Thursday, May 9, 2013

Pakatan Rakyat Perlu Buat Kerja 'Berkelulu'

ULASAN PAGI                                                                                      

Saya mengira selepas 5 Mei khasnya saya sudah boleh rihat dan kembali menguruskan tata hidup secara semula jadi. Tidak begitu stress dan bekerja, befikir dan menulis hingga larut malam demi merealisasikan aspirasi rakyat. Saya juga rakyat.

Sesekali teringin juga saya untuk tidak menjadi 'pejuang bangsa' dan negara menerusi politik, hidup seperti warga lain yang tidak ambil peduli kepada negara. Mahu tidur secukupnya, makan segenapnya dan bermain dan bermesra dengan anak cucu dan bini sekerapnya. Tetapi itu hanya angan-angan saja yang kontras dengan gaya dan naluri seorang pejuang.

Orang bejuang sudah menjadi sunahnya, makan minumnya tidak terjaga, jalan dan kembaranya merata ke segenap sudut dan jerung. Tidur baringnya entah kapan waktu dan tanpa kasur permaidini lembut dan indah. Dihina dan diseksa sudah menjadi semestinya. Justru, 5 Mei tidak juga dapat menjadikan saya dan orang pejuang lain untuk bersenang lenang. Mungkin sebab itulah Tuhan menjadi balasan syurga kepada para pejuang, bukan balasan di dunia ini.

Dari filsafah ini dapat saya fahamkan tidak ada hadiah dari Tuhan di ats dunia ini kepada sang fakir ikhlas berjuang. Lantaran itu boleh dianggap mereka yang mengutip tol dan cukai bakul dari hasil kemenangan perjuangan (pilihan raya) di dunia ini adalah kerja palsu dan batil. Ertinya kalau kita melihat pejuang yang menang tidak kisah dari rahang politik dan jalur mana, kalau di dunia ini hidup senang lenang, mempunyai kekayaan bertimbun tidak habis makan sampai tujuh keturunan, nah.. mereka itu pejuang palsu yang tidak ada tempat di akhirat besok.

Semalam bertempat di stadium Kelana Jaya sudah bermula perasmian bagi meneruskan perjuangan sebaik selesai pilihan raya. Panggilan himpunan itu bertolak atas sebab dan alasan kerana berlaku penipuan dalam proses pilihan raya yang akhirnya mengagalkan rakyat untuk menyaksikan Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.

Himpunan bertema Suara Rakyat Suara Keramat sudah menjadi paluan gong permulaan untuk memanggil dan mengerah rakyat berhimpun bagi mengatur langkah bergerak ke Putrajaya. Bermula malam tadi saya yakin selepas ini akan bersambung dengan himpunan demi himpunan lagi yang boleh mencabar kedudukan kerajaan Najib bakal ditubuhkan yang mana tidak mustahil membawa kepada 'kesembaman' Najib sebagai perdana menteri.

Fenomena seperti yang berlaku pada tahun 1998 sewaktu Anwar Ibrahim dipecat dari Umno oleh Mahathir Mohamad akan berlaku dengan permulaan baik malam tadi. Di mana 'unjuk rasa' protes berlangsung sehingga membawa kepada turunnya Mahathir. Malahan kebangkitan pasca PRU-13 ini akan terus menjadi tambah semangat apabila mereka dikhabarkan sudah menang pilihan raya tetapi kerusi Putrajaya diduduki orang lain. Kenyataan provokatif Anwar; kemenangan PR dirampas benar-benar menyuntuh pembuluh darah kemarahan rakyat kepada UBN dan Najib.

Rakyat akan terus mengheret dada untuk menuntut sebuah pilihan raya yang bersih yang menjadi dambaan semua orang. Atau rakyat akan berkorban sehingga kering keringat dibadan untuk mendapatkan hak mereka. Mereka mahukan Putrajaya. Putrajaya... Putrajaya. Itulah yang digumbakan oleh pemimpin ke atas mereka.

Saya secara peribadi tetap bersama rakyat menutut hak atas nama kesamarataan, keadilan dan kebenaran. Kalau tidak mati bersama-sama dalam gelanggang perang di mana lagi lokasi paling afdal buat kita. Tetapi saya sedikit bercanggah fikir dalam soal ini mengenai ketepatan masa dan ketika untuk meneruskan tindakan.

Apakah perlu sesegera itu PR khasnya Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Mohamad Sabu untuk memanggil rakyat berhimpun tanpa mereka sempat menghilang lenguh? Apakah kesempatan itu yang diambil bagi menyemarakkan goncangan ke atas kerajaan?

Memang dari bukti-bukti yang ada proses penipuan atau ketidaktelusan SPR nyata berlaku. Tetapi Pakatan Rakyat harus memberi bukti konkrit dan kemas. Bukan saja ia berdasar dari satu sumber sebelah pihak tetapi sumber-sumber lain juga yang boleh dipertanggungjawabkan. Selepas mengumpul segala bentuk penipuan itu panggil atau buat satu forum untuk membincangkannya baru mengatur langkah secara sistemetik untuk bertindak bukan panggilan menerusi internet atau secara lisan saja.

Rakyat yang taksub dengan Pakatan Rakyat dan membenci BN boleh menerima apa yang dilakukan itu. Bagi mereka asalkan kata ada penipuan tanpa ditunjuk bukti mereka akan hadir ramai-ramai. Tetapi macam mana dengan rakyat atas pagar atau mereka yang berfikir atau yang tidak menelan maklumat begitu sahaja. Mereka tentunya memerlukan maklumat lengkap dan sahih untuk sama-sama mengheret mereka dalam memberi dokongan dan sokongan.

