Friday, July 20, 2018

Harap Pas kekal sebagai pembangkang yang sihat

SOROTAN PARLIMEN

Tuan Ibrahim berucap membahas titah ucapan di Raja.
ANTARA ucapan Ahli Parlimen yang ditunggu-tunggu di sidang penggal pertama parlimen ke 14 yang sedang berlangsung kini, ialah ucapan daripada wakil Kubang Kerian, Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga Naib Presiden Pas.

Kenapa ia menjadi tumpuan, kerana beliau pertama kali melangkah ke dalam dewan dan bersuara di parlimen. Sebagai orang baharu berkedudukannya pula sebagai pemimpin Pas masa depan, tentu beliau diberi tumpuan dan menanti-nanti sesuatu yang lain bakal ditampilkan.

Sebagai Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim akan menjadi pembimbing wakil rakyat Pas di parlimen.

Apa lagi beliau dikenali sebagai seorang pendakwa, motivator yang sarat dengan ilmu agama. Dengan kedudukan itu sudah pasti beliau dapat memberi sumbangan bermakna sebagai oposisi, setidak-tidaknya juga menjadi pendamai di antara dua pihak dalam dewan ketika ini, kerajaan (PH) dengan anggota bekas kerajaan, UBN. Sebagai pihak yang hilang kerajaan pasti Umno akan menyerang kerajaan baharu untuk melepas marah dan dendam kepada, PH. Di antara keadaan inilah diharap Pas dapat berdiri di tengah-tengah dengan adil selaku pendamai.

Walaupun Pas juga sebagai pembangkang, tetapi sikap atau prinsip parti itu untuk jadi pembangkang yang matang membawa sejahtera ummah satu perkara yang diletakkan ke atasnya untuk diperhatikan, sejauh mana peranan itu dihidupkan Pas. Maka Tuan Ibrahim menjadi "ikon" kepada impian itu setelah wakil Marang Abdul Hadi Awang yang sudah usang dalam parlimen, dan tidak proaktif seperti sebelum ini.

Kekosongan atau tugasan ditinggalkan Abdul Hadi boleh diambil peranan berkesan oleh Tuan Ibrahim. Harapnya kerusi Pas dalam parlimen kali ini tidak hanya panas tetapi ada suara.

Dalam ucapan membahas titah ucapan di raja, oleh Kubang Kerian yang diperuntukan 30 minit beberapa perkara atau maudu' menarik yang bangkitnya. Di awalnya Tuan Ibrahim mengharap kerajaan PH berlaku adil dan sedia menunaikan janji-janji seperti mana dilafazkan. Perkara utama dibangkit dan diberi peringatan oleh Kubang Kerian ialah mengenai royalti petroleum.

Peringatan alias tuntutan itu menjelaskan perjuangan Pas untuk mendapat royalti yang dituntut di zaman kerajaan dahulu (UBN), dipelopori oleh Husam Musa menerusi Ngo "R" diteruskan. Mungkin kenapa tuntutan atau peringatan digaris awalkan oleh wakil Kubang Kerian, ekoran ada kenyatan dan jemain oleh Dr Mahathir Mohamad akan bersedia memberi royalti kepada Kelantan dan juga negeri-negeri lain mengikut semangat Federalisme dan perjanjian.

Dan kita berharap Dr Mahathir tidak akan melupai apa yang diperkatakan itu. Dan sekiranya Husam ditakdirkan diberi tanggungjawab untuk menguruskan hal itu menerusi apa-apa instrumen dikendalinya nanti, bekas wakil rakyat Kubang Kerian itu akan berikhtiar memastikan permintaan wakil Kubang Kerian baharu itu dilaksanakan demi rakyat Kelantan.

Perkara lain ditimbulkan Tuan Ibrahim mengenai keperluan mahkamah syariat diperkasakan bagi membolehkan beberapa tuntutan umat Islam dilaksanakan. Untuk ini beliau berharap kerajaan akan membawa sendiri RUU 355 yang tergendela itu ke dalam sidang dewan.  Menurutnya banyak  perkara yang dapat diselesaikan sekiranya RUU diluluskan apabila mahkamah syariah dapat diperkasakan.

Contohnya ia boleh meredakan kerisauan yang timbul di kalangan umat Islam untuk melaksanakan Islam setelah RUU 355 itu diluluskan kelak. Beliau menarik perhatian hari ini umat Islam terhalang untuk melaksanakan syariat Islam seperti penutupan aurat disebabkan kelonggaran atau kelemahan undang-undang Islam. Sebagai contoh katanya pekerja MAS dilarang daripada menutup aurat, dan ada juga syarikat swasta mencegah pekerjanya menutup aurat. Menyedihkan lagi katanya ada syarikat yang halang pekerja untuk bersolat Jumaat.

Saranan tidak kurang penting juga dibuat oleh wakil Kubang Kerian ialah, meminta kerajaan mengawasi kenyataan di media sosial yang menjadi keresahan rakyat apabila ia menyentuh sensitivi bangsa dan agama. Baginya kenyataan itu sangat merbahaya kepada masa depan bangsa dan negara. Beliau menarik perhatian hal ini tidak boleh dielakkan apabila ada parti politik ditubuhkan atas platform bangsa dan agama.

Memang kebebasan mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan ketegangan ini tidak membawa kebaikan kepada masa depan negara dan boleh memecah belahkan perpaduan perlu ditangani oleh kerajaan. Ingin ditambahkan dalam perkara ini mungkin kerajaan khasnya menerusi Kementerian Komunikasi dan Multi Media (KKMM) dan JAKIM menubuhkan sebuah pemantau khas untuk memastikan apa diungkit oleh Kubang Kerian itu tidak berterusan.

Pasukan khas ini pula hendaklah disertai wakil daripada semua pihak termasuk daripada parti oposisi, badan bebas dan antara kaum lain-lainnya.

Isu lain yang juga disentuh oleh Kubang Kerian mengenai fitnah terhadap Pas yang kononnya menerima RM90 juta. Baginya tuduhan itu disifatkan perkara atau tuduhan yang belum dipastikan. Ertinya beliau tidak menolak langsung tuduhan itu sebagai bohong yang memberi kesan teruk kepada Pas di sepanjang pilihan raya lalu.

Sepanjang Kubang Kerian berucap beliau dicelah oleh enam orang wakil, termasuk daripada Tangga Batu (PH), yang bertanya dan menzahirkan perasaan hairan kenapa Pas sebelum ini tidak menyerang BN tetapi kini seperti bersedia memberi sokongan kepada kerajaan PH. Celahan wakil Tangga Batu itu dinafikan Tuan Ibrahim, dengan menempelak wakil itu, katanya tidak betul Pas tidak serang BN, kerana Pas menyerangkan BNlah sehingga di Kelantan dan Terengganu BN tidak menang dan PH tidak mendapat satu kerusi pun.

Di akhir ucapan Tuan Ibrahim membawa petikan surat Saidina Ali bin Abi Thalib kepada Malik Harith al-Ashtar, gebenur Mesir yang mengingatkan agar tidak mempersia-sia kuasa yang diberikan rakyat dan hendaklah menggunakan kuasa sebagik ,dan jika tidak kuasa itu akan ditarikh.

Sebenarnya kata-kata dan peringatan itu bukan sahaja tertuju kepada kerajaan PH tetapi ia juga berlaku kepada kerajaan Kelantan dan Terengganu yang dikuasai partinya sendiri.

Titik akhir ucapannya wakil Kubang Kerian itu menegaskan; "Pas sedia menyokong apa-apa sahaja dasar kerajaan PH yang tidak bercanggah dengan Islam dan menguntungkan rakyat dan akan menentang jika ia bercanggah dengan Islam dan merugikan rakyat." [wm.kl.8:22 am 20/07/18]

No comments: