Thursday, May 16, 2013

Wujudkan Unit Pemantau Khas di Bawah MB

PANDANGAN TULUS                                                                           

Tanpa menunggu selepas pantang, biasanya 40 hari atau 100 hari menurut tradisi orang Melayu, MB Kelantan yang baru Ustaz Ahmad Yaakob telah melestarikan agenda peribadinya sebagai MB dengan menjadikan kebajikan rumah untuk rakyat sebagai prioriti. Ahmad telah meletakkan sasaran satu unit rumah untuk satu keluarga di Kelantan. Tentunya keluarga yang berpendapatan dibawah kemampuan untuk memiliki rumah.

Ahmad Yaakob: Rumah rakyat agenda utama.
Perangkaan mengenai perkara ini mungkin sudah ada dalam rekod di Pejabat Menteri Besar.

Apa disasarkan Ahmad itu bertepat dengan janji atau manifesto PAS kelantan dalam pilihan raya lalu yang mementingkan kebajikan dan keberkatan. Perumahan adalah menjadi keutamaan kepada rakyat. Tahap kemiskinan rakyat di sesebuah negeri itu akan diukur kepada pemilikan kediaman.

Di Kelantan masalah rumah menjadi masalah utama. Agak sedih sedikit program atau projek ini seakan terabai sejak 20 tahun lalu. Projek atau skim pembinaan rumah Dufah (maaf kalau salah) tidak begitu berkesan dan ia sekadar melepas kentut sebelum berak sahaja. Sekali lagi maaf kerana guna anologi kasar. Mungkin kerajaan negeri ada rekod mengenai hal ini dan sila dedahkan kepada umum.


Apabila UBN semasa kempen pilihan raya baru-baru ini menjadikan rumah kediaman untuk keperluan  rakyat sebagai manifesto pilihan raya, barulah PAS tersintak dari lamunan kealpaannya selama ini untuk mewujudkan projek perumahan untuk rakyat. Selama 22 tahun PAS lebih kepada pembangunan rohani dan jasmani, dan memberi galakan kepada pelabur tanpa memberi garis panduan kepentingan-kepentingan seperti soal rumah. Aspek hartanah, perlombongan dan balak menjadi tumpuan dan menonjol di negeri Kelantan.

Kalau disenaraikan berapa ramai pengusaha balak, lombong besi dan emas yang ada di Kelantan hari ini tentu angkanya mengejutkan. Tetapi aspek itu hanya memberi keuntungan kepada pengusaha atau syarikat tertentu tetapi tidak dapat dilihat oleh rakyat Kelantan. Perkara mudah beribu pengusaha balak yang menjalankan kegiatan itu dan sudah berjuta hektar kawasan balak diberikan di Kelantan tetapi tidak ada satu pun penambahan kilang kayu atau papan lapis (saw mill) di Kelantan.

Begitu juga dengan projek perumahan. Walaupun banyak perumahan, taman-taman yang wujud di Kelantan termasuk pembinaan kondominium, bandar-bandar baru, tetapi itu bukan untuk rakyat yang tidak mampu memiliki rumah. Tetapi itu lebih kepada pembangunan komersial yang diusahakan oleh orang persendirian. Pembangunan perumahan di sekitar Kota Bharu dan daerah lain bukan boleh dikreditkan kepada kerajaan negeri Kelantan kerana ia dibangunkan oleh swasta di mana rakyat yang dibawah mampu milik rumah tidak berhak mendapatnya.

Mungkin menyedari itulah maka Ahmad Yaakob terus meletakan isu perumahan sebagai agenda atau pun program pertamanya sebaik menjadi MB. Jelas iltizam beliau dalam aspek ini yang dinanti-nantikan oleh rakyat. Untuk tujuan itu dua buah syarikat utama milik kerajaan negeri, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) diarahkan melaksanakan perumahan untuk rakyat.

Sebelum ini kalau tidak silap saya, kerajaan negeri sudah pun ada anak syarikat hartanah khasnya untuk pembinaan, iaitu Binaraya Sdn. Bhd. Tetapi peranan anak syarikat ini tidak begitu menonjol untuk membina perumahan untuk rakyat tetapi lebih kepada pembinaan bangunan dan prasarana untuk kegunaan kerajaan negeri. Mungkin kerana masalah kewangan. Justeru perwujudan Binaraya ini sebagai syarat sahaja bahawa kerajaan perlu ada kontraktornya sendiri. Paling anihnya syarikat yang menjalankan pembinaan dengan Binaraya Sdh Bhd untung berlipat ganda berbanding dengan Binaraya?

Apabila Ahmad mengarahkan agar dua agensi kerajaan itu (PKINK dan PMBK) ia menunjukkan iltizam yang tinggi Ahmad sebagai MB. Ada kesungguhan dan keperihatinan tinggi yang dibuat oleh MB itu. Sesuatu kekosongan yang berlaku selama ini cuba disini secepat mungkin.

Bagi memasti agenda utama Ahmad ini berjalan lancar dan aktiviti kebajikan lain untuk rakyat berjalan seperti diharapkan, saya ingin mencadangkan agar diwujudkan satu unit khas yang menjadi pemantau kepada segala projek itu diletakkan bawah MB. Unit ini akan bertanggungjawab menjadi pemantau dan pelapor segala perkembangan projek kepada MB secara berkala. Ia juga bertanggungjawab bagi memastikan projek perumahan itu telus dan adil.

Keperluan mewujudkan unit khas ini bukan bermakna kita sangsi kepada ketelusan pelaksana oleh PKINK dan PMBK tetapi memudahkan urusan kerja. Tidak mungkin MB akan memantau perjalanan projek itu sepanjang masa kerana beliau sibuk dengan pelbagai bidang dan tugas lain. Laporan spontan mengenai perkembangan projek itu di dalam mesyuarat MKK tidak memadai. Dengan ada unit khas ini, beliau akan diberikan maklumat perkembanganya secara detail. Selain itu juga unik ini boleh diberikan tugas bukan sekadar memantau tetapi menegur perlaksana projek berkenaan.

Sudah pasti dengan wujudnya unit ini pihak pelaksana juga tidak akan 'lerek' atau pun ralik seperti mana yang berlaku. Dalam masa sama perwujudan unit ini hendaklah berorentasikan kerja smart dan bukan ala Kelantan tetapi ala Kuala Lumpur. Sudah sampai masanya stail kerja ala Kelantan yang 'senyek' suka melengah-lengkah kerja dan kurang data maklumat dihapuskan. Data maklumat atasu sumber maklumat yang kini sudah menjadi satu keperluan asas di era ini hendaklah dilengkap dan diperkemaskan, up-date.

Ahmad Yaakob juga walaupun bukan seorang pentadbiran yang banyak terdedah dengan sistem pentadbiran moden, tetapi itu bukan menjadi alasan. Unit atau pun agensi lain yang kebanyakan dipegang atau diberi tanggungjawab kepada golongan muda perlu merubah sistem dan stail bekerja ini. Teknokrat dan pemimpin muda perlu memberi sumbangan membuat anjakan dalam pentadbiran di Kelantan.

Berbalik kepada perwujudan Unit Khas ini kelak ia akan memudahkan kerja MB dan dalam masa MB boleh mendapat apa-apa maklumat dan perkembangan berhubung sesuatu projek, dari pihak lain bukan pihak pelaksana projek. Sudah tentu laporan dan maklumat dari pemantau ini lebih telus atau tepat dari pihak pelaksana yang sudah tentu akan membela diri sendiri atau bersifat menjaga maruah diri hingga sanggup berbohong dan 'mengencung'. Unit ini juga boleh bertindak sebagai spy.

Ditegaskan keperluan Unit Khas yang khusus untuk memantau projek perumahan rakyat ini bukan kerana ketidakpercayaan kepada pelaksana dan pihak lain tetapi demi memudah dan memberi kesan kepada setiap arahan dan agenda kebajikan yang menjadi agenda utama Menteri Besar. Dalam masa sama Unit Khas ini juga nanti bertanggungjawab untuk memantau pengagihan unit-unit rumah yang siap agar ia dilakukan dengan adil dan sampai ke sasaran sebenarnya. [wm.kl. 8:50 pm 16/05/13] 

Post a Comment