Saya sendiri sudah lama tidak mempercayai akan ketelusan dan kejujuran SPR. Atau tidak yakin 90% yang SPR akan bertindak adil. Rasanya hakikat ini diakui sendiri oleh pemimpin PR. Desakan pembaik-pulihan menerusi Bersih tidak menyelesaikan perkara ini. Tetapi yang saya merasa ganjil dan musykil kenapa Pakatan Rakyat tetap mengambil bahagian dalam pilihan raya yang diakui tidak bersih atau diragui akan ketelusannya.

Di sinilah menjadikan akal saya bermusykilan? Fakta menunjukkan Pakatan Rakyat mendapat 51% undi popular tetapi kerusi banyak dimenang UBN bukan perkara ganjil. Di segi undi memang PR banyak kerana ramai yang mengundi PR. Tetapi jumlah kerusi memang UBN mempunyai banyak kerusi kerana mereka memenangi banyak kerusi. Dalam sistem demokrasi stail kita, bukan bermakna banyak undi itu dikira pemenang. Sistem kita mengira jumlah kerusi, bukan suara. Mungkin ada yang tidak faham atau kurang jelas mengenai kaedah atau stail demokrasi kita.

Jumlah suara PR banyak kerana mereka menang dengan majoriti besar di sesuatu kerusi. Misalnya kemenangan calon DAP Teresa Kok di Seputih sebanyak 51,552 undi. Atau kemenangan Tan Seng Geok di Kepong sebanyak 40,307 undi. Tidak bermakna kemenangan dengan majoriti besar itu ia boleh menafikan kemenangan mana-mana calon UBN dengan majoriri 1,000 undi.. tidak. Dalam perkiraaan demokrasi ala kita, sama ada kamu menang dengan majoriti 50,000 atau dengan majoriti 5 undi nilainya sama saja, jumlah atau perkiraan kerusi satu (1) saja di mana jumlah kerusi itulah pemuktamadan pemenangnya.

Kekeliruan ini hendaknya tidak mengabui kita semua untuk dengan mudah mengatakan berlaku penipuan dalam pilihan raya. Justeru kepada saya perkara paling baik ialah mengambil tindakan yang lebih praktikal dan munasabah bagi membaiki situasi yang ada kini. Salah satu tindakan paling afdal ialah mendesak kerajaan agar mengubah sistem atau stail pilihan raya yang diamalkan sekarang ini iaini kemenangan berdasarkan jumlah kerusi kepada kemenangan berdasarkan peratus undi seperti mana diamalkan di negera-negara lain dan terdekat ialah Indonesia.

Dalam sidang perlimen nanti Pakatan Rakyat boleh mengemukakan cadangan ini. Pihak UBN boleh menimbang cadangan merubah stail ini sekiranya mereka ada rasa ikhlas dan terpanggil dengn desakan dan kemahuan ini. Tetapi saya rasa harapan untuk UBN akan memenuhui kehendak ini jauh panggang dari api. Namun usaha dan ikhtiar perlu dilakukan sebagai bukti sudah ada tindakan menurut perlembagaan daripada kita.

Dengan cara yang dilakukan sekarang ini ia tidak akan merubah apa-apa keadaan. Kalau pun Najib Razak rasa tertekan dengan cara diambil kini paling-paling apa boleh dilakukan minta diadakan pilihan raya semula. Kalau pilihan raya semula diadakan, tetapi stail atau keadah diguna pakai tidak dipindah, keputusan yang sama juga akan keluar nanti. Sebab SPR tetap akan bias kepada parti memerintah dan rakyat tidak ada cara lain untuk membetulkan semula syahat Suruhanjaya Pilihan Raya agar ia benar-benar 'Islam".

Saya juga hendak sarankan kepada Pakatan Rakyat sekiranya mereka tidak boleh menerima keputusan PRU-13 yang baru berlalu itu, kesemua 89 orang wakil rakyat Pakatan Rakyat jangan mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat. Mereka semua hendaklah sepakat mengorbankan kemenangan itu demi menuntut hak apa yang mereka perjuangkan itu. Kalau dalam masa sama mereka protes, menafikan 'kebersihan' pilihan raya tetapi akhirnya terhegah-hegah pergi angkat sumpah mereka akan diketawakan oleh orang ramai atau diri mereka sendiri, masing-masing bila berada depan cermin dalam rumah akan tergelak kecil kelucuan dengan hipokrasi diri sendiri.

Tanpa tindakan agresif, berani dan bersifat korban begitu apa dilakukan yang bermula malam tadi tidak akan ke mana-mana pun. Akhirnya rakyat akan keletihan semua orang letih dan kemudian masing-masing jatuh sakit dan mati dalam keadaan beragam-ragam saja. Jadi diharap Pakatan Rakyat hendaklah melakukan kerja 'berkelulu' - kerja yang munasabah, masuk akal dan mengikut keadah yang betul, syarak. Walahualam bi sawat. Lebih baik tanam ubi dicelah-celah batas kelapa sawit. Nasib baik Mat Maslan tidak kalah, kalau tidak, auh... tahulah dia. [wm.kl.9:30am 09/05/13]
Post a Comment