Monday, July 16, 2018

Sidang pertama parlimen ke 14 bermula dengan kekecohan?

SUSUPAN PETANG

Mohamad Ariff Mohd Yusuf Speaker ke 9.
SAYA percaya ramai yang menanti sidang parlimen ke 14 yang bermula hari ini dengan penuh minat dan bersemangat. Apa yang mereka harapkan sepanjang sidang kali ini biarlah berjalan penuh tertib, profesional dan kesemua 222 orang ahli dewan dapat menjalankan tugas mereka dengan baik.

Ada beberapa signifikan kenapa keadaan itu timbul. Pertama, kerana inilah dalam masa 60 tahun, Malaysia bertukar kerajaan daripada kerajaan Perikatan (UBN) kepada kerajaan pembangkang - Pakatan Harapan. Dalam dewan hari ini lebih 100 orang anggota dewan beralih blok dari kiri ke kanan, dan dari kanan ke kiri.


Dr Wan Azizah dan Dr Mahathir.
Dahulu mereka menjadi wakil kerajaan, mempertahankan segala dasar dan polisi mereka yang dikritik dan tidak disenangi pembangkang, kali ini giliran pembangkang pula menjadi kerajaan. Peralihan itu memberi peluang kepada mereka pula bertindak menjadi pembangkang dan menunjukkan profesionalisme mereka. Keadaan atau situasi ini yang menjadi minat orang ramai, mahu melihat hasil perubahan ini.

Wakil pembangkang cuba bantah.
Apa diharapkan sidang parlimen kali ini akan berubah gaya dan bentuknya. Dari suasana persidangan yang riuh randah, kadang kadang lebih dahsyat daripada suasana di sebuah pasar, kepada persidangan dalam dewan yang harmoni dan profesional setaraf dengan kedudukan parlimen sebagai dewan legislatif.

Walaupun parlimen penggal lalu dijanjikan perubahan dan Speaker ketika itu Pendar Amin Mulia menjanjikan reformasi terhadap sidang parlimen, tetapi ia tidak ke mana pun. Persidangan dan suasana parlimen tetap juga riuh randah dan brantakan seperti sebelum ini. Pandikar Amin sendiri gagal bertindakan menjadi seorang "wasil" yang adil dan profesional.

Justeru orang menanti pula untuk menyaksikan persidangan parlimen ke 14 ini. Perhatian khusus akan diberikan kepada Speaker baru dilantik, Mohamad Ariff Md Yusuf. Serjauh manakah beliau berwibawa, adil dan profesional dalam menjalankan tugas dan tanggungjawabnya.

Dalam ucapan sulungnya sebagai sebaik dilantik, Mohamad Yusuf, bekas Hakim Mahkamah Rayuan berjanji akan menjalankan tugasnya dengan penuh profesional dan adil. Beliau menegaskan akan bertindak sebagai Speaker yang akan mendengar suara rakyat yang dibawa oleh ahli parlimen tanpa bias. Nama Mohamad Ariff dicadang oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan disokong oleh Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Maka parlimen kali ini hendaklah berjalan dengan tenang, telatah wakil rakyat juga akan terkawal dan mencerminkan sebuah parlimen yang matang. Itulah harapannya.

Bagaimana pun apabila sidang dewan bermula hari ini yang dijangka bersidang selama 20 hari, ia sudah menunjukkan tanda-tanda yang mengecewakan. Dalam urusan pelantikan Speaker pada sessi pagi tadi, telah berlaku kekecohan atau perangkai lama yang meloyakan telah terserlah. Belum apa-apa ahli parlimen sudah tunjuk perangai. Semua ahli parlimen pembangkang bertindak keluar Dewan sebagai membantah atas pelantikan Mohamad Ariff sebagai Speaker.

Alasannya remeh sahaja, kerana notis konon pelantikan Ariff tidak diserahkan dalam tempoh yang sepatutnya kepada Setiausaha Dewan mengikut peraturan Perkara 4(1). Pembangkang mendakwa, penyerahan nama Ariff kurang daripada tempoh itu. Walaupun Setiausaha Dewan menjelas dan memperakui surat penamaan Ariff itu diterima 2 Julai, tetapi ia tidak diterima. Pembangkang dalam sidang akhbarnya di luar dewan menyanggakan tempoh itu tidak mencukupi, ia dikutip berdasarkan laporan media massa sebagai hujah.

Tindakan keluar dewan beramai-ramai itu bakal memperlihat perangai pembangkang tidak mudah berubah walaupun parlimen sudah masuk ke penggal ke 14. Yang dikesalkan walaupun sebagian besar ahli parlimen pembangkang hari ini asalnya kerajaan, tetapi pengalaman dan peluang mereka menjadi wakil kerajaan tidak membantu mereka menjadi pembangkang berakhlak dan berwibawa.

Perangai dan sikap mereka tunjukkan seolah-olah pengalaman yang ditimba bertahun itu lupus sebaik sahaja mereka bergelar menjadi pembangkang selepas kerajaan mereka tumbang 9 Mei lalu. Turut juga dikesalkan kepada sikap ahli parlimen parti agama (Pas), yang selama ini mengakui matang dan sejahtera dan menjadi pihak berkecuali turut sama mengekori wakil UBN.

Hakikat itulah mengeciwa kita. Sepatutnya pihak pembangkang berubah sikap dan perangai, tidak bertindak terburu-buru untuk melakukan protes. Apa yang agak melucukan dan menjadi tindakan mereka tanda tanya, mereka berada di luar Dewan seketika sahaja kemudian menjenguk semula ke Dewan untuk ikut sama mengangkat sumpah.

Yang juga menimbulkan kelucuan dan kekecewaan apakah mereka masih jahil dengan peraturan Dewan? Ada suara-suara pembangkang yang menjerit membantah dengan cuba merujuk kepada peraturan Dewan -- Point of Order. Apakah mereka tidak faham bahawa keperluan mereka untuk menggunakan Point of Order masih belum sahih kerana mereka masih belum mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan?

Sepatutnya kekeliruan dan ketidakan fahaman ini tidak berlaku kerana mereka sudah ada pengalaman sebanyak sekurang-kurang 10 kali menguruskan persidangan Dewan Parlimen. Sayang jangka masa itu tidak mematangkan mereka.

Seperkara lagi yang agak menyedihkan, mereka hanya keluar sekejap sahaja, kemudian masuk balik. Selepas mengadakan sidang akhbar dan menghabiskan sebiji kueh dan secawa kopi, masuk semula untuk menyertai sidang dewan bagi mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan. Orang yang berada di hadapan mereka angkat sumpah adalah orang yang mereka protes itu. Sepatutnya mereka tidak berbuat demikian, kalau pun tidak mahu menghormati Speaker tetapi hormatilah maruah sendiri.

Mereka boleh mengangkat sumpah di lain waktu dalam masa 60 hari ini. Mungkin di hadapan Timbalan Speaker?

Hendaknya kekecohan yang bermula hari ini, tidak akan berterusan dan menjadi brand pula kepada perlimen penggal ini dan ia tidak menggambarkan itu sikap pembangkang baahru yang dinamakan pembangkang 1 Pembangkang kini. Pembangkang 1 Pembangkang ini biarlah berwibawa, bermaruah dan dapat menggalas aspirasi rakyat.

Jadilah pembangkang yang profesional sesuai dengan usia parlimen kita. Apa yang penting juga perlu diingati rakyat diluar sana akan menilai anda di sepanjang sidang ini kemudian akan membuat keputusan lima tahun akan datang.

Di akhir catatan ini ingin saya merakamkan ucapan syabas kepada bekas Ketua Pemuda Umno yang juga Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan ahli Parlimen Kiminas Hanifah Aman yang tidak terikut-ikut perangai rakan-rakan mereka dalam Umno dan juga Pas. Tampaknya kedua sosok ini lebih matang dan bersikap profesional. [wm.kl.3:19 pm 16/07/18]

No comments: