Saturday, November 30, 2019

Amanah perlu dijana jadi parti Islam efektif

KONVENSYEN

PARTI Amanah Negara (Amanah) akan mengadakan konvensyen nasional kali ke 3, tanggal 6 hingga 8 Dismber depan berempat di IDCC Shah Alam, Selangor. Ia akan bermula dengan konvensyen Awan (Muslimat) dan Pemuda lebih awal. Tema konvensyen ialah, entah?

Konvensyen kali ini dikira hangat kerana ia membabitkan pemilihan dianggap kurba sejak parti itu ditubuhkan empat tahun lalu. Barisan kepimpinan yang ada sekarang walaupun merupakan barisan kepimpinan dipilih, tetapi ia masih bersifat "protem", kepimpinan asal apabila kebanyakan yang memanggungnya adalah pemimpin awal dari kalangan mereka yang bertanggungjawab menubuh Amanah.

Konvensyen kali ini akan menyaksikan Wanita Amanah Nasional (Awan) dan Pemuda akan mendapat ketua baru. Ketua Awan, Dr Mariah Mahmud telah mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan begitu juga dengan ketua Pemuda, Mohd Sany Hamzah dan timbalannya Muhammad Faiz Fadzil sudah cukup tempoh. Dijangka pemilihan kedua-dua sayap parti ini menarik.

Naib Presiden Dr Mujahid Yusuf tampaknya menjadi antara pemimpin Amanah pertama yang bercakap atau diminta mengulas mengenai konvensyen berkenaan.

Menurutnya Amanah adalah sebuah parti yang telus dan terbuka yang memberi kebebasan kepada ahlinya untuk menegur dan mengkritik. Katanya ahli boleh menyampaikan apa-apa teguran dan kritikan asalkan dalam ruang sesuai menggunakan pendekatan beradab.

Sewajarnya kalau itu diharapkan demikian kerana Amanah adalah parti yang bernuasakan agama mengutamakan pendekatan dan prinsip agama sesuai dengan antara tujuan kewujudannya untuk menjadi alternatif kepada parti agama (Pam).

Mengambil kira tawaran dan peringatan Mujahid itu seharusnya ahli yang menjadi perwakilan mengambil kesempatan dengan baik. Tidak akan mensia-siakan forum atau "ijtimak" itu nanti dengan hal-hal remeh temeh. Mulai sekarang ini mereka boleh menyenaraikan apa juga apa-apa yang mereka ingin sampaikan untuk penilaian dan pemerhatian parti menerusi konvensyen tersebut kelak.Sesuatu yang hendak dibawa biarlah berkualiti.

Dalam pada itu Mujahid membuat jangkaan sendiri apakah yang akan disentuh oleh presiden dalam ucapan utama konvensyen berkenaan. Menurut firasatnya presiden Mohamad Sabu akan bercakap ke arah memperteguhkan parti, menjadikan Amanah sebagai parti menjujungi konsep Rahmatan lil-alamin yang kini sudah menjadi konsep atau slogan Malaysia baru.

Elok juga kalau Mohamad memberi penekanan kepada soal perpaduan dan ukhuwah dalam parti ini. Ada keretakan berlaku dalam Amanah akibat kesan daripada pemilihan, terutamanya di peringkat kawasan dan negeri. Jika diperhatikan solidariti anggota Amanah dan kesungguhan mereka dalam perjuangan tidak sekental sebelum Piraum ke 14 lalu.

Sememangnya konvensyen berkenaan seharusnya dimanfatkan sepenuhnya oleh ahlinya. Apabila disebut kritikan dan teguran, ia tentu bukan sahaja untuk kebaikan parti dan memperkasakannya. Sebaliknya ia juga perlu meliputi kritikan ke atas penampilan dan pencapaian pemimpin dengan tanggungjawabnya, baik sebagai pemimpin parti maupun pemimpin kerajaan.

Dalam hal ini semua pihak perlu terbuka dan bersikap fleksible menerima apa-apa teguran, kritikan dan pandangan nanti. Jangan melihat kritikan itu suatu kebencian dan dengki sebaliknya satu pengislahan yang murni. Teguran itu nanti jangan sahaja terhadap perjalanan parti itu sudah berusia empat tahun tetapi kepada pemimpinnya juga baik dalam parti dan juga kerajaan.

Mengakui kelemahan.
Berhubung teguran dan kritikan ini, ia tidak menjadi tanggungjawab dan kewajiban ahli-ahli yang memegang jawatan semata-mata, sebaliknya batang tubuh mereka (pemimpin sendiri) juga perlu peka kepada kelemahan dan kekurangan diri sendiri. Mereka perlu jujur dalam soal ini jika mahu melihat Amanah mempunyai masa depan cemerlang.

Pemimpin tidak hanya perlu menerima kritikan, sebaliknya perlu banyak bermuhasabah diri sendiri dan sedia responsif untuk memperbaiki. Menganalisa apakah mereka sudah berperanan dan memainkan tanggungjawab sebagai khalifah sebaik-baiknya. Perlu disedari kewujudan Amanah itu bukan sebagai badan siasah untuk merebut kuasa semata-mata, tetapi membimbing ummah ke jalan diredhai Allah. Inilah roh dan intipati Amanah itu.

Ditimbulkan ini kerana bimbang ada mereka yang memegang jawatan, masih berseronok dengan jawatan tanpa mengetahui apakah falsafah dan tanggungjawab yang harus dilunasi dengan jawatan itu. Jawatan sesuatu perkara bukan main-main dalam Islam. Ia merupakan satu amanah dan tugas yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab dan keinsafan.

Apa yang disebut dalam surah al Ahzab 72, bermaksud, "Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat (tanggungjawab dan rahsia - P) kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khawatir akan mengkhianatinya, sebaliknya manusia sedia memikulnya"., boleh dijadikan iktibar dan renungan. 

Tafsiran "amanah" dalam firman ini berbagai, namun dua pokok besarnya; tanggungjawab sebagai pemimpin dan tanggungjawab memikul "sir" (rahsia) Allah. Pokok amanah dan "sir" itu sangat berat sekali sehingga ia tidak sedia dipikul oleh makhluk lain, gunung ganang dan bukit bukau. Gambaran diberikan itu mencerminkan menjadi seorang pemikul tanggungjawab itu berat dan mencabar. 

Saya kira semua pemimpin memahami tarbiyah atau definasi firman berkenaan. Maka mulai sekarang mereka secara senyap perlu menghisab dan muhasabah diri apakah mereka selama tempoh berkhidmat itu telah dapat menjalan tanggungjawab dengan sempurna dan berkesan atau tidak.

Atau mereka hanya berseronok dengan jawatan yang disandang itu. Menganggapnya sebagai cenderamata. Lebih malang lagi  kalau ada yang menganggap perjuangan mereka sudah sampai ke klimaks apabila berpeluang memegang jawatan tinggi yang tidak termimpi sebelum ini.

Di sini dengan memahami akan tanggungjawab dan penganugerahan amanah atau rahsia itu bolehlah difahami mereka yang memikul tanggungjawab sebagai pemimpin itu sangat besar sekali. Dalam hubungan ini jika mereka dapat melaksanakan tanggungjawab itu dengan baik mereka orang hebat sebaliknya kalau gagal mereka sekeji-keji manusia. Mereka bukan memperdaya orang lain tetapi diri sendiri juga.

Nah, begitu juga dengan para pemimpin parti dan kerajaan daripada Amanah, mereka perlu bertanggungjawab kepada tugas mereka itu dan perlu memberesinya. Dalam melaksanakan ini mereka kena jujur, ikhlas dan bertanggungjawab.

Untuk mengsukseskan ini mereka perlu jujur menerima teguran dan ikhlas memberi reaksinya. Dan sekiranya tugas dan tanggungjawab itu tidak terpikul mereka juga harus sedia apologetik dengan meletakkannya secara sukarela tanpa dalih dan alasan.

Perbetulkan kelemahan.
Selanjutnya mengenai konvensyen Amanah nanti, ada beberapa perkara yang cacat dalam Amanah yang boleh diperbetulkan sekiranya ia mahu jadi parti masa depan yang lebih efektif dan disokong ramai.

Pertama, ialah Amanah kena pinda perlembagaan berhubung sistem pemilihan kepimpinan dalam parti dari semua peringkat; kawasan, negeri dan nasional. Sistem digunapakai hari ini dimana pemimpin utama dipilih dikalangan sekelompok ahli jawatankuasa (komite pusat) tidak begitu kondusif dan menimbul masalah.

Pemilihan pemimpin utama perlulah melibat anggota lebih ramai dan bukan diserahkan kepada beberapa orang atau kelompok sahaja seperti dipraktik kini.

Barangkali ramai yang belum mengerti proses pemilihan pemimpin dalam Amanah. Pemilihan ketua kawasan, pengerusi negeri, timbalan dan naib, dan presiden, timbalan presiden dan tiga naib dalam parti itu tidak dilakukan oleh ahli mengikut jawatan yang dipertandingkan. Sebaliknya ia dipilih dikalangan sejumlah mereka yang dipilih menganggotai AJK pusat itu.

Peringkat kawasan ketua dipilih dari kalangan 15 AJK peringkat negeri dari kalangan 17 AJK dan peringkat nasional 23 orang AJK. Kelompok yang terpilih inilah akan menentukan ketua dan timbalannya, menurut budi bicara masing-masing sama ada secara undian atau pun syura. Manakala AJK tambahan akan dilantik dengan kuasa yang ada kepada ketua atau presiden.

Apa menimbulkan masalah dengan sistem ialah, wujudnya kepuak-puakan. Ini berlaku apabila mereka menawarkan diri berada dalam sesuatu kelompok (cai). Sistem pemilihan ini juga menyebabkan timbul pemilihan menurut senarai atau "cai". Walaupun pewujudan cai ini tidak dianjurkan namun ia terjadi secara automatik.

Kekecohan yang berlaku dalam pemilihan peringkat di beberapa kawasan dan negeri sebelum ini boleh diambil perhatian. Gara-gara cai menyebabkan semua yang berada dalam kumpulan yang kalah tidak terpilih untuk menjadi ahli jawatankuasa. Sistem, cai ini juga memungkinkan berlaku perpecahan dalam parti. Walaupun masing-masing mengaku tidak akan berpecah, tetapi apabila mengalami kekalahan disebabkan sistem itu perbalahan tidak dapat elak daripada terjadi. Orang politik sangat kuat menyimpan dendam dan bermuka-muka.

Sebaik-baik sistem pemilihan ialah, bukan secara berkumpulan tetapi memilih menerusi jawatan yang dipertandingkan. Maksudnya sesiapa hendak bertanding jawatan itu harus menawar diri secara gentlemen untuk jawatan itu, bukan secara berkumpulan, menumpang cai. Dengan sistam pemilihan menurut jawatan, ia boleh menghalang mereka yang tidak layak daripada menawarkan diri, sebaliknya dengan sistem kelompok ini mereka tidak berkelayakan pun boleh menawarkan diri kerana mereka bergantung kepada kelompok (cai).

Perkara kedua yang patut juga dilihat oleh Amanah ialah pengurusan parti khususnya Jabatan Setiausaha. Kejadian terdapat banyak cawangan dibatalkan, tidak didaftarkan atau mesyuarat terpaksa diadakan lebih dua kali, malahan ada sampai tiga kali sungguh memalukan. Istilah mesyuarat "repair" tidak patut berlaku kalau organisasi diurus secara profesional.

Kelemahan ini menunjukkan kelemahana di jabatan pengurusan parti. Amanah perlu membuat perubahan dan memperkemaskan organisasi parti. Jika perlu jabatan pengurusan perlu dirombak sepenuhnya. Keluyuran parti ini juga dilihat kerana berlakunya kelemahan dan kecacatan di tingkat pengurusan tertinggi ini.

Jujur dinyatakan mereka yang diberi tanggungjawab mengendalikan pengurusan ini bukan saja mereka yang komited dengan kerja, tetapi hendaklah bersikap adil dan bekerja secara jujur dan penuh amanah. Mereka juga perlu bekerja secara profesional, tidak mengadakan mesyuarat atau membincangkan sesuatu perkara itu menerusi grup WhatsApp tetapi perlulah secara manual. Dan penting mereka perlu memahami peraturan dan perlembagaan bukan pakai rembak sahaja.

Sebagai contoh ada notis-notis mesyuarat dibuat dalam masa tidak mengikut tempohnya, semisalnya seminggu atau 14 hari tetapi ada dibuat dan diputuskan dalam masa kurang 48 jam. Semacam menguruskan parti dalam masa perang atau darurat. Ada arahan-arahan kebenaran dan pembatalan dibuat di saat-saat hendak berak dan hendak kencing.

Seperkara lagi yang patut disemak dan difikirkan Amanah, parti itu perlu ada satu unit pemantau bebas mengenai pencapaian para pemimpinnya khasnya dalam kerajaan. Unit ini tidak perlu terikat dengan parti atau mereka memegang apa-apa jawatan. Unit ini, bolehlah dianggap sebagai badan seperti hiban (monitoring body) yang menyediakan laporan kepada parti mengenai kelemahan, kesalahan atau apa-apa salah laku pemimpin itu.

Dengan adanya badan ini ia dapat memastikan para pemimpin menyedari kelemahan atau apa yang mereka belum capai. Kewujudan badan ini menjadikan pemimpin itu sentiasa peka dan berwaspada dengan apa yang mereka patut dan tidak patut lakukan.

Selamat berkonvensyen semoga forum itu menghasilkan natijah terbaik. [wm.kl.9:17am 30/11/19]

No comments: