SENANDUNG TENGAHARI
SUDAH lebih seminggu sebahagian besar ahli Parlimen telah menulis warkah pohon Yang di-Pertuan Agong supaya menggunakan kebijaksanaannya bagi mempertimbangkan supaya Parlimen dibenarkan bersidang sekali gus memansuhkan darurat yang diisytiharkan 12 Januari lalu.Tampaknya belum ada apa-apa respons daripada pihak Istana.
Tidak ada sebarang kenyataan atau siaran media dikeluarkan oleh pejabat Istana Negara berkaitan dengan surat-surat permohonan itu? Yang ada, laporan polis dan kertas siasatan dibuka kononnya surat itu tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong.
Apakah permohonan dan desakan itu tidak menjadi perkara keutamaan untuk diberi perhatian oleh Agong? Dengan itu boleh dianggapkan Agong mempercayai seratus peratus dan berpuas hati kepada nasihat perdana menteri agar proklamasi darurat itu diadakan untuk mencegah Covid-19 dan Parlimen tidak perlu dipanggil untuk bersidang.
Keadaan sepi itu menjadikan Muhyiddin Yassin selesa dengan kedudukannya sebagai perdana menteri. Lawatan ke luar negara yang pertama sejak mengangkat sumpah jadi perdana menteri ke Indonesia memberi petunjuk bahwa beliau selesa dengan kedudukannya.
Beliau tidak perlu berasa bimbang dengan keselamatan dan kuasa yang dimilikinya walaupun rata-rata orang menyifatkannya sebagai rapuh dan rangkup. Muhyiddin sudah makin pandai menjadi seorang perdana menteri yang tahu memelihara kedudukannya serta menggunakan kuasanya untuk mempertahankan kerajaannya. Kuasa prerogatif sebagai seorang perdana menteri ada yang tidak terfikir oleh rakyat marhaen yang nun jauh tinggal di hujung tanjung dan pulau telah dimanfaatnya.
Perkembangan itu memberi isyarat pula kepada pembangkang agar jangan mengharap sesuatu yang bulat datang menggolek, yang pipih datang melayang. Apabila Parlimen tidak bersidang bermakna tidak akan ada apa-apa motion boleh dilakukan di Parlimen. Ertinya kuasa majoriti di Parlimen tidak akan menganggu Muhyiddin dan kerajaannya.
Dalam hal ini kalau pun Muhyiddin sudah hilang sokongan, kurang daripada majoriti mudah 112 kerusi, ia tidak membawa apa-apa petaka kepadanya. Covid-19 dan proklamasi darurat telah menyelamatkan kedudukannya. Walaupun tempoh darurat itu boleh dipendekkan, tetapi jangan lupa ia juga boleh diperpanjangkan. Kalau pun angka-angkah mengenai kes Covid-19 dipolitikkan tetapi permainan itu memberi keuntungan dan berpihak kepada Muhyiddin.
Jawatankuasa bebas darurat yang telah dibentuk bagi memantau perjalanan darurat dan menilai keperluannya serta menjadi penasihat kepada Agong ia tidak memberi apa-apa fungsi seperti diharapkan, apa lagi tindakan atau tanggungjawab diharapkan. Penubuhannnya hanya sebagai formaliti sahaja. Tidak perlu dinilai satu persatuan individu yang dilantik menjadi anggota jawatankuasa berkenaan. Semua orang sudah tahu dan sudah kenal siapa mereka.
Walaupun ada tiga orang ahli Parlimen daripada pembangkang (pure), tetapi ia tidak dapat mengubah dan mempengaruhi keadaan jawatankuasa berkenaan. Tiga orang anggota jawatankuasa itu, kalau jawatankuasa itu diberi elaun hanya akan dapat menerima elaun mesyuarat sahaja. Tidak lebih daripada itu. Jika mereka bermaruah elok berhenti sahaja.
Menyedari hakikat itu, semua orang baik parti politik atau individu yang mengharapkan berlaku sesuatu terhadap Muhyiddin Yassin menurut hukum demokrasi seperti beliau akan ditumbangkan, usahlah menyimpan cita-cita itu lagi. Ia tidak akan terjadi dan berlaku lagi. Demokrasi sebuah peraturan dan sistem yang digerakkan oleh manusia menurut nafsu dan perasaanya.
Bagi Muhyiddin daripada memberi nasihat kepada Agong memansuhkan darurat lebih baik memberi nasihat agar membubarkan Parlimen. Itu lebih afdal dan munasabah. Makanya kepada pembangkang lebih baik bersiap sedia menghadapi Piraum daripada mengimpikan kerajaan mereka (kerajaan PH) yang hilang akan kembali semula kepada mereka. Harapan mendapat semula kerajaan sepertilah mengharap bulan jatuh ke riba yang tidak mungkin berlaku walaupun seribu tahun bahkan sejuta tahun lagi.
