Saturday, December 4, 2010

Membongkar Belawak

Peguam Umno Yang Tak Khatam Perlembagaan

SEMASA penamaan calon pilihan raya kecil Galas baru-baru ini saya tersapa Mustapa Mohamed dan bercakap beberapa patah dengannya. Kebetulan pada masa itu peguam Umno, Mohd Hafarizam Harun lewat berhampiran kami bercakap. Mustapa begitu terpandang Hafarizam - dengan gaya tersendirinya (gopoh takut) menyapa Hafarizam dengan penuh hormat. Mustapa memang sangat menghormati orang yang ada kuasa dan kedudukan.

"Ini peguam negara?" kata Mustapa memperkenalkan Harfarizam kepada saya sambil menempuk-nepuk bahu Hafarizam. Saya sudah kenal peguam muda ini sewaktu dia mengurus dan menyelesaikan kes petisyen dibuat oleh bekas calon BN yang kalah di Kulim Bandar Baru, Abdul Aziz Sheikh Kadir.

Kes itu diselesaikan diluar mahkamah dengan Aziz menarik balik petisyen dan ahli Parlimen Kulim Bandar - Baru kekal sebagai wakilnya. Adalah terma-terma tertentu menyebabkan petisyen itu ditarik balik dan mengekalkan ahli Parlimen berkenaan di Parlimen.

Saya tidak mengambil berat atas apa yang Mustapa katakan itu. Bagi saya sesiapa pun sama saja, apa lagi saya tidak ada apa-apa kepentingan dan keperluan untuk menghormati peguam Umno itu berlebih-lebih. Saya tidak perlu sampai menunduk dan bersujud sahwi kepadanya atau sesiapa sesama manusia. Cuma saya mengatakan, "sekejap tengok sini saya nak ambil gambar," dan saya memetik punat kamera, sreehhhh shup.

Mustapa sebagai orang Umno No 1 Kelantan seronok dapat bergambar dengan Hafarizam.
Baginya samalah dapat bergambar dengan Abdul Ghani Petail. Saya percaya kalau umur Umno panjang peguam muda yang katanya sudah bertaraf jutawan ini (kerana mengendalikan kes-kes Umno ini) akan jadi peguam negara. Beliau juga katanya anak didik dan rapat dengan Ketua Hakim Negara hari ini.

Sebenarnya kerja dilakukan Hafarizam samalah dengan kawan saya lakukan. Kendalikan kes mahkamah berhubung petisyen pilihan raya di seluruh negara. Tetapi kerana kawan saya mengambil kes di pihak pembangkang, (Pas) maka tidaklah ia mepunyai wang yang banyak. Ada kalanya kerja atau perkhidmatannya tidak dibayar langsung ataupun hanya diberi sebungkus tapai saja.

Apabila membaca kenyataan dan pandangan Hafarizam berhubung isu ketuanan Melayu yang meletus ekoran ucapan dasar Dr Wan Azizah Ismail dalam kongres PKR tempoh hari, saya tidak nampak peguam ini berkelayakan untuk jadi peguam negara. Saya tidak arif mengenai undang-undang seperti beliau.

Tetapi apabila beliau mengatakan kenyataan itu sebagai mencabar hak keistimewaan Melayu dan raja-raja sehingga perlu ditahan di bawah ISA, menyebabkan saya konfius sejauh mana kealiman peguam muda ini terhadap perlembagaan dan undang-undang. Saya rasa peguam ini belum cukup matang dan tidak khatam membaca perlembagaan negara.

Saya dan mereka tidak bersentimen dengan Umno tidak nampak kenyataan Azizah itu menyentuh soal hak keisitimewaan orang Melayu apa lagi hendak membuang hak keistimewaan Melayu termasuk kedudukan Raja-Raja Melayu. Kenyataan atau ucapan Azizah itu sudah diputar belitkan dan diberikan nafas baru dan pentafsiran yang silap. Saya tidak fikir kalau orang tidak faham teks ucapan itu kerana tingginya bahasa dipakai Azizah. Kerana itu ia sengaja diputar belitkan.

Apakah ucapan Azizah hari itu, saya petik dan turunkan ucapan di bawah tajuk kecil "Bangsa Bermaruah" dari point 27 hingga 32:
Saudara saudari sidang kongres;

Saya, sebagai orang Melayu yang beragama Islam, berkeyakinan bahawa tidak akan ada satu bangsa pun yang akan menjadi agung dan dihormati hanya apabila menggelar diri sendiri sebagai tuan. Kitab al Quran banyak mengisahkan bagaimana Tuhan telah menghancurkan kaum dan bangsa-bangsa yang bermegah-megah konon menjadi tuan dan memandang rendah kepada bangsa atau kaum yang lain. Sesungguhnya, semulia-mulia di sisi Tuhan adalah mereka yang paling tinggi taqwanya (amalan baik dan kebajikan kepada insan lain).

Nyatalah bahawa sesuatu bangsa dan kaum itu hanya akan menjadi agung dan dipandang tinggi apabila mereka bermaruah. Lalu andai sesuatu bangsa itu mahu besar, mereka harus memelihara dan menjaga maruah mereka termasuk kepada orang Melayu.


28. Sebenarnya dalam tradisi orang Melayu mereka amat menyedari kepentingan menjaga maruah diri supaya dipandang tinggi oleh orang lain. Mari kita merenung sejenak beberapa ungkapann pantun klasik di bawah;

Tenang tenang air laut
Sampan kolek mudir ke tanjung,
Hati terkenang mulut menyebut,
Budi baik rasanya nak junjung.

Kapal belajar dari Arakan,
Ambil gaji jadi jemdui,
Mati ikan kerana umpan,
Mati saya kerana budi.

Pisang emas di bawa belayar,
Masa sebiji di atas peti,
Hutang emas boleh dibayar
Hutang budi dibawa mati.

29. Justeru itu konsep ketuanan Melayu wajib dibakulsampahkan supaya anak-anak kita membesar dengan visi bangsa bermaruah atau Melayu bermaruah. Ketuanan Melayu adalah slogan yang digunakan oleh sekumpulan kecil elit Melayu yang berkuasa untuk memperdaya orang Melayu yang ramai, demi kepentingan diri sendiri. Mereka adalah manusia yang melakukan rasuah, korup, pecah amanah dan pelbagai kebejatan lain.

30. Selama 53 tahun mereka berkuasa, nasib Melayu dan bumiputera, masih tetap terabai. Orang Melayu dan Bumiputera sedang mengalami nasib hidup yang sangat menyedihkan. Mereka sedang dilanda masalah sosial, pendidikan, ekonomi dan budaya kehidupan yang membimbangkan. Kuota 30 peratus penguasaan ekuiti Melayu-Bumiputera gagal dicapai. Daripada RM54 bilion ekuiti dan saham untuk bumiputera, hanya RM2 bilion kekal di tangan.

Di Semenanjung, di Sabah dan di Sarawak, kelompok paling miskin, daif dan terbiar melarat, adalah kaum bumiputera. Buruh bumiputera di Batu Sapi hanya dibayar RM 9.50 untuk kerja mereka selama sehari. Malah, bagi setiap empat keluarga yang pendapatan isi rumahnya kurang dari RM2,000 setiap bulan, tiga keluarga itu adalah keluarga Melayu.


31. Kerajaan Umno-Barisan Nasional juga tidak mempedulikan nasib dan kedudukan orang Asli di Semenanjung Malaysia. Kehidupan mereka masih terbiar dan tidak mendapat perhatian dan pembelaan sewajarnya. Kedaifan hidup mereka bagai sengaja dirancang untuk dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu di saat dan ketika yang mereka perlukan. Tidak ada langsung peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan bagi menjamin kepentingan merupakan kaum pribumi di negara ini.

Kedudukan mereka tidak terjamin kerana hak mereka tidak dimasukkan dalam tafsiran Perkara 153 dan Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan. Fasal (2) Perkara 160 hanya menafsirkan Orang Asli adalah Orang Asli Semenanjung Tanah Melayu manakala dalam artikel 153 Perlembagaan Persekutuan, ianya hanya merangkumi Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak sahaja. Kita berjanji akan mengambil satu tindakan yang berani dan bertanggungjawab untuk menjamin kedudukan Orang Asli ini dalam kerangka keupayaan kita.


32. Semua ini membuktikan bahawa para pemimpin UMNO buan berjuang untuk membela orang Melayu. Parti ini hanya berminat untuk menjaga kepentingan tauke-tauke tertentu . Umno adalah "parti tauke" dan jauh sekali untuk berwajah sebagai "parti rakyat". Maka itu, KEADILAN dan Pakatan Rakyat adalah pilihan terbaik untuk semua orang Melayu dan seluruh rakyat.

Cuba perhati dan hayati betuk-betul teks ucapan Azizah itu. Apakah di situ bermaksud ia ingin menghakiskan hak keistimewaan orang Melayu atau menyentuh langsung perlembagaan negara?

Di dalam perlembagaan Melayu tidak ada perkataan ketuanan Melayu. Malahan konsep ketuanan Melayu yang diperagakan Umno itu tidak ada. Ini disahkan sendiri oleh ahli sejarah Prof Dr Emeritus Khoo Kay Kim dan juga pakar-pakar perlembagaan yang tidak berkepentingan serta peguam yang berdiri atas necara keadilan.

Bukan saja Kay Kim , sesiapa yang tahu membaca perlembagaan negara juga tidak akan menemui perkataan ketuanan Melayu itu. Adalah satu kesilapan dan khilaf besar kalau Hafarizam dan sesiapa cuba hendak merangkulkan ketuanan Melayu itu sebagai hak keistimewaan Melayu seperti mana termaktub dalam Perkara 152 dan 153 dalam perlembagaan negara. Tindakan cuba mentafsirkan ketuanan Melayu merangkumi Perkara itu adalah tidak tepat dan dibuat oleh mereka yang cuba mengeksploit perkara itu dengan tujuan tertentu dan satu pemfitnahan kubra.

Saya setuju kalau sesiapa saja, tidak kira Umno, Pas dan PKR yang ingin menghakiskan hak keitimewaan orang Melayu mereka perlu ditentang. Usahkan Azizah, kalau Najib Razak sendiri perlu ditentang. Sebab itulah bila Umno menajakan projek untuk meminda perlembagaan bagi menghakiskan imuniti Raja-raja dulu kita tentang habis-habisan. Tetapi soal ini di sini apakah kenyataan Azizah itu membawa hakikat demikian?

Saya berharap peguam itu mentafsir semula pemahamannya mengenai slogan ketuanan Melayu dan tidak mudah mengaitkan kenyataan Azizah itu sebagai hendak membakulsampah Perkara 152 dan 153 atau Raja-raja Melayu. Tiada kenyataan baik rasmi atau tidak mengenai hal itu. Di dalam teks ucapan beliau tempoh hari pun tidak ada menyebut perkara itu baik secara nyata atau tersirat.

Jadi apa yang berlaku Hafarizam atau Umno memperkatakan apa yang tidak dikatakan Azizah dan PKR. Ertinya ketuanan Melayu itu hanya slogan dari luar perlembagaan dan ciptaan Umno semata-mata. Ertinya mereka memperjuangkan perkara yang tidak wujud dan menjadi intipati perlembagaan yang perlu kita hormat dan pertahankan.

Ketuanan Melayu adalah slogan yang sama dengan hantu yang menakutkan Hafarizam dan Umno. Mereka sebenarnya sangat lemah bila takut kepada apa yang tidak wujud. Percayalah dalam dunia serba celik dan terbuka ini orang bukan mudah untuk dimomokkan dengan bayangan atau pun ilusi. Orang hari ini melihat kepada realiti.

Ayuh janganlah membuat khianat sesama sendiri. Kalau hendak jatuhkan Azizah atau kucar kacirkan PKR gunalah jalan lain yang halal atau lebih profesional. Jangan menjatuhkan keburukan dengan keburukan yang dihalalkan. Berdepanlah dengan mereka dalam medan demokrasi terbuka. Di situ nanti kebenaran akan menjelma dan diketahui siapa yang benar dan siapa yang haprak dan hapak!

Ingatlah firman ini; Di dalam hati mereka terdapat penyakit, lalau ditambah Allah penyakit dan mereka menerima azab yang pedih kerana sebelum ini selalu mereka berbohong. - Al Baqarah 10. [wm.kl.6:30 pm 04/12/10]

2 comments:

ahmadyani said...

Sebagai orang yang arif undang-undang patutnya bercakap ikut kebenaran fakta, tapi kalau bercakap ikut perasaan dan kerana membodek 'tuan'nya...undang-undang Malaysia ini hanya akan menjadi bahan ketawa orang.

Desa Mentari said...

Tuan,

Saya baru balik dari surau, tadi masa rehat selepas solat magrib (sepatutnya kuliah tajwid tapi ustaz tak datang)salu lalu disekumpulan jemaah surau. Mereka sembang sakan pasal barang naik dan gaji ceo shabas tu.... Macam2 mereka bualkan dan diakhirnya mereka berkata.. umno kena ajar dengan pilihanraya je... lain cara dah tak makan...fikirkan.