Tuesday, December 9, 2008

Susupan Senja

Adillah Kepada Semua Rakyat

KITA semua bersimpati dengan nasib yang dialami oleh tuan punya 14 buah banglow di Bukit Antarabangsa yang istana mereka ranap dan musnah ditimpa tanah runtuh awal pagi Sabtu lalu. Kita juga dukacita atas kehilangan nyawa ekoran kejadian itu.

Tentulah mereka semua perlu diberikan bantuan sewajarnya dan beban mereka diringankan. Sebagai manusia dan rakyat negara ini kita perlu menzahirkan rasa simpati kepada mereka semua. Dalam pada itu mengambil iktibar atas apa yang berlaku dan berdoa kepada Allah agar ia tidak berulang ke atas sesiapa juga.

Tetapi cadangan yang dikemukakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Muhyiddin Yassin semasa melawat ke tempat kejadian supaya keluarga malang itu diberikan perlindungan di hotel atau ditempat yang lebih selesa rasanya kurang wajar dan agak mengada-ada sikit.

Bagi mereka dalam suasana begitu, mangsa tidak memerlukan tempat tinggal selesa atau begitu mewah, tetapi cukup sekadar boleh memberi pelindungan nyawa saja.

Saya agak hairan dengan cadangan Muhyiddin itu. Apakah ianya dibuat kerana saat ini Umno sedang menghadapi pertandingan maka beliau kena tunjukkan sifat perikemanusiaan yang lebih?

Mengapa saya kata begitu kerana, Muhyiddin tidak pernah mencemarkan kaki melihat bagaimana susahnya warga setinggan di sekitar Kuala Lumpur yang menghadapi kesulitan bila mana penempatan mereka dirobohkan kerana terlibat dengan pembangunan. Kediaman atau kampung yang mereka diami berpuluh tahun tiba-tiba lenyap dalam sekelip mata saja.

Contoh paling nyata dan mudah sekali, bagaimana sekelompok setinggan di tepi lebuh raya MMR2, berhampiran dengan Zoo Negara, berbulan-bulan mereka duduk dalam khemah dan bergelap siang malam bila mana rumah mereka dirobohkan. Mereka memperjuangkan tanah air mereka namun tidak ada siapa mempedulikannya.

Mereka menjadi mangsa Projek Setinggan Sifir yang dilancarkan oleh bekas MB Selangor, Mohamad Khir Toyo. Entah berapa ribuan setinggan di pinggir ibu Kota Kuala Lumpur menjadi korban projek Khir itu. Bila rumah mereka diroboh mereka tidak berumah dan ada yang tidur berlantaikan pasir dan berselimutkan embun.

Adakah Muhyiddin atau mana-mana menteri menjenguk mereka, mencemarkan kasut melihat bagaimana susahnya nasib mereka? Sepatutnya setingganlah yang perlu diberi keutamaan dan dilawat oleh orang macam Muhyiddin. Saya rasa akaun mangsa yang terlibat dengan tanah runtuh itu lebih banyak daripada akaun setinggan?

Apakah kerana bencana yang berlaku di Bukit Antarabangsa itu melibatkan golongan nigrat, bangasawan dan mereka yang hampir dengan pejabat Perdana Menteri maka semua tertumpu ke situ? Sekali lagi ditegaskan saya bukan tidak setuju untuk memberi pelindungan kepada mereka, tetapi apaklah perlu ditempat selesa sampai di hotel-hotel? Untuk menyatakan simpati saya sendiri pagi-pagi lagi ke tempat kejadian dan melaporkan dalam blog.

Dalam usaha kita membantu dan menumpahkan simpati ini biarlah kita adil dan jangan double standard. Ada kalanya kita ini nampak sangat pilih kasih dan double standard dalam memberi perhatian atau pertolongan. Bila ia melibatkan orang kaya, golongan bangsawan kita berderu datang membantu dan menengoknya. Tetapi kalau terkena ke atas golongan miskin, rakyat marhean hanya orang-orang tertentu saja yang menjenguknya. Kenapa?

Buanglah perangai dan sifat begini. Kita hendaklah sama rata dalam memerhati setiap dari rakyat negara ini. Jangan pula dipilih bulu dan kedudukan. Ketahui penderitaan dan kesangsaraan setingan yang rumah mereka diroboh samalah dengan kesengsaraan dan kesulitan yang dihadapi oleh mereka yang terlibat dengan tanah runtuh itu.

Kepada Muhyiddin dan lain-lain menteri selepas ini jangan hanya bersedia untuk menjenguk penderitaan orang kaya, orang ternama tetapi jenguk dan silaulah juga penderitaan dan kesangsaraan setinggan yang menjadi mangsa Projek Setingan Sifit Khir Toyo dulu. Kalau beliau tidak tahu di mana lokasinya saya bersedia untuk menunjukkannya! [wm.kl 7:00 pm 09/12/08]

1 comment:

Anonymous said...

tempat lain yang mengalami bencana alam selain di Bukit Antarabangsa boleh dikatakan sebagai "New Orleans".kenapa new orleans?sbb new orleans terpinggir dalam menerima bantuan kemanusiaan semasa bencana berlaku.

kenapa perlu ada "double-standard" dalam memberi bantuan?.adakah kerana di Bukit Antarabangsa orang-orang disitu kaya-raya jadi diberi layanan yang lebih dari orang-orang biasa?.perlukah mereka diberi hotel?bagi saya tak perlu.cukup dengan sekadar tempat tinggal sementara yang selesa dan ada kemudahan asas sepeti elektrik dan air.

bukan saya tidak bersimpati.cuma fikirkanlah juga tentang nasib orang lain yang turut ditimpa malapetaka.

jangan semata-mata kerana orang kaya maka mereka perlu dimanja lebih dari orang-orang biasa lain yang turut terasa tempias bencana alam.