Monday, May 26, 2008

Sebelum Tidur

Ada Orang Kecewa Bila Ahmad Yaacob Jadi Pemangku MB

KURANG tiga jam dari sekarang Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat akan berangkat ke Makkah. Sebaik saja kapal terbang Kuwait Airways take off bermakna kaki dan jasad Tok Guru tidak lagi berada di tanah air, Malaysia dan Kelantan. Saya percaya fikirannya juga sudah melayang jauh berada di bumi ambiak yang penuh berkat dan sedang bercumbuan dengan Rasulullah s.a.w.


Selama 15 hari beliau meninggalkan Kelantan, bermakna beliau terlepas tanggungjawab mengenai Kelantan. Inilah masa istirehat paling bermakna bagi Tokguruku itu. Tugas sebagai MB telah diberikan kepada timbalannya Ahmad Yaacob (foto bawah). TMB itu akan memangku jawatan itu selama beliau berada di Makkah dan Madinah.

Jikalau tidak silap sejak jadi TMB inilah pertama kali Ahmad Yaacob diberikan tanggungjawab untuk memangku jawatan MB. Beliau jarang diberi peluang oleh Tok Guru. Walaupun beberapa peluang yang sepatutnya dilaksanakan olehnya, sebagai orang nombor dua di Kelantan namun ada orang lain yang 'merampas' hak Ahmad Yaacob sewenang-wenangnya.

Misalnya pembentangan Bajek Kelantan, menerima tabik hormat pada hari ulang tahun Kemerdekaan Negara yang lalu, sepatutnya dilakukan Ahmad Yaacob apabila Tok Guru keuzuran. Sebaliknya tugas itu dirampas secara halus oleh orang tertentu. Bukan main lagi orang berkenaan yang menerima tabik hormat perbarisan itu berperasan seolah-olah dia sudah menjadi MB?

Proses rampasan kuasa pada majlis itu berlaku secara tidak sedar. Satu muslihat halus dilakukan dengan menghantar Ahmad Yaacob ke Sabah bagi menghadiri satu majlis di sana walhal beliau boleh untuk tidak ke Sabah dan digantikan oleh orang yang menerima tabik hormat itu ataupun orang lain.

Kerana rampasan kuasa itu menyebabkan Ahmad Yaacob semacam tidak berperanan dan orang luar melihat semacam Adun Pasir Pekan itu tidak komited dengan tugasnya. Paling sedih lagi menyebabkan ada orang merasakan bahawa Ahmad Yaacob seolah-olah tidak berkerja untuk membantu Tok Guru selaku MB.

Perlantikannya sebagai pemangku MB ini memberi erti besar kepadanya. Inilah tanggungjawabnya dan peluang yang pertama dilakukannya sepadan dengan kedudukannya. Ini pun mungkin kerana tugas ini tidak boleh diambil sewenang-wenangnya oleh orang lain kerana ia memerlukan perkenaan Sultan. Kalau tidak kena melalui Sultan mungkin ia sudah disambar di tengah jalan oleh orang lain.

Tuanku Sultan sudah memberi perkenan kepada Ahmad Yaacob. Ahmad Yaacob sudah menerima watikah perkenan Sultan Kelantan untuk memangku jawatan MB selama ketiadaan Tok Guru dalam negeri.

Apakah peluang yang diserahkan kepada Ahmad Yaacob ini sebagai latihan kepadanya. Satu persiapan atau suaikenal baginya mengambil alih jawatan MB kelak? Ada desas desus mengatakan sekembali dari Makkah nanti Tok Guru terus bersara dan melepaskan kerusi MB kepada orang lain. Khabar ini menyebabkan ada orang yang merasa resah gelisah dan bengkak hati memikirkan kemungkinan ini!

Di Kelantan banyak orang berharap begitu. Berdoa agar Tok Guru beundur dengan baik dan diganti dengan orang yang layak dan dapat diterima oleh semua lapisan rakyat. Ahmad Yaacob adalah antara beberapa nama yang dikira sesuai dan boleh diterima oleh umum. Bangsa orang Kelantan tidak suka kepada mereka yang "temooh" (tamak dan gahirah) untuk mendapat sesuatu jawatan. Mereka begitu tidak akan disokong dan didoakan.

Ahmad Yaacob memang tidak mempunyai keterampilan dan ketokohan sebagai MB. Beliau bukan berkelulusan dalam bidang ekonomi dan tahu ilmu perhubungan antarabangsa dan juga teknik-teknik untuk menguasai media massa. Dia hanya seorang ustaz biasa yang berkelulusan dari Mesir dan bekas guru. Kerja cari wang dan pentadbiran (politik) bukan pakar baginya.

Namun beliau seorang yang berilmu dan mempunyai akhlak yang baik. Anak seorang tok guru pondok tradisional, Tok Guru Haji Kob Berangan. Dengan latar belakang itu setidak-tidaknya beliau tahu halal dan haram dan tidak berpolitik dengan cara melempar batu sembunyi tangan. Kalau beliau juga turut terlibat dengan politik kufar itu, entahlah...

Justeru diharap Exco yang tahu seluk beluk pentadbiran, ekonomi, politik, pertanian, perdagangan dan sebagainya akan membantu beliau sepanjang beliau memangku jawatan MB. Tunjuklah sikap maufakat selama Tok Guru tidak ada. Jangan pula kerana kita tidak diberi peluang untuk menjadi pemangku MB maka kita menghilangkan diri. Ataupun sengaja mengatur jadual untuk mengadakan lawatan sambil kerja ke mana-mana negara.

Belajarlah menghormati orang lain. Tahulah menghormati orang yang lebih tua daripada kita. Bersalam dan tegurlah dia dengan penuh kesopanan dan adat. Insaflah qada dan qadar Allah. Kalau Allah belum mahu kita jadi ketua, maka akan jadilah kita sebagai kuli walaupun kita rasa bos kita kurang cerdik dan bijak berbanding kita. [wm.kl. 12:30 am 27/05/08].

Pemakluman

Tok Guru Nik Aziz Akan Berangkat Ke Makkah Jam 3:30 Pagi Ini

Labbikallah hummalabaik. Labbaikallah syariikalabaik. Innalhamda'... wanni'ma, lakhawamuluk, la syarikalak.

(HAMBA-Mu datang menyahut panggilanMu, ya Allah. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, Tuhan yang tidak ada sekutu bagi-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, sesungguhnya segala pujian, nikmat dan pemerintahan adalah kepunyaan-Mu, tiada sekutu bagi-Mu.

Malam ini jam 8:00 malam Tok Guruku Nik Abdul Aziz Nik Mat bersama 21 orang jemaahanya akan berlepas dari lapangan terbang Sultan Ismail Petra di Kota Bharu untuk ke Tanah Suci Makkah Mukaramah, Madinah Munawarah.
Beliau dijangka akan berlepas dari lapangan terbang KLIA Kuala Lumpur kira-kira jam 3:30 pagi nanti menerusi penerangan Kwait Airline.

Nik Aziz akan berada di Makkah selama 15 hari dan dijangka akan pulang ke tanah air pada 9 atau 10 Jun.

Selama beliau dan rombongan menunaikan umrah jawatan MB Kelantan dipangku oleh Timbalan Menteri Besar, Ahmad Yaacob.

Sementara itu isteri Ahmad Yaacob yang pada mulanya dijadual bersama rombongan Tok Guru terpasa membatalkan niat apabila Ahmad Yaacob kini dirawat di hospital kerana masalah jantung.

TMB itu dimasukkan kelmarin kerana serangan jantung. Keadaannya kini sudah beransur pulih setelah menjalani rawatan angioplasti. Beliau masih ditahan di hospital disebabkan paru-parunya bermasalah.

Kepada Tok Guru serta rombongan diucapkan selamat berangkat semoga diberikan kesihatan berlipat ganda dan kepada Ahmad Yaacob demikian juga adanya semoga dapat menjalankan tugas-tugas sebagai pemangku MB dengan sempurna dan mendapat dokongan dan sokongan seluruh anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco). [wm.kl. 7:40 am 26/05/08].

Sunday, May 25, 2008

Susupan Pagi

Jangan Buang Masa Dengan Mahathir

ADA pihak-pihak tertentu di dalam Umno amat terasa dengan 'pemergian' Dr Mahathir Mohamad dari parti berkenaan. Mereka yang sedih ini melihat tindakan Mahathir bakal memberi bahana besar kepada Umno dan melibatkan perpecahan orang Melayu. Maka diusulkan agar pihak-pihak tertentu dalam Umno termasuk Timbalan Presiden dan Naibnya memujuk Mahathir.

Mereka yang "histeria" dengan tindakan Mahathir ini sampai minta agar satu delegasi menemui Mahathir di luar negara. Mengenai cadangan ini saya teringat kepada apa yang berlaku pada tahun 1982 dulu apabila Musa Hitam meletakkan jawatan Timbalan Perdana Menteri, kemudian 'lari' ke luar negara, Umno telah menghantar rombongan memujuk Musa.

Namun Musa tidak berdegis (berganjak) daripada keputusannya.

Mengenai Mahathir ini saya kira beliau lebih keras dan kebatu daripada Musa. Mahathir seorang yang berpegang kepada prinsipnya tidak akan menoleh lagi ke belakang selagi apa yang beliau inginkan tidak terpenuhi.

Usaha memujuk Mahathir hanya membuang masa sahaja. Senang saja untuk membawa masuk semula Mahathir ke dalam Umno, Umno kena berusaha membuang Abdullah Ahmad Badawi. Ataupun berusaha agar Abdullah melepaskan jawatan yang disandangnya sekarang. Tutup cerita! Selagi Abdulah masih kekal di kerusinya selama itulah Mahathir akan bertindak menjadi macam hantu raya mengacau dan meracau!

Umno kehabisan banyak masa dalam melayani perangai Mahathir. Boleh dikatakan tiga perempat masa Abdullah selama menjadi PM terpaksa dibuang kerana melayan rajuk dan tindak Mahathir. Jelaslah yang memecah dan menghancurkan Umno ialah ahli Umno sendiri.

Mungkin ini sebagai hukum karma daripada Allah s.a.w. Banyak kali Allah berpesan dalam kitabnya ketauhidan keimanan manakala Nabi Muhammad s.a.w. pula mengingatkan mengenai hal-hal sebegini. Antara yang Rasulullah tekankan ialah mengenai perpaduan atau ukhwah. Apabila ukhawah sudah tidak ada maka tunggulah akan berlaku kehancuran.

Perpaduan dalam Umno sudah mula longgar sejak beberapa dekad ini. Apabila Umno menjadikan partinya sebuah badan korporat di sinilah mulai timbul pelbagai unsur dan penyakit cintakan dunia yang satu-satu melemahkan kedudukan Umno sendiri. Klimeks kepada perpecahan dalam Umno ialah pemecatan Anwar Ibrahim tahun 1998. Jika diperhati permecatan ini jelas kerana dendam dan manusia (ahli Umno) sudah berpaksi kepada kebendaan dan bukan perjuangan.

Berbalik kepada isu Mahathir kini, Umno harus menggelapkan saja berita mengenainya. Biarlah ianya dilayan oleh pembangkang kerana ia memberi manfaat kepada pembangkang. Kalau Pas hendak memberi ruang kepada Mahathir sekali lagi pun tidak mengapa. Memang baik baik bagi Pas untuk menjadikan Mahathir sebagai air tuba untuk memabukkan Umno.

Pas juga kini sudah bijak bermain politik. Musuh Umno bukan musuh Pas walaupun musuh itu kadang-jadang adalah musuh bersama! Tindakan-tindakan begini menyebabkan ada yang terkeliru dengan tindakan Pas.

Namun saya tidak fikir kalau pun Pas bersedia menyediakan lima stadium untuk Mahathir berceramah menghentam Abdullah, Mahathir akan bersetuju. Lagipun langkah itu tidak ubah sebagai membantu Mahathir menelanjangi diri sendiri (kepimpinan Melayu). Menceritakan keburukan Abdullah sebagai pemimpin samalah menceritakan keburukan Melayu/Islam selaku pemimpin.

Kini jelas Umno pimpinan Abdullah tidak disukai oleh Mahathir. Manakala Umno yang menyokong Abdullah tidak menyukai Mahathir. Kedua mereka ini sudah hilang kepercayaan daripada ahli Umno yang berjuang dengan tulus dan ikhlas. Dalam kegelisahan ini adalah elok kalau ahli Umno mencari tokoh baru. Mereka memerlukan seorang tokoh yang boleh mengamankan Umno hari ini.

Dalam situasi hari ini kenapa Umno tidak mahu memberi peluang kepada Tengku Razaleigh Hamzah? (foto atas) Beliau kini beriya menawarkan khidmatnya kepada Umno. Ku Li masih belum ada dosa besar kepada Umno seperti mana Abdullah dilihat berdosa oleh Mahathir dan Mahathir pula dilihat berdosa oleh Abdullah!

Dalam keadaan hari ini tawaran Ku Li untuk berkhidmat adalah peluang bagi Umno. Cuba jangan perkecilkan usaha dan nawaitu Ku Li ini. Ku Li boleh dijadikan percubaan oleh Umno untuk mengukuh dan menyatukan dan memadukan semula keretakan-keretakan di dalam parti berkenaan. Dan setelah Ku Li gagal juga berbuat demikian, nah buanglah Ku Li.... dan cari orang lain pula yang lebih berwibawa dan mendapat kepercayaan rakyat. [wm.kl 10:30 am 25/05/08] .

Friday, May 23, 2008

Duka Senja

Nipisnya iman kenegaraan kita!

MUNGKIN tidak ada seorang pun dari kira-kira 26 juta rakyat Malaysia menangis setelah menerima keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang telah memutuskan bahawa Pulau Batu Putih kini sudah menjadi milik Singapura.

Bahkan mungkin ada rakyat Malaysia yang tidak menahu mengenai apa yang belaku di The Hague di Belanda hari ini. Apa itu Batu Puith atau Perda Blanca, atau di mana terletaknya South Ledge (Terumbu Karang Selatan) dan Middle Rock (Terumbu Karang Tengah).
Sebaliknya mungkin ada di kalangan rakyat negara ini yang tumpang bergembira dengan keputusan ICJ yang memberi hak kedaulatan Batu Putih kepada Singapura itu?
Rakyat negara kita bagaikan tidak peduli berhubung pertikaian ke atas pulau berkenaan yang berlaku sejak 28 tahun lalu. Generasi muda maupun generasi tua seakan membiarkan saja pertikaian itu kepada pihak kerajaan bersendirian tanpa ada usaha dan komitmen bersepadu daripada seluruh rakyat.
Misalnya kita tidak pernah terdengar rakyat negara ini bangkit menyatakan keprihatian mereka ke atas pulau berkenaan baik menerusi aksi fizikal maupun secara berdoa. Tidak ada apa-apa reaksi dalam hal ini.
Untuk sama-sama ke The Hague bagi mendengar perbicaraan tidak mungkin. Orang kita bukan saja miskin kewangan tetapi juga miskin semangat. Adakah mana-mana NGO kita yang kononnya kuat berjuang untuk nusa dan wangsa menghantar wakil ke Belanda?
Saya terkesan keimanan kita dalam menjaga watan ini sangat nipis dan naif. Bukan saja dari kalangan rakyat, tetapi pihak Kerajaan sendiri juga. Misalnya sebelum keputusan dibuat di Belanda petang tadi umat Islam yang baligh dan mukalaf ke masjid untuk sembahyang Jumaat tidak pun digerakkan untuk memberi sedikit perhatian kepada isu tuntutan bertindih Pulau Batu Putih itu.

Sepatutnya khutbah hari ini menyentuh mengenai apa yang bakal berlaku di Belanda itu. Para khatib patut membaca khutbah mengenai kedaulatan negara dan kasih kita kepada watan tujuannya memberi semangat dan rangsangan.

Sebaliknya apa yang belaku di masjid tempat saya menunaikan solat Jumaat hari ini (dan saya percaya di seluruh masjid dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur membaca teks khutbah sama) khatib membaca khutbah yang langsung tidak ada kena mengenai dengan isu yang berlaku ahri ini.

Tajuk khutbah di hari ini ialah “Cinta Terlarang” menghuraikan bahaya dan jijiknya cinta terlarang. Teks itu tidak sedikitpun menyentuh apa yang berlaku di Belanda. Khatib juga di dalam doanya sebelum mengakhiri khutbah tidak sedikitpun mendoakan meminta agar keputusan berpihak kepada kita.

Inilah yang saya katakan bangsa kita terlalu miskin iman terhadap negara baik di kalangan mat rempit maupun yang menjadi penunggu masjid. Keimanan masing-masing senipis kulit bawang? Apa salahnya kalau masjid menganjurkan solat hajat memohon agar keputusan ICJ berpihak kepada kita. Namun ini tidak pernah berlaku dan lupa untuk dilakukan. Apakah kita semua sudah tidak percaya kepada doa dan usaha secara kerohanian?

Begitu juga dengan parti Pas yang terkenal dengan usaha dan ikhtiar menerusi solat hajat juga tidak menganjurkan solat hajat untuk Batu Putih. Apakah Pas merasakan bukan tangungjawabnya untuk berbuat demikian. Atau kerana masing-masing kini sedang berebut untuk menjadi PM maka hal-hal yang lebih penting menyentuh soal maruah bangsa dan negara terabai begitu saja.

Apapun hari ini Malaysia kehilangan 0.2 hektar buminya! [wm.kl 7:45 pm 23/05/08].

Catatan Malam

Mana lebih penting Mahathir keluar Umno atau Ezam masuk Umno?

YANG pastinya kalau benar Ezam Mohd Noor akan menyertai Umno dalam tempoh sehari dua ini ia bukan barter trade dalam politik ekoran keluarnya Mahathir Mohamad dari Umno. Kalau Ezam hendak menyertai Umno tidak perlu beliau menunggu Mahathir keluar kerana bunga-bunga itu sudah lama wujud dan berputik.

Manakala bagi Mahatir pula beliau keluar Umno tidak ada kena mengena dengan cerita Ezam hendak masuk ke dalam partinya itu. Bukan kerana Mahathir tidak boleh melihat muka Ezam, meyebabkan beliau mencari alasan tidak suka kepada Abdullah lantas meninggalkan parti yang dihuninya lebih 60 tahun itu, tetapi kerana beliau tidak tahan dengan wajah selamba (lembu kenyang) Abdullah.

Kita percaya kalau Ezam menyertai Umno, bukan Umno Baru ciptaan Mahathir tetapi Umno yang mula-mula dulu yang ditubuh pada 13 Mei 1946.

Kerana desas desus mengenai Ezam ini berlaku setelah 72 jam Mahathir meninggalkan Umno maka orang mengira reaksi Ezam itu ada berhubung kait.

Boleh jadi reaksi itu timbul kerana berlaku kekosongan di dalam Umno maka Ezam perlu mengisinya! Atau pun Ezam mengira dengan kemasukan beliau dalam Umno boleh menguatkan kedudukan Abdullah. Maknanya penghirjarah Ezam itu bagi memperkuatkan sesuatu yang lembik!

Kalau bekas Ketua Angakatan Muda PKR itu menyertai Umno sehari dua ini, apakah yang beliau cari sebenarnya? Apakah kerana beliau sudah merasakan Melayu benar-benar terancam disebabkan bekas bosnya tidak pedulikan Melayu lagi atau kerana apa?

Apa pun sebab itu tidak relevan (kemas) bagi Ezam. Alasan itu sengaja diada-adakan kerana beliau sendiri lebih mengenali Anwar berbanding dengan orang lain.

Ingin diingatkan kalau Ezam masuk hanya seperti rakan-rakaanya 10 budak hitam dulu ia tidak memberi makna. Ianya buat menyemak Umno sahaja. Apa jadi dengan rakan-rakan Ezam 10 budak hitam yang menyertai Umno dulu. Mereka hanya mendapat seringgit dua, kemudian selepas itu merepak balik. Jadi macam sampah hanyut ke hilir tidak sampai ke hulu tak jejak. Itik tidak sudu ayam tidak patut.

Begitukah Ezam?

Dan kalau Ezam terpaksa menyerti Umno kenapa mengambil masa terlalu lama? Setelah beliau membiarkan rakan-rakannya merana. Semasa berlaku penyembahan 10 budak hitam kepada Mohd Najib Razak semasa hendak menyertai Umno dulu, khabarnya Ezam sudah mahu ikut sama. Tetapi entah kenapa sampai di pertengahan jalan beliau conner balik dan membatalkan hajatnya?

Apakah yang Ezam tertinggal sesuatu di rumah menyebabkan beliau tidak jadi ke pejabat Najib untuk sama-sama membuat kenyataah akhbar dan keluar muka dalam tv. Saya percaya kalau Ezam menyertai Umno ketika itu, dalam pilihan raya yang lalu beliau sudah bertanding. Pun begitu belum tentu beliau dapat jadi Yang Berhormat atau tidak memandangkan banyak kerusi Umno melayang kepada Pakatan Rakayat.

Jadi apabila ada orang mengatakan Ezam akan masuk Umno saya tidak terkejut sangat. Begitu juga apabila Ezam mengatakan beliau akan membuat pengumuman sekembalinya dari Jakarta ia tidak merujakan jiwa. Tetapi bagi saya keputusan Ezam masih belum muktamad.

Cuma kalau esok atau lusa beliau membuat pengumuman di dampingi Mohd Najib Razak atau Muhammad Muhd Taib beliau harus berfikir panjang... panjang... dan... panjang. Hendaknya penyertaan beliau nanti bukan kerana hendak memperkukuhkan Abdullah atau kerana ingin memenuhi tempat Mahathir.
Untuk memperkukuhkan Abdullah Ezam kena memiliki super tonik kekuatan, manakala kalau hendak memenuhi tempat Mahathir beliau juga perlu memiliki super belit hipokrasi seperti Mahathir.
Bagi Ezam tidak ada gunanya kalau menyertai Umno setakat hendak jadi tongkat kepada Abdullah. Biarlah Ezam masuk dengan langkah seorang wira dan beliau akan menjadi matador yang akan menanduk dan menyingung sesiapa juga di mana akhirnya beliau akan menjadi seorang pemenang.

Ataupun apakah kemasukan itu sebagai merintis dan membuat persiapan, mengatur kerusi dan kedudukan menyambut kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam Umno? Apakah ada kemungkinan-kemungkinan begini? (Jangan emosi... marahkan saya!).

Kepada Ezam selamat berjuang tetapi saya sehingga kini tidak fikir secepat dan senakal itu Ezam membuat keutusan walaupun saya sudah menghidu bahawa akhir-akhir ini perfume yang dipakainya berjenama UMNO. [wm. kl 3:03 am 23/05/08].

Thursday, May 22, 2008

Laporan Lewat

Tindakan Mahathir Mula Berkesan!

PENGUNDURAN Dr Mahathir Mohamad dari menjadi ahli Umno sedikit sebanyak memberi kesan kepada beberapa program yang dianjurkan oleh pihak tertentu yang melibatkan pemimpin kerajaan.

Ekoran tindakan Mahathir tersebut menyebabkan Umno terpaksa memanggil sidang MT tergempar malam tadi.

