Tuesday, March 24, 2015

Kemukakan RUU persendirian membelakang Raja-raja?

ULAS KATA                                                                                     

Abdul Hadi silap?
Dua faktor kenapa Enakmen Jenayah Syariah II (1993) (Hudud) menjadi celaru dan sukar untuk reda kini, pertama kerana pembentangan RUU Hudud itu di DUN Kelantan pada 18 Mac lalu dibuat dalam keadaan tidak kemas, tidak penuh cermat menyebabkan masih ada kecacatan-kecataan atau kekabur (khilaf) kepada RUU berkenaan.

Kedua, sebaik ia diluluskan oleh DUN Kelantan, Presiden Pas Abdul Hadi Awang pula semacam seperti dikejar hantu "Kak Limah" terus menghantar notis untuk mengemukakan rang undang-undang persendirian (private bill) di parlimen.

Tidak diketahui apakah penghantaran notis oleh Abdul Hadi itu dibincang dalam kominiti ahli parlimen Pas ataupun tidak. Apakah ketua whip, Mahfuz Omar diberi tahu ataupun dilanggar atas alasan Mahfuz hanya ketua penerangan yang kedudukannya jauh lebih rendah daripada presiden atau Mursyidul Am.  Namun dari segi prosuder Mahfuz harus diberi tahu dan perlu mendapat persetujuan kerana di parlimen kedudukannya lebih tinggi daripada Abdul Hadi.

Dua keadaan ini menyebabkan perkembangan Hudud menjadi selesema, tidak sihat dan menjadi penuh kontroversi. Gara-gara pembentangan itu tidak kemas dari aspek teknikal dan perundangan maka Hudud Pas dikecam banyak pihak. Bukan sahaja golongan akademik, perundangan, aktivis sosial, pejuangan hak asasi tetapi rakan-rakan sekutu mereka juga menolak, PKR dan DAP mempertikaikan tindakan Pas itu.

DAP dengan jelas menyatakan tidak setuju dan beranggapa apa dilakukan Pas itu sebagai khianati janji, dan perbuatan menikam dari belakang. Sementara PKR lebih berlunak sedikit dengan mengatakan mereka tidak menolak Hudud, cuma tidak berkenan dengan cara Pas mengemukakan undang-undang berkenaan. Namun kesimpulannya DAP dan PKR menolak atau tidak bersetuju dengan Pas.

Ketergesaan dalam tindakan Pas itu menyebabkan beberapa keperluan asas, fakta-fakta pokok dan implikasi daripada tidakan itu tidak difikir secara mendalam. Tundingan mengatakan rancangan melaksanakan Hudud itu sengaja dihalang oleh bukan Islam kurang tepat dan tidak bijaksana. Gara-gara itu maka timbullah seruan dan kecaman agar orang bukan Islam (khasnya DAP, Gerakan dan MCA) jangan sebut dan sentuh soal Hudud kerana mereka tidak ada hak, Hudud adalah mutlak hak Islam.

Kecaman itu kasar bunyinya, dan kurang bijaksana serta tidak menggambarkan negara ini sebuah negara dibangunkan dengan kerjasama berbagai-bagai kaum seperti mana yang sudah diikrarkan. Di sinilah keterlupaan orang Melayu, tidak kira Pas waima Umno bahawa mereka bukan mempunyai kuasa besar, tetapi hanya memiliki kelebihan sekitar 20% hingga 30% sahaja. Bukan 100%.

Perkara perlu difikirkan ialah hasrat untuk melaksanakan Hudud itu membabitkan pindaan akta tertentu dan perkara (fasal) dalam Perlembagaan yang memerlukan sokongan padu. Yang jelasnya ada satu akta yang terlibat, Akta 335 mengenai bidang kuasa Mahkamah Syariah 1965, dan Perkara 76A(1) yakni kuasa untuk melaksanakan Hudud kepada negeri Kelantan.

Apabila ia melibatkan persetujuan parlimen maka semua ahli parlimen sebagai anggota legislatif terbabit dan berhak untuk membahaskannya. Hak ini dijamin oleh parlimen tanpa mengira atau mengasingkan apakah seseorang ahli parlimen itu beragama Islam atau tidak, berbangsa Melayu ataupun tidak. Inilah kuasa dan keistimewaan parlimen dalam sistem demokrasi. Dalam parlimen tidak ada batas dan retorik mengenai ketuanan negara, kononnya negara ini hak Melayu?

Atas hakikat itu maka semua ahli parlimen ada right bercakap mengenai Hudud. Mungkin mereka tidak berhak mempertikaikan keperluan Hudud dan kewajiban melaksanakannya dari konteks Islam, tetapi dalam sudut perundangan dan perlembagaan mereka berhak dan kedudukan mereka sama tinggi dan sama rendah dengan ahli parlimen Melayu dan beragama Islam. Perkara ini kena difahami sedalam-dalamnya bagi mengelakkan kita membuat tafsiran silap terhadap hak dan kewajiban ahli-ahli parlimen dan meremehkan kuasa parlimen yang kita sendiri dokong.

Di sini seeloknya orang Islam terutamanya Pas dan Umno tidak mudah menafikan hak ahli parlimen untuk bercakap mengenai implikasi Hudud dari konteks perlembagaan itu. Mereka perlu diberi penerangan secara baik dan memohon agar bersetuju bagi memudahkan hasrat itu. Apabila berkeras dan bengis melarang agar mereka jangan campur, (kerana mengharap kepada Umno saja), menyebabkan mereka liar dan hilang toleransi. Apa yang berlaku kepada DAP sudah jelas hakikat ini.

Saya tidak nampak kalau ahli parlimen bukan Islam tidak faham mengenai status dan perkara ini. Mereka semua adalah cerdik pandai, terdiri daripada ahli profesional dan bukan kelas ustaz "juz ama", mereka tentu tahu apakah sudut yang boleh mereka pertikaikan dan mana yang tidak boleh dipertikaikan. Mana yang relevan dipersoalkan dan mana yang tidak. Saya rasa mereka bertindak bukan berdasarkan emosi, tetapi kepada fakta dan sejarah yang akurat.

Berbalik kepada tindakan Abdul Hadi tadi, kesilapannya ialah tidak berbincang dengan rakan mereka yang profesional sebelum menghantar notis RUU Persendirian (private bill) itu. Tindakan bersedirian dan tergesa-gesa itu seolah-olah Abdul Hadi ada pilihan dan sokongan lain dan tidak mengharapkan kepada kerjasama anggota parlimen DAP dan PKR lagi. Dalam hal ini nampaknya beliau percaya dan yakin dengan bantuan dan jaminan politik daripada Umno.

Apakah benar begitu? Mendengar kepada ulasan para pemimpin Umno, misalnya daripada Teuku Adnan Teuku Mansor, Mohamed Nazri Aziz, Jazlan Mohamad dan lainnya, menunjukkan mereka tidak bersedia menyokong Pas dalam masalah Hudud ini.

Walaupun semua 12 orang Ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan daripada Umno melaung menyatakan "setujuuuuu"... dengan Hudud, tetapi wakil mereka, Md Alwi Che Amat yang membahas dengan memberi isyarat mengenai kegagalan Pas mendapat persetujuan parlimen nanti, apabila menyatakan pembentangan (enakmen pindaan Hudud) itu tidak mengikut roadmap dikemukakan oleh Jawatankuasa Teknikal Hudud membawa pengertian mencurigakan.

Apakah makna dan erti kata-kata Alwi itu?

Jika diperhatikan kepada roadmap dikemuka atau disarankan oleh Jawatankuasa Teknikal Hudud itu lebih berperaturan dan lunak, berbanding dengan apa dilaksanakan oleh Kerajaan Kelantan. Jawatakuasa Teknikal Hudud yang dipengerusikan Ketua Hakim Syarie Sheikh Ghazali itu mahu kerajaan negeri menumpukan terlebih dahulu pelaksanaan undang-undang jenayah yang terletak di bawah kuasa negeri yang melibatkan empat jenis hukuman, zina, qazaf, minum arak dan murtad.

Justeru sebelum pindaan atau pembaikian Kanun Jenayah Syariah II (1993) dilakukan kerajaan Kelantan atau Pas itu hendaklah menumpukan kepada perubahan bidang kuasa di bawah Mahkamah Syariah 1965 terlebih dahulu. Hari ini kerana ketidakpatuhan kerajaan Pas kepada roadmap dikemukakan oleh Jawatankuasa Teknikal Hudud itu menyebabkan timbul kesangsian apakah pindaan bagi membolehkan Hudud dilaksanakan diterima perlimen atau pun tidak.

Pada mulanya RUU persendirian untuk meminda akta mengenai Mahkamah Syariah itu akan dibawa oleh menteri bukannya oleh wakil Pas. Bagaimana pun menteri tidak bersedia untuk mengemukakan usul berkenaan kerana kedegilan Pas khasnya Pas Kelantan yang mahu terus perkara Hudud dibentang di parlimen.

Ada satu akta dan satu fasal (perkara) dalam perlembagaan yang perlu dipinda, Akta 335. Mungkin pindaan akta ini tidak ada masalah kerana ia hanya memerlukan simple majoriti (122), tetapi untuk meminda Perkara 76A(1) mungkin menjadi masalah kerana ia melibatkan Perlembagaan dimana memerlukan sokongan 2/3 di parlimen.

Dalam konotasi lain apa dicadangkan oleh Jawatankuasa Teknikal Hudud berkenaan, dapatkan tali dahulu sebelum hendak tangkap beruk.

Persoalannya apakah Abdul Hadi tidak diberi taklimat jelas mengenai perkembangan dan implikasi ini sebelum beliau mengemukakan notis kepada parlimen untuk membawa usul persendirian itu?

Dalam hal ini, memandangkan Mahkamah Syariah atau hal ehwal mengenai agama Islam berada dibawah bidang kuasa Raja-Raja, adalah satu kesilapan dilakukan Pas apabila mereka tidak terlebih dahulu memaklumkan apa yang hendak dilakukan itu kepada Raja-Raja.

Harus diingat pindaan Akta 335 dan Perkara 76A(1) itu terpakai bukan sahaja untuk negeri Kelantan sebaliknya terpakai untuk seluruh negeri-negeri yang bersekutu dengan Malaysia. Maka adalah wajar dan patut kalau maksud itu juga disampaimaklumkan kepada kesemua Raja dan Sultan yang ada.

Apakah dengan tidak memaklumkan kepada Raja-Raja itu tidak boleh dianggap cadangan untuk membawa usul persendirian oleh Abdul Hadi mengenai Hudud itu tidak boleh dianggap sebagai membelakangi Raja-Raja dan Sultan?

Mungkin ramai orang tidak tahu bahawa RUU Hudud itu pernah hendak dibentangkan dalam persidangan majlis raja-raja, tetapi ia ditolak. Bukankah itu telah memberi gambaran yang Raja-Raja tidak memberi perkenan? Sediakan untuk melakukan sesuatu yang tidak diperkenakan raja hendak dilakukan.

Apakah penolakan itu tidak dapat difahami oleh Pas dan Abdul Hadi Awang? Atau Abdul Hadi tidak diberi tahu langsung mengenai perkembangan ini. Apakah tugas dan tanggungjawab Ahmad Yaakub sebagai MB Kelantan orang yang membawa usul Hudud itu dan Mohd Amar Nik Abdullah sebagai timbalan pengerusi Jawatankuasa Teknikal Hudud bersama, tidak memaklumkan perkara itu kepada Abdul Hadi Awang?

Dan apakah perkara sepenting ini tidak ada dalam pengetahuan Takiyuddin Hassan yang merupakan Penolong Setiausaha Agung dan juga yang dianggap mahir dalam perundangan?

Ataupun dalam kes ini, berlaku kealpaan ataupun sikap kurang cakna, sehingga maruah dan daya intelektual presiden boleh tercemar? Apakah ia sengaja dilakukan untuk menjatuhkan martabat presiden? Atau pun Abdul Hadi sedang mengadakan ujikaji untuk melihat sikap sultan dan raja sejaun mana mereka ambil berat kepada hukum Islam?  Walahu'alam.
[wm.kl.9:54 am 24/03/15] 

9 comments:

IbnAbdHalim said...

Terbaik! Apapun, Pas telah masuk perangkap UMNO. Kambing hitamnya ialah puak UG.

Unknown said...

Terlebih dahulu ucapan tahniah atas usaha untuk melaksanakan hudud di Kelantan. Walau bagaimanapun, nampaknya perjalanan semakin jauh. Jangan hanya Akta 355 sahaja yang dilihat. Semua akta Persekutuan mempunyai bidangkuasa melebihi Akta 355. Tolong pinda sekali Akta 574, Akta 593, Akta 67, Akta 91 dan banyak lagi Akta Persekutuan yang lain. Ini bagi mengelakkan percanggahan yang mana akhirnya akan menyebabkan pelaksanaan Hudud tergendala. PAS berjuang di landasan demokrasi, maka prinsip demokrasi harus dipatuhi. Bukankah begitu wahai pemimpin utama PAS?

sizzly7761 said...

Aduyai....inilah kalau sesuatu perkara tu di buat secara kelam kabut dan tidak berpandangan jauh. Kalau sekadar hudud ini hendak diperkenalkan untuk cari glamour maka PAS kelantan telah melakukan kerosakan yang teruk kepada PAS secara keseluruhan sebagai sebuah parti politik yang sudah mendapat tempat dihati melayu dan bukan Islam. Kalau diperhatikan golongan yang terburu buru dengan EKJS @ Hudud ni semuanya dari geng UG @ Ulamak dan ustaz Juz Amma. Kelompok profesional yang mahir undang2 dalam lujnah undang2 mungkin tidak dilibatkan agaknya? Justeru itu dilihat tindakan Presideng HHA dilihat semacam tidak memahami peraturan dan undang2 yang paling asas dan penting iaitu Perlembagaan. Presideng HHA seolah tidak diberi panduan dan nasihat yang betul. Atau presideng ni cuba mengulangi perangai dan cara yang dilakukan dalam kemelut MB Selangor..buat kerja secara sembunyi dan melanggar muafakat? Dari segi catur politik, nampaknya Geng UG @ ulamak ni dah pun di 'check mate' oleh UMNO! UMNO Kelantan lebih cerdik berpolitik kerana telahpun berjaya melepaskan diri dari dituduh tidak mahukan hudud. Mereka juga tahu bahawa tindakan presideng ni adalah satu tindakan yang tidak akan memberikan kejayaan malah boleh membunuh PAS! Bagi mereka lebai2 yang bernafsu utk nama @ glamour ni mudah dijinakkan. Tapi oleh kerana sikap bodoh sombong dan tiada 'wisdom' dalam merencanakan sesuatu perkara yang baik dan besar ini, maka tindakan tetap juga nak diteruskan walaupun sudah pasti tentang nasibnya di parlimen! Baik mursyidul am mahupun presideng..MB Kelantan dan TMB kelantan..sosok2 ini adalah mereka yang perlu dipertanggungjawabkan jika PAS kembali mundur menjadi parti lebai kampung kerana tidak belajar dan hadam nasihat Marhum TGNA yang menasihatkan berhati2 dan jangan sekali2 percaya dengan tipudaya UMNO! Sangat aneh bila si lebai yang faqih percaya dan mengharapkan perompak,perasuah,kaki perempuan,kaki pau @ penjahat menyokong undang2 yang akan menjerat mereka... PAS kini ibarat siluncai yang terjun dengan labu-labunya...kerana terlalu menganggap diri lebih mulia dan lebih dekat dengan Tuhan maka pandangan orang lain tidak didengari....malah bagi geng UG ni, kalau tak dapat kuasa pun takpa asal redho Allah.. nampak sangat pasifnya geng UG ni dan cuba menggunakan jalan mudah ke 'syurga'.

Anonymous said...

Apa nak dikatakan lagi.Nak ditelah mati kerbau,nak diluah mati lembu,nak buang semua ternakan mati,lebaih baik mereka golongan ulamak ni kemam je.Tak tahulah selmat ke tidak.kah.kah.kah

Anonymous said...

orang munafik bukan nak tolong menjayakan hudud, tetapi mereka banyak komen, alasan macam macam, berdalih dengan beri macam2 fakta..inilah perangai orang munafik

Unknown said...

Mudah saja....pru14 menampakkan pr akan membentuk kerajaan...jadi plan b harus digerakkan dgn memecah pihak lawan menjadi kumpulan2 kecil...kumpulan2 kecil tidak akan mengatasi kumpulan besar...hasilnya kumpulan besar memenangi pertempuran....

Unknown said...

Kalau mengaku islam sokong aje jangan banyak alasan.Jika ada kekurangan buat penambahbaik bukan tolak tepi.DAP pun nak bersama umno tolak hudud siapa UG sebenarnya.MSO mata hati kamu sudah buta telinga kamu pun dah pekak.Atas dunia dah nampak akhirat Allah yang maha mengetahui.

Nor Hasin said...

Mengapa kita terlalu mudah melabelkan orang itu dan orang ini munafik? Sila baca dan faham dengan jelas apa yang MSO tulis. Beliau menulis mengikut situasi sekarang iaitu sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan. Bila PAS menyertai Pilihanraya hendak tak hendak PAS kena ikut sistem demokrasi ini.
Penjelasan yang dibuat oleh MSO sudah jelas dan apa yang dikatakan oleh Mohd Alwi dalam DUN Kelantan baru-baru ini juga jelas. UMNO kelantan boleh menyokong dan lulus diperingkat DUN tetapi bagaimana diperingkat PUSAT? Kerusi Parlimen yang UMNO + PAS ada masih tidak cukup untuk meminda perlembagaan. Kalau campur dengan wakil PKR + DAP yang berbangsa melayu pun masih tidak cukup untuk meminda perlembagaan bagi menjayakan hudud ini. Jadi apa motif tindakan semua ini? UMNO kelantan sudah boleh mendabik dada bahawasanya kita dah sokong lulus diperingkat DUN dan kalau tak lulus diperingkat Parlimen itu bukan kuasa kita. Yang penting kita dah buat kerja kita diperingkta DUN. Sama juga dengan PAS bukannya mereka tak tahu implikasi ini tetapi sebab degil dan tak nak dengar nasihat dan nak menonjolkan bahawasanya zaman aku memerintah kelantan aku dah berjaya buat peraturan untuk melaksanakan hudud. Samada lulus atau tidak lulus diperingkat parlimen itu soal lain, bab kata Mursyidul Am baru yang penting keredhaan Allah.
Kesan daripada tindakan ini PAS telah kehilangan sahabat dari Pakatan Rakyat. Begitu juga dengan undi daripada bukan Islam. Pilihanraya akan datang tidak mustahil PAS akan kehilangan banyak lagi kerusi dan yang pasti adakah PAS boleh lagi menjadi sebahagian kerajaan yang memerintah di Selangor? Jangan jadi yang dikejar tak dapat dan yang dikendong berciciran.

Unknown said...

Menulis cari makan, ditegur takboleh, kata otak kemetot,
rasa pandai melebihi orang lain,
ingatlah Pak MSO, segala kebaikan dan segala keburukan sebesar zarah pun akan di timbang untuk diadili di Maksyar nanti, Allah Maha Pengampun tetapi bagi sesame manuasia perlu kemaafan daripada mereka terlebih dahulu...... Sekara Ingatatan sesaman muslim!!!