Saturday, October 22, 2022

Rahsia Dr Mahathir mahu menjilat ludahnya?

PENDAPAT

Mahathir sangguk ke mahkamah
untuk memperdayakan Anwar.
KETIKA para penyokong PH khasnya yang mendambakan Anwar Ibrahim jadi perdana menteri selepas pilihan raya ke-15 nanti, tanpa mengharapkan apa-apa bentuk kerjasama dan bantuan Mahathir Mohamad, tiba-tiba sahaja bekas perdana menteri dua kali itu merendahkan diri menghulurkan salam silaturhami untuk bersahabat sekali lagi dengan Anwar.


Tidak siapa terfikir setelah beliau berulang kali merendah-rendahkan Anwar, meremeh dan mengkhianati serta menafikan Anwar daripada menjadi perdana menteri, tiba-tiba beliau boleh memaling dan terhegeh-hegeh mencari Anwar kembali. Semalam beliau dengan nada insaf mengajak Anwar bekerjasama. 

Sikap Mahathir itu sebenarnya tidak mudah untuk difahami umum. Seni politiknya tersangat tinggi tidak gampang terjangkau oleh pemain yang akal politiknya cetek. Namun itulah kehebatan Mahathir Mohamad yang bersifat tidak tahu malu. Mahathir bukan seorang penganut falsafah, atau penilai teori semata-mata, tetapi seorang praktikal dan sanggup untuk mengulangi semua sejarah walaupun kotor dan jijik. 

Sakit hati para penyokong dan peminat Anwar terhadapnya yang melepaskan jawatan perdana menteri 2020, tanpa berunding, yang akhirnya menyebabkan peluang keemasan Anwar untuk jadi PM terlepas, masih belum reda, namun beliau sanggup untuk menghulurkan salam persahabatan dengan Anwar. Lagaknya semacam tidak ada apa-apa peristiwa sedih berlaku. Itulah kehebatan dan "kemancungan" hidungnya. 

Kehebatan Mahathir sebagai pengamal dan penganut politik Machiavelli tidak ramai memahminya. Beliau tidak akan pedulikan kepada nesta, cacian dan marah kepada perbuatan dan tindakannya, apa yang penting matlamatnya dicapai. Baginya segala cacian dan kehinaan itu sebagai cabaran buatnya bukan sedikit pun melemahkannya.

Beliau juga seorang yang cukup yakin dengan apa yang difikirkan. Dan beliau tidak pernah berhenti mengejar sesuatu selagi tidak mendapatnya. Mahathir seorang pengamal dan penganut tulen politik "matlamat menghalalkan cara", Machiavellisme. Itu Mahathir. 

Beliau tidak peduli perasaan orang lain, apa yang penting maksud dan cita-cita tercapai. Beliau disifatkan oleh pemerhati politik sebagai berhati kering. Orang lain hendak kata apa, hendak gelar apa, beliau tidak pernah meletak dalam hati dan mengganggu niatnya. Yang penting kepuasan jiwa dan nafsunya tercapai. Atas kedegilan dan politik tidak berhati perut inilah menyebabkan beliau berjaya dan selalu menang dan musuh dan kawan terpedaya dan tewas.

Tahun 2018 tidak ada siapa memikirkan beliau boleh datang berjumpa dengan Anwar di mahkamah semata-mata untuk menjalankan persahabatan politik. Beliau persis tidak ingat kekejaman dilakukan kepada Anwar dan muncul dengan penuh kesucian bagi berjumpa Anwar di mahkamah. Beliau tenang sahaja semacam tidak ada apa-apa dosa beliau terhadap Anwar. Beliau melakukan watak sebagai seorang wali keramat bagi mengabui mata umum. 

Beliau menghorbankan prinsip dan menggadaikan air mukanya berjumpa dengan Anwar untuk berkolaborasi bagi menjatuhkan Najib Razak. Beliau membina naratif untuk menumbangkan regim kleptokrat pimpinan Najib. Beliau bercerita akan kejahatan dan kemungkaran Najib selama jadi perdana menteri tanpa sekuman pun menceritakan kejahatan dan kemungkaran dilakukannya. Permainan atau amalan political logicalnya sangat hebat dan mengkagumkan.  

