendidikan anak bangsa. Ia dibuat berdasarkan atas naluri Umno semata-mata. Menerusi tindakan ini ada yang merungut akan ditukar jauh ke negeri lain, terpaksa berpisah dengan anak isteri atau suami. Ada juga guru yang baru menyiapkan rumah, di mana duit loan belum habis dibayar tetapi sudah terpaksa meninggalan rumah kerana laki bini ditukar bekerja di negeri lain. Bukan itu tindakan itu memisah guru yang suami istri sebagai zalim?

Banyak implikasi buruk dari tindakan ini. Selain ianya satu tindakan kejam dan diluar semangat demokrasi, ia juga memberi kesan kepada dunia kependidikan. Guru-guru yang ditukar terpaksa berpisah dengan anak isteri atau suami akan mengalami kemelut peribadi, ini menyebabkan kualiti pendidikan mereka akan terjejas. Kesan daripada berlaku penindasan ke atas mereka ini ialah anak-anak kita juga.

Di sini saya meminta kepada Umno khasnya Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Mustapa Mohamed memantau kejadian ini. Beliau kena membuat penyelidikan apakah maklumat yang saya terima ini benar atau tidak. Jika ianya benar, beliau harus menggunakan kuasanya sebagai pengerusi menghentikan tindakan zalim ini.

Percayalah tindakan membelas dendam dan menzalimi guru-guru ini tidak akan memberi kelabaan kepada Umno. Mereka yang ditukar tidak akan serit atau pun berpaling tadah pergi melutut kepada Ketua-ketua Bahagian untuk sokong Umno. Kalau pun yang ada berbuat begitu jumlah tidak sampai satu persen.

Mustapa harus mempelajari dari apa yang berlaku sebelum ini. Pada tahun 60-an 70-an dan 80-an dulu sudah pun berlaku tindakan kejam sebegini. Guru-guru yang dikenal pasti tidak menyokong UBN ditukar ke hulu, mereka dipisah dengan kaum keluarga sampai di hantar ke pedalaman Sabah dan Sarawak. Beratus orang guru yang menyokong PAS menerima nasib malang itu.

Pengarah atau orang besar Jabatan Pelajaran yang melaksanakan undang-undang hutan rimba itu masih hidup sampai ke hari ini dan beliau boleh dirujuk untuk mengetahui apakah tindakan beliau itu memberi kelabaan atau kerugian kepada Umno. Tindakan sadis itu tetap tidak memberi kemenangan kepada UBN. Sebaliknya pertukaran itu menyebabkan PAS khasnya, laba besar kerana guru-guru yang dihantar ke hulu atau luar negeri itu dapat mngembangkan parti mereka di sana.

Contohnya wujudnya cawangan PAS di Hulu kelantan, Gua Musang dan Jeli ialah kerana adanya gur-guru yang menyokong PAS berasal dari Pasir Mas atau Kota Bharu dihantar ke pedalaman itu. Merekalah yang memberi pencerahan dan mengajak rakyat menyokong PAS dengan membuka cawangan PAS di hulu Kelantan. Begitu juga dengan kewujudan PAS di negeri-ngeri yang sebelum ini tidak ada cawangan PAS seperti Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak, ianya tumbuh apabila aktivis PAS dihantar ke daerah itu sebagai satu hukuman. Di sinilah hikmat Tuhan.

Saya hendak mengingatkan Mustapa Mohamed. Mungkin isu pertukaran guru-guru di Kelantan yang menyokong Pakatan Rakyat itu tidak dalam pengetahuannya. Mungkin ia adalah idea atau pandai-pandai Ketua Pengarah Pendidikan Kelantan sekarang ini kerana mengambil ilham apa yang pernah berlaku sebelum ini. Mungkin.

Kalau itu bukan atas tindakan dan arahan Mustapa, jelas tindakan itu sebagai hendak sabotaj Mustapa. Ia mungkin disengajakan untuk membangkitkan kemarahan dan kebencian kalangan guru kepada Mustapa. Dalam hal ini mungkin ada hantu atau dalang lain yang memberi semangat dan sokongan kepada Pengarah Pendidikan Kelantan agar berbuat demikian. Mungkin dalang itu sudah dapat membaca apakah bidasan politik dari tindakan itu.

Jadi apabila semua orang marah kepada Mustapa, maka beliau diminta untuk berundur atau melepaskan jawatan Ketua Perhubungan. Desakan dan kecaman ke atas Mustapa tidak dapat tidak akan berlaku kalau kemelut ini tidak diredakan. Dalam perhimpunan agung Umno kelak isu ini akan dimainkan. Ketika ini Mustapa akan senak perut dan ketika ini si dalang yang licik itu akan tampil untuk menjadi hero baru kepada Umno. Mungkinkah ini formulanya dan Mustapa harus bijak memahaminya.

Justeru Mustapa kena arahkan segera tindakan menukar guru-guru yang tidak berdosa kepada perkhidmatan mereka dihentikan. Zaman politik dendam, benci dan 'timbuk' sudah pun berakhir. Sekiranya benar Mustapa ingin membawa alunan politik baru di Kelantan, berbaik-baik dengan sesiapa saja untuk kepentingan rakyat, maka jangan izinkan warga guru diperlakukan sedemikian rupa.

Yang patut ditukar dalam masa 24 jam bukan guru-guru yang tidak sokong UBN itu tetapi pengarah pendidikan dan pegawai-pegawai di PPD yang menjadi tukang salak yang tidak pun menakutkan guru agar menyokong UBN. Mengambil tindakan ke atas pengarah dan pegawai PTD terlibat itulah paling tepat dan auliya.  [wm.kl.7:34 pm 24/05/13]
Post a Comment