Friday, October 7, 2022

Pas Kelantan boleh tumbang jika para pembela sepakat

RENCANA KHAS

HASRAT dan keinginan para politis Kelantan dan rakyat yang sudah merasa "naik muak" dengan pemerintahan Pas di Kelantan sungguh tinggi. Semangat itu sedang membakar. Mereka ini sudah tidak boleh berkompromi lagi dengan Pas kerana enggan bersubahat dengan kebobrokan dilakukan parti itu. Bagi mereka sudah tiada maaf bagi mu. 

Pendirian dan sikap ini sedikit berbeza dengan sikap dan pendirian peribadi saya sebagai pemerhati politik. Bagi saya kerajaan Pas di Kelantan masih boleh dimaaf dan diselamatkan dengan syarat, parti itu perlu sedia menyalin lebih separuh pemimpinnya yang ada hari ini. Pas sebagai badan siasah masih relevan dengan citarasa orang Kelantan. 

Sekiranya Pas sedia melakukan perubahan, menukar para pemimpin yang sedia ada, yang sudah berlumut dan berkarat di Kelantan kini dengan wajah dan tenaga baru, kerajaan Pas boleh dimaafkan dan tidak ada sebab untuk membuang Pas begitu sahaja. Apabila dibawa masuk pemimpin muda atau professional yang arif mengenai admnistratif, soal ekonomi, pembangunan sosial, pengurusan kewangan dan sebagainya, kerajaan Pas yang sudah lebih tiga dekad itu boleh berubah.

Namun tidak begitu dengan mereka yang sudah berbulu dengan kerajaan Pas, khasnya dari kalangan pembangkang serta rakyat yang celek maklumat. Bagi pembangkang mereka tidak boleh bertolak ansur lagi dengan Pas Kelantan kerana kegagalan kerajaan itu terpaksa dijatuhkan. Mereka mengambil tanggungjawab itu kerana melihat nasib rakyat Kelantan terabai dan negeri tadahan wahyu itu tidak diuruskan seperti mana diharapkan dengan corak pemikiran kepimpinan yang ada kini. 

Sesiapakah mereka yang mempunyai hasrat dan sekaligus kemarahan menggunung tinggi kepada Pas sehingga mahu kerajaan Pas 32 tahun itu ditumbangkan?

Sebenarnya usaha untuk menumbangkan kerajaan Pas Kelantan bermula secara serius lebih 10 tahun lampau, tepatnya sejak pilihan raya ke 11. Sudah tiga kali pilihan raya UBN berazam untuk menguasai Kelantan. 

Awalnya musuh tradisi dan parti yang serius untuk menumbangkan Pas, ialah Umno. Parti ini berusaha untuk menumbangkan kerajaan Pas selepas mengalami kekalahan teruk tahun 1990. Dalam beberapa usaha itu tahun 2004, adalah kejayaan terbesar buat Umno apabila berjaya mengurangkan kerusi diraih Pas tahun 1999 sebanyak 38 kerusi hanya dua kerusi tahun tersebut.

Selepas itu pada pilihan raya ke-14 lalu, usaha itu muncul kembali. Kali ini ia bukan sahaja dari Umno tetapi daripada Pakatan Harapan (PH) dimana di dalam parti itu mempunyai parti serpihan Pas, Parti Amanah Negara (Amanah). Dengan wujudnya Amanah dalam pakatan PH itu, ia dikira dapat menumbangkan kerajaan Pas Kelantan kerana senjata-senjata sulit dilihat ada kepada Amanah (PH). 

Malangnya usaha itu tidak berlaku dan menjadi. Percubaan pertama PH itu tidak membekaskan hasil apabila PH tidak memenangi walaupun disatu kerusi baik peringkat Dun maupun parlimen di Kelantan. Dan secara tidak langsung penyertaan PH dalam pilihraya ke 14 itu telah menyelamatkan Pas, menjadikan Pas kelihatan makin kuat. Bayangkan kalau tidak ada PH (Amanah) dan UBN bertanding lawan satu lama satu, BN diyakini memperolehi lebih daripada 15 kerusi dan melemahkan kedudukan Pas.

Sebenarnya momentum itu masih wujud hingga ke hari ini. Kemarahan rakyat kepada Pas masih berlaku. Sekiranya berlaku muafakat UBN dengan PH di Kelantan, ia boleh meruntuhkan kekuatan Pas. Dalam situasi hari ini rakyat Kelantan sendiri telah menyatakan kebencian dan "kejeluakan" mereka kepada kerajaan Pas atas segala kelemahan, kegagalan dan penyelewengan yang berlaku, muafakat PH dengan Umno boleh mencapai hasrat untuk menumbangkan Pas itu. Kesepakatan inilah diharapkan oleh rakyat yang mahu melihat berlaku perubahan di Kelantan. 

Tokoh pembela.

Berbalik kepada kelompok atau individu yang menyimpan hasrat dan dendam untuk menumbangkan Pas tadi, ialah Umno dan PH.  Kedua-duanya masih kekal memegang azam sama untuk menumbangkan kerajaan Pas. Kedua-duanya memegang azam berkenaan atas satu semangat sama, yaitu untuk membela nasib rakyat Kelantan dan menyelamatkan negeri Kelantan daripada dijahanamkan oleh pimpinan Pas yang bertindak rakus dan seolah-olah tidak mempunyai pelan pembangunan menyeluruh untuk Kelantan.

Kebejatan yang berlaku itulah menjadikan asas buat  mereka untuk tumbangkan Pas di Kelantan atas nawaitu bagi selamatkan Kelantan dan membela rakyat Kelantan. Kalau mereka ini benar-benar jujur dengan apa yang mereka lafazkan itu, mereka boleh mencapai hasrat itu. Kerajaan Pas Kelantan boleh ditumbangkan, bukan dengan cara lain melainkan dengan muafakat. 

Golongan atau individu yang mewakili puak atau kumpulan yang hendak jatuhkan kerajaan Pas itu adalah daripada Umno. Tokoh Umno yang lantang dan sudah muak dengan Pas ialah ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah. Tengku Razaleigh tidak lagi berlapik dalam mengkritik kerajaan Pas itu menandakan beliau sudah hilang sabar.

Tengku Razaleigh adalah tokoh penting dalam Umno untuk diajak berbincang bagi menjatuhkan Pas. Walaupun beliau bukan pemegang jawatan dalam Umno, tetapi auranya sebagai tokoh veteran politik Kelantan masih berbisa. Lagipun beliau mempunyai pengalaman indah tersendiri dengan Pas, arif sangat tentang politik "ikan keli dalam besen" diamalkan Pas. 

Selain itu tentulah pengerusi Umno Kelantan ketika ini Ahmad Jazlan Yaakob dan juga bekas pengerusi Umno Kelantan Annuar Musa. Menjadi tanggungjawab kepada Jazlan yang juga ahli parlimen Machang bagi memastikan Kelantan dapat dirampas oleh Umno.  

Sementara daripada luar Umno, ialah mereka dari pembangkang, yakni PH yang terdiri daripada Amanah, Keadilan dan Dap. Dap tidak merupakan anggota penting dalam ikhtiar untuk menumbangkan Pas, kerana kehadirannya di Kelantan lebih memburukkan keadaan daripada membantu. Rakyat Kelantan masih alergik dengan DAP. Selain itu ada lagi beberapa orang individu boleh diajak duduk bersama.

Daripada PH, individu utama seperti Husam Musa, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah mereka boleh memainkan peranan utama, berdasarkan kepada pengalaman dan ilmu politik yang ada kepada mereka. Walaupun mereka agak sudah usang, tetapi ilmunya sangat penting untuk membimbing dan jadi pemandu kepada generasi muda. 

Pengerusi parti-parti Amanah dan PKR juga tidak terkecuali. Pengerusi PH Kelantan yang juga pengerusi Amanah, Mohamad Hussein adalah pemain utama yang mungkin boleh diangkat duduk sebaris utama dengan Tengku Razaleigh. Ada kelebihan dan keistimewaan dimiliki Mohamad Hussein yang boleh dipergunakan. Sebagai orang tua dalam parti, peranannya untuk mengajak semua pihak khasnya dalam parti sendiri untuk bersama.   

Selain daripada individu berkenaan ada sosok lain yang boleh dibawa sama untuk berunding dan merancang bagi menjatuhkan kerajaan Pas. Mereka seperti Ibrahim Ali,  dan Fatmi Che Salleh. Walaupun parti Ibrahim Ali lebih kecil daripada parti lain, tetapi beliau ada pengaruh dan fungsi tersendiri dalam konteks Kelantan. Begitu juga dengan Fatmi selaku timbalan pengerusi Umno Kelantan yang dilihat mempunyai jaringan politik luas dengan Umno komitmen dan penyertaanya sangat penting. 

Sekarang ini sudah ada beberapa individu yang boleh menjadi anggota barisan hadapan untuk berhadapan dengan Pas Kelantan; Tengku Razaleigh Hamzah, Ahmad Jazlan Yaakob, Fatmi Che Salleh, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, Mohamad Hussein, Husam Musa, Ibrahim Ali dan lain-lain. 

Nama-nama atau oknum ini masih dikenali dan disebut di Kelantan, dan diharap dapat melakukan sesuatu untuk masa depan Kelantan. Mereka ada kepakaran dan sejarah tersendiri di Kelantan yang mana modal itu dapat dipergunakan. Misalnya Tengku Razaleigh Hamzah sendiri pernah mencatat sejarah sebagai orang bertanggungjawab menumbangkan kerajaan Pas tahun 1978 dan sekali lagi tahun 1990 hampir melenyapkan Umno di Kelantan.

Sementara Husam, Mohamad Hussein dan Wan Abdul Rahim pernah berada dalam kerajaan Kelantan sewaktu bersama Tokguru Nik Abdul Aziz.  Kesempatan itu memberikan peluang untuk mereka mendedahkan kelemahan dan kepincangan kerajaan Kelantan. Sudah tentu dengan apa yang mereka perkatakan ia tidak boleh ditolak kerana ia datang langsung dari mata dan kepala yang menyaksi dan membandingkan sendiri segala kepincangan dan kelemahan Pas itu. Bukan itu sahaja mereka ini dilihat orang yang mengkagumi stail dan uslub politik Allahyarham.

Begitu juga dengan Ibrahim Ali, yang turut sama terlibat menggerakkan rakyat agar menumbangkan Pas pada tahun 1978. Walaupun beliau mewakili parti Bumiputera Malaysia (Putera) parti semut, tetapi semangat dan kesungguhan yang ada kepadanya penting. Ibrahim terkenal seorang aktivis dan penggerak yang akan melakukan sesuatu yang dihajati dengan apa cara sekali pun. Stail politik samseng yang dianutinya perlu di Kelantan.

Sekiranya individu-individu ini dapat duduk bersama, ia akan menggerunkan Pas dan menjadi cabaran besar kepada Pas. Kebersamaan mereka juga akan dilihat rakyat, kekompatan mereka dalam mencapai tujuan dan hasrat satu mengubah Kelantan. Untuk ini mereka perlu ikhlas dengan meletakkan aspirasi rakyat di hadapan dan cita-cita peribadi mereka di belakang.  

Dengan cara itu sahajalah kalau hendak menafikan Pas di Kelantan. Sebaliknya kalau mereka berjuang menentang Pas secara berasingan menurut nafsu nafsi masing-masing, ia tidak memberi impak apa-apa kepada Pas. Hatta cara itu menggembirakan Pas. Pas akan mudah untuk menang dan terus menguasai Kelantan bukan lima tahun akan datang tetapi berpuloh-puloh tahun lagi. 

Bolehkah orang-orang disebutkan itu duduk bersama dalam pilihan raya akan datang bagi menghadapi Pas? Tepuk dada tanya selera. Jika tidak dapat, maka hasrat untuk tukar kerajaan dan menumbangkan Pas lupakan sahaja. [wm.kl. 10:53 am 07/10/2022]

No comments: