Monday, October 12, 2009

Membersih Laman

Rumah Terbuka Aidilfitri Wangsa Siaga Meriah

ADA tiga aspek atau unsur penting yang menjamin kehidupan dan kelestarian kehidupan di sesebuah taman atau kawasan perumahan. Unsur itu ialah keselamatan, kesejahteraan dan keceriaan.

Jika tiga unsur ini tidak diutamakan atau berusaha mencapainya bermakna kehidupan disesebuah taman perumahan itu tidak tercapai dan natijah yang dimaksudkan untuk melahirkan suasana hidup yang aman damai dalam kawasan yang kondusif di sesebuah taman perumahan gagal.

Nampaknya usur atau pun aspek demikian menjadi prinsip penting kepada penduduk Wangsa Siaga, Taman Melawati, Kuala Lumpur, kawasan kediaman atau kampung kedua saya.

Alhamudlilah setakat ini hubungan sesama penduduk di taman ini sungguh membanggakan. Tidak keterlaluan kalau dikatakan sosial, hubungan dan jalinan kehidupan di taman ini berjalan dengan baik, mesra dan prihatin. Ianya wajar menjadi contoh kepada taman-taman perumahan sekitarnya.


Bukan hendak puji, jalinan kehidupan taman ini paling bagus, tetapi aktiviti melibatkan penduduknya boleh dibanggakan. Sejak 10 tahun lalu taman Wangsa Siaga telah mewujudkan Pasukan Ronda Kawasan (PKK)nya sendiri. Walaupun skuad ini on and off tetapi ternyata kewujudannya telah memberi kesan kehidupan yang baik dan mendapat pujian pihak polis.

Kejadian jenayah; ragut, pecah kereta, masuk rumah, maksiat dan sebagai dapat dikurangkan sejak wujudnya pasukan ini. Perangkaan kes jenayah di taman ini amat berbeza sekali sesama skuad ini belum diwujudkan selepas ianya ditubuhkan.

Sudah menjadi perkara biasa dan masalah tradisi dalam semua kawasan perumahan, penduduk sukar untuk bekerjasama dan jika diminta untuk 'bersatu' demi kebaikan bersama mengelak dengan berbagai alasan. Sibuk, tidak ada masa adalah alasan yang kerap dilafazkan. Di sinilah memerlukan segelintir manusia yang rajin, kreatif dan penyabar untuk menjadi penggerakan atau pencetusnya.

Taman Wangsa Siaga bernasib baik kerana ada segelintir penduduk yang rajin dan komited dengan tugas masing-masing. Mereka juga dapat menjalani hubungan baik tanpa mengira kaum dan meletakkan kepentingan keharmonian, keceriaan dan keselamatan taman di hadapan.

Bila bercakap soal ini penduduk di sini tidak akan melupai peranan dan kerajinan Kol Fuzi Talib bersama rakan-rakannya, Edmund Chen, Santhana K, Shanti, Pn Sarimah, Md Zain dll. Mereka yang menjadi pencetus untuk menubuhkan PKK dan juga menjadi penggerak utamanya.

Kejayaan ahli jawatankuasa PKK dan penduduk di taman ini boleh dilihat kepada beberapa aktiviti yang diadakan. Misalnya acara gotong royong membersihkan kawasan diadakan hampir setahun sekali dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL, dan pihak polis Wangsa Maju. Begitu juga dengan acara dan majlis sambutan hari raya semua kaum diadakan.

Paling baru semalam diadakan rumah terbuka Aidifitri bagi warga Wangsa Siaga. Sambutan menggalakkan sekali. Semua kaum hadir meraikan rumah terbuka berkenaan. Melalui majlis seumpama itulah penduduk dapat saling kenal mengenali antara satu sama lain sebagai jiran setaman yang sehati dan sepakat.

Syabas kepada ahli jawatankuasa RKK dan seluruh warga Wangsa Siaga atas kejayaan ini. [wm.kl. 11:45 am 12/10/09]

Sunday, October 11, 2009

Ulasan Pilihan Raya Bagan Pinang

Kemenangan Yang Tidak Rasional

[kemaskini] MEDIA masa pro kerajaan yang kempunan sejak pilihan raya kecil Permatang Pauh tahun lalu, esok akan dapat mengembangkan senyum hingga ke pipi. Akhbar-akhbar arus perdana dan media eletronik perdana juga boleh menambahkan muka surat atau memanjang siaran untuk melaporkan kemenangan bergaya UBN di Bagan Pinang sekejap tadi. Kemenangan itu perlu diuar-uarkan.

Seperti selalunya bila UBN menang akhbar dan tv akan menyiarkan secara besar-besaran. Akhbar penjilat buntut UBN dan segala macam kroninya esok akan meletakkan gambar Mohd Isa Samad yang sedang angkat telunjuk simbol 1 Malaysia dimuka depan. Najib dan Rosmah juga turut gembira.

Maka akan diulas dan dicincanglah Pas selumat-lumatnya dengan apa yang berlaku dan ternatijah dalam pilihan raya itu. Ditafsirkan kemenangan itu menunjukkan Pas dan Pakatan Rakyat ditolak oleh rakyat. Bahawa UBN sudah mula mendapat kepercayaan rakyat semula. Bahawa 1 Malaysia diterima oleh semua lapisan rakyat.

Maka bersedialah Pas dan rakan Pakatan serta penyokongnya untuk menghadapi hari esok, menerima ulasan penuh emosi dan egois, sombong dan tinggi hidung dipihak UBN dalam media arus perdananya.

Memang untuk bergembira itu adalah hak UBN. UBN yang sudah kesekian lama haus dan malu kerana satu demi satu kalah, dengan kemenangan wajar tadi wajar merasa gembira ataupun melompat-lompat di padang luas beramai-ramai untuk meraikan kemenangan Mohd Isa itu.

Majoriti 5,435 undi yang dicapai calon mereka Mohd Isa Abdul Samad itu memang besar, lebih besar daripada bukit Qaf dicerita dalam hikayat di tanah Arab. Lagipun dalam demokrasi tidak ada perhitungan apakah kemenangan itu cara baik atau sebaliknya. Yang penting ia menang hatta dengan satu undi dan tidak perlu kita memikirkan bagaimana kaedah mencapai kemenangan itu. Kitab politik sekular dari kulit berwarna apa saja menerima perkara itu.

Tetapi hanya UBN berhak merayakan kemenangan itu. Bagi mereka yang sihat akal dan waras merasa malu untuk menerima kemenangan itu. Majoriti diraih oleh Mohd Isa itu sesuatu yang tidak rasional! Biasanya mereka yang tidak rasional sahaja yang menerima hal-hal yang tidak rasional.

Bagi saya, majoriti sebanyak itu benar-benar tidak rasional dan masuk akal. Makanya sukar untuk diterima kemenangan itu seagai kemenangan hakiki seperti mana orang UBN merasainya sekarang. Untuk apa kita berseronok dengan kemenangan palsu! Perbuatan itu samalah dengan menipu diri sendiri. Persis kita mengakui kaya tetapi poket kosong. Bukankah keadaan itu menyusahkan kita bila mana kita berhadapan dengan hakikat?

Hakikat untuk menentukan apakah UBN atau Pakatan Rakyat akan mendapat sokongan bukan dalam pilihan raya kecil. Tetapi dalam pilihan raya umum. Kalaupun Pakatan menang, mereka juga tidak boleh mendabik dada dan tinggi hidung mengatakan mereka sudah lebih hebat dari UBN. Justeru kemenangan yang dicapai sebelum ini bukan merupakan kayu ukur tepat untuk menilai kekuatan pengaruh melainkan boleh dijadikan pemandu semangat saja dan pencetus perubahan mendatang.

Disebabkan kemenangan dengan majoriti tidak rasional maka ramai orang terkejut dengan pencapaian Mohd Isa itu. Mahathir juga mungkin termenung panjang berfikir bagaimana Mohd Isa boleh menang besar. Paling mengejutkan Mahathir ialah Isa seorang yang cemar moral politiknya boleh dipilih semula menjadi pemimpin.

Mereka yang tidak boleh berfikir secara rasional atau memaca makrifat di sebalik kemenangan UBN semalam, mungkin lemah gemalai dan tidak lalu makan menerima keputusan pilihan raya berkenaan. Muhyiddin Yassin sendiri ketika mengulas kemenangan itu mengatakan ianya sesuatu yang tidak terduga. Apakah maksudnya itu? Apakah ada tektik atau strategi penipuan untuk menang besar bagi pihaknya.

Kenapa tidak rasional? Jawabnya mudah, kerana pengundian yang berlaku bukan atas kerelaan kesemua pengundi di Bagan Pinang. Mohd Isa menang kerana berlaku undi yang sudah dipenjara oleh UBN. Maksud undi yang dipenjarakan atau ditawan itu ialah undi pos di kalangan tentera dan polis sebanyak 4,221.

Sekiranya tanpa undi penjara ini atau undi yang digari ini, majoriti yang rasional ialah sekitar 1,500 atau 2,000 sahaja. Semua orang beranggapan demikian. Apabila Isa memperolehi undi diluar dugaan maka peninglah dan terkejut beruklah segala orang. Apa lagi sebelum ini pun banyak yang tidak kena dalam proses pengundian dengan berlakunya peraturan-peraturan dan teknik yang tidak rasional dan lebih memihak kepada parti pemerintah.

Cuba bayangkan secara logik jika undi pos itu tidak digari, apakah ia mungkin kesemua undi pos sebanyak 4,122 akan mengalir kepada Mohd Isa. Apakah tentera semuanya tidak tahu menilai antara intan dengan permata. Ada juga askar atau polis yang membaca berita dan mengetahui kisah Isa. Tetapi kerana undi mereka telah digari apalah yang boleh mereka lakukan, kecuali akur saja. Undi mereka mengalir ke dalam peti undi Isa tanpa diizinkan. Tahniah kepada menteri pertahanan kerana berjaya menggarikan undi tentera.

Saya percaya berdasarkan pencapaian pilihan raya lalu, undi tentera akan turut mengalir ke dalam peti undi Pas. Kalaupun tidak mencecah sampai 50 peratus tetapi 30 peratus mungkin ada. Seperti mana diketahui dan didakwa Pas, tentera yang berhak mengundi dan berada dalam kem hanya sekitar 1,200 sahaja. Manakala selebihnya tidak diketahui ke mana mereka dan undi mereka misteri.

Ini bermakna undi tentera yang benar-benar bebas dan terbuka sebanyak 1,200 undi saja, manakala selebihnya yang sudah digari untuk UBN. Daripada undi pos Pas hanya mendapat 601. Kemungkinan undi itu ialah daripada 1,200 tentera yang mengundi sendiri itu. Manakala undi tentera yang selebihnya sebanyak 3,000 lagi semuanya melayang tanpa izin ke dalam peti undi UBN ataupun ditukar dengan sejumlah wang?

Seandainya undi sebanyak 3,000 lagi diberikan kebebasan, mungkin Pakatan dapat meraih sekurang-kurang 30% daripada jumlah itu. Kalau Pas dapat undi sebanyak itu ini bermakna Pas mendapat 1,000 undi lagi. Jika dicampurkan undi ini dengan undi yang Pas perolehi hari ini, 2,578 bermakna undi Pas ialah sebanyak 3,578.

Kalau ini berlaku bermakna Isa tidak akan dapat undi sebanyak 8,013. Paling-paling Isa hanya mampu meraih undi sebanyak 6,500 saja. Jadi undi yang boleh dianggap relevan dan rasional untuk kedua calon hari ini ialah, Isa sekitar 6,500 undi manakala Pas disekitar 3,500 undi. Dengan angka ini majoriti yang berhak diraih Isa sekitar 3,500 saja.

Pencapaian ini pun dikira tinggi, tetapi ia masih lagi dalam lingkungan logik dan rasional.

Justeru kepada penyokong UBN jangan terpengaruh dengan majoriti tidak rasional itu. Dalam perkiraan politik, kalau UBN dapat 3,000 undi, ini bermakna mereka (Pakatan) memerlukan kira-kira 1,500 undi sahaja lagi untuk mengatasi UBN. Kelebihan 1,500 di pihak UBN itu bolehlah disimpulkan undi peribadi Mohd Isa di Bagan Pinang dan bukan undi untuk UBN.

Kesimpulannya kalau undi pos bebas dan bukan Mohd Isa yang menjadi calon, UBN mungkin akan terus menangis, dan pilihan raya itu akan dimenangi oleh Pakatan.

Apapun ulasan dan tanggapan berhubung pilihan raya kecil itu, semua pihak hendaklah menerima hakikat bahawa keputusan adalah muktamad. Soal kemenangan itu dicapai secara adil, halal atau kotor itu soal lain. Apapun sifatnya ia harus diterima kerana ia dihalalkan oleh demokrasi yang kita dokongi bersama hari ini. Tidak boleh dinafikan dalam konteks melakukan provokasi, tindakan melampau kedua pihak turut sama terliat, kerana tepuk tangan sebelah tidak akan berbunyi.

Kepada Mohd Isa diucapkan tahniah, dan kepada Pas jangan tangisi kekalahan ini kerana majoriti besar itu bukan menandakan hakikat rakyat menolak Pakatan dan Pas. [wm.kl. 9:00 pm 11/10/09]

Keputusan P Raya Bagan Pinang

Sah UBN Menang di Bagan Pinang Dengan Majoriti Lebih 5,000

MUKTAMAD: Mohd Isa Abdul Samad mendapat 8,013, Zulkefly Mohamad Omar 2,578. Majoriti 5,435. Undi rosak 233. Peratus keluar mengundi 82 peratus.

WALAUPUN keputusan rasmi pilihan raya Bagan Pinang akan diketahui menjelang jam 8:00 malam ini tetapi sudah sah Pas gagal memenangi pilihan raya berkenaan. Kegagalan Pas untuk mencatat rekod tanpa kalah dalam siri pilihan raya kecil di sepanjang tahun ini juga megejutkan kerana kekalahan ini paling teruk dari segi majoriti berbanding dengan kekalahan UBN dalam tujuh pilihan raya lalu.

Daripada sebanyak 11,157 pengundi atau kira-kira 81.65 peratus yang keluar hari ini, Pas hanya berjaya meraih sebanyak 2,490 undi, di mana jumlah ini berkurangan sebanyak 1,607 undi dicapai Pas dalam pilihan raya umum lalu. Dalam pilihan raya lalu Pas menerusi calonnya Ramli Ismail mendapat 4,097.

Majoriti undi UBN juga meningkat sebanyak 3,331 berbanding dengan majoriti dalam pilihan raya lalu, dimana UBN hanya meraih sebanyak 2,333 undi.

Tidak ada sesiapa mejangka UBN menerusi calonnya Mohd Isa mampu meraih undi sebanyak 7,821 di mana undi UBN meningkat sebanyak 1,391 undi berbanding pilihan raya umum lalu. Dalam pilihan raya lalu calon UBN Azman Mohd Nor mendapat 6,430.

Dua faktor paling jelas kenapa keputusan diluar dugaan ini berlaku kerana UBN berjaya mendapat hampir 100 peratus undi pos yang berjumlah 4,122. Faktor lain ialah kerana berlakunya swing daripada masyarakat India. Daripada 4,122 undi pos Pas hanya memperolehi 601 manakala UBN mendapat sebanyak 3,521 undi.

Sekiranya undi pos yang mulanya dianggarkan berkedudukan 40 : 60 menjadi kenyataan UBN hanya dikira menang dengan majoriti sekitar 2,500 atau 3,000 undi saja. [*** 7:40 pm 11/10/09]

Perkembangan Bagan Pinang

Keputusan Pilihan Raya Bagan Pinang Akan Diketahui Bila-bila Masa Saja

[terkini] 7: 15 pm Angka tidak rasmi UBN menang dengan majoriti 5,435. UBN meraih 8,013 undi manakala Pas mendapat hanya 2,578. Satu kekalahan yang diluar dugaan. Faktor awal menunjukkan kekalahan ini disebabkan undi pos di mana Pas hanya mendapat 601 undi pos dari jumlah keseluruhannya lebih 4,122 undi.

Selain itu kekalahan teruk Pas ini juga kerana kegagalan Pas untuk meraih simpati undi masyarakat India khasnya yang tinggal di ladang (estate). Tunggu ulasan dan analisa selanjut menjelang tengah malam ini. Out!

[terkini] 6: 50 pm Pas kalah dengan majoriti lebih 4,000. Ini bermakna UBN menang besar dan terget parti itu untuk meraih majoriti tahun 2004 berhasil. Dengan meraih majoriti sebanyak lebih 4,000 ini bermakna UBN mendapat hampir 100 peratus undi pos.

KIRA-KIRA 50 minit lalu semua lapan pusat mengundi di Bagan Pinang telah ditutup. Menurut perangkaan tidak rasmi peratus keluar mengundi sebanyak 81.65 peratus iaitu kira-kira 11,157 pemilih menjalankan kewajiba mereka. Angka ini tersasar dari jangkaan awal saya sebanyak 1.65 peratus.

Pengiraan undi dipusat-pusat pengundi sedang berjalan pada masa ini. Dipercayai kedua pihak yang bertanding sudah dapat mengagakkan mengenai nasib masing-masing. Sementara itu berbagai maklumat dan laporan liar berlegar di serata tempat mengenai keputusan pilihan raya berkenaan.

Dari pihak penyokong UBN telah mengeluarkan angka-angka majoriti tertentu yang diperolehi calon UBN, Mohd Isa Samad. Ada yang menganggarkan Isa menang dengan majoriti 3,500 hingga 4,000 undi. Ada juga yang mengira Isa menang hanya sekitar 3,000 sahaja.

Berlainan dari pihak Pas tidak ada sebarang maklumat setakat ini menyatakan dengan optimis yang Pas berjaya merampas kerusi berkenaan. Tidak ada laporan dari sumber dalaman Pas. Mungkin Pas tidak mahu mendedahkan maklumat sebenarnya kerana ingin menimbulkan kegemparan kepada umum.

Bagaimana pun keputusan tetap juga akan diketahui tidak lama lagi. Biarlah kita berteka teki dalam masa sedikit ini sekruang-kruang dengan keadaan kita masih menaruh harapan calon kita menang.

Kepada pengundi Bagan Pinang yang telah menunaikan tanggungjawab mereka diucapkan terima kasih dan syabas. Dan kepada penyokong kedua pihak pulanglah ke tempat masing-masing dan terimalah keputusan pilihan itu dengan penuh keterbukaan. [*** 5:25 pm 11/10/09]

Terkini Dari Bagan Pinang

UBN Guna Taktik Provokasi Untuk Menang

PROVOKASI dengan mengadakan kekacauan, menimbulkan kegemparan dan bertindak ala samseng itulah taktik UBN dalam pilihan raya Bagan Pinang yang sedang berjalan kini. Provokasi ini berjalan sejak mula hari penamaan calon sehinggalah ke saat ini.

Gambaran ini diberikan oleh Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa yang pada masa ini membuat tinjauan dan lawatan ke setiap kawasan pengundian. Keadaan di Bagan Pinang masa ini juga dilaporkan panas dan tegang.

Menurutnya provokasi paling baru berlaku di Teluk Kemang pagi tadi dimana penyokong UBN telah mebaling objek ke arah penyokong Pas tujuan menimbulkan keadaan huru hara.

Katanya akibat itu menyebabkan timbul kemarahan di kalangan ahli Pas menyebakan berlaku pergaduhan sehigga polis terpaksa campur tangan. Beberapa orang orang telah ditangkap ekoran kejadian ini.

Menurutnya provokasi ini sengaja dirancang demikian rupa. Sebagai bukti katanya di mana sahaja kawasan yang berlaku provokasi kasih sudah tersedia dengan puluhan wartawan dan jurugambar untuk merakam dan melaporkan kejadian. Ikut sama ialah para bloger yang pro UBN.

"Sekiranya provokasi ini tidak dirancang bagaimana wartawan cepat menghidu dan terus melaporkannya. Jelas provokasi ini disengajakan oleh UBN," tegas beliau.

Sementara itu dakwa ahli Jawatankuasa Kuasa Pas Pusat, Abu Bakar Chik provokasi yang berlaku kali ini agak melampau dan ia menunjukkan UBN benar-benar terdesak. Katanya elum pernah berlaku provokasi erterusan seperti hari ini.

Dakwanya markaz Pas Terengganu, Wilayah Persekutuan diserang oleh kumpulan tertentu dipercayai dari kalangan UBN seperti serangan pengganas untuk menimbulkan keadaan kurang selesa dan menakutkan para pengundi.

Para provokasi ini katanya akan mendatangi markaz Pas dengan memawa senjata, kayu dan sebagai mengugut para petugas Pas dan ada yang dicederakan sampai bengkak kepala.

Provoikasi ini adalah taktik baru UBN untuk memastikan kemenangan di Bagan Pinang. UBN begitu terdesak untuk menang di Bagan Pinang bagi menjaga maruahnya. Untuk itu parti berkenaan sanggup melakukan apa saja termasuk tindakan melanggar undang-undang dan adat.

Sementara itu proses pembuangan undi sehingga tengah hari ini berjalan lancar. Sehingga kini sudah hampir 50% jumlah pengundi yang keluar mengundi. Dari kedudukan mata kasar peluang kedua-dua pihak masih sama rata.

Sekiranya maklumat mengatakan undi pos dari kalangan tentera berkedudukan 40 : 50 peluang untuk Pas membuat kejutan dalam pilihan raya ini masih terbuka. Sekiranya perkembangan ini beterusan hingga ke petang tidak mustahil kalau UBN kalah! Kekalahan UBN dalam pilihan raya ini bolehlah disifatkan sebagai terbukanya liang lahad luas untuk UBN di masa akan datang. [*** 1:00 t/hari 11/10/09]

Analisa Pagi Bagan Pinang

UBN Dijangka Menang Dalam Kekalahan

SETENGAH jam lagi akan bermulalah pengundian di Bagan Pinang. Setelah mendengar dan menilai penjelasan dan kempen kedua pihak selama lapan hari pengundi akan membuat pilihan. Kita percaya kesemua 13,664 pengundi berdaftar di Bagan Pinang sudah membuat keputusan siapa yang akan mereka pangkah. Keputusan yang diterjemahkan hari ini adalah keputusan yang dibuat, paling akhir menjelang tengah malam tadi.

Sejajar itu juga debaran kini kian kencang dan rasa ingin tahu mendesak dalam hati setiap pemerhati politik. Sehingga menjelang petang nanti teka teki kalangan pemerhati masih berterusan. Biasanya selepas tengah hari gambaran keputusan sudah mula dapat dibayangkan. Pencerap politik akan membuat perhitungan berdasarkan kepada lagak dan lenggang lengguk pengundi baik ketika memasuki tempat mengundi atau ketika keluar. Kalau ada barung panas, pengecaman dan perkiraan awal dilakukan di sini. Biasanya barung parti yang ramai dikerumuni pengundi parti itulah akan menang.

Bercakap fasal pilihan raya kecil N31 Bagan Pinang ini, dari segi fizikal dan semangat UBN merasakan mereka akan menang. Awal-awal lagi UBN yakin kali ini mereka akan dapat menebus kekalahan dalam tujuh pilihan raya lalu. Ada beberapa faktor kenapa UBN merasa begitu. Antaranya ialah kerana pengaruh mereka cukup kuat di Bagan Pinang dan percaya Bagan Pinang masih kekal sebagai kubu ampuhnya.

Bertolak dari itu UBN merasa mereka akan menang. Apa lagi dengan meletakkan Mohd Isa Samad keyakinan UBN bertambah, kerana Isa dikehendaki oleh pendudukan tempatan. UBN mempercayai bahawa reputasi calonnya itu tidak tercalar dan terus mendapat sokongan.

Sebenarnya perletakkan Mohd Isa yang mempunyai masalah moral seperti calon mereka di Permatang Pasir adalah satu perjudian besar dilakukan UBN. Kalau UBN menang hari ini parti itu akan tetap kalah kerana tidak berjaya menampilkan calon bersih!

Pilihan raya ini juga memperlihatkan keyakinan Pakatan Rakyat berbeza dengan dibeberapa pilihan raya kecil lain. Mungkin keadaan Bagan Pinang diketahui sebagai kubu kebal UBN menyebabkan Pakatan mengambil sikap tidak banyak cakap atau mengarai harapan yang tinggi.

Pakatan khasnya Pas juga mengalami sedikit masalah dari segi jentera pilihan raya tidak seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah, di mana ahli mereka sudah terlatih dan mahir dalam berpilihan raya. Jentera pilihan raya Pas Bagan Pinang ini digerakan oleh petugas luar. Ini masalah Pas.

Besar kemungkinan dalam pilihan raya ini Pakatan tidak akan merayakan kemenangan total dengan memperolehi kerusi itu. Tetapi Pakatan tetap juga merasai kemenangan dari sudut-sudut lain yang mana dengan kemenangan itu akan dijadikan penambah semangat kepada perjuangan mereka. Pakatan harus sedar Bagan Pinang berbeza dengan pilihan raya ditempat lain, baik muka bumi politik, budaya, adat dan juga sejarahnya.

Walaupun pengaruh Pakatan mula meluas di Negeri Sembilan, hakikatnya UBN masih menguasai kerajaan negeri. Situasi ini memeri semangat lebih kepada UBN. Sebaliknya sekiranya hari ini Negeri Sembilan sudah ditawan Pakatan, walaupun Bagan Pinang kubu UBN sudah tentu pilihan raya hari ini akan dimenangi Pakatan. Semangat memerintah akan memecahkan kekuatan kubu UBN itu.

Bagi UBN setelah mereka merasakan selesa dengan kemenangan, apa yang diharap atau mahu ditunggu hari ini ialah angka majoriti yang akan diperolehi. UBN mengidam untuk mengekalkan majoriti yang diperolehi dalam pilihan 2008 lalu sebanyak 2,333 undi disamping memimpikan majoriti 4,411 yang diraih pada pilihan raya 2004. Mungkin UBN akan berjaya mengekalkan majoriti 2008 tetapi sukar untuk mengacapi majoriti 2004.

Sebaliknya kalau majoriti UBN hari ini merudum ke angka bawah 2,000 ini bermakna UBN boleh diistyharkan kalah. Keadaan ini juga sudah cukup membahagiakan Pakatan dan mereka bolehlah menari dan membayangkan untuk menguasai Negeri Sembilan pada pilihan raya umum ke-13 nanti. Kejayaan mengekang UBN dengan majoriti sekitar 2,000 adalah kejayaan buat UBN.

Ada beberapa faktor yang boleh dirumuskan secara ringkas pilihan raya hari ini.

  • Kejayaan UBN bergantung kepada faktor pengundi Melayu. Sekiranya pengundi Melayu bertambah ini bermakna UBN boleh memperbaiki reputasinya hari ini. Kemenangan besar UBN pula akan disumbangkan oleh peratus tinggi pengundi Cina dan India serta pengundi kalangan muda.
  • Sekiranya peratus pengundi Cina dan India melebihi 80 peratus ia memberi gambaran buruk kepada masa depan UBN dan keputusan pilihan raya ini juga turut menjejas UBN. UBN sangat memerlukan undi bukan Melayu sebagai menampung undi pos yang sudah dimilikinya. Dipercayai dari jumlah sekitar 4,000 undi pos UBN menguasai lebih 70 peratus iaini kira-kira 2,800.
  • Pakatan pula bergantung kepada undi orang muda dan undi Cina dan India di samping diharap berlaku pertambahan dari kalangan undi orang Melayu. Kemenangan kepada Pakatan akan berlaku sekiranya undi Cina dan India kepada Pakatan melebihi 80 peratus disamping mengekalkan undi golongan muda.
  • Dijangka peratus keluar mengundi sekitar 80 peratus iaini kira-kira 10,931. Berdasarkan perkiraan rambang hari ini UBN dikatakan menguasai sekitar 58 peratus undi. Ini bermakna UBN bakal meraih kira-kira 6,339 undi berbanding dengan UBN sebanyak 42 peratus atau pun sekitar 4,591. Berdasarkan perkiraan itu majoriti dipihak yang menang sekitar 1,748.
Sekiranya dapatan di atas itu benar bermakna UBN tidak akan dapat bergembira dengan pilihan raya hari ini dan mereka tetap dianggap kalah. Jelas Mohd Isa yang dicagarkan itu tidak mampu mengembalikan kegemilangan UBN! [*** 8:00 am 11/10/09]

Saturday, October 10, 2009

Meramal Nasib MIC

Makkal Sakti Masuk, MIC Keluar!

HARI ini satu lagi parti politik berasaskan kaum dilancar di negara ini. Parti Makkal Sakti atau Kuasa Rakyat yang dianggotai seratus peratus masyarakat India dilancar penjelmaannya oleh Perdana Menteri, Najib Razak. Kewujudan parti ini jelas ia adalah untuk mengganti peranan MIC yang semakin lemah dan hilang pengaruh dari kalangan masyarakat India di negara sejak akhir-akhir ini.

Baru-baru itu pemimpin agung parti itu, S Samy Vellu dihina oleh bekas Presiden Umno, Mahathir Mohamad yang menggesakan Samy Vellu berundur dan sudah tidak relevan lagi memimpin Umno [ralat memimpin MIC]. Gesaan Mahathir itu dilihat satu lontaran najis ke muka Samy Vellu secara tidak diplomasi.

Pelancaran dilakukan oleh Najib di ibu negara hari ini. Presiden parti baru itu, Thaneenthirren bekas penyelaras aktivis kumpulan Hindraf yang diharamkan. Penubuhan parti ini dilihat sebagai pecahan atau serpihan kepada Hindraf. Semacam ada penaja untuk menubuhkan parti ini bagi memecahkan kekompakkan Hindraf yang ternyata telah memberi ancaman dan gugatan kepada MIC dan muncul sebagai satu badan memela masyarakat India di negara ini.

Dalam kenyataannya, Thaneenhthirren berharap parti itu akan menjadi wadah baru kepada masyarakat India di dalam BN. Dengan tertubuhnya parti Makkal Sakti itu, masyarakat India kini mempunyai lebih lima buah parti. Apakah Makkal Sakti berjaya memainkan peranan itu? Menjadi pengganti kepada MIC yag sudah wujud sejak lebih 50 tahun lalu.

Manakala Najib semasa berucap melancarkan penubuhan parti itu berharap akan menjadi penyatuan masyarakat India dalam menyokong BN. Najib berterus terang, katanya Makkal Sakti akan menyokong beliau dan kerajaanya serta slogan 1 Malaysia.

Ini bermakna penubuhan Makkal Sakti bukan atas desakan akar umbi dari masyarakat India bawahan tetapi kerana diaspirasikan oleh pihak tertentu. Dalam erti kata lain penubuhan Makkal Sakti diklonkan dengan kebendaan dan bukan semangat tulen masyarakat India yang masih memerlukan pembelaan.

Sejauh manakah Makkal Sakti boleh bertahan? Selalunya parti yang ditubuh kerana untuk membantu individu tertentu tidak akan bertahan lama. Biasanya ia akan layu dan mati selepas agenda itu gagal di tengah jalan. Justeru kewujudan Makkal Sakti tidak perlu dihiraukan oleh mana-mana pati India lain yang berdasarkan semangat dan perjuangan tulen seperti MIC dan PPP dan lain-lain.

Dalam pada itu dari satu maklumat, menyatakan pihak BN turut bertanggungjawab memodalkan penubuhan parti berkenaan. Kata satu sumber, katanya sebanyak RM30 juta telah diperuntukan untuk memprojekkan parti berkenaan.

Khabarnya setakat ini sebanyak RM 8 juta telah disalurkan untuk tujuan itu dan selebihnya akan diberikan secara berperingkat. Ini tentulah termasuk majlis pelacanaran dan juga projek-projek mempublisitikan parti berkenaan selepas pelancaran itu. Sejauh mana maklumat ini boleh dipercayai masih disiasat!

Persoalannya kini apakh maksud dan harapan penubuhan Makkal Sakti itu akan tercapai? Apakah MIC yang menjadi parti unggul dan telah memberi khidmat dan kesetiaan tidak berbelah bagi kepda BN sejak lebih setengah abad lalu tidak akan merasa kecewa dengan tindakan Najib itu? Tentu Samy Vellu khasnya merasa terhina di atas penubuhan Makkal Sakti itu apa lagi ia mendapat restu daripada Najib.

Kurang dipasti apakah pemimpin agung MIC itu, Samy Velly hadir atau tidak pada majlis pelancaran tadi. Ketidakhadiran Samy Vellu memberi isyarat jelas bahawa penubuhan parti berkenaan untuk menjadi kompnen kedua parti berasaskan kaum India dalam BN tidak akan disenangi MIC.

Risiko bakal menanti Najib dan BN dalam hal ini. Sekiranya penubuhan Makkal Sakti tidak diuruskan dengan baik, maksudnya tanpa ada persefahaman dan persetujuan MIC, tidak mustahil MIC akan membuat onar. Tindakan yang boleh dilakukan MIC ialah keluar dari komponen BN sebagai menyatakan protes terhadap penubuhan Makkal Sakti.

Kemuncak dari protes itu tidak mustahil juga kalau selepas ini negara akan dikejutkan dengan tindakan MIC keluar dari komponen BN dan menyertai Pakatan Rakyat. Dalam politik tidak ada yang mustahil, termasuk sirap disangkakan darah pun boleh terjadi!

Tindakan terawal mungkin dapat dilihat esok bila mana berlangsungnya pengundian di Bagan Pinang. Sekiranya masyarakat India (MIC) benar-benar tidak senang dengan kewujudan Makkal Sakti ini bermakna undi India akan mengalir ke dalam peti undi Pas. [wm.kl. 9:00 pm 10/10/09]

Analisa Maghrib

Pengundi Bagan Pinang Akan Menghukum Pembohong!

MANGSA berdarah yang dikatakan penyokong Pas kena tetak oleh sekumpulan orang di perimis pilihan raya Pas dibawah jagaan Dewan Pemuda terus menjadi misteri. Beberapa pemanggil telah memberi tahu bahawa kejadian berkenaan benar-benar berlaku. Ia bukan rekaan atau sesuatu gimik dan provokasi dilakukan oleh Pas untuk meraih simpati.

Sudah tentu para pemanggil itu merasa kurang senang dengan corak ulasan dan kupasan saya berhubung kejadian yang didakwa itu yang tidak memihak kepada Pas. Saya telah jelaskan saya mengulas mengikut profesionalisme saya sebagai penulis, pemerhati dan pengamat politik non partisan. Blog saya tidak untuk mengangkat sesiapa kecuali menegakkan keenaran dan keadilan.
Sumber-sumber berkenaan juga memberi tahu kenapa mangsa berkenaan tidak ditampilkan kerana ada sebab sebab tertentu yang disengajakan. Dan kesediaan Ketua Pengarah Operasi Pilihan Raya Pas, Sallahuddin Ayub tampil memberi keterangan kepada polis menjadi bukti kuat mengenai kejadian itu. Mereka menegaskan kalau ianya tidak benar masakan Sallehuddin tergamak berbohong!

"Saya yakin dengan kejadian itu, kalau tidak Sallehuddin tidak akan tampil untuk memberi keterangan," jelas seorang pemanggil yang beriya mempertahankan berita dan laporan mengenai mangsa yang malang itu seperti mana dilaporkan. Dia mengakui mengetahui cerita di sebalik ceritanya!

Nampaknya tragedi ini menjadi polimek dan bahan kempen disaat-saat akhir pilihan raya kecil N31 Bagan Pinang esok. Pas seperti menghadapi masalah berhuhung kejadian itu kerana tidak mengemukakan orang yang kena tetak ke khayalak umum menyebabkan ia menimbulkan kekeliruan dan menjadi tanda tanya.

Sebenarnya di sini, kalau Pas tidak menampilkan orang yang kena tetak itu itu bukan menjadi masalah. Mungkin atas muslahat (seperti mana dimaklumkan itu) orang berkenaan disembunyikan atas sebab-sebab tertentu. Apa yang penting di sini ialah menentukan apakah kejadian itu wujud atau tidak! Di sini jalan penyelesainnya mudah ia terletak ditangan pihak polis.

Dalam kes ini bukan soal siapa mereka itu tetapi siasatan penting menentukan jenayah itu. Dakwaan Pas itu meskipun tidak disertaikan bukti secara fizikal - menampilkan orang itu, tetapi polis masih boleh menyiasat berpandukan kepada beberapa insiden sebelum ini dan juga laporan dibuat oleh Pas. Polis seharusnya tidak perlu merasa ragu kepada laporan itu kerana ia terikat dengan akta dan peraturan yang boleh mendakwa orang yang membuat laporan palsu.

Pas dikatakan telah membuat beberapa laporan polis mendakwa mereka diganggu atau dipukul sampai bengkak. Ada samseng yang cuba menganggui perjalanan kempen mereka. Walaupun kes itu tidak sampai berjajaran dengan darah tetapi apa yang berlaku (berdasarkan laporan polis) menjelaskan ada kes yang berlaku.

Kenyataan salah seorang Exco pemuda Umno yang mengatakan mereka akan menghadapi Pas secara ala kamado juga tidak boleh diketepikan. Kenyataan itu sendiri sudah berniat jahat dan berunsur jenayah. Kita faham bila mana sebut komando pasukan berani mati yang akan melakukan apa sahaja.

Apakah samseng yang menyerang petugas Pas yang ditunjukkan berjejeran darah itu dari kumpulan komando yang dimaksukan itu?

Tanggunjawab polis dalam hal ini besar. Mereka bukan saja perlu meminta orang itu tampil ke hadapan dan menanti laporan polis oleh orang yang menjadi mangsa, tetapi polis kena menyiasat sendiri. Tidak perlu laporan polis untuk disiasat berhubung sesuatu kejadian jenayah. Menjadi kewajiban polis menjalankan tugasnya bila sudah diketahui ada kejadian jenayah berlaku. Gambar yang dipaparkan itu adalah bahan bukti untuk memuka kertas siasatan.

Bagi menghuraikan kekeliruan ini di sini saya mencadangkan kepada polis agar menyiasat sejauh mana benar atau tidak, wujud atau tidak mangsa yang dipukul dengan parah itu. Bukankah kejadian itu berlaku di perimis Pas. Polis boleh pergi ke permis Pas mencari kesan-kesan kejadian itu di sana. Salah satu ialah titisan darah. Dari darah itu polis dapat mengesahkan apakah ianya darah ayam, ikan, itik atau pun orang. Dalam hal ini polis jangan hanya abses kepada kes meliatkan orang ternama saja.

Ini tidak pelik bagi polis. Kita ada jabatan forensik untuk menyiasat perkara ini. Soal remeh, membuang masa tidak timbul. Apa yang penting ialah mengesahkan kejadian itu demi keadilan dan kebenaran. Dan sekiranya ada kesan dan bukti polis kena siasat. Pelaku kekejaman itu tidak boleh dibiarkan tanpa mengira anutan ideologi dan warna parti yang mereka diminati.

Kerja polis ialah menjamin dan menegakkan keadilan dan keamanan untuk semua.

Sehubungan itu, pihak polis nampak mereng dalam memberi kenyataan balas berhubung dakwaan Pas tentang mangsa kena pukul itu. Tetapi diam membisu terhadap dakwaan Ketua Putra Umno, Abdul Azeez Rahim yang dakwa dia kena pukul dan sampai terlantar di katil hospital dan dilaporkan dalam tv. (Dah keluarkah Azeez?)

Polis harus segerakan siasat dakwaan Azeez itu. Apakah benar beliau dipukul atau pun ia hanya satu sandiwara yang tidak cukup latihan sahaja yang mana akan diketawakan oleh budak-budak. Ini penting kerana dakwaan Azeez itu menjejaskan Pas. Azeez terang-terang mendakwa ia adalah perbuatan orang-orang Pas. Kalau Azeez gagal mengemukakan bukt,i Pas boleh saman Azeez atas alasan menjatuhkan reputasi Pas.

Mungkin masanya sudah suntuk untuk polis mencari jawaban kepada permasalahan ini. Tetapi ia memberi kesan yang besar. Sekiranya ada orang yang meragu dengan laporan, dakwaan Azeez jangan salahkan mereka kerana buktinya belum ada. Polis gagal menangkap orang memukul Azeez dan membawa ke muka pengadilan. Selagi belum ada bukti bermakan selama itulah Azeez berbohong.

Begitu juga kalau orang mempercayai bahawa penyokong Pas ditetak hingga sampai berdarah, jangan salahkan mereka. Mereka wajar mempercayai apa yang dijelaskan pemimpin mereka selagi polis tidak mengemukakan bukti bahawa kejadian itu adalah tidak benar. Bila ianya dilaporkan kepada polis maka menjadi hak dan kewajiban polis menanganinya.

Nampaknya Pas dan UBN masing-masing dibelit dengan dua kejadian misteri. Bagi pihak Umno mendakwa Pas menganggu dan memukul Azeez Rahim, manakala bagi Pas pula mengemukakan bukti bergambar petugas mereka ditetak hingga berlumuran darah.

Pengundi di Bagan Pinang tentu akan dapat membuat penilaian terhadap kedua-dua kejadian itu. Pengalaman lalu serta budaya samseng yang diamalkan oleh mana-mana pihak sejak 50 tahun lalu boleh dijadikan paduan tepat untuk melihat siapa yang baik dan siapa yang jahat.

Dalam hal ini, kenyataan dan ulasan pihak polis tanpa disertakan bukti tidak boleh dipakai atau dijadikan panduan dalam menerima atau menolak sesutau kejadian didakwa itu. Saya percaya pengundi Bagan Pinang sudah ada mindsetnya sendiri untuk memilih antara calon Pas dengan calon UBN. [wm.kl. 7:30 pm 10/10/09]

Darah Palsu Di Bagan Pinang?

Strategi Silap Atau Taktik Melampau

KEMPEN Pas pada pilihan raya kecil Bagan Pinang pada awalnya berjalan lendik, lancar dan bersih nampaknya berakhir dengan suasana tidak begitu menyenangkan ekoran dakwaan Pas kononnya penyokongnya ditetak oleh penyokong UBN, walhal berita itu hanya lebih kepada satu gimik dan provokasi saja.

Keadaan ini sudah pasti ia meninggalkan kesan tidak baik kepada keputusan pilihan raya berkenaan. Kejadian yang berlaku di hujung kempen ini juga turut menjejaskan nama baik Pas sebagai parti yang berlandaskan akhlak al-Quran. Apa yang berlaku sebenarnya, dan di manakah silapnya?

Diawal lagi ketika meneliti gambar dikatakan seorang penyokong Pas yang dimuatkan dalam portal berita Pas yang dikatakan ditetak ia menimbulkan pertanyaan kepada saya. Sebab itu saya tidak sedia copy gambar berkenaan dan dimasukkan dalam posting saya mengenai kejadian itu. Beberapa penjenguk blog saya mempertikaikan kenapa saya tidak selitkan gambar mangsa berkenaan, dan ada yang menuduh saya sebagai tidak peka!

Ada yang mengirimkan kepada saya gambar berkenaan yang dicopy daripada portal berita parti itu dan ada juga yang dikirimkan ke dalam FB saya. Kenapa saya tidak teruja dengan gambar itu ialah kerana ia agak melampau. Si mangsa juga nampaknya releks sahaja dan tidak menunjukkan keperitan atas apa yang berlaku. Entah kenapa perasaan saya kurang yakin dengan penampilan gambar berkenaan.

Sepatutnya jurugambar lebih bijak dan kreatif mengambil wajah mangsa berkenaan. Seharusnya di close-upkan di tempat luka. Biar nampak jahitan atau tulang. Lagi real. Dan sudah tentu dalam kes jenayah seperti itu memerlukan bukti laporan polis. Nama mangsa dan detik-detik kejadian serta saksi. Saksi juga tidak disertakan dalam laporan berkenaan.

Kalau setakat laporan rambang dan penuh dengan rekaan untuk menimbulkan kebencian dan kemarahan, ia bukan pemberitaan yang tepat. Bersalahan dengan etika kewartawanan dan Islam juga marah melakukan provokasi demikian. Sesuatu yang tidak benar adalah fitnah walaupun siapa yang melakukannya.

Apakah dalam konteks ini kalau fitnah itu dilakukan oleh sesama kita ianya boleh dihalalkan dan kalau fitnah dilakukan di pihak lain ia haram perlu dikutuk siang dan malam? Inilah sikap berat sebelah yang tidak baik diamalkan.

Ada peringatan dari cerdik pandai berbohong jangan lebih daripada dua kali. Kalau lebih daripada dua kali maka akan naaslah jawabnya!

Seperti dikatakan tadi laporan tanpa usul periksa atas kejadian yang menimpa mangsa tidak bernama itu menjejaskan Pas yang dianggap bersih selama ini. Barang kali benar juga kata orang sejak berkawan dengan PKR, Pas kini sudah pandai melakar strategi dan taktik di luar kerangka pemikiran dan landasan hukum diamalkan parti itu selama ini. Apa-apa yang diajar dan ditunjukkan oleh PKR dan DAP tidak seharusnya Pas mengambil semuanya. Ingat juga kemenangan yang mutlak itu kemenangan yang melalui kaedah yang dihalalkan! Pada saya biarlah kita kalah dengan kebenaran daripada menang dengan kebatilan!

Tidak dinafikan bahawa pilihan raya di negara ini berjalan dengan penuh kepincangan dan kekotoran. Bukan bermakna orang Pas tidak dipukul dan dibelasah sebelum ini, ada. Sudah beribu orang Pas dan penyokong Pas yang menjadi mangsa. Bukan saja setakat berlumuran darah, tetapi ada yang maut dan syahid semasa kempen. Ayah saya dan sepupu saya juga pernah menjadi mangsa pemuda tahan lasak Umno tahun 60an.

Bagaimana pun kejadian-kejadian dan kezaliman itu tidak boleh diambil sebagai lesen untuk mengatakan pihak musuh jahat. Kalau benar mereka jahat, kejam dan zalim buktikan apa yang mereka lakukan. Biarlah kejahatan itu mereka lakukan dan bukan kita mencipta dan membayangkan kejahatan mereka.

Kalau tidak ada bukti maka terjadilah seperti hari ini, ia menyusahkan dan menyebabkan Pas terjejas dengan apa yang berlaku. Kini orang mulai mempertikaikan mengenai wibawa Pas dengan apa yang berlaku itu. Gara-gara pembohongan itu juga menyebabkan kalau sesuatu kejadian seumpama itu benar-benar berlaku di masa akan datang ia boleh menjadikan orang keliru sama ada hendak percaya atau tidak.

Dalam hal ini saya tidak mahu menyalahkan Pas khasnya jentera pilihan raya kempen di Bagan Pinang seratus peratus. Mungkin apa yang berlaku itu diluar pengetahuan dan kawalan pengarah pilihan raya berkenaan dan mungkin juga ia helah pihak musuh. Tetapi yang terlepas pandang dan ghairah untuk membantu Pas, perlu dipersalahkan.

Dalam hal ini portal berita parti berkenaan serta blog yang pro Pas, individu penyokong Pas harus dipertanggungjawabkan sama kerana menyiarkan berita, menghantarkan SMS yang tidak sahih dan dari sumber yang tidak tepat. Malang bagi mereka yang melaporkan kejadian itu kerana tidak menggunakan ilmu serta bijak mencongakkan apa yang berlaku. Kerana kelalaian itu telah menimbulkan risiko, kini mereka perlu berikhtiar dan memikirkan bagaimana untuk mengatasi masalah yang timbul daripada laporan atau catatan yang tidak tepat dan melampau itu.

Portal berita parti berkenaan seharusnya profesional sesuai ianya dirujuk oleh pelbagai pihak di seluruh dunia. Sepatutnya ia tahu menilai mana yang baik mana yang buruk. Mana yang boleh menjejaskan Pas dan mana yang menguntungkan Pas. Di sini mereka yang mengendalikannya perlu daya kepengarangan yang tinggi, strategis dan bukan hanya tahu politizekan apa-apa saja yang dihumbankan kepadanya.

Di masa akan datang penyiaran berita bersifat jenayah ini harus lebih berhati-hati dan tidak pakai tangkap muat sembarangan. Ingat, pembaca hari ini bukan mudah diputar belit. Mereka akan mengkaji disetiap sudut. Apa yang penting kebenaran dan bukannya provokasi. Kebenaran yang akan kekal manakala provokasi akan terlerai juga dijalanan bila sampai masanya. Kebatilan akan padam.

Apa yang paling penting dan perlu dijaga ialah wibawa portal berita berkenaan dan blog-blog pro pembangkang lain juga. Kita tidak mahu satu masa nanti wibawa portal berita dan blog pro pembangkang tidak akan dipercayai oleh pembaca kerana terlalu memuatkan berita yang hampas. Bagi memastikan wibawa blog dan portal berita ini terjamin kualiti dan peranannya ia hendaklah diawasi bersama dan bentuk pemberitaan atau provokasi juga perlu dinilai semula.

Dalam masa tidak sampai 48 jam saya tidak fikir Pas dapat memperbaiki keadaan berhubung berita provokasi berlebihan itu. Kalau pun ada pendapat mengatakan kejadian itu didalangi oleh pihak musuh yang sengaja mahu memburukkan Pas, rasanya pembuktiannnya bukan mudah. Tuduhan itu tidak lebih daripada cuba menyembunyikan garam dalam laut sahaja.

Penjelasan Pengarah Pilihan Raya Bagan Pinang, Sallahuddin Ayub (foto atas) mengenai berlakunya beberapa kesalahan termasuk orang Pas diganggu tidak mudah untuk menimbuskan berita provokasi mengenai 'mangsa Pas' yang teruk dibelasah itu. Kecualilah Sallahuddin dapat mengesahkan mangsa yang berjujusan dengan darah itu bukan ahli Pas dan penyokong Pas. Bahawa dia hanya sengaja menahan mukanya dengan sebalan darah dipotretkan untuk dijadikan bahan kempen bagi memburukkan Pas.

Apakah Sallahhdin boleh jelaskan hal ini dalam masa 48 jam? Bagi Sallahuddin sendiri kena ingat kegagalan atau kelemahan jentera pilihan raya Bagan Pinang dipertanggungjawab ke atas bahunya. Pilihan raya itu adalah ujian pertama baginya selaku Naib Presiden Pas. Kalau Pas kalah tidak mengapa ia tidak menjejaskan Sallahuddin, tetapi kesilapan yang berlaku di sepanjang pilihan raya itu boleh menjejaskan kredibilitinya sebagai seorang pemimpin! [wm.kl. 10:00 am 10/10/09]

Friday, October 9, 2009

Melangkau Bagan Pinang

Rumah Terbuka Syed Abdul Rahman Undang Najib dan Rosmah

KONSUL Kehormat Mongolia di Malaysia, Syed Abdul Rahman Alhabsi (SAR) akan mengadakan rumah terbuka hari raya Ahad ini di padang bola sepak Seri Malaysia, Cheras. Rumah terbuka itu mungkin perkara biasa dan menjadi amalan dan budaya Melayu.

Tetapi apabila rumah terbuka itu bakal diadakan secara grand termasuk memanggil Perdana Menteri, Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor menjadi tetamu kehormat ia sudah menjadi perkara agak luar biasa.

Apa lagi bila dilihat kepada aturcara majlis rumah teruka itu ia persis program yang diaturkan oleh sebuah kerajaan yang lengkap dan begitu sistemetik sekali. Apakah program ini mempunyai motif dan tujuan tertentu?

Antara aturcara yang tertera dalam kad jemputan majlis berkenaan lengkap dengan majlis sambutan serta persembahan kebudayaan tiga kaum, silat (Melayu), tarian naga (Cina) dan tarian India. Sempena dengan kehadiran Perdana Menteri itu juga penyampaian bantuan akan diberikan kepada mereka yang miskin.

Persoalan kini apakah Najib akan hadir? Umum tahu Syed Abdul Rahman Alhabsi juga seorang ahli Umno dan berstatus hanya sebagai ketua cawangan dalam bahagian Cheras, Selangor. Ralat: Bukan bahagian Cheras tetapi Bandar Tun Razak - MSO. Apakah tujuan rumah terbuka itu bagi menunjukkan beliau baik dan intim dengan Najib dan dia perlu mempamirkan demikian kerana mempunyai agenda politiknya di Cheras?

Buat masa ini Umno bahagian Cheras tidak ada ketua. Ketuanya, Mokhtar Samad digantung kerana didapat bersalah dengan politik wang. Keadaan itu menyebabkan orang akan membuat berbagai tanggapan di sebalik majlis rumah terbuka Syed Abdul Rahman itu.

Bukan itu saja, orang juga boleh melebarkan tanggapan negatif dengan beranggapan antara keduanya Syed Abdul Rahman dan Najib mungkin ada perkiraan lain. Sebagai Konsul Kehormat Mongolia di Malaysia, Syed Abdul Rahman mungkin banyak mengetahui hal ehwal Mongolia.

Pengetahun itu sedikit sebanyak boleh digunapakai Najib untuk keperluan negara bagi meredakan hubungan Malaysia - Mongolia ekoran kes pembunuhan Altantuya Sharibbu. Pembunuhan kejam yang menimpa Altantuya menyebakan hubungan diplomatik Malaysia - Mongolia terjejas.

Apabila Najib dan Rosmah menghadiri rumah teruka berkenaan ianya tidak dapat lari dari timbul persepsi demikian. Bahawaya Najib, Rosmah dan Syed Abdul Rahman 'berkerjasama' dalam mengatasi isu Altantuya berkenaan. Begitukah?

Tengoklah apakah Najib dan Rosmah akan hadir atau tidak ke rumah terbuka Syed Abdul Rahman Alhabsi itu. Sebaik-baiknya kalau untuk mengelakkan mereka berdua dituduh ada perkiraan demi kepentingan bersama, Najib dan Rosmah perlu menghindarkan diri dari menghadiri rumah terbuka berkenaan. [wm.kl. 11:20 am 09/10/09]