Sekali lagi kepercayaan ahli MT diambil bagi menyatakan sokongan kepada Abdullah Ahmad Badawi.
Begitulah setiap kali ada kejutan, maka MT diendorse untuk menyatakan sokongan kepada Presiden Umno. Sebelah petangnya di Parlimen ahli Parlimen Umno telah dipanggil untuk bertemu dengan Abdullah Badawi. Mereka juga diminta menyatakan sokongan kepada Abdullah.

Begitulah kalau orang berpengaruh berbuat sesuatu ianya diperhati dan menyebabkan orang lain juga jadi bermasalah. Abdullah ternyata terpaksa menahan perasaanya dalam melayani kerenah Mahathir itu. Soalnya berapa banyak endorsement yang beliau perlu lakukan untuk mempertahankan kedudukannya? Apakah kepercayaan diminta secara paksa itu boleh dipercayai?

Malam tadi majlis Makan Malam Merdeka De Everest dan perlancaran buku Khalid Yunus berjudul "Damai Abadi Di Puncak Everest Merdeka De Everest 2007" sebuah buku yang mencatatkan ekspedisi pendakian gunung Everest disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri , Mohd Najib Razak jadi terggangu.

Kerana terpaksa menghadiri urusan lebih penting, (mesyuarat MT) Najib tidak dapat hadir. Beliau telah menyerahkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Ismail Sabri Yaacob untuk menyempurnakannya. Namun Sabri juga tidak dapat hadir kerana terpaksa berada di Parlimen kerana sidang Parlimen disambung sampai ke malam.
Beliau dikatakan tidak boleh meninggalkan Parlimen kerana perlu standby takut persoalan kementeriannya ditimbulkan pembangkang di Parlimen.

"Beginilah kalau kerajaan lemah, terpaksa Parlimen bersidang sampai ke malam. Undilah lagi pembangkang...!" begitulah kata Khalid dengan nada bergurau semasa berucap. Beliau nampak kecewa dengan apa yang berlaku itu.

Akhirnya majlis perlancaran buku itu dilakukan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wee Jeck Seng.
Buku berkenaan yang penuh dengan gambar warna warni pendakian gunung Everest oleh enam pendaki negara dijual dengan harga RM100 tiap satu untuk kulit keras dan RM80 untuk kulit nipis.

Walaupun majlis itu berjalan seperti biasa, namun sudah pasti tanpa kehadiran Najib atau Ismail Sabri itu menyebabkan ia kurang berseri. Para pendaki Everest yang turut sama hadir pada majlis malam itu sudah pasti berharap kehadiran Mohd Najib bagi merai mereka.

Nasib baiklah majlis malam tadi diserikan oleh dua arti Mawi dan Dafi yang dijemputkan khas untuk menghibur hadirin. Kehadiran Dafi menyebabkan ada orang bergurau, tidak mengapalah kalau Ismail Sabri tidak hadir tetapi anaknya hadir sebagai mengggantinya.
Beberapa orang rakan Khalid Yunus yang juga turut hadir sama. Antara mereka Ibrahim Ali, Drs Sulaiman Mohammad dan lain-lain. [wm.kl 5:30 pm 22/05/08]

Wednesday, May 21, 2008

Susupan Pagi

Pas Perlu Waspada Dengan Mahathir

MACAM-MACAM ulasan dan tafsiran kenapa Mahathir Mohamad sampai terlepas mulut mengumumkan keluar daripada Umno. Ada yang mengatakan pengumuman itu kerana beliau diprovok oleh seorang hadirin pada majlis yang diadakan di sebuah hotel di Alor Star kelmarin.Hadirin berkenaan ialah Ismail Wan Teh (foto).

Ismail adalah ahli Pas dan bekas calon dalam pilihan raya lalu di Dun Kota Seputih. Beliau kalah.Maka seronoklah orang-orang Pas kononya mereka mempunyai saham dengan tindakan Mahathir itu. Orang Pas suka kalau Mahathir tinggalkan Umno dengan harapan ia akan memberi tekanan kepada Abdullah dan mereka akan meraih sedikit kelabaan.

Soalnya benarkah Mahathir memberi keuntungan kepada Pas?Sebelum ini ada yang beranggapan tindak tanduk Mahathir memberi kemenangan kepada Pas. Kalau tidak silap, MB Kedah Azizah Razak sendiri mengakui kemenangan Pas di Kedah kerana Mahathir. Apakah bentuk yang Mahathir sumbangkan untuk kemenangan Pas?

Peringkat awal ketika Mahathir bergerak untuk mengkritik dan menghentam Abdullah Pas memberi rangsangan yang cukup membanggakan. Pemimpin kanan Pas ikut sama hadir dalam sebuah majlis di Kelab di Taman Melawati. Ulu Klang.

Tidak cukup dengan majlis itu pemimpin Pas termasuk Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri menghadiri majlis makan malam bersama Mahathir di sebuah hotel di Kota Bharu. Selepas itu Mahathir dipanggil untuk memberi ucaptama dalam satu persidangan mengenai Dinar Emas Kelantan di PWTC. Pas telah menggunakan pemikiran dan aura politik Mahathir mempengaruhi orang ramai.

Atas kerjasama ataupun layanan politik Pas kepada Mahathir mungkin telah memberi sumbangan kepada kemenangan besar Pas dalam pilihan lalu khususnya di Kelantan?
Berdasarkan strategi itu tidak hairan kini kalau ada orang berpendapat keputusan Mahathir itu terus memberi keuntungan kepada Pas. Malahan ada orang mula mengira bagaimana Mahathir akan turut berceramah di atas pentas Pas selepas ini. Peristiwa tahun 1969 akan berulang kembali.

Apabila ketika itu Mahathir dipecat daripada Umno beliau menumpang pentas Pas, menghentam Umno.Tentu bukan main seronoknya orang Pas menerima kehadiran Mahathir ketika itu. Mereka mengira Mahathir akan memberi keuntungan dan membantu perjuangan Pas dalam merealisasikan Islam!Tetapi apa jadi selepas itu? Apabila Mahathir menjadi PM tahun 1982, bagaimana keadaan Pas.

Apa yang Mahathir lakukan kepada Pas? Hadiah atau cendermata yang Mahathir berikan kepada Pas atas budibaik Pas kepadanya hanya dengan mengutuk dan mengecam Pas setiap kali perhimpunan agung Umno. Mahathir melihat Pas seolah-olah Barat melihat Osmah Bin Laden.

Kalaupun satu peristiwa yang dapat dilihat Mahathir berlunak dengan Pas ialah ketika majlis Malam Kemanusiaan membela Palastin di Dewan Bahasa dan Pusataka di mana beliau berucap bersama Almarum Mohd Fadzil Noor. Apa yang Mahathir tidak kata dan nesta kepada Pas?

Sampai hari ini Mahathir tidak mengikhtiraf Nik Aziz sebagai ulama atau Tok Guru. Sikap Mahathir itu satu penghinaan kepada Pas walaupun Nik Aziz sendiri tidak merasai apa-apa dengan sikap Mahathir yang mempelecehkannya itu.Bukan itu saja, apa sikap dan pandangan Mahathir kepada institusi ulama?

Apa yang Mahathir tidak kata kepada ulama? Dan siapa yang mengatakan yang Rauslullah s.a.w. tidak bercukur kerana tidak ada pisau cukup? Dan siapakah yang bertanggungjawab atau mencampuri urusan pemecatan Mufti Selangor Almaruh Ishak Baharum kerana cuba mengharamkan pertandingan ratu cantik?

Kata-kata dan perbuatan itu memedih dan menyakitkan hati bagi mereka yang mencintai dan menyayangi Rasulullah s.a.w. dan sunnahnya. Ianya masih terdengar di cuping telinga. Apabila di ukur dari sudut sentimen keagamaan menyebabkan kita terfikir kehinaan yang beliau terima hari ini mungkin disebabkan kifarah Allah atas apa yang beliau lakukan itu.

Hari ini jika Mahathir atau mana-mana pihak mengatur dan meminta untuk Mahathir berceramah atas pentas Pas, mesti Pas akan sambut dengan dua belah tangan. Tidak cukup surau stadium akan disediakan oleh Pas. Pas akan menangguk apa sahaja di air keruh meskipun yang masuk nanti sampah sarap.

Perlu diingatkan sebelum Pas berfikir untuk berbuat begitu elok kalau Pas berfikir sejenak. Melihat dan mengenang apa yang telah Mahathir lakukan sebelum ini. Paling penting ialah apakah sumbangan Mahathir untuk perpaduan Islam dan Melayu. Selama 22 tahun Mahathir tidak pernah berfikir bagi mengurangkan ketegangan Melayu.

Beliau menghalalkan kerenggangan hubungan Pas dengan Umno dengan berpandangan bahawa Parlimen memerlukan pembangkang sebagai check and balance. Jangan nanti kerana terlalu mengharpakan laba, mahu Abdullah berundur cepat, Pas sanggup berbuat apa saja tanpa mempedulikan kepada prinsip dan perasaan orang-orang Pas yang pernah disakiti oleh Mahathir.

Dalam situasi hari ini selepas ketiadaan Mahathir dalam Umno Pas bolehlah berfikir jauh ke hadapan bagaimana untuk memperkuatkan kuasa politik Melayu untuk dua tiga puluh tahun akan datang dengan membuka jalan kerjasama dengan Umno. Kita percaya Abdullah juga dalam saat berhadapan dengan simpang siur politik mungkin lebih mudah untuk diajak berunding berbanding dengan empat tahun lalu.

Manakala bagi saya tugas Mahathir paling afdal waktu ini sebagai mengisi sisa-sisa usianya ialah dengan menjadi mediator bagaimana hendak menyatukan politik orang Melayu baik dalam Umno, Pas dan PKR daripada beliau berterusan menggodam Abdullah. [wm.kl 6:30 am 21/05/08] .

Tuesday, May 20, 2008

Enekdot Politik

Politik Tiga Beranak Lawan Politik Dua Beranak

HEBAT Putera Mahkota Dr Mahathir Mohamad, Mukhriz yang tidak akan mengikut jejak langkah bapanya untuk keluar daripada Umno dan terus mendesak supaya Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan. Janjinya beliau akan medesak selagi Abdullah tidak melepaskan jawatan sebelum Disember ini.

Katanya beliau juga tidak akan melepaskan kerusi Ahli Parlimen Jerlun.

Katanya juga dia akan keliling dan putar Malaysia mendesak Abdullah agar melepaskan jawatan. Katanya 20 ketua bahagian bersamanya. Katanya juga puteri dan wanita Umno bersamanya.

Orang cekap dan pintar dalam politik dapat membuat kesimpulan mudah dengan sikap Mukhriz itu. Mengapa beliau tidak keluar Umno dan semacam kontras dengan langkah bapaknya. Ada motifnya! Sebenarnya Mukhriz berbuat begitu bukan kerana politiknya tetapi atas nasihat bapaknya juga. Suara politik Mukhriz sebelum ini pun adalah air liur bapaknya.

Semacam tektik Mukhriz berbuat begitu. Dia mungkin tahu dan sedar kalau dia bertindak keluar Umno ianya tidak memberi apa-apa kesan dan untung. Malahan tindakan itu boleh memberi kesan buruk kepdanya. Begitu juga kalau beliau melepaskan kerusi Parlimen Jerlun ia satu kerugian besar. Menyebabkan suara Mahathir tidak akan sampai lagi ke Parlimen.

Sekurang-kurangnya kalau beliau terus tercokol di situ beliau dapat membawa suara bapanya ke dalam Parlimen.

Apa yang Mukhriz dan bapaknya berharap daripada tindakannya itu ialah mereka mahukan Mukhriz diambil tindakan disiplin oleh Umno. Mereka mengharapkan Mukhriz dipecat daripada Umno. Apabila Mukhriz dipecat maka simpati kepada Mahathir akan bertambah-tambah. Itulah motif di sebalik tindakan Mukhriz itu.

Mahathir sebenrnya berharap demikian apabila beliau mengkritik dan mengodam Abdullah. Namun Abdullah sedikit bijak dalam hal ini beliau tenang dan tidak mengambil apa-apa tindakan. Malahan tidak pun memberi apa-apa amaran kepada Mahathir. Inilah yang menyebabkan Mahathir jadi sakit dan resah jiwa.

Jadi apabila Abdullah atau Jawatankuasa Disiplin parti tidak mengambil apa-apa tindakan atau memecatnya maka beliau bertindak memecat dirinya sendiri. Gelagat Mahathir ini sepertilah budak yang gila hendak berkhatam apabila orang tuanya tidak layan dia bertindak memotong kemaluannya sendiri!

Sekiranya Umno tiba-tiba bertindak ke atas Mukhriz memecatanya maka apa yang diidamkan oleh mereka berdua beranak tercapai. Nampaknya kisah dua beranak yang pernah ditimbulkan Zaharin Yassin dulu kini terpalit kepada Mahathir pula. Bezanya Abdullah tiga beranak (Kamaruddin dan Khairy) Mahathir hanya satu beranak bersama Mukhriz. Politik Malaysia hari ini adalah perlawan dua beranak lawan tiga beranak. Dan kita semua adalah pengikut atau penontonnya. Saya tidak! Ha...ha.... [wm.kl 10:00 pm 20/05/08].

Pesanan Ringkas

Madah Ayah Saya dan Kenyataan Annuar Musa

ARWAH ayah saya Omar bin Othman apabila mengenangkan nasibnya dan dalam memberi ingatan kepada anak-anak sering kali bermadah; hina besi kerana karat, hina manusia kerana miskin! Setiap kali mengingati madah itu saya akan terkenang kepada sahsyiah ayah yang cukup sedrhana dan juga diri saya sendiri.

Benar, manusia akan dipandang hina apabila dia miskin. Sebaliknya manusia akan dipandang mulia kalau dia kaya walaupun kekayaan itu diperolehi dengan merompak dan menyamun harta rakyat. Walhal ukuran demikian tidak berlaku di sisi Allah. Allah mengukur kemuliaan seseorang itu kepada iman dan takwal seseorang.

Dalam politik pula kuasa dan kedudukan dipandang tinggi dan mulia. Orang akan hormat kepada kuasa kerana dengan kuasa mereka boleh melakukan apa saja. Kalau sudah tidak ada kuasa, kedudukan sudah hilang, maka ia tidak lagi dipandang mulia malahan akan dipersendakan.

Nasib orang politik yang sudah tidak ada jawatan samalah seperti pohon yang rebah di mana ianya akan dijadikan tempat kera dan beruk meniti (baca juga kura-kura).

Apa yang dialami Mahathir Mohamad kini nampaknya sama dengan besi yang disaluti karat ataupun pohon yang jatuh dan rebah menjadi tempat kera meniti itu. Kini semua orang menyalah dan berani untuk mengutuk dan mengatakanya bekas Perdana Menteri itu.

Satu pesanan ringkas (SMS) yang masuk ke dalam telefon saya pagi tadi 11:28
yang dihantar oleh Annuar Musa membuktikan apa yang dimadah dan disenandungkan
oleh arwah ayah saya itu. Untuk berlaku jujur saya siar sepenuhnya SMS berkenaan
tanpa sebarang editing kecuali penggunan huruf besar dan huruf kecil
dan titik saja.
"Statement Datuk Seri Annuar Musa Musa; Sesiapa
berjuang dalam Umno kerana
Mahathir, Mahathir dah tinggalkan Umno. Dan
mereka boleh ikut. Sesiapa yang
berjuang dalam Umno kerana agama bangsa
negara sesungguhnya perjuangan belum
selesai dan kita tetap bersama Umno....
it is not that we love him less but we
must love Umno more... lebih 20 tahun
kita pertahan Mahathir dalam semua keadaan
kerana Umno... kiranya kini
beliau memilih meninggalkan Umno maka kita ucapkan
selamat jalan padanya.
"Jasanya tetap dikenang Umno tetap Umno. Umno bukan Mahathir.... Mahathir
sebenarnya sedang melalui perasaan sense of insecurity.... satu sindrom
kecewa
teruk akibat tindakan PM mengubah dasar-dasar dan legasi zamannya.
Beliau rasa
tak dilindungi dan kepentingannya terjejas setelah dulu semua
kuasa ditangannya.
"Dia mahu PM jadi puppetnya. Mana mungkin begitu. Allah
telah mentakdirkan
begini pada Mahathir, mungkin qada atas perbuatannya
selama ini pada orang yang
dizaliminya.... Musa, Ku Li, Ghafar, Hussein,
Tunku, Harun, Anwar, Raja-Raja.
Itulah janji Allah. Ada bayaran tunai di
dunia, ada bayaran tertangguh di
akhiray. Walahualam... thank
you.. " [wm.kl 8:00 pm 20/05/08].

Dari Parlimen

Parlimen Tenang Menerima Keputusan Mahathir

DI RUANG legar Parlimen dan di dalam Parlimen hari ini seperti biasa. Seperti hari-hari persidangan dua minggu sebelum ini. Parlimen ke -12 ini terus mendapat perhatian orang ramai. Ada-ada saja rombongan termasuk dari kalangan murid sekolah yang datang dari pelusuk negara.
Setiap hari persidangan penuh dan ruang letak kereta menjadi sendak. Ini menyebabkan kereta terpaksa di parking di sepanjang jalan masuk dan jalan keluar Parlimen. Ini menyulitkan kepada ahli "Persatuan Gout Malaysia!"

Ada kalanya juga pengunjung terpaksa berpatah balik kerana tidak ada tempat untuk meletak kereta.
Kebanjiran pemerhati kali ini begitu ketara sekali. Dan hari ini selepas sehari berlalunya hari Wesak ramai yang menyangka Parlimen akan menjadi penuh sesak. Pemerhati akan bertambah bilanganya dari biasa. Ini ekoran keputusan Mahathir Mohamad di Alor Star semalam yang mengumumkan keluar daripada Umno.

Peristiwa itu dikira bakal menjadi tumpuan ramai kerana ianya dianggap menggemparkan negara. Dan sudah tentu di Parlimen hari ini isu penguduran Mahathir itu akan mendominasikan isu-isu atau pun perbahasan di luar dewan.

Mereka yang selamanya kagum dengan kepimpinan Mahathir membayangkan tindakan Mahathir semalam akan memberi impak. Maka mengira akan adalah ahli Yang Berhormat khasnya dari Umno membuat kenyataan yang mengejutkan mengikut langkah Mahathir atau bagi menyatakan simpati atas keputusan bekas Presiden Umno yang juga bekas Perdana Menteri itu.

Maka wartawan bertambah berlipat ganda dan masing-masing bersiap dengan tape rekoder dan juru gambar pula dengan kamera untuk merakam apa-apa peristiwa yang berlaku di Parlimen hari ini. Atau setidak-tidaknya ramai menyangka anak Mahathir, Mukhriz akan membuat kenyataan akhbar mengumumkan beliau juga akan meninggalkan Umno sebagai menyokong tindakan bapanya.

Selepas berada di Parlimen kira-kira empat jam, dari jam 10: 30 pagi hingga 2:30 petang tidak ada apa yang berlaku. Ahli Parlimen kelihatan seperti biasa saja, dan tidak menunjukkan reaksi samada terkejut ataupun berdukaciata atas apa yang berlaku.

Masing-masing seperti sudah faham dan saling kenyit mengenyit kening saja bila tersampuk topik berkenaan. Cuma bila ada yang bertanya baru ada yang terliur untuk menjawab dan sesetengah YB Umno malas untuk mengomen tindakan Mahathir itu. Mungkin mereka juga merasakan membuang masa saja untuk bercakap mengenai Mahathir.

"Setelah beliau mencari siapa lagi yang boleh dipecat dan sudah tidak ada lagi maka beliau memecat dirinya sendiri!" begitulah komen ringkas Mohamad Nazri Aziz sinis bila diminta mengulas mengenai tindakan Mahathir itu.

Manakala yang lain pula sependapat mengatakan tindakan Mahathir itu melegakan Abdullah dan masalah Umno kini sudah tiada ada. "Baguslah, Umno tidak ada masalah lagi. Selama ini pun dia menyusahkan Umno," kata Johari Baharum sambil berjalan.

Setiasuaah Politik Perdana Menteri, Alwi Che Amat pula sependapat dengan Musa Hitam dengan menganggap tindakan Mahathir itu menjadikan duri dalam daging Umno kini sudah tidak ada lagi.

"Selama ini Umno berdenyut disebabkan duri berkenaan, kini alhamdulilah sudah tidak ada lagi. ia tercabut dengan sendri!" kata Alwi.


Kalau pun yang memberi reaksi serisu dengan tindakan Mahathir itu Syed Hamid Akbar yang melahirkan rasa sedih atas apa yang berlaku. Kata Mahathir seorang pemimpin yang hebat tidak sepatutnya mengambil keputusan seperti itu. "Apa yang kita sedih dia membawa masalah peribadi ke dalam parti," ujarnya.

Kata Syed Hamid, Mahathir (foto) boleh melakukan apa saja tetapi janganlah mengheretkan maslaah itu ke dalam Umno kerana ia boleh menimbulkan masalah. "Sebaik-baiknya selesaikan menerusi saluran parti jangan emosi," katanya.

Perbahasan di dalam Dewan juga berjalan seperti biasa. Tindakan Mahathir itu tidak mempengruhi anggota Dewan. Keadaan Dewan tetap riuh randah seperti hari-hari sebelum ini. Misalnya semasa Menteri Pelancongan, Azalina Othman Said menggulung perbahasan bagi kemeteriannya, beliau diganggu oleh pembangkang yang tidak berpuas hati atas sikapnya yang enggan memberi laluan kepada ahli Yang Berhormat lain meminta penjelasan.

Mohd Azmin Ali (PKR) Gombak satu ketika bangun meminta agar Azalina dihadap ke Jawatankuasa Khas Parlimen kerana menghina Parlimen apabila Azlalina dikatakan memberi penjelasan yang bohong kepada Dewan. Wakil PAs Kota Bharu, Abdul Rahim Abdullah juga turut bangun membedal Azalina mengatakan kenyataan Azalina yang Kelantan tidak bayar gaji pegawai beliau selama tiga bulan ada suatu kenyataan biadab.

Abdullah juga turut hadir ke Parlimen menjelang makan tengah hari untuk berjumpa dengan ahli Yang Berhormat daripada Umno. Dari maklumat yang diterima tidak ada apa-apa yang berlaku dalam pertemuan itu. Abdullah juga diberikan bercakap mengenai Mahathir kurang daripada dua minit.

Maknanya ahli Parlimen Umno tidak membangkitkan apa-apa kepada Abdullah.

Apapun nampaknya yang berlebih dan ghairah untuk mengulas mengenai keputusan Mahatahir ialah dari pihak pembangkang, baik PAs amupun PKR.

Bagaimana pun bagi mereka yang arif mengenai sifat dan sikap pembangkang tidak merasa anih dengan kelakuan dan telatah ini. Sudah fitrah pembangkang apabila sesuatu musibah berlaku ke atas parti musuhnya mereka akan bertepok tangan kegembiraan. [wm.kl 6:30 pm 20/05/08].