Wednesday, March 4, 2009

Politik Malam

Jelas Kuasa Mutlak Yang di-Pertuan Agong
Apakah Motif Rais Sebenarnya?

SEMASA menyampaikan penerangan berhubung isu-isu semasa di Angkasapuri hari ini Menteri Luar, Dr Rais Yatim menonjol dan menghuraikan Raja-Raja Melayu dan Yang Di-Pertuan Agong ada tiga kuasa unit yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa dan kuasa itu adalah hak mutlak Duli-Duli Raja dan Yang Di-Pertuan Agong.

Tiga kuasa itu katanya, i) berhubung perlantikan Menteri Besar bagi Sultan dan perlantikan Perdana Menteri bagi Yang di-Pertuan Agong, ii) soal membubarkan Dewan Undangan Negeri bagi Raja-Raja manakala pembubaran Dewan Rakyat bagi Yang di-Pertuan Agong dan iii) berhubung mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu dan juga bersangkutan soal-soal adat istiadat dan agama Islam.

Menurutnya mana-mana pihak tidak boleh mempersoal ke atas ketiga aspek itu kerana ianya adalah hak mutlak Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong.

Secara umum Rais menimbulkan perkara itu bagi memberi kefahaman kepada orang ramai berhubung isu dan juga persoalan mengenai status dan kuasa Sultan dengan apa yang berlaku di negeri Perak dewasa ini.

Apa yang ingin dijelaskan Rais, Sultan mempunyai kuasa yang tidak boleh dicabar oleh mana-mana pihak dan tindakan Sultan Azlan melucut jawatan Nizar Jamaluddin dan melantik Zambry Abdul Kadir itu adalah benar.

Bagaimana pun jika dipadankan kepada senario yang berlaku dalam Umno dewasa ini, penjelasan dan penegasan Rais itu seolah-olah bersifat serampang dua mata. Rais bukan saja ingin menjelaskan kepada rakyat yang tidak faham dan buta mengenai kuasa sultan di Perak dalam soal melantik Menteri Besar dan kuasa memecatnya dan sebagainya, tetapi beliau juga persis ingin menyampaikan mesej kepada Umno sendiri.

Apakah penjelasan itu ada kena mengena dengan desas desus atau teori yang disebarkan secara senyap kini kepada orang ramai kini berhubung perlantikan Perdana Menteri apabila Abdullah Ahmad Badawi berhenti nanti!

Ada teori dan hipotesis mengatakan tidak semestinya kalau Abdullah mengosongkan kerusi PM beliau akan diisi oleh Mohd Najib Razak secara automatik. Peralihan kuasa dan jawatan itu terletak di atas perkenan Yang di-Pertuan Agong dan bukan Umno seperti mana jawatan presiden Umno.

Mengikut teori itu saat inilah nanti Yang di-Pertuan Agong berkuasa untuk menamakan sesiapa saja uantuk menjadi Perdana Menteri yang mendapat kepercayaan Parlimen. Dalam hubungan ini disebabkan Umno - BN memperolehi majoriti sesiapa yang mendapat kepercayaan parti itu dan setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dialah berhak menjadi Perdana Menteri.

Dalam erti kata sebenarnya tokoh itu tidak semestinya Mohd Najib Razak walaupun timbalan perdana menteri itu disebut dan ditunjuk oleh Abdullah. Abdullah tidak ada kuasa mutlak bagi menentukan sesiapa sebagai perdana menteri. Kedudukan ini jelas dalam perlembagaan persekutuan.

Dalam hal ini ada mengatakan seorang tokoh lain akan dipilih untuk menenuhi jawatan berkenaan. Yang di-Pertuan Agong berhak membuat pilihan itu dan memberi perkenan kepada sesiapa saja. Adapun sebab-sebab kenapa Najib dikatakan tidak akan dipilih sebab-sebabnya seperti kebanyakan disebut orang.

Apakah sekiranya takdir ini berlaku kelak orang-orang Umno khasnya yang mendokong Najib sedia untuk menerima dengan seadanya. Tidak akan ada protes dan kritikan atas pilihan Yang di-Pertuan Agong kelak seperti mana segelintir rakyat Perak tidak mahu mengikhtiraf perlantikan Zambry Abdul Kadir?

Dalam hal ini apa yang dijelas dan ditegaskan Rais berhubung kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja itu semacam ada undang di sebalik batu. Ianya bukan sengaja suka-suka melontarkannya melainkan untuk dihayati dan sedia berhadapan sekiranya sesuatu yang di luar dugaan berlaku.

Sekiranya diingatkan kepada sejarah masa lampau, Rais adalah orang yang sepasukan dengan Menteri Penerangan, Ahmad Shabery Chik iaitiu menteri tempat Rais menyampaikan syarahan menjelaskan kuasaa-kuasa berkenaan. Mereka juga adalah bekas pemimpin tertinggi Parti Semangat 46, Rais ialah timbalan presiden manakala Shabery adalah Ketua Penerangan.

Apakah penjelasan mengenai kuasa Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong itu satu agenda ataupun berlaku secara tidak sengaja yang semuanya dilakukan penuh ikhlas untuk memperkukuhkan Umno?

Kerana politik itu perlu ditafsirkan dengan menggunakan banyak kitab dan ditilik dengan berbagai cermin sakti maka persoalan ini terpeta di minda kita. Mungkin tujuan Rais menjelaskan mengenai kedudukan kuasa Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong yang unit itu ada motif tersirat. Apa? [wm.kl. 8:20 pm 04/03/09]

Selepas Subuh

Zahid, Mohd Isa Gagal Berhujah

WALAUPUN rancangan Hujah yang disiarkan secara langsung dari Balai Budaya Syed Nasir Ismail, DBP oleh TV9 malam tadi lewat ke udara namun saya tetap juga menunggunya. Saya ingin melihat sejauh manakah pemikiran dan hujah yang dikemukakan dua ahli panel yang juga calon Naib Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan Mohd Isa Samad.

Saya mengharap mereka akan menuangkan sesuatu yang bernilai kepada penonton dan hadirin di DBP yang sekaligus mencerminkan kewibawaan dan kemampuan mereka sebagai pemimpin tertinggi Umno. Kalau pun mereka tidak sempat membentangkan agenda mereka tetapi dapat menjawab dengan baik segala persoalan yang dilontarkan oleh pengatarcara, Mohamad Agus Yusuf.

Rancangan Hujah walaupun ringkas tetapi ia menguji kecekapan pemikiran ahli-ahli politik dalam kontesk ini calon pemimpin tertinggi Umno. Agus sengaja melantunkan soal-soal yang kurang disenangi untuk melihat sejauh mana kepantasan ahli panel yang bakal menjadi pemimpin tertinggi Umno itu.

Semalam sebagai penonton yang terpaksa menanti kira-kira 20 minit sebelum siaran bermula, saya sangat kecewa dan merasakan saya membazir masa dengan siaran itu. Kualiti yang diharapkan dari hujah kedua mereka, sungguh mengecewakan. Kalaulah itu standard yang ditunjukki mereka untuk dipilih sebagai Naib Presiden Umno dan kalau mereka terpilih betapa Umno menjadi semakin parah.

Kedua ahli panel itu masih bersikap perasaan dengan apa yang berlaku dalam parti berkenaan dan enggan menerima kenyataan. Keduanya rela menyembunyikan penyakit dalam Umno dan tidak bersedia dan telus dalam memperkatakannya. Pada saya kedua ahli panel berkenaan tidak berjiwa besar dan suka melihat pelangi daripada sanggup ditimpa hujan.

Misalnya Mohd Isa berhujah dan menjawab persoalan secara selamba dan tidak serius memberi petunjuk bahawa begitulah keadaannya Umno sekiranya beliau menjadi salah seorang pemimpinnya. Sikap jenaka Mohd Isa itu menjelaskan begitulah juga suasana yang berlaku dalam Umno kini penuh dengan jenaka-jenaka dan sandiwara.

Mohd Isa sengaja membutakan matanya dalam melihat realiti Umno hari ini. Ada ketakutan dan sikap tidak jujur kepada Mohd Isa dalam melihat masalah Umno. Baginya, masalah rasuah dalam Umno tidak begitu serius dengan memberi andaian secara sinikal kalau ia berlaku tentu ramai orang yang digantung jawatan sepertinya.

Mohd Isa tidak serius dan cuba memberi solusi berhubung politik wang. Sikap 'tak apa' dan redha atas apa yang berlaku itulah menyebabkan masalah itu akan berterusan. Dalam pada itu jawaban Mohd Isa menjelaskan bahawa beliau benar-benar terlibat dalam politik wang dan soalan rela dengan apa yang berlaku.

Begitu juga ketika Agus menimbulkan soal Umno kini makin tidak diminati oleh golongan muda dan meminta beliau memberi penjelasan, Mohd Isa tidak serius dengan persoalan itu dan cuba menafikan realiti itu dengan mengilas persoalan itu dengan menjawab bahawa ramai anak-anak muda dalam Umno. Sikap menolak realiti ini bukan satu sikap membangun dan berjiwa besar Mohd Isa sebagai seorang pemimpin.

Semua persoalan yang dilemparkan 'dikadas' dan dibalas dengan persoalan melucukan menunjukkan Mohd Isa bukan seorang pemimpin yang serius.

Saya tidak terkejut dengan sikap dan sifat Mohd Isa kerana sudah mengenali sejauh mana daya kepimpinannya dan fikrah perjuangannya selama beliau menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan dulu. Tetapi apa yang berlaku ke atas Zahid Hamidi sungguh merujakan saya.

Apa yang ditampilkan Zahid malam tadi jauh berbeza dengan sifat dan perwatakannya di publik. Di luar gelanggang ternyata Zahid mampu mempesonakan orang dengan wajah dan PRnya yang cemerlang. Tetapi malam tadi beliau gagal memberi kepuasan dan keyakinan kepada umum dengan cara beliau berhujah dan mengeluarkan idea. Seorang ahli politik yang seharusnya cekap dan pintar menghuraikan isu tidak ada kepada Zahid dalam rancangan itu.

Ternyata malam tadi Zahid banyak diselubungi emosi ketika menjawab persoalan dilemparkan oleh Agus. Perbahasan Zahid juga melencung dan beliau cuba mengelak persoalan yang dilempar ke atas batang hidungnya dengan menyalahkan pembangkang. Jawaban-jawaban yang diberikan tidak relevan dan seolah Zahid sungguh takut untuk mengkritik Umno walaupun dengan niat baik.

Seolah-olah apa yang berlaku Zahid tidak faham apakah hujah yang diingini oleh pengerusi. Dalam rancangan yang boleh dikira menguji kepintaran dan akal begitu Zahid ternyata gagal menunjukkan kemampuannya berfikir dan berhujah secara terbuka, sihat dan bersikap profesional.

Untuk apa beliau melanyak pembangkan penuh emosi dan kebencian! Meluahkan harapan dan kata-kata akan mengajar pembangkang di Perak dalam pilihan raya akan datang. Beliau juga gagal mengawal mulutnya daripada melempar atau menggunakan kata-kata kesat yang tidak sesuai dilihat keluar dari mulut seorang menteri agama.

Apa yang perlu beliau kemukakan malam tadi ialah hujah-hujah yang rasional berlandaskan kepada fakta bukannya emosional. Atau memberi pandangan dari sudut Islam sebagai landasan dan bukannya dari rasa sentimen dan keakuan yang tebal.

Tepukan gemuruh yang diterima oleh kedua ahli panel berkenaan malam tadi hanya tepukan budak-budak Tadika yang bukan lahir atas kehebatan dan kuliti hujah yang dikeluarkan kedua ahli panel itu, tetapi tepukan untuk menyindir pihak lain termasuk sesekali menyindir Agus sebagai pengerusi yang berjaya memerangkap kedua ahli panel itu dalam wacana intelektual begitu.

Adalah diharap ahli panel untuk rancangan akan datang lebih bijak dan mengeluarkan hujah-hujah konkrit bagi menunjukkan anda layak untuk dipilih sebagai pemimpin tertinggi Umno. [wm.kl. 6:30 am 04/03/09]

Tuesday, March 3, 2009

Susupan Malam

Exco Hina Sultan
Kenapa Pemuda Umno Kedah Takut Nak Dedahlah Nama Exco

HARI ini juga berlangsung angkat sumpah sembilan Exco kerajaan negeri Kedah selepas genap setahun mereka berkhidmat. Menurut undang-undang negeri Kedah perlantikan Exco dibuat setahun sekali tidak seperti kebanyakan negeri lain, di mana tempoh perkhidmatan satu penggal kecuali Exco berkenaan ada menghadapi apa-apa masalah.

Kesemua sembilan Exco termasuk MB mengangkat sumpah di hadapan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah. Saya percaya kalau bekas Adun Bukit Selambau, V Arumugam tidak meletak jawatan beliau juga akan turut sama mengangkat sumpah.

Majlis angkat sumpah Exco Kedah itu berlangsung di istana bukannya di bawah pokok!
Dengan kesemua Exco negeri Kedah mengangkat sumpah itu bermakna apa yang dihebuhkan oleh Umno kononnya ada Exco menghina sultan tidak menjadi isu sampai sultan enggan menerima Exco berkenaan. Saya yakin Sultan Kedah sudah pun tahu Exco mana yang didakwa itu.

Apabila Tuanku berkenan menerima angkat sumpah Exco berkenaan maka Sultan tidak teruja dan ikut angin seperti mana kehendak pemuda Umno. Sebanyak 18 laporan polis setakat ini dibuat oleh Pemuda Umno minta Exco berkenaan disiasat.

Kemungkinan juga Sultan tidak mempedulikan desakan Umno itu selagi ianya tidak diputuskan (selesai disiasat) dan mendapat laporan lengkap. Sebagai sultan yang adil baginda tidak akan terikut-ikut dengan sebarang provokasi dan fitnah.

Sehingga kini orang ramai masih menanti-nanti apakah dakwaan Pemuda Umno Kedah itu benar ataupun hanya ilusi. Disebabkan mereka merasakan isu hina sultan, derhaka kepada sultan boleh digunakan pakai maka Pemuda Umno Kedah turut sama tidak mahu ketinggalan untuk memainkannya.

Jika diperhatikan laporan polis itu dibuat menjelang majlis angkat sumpah Exco Kedah. Apa yang diharapkan ialah semoga adalah salah seorang Exco itu tidak diterima menghadap dan itulah yang mereka tunggu. Itulah tektik dan strateginya. Tetapi apabila kesemuanya mengangkat sumpah Pemuda Umno kecewa sekali.

Saya setuju dengan gesaan dan pandangan MB Kedah, Azizan Razak yang meminta Pemuda Umno menyebut nama Exco berkenaan. Katanya dia tidak mahu layan tuduhan tanpa nama itu dan menyifatkan beliau masih banyak kerja lain lagi untuk dilakukan.

Iya, kenapa kalau Pemuda Umno ada bukti tidak disebut nama Exco berkenaan? Untuk apa dirahsiakan? Apa nak takutnya. Bukankah berani itu kerana benar dan bukan kerana salah. Jika nama Exco itu tidak disembunyikan senang untuk orang ramai membuat penilaian awal mengenai sejauh mana tuduhan itu.

Adalah diharap kepada Pemuda Umno selepas mereka membuat laporan polis dan menyaksikan sendiri Exco yang menjadi sasaran mereka itu dilantik semula, hentikan kerja-kerja yang boleh menimbulkan masalah kepada rakyat. Waktu ini apa yang baik bagi semua orang politik ialah bersatu untuk menghadapi cabaran semasa daripada menimbulkan keserabutan yang merugikan semua orang itu. Apa yang berlaku di Perak itu janganlah diulang lagi di negeri lain.

Juga jangan lupa seandainya semua laporan polis yang dibuat itu palsu maka pemuda Umno Kedah hendaklah dipenjarakan seperti mana kata Najib Razak mereka yang membuat laporan palsu boleh dipenjarakan. Penjarakan! [wm.kl. 9:30 pm 03/03/09]

Jenguk Perak

Nasib Baik Saya Tidak Jadi Sultan Perak

PASTINYA Tuhan telah mengukur kain dibaju saya sebelum Dia menjahit baju untuk dijadikan pakaian saya. Kalaulah saya menjadi Sultan Perak yang dijunjung dengan panggilan hebat Paduka Sultan itu alangkah malu besarnya saya hari ini. Sebab di negeri Perak kini ada dua kerajaan yang keduanya berstatus tidak sah!

Naiflah saya sebagai sultan memiliki dua kerajaan tetapi keduanya tidak sah. Apa lagi sultan itu pula dikenali sebagai sangat bijak, adil dan profesional dan seorang pakar.

Satu kerajaan yang juga dilantik oleh Sultan bersama barisan Exconya masih mengaku merekalah kerajaan sah di Perak. Manakala satu lagi kerajaan yang baru dibentuk selepas rampasan kuasa juga mengakui merekalah kerajaan yang sah.

Perebutan kuasa (kerajaan) kini sedang berlaku dan berlarutan sejak sebulan lalu. Masing-masing berkeras untuk tidak mengalah dan meletakkan keadaan di Perak dalam kucar kacir, celaru, haru biru, dan rakyat menjadi bingung memikirkan apa yang berlaku.

Malu sungguh! Hari ini sebuah kerajaan telah mengadakan persiangan Dewan Undangan Negeri di bawah pokok. Kejadian ini adalah sejarah kerana inilah kerajaan pertama mengadakan sidang di luar Dewan Undangan Negeri.

Betapa aiblah saya kalau saya menjadi Sultan dengan kejadian itu. Sekalian burung, awan, pokok kayu, kereta, lori dan bas melihat kejadian itu seolah kerajaan saya sangat miskin sehinggakan Menteri Besar dan anggota exconya terpaksa bermesyurat di bawah pohon kayu. Ia juga kelakar dan semacam cerita kartun saja.

Manakala di tempat lain, sebuah lagi kerajaan berhimpun di mahkamah menanti keputusan mahkamah terhadap injuksi mereka menghalang kerajaan satu lagi itu daripada mengadakan sidangnya. Sebelum itu DUN yang indah dan dibina dengan harga jutaan ringgit diarahkan ditutup bagi mengelakkan persidangan oleh kerajaan satu lagi mengadakan persidangan.

Sekalian polis dan pasukan pertahan lain juga dipanggil untuk menghalang anggota kerajaan itu dari memasuki ke DUN. Khabarnya sebuah trak FRU siap dengan penyembur menghalang ke pintu masuk ke DUN berkenaan.

Gara-gara dihalang itulah maka kerajaan itu bersidang di bawah pokok. Bayangkan betapa rimas dan meleketnya anggota badan kerajaan itu yang berkot dan bertali leher berada di bawah pokok.

Apa yang saya gambarkan sebelum ini mengenai kedudukan politik di Perak sudah menjadi kenyataan, cuma bezanya raja bukan bersemayam di bawah pokok kayu seperti raja negeri Pasir Dua Butir itu. Tetapi kerajaan Tuanku bersidang di bawah pokok.

Nasib baiklah saya tidak menjadi Sultan Perak maka terelaklah saya daripada menerima padah keaiban dan kemaluan dengan segala kejadian itu. Terelak memikul sejarah baru bagi mana sebuah negeri yang mempunyai seorang raja yang bijak bistari tetapi menjadi kucar kacir tidak tahu mana hujung dan mana pangkal lagi. Negeri hanya sekangkang kera tetapi ada dua buah kerajaan yang hebat dan gah.

Sekiranya saya menjadi Sultan tidak mahu saya apa yang berlaku terjadi kerana ia memalukan dan sekaligus menggambarkan kelemahan serta kerendahan hati dan budibicara saya selaku sultan. Kalau saya jadi sultan saya tidak akan membiarkannya dan menyelesaikan masalah itu kurang daripada tujuh hari tujuh malam saja.

Semisalnya saya tidak akan membenarkan kerajaan baru dibentuk ketika kerajaan lama masih wujud dan tidak diendorse dalam dewan undangan negeri. Sebaik-baik akal dan pilihan saya ialah saya akan menitahkan kepada memanda menteri supaya bubar Dewan dan pilihan raya baru hendaklah diadakan. Biarlah dalam pilihan raya itu rakyat menentukan siapa yang mereka kehendaki dan menolak siapa mereka benci dan baru saya lantik Menteri Besar.

Adalah tidak molek saya sebagai raja kalau berpihak kepada mana-mana puak kerana semua yang bernaung di bawah negeri saya adalah rakyat saya belaka. Saya benar-benar akan menjaga fungsi saya sebagai payung meneduhkan rakyat dari hujan dan ribut.

Tetapi disebabkan kerana bukan saya menjadi sultan saya tidak dapat berbuat apa-apa ke atas apa yang menimpa negeri Perak hari ini melainkan hanya boleh menulis dan merakam segala peristiwa itu dengan perasaan yang cukup mual sekali. Mual! Foto: Zamzarina. [wm.kl. 4:50 pm 03/03/09]

Terkini Umno

Sekat Perhimpunan
Tindakan Untuk Halang Najib Jadi PM?

APAKAH kerisauan di kalangan para penyokong bakal Perdana Menteri, Mohd Najib Razak akan menjadi kenyataan, bahawa Najib bukan senang untuk mengambil alih jawatan PM daripada Abdullah Ahmad Badawi walaupun Abdullah mengistyharkan akan melepaskan jawatan Presiden kepadanya Mac ini.

Beberapa andaian kedengaran yang mengatakan ada beberapa halangan untuk Najib mengambil kepimpinan Umno dan negara ini.

Persoalan ini semakin menjadi tanda tanya hari ini apabila dua ahli Umno bercadang akan mengambil tindakan mahkamah untuk menghalang perhimpunan agung Umno pada Mac depan. Tindakan itu dilihat usaha untuk menghalang Najib mencapaikan impiannya menjadi Perdana Menteri.

Ketua Umno salah satu cawangan dalam bahagian Muar, Kadar Shah Sulaiman bersama Mazlan Harun ahli Umno Seri Dagangan dalam bahagian Subang, Selangor bercadang akan mengemukakan bantahan ke mahakamh untuk menghalang perhimpunan berkenaan. Sekiranya hasrat mereka tercapai ini bermakna peralihan kuasa yang dirancangkan itu tidak akan kesampaian.

Hanya dengan menghalangkan perhimpunan agung Umno saja boleh melewatakan peralihan kuasa antara Abdullah dengan Najib.

Tengah hari ini bertempat di sebuah hotel di Petaling Jaya, Kadar dan Mazlan membuat kenyataan bersama membayangkan akan mengambil tindakan itu sekiranya beberapa isu terutamnaya isu politik wang dan salah gunakan kuasa dalam parti itu tidak diselesaikan.

Pada 4 September tahun lalu Kadar bersama Mazlan telah membuat laporan kepada BPR berhubung penyalahgunaan kuasa dan wang oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Menurutnya sehingga kini tidak ada satu tindak balas positif ke atas kes yang telah dilaporkan oleh beliau bersama Mazlan itu dan ia sungguh menyesalkan.

"Oleh kerana Perdana Menteri telah berjaya menubuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang diwar-warkan berkredibiliti dan boleh dipercayai maka saya ingin agar laporan yang telah dibuat disiasat dengan segera," ujar Kadar.

Kenyataan akhbar mereka berdua itu mendapat sambutan hangat apabila lebih 50 wartawan dan jurugambar, blogger hadir. Pengerusi GMP, Dr Hassan Ahmad juga turut hadir sama mengikut kenyataan akhbar berkenaan.

Sementara itu menurut Mazlan tujuan kenyataan akhbar itu diadakan sebagai memberi ruang dan peluang kepada pihak pengurusan Umno untuk menyelesaikan isu yang dibangkitkan sebelum ini berkenaan dengan politik wang dan penyalahgunaan kuasa.

"Sekiranya pihak atasan tidak memberi tindak balas yang baik kita akan kemukakan injuksi di mahkamah menghalang persidangan pada Mac depan," tegasnya. Menurutnya persidangan itu tidak boleh diadakan kerana beberapa masalah yang perlu diselesaikan tidak dibereskan. Beliau juga menjelaskan injuksi itu bukan bermakna beliau ingin menimbulkan keributan dalam parti sebalik ingin mengembalikan pada kedudukan yang dihormati.

Jelas Mazlan lagi beliau belum bersedia mendedahkan apakah butir-butir yang membolehkan injuksi itu diambil dan akan berbuat demikian apabila pihak pengurusan Umno berdegil mahu mengadakan perhimpunan tanpa menyelesaikan apa yang dibangkitkan itu.

"Kita tengoklah nanti... apa yang hendak saya katakan kita mempunyai bukti yang jelas dan kuat untuk menghalang perhimpunan itu" jelas Mazlan kepada penulis sewaktu berjalan keluar dari hotel selepas selesai memberi kenyataan akhbar. Kenapa beliau telah mengumumkan butiran itu katanya itu adalah strategi, "kita sengaja mendedahkan secara berperingkat," tambahnya.

Mazlan nampak berkeyakinan tindakan dan usaha itu akan berjaya kerana beliau mempunyai bukti-bukti yang jelas untuk berbuat demikian. Ditanya apakah beliau tida bimbang akan diambil tindakan tatatertib jawabnya; apa perlu takut kita orang berjuang sedia menghadapi apa saja. Lagipun apa yang kita buat ini untuk kebaikan...."

Manakala Kadar pula menjelaskan tindakan diambil itu bukan untuk menghalang Najib daripada menjadi PM tetapi demi menjamin Umno berjalan dengan betul dan menurut lunas-lunas demorkasi. [ttdi 3:00 pm 03/03/09]

Wacana Pagi

Raja Lawak Sama Dengan Demokrasi

PARA pengulas dan penganalisa hiburan tanah air mengkritik hebat mengenai keputusan pengundi SMS yang memilih Mohammad Amirullah Azmi (Amir) (foto) dari Wakaf Che Yeh Kelantan untuk memasuki ke peringkat akhir Raja Lawak. Pemilihan Amir itu nampaknya tidak disenangi dan ada yang merendah-rendahkan kemampuannya sampai menyebut fasal fizikalnya. Rata-rata mempersoalkan pemilihan itu tidak berdasarkan kepada hakiki kebolehan dan bakat beliau sebenarnya.

Mulanya saya tidak mahu mencampuri isu ini dan biarlah hiburan dikerjakan oleh mereka yang
pakar dan fasih dalam hal ini. Tetapi kerana senario yang diihadapi Amir itu ada persamaan dengan dunia politik, dan kritikan ke atasnya melampau maka tergerak juga untuk mengulas dan memperkatakannya.

Secara jujur saya juga menonton rancangan berkenaan. Walaupun mutu lawaknya tidak cerdik, tidak berkembang dan hanya layak ditonton budak Tadika serta kadang-kadang sungguh menyempah kerana kebabilannya gagal mengubahkan gaya persembahannya walaupun setiap kali ditegus tetapi demi nak release tension, terpaksa juga menontonnya.

Menonton racangan itu ternyata ia lebih seronok berbanding dengan mendengar ceramah ahli-ahi politik yang tidak mahu berfikir jauh dan beretorik serta tidak pernah habis-habis memburukkan antara satu lain. Yang mengakui diri sendiri baik dan pihak lain semua salah.

Saya juga tidak menafikan ulasan dan kemarahan penulis hiburan mengenai Amir itu. Tetapi bila marah dan merendah-rendahkan Amir secara berlebihan saya terpaksa campur tangan sikit. Dalam hal ini Amir tidak bersalah, yang perlu dipersalahkan ialah kepada pemilih mereka yang menghantar SMS mengundinya.

Merekalah yang perlu dimarahi dan dipersoalkan. Namun itu juga tidak adil kerana itu adalah hak pengirim, mereka sanggup menghabiskan duit untuk menyokong mana-mana peserta yang mereka suka mengikut citarasa mereka sendiri. Kita tidak pun tolong top-upkan kredit untuk mereka. Mereka tidak peduli fasal bakat dan kualiti tetapi ada perkara lain yang mereka utama dan lihat.

Cuma bila mengenangkan kejayaan Amir memasuki ke peringkat akhir itu saya teringat kepada dunia politik. Apa yang berlaku dalam raja lawak itulah juga berlaku dalamn dunia politik, di mana selalunya mereka yang jujur, ikhlas dan cerdik selalu kalah. Senario pemilihan Amir itulah juga yang menjadi senerio dalam dunia politik itu berlaku.

Jika orang hiburan mempertikaikan pemilihan Amir, maka penganalisa politik juga mempertikiaikan pemilih calon dan pemimpin dalam sistem demokrasi. Pemilihan wakil rakyat atau pun pemimpin dalam parti bukan berdasarkan kredibiliti, bakat, kebolehan seseorang tetapi berasas kepada perkara yang di luar keperluan itu yang dipengaruhi unsur-ussur ketidakadilan malah elemen-elemen kotor.

Sekali pandang mereka juga senasib dan sama dengan Amir. Dalam politik mereka bukan saja yang tidak berbakat, berkualiti, tetapi yang hamprak dan rendah moral pun diangkat dan dipilih menjadi calon dan pemimpin. Janjinya mereka ada wang, ada kuasa dan ada orang yang sedia menaungi mereka. Untuk dinaungi ini pula mesti oleh god father kena pandai membodek dan menjadi pak sanggup.

Sebab itu dalam politik orang yang bodoh memimpin orang yang cerdik! Mereka yang ada prinsip, tidak mahu terlibat dengan amalan rasuah, salah guna kuasa dan tergamak menjadi ketam di mana untuk melepaskan diri sanggup memijak belakang kawan tidak mahu menyertai politik atau kalau menyertai politik tidak akan berjaya.

Di sini bukan salah mereka, tetapi salah pengundi yang perlu dipersalahkan. Seperti Amir itu juga bukan salah mereka tetapi salah penghantar SMS yang mengundinya.

Seccara adil dan jujurnya juga pemilihan itu bukan salah pengirim SMS atau salah pengundi yang memilih calon dan pemimpin berkenaan. Yang salah ialah sistem atau ruang yang disediakan itu. Bila ada ruang dan kesempatan pengundi akan melakukan mengikut kehendak mereka tanpa dapat dikawal oleh mana-mana pihak.

Dalam isu Amir itu salahnya ialah Astro yang membuat pertandingan raja lawak itu dengan format demikian. Apa-apa keputusan hendaklah dihormati. Begitu juga pemilih pemimpin bodoh, rendah moral, jahat dan sebagainya dalam politik bukan salah pengundi, tetapi salah format – sistem demokrasi yang memberi ruang bagi mereka memilih pemimpin jenis itu.
Apa lagi kalau ada pengundi yang senang dipengaruhi serta dicampur dengan bodoh dan ada pula sedia untuk menerima imbuhan mudahlah diperangkap dalam sistem demikian.

Kesimpulannya kalau nak salah, salahkan kepada sistem yang diwujudkan itu. Salah kepada pencipta rancangan raja lawak itu dan bukan kepada pesertanya. Begitu juga mengenai terpilihnya pemimpin bodoh, kena salahkan kepada sistem demokrasi atau peraturan yang ditetapkan oleh sesebuah parti itu. Satu cara untuk menyelamatkan ini kembalikan kepada kebenaran sistem pemilihan dan ruang itu perlu dihapuskan. [wm.kl 6:00 am 03/03/09]

Monday, March 2, 2009

Berita Panas

Kejutan Buat Umno Esok?

[kemas kini] BERITA esok ialah kenyataan berhubung satu kumpulan dalam Umno akan membuat injuksi di mahkamah bagi menghalang perhimpunan agung Umno pada Mac depan! Siapa dan apakah alasan injuksi berkenaan hanya dapat diketehui esok. Tunggulah esok.

BARU sekejap tadi saya menerima sms yang menjemput saya hadir ke satu tempat esok di sekitar Petaling Jaya. Menurut sms jemputan itu ada berita besar yang akan mengejutkan khalayak khasnya dalam Umno.

Saya cuba menghubungi pengirim sms berkenaan bertaya mengenai apa? Namun sampai kini tidak terjawab. Senyap!

Dalam kepala timbul beberapa persoalan di sebalik jemputan itu. Apakah berita bakal mengejutkan esok itu? Untuk menolaknya dengan beranggap ia satu gimik tidak mustahil. Sebab pemanggil ini tidak pernah bergurau dalam perkara-perkara seserius itu.

Saya yakin ia benar, memang ada kejutan esok.

Berita mengejutkan Umno? Saya terus berfikir dan cuba menoleh ke belakang kepada beberapa maklumat yang diterima sebelum ini. Kira-kira dua bulan lalu ada seorang Datuk memberi tahu dan cuba menyakinkan saya, perhimpunan agung Umno pada Mac ini akan ditangguhkan.

Ada sesuatu teknik yang akan digunakan untuk menangguhkan persidangan berkenaan katanya.

Saya tidak percaya dan menganggapnya sebagai gurauan saja. Hinggalah bila berjumpa Datuk berkenaan tiga minggu lalu saya menanyainya berhubung maklumat yang beliau katakan itu. Katanya akan diteruskan.

Apakah berita yang akan meledak esok itu berhubung dengan usaha untuk menangguhkan persidangan Umno berkenaan? Bahawa rancangan yang disebutkan Datuk berkenaan berjalan dan akan jadi?

Jadi sama-samalah kita tunggu hari esok. Insya-Allah menjelang petang berita itu akan meletup dan menjadi topik hangat sehari dua ini.

Apakah ia juga ada kena mengena dengan Abdullah Badawi? Pada saya mustahil kalau Abdullah terlibat kerana beliau sudah mengaku awal-awal akan menyerahkan jawatan itu kepada Mohd Najib Razak pada akhir bulan ini. Jadi siapa, dan apa kena tunggulah. Tunggulah esok! [wm.kl. 5:30 pm 03/02/09]


Pandang Kilas

Perak Memerlukan Perlembagaan Tubuh Yang Baru

MEREKA yang tidak memilih politik sebagai kerjaya tetapi menganggap politik sebagai satu mekanisme terbaik untuk memilih pemimpin bagi mentadbir negara merasa mual dengan apa yang berlaku di Perak khasnya, dan apa yang berlaku dalam arena politik negara muasir ini.

Lebih-lebih lagi pergolakan politik di Perak itu menjadikan semua tekak mereka jenis itu merasa loya dan ada yang sudah termuntah. Mereka menjadi letih dan malas membicarakan soal politik yang dianggap sebagai tidak ada kesudahan dan moral lagi.

Satu masalah besar apabila rakyat sudah melihat politik itu seperti jambatan tahi ia bakal menimbulkan masalah kepada negara.

Seharusnya sebelum rakyat mengambil sikap membenci politik, kualiti politik negara ini perlu ditingkatkan. Orang politik sepatutnya berusaha dan bertanggungjawab bagi meningkat kualiti dan keyakinan umum kepada siasah serta menjaga wibawa mereka sebagai pemain politik negara ini.

Betapa hari ini rakyat diheret untuk berkencah dalam situasi itu yang tidak memberi keuntungan kepada mereka. Semuanya merugikan masa depan rakyat manakala pemain politik pula lebih untuk menjaga kedudukan dan kuasa mereka. Peripolitik orang politik sudah tandus dan kering.

Implikasi yang timbul dari keadaan itu, rakyat berada dalam keadaan tegang, hubungan Melayu sama Melayu yang bertentangan juga makin tegang dan kritis. Perkara-perkara yang menjadi rahsia bersama sebelum ini terpaksa diburaikan kerana untuk mempertahankan diri dan kerana ego masing-masing.

Pertalian saudara dan kepentingan bersama sudah mengecil dan di ketepikan kerana untuk menegak idealogi politik kebendaan dan kuasa masing-masing.

Orang politik tidak lagi berfikir untuk menjadikan politik sebagai alat untuk membawa kebaikan kepada rakyat. Politik bukan lagi wadah ataupun medan untuk memberi kesejahteraan rakyat dan mengurus negara dengan baik; memberi kesejahteraan dan keselamatan kepada rakyat.

Sebaliknya politik digunakan sebagai senjata untuk membendung kausa dan kekayaan sendiri. Sikap mementingkan diri dan kronis menjadi satu isme yang didewa-dewakan dalam politik.

Kalau mereka ada pelita fikir demikian, pergolakan politik seperti di Perak itu tidak akan berlaku. Apa lagi dalam keadaan ekonomi negara tidak menentu semuanya membebankan fikiran dan jiwa rakyat, mereka akan mencari masa lain untuk membuka langkah silap dan gelanggang gaduh. Bukannya waktu ini...waktu gawat.

Hari ini macam-macam kita dengar berlaku di Perak. Semuanya bermula daripada tindakan BN merampas kuasa yang dinaungi istana dan raja yang meragukan awal Februari lalu itu. Hari ini semua perkara ‘bercadas’ dan ‘berkadas’ antara satu sama lain. Seolah-olah negeri Perak kini tidak ada kitab tatacara hidup (perlembagaan) yang jelas dan sahih lagi.

Segala macam peraturan dan perkara dalam perlembagaan tubuh kerajaan negeri Perak seperti tidak sahih dan palsu atau boleh dipermainkan begitu saja. Sesiapa pun bebas bercakap dan mentafsir sendiri kemudian mempertahankan pandangan mereka sebagai benar walaupun ia jelas salah! Perlembagaan sudah tidak dihormati dan dipatuhi lagi, seolah-olah orang politik di Perak seperti buta huruf.

Betapa tidak di Perak hari ini ada dua orang menteri besar; seorang menteri besar istana dan seorang menteri besar rakyat. Keduanya mengaku adalah menteri besar yang sah. Ada dua barisan exco satu, exco lama satu exco baru. Begitu juga dengan kedudukan Speaker ada mengatakan kuasanya tidak sah dan tidak laku dan ada yang beranggapan Speaker masih sah dan berkuasa dan berhak melaksanakan tugas-tugasan mereka.

Kedudukan raja dan istana yang menjadi tempat rujuk dan naungan rakyat jelata juga sudah tidak dihormati lagi. Ada sebilangan rakyat yang menghormati raja secara membuta tuli dan ada yang sudah mula hilang kepercayaan dan kemuliaan institusi itu. Kata-kata raja juga bukan kata-kata pemutus lagi, apabila ada rakyat yang berani membantah dan pandangan raja hanya berlalu begitu saja.

Kebijaksanaan raja dan budi bicara raja juga tidak dihomartinya lagi. Keadaan hari ini payah untuk diputuskan siapa yang sebenarnya benar dan haq.

Lantaran kecamukan tidak berkesudahan itu maka berlakulah soal dakwa mendakwi. Menteri besar rakyat, Mohamad Nizar Jamlauddin memfaikan di mahkamah tinggi meminta mahkamah menentukan kedudukan Menteri Besar baru, Zambry Abdul Kadir sah atau tidak.

Pihak Zambry pula membuat laporan kepada SPRM dan minta mahkamah menentukan apakah keputusan Jawatankuasa Terpilih Dewan yang menggantungkannya selama 12 bulan dan ahli Exco lain selama 18 bulan sah atau tidak.

Terbaru, kerajaan pimpinan Zambry dikatakan akan meminta Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang dipengerusikan oleh Spaeker, V Sivakumar agar mengambil tindakan ke atas dirinya sendiri. Bukankah ini semua menunjukkan apa yang berlaku di Perak itu sudah mabuk dan menjadi seperti keluarga 69. Tempoyak sudah liat kerana ditenyeh dengan ulama petai dan jengkol.

Siapa salah? Yang jelasnya kalau Sultan Perak tahu menggunakan budi-bicara dan sungguh bijaksana kekecamukan ini tidak akan berlaku atau berpanjangan. Tetapi apabila ia berlaku dan kata raja tidak menjadi kata pemutus maka satu kebijaksanaan pihak istana yang diagungkan selama ini sudah tidak ada lagi.

Melihat suasana di Perak yang tidak ada kesudahan ini maka sukacita saya mencadangkan kalau pelembagaan Perak yang ada kini hendaklah dimansuhkan dan ganti dengan perlembagaan baru. Perak hendaklah gubal perlembagana baru yang meliputi semua aspek, baik kedudukan dan peranaan raja, kausa Dewan Undangan Negeri (DUN) dan perkara-perkara lain.

Perlembagana baru itu bolehlah membuat kesimpulan yang jelas mengenai sesuatu perkara misalnya mengenai bidang kuasa raja berpelembagaan, kuasa Menteri Besar sebagai eksekutif selepas dilantik memegang jawatan itu.

Pentafsiran-pentafsiran mengenai undang-undang juga hendaklah jelas dan tidak mengandungi makna dan maksud berlapis-lapis yang boleh menimbulkan masalah bila dipakai kelak.

Saya percaya hanya dengan adanya perlembagaan baru yang menjelaskan mengenai beberapa perkara penting seperti yang berlaku kini ia boleh menjernihkan keadaan dan insiden yang merugikan rakyat di Perak itu tidak akan berlaku lagi.

Yang nyatanya perlembagaan yang ada sekarang ini yang digunakan oleh kedua pihak dalam menegakkan pendirian masing-masing sudah tidak boleh dipakai lagi. Kerana kelonggaran pentafsiran perlembagaan itulah menyebabkan politik Perak kini berada dalam keadaan sembelit. [wm.kl. 1: 00 t/hari 02/03/09]

Sunday, March 1, 2009

Susupan Petang

Ahmad Said Terus Mendedahkan Siapa Dirinya Sebenar?

NAMPAK marah sungguh ketua SPRM, Ahmad Said Hamdan dengan anugerah lembu oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) atas kesungguhanya menyiasat aduan mengenai lembu korban terhadap MB Selangor, Abdul Khalid Ibrahim.

Kata Ahmad Said perbuatan AMK itu menghina pegawai kerajaan dan satu laporan polis telah dibuat berhubung kejadian itu. Ahmad Said juga mempertikaikan tindakan AMK itu tidak profesional kerana menganugerahkan lembu berkenaan.

Ahmad Said juga mempertahankan tindakannya yang membuat kenyataan terbuka berhubung siasatan ke atas Khalid dan mendedahkan pihak SPRM kononnya ada bukti kukuh untuk mengheret Khalid ke mahkamah.

Saya percaya AKM dan orang ramai menghormati tugas SPRM kerana ia bertujuan membenteraskan rasuah. Bila ada laporan mereka kena siasat tidak kira siapa individu berkenaan. Jadi berhubung masalah ini tidak ada maksud hendak membantah siasatan berkenaan.

Tetapi apa yang dibantah oleh AMK dan disokong oleh orang ramai ialah apabila Ahmad Said mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya beliau didedahkan.

Jikalau Ahmad Said tidak membuat kenyataan yang dilihat cenderong untuk memberi 'mata' kepada pihak lain tindakan SPRM itu tidak akan dipersoalkan, malahan ia akan dipuji. Lembu itu juga tidak menjadi mangsa politik dan terpaksa dibawah lori untuk meziarahi pejabat SPRM Selangor. Namun kerana sikap tidak profesional Ahmad Said itu maka lembu pun ikut sama susah.

Sebelum ini sudah berapa banyak SPRM atau BPR membuat siasatan ke atas orang politik termasuk pemimpin baik pembangkang atau kerajaan. Tetapi kenapa tidak ada bantahan terbuka seperti itu sebelum ini jawabnya kerana SPRM atau BPR menjaga etika mereka. Ketua pengarahnya sebelum ini tidak menampakkan mereka cenderong kepada mana-mana pihak dan masih bersikap adil!

Apa yang berlaku ke atas Ahmad Said ialah kerana kesalahan dirinya sendiri. Kerana sikap tidak profesional dan terdapat unsur bodek dalam kenyataan berkenaan. Maka beliau kena tanggung dan mengambil tanggungjawabnya dan jangan mengheret isu ini kepada pegawai-pegawai SPRM lain yang ikhlas, jujur dan telus. Masih banyak pegawai SPRM yang berkhidmat dengan penuh semangat berpandukan kepada cogankata perkhidmatan suruhanjaya berkenaan.

Sekali lagi bila beliau mengulas mengenai isu anugerah lembu itu dan membuat laporan polis berhubung anugerah lembu itu menggambarkan kedangkalan Ahmad Said sebagai ketua SPRM.
Beliau nampaknya emosi dan tidak dapat menahan diri daripada mengikut rentak gendang yang dipalu oleh budak-budak AMK. Apakah orang seperti itu yang rapuh kesopanan dan menjaga wibawa sebagai ketua kepada sebuah susuhanjaya sepenting itu masih layak untuk berada di tempat itu?

Kalau beliau ada maruah Ahmad Said sepatutnya telah meninggalkan jawatan itu. Anugerah lembu itu cukup memalukan dan menunjukkan betapa tahap profesional beliau mengenadalikana SPRM lebih kurang lembu saja.

Saya percaya selepas ini banyak lagi lembu atau haiwan-hawain lain yang tidak sepatutnya dikirimkan kpada SPRM sebagai menggambarkan hakikat sebenarnya SPRM yang diketuai oleh Ahmad Said itu akan terus dihantar kepada SPRM. [wm.kl. 5:20 pm 01/03/09]

Laporan Lewat

Previu Ucapan Anwar
Pelihara Amanat Rakyat Perkasa Perjuangan

PETANG semalam saya ke Shah Alam untuk mendengar ucapan penasihat PKR, Anwar Ibrahim kepada para pemimpin parti berkenaan. Majlis yang dinamakan Amanat Harapan Rakyat itu penting dan dikira satu suntikan semangat dan cuba membuat lonjatan kesedaran baru kepada barisan kepimpinan PKR yang mana input semalam tidak patut dibiarkan berlalu begitu saja.

Sekiranya PKR ingin bertahan dan terus menjadi pemegang (kuasa) amanat rakyat, semua pemimpin di semua peringkat perlu menghayati dan sedia meningkatkan daya usaha dan menambah kualiti kepimpinan masing-masing. Tidak keterlaluan kalau ditegaskan semua kena tekad untuk melakukan perubahan dan mahasabah diri jika sayangkan kepada PKR dan Pakatan Rakyat. Tidak mustahil kalau nasihat ini diabaikan kuasa yang ada dalam birai tangan kini akan terburai!

Program berkenaan sesuai dengan perkembangan terkini di mana Umno-Barisan Nasional (UBN) dalam keadaan tertekan untuk menghadang kemualan rakyat kini. Kepada parti berkenaan mereka akan menggunakan apa saja kesempatan dan peluang yang ada, samada yang dibenarkan atau sebaliknya bagi menyerang PKR dan Pakatan Rakyat demi mengukuhkan kedudukannya.
Perkara paling penting juga barisan kepimpinan PKR khasnya dan Pakatan Rakyat sedrai bahawa mereka kini sudah ada kuasa dan rakyat makin terus memberi sokongan menggalakan dari hari ke hari.

Kajatuhan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak dan serangan berterusan ke atas kerajaan-kerajaan Pakatan Selangor dan Kedah juga menjadikan suntikan dan bingkasan baru itu penting untuk dijadikan semangat dan benteng jiwa pada kalangan barisan pemimpin.
Pemimpin harus mempunyai keyakinan yang tinggi untuk mengubah suasana yang ada sebelum mereka turun menemui rakyat di bawah. Dalam erti kata lain mereka perlu semangat, modal (hujah) dan juga pendekatan yang menarik, dinamik dan progresif.

Dalam keadaan UBN kini gila dan 'sinting' mereka akan merempuh dan melipat gandakan usaha dan perancangan mereka. Justeru barisan kepimpian hadapan PKR dan PR perlu ditanam dengan keyakinan kepada keutuhan semangat perjuanagan Pakatan Rakyat.

Majlis atau ucapan suntikan seumpama itu rasanya bukan saja perlu bagi PKR tetapi ia juga wajar disemarakkan ke dalam rakan pakatan PKR, Pas dan DAP sendiri atas nama persepkataan mencapai kemenangan total. Mungkin satu hari suntikan semangat demikian boleh diadakan serentak dengan kehadiran pemimpin ketiga barisan Pakatan Rakyat di bawah satu bumbung. Elok juga kalau ia diadakan secara besar-besaran.

Sudah pasti dengan ada majlis bersama sedemikian ia memberi keyakinan kepada Rakyat dalam melihat kesediaan dan persiapan PR untuk mengambil alih kerajaan atau menjadi pesaing yang baik kepada UBN pada pilihan raya akan datang.

Peralihan kusa yang bakal berlaku dalam Umno menyebabkan pemimpin pengganti akan membuat pendekatan, serangan dan mengatur strategi baru yang tidak terduga oleh sesiapa pun. Lantaran itu Pakatan Rakyat kena berhati-hati dan bijak menelah apa yang akan berlaku selepas ini. Pakatan Rakyat tidak boleh lena dan berpuas hati dengan apa yang ada kini.

Sokongan rakyat dalam pilihan raya lalu tidak ada jaminan mutlak ianya akan kekal, sebaliknya mereka boleh berubah sekalip mata saja, seperti mana mereka berubah dari menyokong UBN kepada PK. Ini tidak mustahil berlaku sekiranya mereka tidak urustadbirkan (mobilisasi) dengan baik.

Perjumpaan semalam dihadiri lebih kurang 300 orang pemimpin tertinggi PKR terdiri ahli MPT, Ketua Bahagian para wakil rakyat termasuk Sabah dan Sarwak. Sebelum Anwar menyampaikan ucapannya pertemuan terpisah dengan pimpinan Sabah dan Sarawak diadakan terlebih dahulu.
Antara apa yang ditekankan Anwar dalam perjumpaan itu semalam ialah meningatkan pemimpin PKR bahawa UBN kini menggunakan propangada yang mengembalingkan tiga R iaitu race (bangsa), Religion (agama) dan Royalty (Raja) yang digerakkan dengan penuh emotif.

Kata Anwar perjuangan menggunakan simbol-simbol ini mudah meresapi ke dalam psikologis orang Melayu dan inilah pendekatan terbaru UBN apabila mereka menghadapi masalah besar kini kelupusan keyakinan rakyat. UBN mengambil strategi ini kerana mereka cukup bimbang akan berlaku swing besar-besaran orang Melayu selepas mereka sudah hilang kepercayaan kaum Cina dan India.
Pakatan perlu bijak dalam mentafsirkan subjek ini dan menjelaskan kepada rakyat dan jika perlu Anwar dan Pakatan Rakyat wajar membawa keluar lambang-lambang ini dari minda orang Melayu. Kerana nampaknya ke belakangan ini lambang ini menyenak dan berpusar-pusar dalam minda segelintir masyarakat.

Apa yang sangat jelas hari ini ialah penggunaan institusi raja dan istana begitu dominan sekali. UBN telah menggunakan institusi berkenaan menjadi modal untuk melindungi mereka. Sebab itu pantang tercuit cakap dan kata berhubung dengan raja atau istana mereka akan bingkas dan berarak menunjukkan kesetiaan hipokrit mereka kepada raja. Hari ini mereka menggunakan Pemuda untuk menjadi pahlwan tetapi esok atau lusa mungkin Umno induk pula akan mengambil tempat ini membuat havoc lebih besar lagi.
Begitu juga UBN sedia mengguna sampah sarap orang-orang yang sakit kepala dan rendah moral juga diangkut untuk membantu mereka. Mereka tidak peduli soal bau, waran dan moral lagi. Semua ini melambangan UBN itu sendiri sangat terdesak dan hilang rasional politik.
Dalam menghadapi serangan dan ancaman UBN ini Anwar berharap ianya tidak dipandang dengan sikap sambil lewa dan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat perlu dijaga sebaik mungkin. Beliau juga menekan masa ini juga bukan masa untuk mendabik dada siapa yang banyak berkorban.
Mesej Anwar itu bukan saja di kalangan pemimpin PKR tetapi pemimpin PR seluruhnya. Sikap cuba mendabik dada akan membenihkan rasa kruang senang sesama sendiri dan akhirnya boleh menimbulkan perbalahan.

Demikian juga masa untuk berbulan madu, seronok dengan kemenangan sudah pun berakhir. Manakala kemenangan diperolehi hendaklah dirai dengan penuh tawaduk dan pemimpin pula perlu terbuka untuk mahasabah diri dan mengakui kesilapan.

Persiapa mental dan fizikal itu pelu kerana seperti mana dibayangkan Anwar masa mendatang langkah dan laluan perjuangan PKR dan Pakatan Rakyat terpaksa melalui liku beranjau dan berhalangan. Manakala UBN pula akan menggunakan apa saja senjata dan menampak wajah sebenar regim berkenaan termasuk akan menggunakan undang-undang secara kuku besi demi menghalang Pakatan Rakyat. Maknanya kalau tindakan UBN hari ini sudah rakus dan zalim maka untuk masa depan ia lebih rakus dan kejam lagi.

Justeru persepakatan semua pemimpin dari semua peringkaat perlu bagi PKR memperkukuhkan parti berkenaan, cuba elakkan berlakunya rajuk atau rasa tidak puas yang merosakkan parti.

Bagi menyemarakkan parti Anwar juga meminta PKR menggerakan aktiviti mereka dengan mengadakan program atau ceramah paling kurang sekali sebulan di semua bahagian atau negeri. Peningkatan aktiviti dan usaha memperkasa parti sangat perlu memandangkan pilihan raya semakin dekat.

Sesungguhnya suntikan semangat dan tekad memperbaharui lonjakan perjuangan oleh Anwar semalam bukan saja terpakai kepada ahli, penyokong PKR tetapi kepada semua ahli dan penyokong Pakatan Rakyat dan mereka yang mendambakan keadilan dan kebenaran politik! [wm.kl. 11:50 pm 01/03/09]