Monday, May 27, 2013

Kritikan Shamsul Terhadap Abdul Hadi Dibalas

MENAIK MENTARI                                                                               

Selepas The Gian Killer, Shamsul Iskandar Md Akin menegur presiden PAS, Abdul Hadi Awang di kongres nasional PKR tiga hari lalu berhubung kejadian pertindihan calon di antara PKR dan PAS di beberapa buah kerusi yang menyebabkan calon PKR (Pakatan Rakyat) kalah, saya menanti mana-mana pemimpin bangkit PAS menjawab kritikan pedas Shamsul itu.

Shamsul jentik Hadi.
Kritikan Shamsul itu memang perlu dibela dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana ahli Parlimen Bukit Katil itu mempersenda dan menghina presiden PAS. Adalah dayus kalau PAS membiarkan presiden mereka dikentuk begitu saja, apa lagi dihadapan ramai. Aib dan air muka presiden perlu dijaga kerana ia juga maruah parti.

Shamsul secara tidak berselindung menyalahkan kepada Abdul Hadi atas kejadian itu. Beliau melontarkan kemarahan itu di hadapan perwakilan kongres nasional PKR. Mungkin dia ada hujah dan maklumat konkrit maka beliau berani berbuat begitu. Shamsul adalah seorang peguam yang tahu mentafsir undang-undang dan juga bijak memanipulasikan hujan untuk kemenangan - kebenaran? Saya mengenali beliau sejak tahun 1998.

Nah, hari ini sudah ada orang PAS yang bangkit membela presiden mereka. Ia adalah dari anak muda, dari Dewan Pemuda PAS. Anak muda itu Khairil Nizam Khairuddin yang juga bendahari dewan berkenaan. Kenapa tidak Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasarudin Hassan yang menjawab? Atau timbalan ketuanya Nik Mohamad Abduh? Begitu juga kenapa Dewan Muslimat membisu, apakah mereka suka presiden mereka dicela?

Mungkin Nasarudin mengarahkan anak buahnya itu untuk menjawab bukan beliau. Jika benar tekaan saya ini, ini menunjukkan ada sedikit kebijaksanaan dari Nasarudin. Kalau beliau yang menjawab akan nampak pertentangan di antara dua kumpulan anak muda dalam Pakatan Rakyat dan situasi itu tidak begitu baik.

Khairil Nizam dalam membalas ketukan Shamsul kepada presiden PAS tampak agak marah sedikit. Sewajarnya kalau anak muda menunjukkan kemarahan dan kebengisannya. Kenyataan dalam tujuan begitu harus keras dan pedas juga.

Beliau mengingati Shamsul agar jangan menjadi hero di hadapan perwakilan kongres dengan menghentam Abdul Hadi Awang. Beliau kesal kerana Shamsul menjadikan kritikan kepada Abdul Hadi sebagai modal untuk menunjuk hebat. Kosa kata Khairil Nizam itu bermaksud kalau hendak menjadi hero janganlah di laman rumah tetapi keluar jauh ke kampung.

Saya yang jahil dan kurang pengetahuan ini tidak jelas dengan hujah Khairil Nizam yang mengkritik Shamsul ini. Beliau telah meminta Shamsul membuat kajian dari berbagai sudut termasuk dari sisi fekah dan usul untuk membuktikan PAS telah langgar semangat 'tahaluf syasi'.

"Jika Shamsul benar-benar 'faqih' (faham) mengenai tahaluf syasi hingga berasa dirinya layak untuk menegur pemimpin PAS, saya persilakan beliau untuk bawa apa saja kajian oleh PKR dari segi usul dan kaedah fikah atau apa-apa justifikasi yang boleh membuktikan bahawa PAS sudah melanggar prinsip tahaluf siyasi. Begitulah kata-kata Khiril Nizam dipetik.

Saya terus terang, saya tidak memahami apakah pengertian dan terma tahaluf syiasi sebenar di antara PAS dengan PKR. Cuma apa yang difahami tahakluf syiasi itu adalah persepakatan atau persefahaman politik untuk saling kerjasama di antara satu sama lain. Bagi PAS ia dibolehlah selagi ia tidak bercanggah dengan prinsi-prinsip (syariah) Islam. 

Apakah ada terma lain lagi disebalik tahaluf syiasi itu sehinggakan Khairil Nizam meminta Shamsul menjelaskan atau tunjuk dari sudut mana PAS telah melanggar tahaluf syiasi itu. Ini kerana bagi saya dengan mengambil fahaman dan pengertizn tahaluf syiasi disebutkan tadi, jelas apa yang dilakukan oleh PAS amnya dan Abdul Hadi khasnya telah melanggar perinsip itu.

Dalam kontesk kerusi Kota Damansara dan Sungai Aceh itu jelas apa dilakukan PAS itu telah melanggar semangat berkenaan? Atau apakah di dalam tahaluf syiasi itu ada ruang untuk PAS atau mana-mana parti Pakatan Rakyat melakukan sabotaj di antara satu sama lain? Kalau ini wujud maka saya sangat jauh darinya dan tidak mengetahuinya. Mungkin ada.

Khairil Nizam minta untuk berdepan dengan Shamsul mengenai hal ini, pastilah untuk penyelesaian. Saya merasakan elok mereka berjumpa dan menghalusi perkara ini agar tidak berlaku perselisihan berpanjangan dan terus melepas tembakan pula selepas ini. Shamsul boleh memberi pejelasan mengenai konsep tahalauf syiasi yang beliau fahami manakala Khairil Nizam pula boleh menjelaskannya apa yang beliau ketahui.

Sekiranya pemahaman mereka salah, tidak sekata.. ini menunjukkan kerjasama yang dijalankan oleh PAS dengan PKR menerusi konsep tahaluf syiasi ini dibuat tanpa kedua-duanya masak memahami konsep ini, dan ini benarlah apa dituduh oleh pihak UBN bahawa kerjasama politik antara PAS dan PKR adalah tidak matang dan longgar.

Mengenai tindakan Shamsul mengkritik presiden PAS itu saya rasa dia bukan sengaja untuk menjadikan isu untuk menunjukkan dia hero. Shamsul kalau pun tidak mengkritik Abdul Hadi dia sudah hero kerana dalam pilihan raya lalu dia telah mengalahkan gergasi Umno di Melaka. Untuk pengetahuan, Shamsul mengalahkan Ali Rustam bekas Ketua Menteri Melaka di parlimen Bukit Katil.

Jadi tidak timbul apa dibangkitkan Shamsul itu untuk beliau jadikan modal bagi menunjukkan kehebatan dirinya di hadapan perwakilan. Sebaliknya apa yang diungkitkan itu satu tanggungjawab beliau sebagai pemimpin bagi menjelas dan menghapuskan persoalan yang timbul di hati para perwakilan. Isu pertindihan ini benar-benar mengilan dan menjadikan ahli PKR marah. Saya percaya kalau Abdul Hadi hadir masa perasmian kongres berkenaan beliau akan di boo.

Sebagai Ketua AMK, PKR seharusnya Shamsul berani membuat teguran terhadap apa-apa yang berlaku. Isu pertindihan calon itu besar bagi PKR kerana disebabkan itu calon mereka kalah. Di sini bukan timbul soal Shamsul biadap atau tidak, tetapi menyatakan sesuatu yang menjadi tanggungjawab dan haknya.

Teguran Shamsul itu kandati pedas ia harus diterima sebagai peringatan di masa akan datang. Jangan melihat ia satu sikap sombong atau 'agah'. Selepas ini jangan lagi ada kekeliruan dan pertindihan seumpama itu yang akhirnya membawa rugi kepada semua pihak. Pakatan di antara PAS, PKR dan DAP tidak bermakna sekiranya masih ada atau berlaku perkara seperti di Kota Damansara, Sungai Aceh, Labuan atau pun tiga Dun di Terengganu itu.

Khairil Nizam atau sesiapa didalam PAS tidak boleh membela presiden mereka tanpa usul periksa dan melihat siapa yang benar dan siapa yang salah. Walaupun presiden ada kuasa proregatif terhadap partinya tetapi bukan untuk digunakan pada saat-saat akan berlangsungnya pilihan raya. Betapa pun kuasa proregatif itu hak mutlak presiden tetapi penggunaan disaat begitu beliau tidak akan dilihat sebagai bijaksana.

Bukankah peruntukan kerusi berkenaan telah diberikan kepada PKR? Jadi terserah kepada PKR untuk meletakkan siapa juga calonnya, dan tugas PAS yang sememangnya mempunyai jentera yang kuat harus menyokong berlandaskan tahaluf syiasi yang dipersetujui. Itu baru dinamakana kerjsama dan sepakatan.

Apabila ia diganggukacau lagi, di sini timbul persoalan dan kepelikan. Umum sudah tahu siapa yang menjadi dalang di sebalik kacau ganggu itu? Iya adalah permainan atau game presiden sendiri. Watikah untuk calon-calon PAS di Kota Damansara, Sungai Aceh dan tempat lain mulanya tidak dikeluarkan, tetapi kerana desakan akhirnya ia dikeluarkan atas nama kuasa prerogatif. Di sinilah kelemahan daya politik Abdul Hadi Awang sebagai presiden beliau tidak tegas dalam tindakannya.

Alasan kerana calon PKR menganut fahaman komunisme dan menjadi pengedar pil kuda adalah alasan tidak relevan dan perkara itu tidak pun perlu disebut. Kalau presiden PAS itu benar-benar seorang politician yang memahami strategi dan tektik serta daya sensitiviti yang tinggi beliau tidak akan mengungkit perkara itu. Itu adalah hak dan tanggungjawab PKR. Perkara atau maklumat itu bukan menghalalkan beliau untuk memberi watikah kepada calon PAS.

Sama ada calon PKR itu berfahaman komunisme (kafir) atau pun menjadi pengedar pil kuda ia dibawah tanggungjawab parti berkenaan. Semangat Pakatan Rakyat tidak menjadi masalah kalau PAS menyokong dan ia bukan dianggap bersubahat. PKR juga tidak pernah mempertikaikan mana-mana calon PAS walaupun ada yang perangainya lebih teruk dari calon PKR.

Juga, apakah dalam soal ini PAS sangat mementingkan kesucian calon dan keIslaman dalam perjuangannya? Kalau begitu ingin saya tanya macam mana dengan tindakan PAS yang jelas memberi laluan kepada orang kafir (Cina) untuk bertanding di atas lambangnya? Siapa Hu Pang Chaw yang diletak bertanding di Johor? Dan kalau begitu kenapa secara majoriti PAS menolak untuk bekerjasama dengan Umno, dan kenapa pula Abdul Hadi tidak menggunakan kuasa proregatif yang dimiliknya untuk memaksa PAS menjalini kerjasama dengan Umno?

Apakah pula tahaluf syasi yang digunakan PAS dalam hal ini? Dan apakah pula tafsiran tahaluf syiasi digunakan untuk menafikan calon PKR di kerus-kerusi berkenaan? Saya tidak mahu mengatakan tindakan Abdul Hadi sebagai double standard, tetapi tampaknya begitulah jadinya beliau mendengar nasihat dari orang yang doubale standard.

Berbalik kepada kecaman Khairil Nizam kepada Shamsul Iskadar itu, sebaik-baiknya mereka berdua berjumpa dan bincang masalah dihadapi presiden PAS itu. Itulah afdalnya. Mereka harus sama-sama memahami tahaluf syiasi yang digunakan pakai oleh kedua parti itu di dalam pilihan raya lalu. Kekeliruan ini kena diperbetulkan untuk memastikan hal-hal yang 'domba' begitu tidak lagi berulang.

Sikap kecam mengecam atau pun melaung dari jauh tidak akan berkesudahan malahan ia akan jadi bertambah buruk dan memberi senjata kepada musuh. Saya percaya perkara ini kalau tidak dikawal akan meluas. Dua tiga bulan lagi PAS akan mengadakan muktamar. Dalam muktamar itu pasti akan ada ahli-ahli yang bercakap menyinggung dan menyentuh batang tubuh penasihat umum PKR Anwar Ibrahim sebagai balas dendam.

Sebelum perkara ini berborak, elok isu pertindihan calon yang menjadi singgungan Shamsul kemudian dibalas oleh Khairil Nizam dihentikan atau diselesaikan dengan baik. Saya yakin berdasarkan latar belakang pendidikan mereka, penyelesaian jalan ukhwah Islamiyah dapat dicapai. [wm.kl.9:45 am 27/05/13]
Post a Comment