Asas dan hujah diberikan munasabah sehingga orang lupa memikirkan di sebalik logik itu ada sesuatu yang tidak logik. Beliau berjaya mengambus niat busuk di sebalik logikal hujahnya. Seperti mana yang telah beliau lakukan, mengkhianati Anwar itu. Beliau sudah berjanji, telah pun menanda-tangani akan melepaskan jawatan kepada Anwar selepas dua tahun, tetapi tidak ditunaikan, bukan itu sahaja beliau menutup langsung peluang Anwar sehingga memusnahkan kerajaan PH.

Untuk mencapai itu beliau menjadikan Anwar sebagai alat bagi beliau menjatuhkan Najib dan merasa jawatan PM kali kedua. Tindakan yang diambil itu akhirnya berjaya, beliau menjadi PM dan yang terngangga adalah Anwar untuk kesekian kalinya.  

Kali ini sejarah itu seperti dikisar kembali. Mahathir sekali lagi menghulur salam untuk berkawan dengan Anwar atas tujuan dan niat sama. Beliau membuat naratif yang sama, menzahirkan kebimbangan jika tidak bersama, regim Najib akan kembali berkuasa semua. Negara akan diperintah oleh pengkhianat. Lantaran itu katanya pembangkang perlu bersatu. 

Jangan mudah terpedaya dengan sandiwara Dr Mahathir ini. Kita semua perlu menjadi jerat bukan menjadi kancil. Sejarah lepas hendaklah senantiasa dikenang. Perlu difikir dan diketahui semasak-masaknya apakah motif disebalik tindakan itu sehingga beliau mengatakan akan sedia menjilat ludahnya. Tanpa ada sesuatu masakan tempua bersarang rendah. 

Dalam hal ini saya mengira begini. Apabila beliau sanggup menjilat kembali ludahnya ertinya beliau sudah nampak akan kekuatan PH waktu ini. Bahawa PH tanpa beliau masih survive. Apa dilakukan itu sebenarnya beliau ingin mengambil kesempatan apa yang dicapai PH kini. Sebelum ini beliau mengira, apabila beliau tidak lagi bersama PH, gabungan itu akan hancur atau pun tidak mempunyai kekuatan untuk berhadapan dengan BN. 

Beliau kira tanpanya PH akan lemah. Sebaliknya tidak, PH menjadi lebih kuat, teguh dan iltizam tinggi untuk mengembalikan semula kerajaan PH yang dimusnahkan olehnya. Dengan menyakini rakyat yang memberi mandat kepada PH dalam Piraum ke-14 lalu akan berulang, PH yakin mereka akan menang. 

Senario atau kekuatan PH ini dilihat dan dicerapi oleh Mahathir. Walaupun kerajaan PH hilang di Melaka dan Johor, tetapi sang Singa tua itu mengerti kehilangan itu disebabkan strategi licit UBN bukan atas kehendak rakyat Melaka dan Johor. 

Mungkin setelah menyakinkan apa berlaku di Melaka dan Johor itu bukan petunjuk kekuatan sebenarnya BN, menyebabkan beliau tanpa mengaku PH mampu mengembalikan kerajaan PH justeru itu beliau mahu menghimpit PH untuk sekali lagi menumpangi PH. Itulah faktor dan motif kenapa beliau sanggup berpaling semula mengintai dan mencari Anwar. 

Dalam politik terbuka dan mempercayai teori "dua itu lebih baik daripada satu, dan bersatu dan berpadu itu kuat", Mahathir mahu mempraktikan teori itu. Umum mempercayai kalau semua parti pembangkang bersatu dan bersama, parti oposisi akan memperolehi kekuatan berganda. Semisalnya beliau membawa sama parti-parti dalam GTA bersama PH, ia menambahkan kekuatan PH. 

Namun walaupun teori itu logik tetapi dalam politik atau political game Mahathir ia tidak seharusnya mudah ditelan begitu sahaja. Ingatlah Mahathir tidak akan sanggup berbuat sesuatu termasuk sedia menjilat kembali ludahnya kalau ludah itu tidak terkena (jatuh) di atas emas atau berlian. Apa yang hendak dijilat itu bukan air ludahnya, tetapi emas yang terletak di tempat ludah itu. 

Bagi Mahathir pilihan raya ke-15 nanti beliau sudah dapat mengagak dan telah menganalisanya yang PH adalah emas yang perlu beliau rebut sama. Itulah kelicitan Mahathir Mohamad. [wm.kl.6:34 pm 22/10/2022] * Tanpa edit.

No comments: