Sunday, August 3, 2025

Himpunan Turun Anwar wakeup call buat kerajaan

ULASAN LEWAT

SUDAH seminggu himpunan turunkan Anwar berlalu. Berbagai ulasan dan tanggapan yang dibuat oleh kedua dua pihak, pembangkang dan kerajaan. Para penganalisa dan pemerhati politik bebas juga sudah mengulas, ada positif dan ada negatif. 

Pihak pembangkang mendakwa himpunan itu berjaya. Manakala pihak kerajaan menafikan, sambil mentertawakan himpunan itu sebagai gagal berdasarkan jumlah himpunan.

Penyokong kerajaan tampaknya selesa kerana himpunan itu tidak mengubah keadaan, Anwar masih PM. Juga tiada sebarang usul tidak percaya kepada PM di parlimen.

Saya mengambil masa sedikit untuk memberi pandangan berkaitan himpunan berkenaan. Kebetulan pada hari himpunan itu diadakan saya di luar Malaysia, mengikut acara dan kronologi himpunan itu dari media sosial sahaja, tidak melihatnya dengan mata kepala sendiri.

Pembangkang meletakkan maksud dan tujuannya mengadakan himpunan itu tercapai berpandukan kepada jumlah kehadiran. Mereka mensasarkan 300,000 kehadiran. Memang kempen meminta penyokong turun hebat, hampir semua pemimpin pembangkang membuat klik video atau kenyataan khusus mengajak rakyat turun. Kelengkapan dan logistik himpunan juga disediakan.

Bagaimana pun sasaran yang ditargetkan itu tidak tercapai. Kehadiran tidak sampai separuh dari jumlah disasarkan. Ada yang dakwa 20,000 ada yang kata hanya 30,000. Disini jumlah tidak penting, ia subjektif, yang perlu disedari ialah himpunan itu berjaya diadakan ia berjalan seperti dirancangkan dan dampaknya nanti. 

Perlu diingat video atau laporan atau VTT himpunan itu senantiasa akan berlegar dan berputaran di alam maya yang boleh dilihat bila bila masa. 

Saya agak skeptikal sedikit dalam hal ini dan berbeza pendapat menganggap himpunan itu berjaya tanpa mengambill kira jumlahnya. Pada saya himpunan itu menjadi permulaan kearah diadakan siri himpunan seterusnya. Himpunan itu adalah introduction. Ia adalah bara api yang boleh membakar sebuah kebun, jika tidak dikawal. 

Apabila himpunan berjalan lancar dalam suasana meriah dan menghiburkan tanpa gangguan ia menarik perhatian rakyat untuk menyertai disiri siri akan datang. Orang ramai tidak gusar untuk menghadirinya kerana himpunan itu aman tanpa sebarang tindakan. Lantaran itu saya percaya selepas ini himpunan seumpama itu akan diadakan lagi. Demonstrasi sudah menjadi budaya politik di negara ini.

Selain itu himpunan itu juga sedikit sebanyak memberi gambaran yang kerajaan hari ini tidak aman dan terganggu. Laporan media antarabangsa terhadap himpunan itu memberi gambaran negatif terhadap kerajaan Madani. Ia menunjukkan kepimpinan Anwar walaupun baru dua tahun setengah tetapi sudah mula ditentang.

Pembangkang pula sudah tentu aktif menjadikan himpunan itu sebagai modal politik yang diedarkan dalam grup grup Whatsaap dan bahan bual dikedai kedai kopi.

Benar, keyakinan pelaburan asing kepada negara masih utuh. Tetapi kalau siri siri himpunan itu diadakan berterusan, lama kelamaan boleh memburukkan reputasi dan keadaan negara. Bagaikan air yang menitis diatas batu, lama kelamaan batu itu akan lengkuk juga.

Kesimpulan yang dapat dibuat, himpunan itu perlu diberi perhatian dan disekang oleh pihak kerajaan. Ia tidak boleh dianggap enteng atau diabaikan begitu saja kerana jumlah himpunannya tidak mega. Jangan jadi jumlah himpunan sebagai senjata mempertahankan diri.

Himpunan 26 Julai itu merupakan wakeup call buat kerajaan. Kerajaan tidak boleh leka dan syok dengan apa yang dilakukan ini. Wakeup call ini memberi peluang untuk Anwar membaiki kelemahan dan menutupi mana mana kepincangan yang jelas. Fitnah yang sudah menjadi budaya pembangkang hendaklah ditindak tegas tanpa terlalu berkompromi untuk menunjuk baik.

Begitu juga dengan kenyataan dan ulasan berupa teguran dan kritikan yang dibuat bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli menerusi podcastnya harus diteliti dan diambil kira, jangan melihat apa yang disuarakan Rafizi itu semuanya kebencian kerana kekecewaannya, sebaliknya kena didengari dan ditindak.

Selain daripada itu himpunan itu juga perlu dibalas jawab dengan mengadakan satu himpunan perdana rakyat. Kerajaan kena buktikan atau tunjuk yang mereka dihati rakyat. Dalam masa terdekat satu perhimpunan besar besaran menandakan sokongan kepada perdana menteri perlu diadakan.

Pembentangan RMK13 bernilai RM611 billion tidak cukup untuk menangkis gelombang yang terwujud dari himpunan Turun Anwar itu. Pihak kerajaan atau parti PH dan BN serta golongan penyokong kerajaan, yang baru puak puak pondok dan asatizah perlu berganding bahu mengadakan satu himpunan raksasa bagi menunjukkan sokongan kepada perdana menteri dan kerajaan. 

Setiap apa yang diberikan PM, kebaikan yang diamalkan tunjuklah dengan sokongan kepadanya. Trims. [wm.kl.10:55 pm 03/08/2025]

No comments: