Friday, October 14, 2022

Pas terpaksa buat keputusan yang berat

 SUSUPAN PAGI


PAS akhirnya membuat keputusan atas dua perkara penting pada hari ini (semalam). Keputusan itu sangat berat bagi Pas. Apabila ia terpaksa dibuat tentu setelah difikir dan dinilai semasak-masaknya baik buruk dan implikasi berbagai sudut sebab ia bakal memberi kesan kepada parti itu. 

Lantaran itu Pas mengabil masa agak lama untuk memutuskannya salah satu perkara berkenaan.

Pertama ialah tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri, di tiga buah negeri yang dibawah pentadbirannya bagi membolehkan pilihan raya diadakan serentak dengan pilihan ke-15. Negeri-negeri itu ialah di Terengganu, Kelantan dan Kedah.

Tindakan Pas itu persis mengikuti apa yang dilakukan oleh PH terhadap negeri dibawah pentadbiran mereka yang juga tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri masing-masing; Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. 

Atas tindakan ini seakan ada persepakatan di antara Pas dengan PH. Apakah ia kebetulan atau satu perancangan yang strategik? Setidak-tidaknya di antara Pas dengan PH sudah ada persepakatan secara tidak langsung. 

Keputusan kedua diambil dan dimuktamadkan Pas pada mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat petang semalam, untuk berkolaborasi dengan Bersatu menerusi PN dan tidak memilih Umno menerusi Muafakat Nasional (MN). Kedua keputusan itu dimuktamadkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat yang berlangsung itu katanya memakan masa enam jam.

Perkara ini, bekerjasama dengan Umno sudah bertele-tele dan berpanjangan sejak beberapa tahun lalu. Pembentukan kerjasama yang diistilahkan sebagai ta'wun ini jadi sekejap tertutup sekejap terrbuka.  

Pas nampak serba salah dalam hal ini. Mulanya kerjasama Pas dengan Umno sudah berjalan baik dan kemas serta telah mencapai beberapa kejayaan dalam pilihan raya kecil (Pirake). Namun ia retak sehingga terpaksa diputuskan apabila wujudnya Bersatu yang mengagaskan Perikatan Nasional (PN) bersama Pas dan dua parti lain. Kehadiran bersatu seperti jantan macho yang berjaya mengorat Pas yang telah bertunang dengan Umno. 

Bagi naluri Pas, mereka tidak mahu berpisah dengan kedua-duanya. Pas sudah berusaha hingga ke saat akhir untuk merangkul kedua-duanya sekali. Tetapi niat baik Pas diatas landas penyatuan ummah menyalahi rukun dan adat politik. Ia sangat mustahil bagi Pas untuk menyatukan dua jasad bersamanya di atas tilam pada satu malam.

Umno tidak dapat menerima Bersatu kerana menganggap parti itu ditubuh untuk menjadi alternatif kepadanya. Dalam kata lain sebagai untuk membunuh Umno. Manakala Bersatu pula tidak boleh menerima Umno selagi ia dipimpin oleh mereka yang korup dan tidak berintegriti terutamanya oleh Zahid Hamidi dan Najib Razak. Apa yang berlaku ke atas Najib telah menakutkan Pas untuk terus berkolaborasi dengan Umno. Pas tidak mahu noda Najib terheret kepadanya? 

Apa yang dilakukan Pas itu menempati ramalan saya yang melihat sukar untuk Pas bekerjsama dengan Umno, walaupun kedua-dua parti itu sudah menanda tangan piagam Muafakat Nasional tidak lama dahulu. Chemestry yang wujud antara Pas dengan Umno tidak mudah dihapuskan untuk kedua parti itu bersama. Walaupun pada asas ia dibangunkan dengan nawaitu baik, untuk perpaduan ummah, tetapi sulit untuk menyatukannya kerana perbezaan ideologi.  

Dalam pada itu pemutusan Pas untuk berkerjasama dengan Bersatu dan menolak Umno dikira baik kerana ia menempati apa yang dicanangkan Pas selama ini. Apa dapat dilihat Pas terpaksa membuat keputusan itu bagi mengelakkan ia diketawakan khalayak. 

Selama ini Pas telah menjaja Umno sebagai musuh dunia akhriatnya, sampai pernah menuduhkan Umno sebagai parti kafir, alih-alih tiba-tiba mahu bersama, ia sesuatu yang aneh. Tuduhan politik Pas kepada Umno itu masih lekat di telinga orang ramai menyebabkan ia tidak mudah untuk dilupuskan. Bukan sahaja dari kalangan penyokong dan ahli Umno tidak dapat menerima Pas, demikian juga dari kalangan Pas tidak dapat menerima Umno.

Keputusan diambil Pas untuk tidak menerima Umno itu dikira sudah muktamad. Selepas ini tidak akan ada lagi ding dong, tentangnya. Bersatulah yang cukup lega dengan tindakan mahkamah itu kerana mereka dapat menumpang Pas sepenuhnya. Bersatu menyedari Pas sebagai parti lama dan berpengaruh mempunyai segala kelengkapan, jentera untuk menghadapi pilihan raya. Itulah sebenarnya yang diharapkan oleh Bersatu maupun Umno mahu menumpang pengaruh Pas. [wm.kl. 11:03 am 14/10/2022]

No comments: