Wednesday, May 8, 2013

GFA Sekadar Cakap Di Meja Kopi

SEBELUM MANGHRIB                                                                         

Pagi tadi saya dihubungi oleh seorang korporat yang tidak kurang juga hebatnya. Saya memang mengenali tokoh dagang ini tetapi kerana belum pernah bercakap menerusi telefon, lagi pun lama tidak jumpa, menyebabkan saya kabur dan tercari-cari seketika siapakah gerangannya. Saya tidak kenal sampai sempat saya bercanda yang kurang manis juga. Sorry lah.

Sehinggalah saya balik ke rumah dan membuka blognya seperti mana dicadangkan baru saya mengenali ahli korport ini. Barang kali tidak perlu untuk saya menyebut namanya di sini tetapi apa lebih penting cuba mengupas dan menyorot idea yang beliau lontarkan pagi tadi. Agak praktikal dan menarik juga untuk dijadikan bahan berfikir.

Bila seseorang menghubungi saya selalunya topik yang diutarakan ialah politik. Orang atau seorang mekanik kapal terbang tidak akan menghubungi saya untuk mengesahkan kerosakan mana-mana komponen kabin. Jadi apabila berbicara dengan orang dagang, topik atau mauduknya ialah mengenai politik negara ini dan mencari formula bagai mana untuk mengharmonikan keadaan negara.

Sebagai seorang korporat pemikirannya lebih kepada keuntungan. Pemikirannya terbuka dan simple tanpa mengenang titik bengik lain. Mereka fikir semuanya boleh ditebus guna dengan wang?  Maka beliau atau kelompok ini mahukan keadaan yang aman dan damai - kondusif. Suasana negara yang tidak baik bagi mereka sudah tentu akan menjejaskan perdagangan dan perniagaan mereka yang akhirnya memberi kesan kepada ekonomi negara. Selalu yang memerhati dari jauh penuh kebimbangan pada setiap kali pilihan raya ialah puak-puak ini kerana mereka takut kepada kerugian material.

Cara pemikiran orang korporat dengan orang politik (perjuangan) juga berbeza, Orang politik berfikir untuk mendapatkan kuasa bagi melaksanakan idealismenya dan menyalin apa-apa yang tidak baik yang dibuat oleh kerajaan terdahulu kepada yang baru. Manakala orang korporat tidak memikirkan idealisme tetapi mementingkan kepada kelabaan dan keuntungan.

Orang korprat tidak mendahului idealisme perjuangan menerusi partisan. Mungkin juga kerana mereka, atau kawan saya ini sudah mengenali kerencaman dunia politik negara ini. Bagi politik Melayu menerusi Umno atau pun politik Islam menerusi PAS. Kedua-duanya bagi mereka sama saja semuanya lebih kepada retorika sendiri daripada berusaha mencapai hakikat sebenarnya.

Apa yang disaran atau hendak dibincangkan tokoh korport itu kepada saya mengenai kaedah untuk mewujudkan keadaan tenteram dan aman di negara ini. Maksudnya selepas ini - selepas pilihan raya tidak akan ada lagi pergeseran sesama sendiri ataupun pertikaian kaum kerana politik kerana ia merugikan. Beliau melihat dunia politik sudah menjadi satu racun kepada kedamaian negara dan menganggu pertumbuhan ekonomi dan kelabaan perdagangan mereka.

Lantaran itu formula atau cadangan itu dilontarkan kepada saya untuk sama-sama membincangnya manalah tahu ia boleh membuka idea kepada pihak lain yang lebih berautoriti dan bertanggungjawab. Apa dicadangkan atau sedanag bermain di dalam kepalanya ialah untuk mewujudkan sebuah kerajaan untuk semua - Government for all (GFA) tanpa diunsuri dengan semangat perkauman, agama dan budaya melampau. Hanya dengan adanya model kerajaan demikian baru keamanan akan wujud.

Kerajaan untuk semua ialah kerajaan yang menggabungkan semua entiti parti besar yang ada dalam negara ini. Dalam konteks politik dan hakikatnya menggabungkan BN dengan Pakatan Rakyat. Konsep ini tentu lebih luas lagi dari konsep yang cuba digagaskan oleh segelintir bekas pemimpin  PAS semasa era Abdulah Ahmad Badawi dulu iaitu mewujudkan kerjasama di antara Umno dengan PAS atas nama Kerajaan Perpaduan - Unity Government.

