Sunday, July 1, 2012

Anak Rantau Kelantan Di Kempas Kecewa?

Sekitar Turun Ke Johor (1)

Kasih sayang dan rasa cinta rakyat Kelantan kepada Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat bukan saja terbatas kepada mereka yang berada di sekelilinginya di Kelantan saja, tetapi rasa kasih dan sayang itu dirasai sama oleh rakyat Kelantan yang berada nun jauh dari Kelantan.

Tok Guru ternyata telah diterima sebagai guru dan pemimpin di Kelantan oleh rakyat Kelantan. Kecuali rakyat bangsa Umno, mereka berbangsa lain termasuk Cina, India dan Siam serta Orang Alis semua kasih, hormat dan menganggap Tok Guru sebagai kandi Cik Siti Wan Kembang.

Kehadiran Salahuddin disambut anak-anak Kelantan.
Ke mana Tok Guru pergi beliau akan disambut dengan penuh hormat. Rakyat Kelantan di mana jua akan ternanti-nanti kalau 'bunyi kabar' Tok Guru hendak datang. Mereka akan melakukan persiapan seadanya kerana mengira bukan mudah untuk bertemu Tok Guru kerana beliau kesibukan dengan tugas dan tanggungjawabnya.

Makanya bila ada saja khabar memberi tahu Tok Guru akan menjejak di mana-mana daerah ramai rakyat Kelantan mereka akan keluar berbolong-bolong.

Tamrin Ghabar sempat memberi ucapan.
Begitu lah apa yang berlaku di Kempas, Johor Bharu Jumaat lalu. Rakyat Kelantan yang bermastautin di Kempas dan daerah sekitar di Johor bergembira menanti kehadiran Tok Guru. Mereka berpakat seperti anak beranak 'berbewah' untuk meraikan kehadiran Tok Guru. Untuk di majlis di Kempas itu dua ekor lembu ditumbangkan. Walaupun bukan semuanya menyokong Pas tetapi mereka membuang politik seketika untuk sama-sama menyambut Tok Guru.

Sebahagian komuniti Kempas yang hadir.
Pada hari itu Tok Guru Nik Aziz dijadualkan hadir ke Kempas dalam satu majlis bertemu mata dengan anak-anak Kelantan di Johor bersempena dengan majlis penghantaran pulang Naib Preriden Salahuddin Ayub ke Johor. Katanya itulah kehadiran pertama kali Tok Guru ke Kempas khususnya di kawasan perumahan PPRT di mana lebih 70 peratus pengundinya ada terdiri anak-anak Kelantan.

Lagi para hadirin.
Kebanyakan mereka adalah yang datang berhijrah ke Johor kerana berkerja di Singapura kira-kira 30 atau 40 tahun lalu. Kebanyakan mereka juga dulunya adalah setinggan bandar di beberapa tempat yang ditempatkan di kawasan berkenaan. Saya juga tumpang rasa bangga dan bertuah kerana ramai juga anak-anak Kelantan dari daerah saya bermukim di situ. Dalam kesempatan ringkas itu dapat saya mengenali di antara satu sama lain, setengah begitu dekat dengan saya dan mengejutkan mengenali saya ke akar umbi keturunan.

Kehadiran aktor Haire Othman menjadi penawar duka.
Apa yang dapat disaksikan pada petang itu anak-anak Kelantan di perantaun begitu seronok dengan kedatangan Tok Guru. Semasa saya berbual-bual dengan beberapa orang penduduk mereka memberi tahu inilah pertama kali Tok Guru akan sampai ke tempat mereka. Justeru kedatangan itu nanti katanya merupakan satu tuah buah mereka di rantauan.

Menurut mereka kedatangan Tok Guru memberi kesempatan kepada mana-mana anak Kelantan untuk menatap wajahnya dari dekat. Kata mereka tidak bersalam pun tidak menjadi masalah, tetapi cukup dengan melihat wajahnya. Apa lagi kalau dapat bersalam dan bergambar ia merupakan tuah besar buat kami dan kenangan sepanjang hidup kerana bagi mereka Tok Guru juga dianggap seleberiti politus.

Apa yang menyebabkan mereka setengah tidak tidur malam menanti Tok Guru kerana itulah pertama kali pemimpin besar dari Kelantan singgah ke kawasan mereka di mana sebelum ini belum pernah ada mana-mana pemimpin besar dari Umno dan juga Pas sampai ke situ kecuali pimpinan Pas Johor yang sering mengjungi ke kawasan berkenaan.

Walaupun sudah lebih 20 tahun mereka bermukin di situ tetapi belum ada mana-mana pemimpin Kelantan terutamanya yang menjadi menteri singgah atau datang bertanya khabar masyarakat Kelantanh di situ. Jadi dengan adanya majlis berkenaan yang membawa sama Tok Guru Nik Aziz ia menggembira anak-anak Kelantan di Kempas.

Pada mula saya sampai di perkarangan majlis itu saya tidak percaya majlis itu diadakan di Johor apa lagi dianjurkan oleh Pas. Betapa tidak kehadirannya sangat-sangat membanggakan. Kebetulan saya pernah bermain degan politik Johor di akhir tahun 70-an saya tahu sangat bagai mana penerimaan orang Johor kepada Pas. Masa itu Pas benar-benar dagang di negeri Johor yang dianggap kubu Umno itu. Situasi hari ini dengan berpandukan kepada apa yang berlaku di Kempas itu di mana cawangan pun wujud di situ bermakna kubu Umno sudah pun pecah kalau pun belum ranap.

Tanah kosong yang terletak di lembah yang dilingkungi beberapa blok bangunan penuh sesak menyebabkan saya bertanya kepada diri, iyakah ini di Johor? Lama saya terpengun melihat keadaan itu. Dua subjek yang bermain dalam kepala saya tatkala melihat kemeriah majlis itu, bahawa orang Johor sudah berubah dan betapa padu dan eratnya tali kekeluargaan orang Kelantan.

Pada anggaran saya lebih 2,000 yang memeriahkan majlis berkenaan. Mereka turun habis anak beranak tidak kira kecil dan besar.  Berada dalam majlis itu dapat berbual dengan bangsa Kelantan dan beberapa kerat anak beranak sendiri terasa seronok benar. Suasana dapat mengaurakan kehidupan Kelantan dan anak-anak Kelantan di Johor juga merasakan mereka dikenang dan dirai. Masakan singgang daging petang itu menambakkan lagi rasa ke Kelantanan.

"Tak sah keleklah, mari gi rumah amo dulu...makan nasi biarlah dengan ikan kering pun...," begitulah bahasa lacak orang Kelantan. Yang mengenali saya semua mempelawanya untuk ke rumah masing-masing. Inilah bahasa mulut dan kelacatan orang Kelantan yang menjadi identiti atau trade mark, kalau berjumpa sesama Kelantan mereka akan pelawa ke rumah dan bertanya khabar dan bertitik keturunan. Sikap dan perangai ini juga yang kurang disenangi orang luar yang menganggapnya sebagai kekauman.

Peraturan majlis petang itu akan menyajikan jamuan makan akan bermula sebaik Tok Guru tiba. Sebelum Tok Guru dan para jemputan istimewa lain datang jamuan tidak dimulakan. Tetapi itu tidak menjadi masalah, kerana yang penting Tok Guru, tok guru punya fasal perut kosong tidak akan menjadi lapar. Lagipun salah adat kalau makan sebelum Tok Guru membasuh tangan dan menjamah makanan. Salah besar!

Masa berlalu hingga jam 5:30 bayangan Tok Guru tidak juga nampak. Majlis sudah bermula dengan ucapan ramah mesra dari tuan rumah dan tetamu jemputan lain termasuk Salalahuddin Ayub, Adun Semerak Wan Hasan Wan Ibrahim, Tamrin Ghabar Baba dan lain-lain. Majlis dipengerusikan oleh ketua pemuda Pas Johor Khaizan Kirat. Sambil mendengar ucapan sambil menanti kedatangan Tok Guru.

Sehinggalah apabila tiba giliran Salahuddin memberi ucapan beliau memberi tahu dan memohon maaf bagi pihak Tok Guru kerana tidak dapat hadir. "Saya maklumkan di sini Tok Guru tidak dapat bersama kita pada petang ini kerana kurang sihat, dia terlalu keletihan....insyaAllah malam nanti dia bersama kita," kata Salahuddin. Saya melihat saat itu juga muka beberapa beberapa orang duduk berdekatan saya beralih air muka, sedih dengan berita itu.

"Bagaimana pun kata Salahuddin Datuk Husam Musa akan bersama kita, dia dalam perjalanan ke mari," sambung Salahuddin berita ini menjadi pengubat kekecewa kerana Tok Guru tak dapat hadir. Iya setidak-tidaknya mereka dapat bertemu dan menatap wajah Husam dari dekat. Ketika ini angka dalam majlis sudah bertambah. Di sekeliling juga saya nampak ada beberapa anggota polis siap dengan motosikal dan kereta peronda untuk memantau keadaan. Mungkin polis juga bimbang takut-takut ada 'komunis' yang menganggu majlis itu. Namun alhamdulilah ia berjalan lancar dan aman.

Adalah sesuatu yang malang bagi komuniti Kelantan di Kempas Husam juga yang ditunggu tidak juga dapat hadir. Ringkasnya anak-anak Kelantan di Kempas petang itu diasak dua kali kecewa, pertama Tok Guru tidak dapat hadir, kedua pengganti Tok Guru juga tidak sempat hadir.

Tidak mengapalah duhai waris warah di Kempas tuan tubuh tidak hadir pun tak mengapa, cukuplah sekadar melihat dan menatap wajahnya dan bergambar berlatar belakang backdrop wajah Tok Guru.  Mungkin rezeki tidak ada tahun ini tetapi sewaktu pilihan raya nanti saya jamin Tok Guru dan Husam akan menjejak kaki ke Kempas yang kemudian akan mengumumkan perumahan PPRT Kempas menjadi Kampung Pas. [wm.kl.9:47 am 01/07/12]

No comments: