Thursday, May 16, 2013

Diharap Mustapa Bekerjsama Dengan Ahmad Yaakob

CATATAN TENGAHARI                                                                                                  

Kemarahan Najib Razak kepada pimpinan Umno Selangor kerana gagal menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat sehingga menyebabkan Timbalan Pengerusi Umno Selangor Noh Omar menerima hukum tidak dilantik menjadi menteri, tapaknya turut terhimbau ke negeri kelantan DarulNaim.

Mustapa boleh kerjasama dengan Ahamd.
Kegagalan Mustapa Mohamed untuk membawa Kelantan ke dalam tangan Umno dalam pilihan raya lalu menyebabkan negeri Kelantan juga terhukum. Dalam pegumuman kabinet semalam, hanya seorang saja wakil dari Kelantan iaitu Mustapa Mohamed yang dikekalkan sebagai menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industeri menampakkan semacam Najib tidak memikirkan apa yang Umno Kelantan perlukan.

Kenapa dikatakan tempias kemarahan Najib di Selangor merebak ke Kelantan, kerana selain Mustapa masih ada empat lagi ahli Parlimen yang boleh dipertimbangkan untuk dilantik menjadi menteri. Mereka ialah Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang), Annuar Musa (Ketereh), Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) dan Jazlan Yaacob (Machang). Mungkin Jazlan dan Ikmal terlalu baru dan muda jalan hendak ke parlimen pun belum arif untuk dilantik menjadi menteri tetapi Annuar Musa dan Tengku Razaleigh layak untuk dibawa ke dalam kabinet.

Kalaupun Jazlan dan Ikmal tidak untuk dijadikan menteri tetapi mereka boleh dipertimbangkan menjadi timbalan menteri khasnya Ikmal yang dikatakan bijak dalam seluk belut perniagaan kereta.

Mungkin Najib menyedari akan kekurangan Kelantan dan ia boleh memberi kesan buruk kepada Umno. Umno yang telah menunjukkan peningkatan di 13 kawasan dalam pilihan raya lalu boleh dikembang dan dipertingkatkan lagi dengan ada sekurang-kurang seorang lagi menteri atau timbalan menteri di Kelantan. Hanya Mustapa seorang sebagai menteri menyebabkan Mustapa akan kepenatan sikit. Sebelum ini Awang Adek menyertai kabinet sebagai Timbalan Menteri Kewangan.

Tetapi kenapa Najib tidak memberi dua menteri untuk Kelantan? Mungkin masalah ketiadaan calon. Walaupun Annuar dan Tengku Razaleigh pernah menjadi menteri dan berpengalaman, tetapi kerana Najib inginkan perubahan dan pendekatan kedua tokoh itu diabaikan. Manakala untuk diambil Tengku Razaleigh menyertai kabinet sesuatu yang tidak mungkin kerana Najib takut kepada bayang-bayang sendiri. Apakah bila beliau tidak membawa masuk Tengku Razaleigh dalam kabinet kedudukannya selamat dari tidak dicabar Razaleigh?

Di sinilah kesilapan Umno Kelantan terutamanya Mustapa Mohamed sebagai Pengerusi Perhubungan. Beliau tidak sepatutnya memberi laluan untuk Annuar bertanding 5 Mei lalu. Sekiranya Mustapa ada sedikit keberanian untuk memungkinkan Kelantan mendapat seorang lagi menteri, beliau perlu meletakkan Alwi Che Ahmad bertanding di parlimen Ketereh. Sekiranya Annuar Musa tergila juga untuk jadi wakil rakyat dia boleh diletakkan bertanding di kerusi state Kok Lanas. Seandainya Alwi yang bertanding di Ketereh dan menang sudah tentu bekas Ketua Pembangkang Dun Kelantan itu akan dilantik menjadi timbalan menteri.

Kesilapan-kesilapan formula seperti inilah yang merugikan Umno dan rakyat Kelantan. Awang Adek Hussein pula walaupun ada kelulusan dan pengalaman untuk dilantik menjadi menteri, tetapi kalah kepada 'budak' di Bachok, Marzub Shaari. Seharusnya juga Mustapa yang sudah masak dan mengenali kelemahan Awang Adek tahu membuat firasat bahawa Awang Adek tidak akan menang justeru persediaan awal diperlukan.

Perwatakan, stail dan gaya politik Awang Adek yang 'bersepa" dengan ceruk sepanjang masa tidak akan diterima oleh rakyat. Bau asap ceruknya saja menyebabkan pengundi di Bachok akan menjauhi Awang Adek.

Tidak mengapalah walaupun Kelantan mendapat hanya seorang menteri, Mustapa boleh menggunakan kuasanya untuk menambah kekuatan dan semangat untuk Kelantan. Misalnya Mustapa boleh mencadangkan kepada mana-mana GLC ataupun kepada menteri yang bertanggungjawab menjaga badan berkanun melantik wakil-wakil dari Kelantan.

Ekoran beberapa orang pengerusi badan berkanun dilantik menjadi menteri, banyak kekosongan yang ada seperti Pengerusi MARA yang dipegang oleh Idris Jusoh atau Felcra oleh Tajuddin Rahman dan lain-lain. Adalah sesuai dan kena pada tempatnya kalau Mustapa mencadangkan nama Alwi Che Ahmad sebagai pengerusi MARA yang baru.

Seperkara lagi Mustapa perlu membawa politik baru di Kelantan. Politik dendam, dera dan diskriminasi terhadap rakyat Kelantan yang tidak menyokong Umno tidak perlu diteruskan lagi. Sesuai dengan perubahan tampuk pentadbiran Kelantan dari Nik Aziz Nik Mat yang dianggap keras untuk bekerjsama, kepada Ahmad Yaakob, Mustapa boleh gunakan ia sebagai satu titik mula untuk menjana politik baru. Amal dan hayatilah semangat federalisme demi untuk Kelantan bukan puak.

Mustapa boleh membantu atau berkerjasama dengan kerajaan Kelantan menerusi bidang kuasa atau peluang-peluang yang ada dibawah kemeteriannya. Bangunlah kilang yang boleh memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak muda Kelantan. Mustapa bawa peruntukan manakala kerajaan negeri sediakan tanah. Hentilah politik retorik dan politik pilih kasih atau menafikan hak rakyat Kelantan. Baik Mustapa dan Ahmad kena menerima bahawa rakyat Kelantan adalah rakyat mereka sama yang semuanya bernaung dan berteduh di bawah Sultan Muhammad Ke V.

Saya secara peribadi mengucapkan tahniah atas perlantikan Mustapa semoga peluang yang ada tidak disia-siakan dan dimanfaatkan sepenuhnya. [wm.kl.12:14 pm 16/05/13]
Post a Comment