Sebaik-baik persedian ialah membuat persiapan untuk menghadapi pilihan raya. Pembangkang khasnya PH jangan main-main dan berlengah dengan tarikh pilihan raya. Jangan merasakan ia lambat lantaran pengembalian kerajaan akan berlaku dalam masa terdekat. PH jangan tertipu dengan pelangi yang mereka cipta sendiri.
Mereka tidak perlu membuat predetion yang lain daripada itu. Pilihan raya boleh diadakan bila-bila masa sahaja apabila Muhyiddin merasakan partinya boleh menang. Ia tidak perlu sehingga Ogos atau selepas Oktober. Ia boleh diadakan pada bila-bila masa sahaja apabila ia telah memberi keadaan kondusif buat mereka. Keadaan Muhyiddin dan kerajaannya seperti pesakit yang tidak perlu Q-up untuk menanti rawatan seperti orang kebanyakan kerana mereka ada kuasa istimewa untuk melintas peraturan itu. Mereka atau dia adalah perdana menteri.
Kerana kemungkinan itu maka pembangkang kena bersedia daripada awal-awal lagi, buang dan lempar jauh-jauh harapan dan impian untuk mengambil alih kerajaan sebelum pilihan raya diadakan. Sekiranya pembangkang terus terdodoi dengan angan-angan itu, ia boleh memberi kesan buruk kepada pembangkang. Ia akan menjadikan pembangkang dalam keadaan tidak bersedia, untuk menghadapi pilihan raya yang natijahnya nanti sangatlah buruk.
Langkah terbaik, PH khasnya membuat keputusan bulat dan cepat apakah untuk berkerjasama dengan Umno dalam pilihan raya akan datang. Perkara ini perlu ditentukan awal-awal lagi. Pututuskan bentuk dan syarat-syaratnya. Kalau PH berasa ia boleh berhadapan secara bersendirian (tiga buah parti Keadilan, DAP dan Amanah), buat cara untuk berhadapan secara bersendirian. Buang dan tohok juga parti Inkubator dan OT95.
Begitu juga dengan Umno. Apakah parti itu sudah berkerat rotan berpatah arang dengan Bersatu. Atau pun apakah Umno sudah menamatkan kerajasama ta'awun dengan Pas? Kalau Umno masih menaruh harapan kepada Pas, perlu mendapat komitmen dengan Pas awal-awal jangan tunggu pada saat-saat akhir. Umno kena minta sumpah daripada Pas.
Jangan sampai Umno akan kena main dengan Pas sampai dua kali, kalau kena huduh dan dangkal sangatlah Umno sebagai parti yang pernah memerintah berdekad-dekad.
Kedudukan hari ini, Bersatu nampaknya sudah kemas dengan Pas. Pas seperti sudah membulatkan tekad dan lebih mempercayai kepada Muhyiddin berbanding dengan Zahid Hamidi dalam Umno. Di Kelantan Pas sudah menghitung kerusi bersama Bersatu dan melupai Umno. Sekiranya keadaan tidak menentukan ini berterusan sehingga Parlimen dibubarkan, yang akan kalut nanti ialah PH dan Umno. Apakah dalam keadaan kalut itu mereka mampu untuk memang atau setidak-tidaknya mempertahankan kerusi yang ada kini? Diramalkan ia sangat sukar.
Seperkara lagi yang pembangkang kena faham mengenai sifat dan sikap orang Melayu dalam berpolitik. Hari ini orang Melayu mengeluh dan marah dengan perjalanan kerajaan PN sekarang ini yang memunculkan pelbagai keanehan dan kelemahannya. Banyak ketempangan dan kelemahan yang ternampak di mana-mana sahaja. Tetapi perasaan marah Melayu itu tidak akan memberi laba kepada pembangkang pun. Iya, mereka marah dengan kelemahan dan ketidak-adilan kerajaan dalam beberapa hal. Tetapi itu bukan indikator baik dan yang sebenarnya.
Tetapi kalau mereka melihat yang pembangkang tidak solid, tidak yakin menang, mereka akan tetap memberi sokongan kepada parti yang memerintah. Perangai orang Melayu mereka marah hanya beberapa jam sahaja kemudian boleh pulih kembali. Orang Melayu sangat mudah dipujuk dan ditipu. Perubahan orang Melayu dalam hal-hal dikira menguntungkannya sangat drastik. Muhyiddin sudah mempelajari dan mengarifi psikologi dan sosiologi orang Melayu ini.
Orang Melayu jangan mudah diajak untuk bermuafakat dan berjanji kerana mereka akan mudah untuk memusnahkan muafakat dan mudah pula melupakan janji. Kenapa sebab dalam kamus orang Melayu ada sebaris ayat berbunyi, sedangkan Nabi memaafkan umat inikan pula kita.
Patah perkataan itu sungguh negaif. Demikian rona-rona dan perangai orang Melayu sebagai bangsa yang termuda di dunia. Makanya politician harus berhati-hati dengan cara orang Melayu berpolitik. Melayu lebih seronok ditipu daripada berhadapan dengan kebenarannya. [wm.kl.12:17 pm 11/02/2021]
No comments:
Post a Comment