Monday, October 22, 2007

Catatan Sebelum Tidur

Politik Rasional Nik Aziz

ANTARA sebab kenapa saya suka kepada Tok Guru Nik Aziz (Tokguruku) ialah beliau banyak menggunakan rasional daripada muslihat dalam berpolitik. Beliau lebih banyak ikhlas daripada hipokrit dalam politik. Tidak menunju-nunjuk atau pun terlalu bereksperimental usaha mendapatkan kuasa seperti setengah orang.

Setengahnya suka sangat bereksprimen sampai tidak kecukupan alat hingga terpaksa guna seluar dalam atau baju tidur, dan orang lain terpaksa tecungap-cungap cuba memahami dan mentafsirkan politiknya.

Mata Nik Aziz sentiasa cerah dan hatinya juga bersih. Beliau tidak akan mengatakan tahu kepada perkara yang dia tidak tahu dan suka berterus terang. Begitu juga tidak akan mudah mengatakan tidak tahu kepada yang tahu. Apa lagilah mempermainkan orang atau bersikap macam kucing timbus tahi, jauh sama sekali.

Sikapnya memuji projek angkasawan menjelaskan akan politik tulus dan ikhlas yang diamalkan. Beliau tidak kira walaupun pandangan berhubung projek itu berbeza dengan sesetengah ahli dan pemimpin Pas lain, tetapi dia tetap dengan pendiriannya. Yang benar tetap benar walaupun siapa melakukannya.

Beliau memuji dan menganggap projek berkenaan tidak membazir bahkan katanya dituntut oleh Islam. Mungkin orang tidak setuju apabila beliau memuji dan tidak mengkritik atas dasar untuk memburukkan Kerajaan.

Kalau tidak silap saya, kenyatan Nik Aziz itu adalah kenyataan pertama dari pemimpin tertinggi Pas. Pemimpin lain nampaknya sedang mencari idea dan mengenal sudut-sudut negatif untuk mengulas berhubung projek berkenaan.

Walaupun ada dua tiga orang pemimpin bilis mengulas dan menyinis projek angkasawan itu saya menganggap ia adalah habit saja atau jenis kanta matanya tidak akan nampak sesuatu yang baik di pihak lain dan senantiasa nampak kebaikan sendiri saja.

Sewajarnya pemimpin Pas dan sesiapa juga belajar berpolitik dan bercakap benar berdasarkan fakta seperti mana Nik Aziz lakukan. Percayalah perjuangan yang haq itu akan menang dengan hujah, pendekatan dan startegi yang menempati syarie' saja. Mana-mana pendekatan atau strategi lain daripada itu ia tidak akan memenangkan perjuangan yang haq.

Sebenarnya kita tidak perlu takut untuk memuji kebaikan orang lain yang menepati apa yang kita perjuangkan. Sebaliknya kita menyokong apa juga kebaikan itu tanpa mengira siapa melakukannya. Seperti saya tegaskan, keburukan bukan saja datang daripada Umno dan bukan semua kebaikan itu datang daripada Pas. [wm. kl 11: 41 pm 22/10/07]


Sunday, October 21, 2007

Catatan Aidifitri 07(4)

Majlis Raya Anwar: Ke Mana Larinya Harimau!

MSO

KETIKA sedang asyik mengedit gambar yang diambil di sekitar majlis Hari Raya Aidifitri di rumah Anwar Ibrahim dan Dr Azizah Ismail, sore tadi, sdr Kamal Amir Kamal Hijar (Datuk) menelefon saya, memberi tahu perkembangan dan suasana di rumah Anwar. Beliau baru tiba di rumah Anwar setelah saya meninggalkan tempat itu lebih dua jam.

"Ti nampaknya tidak ada muka-muka lama, yang banyak ialah muka-muka rakyat marhen saja, sedihlah!" keluhnya kesal di hujung telefon.

Beliau bergegas dari padang golf di Tample Park untuk ke rumah Anwar apabila mengetahui saya sudah sampai ke Bukit Segambut di rumah baru Anwar itu. Kami sudah berjanji akan sama-sama ke rumah Anwar. Saya membuat janji itu kerana mendapati beliau sudah lama tidak mampir ke rumah sahabat lamanya itu. Dan saya pula mahu tergesa-gesa kerana belum pernah menjejak kaki ke laman rumah bekas TPM itu sejak beliau pindah ke situ.

Melangut

"Beigtulah T, kalau sudah tidak ada kuasa, siapa nak peduli lagi. Jauh bezanya semasa Anwar ada kuasa dulu, pantang ada kenduri atau majlis di rumahnya. Subuh-subuh lagi sudah ada yang duduk melangut di hadapan tangga rumahnya," ujar Kamal lagi lirih campur kesal menebal di dada.

Nampaknya beliau terkilan sungguh dengan sikap dan perangai orang-orang politik. Mereka hanya berkawan dengan seseorang itu dikala orang itu ada kuasa dan pangkat. Apa bila orang sudah jatuh, sudah muflis (kuasa) ia tidak akan dipedulikan lagi. Usahkan nak sebut nama, kalau disebut pun dimaki hamun pula kawan itu.

Saya teringat macam mana sikap Ahmad Zaid Hamid, Timbalan Menteri Penerangan sesuadah Anwar tidak mempunyai kuasa dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri. Segala sanjungan dan pemujaan beliau kepada Anwar berubah. Seolah-olah di dalam kaca matanya Anwar menjadi seburuk manusia. Paling menyedihkan beliau pernah membangkitkan kononnya Anwar tidak pernah membantunya. Betulkah!?

"Nampaknya apa yang berlaku di rumah Tan sri Mohd Isa Samad, lebih karang saja, Mal. You tulislah sikit Mal," balas saya memberi semangat kepadanya. Tangan terus juga megedit gambar untuk dimuatkan ke dalam blog.

Saya tidak hairan apa yang disebut sdr Kamal Amir itu. Begitulah nasib orang politik. Kalau sudah tidak ada kuasa, dia akan ditinggalkan lebih buruk daripada nasib janda tua beranak lapan belas. Orang politik macamlah juga perempuan GRO dalam kaberet, masa muda bergetah dia menjadi rebutan kaum lelaki. Lelaki jalang sampai sanggup bertumbuk sampai pecah hidung dan mulut kerana ingin mendapat GRO cantik dan lawa itu.

Tidak sudi

Tetapi bila GRO itu sudah tua, muka berkedut, perut bergendur, dan badan dah jadi macam batang pisang, maka ia akan ditinggalkan begitu saja. Sesiapa pun tidak sudi untuk menyapa dan menjamahnya lagi. Usahkan nak duduk bersembang lalu di hadapan pun sudah tidak mahu takut di GRO tua itu menyapanya.

Begitu juga orang politik bila sudah tidak ada kuasa tidak ada siapa mempedulikannya lagi. Usahkan orang, gajah, rimau dan nyamuk juga enggan berbaik. Dan masa inilah juga baru mereka tahu langit tinggi rendah. Kenal mana intan dan permata. Kenal mana kawan dan mana lawan. Tahu mana kawan sejati dan mana kawan yang hanya mencari kesempatan atas kuasa dan kedudukan kawan.

Anwar dan orang-orang sepertinya cukup faham akan keadaan nasib itu. Anwar sendiri pernah melapazkan kata-kaya yang beliau baru kini sedar dan kenal siapa kawan yang sejati dan kawan yang hanya mahu mendapat kesenangan daripadanya. Mana kawan yang makan kawan dan mana kawan yang sanggup berkorban membelanya dan membantu keluarganya semasa beliau berada di penjara.

Tetapi tidak mengapa, kalau kawan lama yang pernah Anwar tolong yang sudah kaya sudah jadi timbalan menteri atau menteri, atau dah jadi ahli korporat tidak membantunya kini tidak mengapa, kerana rakyat marhean sedia mengambil alih tempat itu. Alam kehidupan Anwar tidak sunyi. Beliau tetap juga dikelilingi oleh rakyat yang suci dan bersih hatinya. Rakyat yang melatkakan pergantungan dan harapan kepadanya untuk menjadi pemimpin tetap menyokong dan setia dengannya tanpa menangih apa-apa.

Anwar tidak perlu kesal. Satu yang pergi seratus yang datang memperhambakan diri. Cuma nilai orang yang datang itu berbeza dengan yang pergi. Saya percaya kira-kira 5,000 yang hadir pada hari rumah terbukanya hari ini (pagi dan petang) adalah mereka yang ikhlas dan setia kepada perjuangannya. Mereka ini adalah datang sendiri dengan penuh kerelaan dan tidak dipaksa ataupun diupah.

Mereka datang bukan sangat untuk makan, tetapi untuk bersua muka dan bertanya khabar. Datang untuk memberi semangat dan rangsangan agar Anwar meneruskan perjuangan membela rakyat seperti mana yang dijanji dan diikrarkan sejak dulu.

Muka sama

Ketika berjumpa Anwar beliau gembira kerana kehadiran di rumahnya melebihi daripada kehadiran semasa beliau menjadi TPM. Walaupun kebanyakan yang hadir adalah muka yang sama sejak tiga tahun lalu, namun dicelah-celah itu ada-ada saja muka baru yang datang bukan saja di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, bahkan dari Perak, Selangor, Melaka dan Seremban. Kesanggupan mereka ini datang menunjukkan betapa besarnya harapan yang mereka sangkutkan kepada Anwar. Mereka tidaklah berpangkat dan datang dengan Mercedez tetapi air muka mereka suci dan boleh dipercayai.

Semasa saya di rumah Anwar petang tadi tidak ada orang-orang kenamaan yang hadir, kecuali dua tiga orang datuk, itupun yang sudah hampir muflis dan datangpun sembunyi-sembunyi. Yang sempat dicami ialah bekas Duta Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Abdullah Ahmad. Mungkin kebanyakan mereka sudah hadir pada belah pagi.

Belah pagi majlis di khaskan kepada VVIP. Sementara rakyat marhean di khasnya di sebelah petang. Saya menerima kad jemputan untuk hadir pada sebelah petang. Walaupun Ibrahim Ali menghubungi untuk hadir di sebelah pagi saya menolak kerana sengaja untuk datang waktu petang bagi membolehkan saya melihat rakyat marhean yang datang.

Seperkara yang tidak saya fahami kenapa ada dua sessi atau dua kelas jemputan itu. Kenapa diasingkan antara jemputan VVIP dengan rakyat marhaen. Apakah rakyat marhean tidak layak untuk duduk bersama dengan VVIP, sedangkan tujuan majlis itu ialah untuk beramah mesra dan bermahabbah?

Lain tahun dan lain musim diharap majlis itu tidak dibahagikan kepada dua kasta. Biarlah rakyat marhean bercampur sama dangan VVIP. Dan VVIP pula jangan merasa segan dan geli untuk duduk berdekatan dengan rakyat marhean. Percayalah bau hampak dan hamis seluar dan baju marhaen itu bukan kerana apa melainkan kerana peluh dan keringat mereka yang tertumpah kerana memperjuangkan nasib pemimpin yang mereka kasihi! [wm.kl pm 4:45 21/10/07]

Rencana Khas

Suasana semasa tidak memihak kepada Pas Kelantan?
(Bahagian Kedua dan Akhir)

MSO

ARUS dan perkembangan politik hari ini menunjukkan bahawa Pas Terengganu berada dalam keadaan lebih cerah untuk merampas balik negeri minyak itu berbanding dengan Pas Kelantan hendak mengekalkan Serambi Makkahnya. Perkembangan mutkhir ini di Terengganu benar-benar memberi advantage kepada Pas.

Tragedi apa yang dinamakan rusuhan (oleh polis) mengundang simpati besar rakyat Terengganu kepada Pas. Rusuhan di Batu Buruk itu bukan berlaku secara nature, melainkan ia adalah takdir politik yang menguntungkan Pas sekiranya Pas bijak menggunakannya. Kejadian itu memberi petanda betapa gelisah dan resahnya Umno Terengganu.

Peristiwa itu tidak dicipta kalau bukan untuk melemah dan menghalang kebangkitan pengaruh Pas Terengganu. Polis dan Umno bersekongkol untuk mempertahankan Terengganu. Kenapa? Mempertahankan Terengganu adalah kerja wajib dalam konteks politik peribadi Abdullah Ahmad Badawi kerana beliaulah bertanggungjawab merampas negeri itu daripada Pas sebaik menjadi PM pada 2004.

Terengganu adalah negeri menjadi mercutanda politik Abdullah di negara ini. Bukan itu saja banyak kepentingan-kepentingan berupa kewangan dan ekonomi Perdana Menteri itu di Terengganu menyebabkan beliau harus pertahankan negeri itu. Tentunya beliau tidak mahu perancangan yang dibina di Terengganu menerusi orang bernama Patrick Lim terbangkalai begitu saja!

Peluru hidup

Terengganu adalah legasi kuasa kepada Abdullah dan ianya akan dipertahankan dengan apa cara sekalipun. Setelah merasakan keadaanya sudah panas, sebab itulah tragedi rusuhan melepaskan peluru hidup itu dicipta dan dilakukan sebagai satu bentuk dan isu untuk mempertahankan Terengganu daripada tumpas.

Berlainan dengan Kelantan. Walaupun gambaran politik Kelantan sungguh meriah dan ceria (dilihat kepada pemasangan bendera dan ceramah) namun tidak ada apa-apa momentun pada masa ini yang boleh membantu Pas mempertahankan Kelantan dengan mudah.

Suasana di Kelantan berlainan dengan di Terengganu. Kalau di Terengganu rakyat mulai kurang senang dengan kepimpinan Menteri Besar, Idris Jusoh yang dikatakan mengutamakan kroni, menumpukan pembangunan di Besut, melakukan kezaliman kepada rakyat dan lain-lain, sebaliknya di Kelantan meskipun selera bukan begitu tetapi sudah ada tanda-tanda yang rakyat mulai keliru dengan pembawaan dan hala tuju sesetengah pemimpin “versi baru” Pas di Kelantan.

Keadaan ini menyebabkan sudah ada sunggutan dan cakap-cakap tentang ini. Selain itu, hakikat yang Datuk Nik Abdul Azuiz Nik Mat sudah berada di ‘pita merah politinya’ juga secara tidak langsung memberi kelebihan tersendiri kepada Umno kali ini. Hari ini Nik Aziz tidak lagi berada dalam kedudukan seperti tahun-tahun 90-an di mana pengaruhnya luas dan rakyat Kelantan benar-benar kagum dengan keperibadiannya.

Walaupun pengaruh dan penghormatan orang masih sama, namun dengan kedudukan di hujung senja itu beliau tidak lagi menjadi daya tarik utama khususnya kepada pengundi muda. Ini menimbulkan masalah kepada Pas kerana kekuatan Pas Kelantan itu didokong pengaruh peribadi Nik Aziz selaku ulama dan tok guru.

Setara Nik Aziz

Adalah diramalkan kira-kira 10 – 15 % pengaruh Pas Kelantan didokong atau dibantu oleh pengaruh peribadi Mursyidul Am Pas itu. Selain batang tubuh Nik Aziz, Pas Kelantan tidak ada apa-apa lagi yang hendak ditawarkan kepada rakyat. Dari sudut kepimpinan Pas Kelantan tidak memiliki sesiapa yang setara dengan Menteri Besar itu.

Perkara ini jelas, semua pemimpin “versi baru” Pas Kelantan ketika ini sedang menumpang “tui” beliau. Hal ini dapat ditenguk kepada banting-banting iklan politik yang dipasang di sekitar Kota Bharu semuanya menempel bersama Nik Aziz. Seolah kalau tidak diletakkan gambar Nik Aziz bersama orang tidak akan hadir pada sesuatu majlis yang dianjur atau melibatkan pemimpin berkenaan.

Begitu juga di Kelantan kini belum ada gelombang yang benar-benar menyentuh perasaan rakyat dan bakal menjadi pemangkin kepada Pas. Kalau pun ada sedikit ialah tentang beberapa projek sosial di bidang pertanian seperti menanam pokok depu, pokok karas dan sebagainya serta bantuan untuk warga emas - skim Kifallah. Itupun sudah dijejaki oleh Umno yang turut melancarkan penanaman ubi kayu (cassava) dan melancarkan skim Insuran Merdeka yang lebih mahal berbanding skim Kifallah.

Pas Kelantan kena sedar hakikat ini dan perlu mengambil langkah awal. Dalam suasana Pas sendiri tidak begitu optimis ini mereka janganlah pula menganggap kata-kata dan ucapan Abdullah itu sebagai memihak kepada mereka. Suka tidak suka orang Pas Kelantan termasuk pemimpinnya kena menerima apa yang pernah saya katakan sebelum ini; bahawa Abdullah Ahmad Badawi kini telah menjadikan Kelantan sebagai negeri sasarannya untuk melebarkan propinsi taklukannya pada pilihan raya akan datang.

Sebenarnya Abdullah memasang angan-angan itu secara diam tanpa menghebuhkannya. Selepas ini beliau akan kerap lagi mengunjungi Kelantan dan akan mengulangi hal yang sama, “kita akan membangun Kelantan walaupun ia terletak di tangan pembangkang.”

Percaya dan yakinlah kenyataan itu adalah lagu untuk mendodoikan Pas agar terus lena dan keasyikan dengan mimpi-mimpi indah. Kita tidak mahu menyaksikan pada pilihan raya ke- 12 kelak Kelantan akan bertukar dengan Terengganu, Terengganu jatuh ke tangan Pas, Kelantan pula jatuh ke tanagn Umno. [wm.kl - rencana ini lewat dimasukan]

Saturday, October 20, 2007

Reaksi

Duhai Sdr Anuar Mohd Nor!

MSO

BUKAN bertolak daripada rasa kesian atau simpati, tetapi saya merasakan perlu untuk tanggungjawab untuk memberi secebis kekuatan dan setitik semangat kepada sdr Anuar Mohd Nor berhubung "blurb pengumuman" yang beliau bentangkan di laman webnya - umno-reform.com. Beberapa hari blurb itu tertera di laman webnya, dan ini menjadikan saya terpanggil untuk memberi sedikit respon mengenainya.

Isunya ialah kononnya Anuar telah dibeli oleh Norza Zakaria (Ketua Pemuda Umno Wangsa Maju) sebanyak RM200,000. Untuk apa, tidak diketahui, tetapi mestilah ada sangkut paut dengan hal-hal kerja propaganda, al maklumlah sekarang ini kita semua sedang diserang demam pilihan raya, jadi banyak tokoh politik yang ingin berbaik dengan media.

Berita mengenai tuduhan itu disiarkan dalam blog yang menggunakan nama menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin - antikhairy.blogspot.com

Anuar (foto) menafikan yang dia dibeli. Tuduhan dan laporan itu tidak benar. Ertinya dia bukan bahan dagangan atau toys kepada orang politik. Bagus dan syabas.

Anuar juga tidak ghairah mahu menjawab. Nampaknya dia sudah faham dunia dan rempah ratus serta ranjau dan onak dilalui penulis. Tetpai kerana ramai yang menghubungi dan mendesaknya maka beliau menjawab dan menerakan blurb itu di laman webnya dan berjanji akan menjawab selepas raya secara terperinci. Kita tunggu.

Tuduh menuduh

Apa yang hendak saya jelaskan di sini rasanya Anuar sendiri faham. Tentang tuduh menuduh dan dakwa mendakwi tanpa bukti jelas ini sering berlaku dan akan berlaku dan menimpa diri penulis. Inilah satu cubaan dan ujian besar kepada penulis dan kerjayanya.

Kalau mana-mana penulis (khasnya penulis politik) tidak tahan dengan ujian ini mereka akan kalah dan musuh akan menang. Tujuan mereka berbuat begitu ialah untuk menganggui emosi kita daripada berfikir dan menulis membela bangsa dan negara mendedahkan penyelewengan dan membongkar fiil busuk pemimpin. Dan satu-satu senjata dikira ampuh untuk mereka mendamagekan penulis ialah dengan menuduh ia sebagai penulis upahan!

Ancaman dan tuduhan yang dihadapi sdr Anuar itu belum cukup kuat dan hebat. Akan ada lagi selepas ini fitnah-fitnah kubra yang akan dituju kepadanya. Setakat RM200,000 sedikit sdr Anuar, orang lain pernah difitnahkan berjuta-juta ringgit serta pelbagai insentif lain yang mengalahkan menteri atau perdana menteri.

Dalam melakukan fitnah dan menyebarkan berita ini sebenarnya bukan orang lain. Mereka adalah orang-orang di sekeliling kita juga, yang bersifat 'mulut manis jubur masam'. Teman-teman rapat termasuk penulislah yang sering menjual dan menjaja hal ini. Mereka lebih dipercayai kerana mereka rapat dan mengenali kehidupan kita. Merekalah yang rapuh mulut menceritakan kepada tokoh-tokoh politik dengan niat dan tujuan tertentu pula.

Fitnah akan menimpa penulis bukan memerlukan bukti yang jelas. Tidak payah bersekongkol dengan bank untuk mengorek akaun kita. Tidak payah mereka menyelidiki akaun anak bini kita atau waris warah kita. Tetapi cukup kalau mereka melihat perubahan kehidupan seharian kita saja.

Bahan bukti

Kalau kita pakai kereta, pakai baju berjenama atau nampak rileks, naik kapal terbang dua tiga kali sebulan atau sering berada di restoran kentucky fried chicken atau mcdonalds cukup untuk dijadikan bahan bukti bagi mengatakan kita - seseorang penulis itu kaya dengan cara dibayar upah oleh orang tertentu.

Apa lagi kalau mereka sudah tahu kita tidak lagi duduk di kawasan setinggan atau mendiami flat dua bilik dan telah menginap di perumahan teres, maka kita akan dilemparkan dengan berbagai tuduhan. Kononnya si anu belikan si anu hulurkan wang dan si anu membiayai segala keperluan hidup kita.

Seperkara lagi sering berlaku fitnah ialah apabila kita menulis dan menyokong tindak tanduk seseorang pemimpin, maka kita akan mudah dituduh sebagai telah dibeli oleh tokoh-tokoh yang menjadi musuh kepada tokoh yang kita tulis dan sokong itu.

Dalam hal ini saya ingin turunkan pengalaman yang berlaku ke atas diri saya, bukan untuk pengetahuan sdr Anuar saja tetapi sebagai renungan bersama.

Tahun 1991 apabila saya menulis mengkritik Anwar Ibrahim, saya dituduh dengan pelbagai tuduhan termasuk diupah dan dibayar oleh tokoh yang berseteru dengan Anwar. Bahkan jauh sebelum itu tahun 1986/87 apabila saya menulis menyanjungikan keperibadian politik Abdullah Badawi sebagai tokoh yang bakal jadi PM, saya juga turut dituduh diupah oleh mereka yang dengki dengan Abdullah.

Ironisnya apabila saya menulis membela pemecatan Anwar Ibrahim tahun 1998, saya dituduh diupah dan dibayar oleh orang atau sahabat Anwar. Seorang rakan penulis kelas haprak menjaja kononnya pedagang Arab telah memasukan sejumlah wang ke dalam akaun saya.

Begitu juga halnya apabila saya gila-gila menulis dan memberi ruang kepada Husam Musa dalam tulisan dan buku saya, saya telah dituduh telah dibayar oleh Husam. Husam sendiri pernah menyebut kepada saya, bahawa beliau mendengar tuduhan mengatakan beliau memberikan saya sebanyak RM100,00. (Dan kini apabila saya kurang seronok dengan Husam siapakah pula agaknya yang menghulurkan ringgit kepada saya?)

Jadi sdr Anuar dan sahabat penulis yang budiman, usahlah kita melayan segala tuduhan itu. Ia adalah penyakit yang datang bermusim yang tumbuh dalam hati mereka yang tidak senang dan memang berpenyakit. Ini tidak menghairankan kerana Allah ada berfirman; sesungguhnya di dalam diri mereka ada penyakit (dengki, cemburu dan buat fitnah), maka Allah akan tambahkan lagi penyakit ke atasnya.

Penulis profesional

Dan kalau pun kita dibayar dan diupah dan kebetulan mendapat wang banyak, ia adalah atas hasil usaha kita sendiri dan ingatlah penulis adalah bidang profesional yang mahal harga dan nilainya kerana bukan semua orang yang ingin jadi penulis atau sedang menulis pun masih lagi belum diiktiraf sebagai penulis profesional.

Mereka yang menuduh kena ingat bahawa orang politik di Malaysia tidak sebaik dan semurah hati yang disangka untuk membayar dan membeli penulis begitu mudah sekali untuk kepentingan mereka.

Penulis yang tulen yang jati ada pendirian dan ada prinisp tersendiri. Mereka tidak boleh dibayar hatta seberapa banyak sekalipun. Kami menulis bukan kerana wang tetapi kami menulis ialah kerana semangat, kesedaran untuk membela agama, bangsa dan negara. Kami mengkritik bukan kerana dia musuh, tetapi kami mengkritik kerana dia salah. Kami menyokong bukan kerana dia kawan, tetapi kami menyokong kerana dia bersih, jujur, ikhlas dan tidak hipokrit.

Pun seperti saya sering katakan, saya tidak menafikan ada orang yang berlagak sebagai penulis menggunakan nama dan profesyen selaku penulis politik tetapi untuk menyamun sana dan mengugut sini. Dan janganlah kerana kerbau seekor membawa lumpur maka semua kerbau lain juga dilihat berlumut dan kotor. [wm.kl 20/10/07]

Rencana Khas

Awas Jangan Sampai Kelantan Bertukar Dengan Terengganu
(Bahagian Pertama)

MSO

SEMUA dapat merasai bahawa beberapa siri kunjungan Abdullah Ahmad Badawi ke Kelantan tidak memberi gambaran Presiden Umno itu mempunyai misi dan tujuan jelas untuk merampas Kelantan. Dalam lawatannya beliau tidak menzahirkan yang beliau berminat untuk menawan Kelantan melainkan ikhlas untuk membantu membangunkan Kelantan saja.

Seingat saya tidak pernah sekali pun beliau memberi petunjuk atau rangsangan agar Umno merampas Kelantan dan menumbangkan Kerajaan Pas. Apa yang beliau selalu tekankan Kelantan akan dibangunkan walaupun ianya berada di tangan pembangkang – Pas.

Yang berusaha keras dan tergila-gila sangat hendak merampas Kelantan ialah Annuar Musa. Pengerusi Umno Kelantan itu telah melambung slogan baru, berbunyi; “Kelantan Baru” yang beriringan dengan “Mahnaj Islam Hadhari Kelantan Mithali”, untuk memancing hati rakyat.

Tanpa peduli apakah sahsiahnya mampu atau relevan untuk menjanakan Islam Hadhari, Annuar melaungkan slogan berkenaan sebagai gantian kepada slogan “Membangun Bersama Islam” yang dicanai oleh Pas dan menjadi seruan rasmi Kerajaan Pas Kelantan selama 17 tahun lalu.

Nampaknya Abdullah masih mengekalkan gaya politik tidak suka kontroversi yang diamalkan selama ini. Perlu diketahui kerana amalan dan pendekatan politik demikian jugalah menyebabkan beliau melompat naik menjadi PM mengejutkan beberapa tokoh yang merasa mereka lebih bijak dan lebih pandai berbanding cucu ulama itu.

Abdullah pernah kalah dan tercicir dari senarai orang-orang yang akan naik jadi PM. Bagaimana pun beliau tidak gelabah dan mudah putus asa. Beliau terus berjuang dan berdoa. Kekuatan yang ada kepadanya ialah bukan politik provokasi dan kontroversial tetapi kepada doa dan kesenyapannya! Ternyata uslub itu berjaya meletakkan dirinya di tempat yang diduduki hari ini.

Justeru apabila beliau tidak memberi isyarat agar Umno merampas Kelantan janganlah pula orang Pas membuat konklusi yang Abdullah tidak berhajat untuk merampas Kelantan atau terlalu lembek (naif) untuk menawan negeri Tok Janggut itu.

Sebaliknya Pas harus menterjemah dan mentafsirkan kata-kata Abdullah yang kerap diulang itu; “kita akan bantu Kelantan walaupun ianya berada di tangan pembangkang” sebagai peringatan dan pesan yang akan menjadi cabaran kepada mereka.

Pas Kelantan jangan mudah terpesona dengan ramalan pemerhati politik dari Kuala Lumpur atau oleh analisa-analisa pihak tidak berwajah. Pemerhati luar baik dari kalangan Pas atau Umno meletakan Umno masih sulit untuk merampas Kelantan. Melihat Kelantan dari luar apa lagi melihat masalah yang berserabut dalam Umno – pepercahan sesama sendiri, memang kita mengatakan Pas akan menang dan berkuasa di Kelantan.

Sebenarnya Pas jangan mudah menelan ramalan-ramalan sebegini yang sifatnya melodi untuk memdodoikan Pas saja. Tenguk dan ingat apa yang berlaku pada pilihan raya 2004. Semuanya tidak duga keputusan yang dibuat rakyat Kelantan dan apa yang diraihkan Umno. Daripada hanya memiliki dua kerusi (DUN), Umno melonjak naik menjadi 21 kerusi, di mana lonjakan melebhi 95% dan mengejutkan Pas Kelantan.

Sebab musabab dan faktor kenapa berlaku demikian harus senantiasa terpaku kejap dalam benak dan dikenang sepanjang masa. Jangan sampai pisang yang tidak berguna berbuah dua kali! [wm.kl]

Friday, October 19, 2007

Catatan Aidifitri 07 (3)

Pusara Nurin Yang Sepi dan Bunga-bungaan Kelayuan

MSO

LEWAT senja semalam sementara menunggu beberapa orang kawan datang untuk minum di restoran mamak di Taman Ibu Kota, Setapak saya mengambil peluang untuk menjenguk pusara Nurin Jazlin Jazimin yang terletak kira-kira setengah kilometer dari restoran berkenaan.

Semasa hari pengembumian jenazahnya 21 September lalu saya tidak berkesempatan untuk hadir dan merakam gambar sebagai kenangan. Jumaat hari jasad Nurin masuk ke perut bumi saya sedikit keletihan dan kebetulan pula kawan yang diminta jemput lambat tiba. Jadi saya terlepas peluang memberi penghormatan terakhir kepada anak suci itu dan menghantar pemergian Nurin ke Syurga itu dengan iringan doa saja.















Senja semalam persekitaran kubur Taman Ibu Kota itu lapang dan tenang. Pemandangan sebegitu biasa di sesebuah perkuburan. Suasananya harmoni dan sejuk, seolah semua roh-roh milik jasad bersemadi di situ berada dalam keadaan tenang dan aman sedang bertasbeh untuk kesejahteraan dunia dan untuk kita yang masih hidup bersama ribuan malaikat!

Nun.. jauh di sudut berdekatan sebuah wakaf, di sebalik rumpunan pohon pisang di situlah terletaknya pusara kecil di mana di dalamnya tersemadi jasad Nurin Jazlin. Pusara itu masih baru dan tanahnya masih merah, namun sudah ada belindang yang menyerukupi pusara berkenaan. Belindang kayu berkualiti itu seakan memeluk sayang Nurin yang 'trauma' dengan apa yang berlaku ke atasnya dan mengawasi agar tidak ada syaitan mengangguinya lagi.

Di atas pusara itu terpacak sebatang kayu tertempel kertas yang tertulis perkataan "Tempat Persemadian Adik Nurin Jazlin" bertulisan dengan dakwat merah dan secebis kertas usang. Sebaik kaki menjejak di situ saya jadi terkaku seketika kemudian membaca al-Fatihah dan beberapa kerat ayat-ayat Quran beberapa kali.

Kembang riang

Hati terus jadi tersayap melihat persekitaran kubur Nurin. Bunga-bunga yang dipacak di atas pusara itu yang dibawa oleh mereka yang menyayangi dan simpati kepadanya masih ada yang kembang riang seolah-olah memberitahu Nurin aman dan damai saja. Namun sudah ada juga kuntum yang mula kuncup dan keguguran satu persatu mencium dada pusaranya.

Sebiji bekas air yang terletak di tepi nisan sebelah kiri yang dalam keadaan terbalik seolah memberi gambaran objek itu juga turut berdukacita atas apa yang berlaku. Tumpahan air dalam bekasan itu memberi tanda betapa objek tidak bernyawa itu turut bersimpati kepada Nurin dan lebih berhati perut daripada bajingan yang membunuh dan memperkosa Nurin.

Selepas menghabiskan masa kira-kira 15 mjnit saya beredar dari situ. Berat kaki untuk meninggalkan pusara kecil itu. Sambil berjalan saya terus memaling ke arahnya dan terasa berat sekali untuk melangkah meninggalkan Nurin bersendirian! Tiba-tiba air mata luruh setitik demi setitik tatkala semacam mendengar rengitan Nurin yang memohon agar bajingan yang bertanggungjawab ke atasnya dihukum secepat mungkin.

Iya, hari ini sudah hampir sebulan jasad Nurin yang kaku ditemui di dalam sebuah beg pakaian itu dan disemadikan, namun orang bertanggungjawab melakukan perbuatan terkutuk itu masih belum berjaya diberkas. Walaupun sudah ada beberapa tangkapan dibuat sebelum ini, namun ia gagal untuk memberkas siapakah pelaku sebenarnya.

Sebelum keluar dan menutup pintu kecil perkuburan itu, tidak semena-mena perasaan marah kepada polis menyelinap ke dalam diri apabila mengenangkan mereka lambat atau pun gagal mengesan segera pembunuh murid Sekolah Kebangsaan Desa Setapak itu.

Sepanjang pulang saya bertanya sendiri kenapa polis menjadi begitu bijak menyelesaikan sesuatu kes pembunuhan dan kenapa pula kadang-kadang sukar untuk mengusaikan sesuatu pembunuhan kejam seperti mana berlaku ke atas Nurin Jazlin! [wm.kl 12:55 19/10/17]

Thursday, October 18, 2007

Susupan Pagi

Skim Kifaalah dan Insuran Merdeka

MSO

UMNO atau Barisan Nasional (BN) Kelantan terus mengikuti jejak langkah Pas. Apa yang Pas bawa dan buatkan untuk rakyat Kelantan dalam usaha memancing undi, Umno juga ikut sama membuntutinya. Nampaknya pemimpin Umno senantiasa memerhati ke arah mana langkah Pas, mereka bersedia mengikuti dan membatasinya.

Sikap ini menunjukkan seolah-olah Umno lebih bijak daripada Pas. Tetapi dari satu sudut Umno ternyata lebih munafik daripada Pas dalam membantu rakyat. Umno tampil membantu rakyat selepas Pas kalut membantu akyat. Sekiranya Pas tidak membantu rakyat, mereka tidak akan bersusah payah untuk menolong rakyat.

Banyak perkara yang Pas buat kemudian diikuti satu persatu oleh Umno. Ada kalanya idea yang Pas kemukakan diceduk dan didakwa mereka yang punya. Sikap ini sepertilah kancil yang berak atas busu kononnya nak tunjuk tahinya besar kepada sang gajah!

Antara perkara atau program yang dilaksanakan oleh Pas dan diikuti oleh Umno ialah memberi bantuan kepada orang miskin. Bila orang Pas memberi bantuan kepada rakyat yang menghadapi bencana alam seperti kebakaran, rumah dilanda ribut, ahli keluarga ditimpa masalah Umno juga turut memberi bantuan.

Songkok buruk

Begitu juga soal-soal kebajikan lain. Bila Pas menziarahi orang sakit atau menziarahi jenazah, orang Umno juga sibuk-sibuk cari songkok buruknya untuk sama-sama menziarahi jenazah. Pas semabahyang jenazah, mereka ikut juga sembahyang jenazah. Setengah tidak tahu malu langusng, dan sanggup pula duduk bersebelahan dengan pemimpin Pas yang dimaki hamun selama ini untuk sama-sama sembahyang jenazah.

Kalau ada apa-apa bencana alam di ceruk mana saja, pemimpin Umno akan sampai. Ada kalanya pemimpin Kerajaan Pas belum sampai lagi mereka sudah tercokol di tempat itu. Tidak kurang juga berlaku pertembungan, di mana antara pemimpin Pas dan Umno berebut tangga untuk naik menjenguk mangsa kemalangan itu.

Misalnya satu hari ketika berlaku kebakaran di sebuah rumah penduduk di Kampung Kasa Pasir Mas, kedua pemimpin Pas dan Umno sama-sama tiba. Pas diwakili oleh Exconya yang hiperaktif dan peka rakyat bernama Husam Musa, manakala Umno pula diwakili oleh Pengerusinya Annuar Musa. (Ai kebetulan pula nama bapa mereka sama ya, harap-harap perangai tidak sama!).

Husam yang baru balik dari Terengganu walaupun sudah tiba di kawasan kejadian tidak terus ke tempat kebakaran tetapi berhenti di sebuah warung kopi, kemudian ke masjid kerana waktu Asar telah masuk. Sekejap kemudian kereta Annur Musa masuk ke tempat kejadian. Sesudah solat Asar, Husam tidak terus masuk kerana takut berlaku kesesakan kerana lorong ke tempat kejadian sempit. Kerana lama sangat menunggu Annuar keluar akhirnya Husam masuk juga, akhirnya mereka bertembung di jalan.

Begitulah keadaan yang berlaku. Semua berebut hendak membantu rakyat. Tetapi suasana dan keadaan itu tidak berlaku sebelum ini. Sudah banyak kemalangan dan orang menghadapi bencana alam di Kelantan sejak tahun 1826 lagi, tetapi sikap pemimpin terutamanya Umno tidak sepeka itu. Yang rajin dan ralik menjenguk rakyat ialah para Exco dan wakil rakyat Pas saja.

Hari ini pendeknya apa saja dibuat oleh Pas, akan diikuti dan dituri satu persatu oleh Umno. Keaktifan pemimpin Pas dalam membantu rakyat menyebabkan pemimpin Umno juga tidak lena tidur. Inilah barang kali rahmat dan hikmatnya atas kepekaan pemimpin Pas dalam membantu rakyat. Makanya kalau rakyat Kelantan mahu mereka diperdulikan oleh Pas dan Umno mereka harus kekalkan Pas, kerana bila Pas berbuat sesuatu baru Umno mengikutinya.

Pujian melangit

Begitu juga tentang skim Kifalaah yang diperkenalkan Pas untuk membantu warga emas dan keluarganya apabila berlaku kematian. Menerusi skim berkenaan Kerajaan Pas Kelantan menghulurkan bantuan segera sebanyak RM2,500. Skim berkenaan mendapat sambutan menggalakan termasuk dari penyokong Umno dan pujian melangit daripada rakyat Kelantan.

Untuk menyaingi itu Umno juga turut melancarkan skim insurannya sendiri yang dinamakan Insuran Merdeka. Skim itu dilancarkan sempena kemerdekaan baru-baru ini. Kerana ingin menqadakan kelewatannya dalam membantu rakyat, nilai skim Umno itu tinggi sedikit berbanding dengan skim Kifaalah iaitu sebanyak RM1,000 di mana nilainya RM3,000.

Baguslah rakyat Kelantan mendapat manfaat daripada keduanya. Bagaimana pun sebagai idea cedukan daripada Pas skim itu ada perbezaannya. Walaupun nilai skim insuran Umno lebih tinggi, namun dari segi keikhlasannya, ternyata Pas lebih ikhlas dan jujur daripada Umno. Dari segi origanliti ternyata skim Kifalaah lebih asli berbanding Insuran Merdeka yang tidak bebas itu.

Pas memberi bantuan itu kepada semua warga emas tanpa mengira fahaman idealogi politik dan bangsa. Cina, India, Siam dan Orang Asli semua dapat. Sebalik skim insuran Umno itu diberi hanya kepada mereka yang mendaftar sebagai ahli Umno saja. Mereka yang enggan menjadi ahli Umno tidak layak menerimanya. Inilah perbezaan pendekatan dan taktik antara Umno dengan Pas. Maknanya belang Umno amat ketara menggunakan skim berkenaan untuk meraih sokongan rakyat dan bukan bertolak dari lubuk hati yang tulus.

Begitu juga dengan beberapa projek dan program lain yang diperkenalkan Pas, turut sama dibuat oleh Umno. Bila Pas melancarkan pojek tanam pokok debu dan karas untuk dijadikan minyak wangi (attar), Umno lancar projek tanam ubi kayu. Bila Pas buat surat khbar Umno juga turut sama buat surat khabar (al Haq). Cuma satu saja lagi yang Umno tidak ikut ialah projek pelihara kambing jamnapari. Belum terdengar lagi Umno bercakap fasal hendak pelihara kambing setakat ini.

Pas telah pun melancarkan projek kambingnya menerusi Jihad Ternak di Rong Chenak, To Uban. Hari ini ladang seluas 200 hekar itu sudah mempunyai 2,700 ekor kambing dan hari-hari melahirkan anak. Anak kambing pertama yang diberi nama Shah oleh Husam juga sudah mula pandai mencium buntut. Kenapa sebab musababnya Umno tidak ikut buat projek kambing tidak diketahui. Mungkin Umno tahu projek berkenaan ada masalah, maka mereka tunggu dulu sebelum memulakannya.

Langkah Umno itu menggambarkan mereka kekeringan idea jadi terpaksa memngimport idea Pas. Apa pun, biarlah yang penting rakyat mendapat kemudahan dan manfaat daripadanya. Pas maupun Umno boleh mengharapkan rakyat membalas perbuatan baik mereka, tetapi rakyat tetap akan menilai siapa yang lebih ikhlas dan utama dalam menjaga kepentingan mereka.

Perlu diingat hanya kebajian yang dihulur dengan penuh keikhlasan dan kejujuran saja yang dijadikan batu timbang oleh Allah untuk memberatkan seseorang itu ke arah syurga di akhirat kelak! Walahualam. [wm.kl 9:11 am 18/10/07]

Wednesday, October 17, 2007

Catatan Aidifitri 07 (2)

Kenduri Dan Kisah Orang Baju Merah Petak-Petak

MSO

SUDAH menjadi amalan saya, sekali setahun akan mengadakan kenduri untuk kalangan anak beranak. Kalau tidak buat bubur asyura sempena bulan syura (Muharaham), saya akan sembelih lembu pada hari Maulid Rasul ataupun sempena hari raya Aidil fitri.

Pendeknya dalam satu tahun rumah emak saya di Gual Nibong, akan penuh dengan sanak saudara dan kawan-kawan yang datang untuk meraikan majlis berkenaan. Mak dan bapak saudara, adik beradik, sepupu, anak sepupu, dua pupu, tiga pupu, empat pupu jauh dan dekat semuanya akan datang dan berhimpun.

Saya seronok mengadakan kenduri, boleh jamu keluarga, rakan dan orang kampung di samping bertemu muka dan bermesra dengan mana-mana mereka yang jarang berjumpa, dapat bertemu dan bejabat salam kalau diadakan kenduri.

Raya kedua tahun ini, saya sembelih seekor lembu. Tujuan sama, untuk menjamu orang kampung. Kenduri itu untuk anak beranak dalam kampung sendiri saja, dan tidak membawa apa-apa maksud lain di sebalik kenduri itu. Kali ini lembunya agak besar sedikit dari kebiasaanya, (lebih besar dari kambing jamnapari) dan tetamu yang datang juga agak mengejutkan!

Sungguh menyeronokkan

Selalunya seperti disebut tadi kalau diadakan kenduri orang kampung akan ramai-ramai datang membantu. Sama-sama melapah daging, potong bawang, lada, koyak kelapa dan memasak kemudian makan - secara berlerakan. Suasana ini sungguh menyeronok dan menyegarkan hubungan kekeluargaan. Ketika ini kalangan keluarga bertanya khabar mengenai perjalanan hidup masing-masing. Itulah tradisi kampung kami.

Hubungan sesama tetangga sekampung juga erat dan mesra. Lagipun itu sajalah termampu dilakukan oleh saya untuk memakmurkan kampung kelahiran sendiri. Kalau bukan saya, siapa lagi yang boleh berbuat begitu? Di kampung kami tidak ada wakil rakyat apa lagi Exco yang memegang lebih daripada tiga porfolio.
Lagipun saya juga merasakan sudah tua apabila menyedari sudah ramai penduduk yang berpangkat ayah atau ibu seorang demi seorang pergi menghadap Ilahi. Sudah tidak ramai orang tua yang ada lagi yang menjadi tongkat kampung selama ini. Jadi tangungjawab untuk mengeratkan hubungan sekampung sedikit sebanyak terletak di bahu saya dan rakan sebaya.

Perasaan dan lamunan ketuaan juga makin terasa apabila rakan sebaya malah adik-adik lebih muda daripada saya sudah pun mempunyai dua tiga orang cucu! Maknanya rakan sebaya saya sudah berpangkat datuk. Ertinya generasi saya sudah mengambil alih tempat generasi kedua dan ketiga yang menjadi tonggak kampung kami selama ini.

Mulut ke mulut

Apa yang hendak diceteriakan fasal kenduri di sini mengenai basa basi kehadiran pada majlis itu sungguh menyenang dan mengejutkan. Mereka khasnya kawan-kawan yang hadir bukan saja yang dijemput tetapi rakan yang tidak dijemput juga yang tahu dari mulut ke mulut turut sama hadir. Ini sungguh menggembira dan mengharukan.

Paling mengejutkan beberapa orang rakan yang tinggal atau bekerja di Terenggau, Perak, Pahang, Johor, Kedah yang tidak berjumpa berbelas tahun juga ikut sama menjelma.


Dalam ramai-ramai tetamu itu termasuk juga seorang anggota polis (SB) dari Marang, Terengganu yang datang khusus membawa soalan mengenai tragedi di Batu Burok. Rakan itu ingin tahu apakah persepsi rakyat terhadap kejadian itu daripada saya selaku penulis.

Saya faham beliau hadir bukan saja nak jumpa saya, tetapi ingin mengetahui maklumat dari pihak lain (penulis) mengenai kejadian itu. Rakan ini lebih bertujuan menjalankan kerjanya daripada untuk berhari raya. Seperti ada arahan saja. Nampaknya si rakan ini ingin mengetahui impak di sebalik kejadian itu.

Barangkali pihak BN Terengganu sudah bimbang dengan kejadian itu di mana ianya sudah back fire, apabila rahsia di sebalik tragedi itu sudah mula terbongkar dan BN Terengganu cukup bimbang dengan tragedi itu!

Begtu juga rakan-rakan lain datang bukan sangat teringin untuk menikmati gulai kawah atau gulai tunggang asli masakan Pak Mat Limah dan Pak Mat Paeh, yang diwarisi daripada aruah Pak Chu Deris ataupun Pak Mat Menyadat, tetapi ada yang datang khusus untuk bertanya soal politik. Ingin mendapat penjelasan dan penerangan lanjut berhubung beberapa isu yang dibangkitkan dalam blog saya, teristimewanya isu mengenai orang baju merah petak-petak.

Membaca kritikan

Masing-masing tidak percaya apa yang berlaku. Mereka tidak menduga sama sekali kalau saya telah mengkritik penuh emosi terhadap orang baju merah petak-petak. Mereka tidak yakin dan melihat sebagai satu sandiwara atau ketidakwarasan saya saja apabila membaca kritikan terhadapnya kerana mereka menyedari dan tahu akan 'keintiman' hubungan saya dengan orang bau merah petak-petak selama ini dan juga bagaimana saya menulis dan melakari akan watak dan bakatnya dalam politik.

Tetapi apabila saya menjelaskan pendirian, prinsip dan juga karektor saya sebagai seorang penulis yang tidak mudah untuk berkompromi dengan kejahabtan dan sebagai 'rakan yang suka makan rakan' baru mereka dapat menerima. Baru mereka mengerti kenapa saya bersikap dan bertindak seperti haruan makan anak itu dan lantas mengucapkan selamat kepada saya.

Mereka tidak boleh menolak apa yang saya perkatakan kerana mereka cukup tahu mengenai sifat dan sikap saya sejak dari dulu lagi. Mereka yang kenal saya sebagai MSO tahu benar mengenai diri saya! Saya adalah orang yang bodoh kerana tidak pandai dan tahu mengguna dan mengambil kesempatan atas hubungan baik saya dengan orang politik untuk membaiki kehidupan.

Mengenai isu-isu atau penulisan dalam blog saya, isu yang paling dituntut kini ialah penjelasan mengenai berhubung pendedahan saya di dalam blog ini tentang tindak tanduk wakil rakyat Kelantan yang menyembunyikan isteri mudanya di sebuah apartment di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Masing-masing melahirkan rasa terkejut atas pendedahan itu dan menolak ianya adalah wakil rakyat Pas.

Mereka tidak percaya ianya adalah salah seorang daripada 23 wakil rakyat Pas Kelantan. Sukar untuk mereka mempercayai kalau orang itu ialah wakil rkyat Pas, sebab selama ini yang berperangai macam itu, yang main dengan bini orang, kahwin lari ke Jakarta dengan anak dara orang atau main dengan pembantu rumah Indonesia selepas solat Subuh, atau yang mempunyai afair dengan Puteri Umno ialah wakil rakyat Umno. Tidak terfikir pula oleh mereka kalau perangai itu juga berjangkit kepada wakil rakyat parti Islam.

Lantaran itu mereka sungguh teruja dengan pendedahan itu kerana tindak tanduk dan perangai itu bertentangan dengan keperibadian orang Pas. Perangai tidak gentlemen itu bukan didikan dan tarbiah Tok Guru Nik Aziz. Nik Aziz mengajar anak buahnya berkata benar dan bukannya melindungi pembohongan.

Biawak ganjil

Nik Aziz mendidik anak buahnya supaya jujur dan ikhlas. Tidak permain dan peralatkan orang lain untuk kepentingan diri sendiri. Tidak bercakap dusta dan mempunyai lidah bercabang tujuh seperti biawak ganjil! Tidak bertindak melempar batu sembunyi tangan dan berpura-pura. Tidak bertindak mengikut sesuka hati atau pun membuat keputusan sendiri kemudian minta jemaah mengesahkan keputusan yang dibuat itu. Tidak begitu.

Nik Aziz mengajar anak buahnya agar bersikap kolektif (jamai') dan meletakkan jemaah lebih penting daripada kepentingan diri sendiri. Berfikir dan bertindak mengikut syari'e dan bukannya galak mengamalkan politik Mechiavilism.

Tetapi apabila saya menegaskan ia adalah wakil rakyat Pas, kawan hidung mancung berkulit hitam itu itu jadi terdiam dan terbungkam sambil meraba punggung macam beruk sakit pongek. Terus tidak terkata dan murung secara tiba-tiba. Ternyata dia amat kesal dan kecewa dengan apa yang berlaku itu. "Aku harap dia bukan wakil rakyat Pas!" tekannya dengan nada kesal campur mengharap kerana enggan menerima penjelasan saya.

Saya faham kenapa dia sukar untuk menerima begitu, kerana dia terlalu menyayangi kepada tokoh berkenaan. Seseorang yang sudah taksub apa lagi mendapat dua tiga keping wang dinar emas Kelantan tidak mudah untuk mempercayai cerita-cerita berbentuk "khawarikul ahdah" begitu. Apa lagi mereka yang mendapat kawasan balak seluas 50 hektar sebanyak dua tiga kali kemudian dijual pukal kepada Cina dan dapatlah antara RM60,000 hingga RM80,000 katak mampus pun tidak akan menerimanya apa yang saya dedahkan itu.

Tetapi tidak mengapa, seperti saya jelaskan kalau perlu disertakan bukti dan foto isteri muda wakil rakyat berkenaan serta dimana lokasi pertama mereka bertemu, siapa yang menjadi saksi akad nikah, berapa emas kahwinya dan juga siapa yang mengIslamkan isteri mudanya itu dan segala macamnya lagi saya akan siarkan dalam blog ini kelak! Tunggu!

Kawan itu juga bimbang dan cemas dan pohon kepada saya agar tidak gila terus berbuat seperti itu. Katanya kalau saya terus membuat pendedahan ia boleh merugikan parti. Saya tidak menjawab atau membalas rayuan dan pandangan rakan itu. Cuma saya tetap beranggapan dan berpegang kepada keyakinan rosak atau jatuhnya parti bukan kerana disebabkan pendedahan mengenai perangai buruknya wakil rakyat atau pemimpinnya. Sebaliknya parti akan rosak di mata umum kalau terus memelihara wakil rakyat yang berperangai sedemikian.

Politik wang

Saya cukup sedar dan pecaya ahli dan penyokong Pas tidak suka kepada pemimpin yang hipokrit, munafik, bersikap tidak gantlemen dan menakluki orang dengan wang. Kenapa orang Umno tidak suka kepada Annuar Musa ialah kerana Annuar Musa memiliki sifat-sifat dan perangai demikian. Apakah apabila sifat dan perangai demikian juga ada kepada wakil rakyat Pas, maka mereka boleh dimaafkan kerana mereka orang Pas? Tidak... kupiah dan serban serta janggut tidak boleh melindungi kebatilan! (Kalau kupiah dan serban tidak boleh melindungi kebatilan apalah lagi saya).

Justeru kalau Pas ingin kuat dan terus mendapat sokongan rakyat, Pas harus mengenepikan mana-mana wakil rakyat yang ada masalah dan ganti dengan yang bersih dan ikhlas untuk memperjuangkan rakyat. Mana-mana pemimpin hipokrit, perangai macam kucing timbus najis, mengamalkan politik musang, hendaklah di ketepikan ataupun di letak di belakang tabir. Mereka tidak boleh di bawa ke hadapan apa lagi untuk diharap dan didoakan untuk menjadi pemimpin di masa depan. Kalau mereka ditakdirkan suatu hari nanti naik ke atas dan menjadi pemimpin, parti dan Kerajaan akan menghadapi masalah.

Dan untuk rakan dan kawan yang sayang kepada orang-orang berperangai macam orang baju merah petak-petak itu, perbetul dan perbaikilah kesilapan yang dilakukannya. Kalau dia boleh diperbaiki, insyaAllah dia mungkin boleh digunakan lagi. Seperti basikal buruk, kalau dibaiki rantai, handle, tayar, locing dan brek dan sebagainya ia boleh digunakan lagi, walaupun suspensionnya sudah tidak betul lagi.

Basikal yang seperti itu kalau pun tidak boleh digunakan untuk ke pekan dan bandar bolehlah digunakan untuk beli garam dan kelapa parut di kedai runcit Mek Jah yang terletak di hujung kampung! [wm.kl. 9:45 am 17/10/07]

Tuesday, October 16, 2007

Catatan Aidifitri 07 (1)

Pulang Raya Satu Industri Pelancungan!

MSO

MENINGGALKAN hiruk pikuk ibu kota kosmopolitan Kuala Lumpur pada Khamis, 11 Oktober untuk pulang berhari raya di kampung merupakan satu kemerdekaan daripada cengkaman memeritkan di Kuala Lumpur. Perjalanan pulang itu juga diharapkan akan memberi nikmat dan ketenangan fikiran. Itulah harapan.

Selalu kita bersangka pulang di kampung kelahiran apa lagi pada saat hari lebaran membahagiakan. Perjalanan sejauh lebih 600 kilo meter dari KL menerusi Gua Musang, ke Rantau Panjang, (sempadan Thailand), tentu dirasakan tidak memenatkan. Penat tidak akan terasa apabila di sepanjang perjalanan dapat pula menikmati pemandangan bukit bukau dan gunung kapur yang indah dan unik. Kegembiraan dan keriangan ditambah oleh rasa tidak sabar untuk berjumpa dengan sanak keluarga dan teman taulan sepermainan.

Apa lagi lagu raya dengan berbagai versi disampaikan oleh berbagai penyanyi menjadi teman menghambat sunyi dan melekakan perjalanan. Itulah harapan dan impian.

Bagaimana pun apa yang berlaku tidak seperti diharapkan. Perjalanan pulang raya ke Kelantan tidak semanis dan seindah yang diimpikan. Perjalanan pulang di hari raya tidak lagi menyenangkan sebaliknya seperti merangkak dalam reba dan duri saja.

Betapa tidak sepanjang jalan, bermula dari Kuala Lumpur hinggalah ke Kota Bharu, jalan penuh sesak dengan kenderaan. Keadaan kesesakan itu lebih teruk dan azab dari apa yang berlaku di Bukit Bintang atau Jalan Tunku Razak ataupun Tuanku Abdul Rahman.

Bermula pada hari Rabu, (10 Oktober) lagi sepanjang jalan menuju ke Kota Bharu dilaporkan sudah sesak apabila ribuan kenderaan merayap dan memenuhi di jalan raya. Bayangkanlah perjalanan dari Kampung Padan untuk tiba di tol Gombak memakan masa lebih tiga jam. Dan perjalanan ke Kelantan dari KL pada hari itu yang selalu mengambil masa enam atau tujuh jam telah memakan masa 12 atau 14 jam.

Misalnya perjalanan di persimpangan Sungai Ular untuk ke Padang Tengku (Pahang) yang hanya 10 minit terpaksa memakan masa tiga jam. Begitu juga perjalanan dari Padang Tengku untuk melintasi Bukit Tujuh yang hanya 20 minit memakan masa 2 jam setengah.

Kesesakan luar biasa juga berlaku ketika memasuki bandar Bentung, Raub, Gua Musang dan Kuala Krai. Bahkan kesesakan berlarutan di sepanjang jalan Kuala Krai hingga ke Kota Bharu serta di jalan-jalan utama lain ke Pasir Mas, Rantau Panjang, Tanah Merah, Pasir Puteh dan Machang.

Tengah hari Khamis, itu walaupun saya memilih masa paling tenang dan dianggap terlepas dari terperangkap dalam jam iaitu jam 12: 00 tengah hari, namun tidak berjaya mengelakkan dari terjerut dalam jam. Saya juga turut sama menjadi mangsa kesesakan jalan raya apabila sampai ke kampung menjelang tengah malam.

Keadaan ini tidak akan dapat dapat di atasi. Setiap tahun warga Kelantan yang pulang untuk beraya di kampung akan menempuh keadaan yang azab dan cukup memualkan ini. Suasana ini semacam tradisi dan pesta pula bagi rakyat Kelantan.

Dalam pengamatan saya ada tiga sebab kenapa keadaan ini berlaku;

Pertama, kerana terlalu banyak kenderaan masuk ke Kelantan. Ini ada kaitan dengan taraf kehidupan dan ekonomi orang Kelantan yang semakin meningkat menyebabkan mereka mampu memiliki kenderaan. Setiap tahun juga rakyat Kelantan bertambah ini termasuklah mereka yang menjadi orang baru (berkahwin dengan orang Kelantan).

Setengahnya yang tidak memiliki kenderaan sendiri menyewa kenderaan semata-mata untuk pulang beraya di Kelantan. Sekali lagi ini berlaku kerana sikap orang Kelantan yang suka merai dan menziartahi ibubapa dan rakan sahabat di kampung.

Kedua, sikap dan perangai sesetengah pemandu yang mementingkan diri sendiri dan tidak tahu bertimbang rasa. Masih ada pemandu berperangai seperti hantu yang memotong Q dan tidak sabar di jalanan. Sikap gedebe dan samseng orang Kelantan terbawa ke atas jalan raya dan ini turut menyumbangkan kesesakan di jalan raya.

Ketiga, kerana jalan menuju ke Kelantan masih belum elok. Tidak ada lebuh raya ke Kota Bharu dari KL seperti mana lebuh raya Utara Selatan menuju Kedah atau Johor dan sebagainya yang boleh menyelesa dan menjimatkan masa dan jarak perjalanan. Amalan politik tindas menindas yang diamalkan oleh kerajaan Barisan Nasional/Umno telah meletakkan Kelantan dalam keadaan yang sedemikian.

Itulah tiga sebab mengapa berlaku kesesakan di sepanjang jalan menuju ke Kota Bharu menjelang hari raya. Namun begitu kesukran dan keazaban untuk pulang bercuti raya ke Kelantan ia tetap memberi sumbangan dan membantu Kelantan dari sudut ekonomi.

Secara tidak langsung percutian raya telah memberi rezeki kepada rakyat Kelantan. Cuti perayaan telah menyumbangkan pendapatan tidak langsung kepada Kelantan apabila berjuta wang tunai dialirkan ke negeri ini semasa raya.

Tahun ini anggarkan lebih 12,000 kenderaan yang memasuki ke Kelantan untuk beraya di sana. Bayangkan sekiranya hanya 10,000 kenderaan yang pulang ke Kelantan membawa kira-kira lima orang, ini bermakna sebanyak 50,000 rakyat Kelantan yang pulang beraya ke Kelantan pada tahun ini.

Kalau setiap kenderaan atau keluarga membelanjangkan cuma RM1,300 ini bermakna sebanyak RM13 juta telah di belanjakan untuk pulang ke Kelantan.

Sebahagian besar wang itu akan mengalir di Kelantan, apabila ia digunakan untuk membayar fitrah, membeli belah dan diberikan kepada orang tua atau keluarga masing-masing. Sudah menjadi amalan dan sikap orang Kelantan mereka akan membayar fitrah di kampung halaman mereka sendiri, terutamanya kepada golong fakir miskin.

Kerana fenomena dan sikap inilah walaupun Kelantan dianaktirikan oleh Kerajaan Persekutuan dari segi menyediakan maklumat dan prasarana pelancungan namun Kelantan tetap mendapat pendapatan dari industeri berkenaan apabila rakyat Kelantan menjadi cuti raya sebagai pakej pelancungan ke Kelantan.

Di samping negeri dan rakyat Kelantan mendapat nikmat daripada percutian raya rakyat Kelantan itu, syarikat yang mengendalikan tol di Gombak dan Karak juga turut sama mendapat nikmatnya. Kalau 10,000 kenderaan yang pulang raya melalui kedua tol itu mereka kena membayar tol sebanyak RM160,000 untuk pergi dan balik. [wm.kl 4:40 pm 16/10/07]

Thursday, October 11, 2007

Salam Aidifitri 07

Dengan suci hati saya serta famili mengucapkan Selamat Hari Raya Aidifitri
kepada semua pengunjung blog s
aya.
Didoakan semoga semuanya sihat sejahtera
di dunia dan akhirat.
Maaf Zahir dan Ba
tin. Wassalam dan Terima Kasih.