Apa dimaksudkan tokoh korport itu ialah konsep Government for all (GFA) ini adalah penggabungan parti-parti komponen BN dengan parti-parti komponen Pakatan Rakyuat. Bagi tujuan ini atau natijah kepada pembentukan kerajaan sebegini semua pihak akan mendapat laba masing-masing. Semua pihak akan memperolehi jawatan dan bersama membangun dan mentadbir negara. Jelas idea ini hanya mementingkan kepada soal perpaduan tanpa meletakkan soal idealisme dan prinsip parti-parti politik yang berbeza.

Menerusi konsep GFA ini semua parti akan mempunyai wakil (menteri) masing-masing. Jumlah atau kuota menteri atau penjawat sektor awam (GLC) mengikut kapasiti parti masing-masing. Secara asas cadangan ahli korport itu, Perdana Menteri tentulah dipegang oleh Najib Razak, timbalan perdana oleh Anwar Ibrahim dan menteri kanan atau jawatan yang dibentuk selepas itu mestilah Lim Kit Siang dan Abdul Hadi Awang sesuai dengan kedudukan mereka sebagai peneraju parti masing-masing.

Pemimpin-pemnimpin kanan parti-parti gabungan itu memegang jawatan kanan atau kementerian mengikut senioriti masing-masing.

Secara asas saya bersetuju dengan cadangan berkenaan. Atas matlamat mengurangkan politiking dan pergeseran politik di negara ini, kewujudan kerajaan untuk semua itu akan dapat mengatasi banyak masalah. Isu-isu yang kini sering timbul soal polarisasi kaum, ekonimi, pendidikan, sosial, jenayah dan ketidaktelusan dalam pentadbiran juga akan dapat diatasi.

Keperluan mewujudkan perkara ini sangat penting bagi Najib khasnya. Beliau perlu sedar dengan kemenangan UBN yang gagal menguasai 2/3 kuasa di parlimen menyebabkan keadaan Najib terumbang ambing. Dalam pilihan raya lalu UBN hanya berjaya meraih 133 kerusi di mana kurang tujuh kerusi berbanding pilihan raya sebelumnya.

Selain itu Najib juga harus insaf dan sedar bahawa pilihan raya lalu mencatatkan rekod pertama bahawa parti UBN kehilangan undi popular buat pertama kali. Manakala keseluruhan sudut UBN dalam keadaan merosot. Taburan pengundian menunjukkan sokongan rakyat kepada Umno semakin membimbangkan. Keperluan membentuk gabungan seperti ini juga mustahak bagi Najib bagi membendung ada landaan oleh Muhyiddin Yassin ke atasnya.Idea untuk mewujudkan GFA ini boleh difahamkan ia bukan saja untuk menyelamat satu pihak tertapi bersifat universal.

Begitu juga pihak DAP yang kini sudah menang besar menerusi GFA ini dapat memberi perkhidmatan kepada rakyat tanpa menanti kemenangan Pakatan Rakyat secara menyeluruh. Peranaan DAP di sini ialah memberi jawab secara realistik terhadap kebimbangan Najib mengenai masyarakat Cina yang dikatakan tidak mengenang budi kerajaan. Menerusi gabungan ini dengan bertindak menjadi pemerintah DAP dapat mengendurkan perasaan dan prejudis orang Melayu Umno kepada kaum Cina. Yang natijah akan mewujudkan keadan yang sihat.

Manakala bagi Anwar Ibrahim beliau juga dapat memberi sumbangan yang sama. Dengan kepakaran yang beliau ada beliau dapat membantu negara menjana ekonomi serta membentuk satu landasan masa depan yang dinamik dari segi melahirkan sebuah good governence. Anwar yang memiliki roh dan jiwa serta pengetahuan Islam mempunyai kebolehan di dalam membentuk masyarakat Malaysia yang berkualiti.

Sementara PAS pula yang menjadi pemangking kepada kerajaan ini dari serambi keMelayuan akan berperanan untuk pembangunan Islam di Malaysia. PAS boleh memainkan peranan ini kerana parti itu mempunyai pegangan dan amalan agama yang mampan berbanding dengan Umno. Apa yang diacuankan oleh Nik Aziz di Kelantan boleh dijadikan model pembangunan Islam oleh PAS untuk Malaysia.

Selain itu PAS juga boleh memainkan peranan meletakkan Islam di atas landasan sebenar seperti mana dicita-citakan.

Sememangnya idea dan perbincangan mengenai perkara ini menarik dan indah. Inilah kematangan dalam berpolitik mahu mencuba merombak paradigma. Namun saya tidak fikir dalam kloni politik Malaysia yang separuh masak dan pemainnya begitu tamak dan syok sendiri dengan idealisme dan kurang profesional, bukan mudah untuk idea seumpama ini hendak dilaksanakan. Melaksana jauh sekali untuk diajak berbincang pun sudah ada yang mengangkat tangan menolak. Tetapi saya suka membincang perkara ini kerana saya berada dari bingkai politik kepartian yang jumud dan mahu merdekakan diri dari belenggu politik purba. [wm.kl.7:15 pm 08/05/13]

7 comments:

Muhd Asyraf Ibrahim said...

Idea ini bagus tuan. Tapi macam mana dengan isu rasuah, penyalahguna kuasa. penipuan adakah boleh diterima oleh rakyat?

Penulis Teknorat said...

Teruskan penulisan pencetus intelekmu. Saya respect dengan merah tinta MSo
HackJela

mmas said...

Salam tuan MSo,

saya merupakan peminat tulisan tuan, walaupun kadangkala saya tidak bersetuju, namun kita harus berlapang dada kerana perbezaan pendapat selagi tidak bercanggah dengan asas maka ianya suatu rahmat.merujuk kepada tulisan tuan berkenaan GFA (government for all), saya amat bersetuju, bahkan seperti yang saya fahami dari dulu, Presiden PAS telah pun menutarakan idea ini melalui UG. UG yang seperti ditegaskan oleh TGHH Presiden PAs melangkaui batasan parti politik. namun ketika ianya diutarkan, semua pihak marah dengan menuduh ianya bermotifkan jawatan tanpa kita dengar dgn teliti perincian TGHH.
apa yang saya kesalkan ketika itu, banyak pihak bercakap seolah2 mereka faham dan sayang lebih PAS berbanding TGHH sendiri. itulah kadangkala, ego dan kedangkalan ilmu kita mematikan langkah yang baik.

sizzly7761 said...

Satu Utopia! Selagi UMNO/BN bertunjangkan rasuah,salahguna kuasa (Wang/Rasuah mendarah daging bagi Warlords UMNO) maka GFA adalah satu angan-angan yang tak mungkin kesampaian! Perasuah tidak akan berhenti sehinggalah hilang kuasa! Dan kuasa tidak akan dikongsi kerana akan menyulitkan perlakuan rasuah! GFA cetusan idea yang baik...tapi melihatkan perangai dan cara melayu berpolitik,nampaknya GFA akan kekal sebagai satu yang 'akademik' saja.

firdaus said...

GFA memang suatu yg baik..tapi akhirnya nanti ia melibatkan soal pengaruh apabila PM ialah Najib dan Anwar ialah TPM sudah tentulah berlaku apa yg boleh dikatakan pertentangan idea..kalau Anwar dpt jadi TPM sudah tentu dia boleh jadi lebih menyerlah dari Najib
Dalam hal ini kecualilah Najib itu berlapang dada dan lebih memikirkan soal negara..GFA boleh jadi suatu yg tak mustahil direalisasikan
Selain itu dalam negara ini terdapat juga masalah lain..masalah itu dinamakan MAHATHIR

mohamad nazari said...

saya bersetuju dengan ideal UG,pihak-pihakdari PAS,DAP dan PKR, boleh menjadi pemantau dan pembuat dasar dalam kerajaan. keadaan akan dapat mengawal menteri2 UMNO untuk melakukan rasuah dan salah guna kuasa

Nafisa Nadia said...

Salam tuan.

GFA merupakan idea bernas dan menyerlahkan nilai ikhlas menjalankan tanggungjawab terhadap negara.

Para pemimpin tidak mengira parti patut duduk semeja, berbincang, menyumbangkan idea, bersama sama merealisasikan apa yang terbaik untuk rakyat dan Malaysia.

Untuk soal pengaruh, saya rasa tidak perlu dijadikan persoalan. Dengan keikhlasan menjalankan tanggungjawab untuk negara, pengaruh nama parti dan sebagainya tidak perlu dijadikan persoalan.

Saya sokong idea GFA.