Sunday, December 6, 2015

Ada "kuliya" kalau undang-undang MKN digubal untuk selamatkan Najib

Walaupun pemahaman Dr Mahathir Mohamad mengenai Undang-undang Keselamatan Dalam Negeri (KDN) yang dilulus dalam parlimen kelmarin dengan undi mempunyai unsur prejudis kepada Najib Razak, tetapi jika dilihat kepada kejadian-kejadian atau tindakan PM itu sebelum ini, ia ada benarnya.

Dr Mahathir menyifatkan kelulusan undang-undang berkenaan sebagai merampas kuasa Yang Di-Petuan Agong dan memberi kuasa mutlak kepada Najib sebagai perdana menteri. Bagi Dr Mahathir martabat dan kuasa yang ada kepada PM naik sedarjat lagi dan mengarahkan kepada wujudnya seorang PM diktator.

"Dengan kuasa itu dia boleh mengistyharkan darurat dengan mendakwa terdapat ancaman keselamatan. Siapa sahaja yang didakwa cuba sabotaj negara boleh ditangkap." Demikian kata Dr Mahathir dipetik.



Tentu bagi mereka yang sekubang dengan Najib menyesali pandangan Dr Mahathir itu dan menganggap bekas PM itu sengaja mahu memburuk-burukkan Najib.

Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi awal-awal telah menjelaskan serentak menafikan pandangan Dr Mahathir itu kononnya undang-undang itu digubal demi keselamatan negara dan rakyat bukan memelihara kekuasaan Najib. Jawaban Zahid itu standrad dengan jawaban-jawaban beliau sebelum ini atas sifatnya sebagai bumper  kepada Najib.

Beberapa undang-undang yang diwujudkan sebelum ini dan mendapat kelulusan kontroversi di parlimen, ia bertolak atas kepentingan rakyat, tetapi apabila ia dilaksanakan jelas pelaksanaan itu bermotif politik mempertahankan Najib. Di sini sekali lagi berlaku pengotoran demokrasi menerusi parlimen.

Banyak contoh kalau hendak disebutkan macam mana bukan sahaja agensi kerajaan, bahkan beberapa institusi yang menjadi harapan dan penggantungan rakyat untuk menjamin keharmonian dan keselamatan negara pun, telah disalah gunakan untuk mempertahankan Najib. Misalnya apa yang berlaku terhadap SPRM, Jabatan Negara dan PDRM - institusi yang bebas dan tidak patut diganggu, baru-baru ini berhubung kasus 1MDB, jelas tindakan secara legal institusi itu adalah untuk mempertahankan Najib.

Apa yang berlaku itu sangat mengecewakan rakyat begitu juga dengan pegawai kerajaan yang terlibat dan dipaksa melakukan sesuatu yang bertentangan dengan naluri dan piagam perkhidmatan mereka. Penaungan dan campur tangan yang melampau ke dalam institusi itulah juga menimbulkan kemarahan dan menjadikan pegawai kerajaan tidak berpuas hati.

Pengalaman dan sejarah itulah menyebabkan kita berasa tidak pelik dengan apa yang Dr Mahathir bimbangkan itu, yang Najib akan menyalah gunakan undang-undang MKN itu untuk kepentingannya. Sementara jaminan Zahid itu hanya boleh didengari tetapi bukan untuk dipercayai jauh sekali diyakini.

Maka saya tidak menolak dan akan berasa pelik kalau tiba-tiba Najib menjadi PM pertama mengistyharkan darurat atas maksud untuk mempertahankan dirinya. Sudah pasti nawaitu dan semangat penggubalan undang-undang berkenaan ada maksud yang tersirap seperti mana disebut Dr Mahathir itu. Dalam hal ini walaupun pandangan Dr Mahathir itu merupakan persepsi tetapi ketidakmustahilan kepada natijah buruk itu ada.

Dalam pada itu kalau Najib dan mereka yang menjadi pagar mempertahankan dirinya, kebetulan memiliki kuasa dan diberikan mandat oleh rakyat, jika tidak ada motif tertentu mereka tidak akan menggubal undang-undang MKN tersebut.

Kelulusan undang-undang bersifat untuk kepentingan diri ini sekali lagi parlimen digunakan secara paksa untuk meluluskan undang-undang yang dicipta untuk seorang manusia seperti mana diterjemahkan Dr Mahathir itu dengan mengadaikan maruah dan mandat rakyat di dewan yang mulia. [wm.kl.7:40 pm 06/12/15]

No comments: