Wednesday, October 10, 2007

Susupan Pagi

Tahniah Dr Sheikh Muszaphar dan Tahniah Malaysia

MSO

SEBELUM ini bila disebut angkasa lepas kita hanya kenal dan teringat nama Mejar Yuri Gagarin. Segala selain daripada itu kita tidak faham dan mengerti banyak mengenai angkasa lepas. Nama Yuri Gagarin angkasawan Russia mencatat sebagai manusia pertama menjejaki kaki ke angkasa tanggal 12 April 1961.

Sejak itu gahlah nama Mejar Yuri Gagarin dan Russia sebagai orang dan negara yang mendahului negara-negara lain termasuk Amerika Syarikat. Nama Yurin Gagarin disebut dan gambarnya yang lengkap berpakaian baju angkasa menghiasi buku-buku sejarah di sekolah termasuk di negara kita.

Selama 48 tahu lalu kebanyakan kita tahu mengenai angkasa itu sebagai dunia kedua selepas dunia fana ini. Kita hanya faham corak dan gaya kehidupan di sana berbeza daripada apa yang kita lalui di sini. Setengah kita pula tidak mempercayai manusia boleh bergerak dan hidup di angkasa yang mereka sifatkan di angkasa itu sebagai sebahagian siramultaha – alam ghiab.

Mungkin waktu itu untuk memasang angan-angan pun untuk ke sana tidak pernah wujud dalam diri kita. Tetapi peredaran masa dan zaman, hasil kemajuan negara dan kegigihan pemimpin negara akhirnya membawa kita turut berfikir lebih serius ke arah itu.

Ilham Mahathir

Cita-cita untuk mengikuti jejak Russia atau Mejar Yurin Gagarin mula tumbuh dalam jiwa pemimpin kita yang berpandangan jauh. Projek untuk menawan angkasa yang dikenali Projek Angkasa mulai diritis sejak tahun 2003 ia merupakan ilham bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Mungkin bagi sesetengah orang melihat projek ini sebagai satu pembaziran kerana ia memerlukan biaya yang banyak. Selalunya orang yang berfikiran sempit dan prejudis dengan hal-hal kemajuan tidak bersetuju dengan projek berkenaan sehingga ada yang menyinis projek itu sebagai melancung ke angkasa. Biarlah si Luncai terjun dengan labu-labunya!

Sebaliknya mereka yang berfikiran jauh dan mempunyai semangat untuk bersaing dan meletakkan darjat bangsa di tempat tinggi dan setanding dengan negara maju lain akan menerima dan berbangga dengan projek berkenaan.

Kemampuan bangsa dan negara kita untuk turut sama berada di sana membuat kajian mengenai alam angkasa dan dunia sains, menjadikan negara kita akan duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain. Atau setidak-tidaknya kita tidak akan menjadi orang buta yang mentafsir gajah mengikut firasat sendiri apabila orang bercakap mengenai dunia angkasa lepas.

InsyaAllah jam 9.21 malam ini, 10 Oktober 2007 seorang rakyat Malaysia berbanga Melayu Dr Sheikh Muszaphar Sukor akan mewakili kita semua untuk memulakan penerokaan dan melakari sejarah baru negara apabila beliau akan berlepas ke Setesen Angkasa Antarabangsa (ISS) yang terletak 333 kilometer dari muka bumi.

Sheikh Muszaphar, 35 seorang doktor bedah ortopedik di HUKM akan berlepas bersama Komander Peggy Whitson dari Amerika Syarikat dan jurutera penerbangan Yuri Malenchenko dari tapak pelancaran Baikonour Cosmodrome.

Dr Sheikh Muszaphar akan berada di angkasa selama 10 hari dan akan kembali ke bumi pada 21 Oktober.

Sama-samala kita doakan semoga segala perjalanan dan proses perlepasan akan berjalan lancar dan selamat. Syabas kepada Malaysia, syabas kepada bangsa Melayu dan syabas kepada Sheikh Muszhapar. [wm.kl 8:45 am 10/10/07]

Pendedahan

Wakil Rakyat Kelantan Tusuk Bini di Kuala Lumpur!

KATA orang berkupiah bukan bererti lebai, berjuban serban bukan pula bererti guru. Manusia memang hipokrit dan sanggup melakukan apa saja untuk melindungi perbuatan busuknya tanpa memikirkan apakah perbuatan itu baik atau tidak. Itulah manusia ia tidak terkecuali dari kelompok mana mereka itu. Kadang kala kita terpedaya dengan sikap dan perangai manusia ini.

Suatu kejadian yang mengejutkan dan sukar untuk dipercayai, seorang wakil rakyat dari negeri Kelantan telah melakukan perbuatan bertentangan dengan perwatakannya apabila beliau telah berkahwin serorang lagi secara senyap dan diluar pengetahuan isterinya.

Apa yang mengejutkan wakil rakyat berkenaan bukan saja menyembunyikan isterinya itu dari pengetahuan isterinya tetapi turut sama 'mengurung' isteri barunya itu di sebuah apartment sejak hampir setahun lalu.

Wakil rakyat berkenaan yang juga merupakan pemimpin tertinggi dalam partinya dan seorang yang dikatakan bersih mendatangi isterinya di hujung minggu saja, hari Sabtu dan Ahad manakala hari-hari lain beliau berada di Kota Bharu.

Perdayakan isteri

Kesibukannya dalam mengurus parti telah diambil kesempatan untuk memperdayakan isterinya bagi membolehkan beliau menambah satu lagi 'cawangan'.

Pernikahan rahsia wakil rakyat berkenaan masih belum terbongkar sepenuhnya namun kawan-kawan rapatnya sudah dapat menghidu bau perbuatannya. Beberapa kawan rapatnya ada kepentingan dalam perniagaan dikatakan telah menjadi perunding dan pemegang rahsia pernikahan itu.

Mereka ini juga secara tidak langsung menjadikan rahsia perkahwinan itu untuk mengugut wakil rakyat berkenaan melayan permohonan mereka bagi mendapatkan sesuatu di Kelantan termasuk juga beberapa projek atas nama untuk kepentingan rakyat.

Apartment yang menjadi persembunyian isteri kedua wakil rakyat itu terletak di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Sebuah kereta berwarna hitam juga disediakan oleh wakil rakyat berkenaan untuk menyenangkan beliau bergerak bagi menemui isterinya yang dikatakan bukan berbangsa Melayu. Kereta berkenaan sering dilihat keluar masuk ke apartment berkenaan terutamanya dihujung minggu.

Tengah malam

Bagi mengelirukan rakan-rakan separtinya, beliau akan mendaftarkan untuk menginap di hotel terletak di Jalan Sultan Ismail, sebaliknya akan meninggalkan hotel berkenaan menjelang tengah malam. Bagi mengelirukan rakan-rakannya semua pertemuan dengan rakannya di adakan di hotel berkenaan ataupun di perjabat partinya yang tidak jauh dari hotel berkenaan.

Selalunya beliau menemui isterinya itu selepas selesai perogram parti.

Isteri pertama wakil rakyat berkenaan masih belum mengetahui secara sahih mengenai kewujudan madunya itu, tetapi sudah mengsyakinya apabila wakil rakyat berkenaan lebih kerap ke Kuala Lumpur berbanding dengan rakan-rakan sejawatnya yang lain, dan ada kalanya meninggalkan program parti yang diadakan pada hari Sabtu dan Ahad.

Isteri pertama wakil rakyat berkenaan beberapa kali telah mengalami stres dan mengamuk yang ada kaitan dengan perkahwinan sulit itu. Untuk mengabui masalah yang dihadapinya wakil rakyat berkenaan memberi tahu orang konon isterinya terkena buatan orang.

Perbuatan wakil rakyat berkenaan juga sungguh menghairankan kerana ia seolah-olah cuba melindungi perkara yang halal dan mendedahkan perkara yang benar. Islam membenarkan seseorang lelaki yang sasa dan bertenaga untuk berkahwin lebih daripada satu sampai empat pada satu-satu masa. Pendedahan secara terus terang akan dibuat tidak lama lagi sekiranya keadaan memerlukan! [s alam 3:10 am 10/10/07]

Tuesday, October 9, 2007

Ulasan Isu

Wanita Umno Yang Lebih Geger Daripada Pemuda

MSO

KETIKA Pemuda Umno senyap tupas, tiba-tiba politik Wanita Umno beralun dan berombak dalam cawan. Sebabnya sikit saja, kerana Ketua Umno Bahagian Cheras menyatakan sokongan kepada bekas Puteri Umno Azalina Othman Said sekiranya Azalina berhasrat nak tanding Ketua Wanita.

Syed Ali Alhabshee hanya menyatakan pandangan dan pendiriannya. Menurut pengamatannya , Azalina seorang ahli politik berani dan berprinsip. Atas kepercayaan itulah merurut Syed Ahli Alhabshee Azalina mampu untuk ditonjol ke atas.


Bagi beliau mungkin sudah wajar Rafidah yang sudah berumur 61 tahun berundur dan tempatnya ditukar dengan wanita yang lebih sihat dan cergas seperti Azalina.

Walaupun umum tahu Syed Ali Alhabshee berada dalam keadaan tidak senang dengan Rafidah ekoran pergaduhan dengan orang kuat Rafidah, Faridah Abu Hassan (Penolong Setuasaha Pergerakan Wanita), namun rasanya Syed Ali tidak melontaran pandangan itu kerana dendam, melainkan beliau melihat kewibawaan Azalina untuk memimpin wanita Umno di masa hadapan.

Kejayaan Azalina yang mewujudkan Puteri Umno yang kemudian menjadi wangian memancing semangat orang untuk berjihad dalam Umno mungkin dijadikan sandaran dan hujah unuk Syed Ali juga memberi pandangan demikian.

Membuat persiapan

Nampaknya cadangan Syed Ali itu menyebabkan wanita Umno bergelombang dan Rafidah sudah jadi tidak senang duduk. Walaupun beliau menganggap isu itu sebagai remeh, namun yang jelas kata-kata Syed Ali itu menganggui tidurnya menyebabkan beliau akan mula membuat persiapan selepas ini.

Sekurang-kurangnya kalau sebelum ini Rafidah boleh senang lenang bermain dengan cucu dan cicitnya, tetapi kini beliau terpaksa mengorbankan masanya untuk bermesra dengan keluarga kerana kena memerhati gerak langkah Azalina sekiranya beliau masih berhajat untuk memegang jawatan itu.

Dalam politik idea seperti dilemparkan Syed Ali itulah paling tidak digemari. Kerana apabila sudah ada yang memulakan tentu adalah yang akan mengikut dan memberi komen mengenai hal itu.

Rafidah mulanya enggan melayan isu itu, beliau bermaksud Azalina remeh dan kecil di birai matanya. Namun apabila beliau bercakap dan mengomennya hal yang remeh tidak akan menjadi remeh lagi sebaliknya mauduk itu tidak akan lekang dari mulut wanita.

Apabila beliau mengatakan tidak sempat baca berita itu dan tidak pun tahu mengenainya, itu menunjukkan beliau sudah mula memberi fokus kepada isu itu. Adalah mustahil beliau tidak mengetahui mengenai hal itu. Nampaknya Rafidah cuba menipu dirinya sendiri.

Sebaik Syed memberi pandangan itu kepada media, malam itu juga berita itu sampai ke telinga Rafidah. Sudah pasti intelegent dan SBnya sudah memaklumkan kepadanya saat itu juga.

Rafidah tidak boleh melindungi akan kegelisahannya. Beliau harus merasa mencabar dengan apa yang bakal berlaku. Sekiranya Azalina benar-benar ingin mencabarnya, Rafidah perlu menyiapkan diri selengkap mungkin. Berhadapan dengan Azalina mungkin tidak sama semasa berhadapan dengan Siti Zaharah Othman tahun 1996. Azalina bukan sembarangan orang dia pernah sampai ke Base Camp di di Everest.

Meninggalkan wanita

Hakikat yang Rafidah kena terima ialah, beliau sudah terlalu tua dan terlalu lama memimpin wanita. Eloklah kalau beliau meningalkan wanita dan serahkan kepada muka baru yang mempunyai idea dan wawasan. Lagipun tidak elok kalau beliau menongkat diri dengan Wanita.

Kalau ditanya apa yang beliau lakukan kepada wanita, mungkin beliau mempunyai seribu jawaban dan buktinya. Tetapi kalau dilihat dari segi realitinya, tidak ada apa perjuangan dan yang diperjuangkan Rafidah untuk wanita Malaysia.

Kedudukan beliau di situ tidak lebih daripada menggunakan pergerkan itu bagi mengekalkan pengaruh dan mengukuhkan hegemoni politiknya sahaja.

Bagaimana pun sesuatu yang Menteri Belia dan Sukan itu kena ingat, Rafidah adalah bagaikan tunggul keramat dalam Wanita. Beliau mempunyai ramai teman dan cukup penglaman dalam berhadapan dengan wanita dan ini tidak ada kepada Azalina. Yang tentunya para Exconya hari ini adalah penyokong kuatnya.

Beliau harus hati-hati sebelum rasa terpanggil dengan pandangan dan cadangan ketua Umno Bahagian Cheras itu. Kalau beliau tidak berhati-hati beliau boleh menangis di tengah jalan.
Kecuali Azalina sudah ada green light daripada Presiden Umno, Abdullah Ahmad Badawi maka beliau boleh mencuba nasib untuk memahkotakan dirinya daripada pernah menjadi puteri kepada permaisuri Wanita Umno Malaysia pula selepas ini.

Kesimpulannya apa yang menarik dalam Wanita Umno hari ini menggambarkan pergerakan itu jauh ke hadapan berbanding pegerakan Pemuda Umno. Jelas wanita Umno lebih berani daripada pegerakan yang semuanya sudah jadi pondan dan bakut, tidak berani untuk bersuara bagi mencabar Niab Ketuanya, hanya kerana Naib Ketuanya Khairy Jamaluddin menantu kepada seorang Perdana Menteri. [wm.kl 8:35 am 09/10/07]

Rencana Khas

SPR Perlu Kenal Pasti:
Kenapa 4 Juta Tidak Daftar Sebagai Pengundi

MSO

JUMLAH 4 juta warga negara ini kebanyakan Melayu berasal dari bandar yang layak mendaftar sebagai pemilih tetapi tidak berbuat demikian adalah satu angka yang besar dan ia suatu kerugian kepada bangsa Melayu.

Kalau berdasarkan jumlah pengundi pada tahun 2004, terdapat beberapa buah negeri yang jumlah pengundinya kurang sejuta. Misalnya jumlah pengundi Kelantan, 662,722, Terengganu, 455,924, Pahang 570,126, Perlis 122,482 dan Kedah 821,901.

Kesemua pengundi di empat negeri berkenaan belum melebihi 4 juta, ia baru berjumlah 2,623,155. Ini bermakna sekiranya 4 juta yang tidak daftar itu semuanya berdaftar di negeri-negeri berkenaan, dan kebetulan pula mereka menolak BN, bermakna negeri-negeri itu akan terlepas kepada pembangkang dengan mudah.

Hakikat jumlah itu bukan kecil, ia menyumbangkan kira-kira lebih 39.22% daripada kesemua jumlah pengundi yang layak mengundi pada masa ini iaitu kira-kira sebanyak 10.2 juta.

Daftar diri

Megapa berlaku demikian? Apakah sudah wujud ketidakpercayaan di kalangan generasi muda (rakyat negara ini) terhadap pilihan raya di negara ini? Atau mereka tidak mendapat maklumat dan pengetahuan betapa pentingnya mereka mendaftarkan diri untuk menjadi pemilih dalam sebuah negara demokrasi?

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman (foto) tidak memberi jawaban kepada permasalahan itu ketika mengumumkan angka berkenaan, sebaliknya menjelaskan kebanyakan mereka yang tinggal di bandar dan terdiri daripada kalangan Melayu. Beliau juga menyebut tidak ada langkah untuk mewajibkan mereka yang cukup umur untuk mendaftar sebagai pengundi kerana ia mungkin akan membawa kepada impak mewajibkan pengundian pula.

Apabila bilangan mereka kebanyakannya di bandar ini bermakna mereka itu berpelajaran dan mustahil tidak tahu akan kepentingan dan hak-hak mereka dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia. Dan amatlah mustahil kalau mereka tidak pernah tahu bahawa sistem pemerintah negara ini dibentuk secara demorkasi berparlimen di mana wakilnya dipilih oleh rakyat dan mereka dialu-alukan agar mengambil bahagian.

Dan tidak mungkin mereka tidak tahu peranan dan fungsi sebagai pemilihan serta kewajiban mereka sebagai warganegara dalam menentukan masa depan negaranya sendiri.

Kalau hal-hal demikian berlaku kepada masyarakat Orang Asli yang tinggal jauh di pedalaman di Kuala Betis, Gua Musang ataupun di Ulu Tembeling, Pahang yang miskin maklumat ia ada munasabahnya. Ironisnya Orang Asli hari ini semuanya sudah didaftar dan tahu menggunakan hak mereka dalam pilihan raya.

Disebabkan angka itu besar dan merugikan kuasa penentu Melayu amatlah wajar kalau SPR dan parti-parti politik membuat kajian mengenal pasti untuk mengatasi fenomena yang ganjil dan anih itu. Tidak seharusnya mereka dibiarkan begitu saja tanpa memberi penerangan dan kempen kepada mereka.

Sebab dan faktornya perlu dicari kenapa mereka liat untuk mendaftarkan diri sebagai pemilih dan seolah merasakan pilihan raya tidak penting dalam hidup mereka. Yang pastinya ada sebab dan hambatan mengapa mereka bersikap demikian. Tidak mungkin mereka saja-saja melupai kewajiban yang dimaktubkan dalam perlembagaan itu.

Generasi muda

Di sini jika di telitikan secara umum kepada perkembangan dan suasana demokrasi di negara ini mungkin ia menjadi penyebabkan kepada sikap 4 juta warganegara yang berhak menjadi pemilih yang kebanyakannya generasi muda yang lahir selepas 15 atau 20 tahun merdeka. Antara faktornya yang memungkinkan ialah;

1. Merasakan mereka tidak penting dalam proses pemilihan pemimpin dan pembentukan Kerajaan hari dan menganggap proses itu adalah urusan orang dewasa.

Mungkin golongan ini merasakan mereka tidak penting dan urusan mentadbir negara adalah kerja orang dewasa. Sikap ini timbul kerana mereka kurang faham dengan tata cara sesebuah negara demorkasi dan proses pemilihan pemimpin.

