Menteri yang dikenali dengan Kerbau Air dikalangan penjengok blog saya, Ahmad Zahid Hamidi nampaknya telah menjadikan jawatan baru Menteri Dalam Negeri (KDN) sebagai kempen untuk mengukuhkan kedudukannya di dalam Umno. Umno akan mengadakan pemilihan pemimpin (MT) pada Oktober nanti; maka Zahid kena mulai berkempen dari sekarang bagi menjamin kedudukkan sekurang-sekurang sebagai Naib Presiden kekal.
Zahid Hamidi |
Ahli Umno kini bukan saja akan teruja atau menganggap seseorang menteri itu berkualiti setakat tahu berjabat tangan sambil menepuk bahu dan mengeluarkan ketawa kuat selepas itu mengoncang-goncangkan tangan tetamu. Ahli Umno akan membuat pennilaian dari sudut intelektual dan profesionalisme seseorang yang bergelar menteri.
Juga ahli Umno tidak akan mudah teruja setakat dapat menghadiri jamuan majlis hari raya atau kenduri kahwin yang dibuat di lokasi mewah dan sebagainya. Apa dinilai ialah pandangan dan juga idea-idea penyelesaian (solusi) masalah oleh menteri berkenaan. Pemimpin atau menteri bukan sahaja diharap menjaga Umno tetapi menjaga negara keseluruhannya.
Sebagai Menteri Pertahanan, Zahid sangat lemah dan tidak tegas. Beberapa kenyataan dan keputusannya boleh dipertikaikan. Misalnya menggunakan kuasanya sebagai menteri bagi menjamin kemenangan UBN satu tindakan huduh. Beliau sering dipadankan dengan kebolehan dan kemampuan Menteri Dalam Negeri sebelum ini Hishamuddin Hussein. Beliau dianggap adik beradik segenetik kurang cerdik dengan Hishamuddin Hussein. Ada juga mengatakan wawasan diterapkan oleh Shafei Afdal untuk pembangunan luar bandar lebih baik dari Zahid.
Satu kayu ukur untuk melihat siapa lebih hebat di antara tiga Naib Presiden ialah pada ucapan penangguhan dalam perhimpunan agung Umno. Ternyata ucapan Zahid lebih serabut dan komidian berbanding Shafei.
Banyak kenyataan-kenyataan beliau tidak menggambarkan kenyataan dari seorang menteri dari ketegasan dan sosok sebagai seorang menteri pertahanan. Seorang menteri pertahanan bukan saja memerlukan seorang yang bermulut besar (bual) tetapi ketegasan dalam tindakan serta keakuratan dan keabsahan dalam kenyataan-kenyataa dibuatnya. Malangnya banyak ketegasan dibuat Zahid khasnya kepada publik tidak ditunaikan dan ia lebih sebagai satu gerakan untuk halau itik makan padi saja.
Kalau kita masih ingat beliau pernah berjanji ingin menjelaskan satu persoalan terhadapnya mengenai kunjungannya ke Makkah yang menaiki jet peribadi. Bila dipersoalkan Zahid berjanji dia akan jelaskan jet siapa yang beliau naiki itu. Waktu itu beliau di New Delhi. Katanya sekembali dari New Delhi dia akan jelaskan. Aduh cik Minah sayang, bulu ketiak panjang....sampai ke hari ini beliau tidak menjelaskan siapakah yang punya jet berkenaan, apakah kepunyaannya atau orang lain.
Begitu juga kenyataan Zahid sebagai menteri pertahanan mengenai kehilangan enjen jet tidak lama dulu. Satu masa dia mengatakan harga jet itu RM500 ribu, selepas itu dalam kenyataan lain angkanya bertukar menjadi RM 1 juta dan akhir sekali nilainya cuma RM69 ribu saja. Perbezaan kenyataan-kenyataan sebeginilah menyebabkan orang mulai mengukur kepada caka-cakap Zahid sejauh mana benar, tepat dan boleh dipercayai. Atau dia hanya berkomidi tanpa mengira tempat dan keadaan,
Terbaru beliau mengatakan ada tiga pemimpin pembangkang akan didakwa di mahkamah kerana terlibat dengan tragedi Lahad Datu. Katanya pendakwaan itu akan dilakukan selepas pilihan raya. Malangnya pilihan raya sudah hampir dua minggu tetapi pendakwaan belum dibuat. Orang ramai ternanti-nanti dengan janji Zahid itu. Apakah kenyataan itu hanya dakyah pilihan raya saja? Kalau ia sekadar modal pilihan raya untuk menimbulkan kelam kabut kepada pihak Pakatan Rakyat, nyatalah kita dapat mengukur tinggi rendah politik Zahid.
Hari ini beliau telah menyerang Anwar Ibrahim secara terbuka. Beliau nampaknya dilantik oleh Najib untuk menyerang Anwar. Najib belum memberi apa-apa ulasan berhubung himpunan Black 505 (mungkin masih phobia dengan kekalahan UBN yang hilang tujuh kerusi dan hilang undi popular) tetapi Zahid sudah mendahului Najib dengan mengecam anak-anak muda yang berhimpun.
Zahid telah mengambil alih tugas Najib dengan melayan kemarahan rakyat secara pongoh. Boleh jadi Zahid diperintah oleh Najib tetapi boleh jadi juga sikap melampau Zahid dan berperangai macam kambing tidak cukup garam itu atas inisitifnya sendiri. Zahid mula membuat perhitungan untuk peperangan Oktober akan datang. Serangan ke atas Anwar dan pencincangan beliau kepada Pakatan Rakyat sebagai menanam saham untuk dirinya sendiri.
Bagi saya kecaman Zahid kepada Anwar atau pun kumpulan anak muda yang bersama Anwar hanya satu sandiwara bukan bertolak daripada keserisuan isu berkenaan ataupun dibuat demi kepentingan negara. Zahid ingin menunjukkan dia hero Jawa peranakan berani untuk menghalau orang. Maksud Zahid ialah untuk diperhatikan oleh 148,000 ahli Umno di seluruh negara kelak. Zahid mahu tunjukkan dalam ramai-ramai khasnya di kalangan Naib Presiden beliaulah paling berani dan konmited dengan Umno.
Kalau itulah tujuan Zahid ia tindakan silap. Zahid dinilai bukan saja kepada kenyataan-kenyataan dan dakyah 'lewel'nya dalam politik. Orang juga akan melihat kepada sejarah masa lampau, hubungan beliau dengan Anwar Ibrahim sendiri. Pemerhati politik dan juga pemimpin Umno lain sudah mengenali siapa dia Zahid Hamidi. Sudah tahu bau mulutnya makan petai atau jengko atau buah geduak?
Di mana Zahid Hamidi sebelum Anwar dipecat dari Umno? Apakah yang Anwar lakukan kepadanya. Siapakah yang memberi pink form saham kepadanya. Zaman siapakah syarikat-syarikat milik Zahid seperti Tekala Sdn Bhd, Kertam Holding Sdn Bhd dan sebagainya wujud. Apakah zaman Najib menjadi Menteri Kewangan atau Anwar Ibrahim?
Dan dimanakah Zahid semasa Anwar dipecat? Bukankah Zahid tercokol berada di rumah Anwar bersama rakan-rakan pemuda Umno lain yang hidup merayap macam kutu itu? Saya masih simpan hingga ke hari ini gambar-gambar Zahid berceramah menggerakkan semangat refomis di rumah Anwar? Dan orang juga akan menjadi tertanya-tanya kenapa selepas itu beliau boleh berundur meninggalkan Anwar dan mendedahkan kemaluannya sendiri konon dia menjadi alat Anwar. Tidakkah pendedahan itu menujukkan Zahid seorang 'komidian'?
Apa yang Zahid lakukan hari ini tidak boleh menutup apa yang beliau lakukan sebelum ini. Setiap gerak geri kita, kata-kata kita dan tindak tanduk kita direkod oleh sejarah. Sejarah tetap akan kekal selagi semua manusia tidak gila. Mungkin Zahid telah gila kepada dirinya sendiri menyebabkan segala peristiwa lalu beliau sudah tidak ingat. Kalau dia ingat dia tidak akan membuang najis atas tangga sendiri.
Kepada Zahid kita boleh maafkan tetapi beliau perlu bersikap rasional dan kurangkan emosional. Saya hendak mengingatkan Zahid lawannya yang sebenar untuk dia menjadi timbalan perdana atau perdana menteri bukan Anwar, tetapi orang lain. Zahid tidak mengenali musuh beliau siapa yang sebenarnya? Inilah kesilapan Zahid. Sasarannya salah. Inilah kesilapan kadok setelah naik junjung.
Untuk pengetahuan Zahid musuh beliau atau batu penghalang untuk beliau naik bukan Anwar tetapi Muhyuddin Yassin. Beliau harus berdepan dengan Muhyuddin secara lunak. Muhyuddin selepas akan akan menyekat kemaraanya. Najib yang kini berada dalam keadaan telor di hujung tanduk tidak dapat melakukan apa-apa untuk membantu Zahid kerana dirinya sendiri juga sakit.
Menyerang Anwar yang berada di luar Umno tidak menguntungkan Zahid. Bahkan tindakan itu merugikannya. Seperkara lagi beliau juga kena ingat yang mendominasi Umno kini golongan muda. Jadi sikap Zahid bermusuh dengan orang muda atau cuba menunjuk motor besar kepada orang muda ia tidak membawa apa-apa keuntungasn. Orang muda memiliki motor lebih berkuasa tinggi dari motor Zahid Hamidi.
Kalau tidak kena gaya musuh Zahid bukan saja Muhyuddin tetapi Najib juga boleh bertukar menjadi musuh Zahid. Bagi Najib beliau tidak akan bersama orang yang mulai dibenci oleh ahli Umno. Bagi Najib seburuk-buruk atau sepondan Hishamuddin dia tetap akan memilih Hishamuddin sebagai penggantinya kerana Hishamuddin ada adik beradik sepupunya. Zahid kena sedar dan tahu ini.
Seperti dikatakan tadi di dalam keadaan Najib sendiri nyawa-nyawa ikan dia tidak boleh banyak membantu orang lain termasuk Zahid. Saya meramalkan dalam pemilihan Umno akan datang Zahid tidak akan mendapat blassing sesiapa, manakala Muhyiddin sudah tentu ada itik nila yang hendak disokongnya. Hendak tidak hendak Zahid terpaksa mempertahankan jawatan secara solo.
Ketika Muhyuddin sedang menyusun tapak kepada orang yang akan menjejaknya nanti, Zahid kena sedar dia berada dilorong lain. Muhyuddin sama sekali tidak akan kenang kepadanya. Apakah kita lupa yang Zahid pernah membuat kenyataan akan bertanding jawatan timbalan presiden Umno kemudian menarik balik. Kenapa? Dan kenyataan Zahid itu tidak akan dilupakan Muhyuddin dan ia sekali lagi akan dilihat sebagai komidian. [wm.kl.12:13 t/hari 19/05/13]
No comments:
Post a Comment