Tuesday, May 14, 2013

Azmin Perlu Dilantik Exco

SARANAN MALAM                                                                                                         

Persoalan siapa MB Selangor sudah selesai apabila Khalid Ibrahim hari ini mengangkpat sumpah sebagai MB Selangor di hadapan Sultan Selangor untuk penggal kedua. Kejutan kecil dibuat Azmin Ali yang cuba memprotes keputusan parti mahukan Khalid terus memimpin kerajaan Selangor tidak menjadi. Kekuatan yang ada kepada Khalid ialah apabila namanya juga disokong oleh PAS dan DAP.

Konsensus itu menyebabkan Azmin terpaksa menarik brek dan menukar haluan. Baguslah.

Azmin harus mengakui akan perkara ini. Beliau kena insaf dan cuba menyelami apakah sebab musabab namanya tidak dihantar sebagai nama kedua untuk jawatan MB. Beliau juga mesti tahu kenapa presiden melupainya walhal beliau adalah antara penjasa utama kepada survival suami presiden.

Semua orang tahu Azmin bukan kemaruk sangat untuk jadi MB. Dia akui perkara ini. Tetapi apa yang hendak diperjuangkan ialah kepentingan parti kerana Khalid dikatakan kurang memberi perhatian kepada aktivis parti. Masalah Khalid tidak mesra parti dan lebih mesra rakyat sudah lama menjadi sebutan.

Sikap Khalid inilah yang kurang disenang dan mungkin menyebabkan Azmin merasakan Khalid perlu ditukar. Tukar pula bukan semestinya dengan beliau tetapi dengan orang lain. Sayang Azmin tidak menamakan nama bakal MB dari versinya. Umum tahu sidang akhbar Azmin yang memprotes dan menegur presiden dan Khalid itu mewakili sebahagian besar ahli parti yang tidak senang dengan Khalid. Kemarahan Azmin dan beberapa pimpinan lain akan diterjemahkan dalam kongres parti kelak dan tidak mustahil kalau Azmin akan mencabar presiden?

Jadi kerana Azmin sebagai Timbalan Presiden beliau terpaksa ambil tanggungjawab walaupun tindakan beliau beliau dilihat seakan tergilakan jawatan MB. Bagi Azmin kalau Khalid dapat melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna dan memuaskan pekerja parti, tidak ada apa-apa masalah baginya. Sebagai seorang yang mementingkan kepada kualiti kerja Azmin juga tentu suka dengan Khalid.

Begitu juga di sebelah Khalid yang dikenali sebagai politician bersikap lembu kenyang dia tidak terasa bersalah apa-apa pun dengan teguran Azmin itu. Baginya apa yang Azmin lakukan satu kemujuran juga buatnya. Inilah kelebihan Khalid yang sukar dipatahkan kerana beliau tidak melatah dengan sebarang provokasi. Orang seperti Khalid yang banyak diam dari menjawab susah untuk dihadapi kerana kalau silap teknik kita yang akan dilihat jahat.

Sebagai jalan penyelesaian, adalah elok kalau Khalid ikut sama membariskan nama Azmin di dalam barisan Exconya kelak. Khalid jangan takut dengan Azmin. Ilmu dan juga gaya berkerja Azmin yang smrat akan menambahkan lagi kualiti kerajaan Selangor. Kehebatan Azmin dalam mengurus parti dan memobiliskan rakyat ada track rekodnya. Malahan jika berdasarkan kepada penglibatan Azmin dalam perjuangan beliau lebih layak berbanding Khalid untuk diangkat menjadiu MB.

Kalau Azmin dilantik menjadi Exco Azmin boleh terus menyuarakan mana-mana sudut yang tidak puas di dalam mesyuarat kerajaan Selangor (Exco). Dengan begitu suara atau teguran Azmin akan terus ke telinga Khalid. Banyak manfaatnya kalau Azmin berada sama dalam Exco. Khalid pula boleh memperbaiki kelemahan yang ada kepada dirinya.

Sekiranya ada tawaran dari Khalid, Azmin jangan sesekali menolak. Terimalah tawaran itu dengan baik. Kita yakin Azmin dapat melaksanakan tugas dengan baik dan jaya. Jangan merasa malu atau terhasut dengan pihak musuh yang akan memperli Azmin kalau dia menerima tawaran Exco. Sudah menjadi kerja musuh akan cuba melaga-lagakan Azmin dengan Khalid dan meremehkan Azmin kerana dengan cara itu ia boleh melemahkan PKR.

Sekiranya Khalid tidak melupai Azmin dan Azmin pula sedia berkerja dengan Khalid dalam kerajaan, kedudukan kerajaan Selangor akan kuat dan sudah pasti ia akan menambahkan lagi kecemerlangan kerajaan Selangor. Dan pilihan raya ke 14 nanti PKR akan menang semua kerusi dipertandingkan. [wm.kl.9:16 pm 14/05/13]

2 comments:

akulah69 said...

Beker krn Allah SWT untuk tunaikan tgggjwb kpd rakyat. Kroni penting ttp jgn keterlaluan hingga ada unsur penyelewengan dan rasuah... Paduan Khalid dan Azmin, klu masing2 bekerja krn Allah utk bantu rakyat insyaallah Selangor terus kekal di bawah PR.

zunaida ahmad said...

Bila dalam Kerajaan kerja hanyalah untuk rakyat, penyokong parti hanyalah sebahgian dari rakyat, jangan lebihkan, samaratakan antara penyokong dan rakyat. Jika tidak anda akan jadi macam BN.