Mereka mungkin beranggapan mereka tidak berhak kerana tidak menyertai parti politik. Ramai anak muda hari ini tidak berminat atau mengambil hirau kepada politik. Realiti kehidupan liberal dan mereka lebih kepada hiburan serta tidak mahu terikat dengan hala tujuan sesebuah parti politik atau pertubuhan menyebabkan mereka tidak minat untuk berpersatuan ataupun bersiasah yang natijahnya menyebabkan mereka buta mengenai politik dan kepentingannya kepada bangsa dan negara.

Apabila mereka tidak menyertai mana-mana pertubuhan atau organisasi politik yang bakal memandukan kehidupan mereka menyebabkan mereka jadi tawar hati atau kurang minat kepada politik di mana kesannya menyebabkan mereka tidak mahu mendaftarkan diri untuk menjadi pemilih.

2. Berfikiran tanpa mereka pilihan raya tetap berjalan dengan baik dan negara masih selamat.

Kerana kurang tanggungjawab dan memahami kepentingan demokrasi menyebabkan mereka merasakan tanpa mereka pilihan raya mampu berjalan lancar dan tidak pincang kerana mereka.
Satu kesalahan

Mereka juga merasa tidak terbeban ataupun bimbang kalau tidak mengundi kerana ia tidak menjadi satu kesalahan sehinggakan dihukum.

Kenapa timbul fikiran demikian kerana mereka tidak tahu betapa pentingnya kuasa undi yang ada kepada mereka. Dengan satu undi mereka akan menentukan ke arah mana negara hendak dibawa dan siapa bakal memimpin mereka.

Golong yang berfikiran seperti ini, bersikap individualistik mereka tidak kisah ke mana negara mereka hendak dibawa dan golongan atau parti mana yang mentadbir negara.

3. Berpendapat kalau mereka menyertai pilihan raya ia tidak akan memberi apa-apa kesan dan berlaku apa-apa perubahan.

Mereka berfikiran begini kerana menyedari bahawa demokrasi di negara ini tidak adil, penuh penipuan dan tidak telus. Betapa kalau mereka bersungguh disebabkan parti pemerintah mempunyai peluang dan ruang untuk memanipulasikan pilihan raya, menyebabkan pembangkang tidak akan ke mana. Bagi mereka menyertai pilihan raya yang sebegini merugikan masa sahaja.

Itulah antara tiga faktor dirasakan kenapa golongan muda tidak mendaftarkan diri sebagai pemilih.

Seperti mana dijelaskan tadi, mereka tidak boleh dibiarkan begitu saja. Mesti ada usaha untuk membawa mereka ke pusat-pusat pengundian. Hak dan kewajiban yang ada kepada mereka cukup penting dan perlu dihormati dan dimanfaatkan.

Seperti mana saran SPR agar parti-parti politik hendaklah berganding bahu memberi penerangan dan mengajak mereka agar mendaftarkan diri sebagai pemilih, tidak boleh dipandang enteng.

Selain daripada itu, dan ini penting, SPR hendaklah menyakinkan kepada mereka bahawa proses pilihan raya dan demokrasi negara ini cukup penting dalam menentukan hala tuju dan masa depan sistem pemerintah negara ini.

Merugikan masa

SPR kena yakinkan proses itu berjalan dengan telus dan adil sehinggakan tanggapan kononnya menyertai pilihan raya sebagai formaliti sahaja merugikan masa tidak wujud dalam minda mereka. Dan sekiranya ada cacat cela dalam proses pilihan raya itu jelas, SPR hendaklah berusaha mengatasinya sehinggakan ia menyakinkan orang ramai bahawa SPR bertindak adil dan saksama sejajar dengan peranan dan tangungjawabnya selaku sebuah suruhanjaya bebas.

Sekiranya langkah dan pendekatan itu diambil, sudah pasti ia akan memberi kesedaran kepada generasi muda untuk mendaftarkan diri sebagai pemilih. Mereka akan merasa bahawa undi yang ada kepada mereka penting bagi menentu dan mencorakkan masa depan mereka sendiri.

Lebih pentingnya mereka akan tidak merasakan penyertaan mereka dalam pilihan raya sebagai sia-sia dan membuang masa saja disebabkan kewujudan kepincangan di dalam institusi itu selama ini yang sedikit sebanyak mungkin menjadi penyebab kenapa mereka enggan menyertai pilihan raya. [wm.kl 11:30 08/10/07]

Sunday, October 7, 2007

Susupan Pagi

Pemuda Wangsa Maju Bergolak:
Norza Dikenakan Memo!

BERITA yang lewat diterima malam tadi ialah mengenai pergolakan Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Wangsa Maju, di mana ketuanya Norza Zakaria sedang menghadapi api kemarahan ahli-ahlinya. Sebahagian besar ketua-ketua cawangan Pemuda dikatakan sedang menghala senjata ke arah Norza.

Berita ini sungguh mengejutkan. Bagaimana seorang ketua yang dikatakan cukup popular, baik, dermawan dan mempunyai hubungan intim dengan Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang bakal menjadi Ketua Pemuda Umno Malaysia boleh berhadapan dengan situasi sebegitu.

Menurut empunya cerita, keadaanya agak kritikal apabila 35 daripada 41 cawangan pemuda di Wangsa Maju sedang menyiapkan satu memorandum mengenai Norza untuk diserahkan kepada Ketua Pemuda Hishamuddin Hussein.

Apabila perkara itu sudah sampai ke peringkat Hishamuddin, ia bermakna isu berkenaan berat dan teruk.

Difahamkan ada tiga perkara besar yang menjadi intipati memorandum berkenaan.

Pertama, membantah dan menegur sikap Norza (foto) yang dikatakan tidak mempedulikan Pemuda Wangsa Maju. Norza tidak memanggil mesyuarat ahli jawatankuasa selama satu tahun setengah. Keadaan ini menyebabkan Pemuda Wangsa Maju tidak berbuat apa-apa aktiviti baik untuk kepentingan parti maupun masyarakat Wangsa Maju.

Kedua, membantah dan memeprsoalkan sikap Norza yang tidak menjadikan oragnisasi Pemuda Bahagian Wangsa Maju sebagai penting ataupun selaku wadah perjuangan orang Melayu di Wangsa Maju. Beliau juga tidak memberi reaksi dan mempedulikan teguran dan pandangan ketua-ketua cawangan Umno Wangsa Maju.

Ketiga, beliau juga dikatakan tidak meletakakan dirinya dan pemuda bahagian Wangsa Maju sebagai wadah membela rakyat. Di mana kehadiran Pemuda langsung seolah tidak disedari rakyat dan tidak boleh dijadikan payung tempat berteduh orang Melayu.

Selain itu memorandum itu juga mempersoalkan kredibiliti Norza selaku ketua dan tokoh gah di Wangsa Maju namun gagal atau tidak serius berusaha mengambil semula kerusi Parlimen Wangsa Maju yang diserahkan kepada MCA untuk ditandingi Umno pada pilihan raya akan datang.

Difahamkan draf memorandum itu telah pun disampaikan Khairy Jamluddin dua hari lepas mungkin untuk pemakluman dan juga mendapat pandangan Khairy, sebab Khairy adalah orang yang dikatakan bertanggungjawab meletakkan Norza di Kementerian Kewangan selaku Setiuasaha Politik kepada Menteri Kewangan Ke-2.

Bagaimana pun Kahiry dikatakan tergelak menerima draf itu dan seolah-olah bersetuju memorandum itu diserahkan kepada Hishamuddin Hussein.

Apakah makna dan erti ketawa Khairy itu? Apakah tanda beliau bersutuju sebagai isyarat kepada ketua-ketua cawangan yang tidak senang dengan Norza itu tidak meneruskan hasrat mereka menyerahkan memorandum itu kepada Hishamuddin atau pun isyarat terus menganggu kedudukan Norza?

Sama-samalah kita tunggu perkembangan di Wangsa Maju, apakah tindakan 31 cawangan Ketua Pemuda itu berterusan ataupun memorandum itu tersekat di kaki Khairy Jamaluddin saja dan selepas ini ia menjadi makanan tong berwarna hitam yang ada di sudut-sudut dapur atau di luar pagar di hadapan rumah! [wm.kl.6:45 07/10/07]

Padang Ke Dalam

Jadikan BN Sebagai Sebuah Parti Untuk Hapuskan Melayu?

MSO

ISU-ISU berhubung kepentingan kaum Cina negara ini terus dibangkit dari masa ke semasa. Ia pula semacam bersambungan dan tidak mudah mati. Ia dibangkitkan bergilir-gilir atau secara sepakat oleh parti-parti Cina, MCA dan Gerakan dan sesekali disokong secara senyap dan secara understanding oleh DAP.

Pembangkitan ini menerusi forum atau persidangan parti seolah mekanisma yang diwujudkan (Barisan Nasional) bagi mencari persefahaman dan perpaduan tidak boleh dipakai. Seolah tidak ada kepercayaan atas ketelusan kerajaan yang ditulangi Melayu dalam menjaga kepentingan kaum lain di negara ini.

Semasa kongres parti MCA tidak lama dulu beberapa isu berhubung kepentingan langsung dengan kaum itu dibangkitkan oleh para perwakilan serta turut sama disentuh oleh presiden parti menerusi ucapan dasarnya. Setengah isu itu ada menyentuh kepekaan dan tanggungjawab kerajaan.

Desakan

Antara isu yang ditimbulkan itu ialah mengenai bahasa Mandarin yang ingin dimartabatkan setanding dengan bahasa Malaysia (Melayu). Parti itu mendesak agar soalan peperiksaan UPSR diadakan dalam bahasa Mandarin. Desakan itu menjelaskan betapa MCA mengambil berat terhadap bahasa ibunda mereka.

Manakala Presiden MCA, Ong Ka Ting pula semasa ucapan dasarnya meminta dan merayu agar projek di bawah syarikat GLC turut diberikan (dibuka tander) kepada bukan Bumiputera. Alasan yang diberikan kontraktor Cina juga ingin merasai nikmat DEB setelah 50 tahun negara merdeka.

Kenyataan itu seolah orang Cina selama ini dinafikan hak mereka untuk sama-sama menikmati hasil kemerdekaan negara. Seolah-olah segala macam kekayaan dan nikmat kemerdekaan ditelan oleh bangsa Melayu saja.

Jika dilihat kesemua tuntutan dan desakan itu, roh dan natijahnya tidak menggambarkan ianya untuk kepentingan nasional melainkan untuk kepentingan satu kaum saja. Tuntutan-tuntutan seperti itu muncul dari masa ke semasa dan sangat menganggui pemikiran kerajaan. Sebab kalau orang luar mendengarnya seolah Melayu negara ini begitu mewah sementara kaum lain (Cina) begitu miskin dan dianak tirikan.

Terbaru, isu yang mengenai kepentingan kaum Cina ditimbulkan pula oleh Gerakan. Dalam Persidangan Perwakilan Nasional parti itu yang berlangsung dua tiga hari lepas telah mengemukakan 11 resolusi antara lain ialah meminta kerajaan memberi bantun penuh kepada sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil.

Tuntutan

Sebenarnya tuntutan itu tidak pernah berhenti. Ia seolah orang Cina tidak faham mengenai perbezaan dan kepentingan sekolah Jenis-Jenis Kebangsaan dengan Sekolah Kebangsaan. Mereka seakan dengki apabila sekolah Kebangsaan mendapat bantuan penuh manakala sekolah Jenis-Jenis Kebangsaan sebaliknya.

Mereka seolah buat-buat tidak faham tentang dasar pendidikan negara ini dan dalam menyalurkan bantun ke sekolah-sekolah berkenaan. Mereka seolah buat tidak tahu bahawa sekolah Kebangsaan itu adalah kepunyaan semua kaum di negara ini dan bukan khusus kepada satu kaum saja seperti sekolah Jenis-Jenis Kebangsaan yang khusus kepada Cina dan India saja. Perlu diingat tidak ada sekolah Jenis Kebangsaan Melayu!

Jika mereka memahami hakikat itu mereka tidak payah berusah untuk mendapatkan hak yang sama lagi. Sebaliknya kalau kerajaan memenuhi tuntutan itu, ini bermakna kerajaan pula sudah bersikap tidak adil kerana mengistimewakan sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan itu kerana ia dimonopoli satu kaum saja.

Tuntutan dan desakan itu menjelaskan bahawa kaum Cina mementingkan kaumnya saja dan tidak cuba berkorban untuk mewujudkan perpaduan nasional dan memahami dasar pendidikan negara.

Liberal

Begitu juga dalam bidang ekonomi dan peluang-peluang perniagaan. Parti orang Cina itu masih mendesak agar kerajaan mewujudkan suasana liberal dalam perniagaan. Apakah maksud suasana liberal itu? Ia adalah bermaksud memberi peluang kepada bangsa itu seperti mana diberikan kepada bangsa Melayu. Tampaknya orang Cina masih lagi berusaha dan mempertikaikan apa yang telah dipersertujui sebelum ini.

Jelas berdasarkan hakikat itu kaum Cina tidak pernah diam daripada terus memperjuangkan kepentingan kaumnya. Kita tidak salahkan keadaan ini, tetapi janganlah apabila Melayu menerusi Umno memperjuangkan hak dan kepentingan bangsanya, bangsa lain menjadi gelisah dan irihati.

Apapun perkara yang dilihat besar dan merupakan satu idea yang begitu halus boleh membahayakan politik dan kepentingan Melayu ialah cadangan yang dilontarkan oleh Ketua
Pemuda Gerakan, Mah Siew Kong yang mencadangkan agar 14 parti-parti dalam BN digabungkan menjadi sebuah parti. Alasan beliau bagi mewujudkan perpaduan nasional.

Gabungan

Apakah tujuan Siew Kong melontarkan idea demikian? Apakah beliau merasakan BN gagal mewujudkan perpaduan nasional dan mereka tidak mendapat sepenuhnya dari maufakat itu? Ini bertentangan dengan dakwaan pemimpin komponen itu yang sangat mengagungkan gabungan itu sebagai terbaik dan berjaya mewujudkan perpaduan nasional.

Harus difahami oleh para pemimpin parti Melayu bahawa secara senyap dan penuh sistemetik ada usaha oleh pihak tertentu mahu menghapuskan perkataan Melayu. Golongan ini tidak mahu perkataan Melayu wujud di mana-mana institusi atau diletakkan pada status tertinggi.

Mereka mahu menghapuskan perkataan Melayu itu kerana apabila ianya sudah hilang maka akan lenyaplah juga semangat dan wajah Melayu. Mereka ini sangat suka kalau Melayu ini ditukar menjadi Malaysia kerana mereka bisa menyelit di dalam nama baru bersifat nasional itu.

Perjuangan menghilang dan menghapuskan perkataan Melayu (bangsa) ini bukan saja dari Gerakan dan MCA tetapi ia juga turut sama direstui oleh DAP. Sebab itulah apabila ada menteri berketurunan mamak membuat pertukaran bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia mereka diam dan tidak mempertikaikan kerana ia memberi kebaikan kepada mereka.

Mereka tahu pertukaran itu akan mengikis identiti dan semangat Melayu dan lama kelamaan ianya akan hilang. Pertukaran atau penghapusan perkataan Melayu – semangat, budaya dan tradisi sungguh mengutungkan mereka, mereka akan merasakan tidak lagi berhadapan dengan benteng Melayu yang selama ini seolah menyekat langkah mereka.

Tidak ingat

Apa yang nampak apabila diwujudkan parti bernama BN, maka akan hilang parti yang menggunakan perkataan Melayu iaitu Umno. Lama kelamaan orang tidak akan ingat lagi kepada Melayu dan semuanya berfikir secara Malaysia.
Itulah tujuan disebalik cadangan itu.

Betapa kalau Umno sudah tidak ada. Maka akan hilanglah perkataan Melayu dan akan hilanglah parti Melayu. Perlu diingat Umno adalah satu-satunya parti Melayu tulen yang memperjuangkan Melayu dan nasionalisme.

Walaupun Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) didominasi oleh Melayu namun ia tidak setulen Umno dalam memperjuangkan hak-hak dan kepentingan Melayu. Pas lebih mirip kepada perjuangan sejagat Islam, manakala PKR pula parti berbilang kaum dan memperjuangan aspirasi dan agenda semua kaum.

Pas dan PKR tidak boleh dianggap sebagai parti Melayu. Suka tidak suka, kalau orang Melayu mahu melihat orang Melayu mempunyai parti untuk bangsanya,Umno adalah sebagai landasannya.

Suka tidak suka, benci atau tidak Umno adalah parti Melayu. Umno memperjuangkan Melayu berdasarkan, matlamat penubuhannya untuk membela dan menjaga kepentingan Melayu. Soal hari ini Umno tidak boleh diharap atau menyeleweng itu soal lain dan ianya disebabkan pemimpinnya yang sudah beluk dan tidak memiliki semangat Melayu tulen. Pemimpin berjiwa Melayu seperti Tengku Razaleigh Hamzah dan Sanusi Junid telah dikhianti oleh orang-orang Melayu Umno sendiri.

Bersendirian

Cadangan itu amat-amat bahaya kalau ia diterima dan menjadi kenyataan. Harus diingat di dalam komponen BN hari ini Umno hanya bersendirian berbanding dengan Cina yang mempunyai tiga parti, MCA, Gerakan dan SUPP. Begitu juga India, selain MIC kaum itu bernaungan di bawah PPP yang didominasikan oleh kaum India.

Sebenanrya di dalam BN hari ini Umno sudah menjadi yatim setelah Pas ditendang keluar dari BN tahun 1974. Apakah dengan keadaan yatim itu Umno mampu berhadapan dengan usikan dan gurauan kawan-kawannya itu yang ada kalanya agak melampau?

Pada hemat saya cadangan Ketua Pemuda Gerakan itu sesuatu yang serius dan membahayakan. Justeru pemimpin Umno terutamanya Pemuda harus bertindak seperti jauhari mengenal manikam di sebalik cadangan itu. Ia bukan boleh dianggap seagai satu idea semata-mata. Pemuda Umno harus menyelami maksud cadangan itu. Orang seperti Khairy Jamaluddin yang bakal mewarisi Pemuda harus sedar dan bingkas segera dalam menilai perkara ini.

Begitu juga dengan Dewan Pemuda Pas, hendaklah melihat cadangan itu bukan untuk tujuan seperti dimaksudkan sebaliknya ia ada niat tersembunyi. Sallahuddin Ayub harus berani memberi pandangan dan menjelaskan apakah maksud cadangan Ketua Pemuda Gerakan itu.

Apa kata dalam memberi reaksi kepada cadangan itu Pemuda Pas dan Umno sepakat pula membuat cadangan agar kedua parti itu Pas dan Umno bergabung untuk mewujudkan sebuah parti Melayu terbesar di negara ini. Kita mahu tengok apakah ulasan dan respons pihak-pihak tertentu atas cadangan itu kelak. [wm.kl 10:15 06/10/07]

Thursday, October 4, 2007

Rencana Khas

'Ahlan wasahlan ke Kelantan!

MSO

SELAMAT datang dan 'ahlan wasahlan diucapkan kepada tokoh-tokoh politik yang dijangka akan bertandang dan untuk bertanding di Kelantan pada pilihan raya umum akan datang. Hendaknya kedatangan mereka bukan kerana mencari tapak politik peribadi, melainkan atas nawaitu satu yang suci lagi bersih untuk menguatkan parti dan memperjuangkan Islam hakiki.

Walaupun politik Kelantan tidak asing kepada tokoh-tokoh migran, namun ingin dipesan dan diingatkan mereka hendaklah sedikit sebanyak harus mengenali budaya dan tardisi orang Kelantan. Singgah atau bermalam di Kelantan berbeza dengan bermukim dan bermastautin di laman Cik Siti Wan Kembang.

Misalnya mereka bukan saja harus pandai berbudi, tetapi perlu juga mengenali apa itu budu! Budi dan budulah akan mengeratkan kehadiran seseorang luar (politik) ke negeri Kelantan.

Selain itu mereka juga harus bukan saja melihat sikap lemah lembut Puteri Saadong, tetapi harus juga ada semangat Tok Janggut. Sekali lagi kedua sifat dan sikap ini harus ada kalau ingin berlama di Kelantan! Mereka juga bukan saja harus segak dengan kot dan baju Melayu tetapi sesekali perlu juga berkain palikat dan bersemutar dengan kain batik lepas bersembang di warung-warung kopi.

Menjadi hamba

Bagi orang Kelantan pula mereka mempunyai keunikan tersendiri dan ini hendaklah difahami benar-benar. Dan dalam banyak keunikan itu ialah mengenai sifatnya. Mudah mesra, setiakawan dan rela menjadi hamba. Sebab itulah di zaman Mohd Asri Muda dulu sering menyebut orang Kelantan kalau dia sayang kepada seseorang, ayam yang sedang mengeram pun akan disembelih untuk dijamu makan.

Sebaliknya bila dia sudah benci, usahkan bayang jumpa dengan tahinya pun akan dipukul dan dimaki hamun. Marahnya tidak mudah beradu ia menjadi dendam, dan kalau kena cara bukan saja di pimpin dan diiringkan, belakangnya pun ditahan untuk digendung! Buruk benarlah sikap orang Kelantan.

Khabarnya ada sekurang-kurang dua tokoh politik dari luar Kelantan yang sudah hampir pasti akan bertandang untuk dan bertanding di Kelatan pada pilihan raya akan datang di samping mengekalkan seorang tokoh yang sudah sedia ada. Mereka dihantar bukan saja-saja datang untuk mencari tempat dan ruang, seperti kata tadi atas niat hendak membantu perjuangan Pas Kelantan khususnya dan Malaysia amnya.

Dalam hubungan ini tentulah membantu memperkasakan Pas Kelantan, memberi idea dan juga teknik dan cara bagaimana untuk menyemaikan benih-benih Islam dan Melayu di Kelantan agar terus subur dan Kelantan kekal sebagai serambi Makkah walaupun sekarang dunia dilanda globalisasi.

Rasanya tidak perlu sesiapa mencurigai akan kedatangan mereka itu. Terimalah dengan sebaik mungkin seperti tamu datang ditanakkan nasi, musafir lalu di hamparkan sejadah dan bersolatlah bersama-sama. Walaupun Kelantan sudah cukup banyak tokoh-tokohnya namun kehadiran tokoh luar diharap akan dapat memberi kelainan dan semangat baru terutamanya dalam mengubah pendekatan, pemikiran dan budaya bekerja yang lebih mapan lagi.

Membantu kerajaan

Dua tokoh yang diura-ura itu ialah Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Presiden Pas dan Saifuddin Nasution Ismail, yang pada mana ini Pengarah Strategi dan Politik PKR. Nasharuddin tokoh 'futuristik' Pas dijangka akan bertanding di kerusi Parlimen Rantau Panjang bagi menggantikan Abdul Fatah Haron yang dikatakan akan bertanding di kerusi DUN Bukit Tuku. Penurunan Abdul Fatah itu adalah sebagai persiapan untuk membantu kerajaan Pas (sekiranya menang) selepas pilihan raya kelak. Fatah akan dilantik sebagai salah seorang Exco Kerajaan Kelantan.

Manakala Saifuddin Nasution pula akan bertanding di Parlimen Machang. Masih belum tentu apakah bekas Adun Lunas, Kedah itu bertanding menggunakan lambang PKR ataupun bulan. Seandainya Machang dijadikan kerusi pertukuran dengan Kota Bharu, milik PKR yang kini khabarnya akan diserahkan semula kepada Pas disebabkan ketidakmampuan PKR di Kota Bharu, maka sudah pasti Saifuddin akan bertanding atas tikit PKR.

Pun begitu tidak timbul masalah kalau Saifuddin bertanding menggunakan tikit dan lambang Pas. Saifuddin tidak asing dengan Pas bahkan di zaman remajanya dulu beliau adalah anak muda yang cenderung kepada perjuangan Pas. Langkah Saifuddin tersasau sedikit apabila beliau begitu taksub dengan kehebatan syarahan bekas Naib Presiden Pas Nakhaei Ahmad sehinggakan bila Nakhaei menukar kiblat Saifuddin turut sama tergeser arah!

Apapun persoalan itu tidak timbul di sini. Perkara paling peting ialah rakyat dan pengundi di kedua kawasan itu harus memahami kenapa mereka itu sanggup berkorban untuk bertarung di Kelantan dan diharapkan membawa risalah Islam di negeri itu. Mereka dihadirkan bukan kerana kepentingan peribadi mereka semata untuk menjadi ahli Parlimen, tetapi kerana ada sesuatu yang besar diharapkan daripada mereka beruda khusunya menyuburkan bobot politik Kelantan.

Kedua mereka adalah antara tokoh yang dikenali mempunyai idea dan wawasan perjuangan yang jelas dan mantap. Keduanya juga komited dengan Islam dan mempunyai sahsiah yang anggun dan bersih. Adalah sangat sesuai kalau mereka dipajakkan untuk Kelantan berapa tempoh. Hal ini terbukti, misalnya Nasaharuddin terpilih untuk menjadi Timbaan Presiden dalam usia belia di mana apa yang dicapaikan itu sebagai rekod kepada Pas. Belum ada Timbalan Presiden Pas semudah itu sebelum ini.

Sokongan dan semangat

Perubahan pemikiran dan pendekatan yang agak terbuka dan meletakkan Pas sebagai parti yang dinamik serta kurang ekstrim, sedikit sebanyak adalah hasil dari watak dan perwatakan Timbalan Presiden Pas itu. Contohnya kewujudan bangunan Pas di Jalan Raja Laut adalah atas sokongan dan semangat yang dilonjakkan oleh beliau. Kesediaan kaum bukan Melayu mendekati dan untuk mengenali Pas juga ialah kerana perwatakan Timbalan Presiden Pas itu.

Selain itu paling afdal ialah Nasharuddin adalah anak muda yang mempunyai sahsiah, ciri-ciri dan perwatakan, baik dalam percakapan, berfikir, bergaul yang sesuai dengan Pas sebagai parti Islam yang amat menekan kepada soal akhlak dan moral. Beliau juga mesra alam. Belum pernah terdengar Nasharuddin tidak tepat dalam janjinya ataupun bersikap lepas tangan dan suka menunding jari kepada orang lain bila ditekan masalah.

Demikian juga dengan perwatakannya yang optimistik dan berfikir secara bersistem serta penampilan bergaya oleh Saifuddin mencerminkan beliau seorang tokoh muda yang mempunyai wawasan dan concern dengan perjuangan. Watak-watak atau peribadi kedua tokoh itu amat sesuai dan ditagihkan dalam mengisi dan menambahkan rangkaian pemimpin yang sedaya dan setaraf mereka yang kini sudah ada di Kelantan seperti Mohd Amar Arshad, Takiyuddin Hassan dan lain.

Makanya rakyat dan pengundi di kedua kawasan itu wajar memberi kepercayaan dan menanti kehadiran mereka. Kehadiran mereka merupakan satu tuah dan rezeki politik yang sukar untuk dibayar dan dinilai. Apa lagi dalam Pas Rantau Panjang yang kekurangan tokoh yang bertaraf nasional dan profesional, memperolehi Nasharuddin kelak sebagai permata yang di letakkan atas dulang.

Bayangkan bagaimana kalau keduanya ditakdir berada dalam Parlimen selepas pilihan raya akan datang; Saifuddin yang terkenal sebagai seorang ahli politik yang sarat dengan statistik dan fakta, sementara Nasahruddin pula sarat dengan falsafah dan pratikal politik Islam dan hafiz mengenai syariah Islam, akan dapat memberi dan membawa satu maknikam besar kepada parlimen dan juga negara.

Sahsiah pemimpin

Nasharuddin yang pernah menjadi anggita Paelimen Yan, Kedah tahun 1999 telah membuktikan keupayaan beliau dan berjaya membawa sahsiah sebagai seorang pemimpin baru Pas di dalam parlimen dalam bentuk Islam yang moderate tanpa meninggalkan taradsi Islam yang menjadi pacang dan konsep perjuangan dan rupa diri Pas selama ini.

Saifuddin pula ketika menjadi Adun Lunas, Kedah bagaimana beliau telah menjadikan Menteri Besar Kedah ketika itu Syed Razak Syed Zain tidak senang duduk, dan menyebabkan anggota kerajaan menjadi panas punggung untuk berhadapan dan menjawab persoalan yang dibangkit oleh belau.

Sosok dan tokoh semacam mereka berdua inilah yang perlu ada dan perlu diberi ruang untuk menjadi jurucakap dan pembimbing bangsa. Mudahan sahaja kehadiran mereka menjadi kenyataan dan kehadiran itu juga akan membawa perubahan dan keberkatan.

Ingin dipesani sekiranya akhi-akhi berdua sudah singgah dan bermalam di bumi Kelantan hendaknya biarlah tidur sampai ke subuh, dan sesudah subuh jangan pula bersegera untuk pulang ke daerah kelahiran atas alasan untuk mengurai rindu kepada ibu dan ayah seperti berlaku sebelum ini. Ada kalanya berminggu-minggu meninggalkan kawasan. Apa yang pernah dilakukan dagang masa lalu tidak akan diulangi oleh tetamu baru ini! [wm.kl 10:55 03/10/07]

Wednesday, October 3, 2007

Follow-up

Kerawanan Hati Ismail Terubat

RASA terkilan seorang penternak kambing Ismail Yusuf, 53 dari Wakaf Che Yeh Kelantan apabila kambing jenis jamnapari yang diberikan kepadanya atas kesian belas seorang Exco Kelantan ditarik balik gara-gara cakapnya memperli Exco berkenaan kini terubat apabila beliau sudah mendapat seekor kambing jantan jamnapari sebagai ganti kambing yang dirampas balik itu.

Atas kesian belas seorang penternak kambing dari Kuala Lumour yang mengetahui kisah dialami Ismail itu (yang ditulis dalam blog ini sebulan lepas), kini mendapat kambing berkenaan dengan dikenakan bayaran separuh harga. Harga biasa kambing jamnapari pure itu ialah RM2,500.

Pengusaha kambing berkenaan sedih mendengar nasib dialami Ismail bila mana kambing yang diserahkan kepadanya terpaksa diambil balik kerana gara-gara Ismail yang buta huruf itu tersalah cakap mengenai batang tubuh orang yang memberikan kambing itu kepadanya.

Ismail juga yang menjadi kuli (sambilan), mencerut rumput untuk kambing-kambing Exco berkenaan telah dianugerahkan kambing itu untuk membantu eknominya oleh Exco berkenaan.

Bagaimana pun tiga dari kambing itu telah diambil kembali gara-gara Ismail telah tersalah cakap mengenai peribadi Exco berkenaan berhubung dengan hutang kambing yang dipesannnya tidak dibayar.

Exco berkenaan dikatakan telah memesan 1,500 ekor kambing dari seorang pengusaha di Kuala Lumpur untuk tujuan pembiakan tetapi disebabkan kononnya kambing itu dijual dengan harga mahal pembayarannya dilambat-lambatkan dan menjadi sebutan ramai.

Ismail yang tidak tahu menahu kedudukan itu sebenarnya telah menyunggutkan mengenai hal itu kepada seorang kawannya yang juga bekerja di rumah Exco berkenaan. Adalah dipercayai setelah mendapat maklumat daripada kawan Ismail itu menyebabkan Exco berkenaan naik berang dan mengarahkan agar kambing yang diberikan kepada Islam itu ditarik balik serta merta (macam kereta tak bayar ansuran saja bunyinya -P).

Dua ekor kambing berkenaan dikatakan disembelih oleh Ismail kerana ianya dari baka yang tidak baik.

Berita mengenai nasib malang itu - kambing ditarik balik diketahui oleh oleh penternak kambing dari Kuala Lumpur dan bersimpati dengan kejadian itu lantas menawarkan kambing jenis jamnapari pure kepada Ismail dengan bayaran separuh harga.

Manakala Ismail ketika ditemui di rumahnya yang jaraknya tidak sampai setengah kilometer dengan rumah Exco berkenaan beberapa hari lalu sangat gembira mendapat kambing gantian itu dan berterima kasih kepada penternak kambing dari Kuala Lumpur berkenaan.

Beliau yang sangat minat dan sayang kepada kambing ketika ditemui didalam kandanag kambingnya menyatakan; "kini hati saya telah terubat. Biarlah dia (Exco) itu nak ambil, tak mengapa, saya dapat yang lebih baik lagi." ujarnya.

"Saya berdoa agar Exco berkenaan memelihara kambing yang diambil itu yang sedang bunting dengan sebaik mungkin, dan mudah-mudahan ia akan membiak dengan baik," kata Ismail.

Sambungnya dengan penuh pengharapan jangan selepas ini ada lagi orang endapat kambing daripada Exco berkenaan akan menerima nasib sepertinya, kambingnya akan ditarik balik kerana tersilap cakap! [kb. 7:45 02/10/07]

Tuesday, October 2, 2007

Ulasan Berita

Tak Payahlah Bawa Tok Guru ke Padang Bola

BETAPA Tokguruku Nik Abdul Aziz Nik Mat masih diperlukan lagi untuk menjamin kerajaan Pas Kelantan teguh dan kekal selepas pilhan raya umum akan datang. Semua orang dan pihak nampaknya bergantung kepada Nik Aziz. Seolah-olah kuasa dan pamor Pas terletak ditangan Nik Aziz seorang. Hilang Nik Aziz maka akan hilanglah Pas!

Fenomena yang pernah menimpa Datuk Mohd Asri Muda dulu nampaknya kembali menimpa Nik Aziz. Orang Pas Kelatan memiliki cermin sama untuk melihat masa depan mereka walaupun tahun sudah banyak berganjak. Di zaman kegemilangan dan keagungan Asri dulu orang beranggapan Asri itu Pas dan Pas itu Asri.

Sehinggakan ada orang menjangka Pas Kelantan akan berkubur apabila Asri tidak ada kelak. Banyak yang bimbang keadaan itu. Begitulah hebat dan agungnya Asri sehingga orang meletakkan dirinya sinonimas dengan Pas.

Mudah mati

Tetapi ternyata selepas ketiadaan Asri, Pas masih juga terus kekal bahkan berjaya lebih daripada apa yang dicapainya. Percayalah Pas tidak akan mati dan mudah ‘mati’ seperti mana pneyokongnya. Sudah berapa ratus pemimpin Pas telah meninggalkan parti itu namun Pas tetap subur. Perjuangan bertunjangkan akidah tidak akan mati!

Begitulah juga yang berlaku hari ini. Seolah Pas Kelantan itu Nik Aziz dan Nik Aziz itu Pas.
Walhal Nik Aziz sendiri pernah berpesan bahawa Pas itu lebih besar daripada pengaruh peribadi seseorang. Pas adalah sebuah perjuangan yang perlu teruskan sebab ia adalah tuntutan perjuangan - jihad. Kekuatan Pas bukan terletak kepda Nik Aziz, tetapi kepada kekuatan iman dan semangat juang ahlinya.

Pas Kelantan seharusnya membebaskan diri daripada paradigma ini. Mereka jangan sesekali berfikir Pas akan mati atau lemah tanpa Nik Aziz. Sebaliknya orang Pas kena pasakkan di jiwa dan di kepala mereka Pas akan menjadi semakin kuat walaupun Ton Guru tidak ada lagi. Pengaruh, kekuatan dan semangat serta roh Pas harus ada pada setiap orang yang menyintai Pas sebagai wadah Islam.

Saya iseng mengungkitkan ini kerana membaca laporan Bernama Kerajaan Kelantan menawarkan Nik Aziz untuk jadi Presiden Bola Sepak Kelantan (Kafa). Alasan tawaran itu ialah MB itu akan dapat memulihkan persatuan boleh sepak itu yang keadaan nazak ketika ini.

Tidak jadi masalah kalau Nik Aziz jadi Presiden bola sepak. MB lain juga ada yang jadi presiden bola sepak. Tetapi harus ingat karektor dan ilmu beliau tidak sesuai untuk dijadikan ketua kepada sebuah persatuan sukan. Seolah-olah orang yang mencadangkan atau membuat tawaran itu tidak faham kedudukan dan martabat Tok Guru itu.

Memanglah Tok Guru tidak mengharamkan bola sepak. Dan Tok Guru ini kalau suruh jadi apapun, dia akan sanggup. Itulah Tok Guru baik dan mulianya. Tenguk dulu masa sibuk nak gunakan aura Mawi bagi menguatkan Pas Kelantan, beliau terima dengan senang hati walaupun di hujungnya kehadiran Mawi itu memberi impak negatif kepada Pas Kelantan sendiri.

Kena turun

Pada hemat saya cara nak serahkan jawatan Presiden Kafa itu sebagai hendak menyusahkan Tok Guru sahaja, bukan ianya satu penghormatan. Sudah tentu kalau sudah jadi Presiden kelak sesekali kena turun ke stadium ataupun menghadiri mesyuarat FAM, ataupun akan ditawar untuk ke Bacelona, Milan, Brazil dan sebagainya.

Orang yang membuat cadangan itu, (Takiyuddin Hassan) perlulah waras dan melihat suasananya. Kalaupun tidak ada wang, janganlah cuba menyusahkan Tok Guru untuk turun ke stadium menendang bola atau berdoa untuk kemenangan skuad Kelantan. Rasanya tidak mahu lagi melihat poster Tok Guru yang dalam berbagai versi yang memenuhi Kota Bharu kini ditambah pula dengan Tok Guru sedang berdoa di stadium untuk kemenangan pasukan Kelantan.

Masih banyak lagi cara untuk bantu tabung Kafa Kelantan. Misalnya minta derma macam Pas minta derma untuk tabung pilihan raya! Paling afdal ialah mencari seorang yang berkemampuan untuk mendapatkan kewangan kepada Kafa.

Dalam hal ini saya nampak ada seorang manusia yang cukup geliga otaknya yang dapat mencari wang untuk membantu Kafa. Dia sangat sesuai untuk jadi Presiden Kafa berbanding dengan Tok Guru. Bahkan saya rasa kalau diadakan pemilihan antara orang ini dengan Tok Guru pun, dia akan menang dan akan dipilih berdasarkan track rekodnya.

Orang yang saya maksudkan ialah si baju merah petak-petak. Tawar saja jawatan itu kepadanya. Dia sudah pun menunjukkan kemampuan dalam berbagai bidang khasnya ekonomi di Kelantan. Dia cukup pintar dalam hal kewangan ini, lagi pun dia begitu berminat untuk memegang apa juga jawatan dan suka membawa pembaharuan di Kelantan.

Cukup besar

Lagi pun orang baju merah petak-petak itu memegang potfolio yang mewah dan boleh dijanakan untuk menjadi duit. Selain itu beliau juga menjadi ahli jawatankuasa Perhutanan dan Tanah Negeri Kelantan di mana kuasa yang ada ini cukup besar yang boleh dieksploitasikan untuk menjana kewangan seberapa banyak yang dimahui!

Dengan kedudukan itu tahulah si baju merah petak-petak bagaimana hendak mendapatkan wang bagi ditabungkan ke dalam akaun Kafa. Kejayaan sebelum ini memperkenal berbagai program kebajikan dan program komersial Kelantan membuktikan kemampuan dan kepintarannya dalam soal kewangan.

Serahkan atau tawarkan saja jawatan itu kepadanya.

Saya cukup yakin kalau Takiyuddin membuka mulut atau datang berjumpa dengannya dia akan terima. Lagipun mereka adalah seperti adik beradik. Si baju merah petak-petak pernah menjadi ketua Takiyuddin semasa dalam Dewan Pemuda Pas dulu.

Inilah juga masanya untuk mereka bedua duduk bersama semula setelah kini agak renggang kerana masing-masing cemburu hati. Kalau ini jadi kenyataan, orang baju merah petak-petak jadi Presiden sudah tentu bila ada perlawanan bola, Takyiuddin akan dapat duduk dekat sepanjang masa dengannya dan bolehlah menyambung semula persahabatan yang hampir putus itu.

Bagi hamba yang fakir lagi hina ini, kalau ini menjadi kenyataan ia akan membawa untung berlapis. Pasukan bolah sepak Kelantan akan kuat, persahabatan mereka berdua pun akan kembali padu semula. Kekuatan dan jalinan kedua mereka sedikit sebanyak akan menjadi pemangkin kepada kemenangan Pas dalam pilihan raya akan datang. [kb.6:45 02/10/07]

Monday, October 1, 2007

Jawab Pak Habib

Ketam Walaupun Berkaki Lapan Jalannya Tetap Mereng

MSO

MENJADI rutin sebelum dan selepas Subuh saya akan menerawang ke alam maya menerusi internet. Membaca berita dan bahan-bahan yang dipostingkan oleh rakan-rakan bloger. Dari satu laman ke satu laman dari satu blog ke satu blog. Biasanya saya akan berhenti selepas jam 8:00 apabila surat khbar dilemparkan Cina ke dalam pagar rumah.


Tadi tidak semena-mena terbuka blog, Norzah Kepol. Tenguk di sidebar ada gambar saya, dan gambar Syed Hussein Alattas (Pak Habib). Tiba-tiba tangan menjadi ringan untuk klik di tempat gambar Pak Habib!

Keinginan itu sebenarnya didesak apabila mengingatkan kata-kata Kamal Amir Kamal Hijar malam kelmarin ketika minum tea tarik di Taman Seri Gombak. “Oh bukan main lagi Pak Habib puji Pak Lah (Abdullah Ahmad Badawi) sampai makan ubi kayu,” kira-kira begitulah kata Kamal dengan maknanya tersendiri tanpa saya mempedulikan sangat. Nada dan mimik muka Kamal Amir seolah dia merasa anih dengan sikap Pak Habib itu. Sebenarnya saya tidak gemar kalau ada orang cuba memburuk dan mempertikaikan Pak Habib.

Saya tidak jawab atau ulas sebab saya cukup kenal akan sikap Pak Habib sebagai penulis yang sangat mengamalkan etika freedom of the press.

Cerita khinzir

Bila blognya dibuka, terbacalah satu tulisannya di bawah tajuk : Antara Yang benar dan Separuh Benar Stop Press. Tajuk itu mengusik naluri untuk membacanya. Tajuk tidak akan memberi gambaran dan kesimpulan tepat apa yang terkandung di dalamnya. Kadang kala tajuk mengenai hal lembu tetapi di dalamnya cerita khinzir, begitulah selalu berlaku dalam tulisan atau buku Pak Habib! Jadi suka tidak suka kena baca.

Di bawah tajuk itu tertera gambar Pak Habib sedang menghadapi juadah bersama Perdana Menteri, Abdulah Ahmad Badawi. Kurang pasti pula siapa di sebelah kanannya! Gambar itu saya percaya diambil pada majlis berbuka puasa Media dengan PM.

Cerita dalam tulisan itu bertabur dan bukan hal PM saja. Gambar yang di insertkan itu tidak ada kena mengena dengan keseluruhan tulisan itu. Foto itu cuma nak buktikan (tunjuk) yang Pak Habib sedang makan semeja dengan Perdana Menteri. Jarang penulis berpeluang seperti itu!

Saya tidak akan memberi reaksi kepada tulisan Pak Habib ini, kalau di dalamnya tidak ada nama saya dan hal-hal bersangkutan dengan saya. Nama saya sering disebut oleh Pak Habib di dalam buku-bukunya. Ada tujuannya untuk menguatkan hujahnya dan ada pula dijadikan sandaran sehinggakan boleh menjejaksan nama baik saya.

Misalnya pernah di dalam sebuah bukunya (1980-an) disebut dan dikaitkan nama saya dengan sebuah institusi agama yang menyebabkan institusi berkenaan memandang serong dan kakitangannya marah kepada saya. Walahal apa yang dicatat oleh Pak Habib itu tidak pernah berlaku.

Begitu juga Pak Habib acap menuduh sayalah yang memberi nama Mahafiraun kepada Mahathir Mohamad. Beliau tidak teliti. Kalau beliau teliti dan cerah mata, Mahafiraun itu diakui sendiri oleh Mahathir. Apa yang berlaku saya hanya mengulangi apa yang Mahathir sendiri sebut.

Begitulah kita ini kerana kurang berani kita sering menggunakan kayu atau batu untuk memukul ular bagi melindungi diri.

Sebelum ini saya tidak kisah walaupun banyak kali Pak Habib menyebut dan eksploitasikan nama saya. Sebab saya tahu, ikan keli yang tahu menggunakan sengatnya, dan ikan sepat yang tidak tahu menggunakan janggutnya!

Kecenderungan

Kerana tulisan di dalam blognya itu kali ini nampak kecederungan untuk menghentam saya (bukan kritik) maka saya mengambil kesempatan pada hari ke 19 Ramadan ini untuk berpolimek, menjawab beberapa fakta yang beliau timbulkan dalam buku bekenaan dan boleh mengeliru dan menjejaskan saya sebagai penulis.

Bila menjawab tentulah, hal-hal yang remeh juga akan turut dijawab sama. Kalau hendakkan madu lebah pastikan sedikit sebanyak akan terkena sengatnya! Kalau sudah bertumbuk, kalau tidak patah, pastilah ada yang luka dan bengkaknya.

Pertama, mengenai saya tidak duduk di meja media massa kerana saya dijemput khas oleh Khalid Nordin dan kerana saya ada surat khabar sendiri. Tuduhan itu tidak betul. Apa yang saya ucapkan malam itu sebenarnya gurauan saja, apabila Pak Habib tanya kenapa tidak duduk di meja itu. Tetapi sayang Pak Habib tidak memahami erti dan bahasa gurau. Biasalah bila manusia dalam tension ia akan membuat tafsiran yang salah. Tidak ada maksud saya nak membesarkan diri dan meminggirkan diri daripada wartawan, lagipun di meja itu sudah penuh.

Yang jemput saya bukan Khalid Nordin, tetapi Rosli Mat Hassan, Pengerusi YPM. Jadi bila saya tidak dijemput sebagai wartawan, saya tidak akan duduk di meja wartawan. Macam Pak Habib juga kalau dijemput atas nama jawatankuasa Penerangan Umno, tentu Pak Habib akan duduk di meja Ketua Penerangan Umno!

Jadi telahan dan (gurauan yang boleh menjejaskan itu) tidak betul. Lain kali cubalah menulis dengan berlandaskan sifat investigatif sikit. Jangan pakai mudah dan mengira orang tidak ambil kisah dan segala sampah sarap perlu dimasukan dalam bakul bernama penulisan.

Selalunya kita akan dihadap ke mahkamah bukan kerana fakta yang besar, tetapi kerana kekhilafan yang kecil. Dan mahkamah pula melepaskan orang dituduh bukan kerana fakta tetapi kerana teknik. Kerana silap titik (.) sebutir pun kita boleh kena. Dan selalunya juga mata kita menjadi terang sehingga nampak kuman di sebarang tetapi tidak nampak gajah di depan mata.

Kedua, mengenai cerita Ahmad Zahid Hamidi yang pukul duda yang mengorat (melarikan) anaknya. Bila Pak Habib sebut fasal Siasah maka ertinya sebut sayalah tu. Dalam hal ini saya percaya Pak Habib tidak mengetahui kesemua cerita dan hanya mengetahui dari satu pihak saja. Kalau beliau menuduh saya (Siasah) tidak mendapat berita sepenuhnya berhubung cerita Zahid itu saya kira Pak Habib juga macam saya.

Tak elok kalau ketam hendak mengajar ketam!

Kebodohan manusia itu akan menyempurnakan manusia. Kelalaian manusia itu menyebabkan akhirnya manusia itu ingat dan mengenal. Dan bagaimana gerak dan lagaknya maka begitulah rupa diri manusia. Bagaimana tahi begitulah ususnya. Kata orang ular ekor itu hampir serupa dengan kepalanya.

Ada beberapa tuduhan dan maklumat mengenai kejadian melibatkan Zahid itu tidak diketahui sejelasnya oleh Pak Habib. Beliau tidak boleh mengira Zahid akan jujur dan sanggup menunjukkan kemaluan kepadanya. Jangan harap kejujuran dan keikhlasan daripada orang lain kerana kita sendiri kadang-kadang tidak jujur dan ikhlas pada diri sendiri.

Bila kita sudah terlalu rapat apa lagi boleh masuk ke dapur rumah seseorang, kita jangan buat-buat tidak nampak kesalahan dan ketidaksempurnaannya lagi. Umpama diri kita sendiri, sebijak mana kita, kita tidak tahu membaca berapa biji tahi lalat di tubuh kita tanpa cermin.
Maknanya orang lain perlu mencermin dan menjelaskan kepada kita.

Menggemparkan

Pak Habib baik dengan Zahid. Saya juga bukan tidak kenal dengan timbalan menteri penerangan itu, kenal. Saya rasa saya juga berhak untuk mengatakan saya baik, bahkan ada cerita menggemparkan mengenai Zahid yang saya simpan sampai kini. Cerita ini menggambarkan akan baiknya saya dengan Zahid.

Namun saya jenis orang yang bukan boleh buat baik, kerana saya akan ‘makan’ orang yang baik kalau dia sudah tidak baik. Saya tidak boleh kompromi dengan kejahatan tidak kira sapa. Kebenaran tidak boleh ditukar dengan ringgit! Dan saya tidak pernah bergantung nyawa dengan orang politik.

Kalau saya boleh ‘bergaduh’ dengan Husam Musa, orang yang saya kira paling saya hormati dan baik dengannya di era tahun 2000 ini, apalah dengan orang seperti Zahid.

Tetapi kerana orang baik sudah tidak baik lagi, maka kita kena bersikap seperti mana sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang dipetik Pak Habib itu;

"Katakan yang benar sekalipun pahit." Dan "Seandainya puteri kesayanganku Fatimah Az-Zaharah didapati salah mencuri akan ku potong tangannya."


Pada saya dalam kes duda bernama Amir Bazli ini, Zahid sudah melakukan kesalahan. Benar manusia ada amarah tidak kira siapa. Tetapi persoalan apakan orang seperti Zahid harus menyelesaikan kes itu dengan cara itu, tumbuk sampai penyek muka? Di manakah kesopanan dan kemuliaan Zahid Putra Kraton seperti kata Pak Habib itu dalam melayani rakyat marhaen?
Putra Kraton tidak bertindak begitu dia akan berhemah dan senantiasa menghormati hak orang lain.

Tentu semasa berjumpa dengan Zahid, Zahid akan mencerita kebaikannya saja dan memburukkan Amir Bazli. Apakah Pak Habib sebagai penulis hebat dan senantiasa bersikap adil sudah berusaha untuk berjumpa dengan Amir Bazli bagi mengetahui cerita sebenarnya. Hakim yang menerima bukti sebelah pihak tidak ubah seperti hakim beruk!

Tentang menuduh laporan Siasah separuh masak (half-true) dan menimbulkan fitnah, saya rasa saya sudah cukup adil dalam membuat laporan (sebenarnya bukan saya lapor, tapi kerana Siasah saya punya saya bertanggungjawab). Jadi tidak timbul saya hendak memfitnahkan Raden Zahid.

Kalau saya ditempat Pak Habib saya akan tulis lebih daripada itu. Saya akan menyiarkan gambar-gambar yang boleh menjejaskan Zahid dan sangat buruk etikanya. Namun kerana saya hanya berkawan dan tidak pernah terpengaruh dengan gaya penulisan, pemikiran dan budaya Pak Habib saya tidak tergamak lakukan.

Untuk pengetahuan Pak Habib tiga bulan sebelum isu itu meletus, saya sudah pun cuba menghubungi Zahid menerusi beberapa pihak untuk mengetahui kedudukan sebenarnya dan menyelesaikan cara baik. Ini termasuk juga manusia bernama Sheikh Hussein itu. Namun semua usaha itu gagal dan Zahid telah mendabit dada tidak kisah apa yang akan berlaku. Seolah isu itu tidak akan menjejaskannya.

Alih-alih selepas isu itu meletup barulah Sheikh Hussein beriya untuk temukan saya dengan Zahid bagi mendapat penjelasan. Untuk apa? Ia sudah terlewat! Tidak ada gunanya penjelasan dan pertemuan selepas isu itu terbongkar. Nampak sangat cara Sheikh Hussein hendak temukan saya itu menunjukkan Zahid dalam keadaan terdesak dan beliausendiri hendak berbudi dengan Zahid.

Ia rekaan

Cerita Zahid kononnya Amir Bazli menggunakan ilmu hitam dan sebagainya ia adalah tahyul. Saya percaya ia rekaan saja. Dan kalau ada, dan Zahid serta Pak habib memprcayaianya ia sesautu yang anih. Apakah benda tahyul, karut marut dan syirik itu masih menjadi kepercayaan orang-orang bersifat AhliLah (hakikat) seperti Pak Habib dan seorang agamawan seperti Zahid?

Seorang yang sudah sampai kemaqam “hakikat” dan “marifat” dia tidak akan mempercayai kepada mana-mana kuasa ciptaan manusia lagi. Soal-soal syirik, tahyul, kufur dan segala macam sifat mazmumah sudah tidak ada lagi pada hati mereka. Orang hakikat hanya berpegang kepada Allah semata-mata. Lahualawakuwabilahiazamim!

Bukan main lagi dalam buku-buku Pak Habib penuh dengan istilah kerohanian dan tasauf. Seolah penulis sudah masuk ke dalam ketujuh-tujuh maqam nasfu itu. Namun kalau hal-hal duniawi itu masih lagi dipercaya dan diambil kira maka kesufian Pak Habib itulah boleh diragui!

Saya sarangkan supaya adil, Pak Habib berjumpa dan berbicara sendiri dengan Amir Bazli. Dapatkan cerita darinya dan bandingkan dengan apa yang Zahid ceritakan. Kalau tidak Pak Habib juga akan bersifat seperti ketam. Kaki lapan tetapi jalan tetap mereng!

Apapun saya ucapkan terima kasih kepada Pak Habib kerana mengajar akhbar nyamuk saya (Siasah) agar bertanggungjawab dan mebuat berita yang benar.

Bagaimana pun ingin saya katakan kepada Pak Habib kaedah atau teori kewartawanan seperti mana yang disebut itu; where?, when?, why?, whom?, how? Di mana? Bila? Mengapa? Siapa? Bagaimana? – saya rasa saya juga sudah belajar dan memahaminya sedikit sebanyak!

Apapun terima kasih Pak Habib kerana mengingatkan saya. Orang tua umpama kelapa, makin tua makin bersantan, tetapi iangatlah santan kalau tidak disimpan di tempat elok ia akan basi dan hanya layak di curah ke dalam longkang saja. “Demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali mereka yang beramal dengan penuh kebenaran dan berpesan (berdakwah) dengan penuh kesabaran.” [wm.kl 7:42 01/010/07]