Tuesday, December 3, 2019

7 Perkara perlu dibangkit dalam persidangan Keadilan dan Amanah

ULASAN

KONVENSYEN Nasional Amanah dan Kongres Keadilan yang akan berlangsung minggu depan (6 hingga 8 Disember) perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh para perwakilan bagi menyuarakan apa-apa yang mereka tidak puas hati khasnya berkaitan pengurusan parti dan juga perjalanan kerajaan PH.

Kongres atau konvensyen itu tidak boleh dianggap sebagai formaliti dan tanggungjawab berorganisasi untuk memenuhi kehendak perlembagaan semata-mata, sebaliknya perlu dilihat lebih penting daripada itu. Ia adalah forum yang diadakan setahun sekali.

Membincang dan merancang hala tuju dan masa depan parti sangat mustahak dibuat dalam persidangan berkenaan.

Para perwakilan adalah kuasa yang dimandatkan rakyat setelah tertubuhnya kerajaan untuk menjadi pengislahan dan pemantau. Tugas dan tanggungjawab rakyat sudah selesai apabila mereka memilih parti (PH) untuk membentuk kerajaan. Tugas dan tanggungjawab untuk memastikan kerajaan berjalan mengikut seperti dirancangkan adalah tanggungjawab parti politik.

Manakala tugas untuk memantau perjalanan parti dan kerajaan pula terletak di atas batu jemala ahli parti. Ahli parti pula mewakilkan kepada para perwakilan yang akan menghadiri persidangan untuk meneruskan tugas mereka. Sekiranya peluang itu tidak diambil maka sia-sialah mandat diberikan oleh rakyat, kemudian oleh ahli kepada anda.

Di sini bagi menjamin kerajaan PH berjalan dengan lancar dan memenuhi aspirasi rakyat maka ia perlu dipantau sepanjang masa. Tugas memantau ini bagi menjamin kerajaan melaksanakan apa-apa yang dijanjikan kepada rakyat tempoh hari semoga terlaksana dengan baik. Pemantau juga perlu agar jentera kerajaan bergerak dengan baik dan tuntas.

Kebetulan dengan persidangan dua daripada empat parti gabungan PH tersebut, elok kalau ia diambil dan digunakan untuk tujuan pembaikian serta penambah baik kerajaan dan juga pemantapan gabungan PH itu sendiri. Persidangan itu boleh melontarkan apa-apa suara rakyat yang sumbang kepada kerajaan.

Melihat kepada apa yang berlaku kini, ada beberapa perkara yang dianggap terdesak perlu diperbaiki segera. Jika ia tidak dipedulikan ia akan menjejaskan kerajaan PH. Kelemahan yang berlaku kini ia membahayakan kerajaan. Dan kelemahan dan ketempangan ini boleh disuarakan menerusi persidangan itu. Walaupun ia boleh dilakukan oleh individu yang memegang jawatan tetapi ia tidak terlaksana dengan baik seolah-olah ada kengkangan.

Misalnya kabinet bermesyuarat setiap minggu di situlah segala permasalahan, tindakan idea untuk membangun negara diaksanakan. Mesyuarat it dipengerusikan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir. Selain itu dari sisi parti pula ada mesyuarat Majlis Presiden PH. Tetapi masih belum cukup. Ada hal-hal tertentu, kelemahan dan kecacatan dalam kerajaan tidak terucap oleh menteri kerana sebab-sebab tertentu. Demikian juga dalam majlis presiden.

Justeru, kerana kengkangan inilah maka rakyat, ahli bawahan perlu memainkan peranan mereka. Dua persidangan itu atau persidangan parti PH lain perlu bertindak sebagai suara mewakili rakyat seluruhnya. Tidak salah dalam tanggungjawab itu apa-apa dibangkit oleh pembangkang juga perlu diambil kira.

Dalam penelitian saya ada beberapa perkara yang kini seperti terdesak untuk dibangkitkan bagi diberi perhatian dan tindakan oleh pihak pengurusan PH dan kerajaan.

1. Desak Dr Mahathir agar umumkan pelan transisi pengganti beliau kepada Anwar. Biarlah Dr Mahathir menyebut tarikhnya dengan pasti tanpa terus berteka teki seperti hari ini.

2. Mendesak agar diadakan rombakan kabinet dalam kadar segera bagi menjamin kemantapan kerajaan. Sehubungan itu pecat mana-mana menteri yang tidak mencapai KPI dan diganti dengan muka-muka baru.

3. Gesa Keadilan agar menyelesaikan masalah dalam parti itu, perbalahan di antara Azmin dengan Anwar yang kini mewujudkan dua kem dalam parti itu. Jangan biarkan ia terus merebak dan membesar serta membusuk keadaan.

4. Desak kerajaan mengambil perhatian serius kepada kelemahan beberapa agensi kerajaan yang tidak membantu kerajaan. Contohnya penerangan yang lemah menyebabkan rakyat belum mengetahui yang kerajaan Malaysia kini dikuasai oleh PH.

5. Desak kerajaan mengemaskan jentera kerajaan dan politik, dengan mengisi jawatan-jawatan dalam agensi kerajaan dan politik. Sebagai contoh melantik segera penyelia parlimen untuk 80 kawasan parlimen yang dimenangi oleh pembangkang. Usia kerajaan kini sudah memasuki tahun kedua namun pelantikan itu belum dibuat.

6. Bertindak tegas ke atas mana-mana ketua-ketua jabatan atau pegawai kerajaan hatta pegawai bertaraf Jusa dan Turus yang secara terang-terang menunjukkan penentangan, tidak akur kepada perubahan kerajaan.

7. Mendesak PH menyediakan pelan persediaan untuk menghadapi kerjasama dan penggabungan Umno dengan Pam yang mewujudkan Muafakat Nasional. Muafakat in tidak boleh dihadapi secara bersendirian oleh parti-parti PH. Muafakat ini dilihat menjadi ancaman kepada PH dalam Piraum akan datang. 

Itulah beberapa perkara yang perlu diangkat ke dalam persidangan kedua-dua dua buah parti berkenaan. Ahli di bawah tidak perlu merasa malu, takut dan bersikap "malu alah" untuk membangkitkan perkara tersebut dengan berani dan telus. [wm.kl.11:53 am 03/12/19]

No comments: