Tuesday, June 17, 2014

Pas Kelantan Pasca Nik Aziz (Pertama)

GELORA AWAL                                                                                

[SIRI INI AKAN MUNCUL TANPA BERKALA]

Pembentukan kerajaan Kelantan selepas pilihan raya ke-13 pada 6 Mei 2013 dalam tempoh tidak lebih 48 jam selepas selesai pilihan raya, dan tanpa Nik Abdul Aziz Nik Mat menyambungkan jawatan MB menimbulkan riak dan gelora khususnya dalam kalangan pemerhati politik di luar Kelantan.

Pemerhati melihat kerajaan Kelantan tanpa Nik Aziz itu sesuatu yang mengejutkan. Mungkin ia tidak bagi orang dalaman Pas Kelantan, tetapi "keterkejutan" itu jelas kepada pemerhati luar dan juga dalam kalangan marhaen Pas Kelantan sendiri.

Ini berlaku kerana sebelum itu tidak ada “riak risik” mengkhabarkan secara rasmi Nik Aziz tidak lagi akan menjadi MB selepas pilihan raya ke-13 itu. Hujah atau pun keyakinan kuat ialah apabila Nik Aziz masih menjadi calon di DUN Chempaka.

Dengan penglibatan beliau itu menyebabkan pemerhati serta mereka yang yakin dan senang dengan keperibadian dan kepimpinan beliau tidak menduga Nik Aziz akan meninggalkan kerusi MB yang telah diterajuinya selama 22 tahun. Apa lagi Pas dalam pilihan raya ke-13 itu menang dengan masih bergaya dan selesa.

Sekiranya Nik Aziz tidak bertanding di DUN Chempaka dalam pilihan raya lalu, semua orang tidak akan terkejut dan membuat tanggapan liar yang berbagai-bagai apabila pada 6 Mei 2013 itu beliau tidak ke Istana Kubang Kerian untuk mengangkat sumpah sebagai MB seperti mana dijangka dan diharapkan sesetengah pihak.

Pengundurannya juga sudah pasti akan dinanti-nantikan. Tidak adalah pelbagai versi agakan (spekulasi) mengenai pengundurannya. Kalau beliau tidak jadi MB orang tidak merasa pelik dan ganjil sekiranya sudah ada isyarat awal daripada belia atau Pas Kelantan.

Tetapi kerana beliau masih bertanding, menyebabkan pengundurannya menimbulkan sedikit persoalan dan menyebabkan ada anggapan Nik Aziz telah dimainkan. Ertinya pengundurannya sudah diatur dan dicaturkan demikian rupa? Pengunduran di luar dugaan dan rasanya sendiri.

Suka dinukilkan satu versi popular juga di sebalik persaraan Nik Aziz itu. Kononnya dia tidak menyedari apa sebenarnya yang berlaku. Maksudnya beliau masih belum bercadang untuk berhenti sebagai MB pada masa itu. Apa yang berlaku beliau hanya menyatakan sekiranya berlaku sesuatu terhadapnya, penggantinya ialah Ahmad Yaakub. Itu sahaja.

Sesuatu itu boleh ditafsirkan sekiranya beliau sudah tidak mampu lagi menjadi MB. Tetapi penggantinya bukan Ahmad Yaakub?

Apa menjadi tanda tanya dan kekhilafan beliau kenapa beliau tidak berterus terang mengenai kedudukan dan hasratnya? Selama ini beliau beberapa kali mengatakan soal penggantinya akan berlaku dengan sendiri. Saya sendiri pernah bertanya soal siapa penggantinya, beliau menjawab secara berkias; Rasulullah s.a.w. sendiri tidak pernah menunjuk siapa bakal penggantinya. Jadi mungkin Nik Aziz mengambil iktibar berkenaan. Beliau tidak sedia untuk menunjuk penggantinya dan tidak cuba membina karektor penggantinya.

Justeru apabila di hujungnya beliau dikatakan memilih Ahmad Yaakub sebagai penggantinya bermakna beliau akhirnya memungkiri kata-katanya sendiri. Dalam hal ini kita tidak percaya kalau Nik Aziz “belawak” atau munafik. Tidak ada kelas untuk orang sedarjatnya berbuat demikian. Beliau adalah dianggap insan maksum yang terhindar dari sifat-sifat mazmumah oleh segelintir pentaksud kepada pimpinannya.

Makanya pengunduran beliau pada saat itu, adalah kerana diatur dan dicatur demikian rupa. Penggunduran sudah didesign begitu indah dan cantik sekali dengan tujuan mencapai maksud dan niat-niat tertentu. Tidak ada di dalam mana-mana mesyuarat tertinggi parti baik di Kelantan mahupun di Kuala Lumpur beliau menyatakan hasrat itu secara tegas.

Siapakah yang menjadi pengatur dan pencaturnya kepada pengundurannya? Bersambung. [wm.kl. 8:05 pm 17/06/14]

2 comments:

bat8 said...

Tuan

Artikel ini amat dinanti-nantikan oleh pelbagai pihak terutama orang seperti saya, bukan ahli PAS tetapi penyokong PAS era kepimpinan ulamak s3jak muda.

Miz3 said...

Salam tuan,
Harap dapat edit semula rangkap berikut. Dibimbangi salah faham oleh sesetengah pihak.

'Beliau adalah dianggap insan maksum yang terhindar dari sifat-sifat mazmumah'

Juga dicadangkan untuk tuan menulis sebanyak mungkin mengenai kerajaan PR di pulau pinang. Bagaimana islam dan kampung melayu (infrastruktur dan fasiliti khususnya) dibantu dan apakah usaha yang telah dilakukan oleh Pas. Boleh juga sentuh mengenai kes Jaipp yang terbaru ini berlaku di bawah pimpinan dato salleh man dan kenaikan bil air yang mana jbapp di bawah pimpinan timb.pres Pas Abg Mat Sabu.

Terima kasih