Wednesday, August 20, 2025

Pakatan longgar untuk mengetatkan hubungan Bersatu dengan Pas

ANALISA

SELPAS diadakan gerakan untuk menurunkan Anwar Ibrahim (Turun Anwar) 26 Julai lalu, dan Anwar tidak juga turun, pembangkang terus bergerak mengatur langkah seterusnya. Kali ini diadakan satu pertemuan untuk membentuk apa dinamakan "pakatan longgar" dalam kalangan pembangkang. 

Gagasan itu dinyatakan dalam satu pertemuan di kalangan mereka pada 18 Ogos.

Antara parti-parti dijemput dan hadir dalam pertemuan itu ialah, Muda, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Putera, Berjasa, Urimai, Parti Melayu Malaysia, Perikatan Muslim India Nasional (Iman). Parti ini dipelawa untuk bergabung dengan PN – (Bersatu, Pas, Gerakan). Sebuah parti yang masih belum disahkan pendaftaran juga dikatakan akan bersama gabungan itu.

Tanggal 18 Julai lalu sudah diadakan pertemuan dengan parti-parti ini, atas maksud sama untuk merangka agenda itu, tetapi ketika itu tanpa kehadiran Pas. Pas tidak menghatar wakil atas alasan kerana pemimpin Pas tiada di Kuala Lumpur. Ketidak-hadiran Pas menyebabkan timbul pertanyaan apa sebenarnya yang berlaku?

Pemerhati melihat usaha itu seperti ikhtiar global pihak pembangkang dan parti-parti yang ketuanya ada menyimpan dendam dan geram serta membenci Anwar untuk jatuhkan perdana menteri ke 10 itu. Setengah kecewa apabila Anwar gagal untuk melayani mereka untuk bertemu dengannya. Ada yang menjaja syok sendiri, kononnya Anwar sudah memanggil mereka, tetapi mereka tolak atas nama prinsip. Ehwah. 

Pakatan atau muafakat parti pembangkang untuk tumbangkan kerajaan Madani bukan perkara baru dan memelikkan. Dari hemat politik saya disebalik apa yang diusahakan Mahiaddin itu kerana ada hambatan lain yang tidak terfikir oleh banyak orang. Mahiaddin sebenarnya terdesak disebalik agenda itu.

Yang dapat ditafsirkan, pakatan itu memberi petunjuk dan gambaran pakatan dicadang itu lebih untuk menyelesaikan masalah Bersatu dengan Pas. Itu tujuan dan maksudnya, bukan sangat atas keyakinan parti-parti itu berenergi untuk tumbangkan kerajaan Madani yang ditunggaki PKR, DAP, Amanah dan UMNO. Mahiaddin tahu parti-parti nyamuk lain tidak boleh membantu perkuatkan pembangkang PN, sebaliknya mungkin meributkan keadaan apabila saat hendak membahagikan kerusi nanti. 

Lantaran itu saya melihat penggilan dan jemputan itu untuk dijadikan penawar bagi mengubati masalah Besatu dengan Pas. Umum tahu bahawa hubungan Bersatu dengan Pas kini retak yang menanti belah sahaja. Kekompakan mereka tidak seperti sebelum ini. Masing-masing ada hala tuju tersendiri, ada agenda dalam agenda. Ada kilau dalam kilat.

Tidak menjadi rahsia lagi hubungan atau pertelingkahan Abdul Hadi Awang dengan Mahiaddin walaupun tidak serius, tetapi ia belum sendek. Pertelingkahan itu umpama kudis yang akan membawa kepada kanser. Jiwa Hadi belum tenang dengan Mahiaddin. Bagi Pas pula, kata Hadi adalah kata Tuhan, yang tidak boleh dibantah. Selagi Hadi tidak memaafkan Mahiaddin maka hubungan itu tidak sendik.

Disebut ringkas puncanya ialah kerana perebutan jawatan dan kuasa. 

Justeru bagi saya, cadangan dan hasrat Mahiaddin untuk membentuk pakatan longgar itu sekadar dijadikan denak atau umpan bagi mendamaikan hati Hadi terhadap Mahiaddin. Pertelingkahan beliau dengan Hadi perlu dibaik pulihkan. Beliau mahu menyejuk hati Hadi yang tersinggung dengan suatu keputusan dibuat Mahiaddin. Kesimpulannya pakatan longgar itu tidak lebih dari hendak mengetatkan hubungan Bersatu dengan Pas yang sudah relai.

Rahsia yang belum terungkap, dan masih diperhitungkan secara mendalam, khabarnya dalam pilihan raya umum akan datang Pas sedang merancang dan berkira-kira untuk bertanding secara solo dengan mengekalkan kerusi yang dimilikinya kini dengan harapan selepas itu akan bergabung dengan parti-parti lain yang dikira tidak akan memperolehi kerusi lebih daripadanya untuk tubuh kerajaan. Formula atau teori itu Pas akan guna untuk memimpin kerajaan selepas Piraum ke16 kelak. Langkah ini bijaksana.

Bagaimanapun rancangan Pas ini sudah dapat dibaca dan terhidu oleh Mahiaddins sebab itulah beliau perlu melakukan sesuatu untuk mengelakkan Pas bertanding bersendirian dan meninggalkan Bersatu dalam pilihan raya kelak. Mahiaddin sangat faham bahawa partinya tidak mempunyai kekuatan untuk berhadapan dengan PH dan BN. Selam ini pun Mahiaddin atau Bersatu menjadikan Pas sebagai alat, tak ubah seperti Kancil menjadikan buaya untuk menyeberang sungai semata-mata.

Manakala bagi Pas pula mereka sudah mula berfikir dan merasa bodoh, sampai bila mereka perlu dijadikan buaya dengan menahan belaang untuk memboleh Kancil menyeberang sungai. Pas kini sudah tahu bahawa perintah Nabi Sulaiman itu adalah rekaan semata-mata. [wm.kl. 11:15 am 20/08/2025]

No comments: