Tuesday, May 3, 2016

DUN Terengganu perlu dibubar untuk beri laluan pilihan raya baharu

ULAS POLITIK GANU

Senario politik di Terengganu adalah lebih menarik dengan keadaan di Sarawak ketika ini yang dalam proses pemilihan kerajaan baharu. Di Sarawak walaupun parti BN (PBB) sedang berperang ke titisan darah terakhir bagi memertahankan maruah dan kuasa, namun keputusannya seakan sudah dapat dibaca. BN akan terus kekal berkuasa di negeri Bumi Kanylang itu.

Mustapa Ali
Di Terengganu, keadaan politiknya tertutup dan terbuka, sekejap off sekejap on. Senario politik Terengganu menjadi tidak tentu arah sejak berlakunya pertukaran MB, daripada Ahmad Said kepada Ahmad Razif Abdul Rahman dua tahun lepas yang dianggap berlaku secara paksa dan mengejut. Suasana dalam Umno Terengganu kini seakan terkena badi keramat Ahmad Said?

Peristiwa usul tidak percaya kepada Ahmad Razif yang dibawa bekas MB Ahmad Said kemudian diselamatkan oleh Speaker, Zubir Embong telah meletakkan suasana politik di negeri Penyu itu bergelora. Musim panas el Nino tidak memberi kesan, lautan politiknya terus bergelora dan menenangkan.

Perkembangan terbaharu, pelucutan semua gelaran ke atas MB Ahmad Razif, oleh Sultan meletakkan politik negeri berkenaan dalam keadaan gelora. Walaupun Najib Razak yang dikatakan sudah menghadap Sultan dan menjelaskan kedudukan Ahmad Razif tidak terjejas, namun kenyataan itu diragui dan menjadi tanya tanya sejauh manakah kebenarannya?

Apakah pelucutan yang dibuat secara rasmi itu dikembalikan semula kepada Ahmad Razif? Adakah apa-apa pernyataan penarik balik pengguguran itu?

Sebelum ini pun, semasa krisis kepimpinan memuncak, Ahmad Razif memberi jaminan kerajaan pimpinannya berjalan lancar dan meminta semua pihak memandang ke depan. Beliau meminta tidak ada pihak yang membuat spekulasi dan menyifatkan apa yang berlaku ada satu fitnah.

Tetapi beberapa hari atau minggu selepas beliau membuat kenyataan itu, kedudukannya bergoyang. Beliau berhadapan dengan usul undi tidak percaya di DUN Terengganu. Bayangkan apa berlaku kalau usul berkenaan dibenar untuk dibahas, mungkin Ahmad Razif sudah tenggelam di Lautan China Selatan mengalami nasib lebih buruk daripada Ahmad Said.

Walaupun beliau dijamin kekal sebagai MB, tetapi situasi Ahmad Razif hari ini tidak ubah seperti sekor kera di atas pokok kelapa tinggi yang sedang dihayung angin. Tidak lena dan tidur terganggu malam dan siang.

Apa yang disebut dan diulas oleh Pengarah Pilihan Raya Pas, Mustapa Ali berhubung kedudukan Ahmad Razif adalah tepat. Kata Mustapa dalam satu kenyataan, kedudukkan Ahmad Razif sebagai MB tidak selamat apabila hubungan MB dengan Sultan tidak lagi hormoni.

Bukan itu sahaja, sokongan terhadap Ahmad Razif juga dalam keadaan sama banyak, 16:16, kini dimana keadaan ini Ahmad Razif tidak mendapat sokongan majoriti. Jadi kenyataan bahawa Ahmad Razif kekal sebagai MB Terengganu ia bersifat sementara sahaja kerana bila-bila masa kerajaan yang tidak stabil boleh runtuh bercelabak.

Dalam hubungan itu, saya menghubungi Mustapa Ali menjelang tengah hari tadi, bertanya lanjut kepadanya kenapa Pas seakan tidak berminat untuk "mencuri" kesempatan atas pergolakan Umno itu untuk menubuhkan kerajaan. Jawaban Mustapa sealiran dan senada dengan pendirian Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, yang Pas sama sekali tidak akan menunjukkan moral rendah dalam politik.

Ertinya Pas sama sekali tidak akan bermain jahat walaupun Umno sudah beberapa kali bermain jahat dengan Pas termasuk di Terengganu sendiri pada tahun 1962 merampas menerusi undi tidak percaya kerajaan pimpinan Daud Samad.

Jelasnya Pas lebih selesa kalau memenangi dan menubuhkan kerajaan dengan sokongan padu rakyat dan mnerusi pilihan raya. Bukan itu sahaja tegas Mustapa, kalaupun Pas dapat mencuri dua tiga kerusi Umno untuk mendapat majoriti kemudian menubuh kerajaan ia juga tidak akan tahan lama.

"Mungkin kita dapat menubuhkan kerajaan, tetapi ia juga bersifat sementara, kerana mungkin ada pula selepas ini yang akan lari dan berpakat dengan pihak lain, menyebabkan kerajaan baharu (Pas) itu juga akan jatuh," ujar Mustapa sambil menyifatkan ia merugikan masa dan menyusahkan rakyat.

Beliau ketika dihubungi dalam perjalanan ke Kucing Sarawak, lebih yakin kepada pembubaran Dewan Undangan Terengganu bagi membolehkan pilihan raya diadakan daripada Pas mengambil kesempatan atas apa yang berlaku.

"Biarlah kita gentlemen, bubarkan DUN dan kita lawan menerusi pilihan raya, kita serahkan mandap keada rakat," kata Mustapa.

"Sebaik-baik tindakan hari ini Ahmad Razif jangan cuba menyelamatkan kerajaan dalam keadaan rapuh, dan sebaik-baik tindakan ialah menasihati Sultan agar bubar Dun Terengganu," sambung Mustapa.

Apa yang dijelaskan Mustapa itu memberi jawaban kepada beberapa pertanyaan termasuk yang diajukan kepada saya, oleh beberapa pihak yang bertanya kenapa Pas Terengganu seoleh-olah begitu alim dan waruk dalam politik hingga sanggup mengabaikan hidangan yang terbuka.

Maksudnya mereka mahukan Pas mengambil kesempatan atas pergolakan Umno itu untuk membalas dendam lama yang pernah dilakukan Umno ke atas kerajaan Pas pimpinan Daud Samad 54 tahun lampau.

Sikap dan pendirian Pas itu, mungkin tidak disukai dan dianggap kurang bijak berpolitik oleh golongan sekular atau pengamal politik Machiavelli, tetapi dari segi etika itulah kekuatan Pas dalam menjaga moral dan etika politik Islam yang cuba dipraktikannya? [wm.kl.3:51 pm 03/05/16]

1 comment:

Unknown said...

Salam tuan, walaupun saya kurang senang dengan kepimpinan baharu PAS, dalam babak ini saya sangat bersetuju dengan pendapat Mustafa Ali.. Bubar DUN, biarkan rakyat yang tentukan..