Saturday, October 20, 2007

Rencana Khas

Awas Jangan Sampai Kelantan Bertukar Dengan Terengganu
(Bahagian Pertama)

MSO

SEMUA dapat merasai bahawa beberapa siri kunjungan Abdullah Ahmad Badawi ke Kelantan tidak memberi gambaran Presiden Umno itu mempunyai misi dan tujuan jelas untuk merampas Kelantan. Dalam lawatannya beliau tidak menzahirkan yang beliau berminat untuk menawan Kelantan melainkan ikhlas untuk membantu membangunkan Kelantan saja.

Seingat saya tidak pernah sekali pun beliau memberi petunjuk atau rangsangan agar Umno merampas Kelantan dan menumbangkan Kerajaan Pas. Apa yang beliau selalu tekankan Kelantan akan dibangunkan walaupun ianya berada di tangan pembangkang – Pas.

Yang berusaha keras dan tergila-gila sangat hendak merampas Kelantan ialah Annuar Musa. Pengerusi Umno Kelantan itu telah melambung slogan baru, berbunyi; “Kelantan Baru” yang beriringan dengan “Mahnaj Islam Hadhari Kelantan Mithali”, untuk memancing hati rakyat.

Tanpa peduli apakah sahsiahnya mampu atau relevan untuk menjanakan Islam Hadhari, Annuar melaungkan slogan berkenaan sebagai gantian kepada slogan “Membangun Bersama Islam” yang dicanai oleh Pas dan menjadi seruan rasmi Kerajaan Pas Kelantan selama 17 tahun lalu.

Nampaknya Abdullah masih mengekalkan gaya politik tidak suka kontroversi yang diamalkan selama ini. Perlu diketahui kerana amalan dan pendekatan politik demikian jugalah menyebabkan beliau melompat naik menjadi PM mengejutkan beberapa tokoh yang merasa mereka lebih bijak dan lebih pandai berbanding cucu ulama itu.

Abdullah pernah kalah dan tercicir dari senarai orang-orang yang akan naik jadi PM. Bagaimana pun beliau tidak gelabah dan mudah putus asa. Beliau terus berjuang dan berdoa. Kekuatan yang ada kepadanya ialah bukan politik provokasi dan kontroversial tetapi kepada doa dan kesenyapannya! Ternyata uslub itu berjaya meletakkan dirinya di tempat yang diduduki hari ini.

Justeru apabila beliau tidak memberi isyarat agar Umno merampas Kelantan janganlah pula orang Pas membuat konklusi yang Abdullah tidak berhajat untuk merampas Kelantan atau terlalu lembek (naif) untuk menawan negeri Tok Janggut itu.

Sebaliknya Pas harus menterjemah dan mentafsirkan kata-kata Abdullah yang kerap diulang itu; “kita akan bantu Kelantan walaupun ianya berada di tangan pembangkang” sebagai peringatan dan pesan yang akan menjadi cabaran kepada mereka.

Pas Kelantan jangan mudah terpesona dengan ramalan pemerhati politik dari Kuala Lumpur atau oleh analisa-analisa pihak tidak berwajah. Pemerhati luar baik dari kalangan Pas atau Umno meletakan Umno masih sulit untuk merampas Kelantan. Melihat Kelantan dari luar apa lagi melihat masalah yang berserabut dalam Umno – pepercahan sesama sendiri, memang kita mengatakan Pas akan menang dan berkuasa di Kelantan.

Sebenarnya Pas jangan mudah menelan ramalan-ramalan sebegini yang sifatnya melodi untuk memdodoikan Pas saja. Tenguk dan ingat apa yang berlaku pada pilihan raya 2004. Semuanya tidak duga keputusan yang dibuat rakyat Kelantan dan apa yang diraihkan Umno. Daripada hanya memiliki dua kerusi (DUN), Umno melonjak naik menjadi 21 kerusi, di mana lonjakan melebhi 95% dan mengejutkan Pas Kelantan.

Sebab musabab dan faktor kenapa berlaku demikian harus senantiasa terpaku kejap dalam benak dan dikenang sepanjang masa. Jangan sampai pisang yang tidak berguna berbuah dua kali! [wm.kl]

No comments: