Wednesday, August 22, 2007

Catatan Pagi

Akhirnya Kelantan Delights Keluar Dari KLCC

MSO

Kelantan Delights satu-satu restoran tradisional Melayu yang menyajikan menu Kelantan yang terletak Food Court di Tingkat 4, bangunan Suria KLCC akhirnya terpaksa juga akur dengan kerenah pihak pengurusan yang mementingkan komersial dan mengenakan berbagai syarat yang tidak masuk akal.

Malam tadi adalah saat terakhir Kelantan Delights beroperasi di situ. Penutupan restoran itu tentulah mengecewakan orang Melayu kerana tidak ada lagi restoran yang bercirikan Melayu yang diusahakan sendiri oleh rakyat negara ini di gedung bertaraf antarabangsa itu.

Kalau selama ini pengunjung Melayu dan rakyat negara ini turut berbangga kerana nasi kerabu, nasi dagang, ayam pericik atau kueh cek mek, ubi kayu dan sebagainya turut terhidang di situ, kini kebanggaan itu sudah berakhir.

Semuanya musnah dan hancur kerena sikap pihak pengurusan yang mementingkan keuntungan semata-mata dan sedikitpun tidak mempunyai semangat patriotisme dan arif mengenai betapa perlunya lambang dan budaya Melayu dan Malaysia wujud di gedung berkenaan.

Menurut Juhaidi Yee Abdullah, pemilik restoran berkenaan beliau terpaksa mengambil keputusan keluar dari bangunan itu kerana tidak tahan dengan kadar sewa yang dinaikan terlalu tinggi serta beberapa syarat lain yang seperti sengaja diadakan dengan tujuan untuk menyingkirkannya dari situ.

Bayangkanlah enam tahun lepas sewaktu mula berniaga di lantai bawah, kadar sewa yang dikenakan hanya RM14,000 sebulan dan kini naik menjadi RM43,000 sebulan. Kadar ini katanya sudah melampau dan seperti diadakan bagi menyusahkan para peniaga Melayu.

Daripada 300 orang peniaga makanan, peralatan cenderamata dan sebagainya di situ terdapat 12 orang peniaga Melayu. Walaupun sehingga kini 12 peniaga Melayu itu masih bertahan namun mereka mungkin akan menghadapai nasib sama, kaluar dari situ sekiranya tidak ada campur tangan daripada pihak berwajib.

Apa yang menghairankan dimanakah peranan dan juga tanggungjawab pihak Petrons yang memilik bangunan tersebut dan mempunyai 60% saham dalam pengurusan bangunan Suria KLCC untuk membantu orang Melayu? Bangunan itu diuruskan oleh syarikat campuran Australia-Canada yang memilik saham 40%.

Sepatutnya Petrons menggunakan hak dan kedudukan itu untuk membela peniaga Melayu di gedung berkenaan kerana kehadiran mereka sedikit sebanyak boleh menjadi lambang dan kemegahan anak bangsa di gedung tersebut.

Khabarnya pihak Petronas bersikap lepas tangan saja dan segala urusan termasuk mengenakan kadar sewa dan syarat-syarat tambahan kepada peniaga di situ seperti pengubahsuaian kedai diserahkan bulat-bulat kepada syarikat Australia-Canada berkenaan.

Sebelum ini Juhaidi telah berikhtiar dan menyuarakan masalah itu kepada berbagai pihak namun tidak membuatkan hasil. Badan yang menjaga dan bertindak membantu para peniaga Melayu seperti Dewan Perniaga Melayu Kuala Lumpur, Dewan Peniaga Melayu Malaysia juga tidak berbuat apa-apa bagi mengatasi masalah itu.

Sempena penutupannya, malam tadi (21 Ogos) Juhaidi Yee Abdullah telah mengadakan kenduri dengan meraikan warga tua dan anak-anak yatim. Sermai 100 orang warga tua dari Rumah Orang Tua Cheras dan anak-anak yatim dari Rumah Anak Yatim Tunku Budriah Cheras hadir ke majlis berkenaan.

Majlis yang penuh simbolik itu dan menandakan pengusahanya tidak berdukacita atas ujian itu, (sesuai dengan kata-kata Rasulullah kepada seorang sahabatnya yang datang mengadukan kesusahan; "kalau kamu merasa susah orang lain lagi susah maka tolonglah ia") turut sama dihadiri rakan dan taulan Junaidi di tempat majikan lamanya di News Straits Time (NST), dan juga beberapa orang penulis dan artis.

Antara mereka ialah Datuk Rijal Arbee, Datuk Ahmad Talib, Ras Adibah Radzi, Aziz Desa dan lain-lain. [wm.kl 21/8/07]

No comments: