Monday, June 16, 2014

Profesionallah dalam menangani maruah agama

SUSUPAN MALAM                                                                           

Pihak yang mahukan 321 naskah kitab Bible yang dirampas oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dari Persatuan Bible Malaysia (PBM) atas alasan di dalam kitab itu ada beberapa kalimah special untuk Islam seperti "Allah" dan sebagainya tidak berfikir secara rasional dan bertindak atas fakta undang-undang sebenarnya yang diterima pakai.

Tindakan mereka itu seakan-akan lebih mempertahankan kulit dari isi. Ia juga dibuat semata-mata untuk meraih sokongan politik dan bukan melambangkan sifat "fatanah" yang dianjurkan oleh Islam. Serentak itu juga bagi menunjukkan extremisme mereka terhadap agama. Dalam erti kata lain tindakan itu mempunyai serampang banyak mata.

100 buah NGO Islam yang menamakan diri mereka sebagai Pembela mendesak kerajaan Selangor agar tidak menyerahkan kitab Bible itu kepada PBM. Turut sama sependapat dengan NGO itu ialah ketua pembangkang di DUN Selangor yang tidak mahu kitab itu diserahkan kepada PBM.


MB Selangor Abdul Khalid Ibrahim telah mengarahkan kitab itu diserahkan kepada PBM. Khalid telah minta seorang Exco dan Penasihat Undang-Undang Negeri untuk berunding dengan pihak PBM untuk pemulangan kitab-kitab itu.

Arahan MB Selangor itu bersesuaian dengan keputusan dibuat oleh Peguam Negara Abdul Ghani Petail yang mengatakan tidak ada apa-apa pendakwaan berhubung rampasan kitab itu yang berlarutan lebih setahun dan kesnya sudah ditutup. Justeru kitab itu sebagai bahan kes perlulah dipulangkan kepada empunya PBM. Tindakan itu adalah standard.

Tetapi keputusan ini dipertikaikan oleh pihak berkenaan. Ia termasuklah Majlis Agama Islam Selangor (Mais) tidak mahu mengembalikan kitab berkenaan. Majlis itu yang bermesyurat Jumaat lalu memberi alasan untuk tidak mengembalikan bahan kes itu kerana ianya sebagai bercanggah dengan peruntukan kuasa yang ada kepada Mais menerusi Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan dan Penyebaran Kepada Islam) Selangor 1988.

Isu rampasan Bible itu sudah menjadi polemik dan ditarik menjadi isu politik. Kejadian ini sesuatu yang dikesali kerana sepatutnya apa-apa isu membabitkan agama tidak dijadikan perdebatan yang boleh mengeruhkan hubungan kaum dan keharmonian hidup warga negara ini yang berbilang kaum dan pelbagai anutan agama.

Dalam kes ini sepatutnya semua pihak, baik dipihak penguasa agama Islam atau Kristian melihat secara "jilah" dan jernih, bukan penuh dengan sentimen dan keegoaan. Misalnya kenapa Peguam Negara membuat keputusan begitu, perlu direnungi dan memahami akan sebab dan hikmahnya. Ianya hendak dibaca apa yang tersirat bukan melihat yang tersurat. Ia tentu ada motif disebaliknya dan tujuannya tentulah untuk kebaikan bersama bukan menambahkan bara dalam api yang sudah menyala.

Walaupun Mais dikatakan ada kuasa serta ruang untuk tidak mengembalikan kitab Bible itu, seeloknya Mais tidak meneruskan hasrat mereka itu. Sebagai institusi agama yang menjaga maruah dan airmuka agama, Mais bukan sahaja perlu memastikan kedudukan atau maruah agama tidak tercemar, tetapi ia juga perlu memikirkan mengenai keselamatan dan kententeraman umum. Mais seharusnya menjadi contoh dengan memaparkan akhlak yang dikehendaki agama bukan bersikap ala-ala Taliban.

Bukankah Islam itu sendiri menganjurkan perdamaian, bersikap tolenran serta membuka pintu perundingan dalam apa sahaja keadaan. Atas semangat negara yang membenarkan semua orang mengamalkan kebebasan beragama, walaupun Islam sebagai agama rasmi negara, isu-isu seperti kes rampasan Bible itu sangat perlu diatasi dengan akhlak dan tanggungjawab demikian.

Kita bimbang sekiranya Mais masih tetap berdegil untuk tidak menghormati keputusan Peguam Negara dan arahan kerajaan Selangor, menyebabkan isu kitab Bible itu akan berpanjangan. Sudah tentu selepas ini pihak PBM akan membawa ke mahkamah untuk mendapat bahan bukti itu. Pihak sebelah sana tidak ada pilihan lain. Apa yang perlu diingatkan apa jua tindakan mereka dan asakan ke atas mereka ia memberi ruang kepadanya untuk mendapat simpati dunia. Dalam hal ini pihak sini perlu peka dan bijaksana serta bijak mengatasinya.

Sekiranya semua ikhlas untuk meredakan keadaan dan tidak ada niat untuk melukai hati antara satu sama lain, adalah baik dan lebih bijak bagi pihak PBM atau Kristian sekiranya mereka akur sahaja dengan kehendak Mais dan pihak-pihak yang "bersikeras" untuk tidak memulangkan kitab berkenaan. Biarkan Mais menghapus ataupun terus menyimpan kitab itu sebagai kenangan atau bahan sejarah.

Dengan cara begitu sahaja isu rampasan Bible yang menjadi bahan polimek dan ditangguki sebagai modal politik itu akan berlalu. Hari ini apa yang diperhatikan oleh umum dan dunia pihak mana yang bersikap rasional, terbuka dan profesional dalam menangani agama masing-masing termasuk membelanya. Dan sesungguhnya pembelaan dan kepedulian kepada agama perlu dilakukan dengan penuh profesional kalau ianya mahu dihormati oleh semua pihak.

Apa-apa agama pun ajarannya bukan menghukum tetapi menasihati demi kebenaran dan kebaikan sejagat. Tuhan juga telah membahagikan agamamu untukmu agamaku untukku. [wm.kl.10:58 pm 16/06/14]

1 comment:

sizzly7761 said...

Apakah keputusan MAIS ini (enggan mengembalikan bahan bukti @ bible)telah dirujuk dan mendapat perkenan dari Ketua Agama Islam Negeri ? Atau MAIS dan NGO yang terlibat hanya berpolitik dan cuba menguji dan memperolok-olokkan undang-undang @ keputusan AG? Nampaknya tindakan MAIS dan NGO ini akan menjadi satu beban kepada Islam itu sendiri yang telah sekian banyak 'rosak' kerana perbuatan penganutnya @ pemimpinnya yang kurang 'wisdom' dan tidak menghayati Islam sebagaimana yang Nabi SAW ajarkan!