Wednesday, April 13, 2022

Norzah satu-satunya penulis wanita menulis buku politik

 BELASUNGKAWA

SAYA berasakan tidak lengkap selagi tidak merakam kenangan dan keistimewaan yang dimiliki Norzah Kepol. Allahyarham telah dijemput Allah tanggal 10 April, 2022 kira-kira jam 8:30 malam di rumahnya di Selayang Baru dalam usia 57. Pemergiannya mengejutkan dan dirasai oleh setiap orang mengenalinya selaku wartawan politik. Allahyarham telah mengalami sakit sejak tiga tahun lalu lagi tetapi didiamkan. 

Seperti saya katakan dalam catatan di FB, Norzah adalah orang kecil yang ramai tidak mengetahui akan kelebihan dimilikinya. Ini kerana beliau bukan wartawan berstatus tokoh apa lagi bertaraf negara dan datang dari akhbar arus perdana. Tetapi apa dimilikinya terutama semangat kewartawanan ia sangat bererti kepada saya khasnya, dan warga dunia penulisan buku-buku politik serta penerbitan akhbar tabloid.

Betapa kerdilnya beliau di sisi setengah pihak, sejarah penghasilan buku politik dan penerbitan akhbar tabloid yang dikenali akhbar nyamuk, namun tidak boleh mengkesampingkan begitu sahaja peranan dimainkan Norzah. Bila ditelusuri nama-nama akhbar nyamuk yang pernah singgah dimuka bumi ini, maka nama Norzah pasti akan dicatat sama. 

Dua buah akhbar.

Sekurang-kurang dua buah akhbar yang merakam atau mengaitkan namanya, Buletin Utama dimana beliau di situ selalu editor atau pun wartawan kanan. Akhbar itu diterbitan oleh bekas wartawan Allahyarham Jamaluddin Bakar yang juga bekas Exco Pemuda Umno dari Johor. Kenapa saya mengatakan peranan Norzah di akhbar ini penting, kerana ada mesej daripada Jamaluddin kepada saya kalau ingin menulis atau mengkritik persembahan Buletin Utama, agar saya memberi tahu Norzah. 

Boleh dikatakan diakhbar inilah Norzah mendapat didikan dan bimbingan kewartawan. Pendedahan selaku wartawan banyak diberikan oleh Jamaluddin. Bahkan Norzah boleh dianggap sebagai nadi kepada akhbar ini. Walaupun Norzah bukan siapa-siapa, misalnya bekas wartawan kanan berpengalaman dari akhbar perdana, tetapi kepercayaan kepadanya oleh Jamaluddin turut menguntungkan kedua pihak.  Norzah bukan sahaja bertindak sebagai wartawan tetapi juga sebagai pencari iklan dan pemasaran. 

Minatnya kepada dunia politik dan penulisan politik sangat ketara, apabila Allahyarham tidak segan silu dan hemah mendekati para penulis politik sebagai rakan. Boleh dikatakan semua penulis politik yang veteran dikenali dan didekatinya untuk menimba ilmu. Syed Hussen Al Attas, bolehlah dianggap orang yang mendorong Norzah untuk jadi penulis politik. 

Terdapat sebuah buku yang mereka tulis bersama. Malahan Syed Hussein juga menganggap Norzah sebagai anak angkatnya dalam penulisan. Norzah memanggil Syed Hussein bukan Pak Habib, tetapi membahasakannya sebagai "abah". 

Belajar daripada pengalaman.

Bagi saya Allahyarham seorang yang belajar daripada pengalaman dan pergaulan luas baik dengan penulis politik maupun orang-orang politik. Beliau juga tidak peduli kepada apa kritikan dan sedia menerima teguran. Inilah bagi saya kehebatan dan ketahanan beliau yang tidak semua dimiliki oleh wartawan khasnya wartawan akhbar nyamuk. Ini satu keistimewaan. 

Kerajinan dan minatnya kepada penulisan politik jelas, apabila setiap kali parlimen bersidang beliau akan mucul di parlimen menemui ahli Yang Berhormat untuk mendapatkan komen dan ulasan daripada mereka. Norzah akan tunggu berapa lama pun selagi ia tidak mendapat komen daripada oknum yang diingini.  Tanpa segan silu beliau akan menyuakan tape recorder kepada mana-mana YB atau menteri yang dihajatinya sambil melempar soalan. 

Saya mempunyai beberapa kenangan dengan beliau yang tidak pernah terlupa selamanya. Selain menjadi wartawan, secara tidak langsung Allahyarham juga menjadi mediator antara ahli parlimen wanita khususnya daripada Umno dengan wartawan atau penulis politik. Ini saya ada pengalaman sendiri yang agak istimewa. 

Suatu hari di parlimen, beliau memberi tahu saya yang Dr Mashitah Ibrahim bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, ingin berjumpa dengan saya. Saya tidak tahu apakah tujuannya, tetapi Norzah beriya meminta saya menemui Mashitah. Dia mengaturkan prrtemuan di lounge dan kami bertemu. Saya masih ingat dipertemuan itu saya menegur sesuatu tentang diri Dr Mashitah yang saya lihat tidak begitu manis. Saya meminta Dr Mashitah memakai sarung tangan kerana beliau dilihat terdedah berlaku persalaman dengan orang termasuk lelaki.

Merah padam juga muka Dr Mashitah dengan teguran saya itu. Keesokannya Norzah memberi tahu saya yang Dr Mashitah menyebut-nyebut apa yang berlaku di lounge itu seakan terkilan. Alhamdulilah selepas itu saya lihat bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu memakai sarung tangan.

Selain itu, beberapa ahli parlimen wanita lain juga saya bertemu yang diaturkan oleh Norzah. Beberapa pemimpin Puteri Umno juga dibawa untuk berjumpa atas alasan ingin mendapat maklumat politik. Allahyarham akrab dengan ramai pemimpin Puteri Umno.

Allayarham sebenarnya membantu ramai orang politik khasnya daripada pembangkang dengan premis dimiliknya tersebut. Pada tahun 1990-an, ahli politik pembangkang tidak mempunyai media untuk menyampaikan masej ataupun kenyataan mereka. Akhbar arus perdana seperti Utusan dan Berita Harian dan lain-lain, hanya memberi ruang kepada pihak kerajaan sahaja. Ini menjadikan ahli politik pembangkang sukar untuk menyalurkan apa-apa pandangan dan kenyataan mereka. 

Saat inilah peranan akhbar tabloid yang dianggap "nyamuk" itu penting. Antaranya ialah akhbar tempat Norzah bekerja, Buletin Utama selepas itu Buletin Rakyat. Akbar-akhbar itulah menampung menyiarkan berita daripada parti pembangkang. Dalam kata lain akhbar itu menjadi antara tempat untuk anggota pembangkang bersuara selain daripada beberapa tabloid lain termausk Siasah, Era Rakyat dan lain-lain. Awal tahun 1990-an belum ada media dalam talian atau pun medsos. 

Sebut sahaja tokoh atau pemimpin pembangkang mana yang tidak diberikan ruang oleh Norzah menerusi akhbarnya, semua mendapat ruang. Cakaplah apa hendak cakap dan luahkan Norzah akan siarkan dalam akhbar berkenaan. Dan ahli-ahli politik pembangkang pula secara tidak langsung menjadikan akhbar tempat Norzah bekerja itu sebagai sumber maklumat mereka untuk umum. 

Mengenai jasa dan budi ini, Norzah ada merunggut kepada saya sewaktu bertemu, tentang keterkilanannya. Menurutnya selepas tokoh-tokoh pembangkang menjadi kerajaan dan ada dilantik menjadi menteri selama 22 bulan beliau ada minta bertemu pun tidak dilayani lagi, kecualilah dengan Khalid Samad, itupun saya yang mengaturkannya.  

Seperkara lagi yang tidak boleh saya sembunyikan dan ramai yang tidak tahu, peranan dan tanggungjawab Norzah sebagai pekerja surat khabar dan laksana pengarang sangat beretika dalam kerjaanya. Beliau memahami peranan wartawan dan tahu menghargai keringat para penyumbang dalam akhbarnya. Kekuatan akhbar ditanganinya dibantu oleh para penulis yang menjadi kolomnis. 

Antara yang menjadi kolomnis dalam akhbarnya termasuk Allahyaraham Subky Latiff, Yahya Ismail, Syed Hussein Alattas dan saya sendiri serta yang lain-lain. Keragaman pemikiran kolomnis inilah menjadikan akhbar Buletin Rakyat maupun Buletin Utama, menarik minat umum. Norzah campur semua bentuk pemikiran dan pandangan dalam akhbarnya, menjadi sebuah medium yang bebas dan terbuka.

Sebagai seorang pengarang dan penanggungjawab kepada akhbar berkenaan, Norzah tidak menerima tulisan atau mengundang kolominis itu percuma begitu sahaja. Sebaliknya semua tulisan dan kolomnis itu akan dibayar. Bila setiap tiga bulan sekali, maka akan sampailah cheq ke rumah sebagai imbuhan. Walaupun tidak banyak, tetapi adalah buah hati dan ingatan daripadanya. 

Bukan sahaja kepada saya, tetapi kepada kolomnis dan penulis lain juga. Ini sudah pasti honorarium sebagai saguhati juga dibayar kepada kartunis Rosidi Ismail alias, Rossem yang menyumbangkan karikatur kartun pada setiap minggu di akhabat berkenaan. 

Apa dilakukan Norzah itu adalah pengertian tinggi terhadap nasib dan keperluan penulis. Ia lebih mulia daripada sesetengah penerbit atau akhbar yang meminta tulisan menyiarkan tetapi tidak ada apa-apa bayaran terima kasih pun. Bukan itu sahaja untuk beri credit pun sukar. Hatta dari penerbit hebat sekalipun "keterlupaan" disengaja itu berlaku, tetapi ia tidak berlaku kepada akhbar Norzah. 

Itu saya katakan walaupun beliau bukan lahir dari sebuah institusi besar tetapi peranan dan tanggungjawab sebagai editor dan sekaligus merangkap penerbit sangat luhur dan berbudi. Semoga Allah peliharakan roh Allahyarham di makam mukhlisin. Amin. [wm.kl.12:24 pm 13/04/2022]

No comments: