Thursday, June 3, 2010

Cocokan Kesedaran

Kembiri Pemuda Umno Menyebabkan Khairy Dialpakan Najib

PEMBETULAN kecil kabinet yang dibuat Najib Razak kelmarin sedikit sebanyak menjadi pertuturan orang ramai. Ia tidak terkecuali dari kalangan Umno yang tidak terlibat dengan pembetulan itu. Paling ketara dari kalangan Pemuda Umno. Pemuda Umno tampaknya sedikit kecewa dengan pembetulan itu kerana ketua mereka yang digembar gemburkan akan dibawa masuk ke dalam kabinet tidak menjadi kenyataan.

Beberapa ketua pemuda negeri telah menyuarakan, rasa sedih dan terkilan mereka atas apa yang berlaku itu. Ada yang menganggap tidak patut ketua mereka dibiarkan terkontang kanting di luar kabinet dan melalak tanpa ada kuasa dalam kerajaan. Ada juga yang menerima realiti itu sambil berharap Perdana Menteri tidak melupai jasa-jasa dan peranan pemuda. Ada juga yang melahirkan kebimbangan tindakan itu menyebabkan sokongan orang muda kepada Umno akan berkurangan kerana mereka dilihat tidak diberikan peluang untuk mentadbir negara di peringkat atas apabila Khairy tidak diberi ruang.

Dalam hal ini yang paling terasa dan 'makan jiwa' ialah Khairy Jamaluddin. Betapa tidak dia sudah pun tamat menjalani latihan ketenteraan - tentera wataniah sebagai persiapan nak jadi menteri. Budak-budaknya juga sudah mula berangan untuk mendapat kontrak itu dan kontrak ini menerusi kementerian yang bakal diberikan kepada Khairy. Tiba-tiba namanya tidak terpilih. Sungguh menyebakkan jiwa. Mungkin Khairy masih boleh tersenyum dan ketawa dengan kemalangan itu tetapi senyuman dan ketawa itu tentulah pahit menjadam.

Di sini saya ingin khabarkan kepada pemuda Umno atas apa yang berlaku itu. Elok pemuda Umno menyedari akan kekuatan diri mereka sendiri. Melakukan mahasabah luar dan dalam. Apabila Najib tidak mempedulikan nasib kelompok mereka ini bermakna Najib sudah merasakan pemuda tidak penting lagi. Pemuda sudah tidak dianggap pemuda tiang yang memperkukuh Umno. Dalam erti kata lain pemuda bukan lagi sayap utama parti.

Najib tidak lagi meletakkan tonggak kekuatannya kepada pemuda. Pemuda bukan lagi menjadi hulubalang kepada Umno untuk memperjuangkan nasib ahli dan penyokongnya. Mungkin bagi Najib keadaan pemuda sekadar kerana ianya untuk memenuhi perlembagaan saja.

Kenapa ini terjadi kerana kondisi (kegahan) pemuda tidak seperti di zaman-zaman tahun 60-an, 70-an dan 80-an dulu. Di mana masa itu peranan pemuda cukup penting. Suara pemuda adalah suara yang boleh memberi kejutan eletrik kepada Umno seluruhnya. Bila pemuda bersuara semua pihak akan berpaling ke arahnya. Pemuda menjadi badan pendesak. Hari ini kalaupun pemuda menjerit dan melaung orang tidak perasaan ataupun kalau perasaan orang menganggap suara anjing yang menyalak bukit kecil saja.

Pemuda waktu itu pemuda yang mengkritik kepincangan kerjaaan dan berani menegur pemimpinnya. Pemuda yang berlawan dan bukan seperti hari ini pemuda yang mengalah dan menghormati pemimpin sehinggakan telor rapat ke bumi ekor bergelumang dengan tahi. Jadi dengan sikap dan perangai pemuda seperti ini ia tidak menggerunkan sesiapa, termasuk perdana menteri.

Sejarah dilalui oleh bekas-bekas ketua pemuda Umno, seperti Senu Abdul Rahman, Jaffar Albar, Harun Idris, Anwar Ibrahim boleh dilihat dan dibelek. Bagaimana suara mereka menjadi besar dan mendapat perhatian Umno induk. Bagaimana mereka berperanan menjadi penegur kerajaan dan mengawal salah laku pemimpin. Mereka obses kepada nasib dan masa depan Melayu. Pemuda menjaga pagar kepada perjuangan bangsa.

Sebenarnya kerendahan nada pemuda ini mulai merudum apabila ia dipegang oleh Najib Razak sekitar awal tahun 80-an. Pemuda dimasanya menjadi pemuda yang elit, bangsawan dan tidak berani berkokok. Pemuda bukan lagi menjadi badan pendesak dan pembela Melayu. Pemuda di zamanya pemuda yang berhiburan dan melancung ke luar negeri dan berkhemah kerja saja. Kehebatan dan kewajaan pemuda sebelum ini dileburkan oleh Najib.

Pemuda zaman Najib pemuda segak dan suka bergaya. Pemuda yang berhora hore macam sebuah kelab nyayian. Masa inilah keteguhan dan kehebatan pemuda yang dibina sebelum ini merudum. Pemuda Umno di era Najib pemuda yang berbaris dan menaikkan bendera pada perhimpunan agung Umno saja.

Jadi kalau pemuda Umno mahu dilihat diri mereka gah, dan mendapat perhatian induknya, maka pemuda Umno kena ubah diri mereka. Kena kembali menjadi badan pendesak semula. Kena patahkan tiang bendera dan tidak tabik sesuka hati. Slogan Khairy yang mahukan pemuda menjadi rakan atau pemangkin Umno tidak begitu menampakkan kehebatannya. Pemuda harus bertaring dan bukan bertopeng.

Saya yakin kalau pemuda Umno mengubah sikap dan pendekatannya pergerakan itu akan dilihat sebagai hebat semula. Contoh terdekat apa yang Khairy dan pemuda Umno dapat teladani apa yang dilakukan Naib Ketua Pemuda MIC, V Mugilan. Tengok apa yang beliau lakukan kepada presidennya, Samy Vellu. Tindakan Mugilan melancarkan GAS - Gerakan Anti Samy menyebabkan namanya sekelip mata saja terkenal dan Samy pula kehilangan bantal waktu malam. Orang dapat melihat bahawa pemuda dalam MIC ada kuasa.

Soalnya beranikah Khairy hendak melakukan apa-apa seperti Mugilan? Tentu tidak berani, bukan! Walhal banyak isu yang boleh diketengahkan pemuda untuk meletakkan pergerakan itu berharga mahal dan hebat. Pemuda Umno tidak saja perlu peka kepada masalah sosial, mat rempet, minah karan tetapi mereka juga perlu prihatin kepada masalah skandal pemimpin, penyamunan wang negara dan sebagainya. Pemuda Umno jangan saja nampak kepincangan pembangkang, khasnya Anwar tetapi kena sorotnya juga kelemahan Najib. Sesekali pemuda Umno harus menegur sikap lebih sudu dari kuah yang diamalkan Rosmah Mansor.

Sayang Khairy dan pemuda tidak nampak itu semua. Mereka tidak berani.. Makanya selagi Khairy hanya menjadi pandir kepada Najib, menjadi pemuji Najib ke sana ke sini, maka selama itulah Najib tidak merasakan kehadiran pemuda boleh mengugatnya sehingga beliau terpaksa memberi tempat sewajar kepada sang ketuanya.

Jadi adalah 'tersaul dek akal' kalau Najib tidak memperdulikan pemuda dan tidak melantik Khairy ke dalam kabinet kerana pemuda di era Khairy ini hanya pemuda plastik atau pemuda harimau kertas yang boleh dijadikan abu.

Sebenarnya pemuda Umno hari ini tidak ada maruah dan rasa sedar diri. Mungkin orang beranggapan Khairy adalah budak yang menjadi tukang lalak ke arah Anwar Ibrahim saja. Tengok diawal kemenangannya lagi dia sudah dipersendakan oleh Dr Mahathir dengan tidak mengikhtiraf kemenangan Khairy kerana beliau (Khairy) dikatakan melakukan rasuah dalam pertandingan merebut jawatan pemuda. Kritikan Dr Mahathir itulah yang menjahanamkan maruah Khairy sebagai ketua pemuda. Dan tanpa banyak orang sedar bahawa pemuda Umno hari ini berketuakan seorang perasuah disebabkan dakwaan Mahathir itu.

Serangan Mahathir itu memalukan Khairy dan menjatuhkan air mukanya dan pemuda Umno seluruhnya. Tetapi apa boleh buat dakwaan Mahathir itu tidak ada tindak balas dan protes dari pemuda Umno? Tidak. Pemuda begitu menghormati Mahathir sehinggakan rasa hormat yang lebih itu memakan diri pergerakan itu khasnya membunuh wibawa ketua mereka sendiri.

Kembirian ini dilihat oleh Najib. Maka Najib merasakan tidak perlu dia melantik Khairy ke dalam jemaah Kabinet. Dua alasan untuk Najib berbuat begitu, pertama, kerana Khairy dilihat pengecut apabila tidak membela dirinya, kedua kerana dia tidak mendapat sokongan sepenuhnya dari pemuda.

Merenung nasib Khairy dalam politik ini saya nampak ia tidak ubah persis apa yang dilalui oleh Zahid Hamidi dulu. Zahid walaupun menang ketua pemuda tetapi tidak dilantik menjadi menteri oleh Mahathir Mohamad. Memalukan Zahid, timbalannya Hishmuddin diangkat menjadi timbalan menteri. Walaupun keupayaan Hishmuddin Hussein jauh lebih rendah dari Zahid, tetapi sebaik Hishmuddin jadi ketua pemuda, Dr Mahathir lantik Hishamuddin jadi menteri. Zahid baru menjadi timbalan menteri setelah Abdullah Badawi jadi Perdana Menteri.

Kalau sunah yang dilalui Zahid itu akan menimpa Khairy ini bermakna Khairy akan menjadi timbalan menteri apabila Najib tidak lagi menjadi perdana menteri. Sebaliknya, apakah setelah Najib tidak menjadi perdana menteri, Khairy masih lagi menjadi ketua pemuda?

Untuk menyelamatkan diri dalam politik, elok kalau Khairy menimbang apa yang pernah saya ucapkan kepadanya di suatu hari ketika berjumpa di rumah Nasharudin Mat Isa. Rasanya plan politik yang saya cadangkan itu boleh membina semula imejnya sebagai seorang lelaki yang bijaksana, seorang lelaki yang jantan, dan seorang lelaki yang bijak berpolitik. [wm.kl. 9:20 am 03/06/10]

Wednesday, June 2, 2010

Susupan Petang

Bila Pengarah Jais dan Bekas Mufti Saling Ludah Meludah

AGAK cemar untuk saya menulis dan mengupas isu ini kerana ia melibatkan air liur. Tetapi bila mengenangkan petua diberikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mashitah Ibrahim agar kita mengamalkan meminum air liur sebelum berus gigi waktu pagi, maka saya merasakan isu ini tidaklah menjijikkan. Jadi saya ringankan juga tangan untuk mengupas isu, air liur ini meskipun ianya remeh.

Isu ini remeh sebenarnya. Iya la, halnya air liur. Bekas Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin mendakwa berlaku upacara menelan air liur di sebuah masjid di Selangor. Ekoran dakwaan beliau itu menyebabkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tidak dapat tidur terpaksa turun menyiasat dakwaan berkenaan.

Penyiasatan Jias itu menunjukkan isu telan air liur ini besar dan penting di Selangor. Ia mungkin lebih besar dari isu 'togok' arak ataupun todi. Kenapa saya kata begitu, kerana isu telan todi (tuak masam) dan arak tidaklah sampai menjadi perdebatan dan polemik seperti isu telan air liur itu.

Begitu juga di sebelah Asri kenapa beliau tidak mendakwa ada memainkan isu ada orang Islam telan arak di negeri Selangor. Mungkin isu arak sudah menjadi kecil? Arak ada kilang di Selangor manakala air liur kilang dalam mulut saja. Kilang dalam mulut lebih penting disuarakan dari kilang atas tanah. Sebab dan alasan bagi Asri kenapa beliau mendedahkan kejadian itu kerana ada hubung kaitnya dengan sikap taksub umat Islam terhadap guru hingga sanggup menelan air liur. Bagi beliau ia perbuatan yang biadah, menjijikkan dan mungkin menyebabkan akidah boleh tergelecah.

Sikap taksub kepada guru tidak disenangi Asri kerana ianya bidaah! Mungkin begitu. Tetapi bagaimana pula kalau suatu hati nanti ada orang taksub kepadanya, misalnya turut meminta untuk minum bekasnya? Apakah beliau akan larang?

Saya rasa isu telah air liur seperti mana dakwa Asri ini tidak perlu diperbesarkan. Asri tidak payah menulis dan Jias pula tidak perlu menyiasatnya. Adalah lebih baik kalau mereka berdua menukar isu itu kepada isu lain yang lebih besar dan memberi manfaat dan maslahat kepada seluruh umat Islam negara ini. Carilah isu-isu bersifat global yang boleh mendatangkan kemakmuran dan kemajuan kepada Islam.

Air liur, ah... meloyakkan. Malu kita kepada penganut agama lain bila menimbulkan isu ini. Orang akan menganggap umat Islam Malaysia ini sudah tidak ada isu yang lebih besar lagi selain bermain dengan air liur. Dalam perhatian saya isu air liur ini ditimbulkan semuanya perpunca daripada pendakwaan Jais terhadap Asri yang berceramah di Selangor tanpa tauliah. Kalaulah Jais boleh bertindak kerana seseorang berceramah tanpa tauliah, kenapa orang telan air liur guru tidak boleh disiasat. Jadi Asri menulis itu sengaja mahu memerangkap dan mempermainkan Jais. Bila Jais bingkas terhadapnya bermakna perangkap Asri terkena sudah.

Isu ceramah tanpa tauliah ini rasanya lebih afdal untuk diperdebatkan, jika dibandingkan dengan isu air liur. Tetapi kerana isu air liur ini ada kena mengena dengan isu pendakwaan tanpa tauliah maka ia turut sama dikaitkan walaupun isu ini meloyakan.

Kepada Asri baik beliau mencari 'kegiatan' lain yang lebih besar bagi menunjukkan wujud ketaksuban kepada guru di kalangan umat Islam di negara ini khususnya Selangor. Mungkin masih ada lagi perbuatan dan pengorbanan lain yang berakibat daripada taksub kepada guru. Misalnya kes membabitkan pembunuhan ke atas saudara mara sendiri mugkin ada kena mengena dengan rasa taksub. Begitu juga kes-kes melibatkan sex antara guru dengan murid kerana taksub lebih menarik untuk didedah dan dipolemikkan.

Begitu juga tanggapan orang sudah mati sebagai ghaib dan akan hidup semula, rasanya lebih sesuai untuk bahaskan dan daripada membincangkan kejadian telan air liur. Kepada Jais pula sepatunya tidak mempedulikan dakwaan Asri itu. Biarlah kalau ada kejadian itu, telan air liur kerana ia tidak memudaratkan umat Islam. Banyak mana sangat orang lalu untuk telan air liur gurunya?

Hari ini gara-gara isu air liur ini telah berlaku ludah meludah anatar Jais dengan Asri. Semalam pengarah Jais Muhammad Khusrin Manawi menjelaskan dakwaan Asri itu tidak betul. Katanya apa yang berlaku hanya minum air zam-zam dalam satu cawan bergilir-gilir saja. Asri pula hari ini telah membetulkan istilah yang digunakan, katanya bukan telan air liur tetapi sebagai 'bekas mulut' saja.

Jadi kalau Asri sudah menukar istilah dari telan kepada bekas mulut untuk apa Jais nak panggil saksi lain lagi bagi menyiasaat apa yang dikatakan Asri itu. Bekas mulut tidaklah seteruk menelan air liur. Eloklah isu air liur yang tidak haram ini dihentikan. Baik Asri dan Jais carilah isu lain yang lebih besar dan 'aula' untuk dibahaskan, kerana apa juga anda perkatakan akan menjadi perhatian umum. Jangan gara-gara isu air liur ini Asri dan Jais akan dirakam oleh sejarah bahawa pernah berlaku perdebatan air liur antara bekas Mufti dengan sebuah institusi agama di Selangor. Memalukan! [wm.kl. 6:50 pm 02/06/10]

Tuesday, June 1, 2010

Saya Juga Manusia

Perhatian

SAYA tidak pernah memaksa sesiapa juga membaca blog saya baik secara langsung atau tidak langsung. Apa yang saya catat adalah atas sukarela saya dan tidak mengenakan apa-apa bayaran.

Sesiapa saja boleh membacanya. Tetapi ada kalanya saya kecewa juga dengan sikap penjenguk yang langsung tidak berhati perut dan tidak pernah cuba menghargai apa yang mereka perolehi dari blog ini secara gratis. Saya boleh menerima kritikan dan teguran untuk meningkat mutu blog ini dan menjadikan ianya sumber berguna untuk semua, tetapi tidak seperti mana penjenguk yang bernama Shahrudin ini.

Tetapi kalau ada penjenguk seperti orang bernama Sharuddin ini, yang mana tidak ada identiti tetapi cara kritikan boleh menyebabkan saya terkilan, ia sungguh mendukacitakan. Apa yang diungkapkan masalah kesalahan ejaan dalam blog saya. Penjenguk lain boleh membaca ulasannya dan nilai sendiri.

Saya ingatkan kepada semua penjenguk, janganlah menyusahkan diri anda dengan membaca blog saya kalau ia boleh menganggu jiwa dan otak anda. Saya tidak akan merela dan mengizinkannya anda rosak kerana saya. Sila ke blog lain yang ejaan lebih teratur, tersusun dan gaya bahasanya indah. Saya tidak mahu berdosa dengan menjadikan anda menyampah kepada sesuatu perkara yang boleh anda elakkan.

Saya perturunkan komen orang bernama Shahrudin yang tidak ada identiti ini:


Shaharudin has left a new comment on your post "Ulasan Petang":

Tuan MSO, saya kerap mengunjungi laman web ini dan boleh dikatakan saya juga salah seorang peminat tulisan dan buah fikiran Tuan. Cuma apa yang saya perhatikan, setiap topik ada kesalahan ejaan atau typo. Kadang-kadang saya menyampah juga bila terpaksa baca typo ni...makin lama makin banyak pula typo Tuan..harap-harap Tuan MSO belum nyanyuk.

[wm.kl.11:11 pm 01/06/10]

Ulasan Petang

Pembetulan Kebinet, Mengecewakan Khairy dan Senator Boy

ROMBAKAN (sebenarnya pembetulan bagi saya) kabinet dilakukan Najib Razak lewat petang ini sekali lagi menyaksikan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin terus kempunan untuk menjadi menteri bila menantu bekas PM itu tidak disenaraikan sebagai jemaah menteri.

Begitu juga gembar-gembur mengatakan orang bertanggunjawab meluluskan judi perlawanan bola sepak piala dunia Awang Adek Hussein kononnya akan dilantik menjadi menteri penuh, juga tidak kesampaian. Desas desus mengatakan Ahmad Shabery Chik akan digugurkan juga tidak menjadi kenyataan.

Sebaliknya apa yang berlaku Najib hanya membetulkan kabinetnya dengan menggugurkan Ong Tee Keat sebagai Menteri Pengangkutan dengan memasukkan Kong Sho Ha untuk mengambil alih tenpat bekas presiden MCA yang kalah dalam pertandingan merebut jawatan itu dua bulan lalu.

Kedudukan Cho Ha sebagai diganti oleh Chor Chee Heung yang sebelum ini adalah Timbalan Menteri Kewangan yang cuba ditonjolkan sebagai orang bertanggungjawab dalam meluluskan judi bola sepak. Saya tidak fikir pertukaran Chee Heung itu kerana hukuman ke atasnya yang ditonjolkan sebagai insan bertanggungjawab meluluskan lesen judi itu.

Dalam pembetulan kabinet itu juga naib presiden kanan PPP, Senator Maglin Dennis D'Cruz dilantik menjadi Timbalan Menteri Penerangan Komunakasi dan Kebudayaan. Perlantikan Denis D Cruz ini dilihat sebagai persiapan sekiranya M Mugiah yang kini bermasalah di dalam PPP terlucut jawatannya sebagai Presiden yang kini berebut dengan M Kayveas.

Kemasukan Maglin itu sebagai mengganti Heng Seai Kie.

Calon MIC untuk pilihan raya kecil Hulu Selangor yang ditolak oleh Umno, G Palanivel pula dilantik sebnagai Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komuniti. Perlantikan Palanivel ini dilihat sebagai pemenuhi janji - kompromi antara MIC dengan Umno semasa pertelingkahan untuk meletakkan calon dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor. Kesan dari 'perbalahan' Umno dengan MIC telah memberi keuntungan kepada MIC apabila selain dari mendapat kerusi Hulu Selangor MIC juga dapat satu lagi kerusi Timban Menteri.

Seorang wakil dari SUPP Richard Riot pula dilantik menjadi timbalan menteri luar negeri. Perlantikan Riot sebagai mengganti tenpat dikosongkan mendiang Robert Yew yang meninggal dunia baru-baru ini.

Anak Presiden MCA, Chua Tee Young pula dilantik menjadi Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani. Perlantikan ini dilihat sebagai latihan untuk anak Chua Soi Lek itu belajar politik untuk bergerak lebih jauh.

Dua lagi Naib presiden MCA yang menang pada pemilihan MCA baru-baru ini juga diberi jawatan baru - mereka ialah Senator Datuk Donald Lim Siang Chai yang dinamakan sebagai Timbalan Menteri Kewangan, dan Senator Gan Ping Shou sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

Pembetulan kabinet hari dilihat sebagai memenuhi kehendak parti komponen BN sahaja dan ia tidak melibatkan menteri-menteri Umno. Apakah tiada perubahan anggota menteri dan timbalan menteri melibatkan Umno itu menunjukkan prestasi mereka semuanya baik dan memuaskan.

Mungkin apa yang paling mengejutkan dalam pembetulan Kabinet ini apabila tidak disenaraikan Senator Boy sebagai anggota kabinet. Sebelum ini budak-budak senator boy telah menjaja ke seluruh negara hingga ke Bachok dan Gua Musang kononnya senator boy akan dilantik menjadi anggota kabinet.

Beliau kononnya akan di letak di Jabatan Perdana Menteri yang ditugaskan khas untuk menjaga kaum belia dalam negara ini . Kesimpulannya pembetulan kabinet dilakukan Najib hari ini benar-benar mengecewakan penyokong Khairy Jamaluddin dan senator boy (Ezam Mohammad Noor).

Kedudukan ini menepati apa yang saya fikirkan sebelum ini bahawa Najib tidak akan melakukan rombakan Kabinet melibatkan anggota menteri Umno kerana ekoran kedudukan parti itu kecil buat masa ini. Situasi ini menyebabkan Najib tidak mempunyai banyak pilihan melainkan mengekalkan menteri, timbalan menteri yang sedia ada. Beliau juga tidak akan menukar ganti menteri dan timbalan menteri Umno bagi mengelakkan timbul suasana tidak senang kepadanya. Sesungguhnya Najib sangat takut kepada kecelaruan. [wm.kl. 6:30 pm 01/06/10]

Susupan Pagi

Wabak Abdullah Badawi Masih Membelenggu Malaysia

SAYA bersetuju dengan kenyataan Exco Kelantan, Husam Musa katanya kerajaan Malaysia berkerja mengikut jam. Mereka akan bekerja dalam tempoh berkerja dan tidak akan mempedulikan apa yang berlaku selepas itu. Mungkin sindrom tidur yang ditinggal bekas PM, Abdullah Badawi masih membelenggu kepimpinan negara.

Mungkin kerana menyedari hakikat attitude orang Melayu inilah maka Dr Mahathir Mohamad sebaik jadi PM telah mempercepat - menyamakan waktu antara Semanjung dengan Sabah dan Sarawak. Hasil penyamaan itu menyebabkan rakyat Malaysia tersedar awal sejam dan terlewat tidur selama sejam.

Bahanannya pula bila kurang tidur banyak keganjilan berlaku semasa Mahathir kerana kekurangan tidur itu menyebabkan beliau banyak berfikir termasuk melakukan keganjilan kepada negara.

Husam menyinggung hal itu apabila dalam semakannya menerusi laman web rasmi kerajaan, Bernama, sehingga jam 9:00 malam tidak ada apa-apa kenyataan yang dikeluarkan oleh mana-mana pemimpin negara ini yang mengutuk kejadian serangan ke atas misi kemanusiaan ke Gaza, kelamrin.

Kata Husam, Menteri Luar, Anifah Aman tidur awal. Entah-entah Anifah Aman tidak pun maklum dengan kejadian itu. Beginilah kalau lantik menteri kerana ingin menyelamatkan keadaan dan bukan berdasarkan latar belakang dan semangat seseorang. Perhatian mereka terhadap kes-kes begitu akan menjadi kurang.

Mungkin Husam juga sebagai orang politik turut tertidur selepas itu. Cuma bezanya lewat sedikit daripada pemimpin Umno kerana ingin mengusik atau mahu mendengar dengkur pemimpin Umno yang sedang dilamun mimpi Apco itu.

Jam 2:00 pagi seorang bloger dan penulis seperti saya, masih belum tidur. Dalam mata berbinar dan silau terus membuka dari satu laman web ke satu laman web untuk mendapat berita terkini dengan kejadian itu. Buntu...dalam kebuntuan itu saya menghubungi bekas ahli Parlimen Jeli, Apandi Mohamad yang diketahui berada di Turki minggu lepas.

Menurut Apandi beliau juga tidak mengetahui nasib rombongan Malaysia itu. Segala maklumat dengan rakan menyertai misi itu terputus lebih 24 jam lalu. Beliau sudah pun berlepas dari Turki dan ketika bercakap dengan saya beliau sudah berada di Dubai untuk terbang pulang. Mungkin lewat pagi ini Apandi akan sampai ke tanah air.

Saya juga mencari apa yang Husam cari itu, sejauh mana keperihatinan kerajaan Malaysia. Sehinggalah pagi ini baru saya mendengar di radio Klasik yang Najib Razak ada membuat kenyataan kesal dan mengutuk kejadian itu. Ianya disiarkan menerusi siaran berita. Anih radio Klasik yang menjadi radio nasional tidak menghebahkan kejadian itu. Sekali lagi sikap dingin dan tidak serius radio ini menggambarkan semangat dan sikap menterinya.

Itulah kita, dalam nasib manusia lain ditindas dan dibunuh kita masih asyik mendengar lagu-lagu klasik, dondang sayang, pop yeh yeh dan sebagainya. Teringin saya menyaksikan apakah lagu-lagu ini akan terus dimainkan dicorong radio kalau musibah secelaka itu menimpa kita.

Sekali lagi kalau melantik menteri kerana bakat dan kesediaannya mengampu Perdana Menteri maka begitulah jadinya. Peduli apa dengan kebajingan Yahudi. Dia tidak akan peka kepada masalah-masalah lain yang lebih besar dan memerlukan pemerhatiannya. Kalau menteri menjaga radio ada semangat kemanusiaan dan agama tinggi, pasti beliau akan menelefon Pengarahnya agar sering-sering menghebahkan apa yang berlaku dengan disulami kecaman halus ke atas Zionis. Pengarah Penyiaran juga nampaknya dua kali dua puluh lima saja dengan menteri.

Benar kata Husam kita tidak sensitif atas apa yang berlaku. Kesakitan rakyat Palestin di Gaza tidak sampai ke sini. Kita hanya merasa dengan mata - menerusi tontonan filem tetapi tidak merasa dengan hati. Kalau kita merasa dengan hati kita akan segera ke sana. Kita bukan saja menangis tetapi terus berlari untuk membela mereka yang tertindas.

Kalau Malaysia merasa kesakitan dan kepedihan itu mereka perlu bertindak segera. Seperti mana kata Husam, kerajaan Malaysia harus bangkit seperti Sweden, Sepanyol, Denmark,dan Greece yang memanggil duta Israel. Dan tindakan paling bermakna dalam menyatakan simpati dan kebencian kita kepada Israel ialah membatalkan segera kontrak dengan Apco syarikat yang ada kaitan dengan Israel itu. Sinis Husam lebib baik wang untuk membayar kontrak bernilai REM77 juta itu dihantar ke Palestin.

Apakah kerajaan 1 Malaysia pimpinan Najib berani berbuat begitu?

Sementara itu satu SMS saya terima memaklumkan satu himpunan kemanusiaan dan solat hajat mendoakan kesejahteraan Palestin akan diadakan pada 3 Jun jam 6:30 petang bertempat di Stadium Melawati Shah Alam. Orang ramai dijemut hadir beramai-ramai sebagai simbolik sokongan mempertahankan Palestin dan mengutuk Israel. [wm.kl. 11:00 am 01/06/10]

Iktibar Dari Sebuah Kekejaman

Kutuk Israel Kutuk Juga Diri Sendiri

APABILA cis Israel menyerang konvoi misi kemanusiaan yang berlayar ke Gaza, kita semua mengutuk Israel. Kita tidak boleh menerima sikap kejam dan biadab kaum yang telah dikutuk Allah s.w.t. itu. Semua pihak - parti politik, NGO dan individu mengutuk kejadian itu. Serentak itu macam-macam aksi dan tindakan diperlukan bagi menzahirkan kemurkaan kita kepada Israel.

[Sehingga saat ini seramai 19 terkorban (syahid) dan berpuluh pula cedera angkara Israel yang menyerang misi kemanusiaan anjuran Lifeline 4 Gaza (LL4G). Dalam serangan jahat itu nasib 12 orang rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan itu masih belum diketahui. Kita mendoakan mereka diselamatkan Allah]

Ekoran kejadian itu beberapa NGO dan parti siasah yang didominasi oleh orang Melayu telah mengadakan tunjuk perasaan dan menyerahkan memorandum bantahan kepada Amerika Syarikat yang dianggap menjadi bapa tiri kepada Israel. Semuanya berarak dan menjerit-jerit dipintu pagar kedutaan Amerika di Jalan Tun Razak. Setakat itu sajalah yang termampu dilakukan, untuk masuk tidak mungkin kerana kedutaan itu dikawal dengan berlapis 'kawat' duri.

Selain itu ada yang meminta agar parlimen Malaysia mengadakan sidang khas. Tujuannya ialah untuk membuat resolusi mengutuk kejadian di lautan Mediterranen itu. Ada juga yang hanya melafazkan rasa kesal dan apa yang mampu dilakukan melihat terkulat-kulat dari jauh.

Kerajaan negara ini menerusi Perdana Menteri juga membuat kenyataan akan menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya membincang tindakan biadap Israel itu dalam masa terdekat. Najib Razak baru sekejap tadi terdengar di radio mengutuk sekeras-kerasnya kejadian itu.

Dunai Islam seluruh juga turut sama mengutuk apa yang terjadi itu. Negara yang berani, meminta PBB mengadakan persidangan meminta dan desak Israel supaya membebaskan berpuluh sukarelawan yang ditahan serta mendesak Israel membubarkan kepuangan ke atas Gaza. Malangnya negara berkuasa besar China, Jepun, Russia, Peranchis, Jerman dan Amerika Syarikat sendiri masih mendiamkan diri.

Begitu juga dengan negara teluk yang dinaungi Yahudi, Arab Saudia, Iraq, Kuwait, UEA juga mendiamkan diri tidak berani bersuara. Iraq juga masih belum kedengaran lagi apa-apa komen dan ulasan darinya. Yang lantang dan konsisten menentang Israel hanya Turki dan Iran.

Kutukan itu kita terima dan kita sokongan. Itulah apa yang dapat kita lakukan. Kita tidak mampu untuk menentang kaum yang disebut dalam Quran akan kejahatannnya. Kejahatannya juga tidak akan berakhir selagi dunia tidak khiamat total. Namun atas semangat agama dan sifat kemanusiaan kita perlu kutuk dan lawan setakat yang mampu. Melawan kewajiban wajib hatta sambil baring.

Mengenai kejadian di Palestin atau pun bentuk keganasan lain dilakukan Yahudi - musuh Allah kita perlu melihatnya dari berbagai sudut. Setiap apa yang berlaku hendaklah diambil iktibar atasnya. Mengenai kejahatan Israel terhadap Palestin ini khasnya ia bukan baru tetapi sudah berlalu lebih 60 tahun lalu.

Kejahatan Israel tidak henti-henti kanditpun seminit. Bangsa itu meneruskan kejahatannya, dan sedikit demi sedikit bumi rakyat Palestin dirampasnya. Ribuan nyawa tidak berdosa, orang tua, kanak-kanak dan wanita dihapuskan begitu saja macam membakar sampah. Kehilangan dan kemusnahan harta benda usahlah disebut lagi.

Apa yang saya maksudkan, keinsafan perlu muncul dan diambil iktibar daripada apa yang berlaku di Palestin itu. Nasib malang rakyat Palestin bukan saja perlu kita bukukan atau syairkan dalam puisi atau sajak dibaca di tepi-tepi pantai atau di kamar dingin. Tetapi kita harus melihat luas dan dalam dari itu dengan penuh pengertian.

Kita kena mengambil kekejaman itu dan penderitaan nasib rakyat Palestin itu sebagai nasib kita juga. Penderitaan yang dilalui perlu dipadankan ke dalam kehidupan kita. Kita kena membayangkan suatu hari nanti nasib bangsa kita juga akan terjadi demikian. Bumi Malaya ini juga akan sedikit demi sedikit akan diratah oleh musuh. Peperangan tidak akan terelak kerana itulah sunatullah.

Kita tidak boleh menerima keadaan kita kekal seperti hari ini. Keamanan dan kekayaan yang melimpah hari ini akan terus menjadi milik kita. Tanpa kita ketahui dalam senyap ada orang yang mengidam untuk memiliknya. Kita kini asyik tidur lena dan percayakan kepada 'pagar' keselamatan yang ada.

Mulai hari ini, sepatunya semalam kita kena membayangkan yang negara kita juga akan diganyang seperti penganyangan berterusan bak Israel lakukan ke atas Palestin itu. Kita kena bayangkan akan berlaku pembunuhan di sini suatu masa nanti. Hidup akan bertaburan dan melarat. Segala kemewahan dan nikmat yang kita hirup hari ini akan terganggu jua.

Jadi sebagai persediaan menghadapi kemungkinan itu maka kita kena buat sesuatu. Kita kena bertindak dan insaf. Perkara paling pokok ialah menguatkan persaudaraan bangsa negara kita. Kita tidak mampu untuk hidup secara terpisah atas apa juga alasan dan iktikad. Kita kena bersatu dan perpadu sepanjang masa.

Janganlah kita hanya tahu mengutuk kejahatan Israel sebaliknya kita juga perlu mengutuk diri sesama kita yang liat untuk bersatu bagi membena bentang keselamatan bangsa di hari muka. Jadi di samping kita mengutuk dan menghina Israel, kita orang Melayu perlu sama mengutuk diri sendiri dalam kontesk kesombongan kita untuk berada dalam satu saf! [wm.kl. 9:00 am 01/06/10]

Monday, May 31, 2010

Susupan Tengahari

Tolak MEB
MPM Telah Menyusahkan Najib


PENOLAKAN Model Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan oleh Najib Razak oleh Majlis Perundingan Melayu (MPM) merupakan satu pukulan teruk kepada wawasan ekonomi Najib. Penolakan ini adalah satu permulaan bagaimana Najib selepas ini akan dikecam dan diserang oleh kalangan Melayu sendiri kerana pendekatan dan polisi pentadbiran (iktisad) nya dikatakan kurang pedulikan Melayu.

Penolakan itu sebagai lorong awal untuk menggodak dan menyusahkan Najib.

Najib bercadang untuk mengemukakan satu model baru ekonomi negara (MEB) sebagai mengganti DEB yang dilaksanakan sebelum ini. Model baru ini dilihat salah satu mekanisme politik Najib untuk mengambil hati orang bukan Melayu yang kini semakin menjauhi Umno dan BN. Ia dicadangkan akan dibentang pada persidangan Parlimen Jun depan.

Atas kesedaran itu Najib menggubal DEB yang akan memberi semangat, pendekatan dan rupa Melayu agar orang Melayu tidak melupai Umno dan membuang jauh persepsi amalan kronisme dan nepotisme ekonomi yang diamalkan dalam Umno selama ini.

Penggubalan MEB itu juga dilihat selari dengan konsep 1 Malaysia yangh menjadi ikon pentadbiran Najib. Walaupun sebelum ini sudah ada protes dan penolakan terhadap MEB tetapi ia tidak lantang dan sehebat apa yang dilakukan MPM. Penolakan itu diambil dalam satu kongres khas yang diadakan Sabtu lalu. Para perserta kongres berkenaan terdiri kalangan bekas pemimpin Umno, veteran Umno dan ahli ekonomi yang bersara. Boleh dikatakan penolakan DEB itu dari Umno sendiri.

Antara alasan penolakan itu, ialah MEB yang digubal Najib itu dikatakan tidak berteraskan kepada semangat Perkara 153 Perlembagaan Negara dan ia juga tidak menjadikan perkara itu sebagai teras dalam penggubalannya. Dalam kata lain pada kanta mata MPM, modal baru ekonomi itu tidak memberi keuntungan kepada orang Melayu.

Penolakan MPM itu boleh disifatkan penentangan orang Melayu kepada Najib. Cuma apakah keanggotaan MPM itu jumlahnya seramai yang diuar-urakan? Ataupun ianya hanya suara segelintir manusia saja yang menjadi alat kepada pihak tertentu dalam Umno yang kini mulai curiga dan sangsi kepada semangat nasionalisme Tun Razak yang cuba disambungkan Najib?

Jemputan Najib ke majlis itu untuk menutup dianggap sebagai kerja secara rasmi memalukan Najib apabila penyerahan resolusi mengandungi 31 perkara menolak gagasannya. Walaupun alasan tindakan itu bagi menggambarkan keikhlasan mereka kepada Najib tetapi cara itu tetap menghina dan memalukan Najib.

Sekekalipun MPM menolak MEB, ia boleh disampaikan kepada Najib secara tertutup dan senyap dan bukannya secara terbuka. Kehadiran Najib itu bukan menjelaskan gantleman Najib tetapi kepandiran para pegawainya kerana tidak membuat pemeriksaaan terlebih dahulu. Dalam masa Najib baru menjadi PM, hal-hal seperti itu tidak sepatutnya dilakukan secara terbuka. Seharusnya wibawa dan aura Najib sebagai PM perlu dijaga sebaik mungkin.

Justeru bagi saya apa yang berlaku itu satu usaha mengaibkan Najib secara simbolik.

Masyarakat luar yang ingin disunting Najib untuk mendapat sokongan dalamn pilihan raya akan teruja dengan cara MPM lakukan kepada Najib itu. Mereka akan mula membuat perkiraan apakah Najib mampu dan berdaya untuk melakukan perubahan. Kalau awal-awal lagi Najib sudah ditentang dan dicincang bagaimana untuk Najib melakukan perubahan lebih global.

Apakah Najib tersilap menghadiri kongres berkenaan, ataupun memang beliau diperangkap? Sekiranya apa yang berlaku itu merupakan perangkap ke atas Najib, maka selepas ini Najib perlu bersiap sedia untuk menghadapi tentangan dari dalam. Penolakan terhadap dasar Najib itu akan berakhir di situ saja. Mereka yang bersikap ultra Melayu dalam MPM akan terus mendesak Najib sehingga apa yang cuba dibawa menerusi 1 Malaysia akan dimansuhkan.

Sebelum ini pun sudah ada desas desus mengatakan ada usaha kalangan veteran Umno yang melahirkan rasa kurang percaya kepada Najib. Slogan 1 Malaysia amat mengelirukan mereka.

Harapan kepada mereka suapaya Najib memperkukuhkan kedudukan orang Melayu termasuk dalam aspek ekonomi dan politik meleset bila mana beliau merombak beberapa ikatan dibuat Umno sebelum ini menerusi slogan 1 Malaysia. Pertemuan yang dihadiri veteran Umno dan penubuhan apa yang dinamakan PAKKU - Persatuan Bekas Wakil Rakyat Umno, adalah antara badan yang tidak senang dengan pendekatan liberal politik dan ekonomi Najib. Dr Mahathir sendiri tidak pernah mengulas dan menyebut perkataan 1 Malaysia.

Lebih ironis lagi jika dilihat kepada gelagat Mahathir. Dalam keadaan masih panas dan berwap pujian sesetengah pemimpin kepada Najib ekoran penyerahan tanah milik KTM kepada Singapura di Tajung Pagar, Mahathir telah bermadah bahawa masalah Malaysia dengan Singapura masih belum selesai semuanya. Katanya masih ada yang belum beres.

Ulasan segera Mahathir itu menunjukkan beliau tidak gembira cara penyelesaian dibuat Najib dengan Singapura.

Sebab itu kalau diperhatikan ada kalangan pemimpin Umno tidak bersungguh melaungkan slogan 1 Malaysia dan mereka bersikap ala kadar saja. Misalnya Muhyiddin Yassin tidak pernah menyangkut lencana 1 Malaysia kebanggaan Najib di kolar bajunya. Kenapa? Kenapa, ada apa-apa ke?

Apakah Muhyiddin menjadi dalang di sebalik kongres anjuran MPM Sabtu lalu bersama Mahathir? Orang-orang Najib harus menyiasatnya sebelum keadaan menjadi lebih buruk. Penerimaan Najib terhadap bantahan MPM itu menandakan Najib mula kehilangan senget sebagai Perdana Menteri yang ingin memilik wawasan dan trade mark sendiri.

Kalaulah Najib tidak berwaspada dengan fenomena ini tidak mustahil beliau akan berdepan dengan masalah sebelum genap satu penggal menjadi Perdana Menteri. [wm.kl. 11:40 am 31/05/10]

Sunday, May 30, 2010

Laporan Lewat

Protes Judi Sampai Ke Tangga Rumah Awang Adek Hussein

JUMAAT lepas saya berjumaat di masjid Muhamadi Bachok Kelantan. Apa yang menarik saya ke sana ialah protes kelulusan lesen judi perlawanan bola sepak piala dunia yang menjadi perhatian dan bantahan umum dewasan ini. Satu protes ringkas mengenai kelulusan lesen judi itu akan diadakan di perkarangan pejabat Pas Bachok yang kedudukan bertentangan dengan masjid Muhamadi itu.

Dengan bertemankan tiga orang kawan termasuk, sdr Ramli Abdul Halim (Meli Kapak Jangak) saya ke Bachok. Mengajak Meli untuk ke demostrasi seperti itu bukan mudah. Meli jenis bukan boleh ikut orang tidak tentu 'kalu' - tentu fasal. Tetapi kalau dengan saya, Alhamdulilah setakat ini kalau saya heret ke mana pun dia akan ikut

Kepatuhan (ikut erel) Meli kepada saya bukan kerana politik. Bukan kerana tekanan. Walaupun saya dengannya tidak senada dalam hal-hal tertentu dalam siasah namun itu bukan bermakna kami tidak boleh makan dan tidur bersama. Apa yang mengukuhkan kami ialah ikatan persahabatan yang lama.

Saya lebih lama mengenali Meli daripada kawan-kawan dalam politik lain. Justeru apa saja tuduhan dan sindiran terhadap Meli, pedih dan ngilunya akan menyelinap juga ke jantung saya.

Meli tidak pun bertanya saya untuk apa ke Bachok, tetapi mengikuti saja. Lagipun pemergian itu juga untuk menunaikan fardu Jumaat.

Sebaik selesai solat Jumaat, berlansgunglah protes ringkas itu. Bukan di hadapan pejabat Pas Bachok tetapi di perkarangan masjid. Seperti mana diiklankan dalam akhbar lidah rasmi parti Pas, protes itu diurus dan digerakkan oleh kalangan pemimpin Dewan Pemuda Pas. Ianya dikepalai oleh Ketua Pemuda Pas, Abdul Latiff Abdul Rahman. Sayangnya semasa Latiff berucap saya tidak perasaan, ini menyebabkan semasa protes itu bersurai Latiff ketika bersalaman dengan saya menyapa saya dengan sinis; "gambar ana enta tak ambil?"

Saya sedikit terkejut dengan sapaan Latiff itu dan benar baru merasai kehadirannya. Saya menjawab secara diplomasi dengan mengata; ada ana ada ambil. Begitu mendengar kata-kata Adun Mengkembang itu saya teringat apa yang berlaku di Parlimen pada satu ketika dulu. Beliau bukan main lagi mengelak daripada saya merakam gambarnya yang sedang duduk makan bersama beberapa kawan dan Adun dari Kelantan. Sampai dia menutup mukanya dengan sebelah tangan dan sebalah lagi menjamah hidangan bimbang wajahnya akan tersambar ke dalam lensa kemara saya.

Mengenangkan gelagak sombong Ketua Pemuda Pas Kelantan ini di parlimen itu, kalaupun saya melihatnya berucap dan mencerca kerajaan kerajaan meluluskan perjudian pada protes judi itu saya tidak akan merakamnya kerana dia pernah melarangnya. Bukan saja Latiff sesiapa yang melarang saya merakam wajah mereka saya akan akur selagi ingatan saya waras. Lensa kemera saya juga akan menjadi kabur untuk menagkap objek di sekeliling mereka. Saya tidak akan rakam kalau pun sesudah itu mereka sudah pun bersalam dan duduk makan dan minum bersama saya.

Jadi kepada Latiff yang pernah minum air di rumah saya bersama abangnya, sewaktu minta melobikan calon untuk kerusi Dun Mengkebang tahun 2004, maaflah kalau saya tidak merakam gambar anda dalam apa-apa juga event kerana saya mematuhi larangan saudara.

Lain-lain pemimpin Pas yang berucap mengutuk dan kesal pemberian lesen pada protes itu ialah, bekas Ketua Pemuda Pas Kelantan, Zaki Ibrahim yang juga Adun Kalaboran dan kini menjawat jawatan Timbalan Spekar. Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli juga turut sama kelihatan dan memberi ucapan ringkas. Naib Ketua Pemuda Pas, Azman Safawi ikut sama hadir.

Ucapan dan protes itu mendapat sambutan dan rangsangan dari kira-kira 1,000 jemaah solat Jumat hari itu. Dengan lilitan kain merah di hijau di kepala bertulis Judi Bola dan kalimah Lailahaillallah mereka melaungkan takbir dan mengecam perlulusan lesen judi berkenaan dan minta ianya dibatalkan.

Turut sama mengangkat kain sepanduk mengecam kelulusan lesen judi itu ialah kaum Muslimah Pas Bachok.

Bagaimana pun agak anih juga walaupun protes itu diadakan di Bahcok, tetapi tiada kelihatan ahli Parlimennya, Nasharudin Mat Isa, dan begitu juga dengan dua Adunnya, Omar Mohamad (Perupuk) dan Hassan Mahmod (Tawang). Apakah mereka tidak diberi tahu ataupun sengaja tidak hadir untuk tidak mahu mencampuri kerja anak-anak muda? Bagaimana pun saya percaya mereka telah memberi green light terhadap protes itu kalau tidak masakan ianya boleh diadakan.


Protes itu adalah dalam siri protes secara menyeluruh terhadap kelulusan lesen judi itu. Ia dirancang akan diadakan di seluruh negara. Serentak dengan apa yang berlaku di Bachok itu juga tunjuk perasaan diasakan di Kuala Lumpur dan tempat-tempat lain.

Walaupun potes itu ringkas tetapi ia memberi impak yang mendalam. Apa lagi ia berlaku di Bachok yang merupakan kawasan pilihan raya dan kubu Awang Adek Hussein sendiri. Protes itu juga boleh disifatkan ia telah memasuki ke halaman rumah Awang Adek Hussein. Apa yang berlaku itu benar-benar mamalukan Awang Adek, dan anak beranaknya.

Mungkin kalau sebelum ini penduduk Bachok tidak tahu menahu penglibatan Awang Adek dalam meluluskannya, tetapi dengan ada protes berkenaan yang diikuti dengan banner dan kain rentang menyebut nama Awang Adek dan partinya menyebabkan masyarakat mulai tahu penglibatan Awang Adek. Bahawa selaku timbalan menteri kewangan Awang Adek ada saham dalam perjudian negara ini.

Kepada Awang Adek masa masih ada untuk beliau membersihkan dirinya. Penglibatan ataupun pemalutan nama dengan judi sesuatu yang sangat buruk dan keji. Bagi orang Islam judi, arak, zina adalah mengaibkan. Ia memberi gambaran kerendahan moral dan kejahilan ilmu agama terhadap seseorang pelaku atau pensubahat.

Kalau benar Awang Adek dikatakan terdesak dan hanya memathui arahan orang atas semasa mengumumkan kelulusan itu, beliau boleh jelaskan duduk perkara sebenarnya. Cara terbaiknya dengan mengadakan pertemuan dengan Dewan Pemuda Pas yang menjadi penggerak kempen bantah judi bola sepak dan membenci BN dan Awang Adek itu.

Penasihat politik atau peegawai Awang Adek, baik Setiausah Akhbar, Setiasauah Politik, maupun penasihat privete yang kerjanya lebih untuk mencari makan, boleh aturkan pertemuan dengan Dewan Pemuda Pas atau mana-mana NGO yang membantah perlulusan lesen berkenaan. Panggil mereka dan jelaskan kedudukan sebenarnya. Rasanya tidak akan hilang bisa dan akan luak kekayaan Awang Adek Hussein kalau memanggil Dewan Pemuda Pas dan sesiapa saja untuk tujuan itu.

Langkah itu juga akan dilihat Awang Adek sebagai seorang yang gentleman dan tidak akan membisu bila diasak dan dikecam.

Dan katanya semasa protes lesen judi diadakan di Bachok Jumaat itu, kesemua ahli badan perhubungan Umno Kelantan termasuk Awang Adek dan Mustapa Mohamed tidak ada di Kelanyan. Mereka khabarnya ke Surabaya, Indonesia. Apakah pemergian mereka secara gerombolan itu kerana tidak mahu mendengar jeritan dan laungan protes mengenai kelulusan lesen judi itu kerana ianya membingkitkan telinga mereka? Begitukah, atau kerana ada agenda nlain yang lebih spesifik? [wm.kl. 1:00 t/hari 30/05/10]

Kongres PKR di Kota Bharu

Kongres Bahas Lapan Usul

KONGRES PKR ke – 6 di Kota Bharu Kelantan telah membahas lapan usul yang mencakupi soal politik, visi kerajaan Pakatan Rakyat, ekonomi, sosial, pendidikan dan lain-lain. Usul berkenaan seperti mana berikut:

1. Ketuanan Rakyat.

Kemenangan di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Perak pada PRU 12 bukanlah lesen untuk kita ke Putrajaya. Sebaliknya ia hanyalah pencetus dan pengiktirafan perjuangan rakyat yang perlu dihargai dan diurus dengan baik untuk kesinambungan kemenangan di PRU13.

Kekalahan pada PRK P094 baru-baru ini menunjukkan bahawa kegagalan menghargai peluang dan kepercayaan rakyat tidak diberi keutamaan sebagai agenda kepimpinan yang diamanahkan rakyat.

Kepekaan kepimpinan terhadap pendokong perjuangan akan menguatkan
motivasi penerusan agenda perjuangan. Parti adalah wadah menjana kemenangan, kekuatan Parti adalah kekuatan wadah perjuangan. Kelemahan Parti adalah manifestasi kelemahan perjuangan.

Pemuafakatan kepimpinan dan kesatuan matlamat menjanjikan kejayaan, sebaliknya perpecahan, keangkuhan dan mementingkan diri sendiri adalah punca kemusnahan.

2. Perkongsian Sumber Negara - Harapan Baru Selamatkan Malaysia.

Mengutamakan keselamatan rakyat sebagai pra syarat keselamatan Negara.
Keselamatan sumber makanan, kesihatan awam, kelestarian alam sekitar.
Keselamatan Malaysia juga bermaksud keselamatan dan kestabilan tetangga dan rantau.
Keadilan pengagihan sumber penentu keselamatan Negara dan toleransi bangsa.
Menghormati dan menghargai kepelbagaian bangsa dan agama merupakan asas keselamatan Negara.

Pengiktirafan hak dan keusahawanan kelompok masyarakat orang asal, Felda, Risda, Felcra dan peneroka bandar asas kesejahteraan rakyat.

3. Pendemokrasian Pilihan raya Umum 13.

Menyedari agenda pemartabatan suara rakyat, suara keramat sebagai aspirasi pendemokrasian di Malaysia memerlukan ruang bersuara yang seluasnya demi pembentukan demokrasi yang tulin.

Ruang demokrasi negara semakin mengecil dan meruncing akibat kebiadapan pemerintah melanggari nilai-nilai demokrasi dan hak-hak perlembagaan dan pemerhambaan jentera kerajaan sebagai alat pembunuh demokrasi.

Keadilan sejagat menuntut pematuhan prinsip-prinsip keadilan universal dan perlanggaran dan ketidakpedulian pimpinan pemerintah menyinggung dan menjejaskan imej dan maruah negara.
Membuka ruang kebebasan bersuara dan media, menjanjikan ketelusan dan pencegahan penyalahgunaan kuasa yang dimungkinkan oleh sikap pemerintah yang rakus menindas hak dan ruang rakyat (public sphere).

Institusi kerajaan yang bebas memberi ruang kepada rakyat membuat pilihan tanpa tekanan

Kerjasama dan interaksi sesama parti dan badan suadaya (NGO) memasyarakatkan politik ke arah merealisasikan masyarakat madani. Menyokong cadangan kriteria pemilihan Calon PRU 13 yang lebih ketat agar semua wakil rakyat setia berkhidmat kepada pengundi di kawasan pilhanraya masing-masing berlandaskan 17 matlamat perjuangan Parti.

Menggiatkan usaha pendaftaran pengundi baru untuk memasyarakatkan politik negara.

4. Kedaulatan Undang-undang (Political Dignity & Rule Law) Politik Bermaruah.

Mengangkat maruah rakyat melalui politik bermaruah dengan menghormati hak-hak berperlembagaan rakyat dan kedaulatan Negara.
Mempertahankan keselamatan Negara tanpa mencemarkan maruah agama, bangsa dan adat.
Memelihara kehormatan dan maruah agama, bangsa dan Negara tanpa mengorbankan maruah dan kehormatan orang lain.

Menghargai kepelbagaian dan perbezaan kaum sebagai kekuatan dan bukan kelemahan.

5. Urus Tadbir (Good Governance) Mentadbir Parti Sebelum Mentadbir Negara.

Kemantapan pentadbiran Parti cerminan keyakinan untuk memimpin Negara.
Disiplin anggota parti dan pimpinan mesti dititikberatkan dengan menekankan semangat perjuangan parti yang asal.

Keutamaan merancang belanjawan mengikut dedikasi aspirasi kepimpinan.

6. Dasar Pembangunan Negara (Nation Bulding) Agenda Ekonomi Malaysia.

Mengangkat agenda keadilan sosial sebagai teras dasar pengagihan hasil mashul Negara.
Memanfaatkan potensi modal insan dengan berteraskan merit dan integriti.
Mengutamakan impak sosial dan pemberdayaan insan sebagai kayu ukur kejayaan ekonomi.
Membuka peluang dan ruang seluas-luasnya untuk bakat, kesungguhan dan daya saing sebagai kunci penyertaan inisiatif ekonomi.

7. Hak Asasi Manusia (Human Right) Kesetaraan Gander Substantatif.

Hakikatnya wanita sangat berpengaruh dan berkuasa bukan sahaja dari segi jumlah undi tetapi juga mempengaruhi kuasa ekonomi dan keadaan sosial negara. Penglibatan wanita sebagai penyumbang kritikal dalam lapangan utama Parti iaitu gerakerja pilihanraya.

Keazaman politik baru perlu menunjukkan kesungguhan dan keazaman Parti untuk memastikan kesetaraan gender substantif dilaksanakan di peringkat Parti, Pakatan Rakyat dan di Kerajaan-Kerajaan Negeri yang diterajui oleh Pakatan Rakyat.

Ketetapan perencanaan berstruktur harus memberi laluan kepada wanita yang berkelayakan memegang jawatan-jawatan yang wajar mengikut perlembagaan parti.

8. Kepimpinan Muda (Future Leadship) Masa Depan Malaysia.

Menjadikan keberanian sebagai katalis aspirasi perjuangan.
Menjadikan ilmu dan keimanan sebagai teras kepimpinan.
Menggilap kepakaran untuk mendepani cabaran semasa.
Keyakinan dan kewibawaan cermin kepimpinan masa depan.
Kepekaan dan keperihatinan terhadap ketidakadilan sebagai pengesan dan halatuju kepimpinan.

Ketangkasan menggarap perkembangan semasa dan global sebagai indikator kepimpinan masa depan. [wm.kl. 11:30 am 30/05/10]

Ulasan Kongres PKR

Kongres PKR Tetap Meriah Dan Bersemangat

BEBERAPA hari menjelang kongres tahunan PKR kali ke - 6 di Kota Bharu yang akan berakhir hari ini, Ezam Mohamamd Nor, alias Senator Boy telah turun ke Kota Bharu dalam rangka road shownya yang membawa apa yang dinamakan Kisah Benar. Beliau turun bersama boy-boy penjilat air ludah yang lainya.

Senator boy itu telah mengadakan ceramah sekurang-kurang di dua tempat, Kota Bharu dan Bachok. Ketika saya lewati jalan Merbau Kota Bharu petang semalam banner menghebahkan kehadiran Senator Boy berkenaan masih lagi belum diturunkan. Mungkin Bandaran Kota Baru memberu peluang untuk orang ramai mengetahui kegiatan senator boy berkenaan.

Dalam Kisah Benar, senator boy itu menceritakan seribu kebusukan bekas bosnya Anwar Ibrahim. Beliau menggunakan sepenuhnya jawatan senator yang diperolehnya itu untuk menjadi boy bagi menghentam Anwar semahu-mahunya. Ezam dari seorang hero merendah menjadi seorang kuli haprak demi survival politik dan popularitinya.

Seperti mana ulas seorang tokoh akademik, katanya kemasukan Ezam dalam dewan senat memberi peluang membolehkan Ezam terus menghentam dan mendedahkan keburukan Anwar. Pentafsiran yang menyalahi minda seorang pendita itu menjelaskan bahawa Ezam dijadikan perkakas menerusi jawatan berkenaan. Dan nampaknya beliau melaksanakan tanggungjawab itu dengan baik setakat ini.

Pandangan tokoh akademik itu begitu dangkal sekali, tetapi itulah hakikat yang berlaku kepada sesetengah tokoh akademik dalam usaha menjamin keutuhan diri dalam profesyennya sanggup menjadi pengampu. Pandangan seperti itu langsung tidak mencerminkan kualiti dan nilai sebagai seorang akademik yang seharusnya matang dan berwibawa serta melampau sempadan kewarasan orang lain.

Mungkin dinafikan oleh pihak senator boy berkenaan, road show ke Kota Bharu itu ada kena mengena dengan kongres yang sedang berlangsung sekarang ini. Road show itu sengaja dirancangkan untuk mesebotaj kongres berkenaan. Mungkin apa diharapkan dengan pendedahan kisah benar yang kebenarannya boleh dipertikaikan senator boy mengharap kongres itu tidak mendapat sambutan.

Road show yang dibuat itu sedikit pun tidak memberi bekas dan menjejaskan kongres berkenaan. Mereka yang menanti untuk melihat dewan Kelantan Trade Centra (KTC) tempat berlangsungnya kongres berkenaan lenggang dan penuh dengan kerusi kosong ternyata hampa dan kecewa.

Semasa hari perasmian dewan KTC yang boleh memuatkan kira-kira 3,000 orang menjadi penuh sesak. Pemerhati pula melimpah sampai ke luar. Bukan itu saja ada pemerhati yang kesal dan marah-marah kerana tidak dapat masuk untuk mengikuti upacara perasmian.

Limpahan para pemerhati dan orang ramai ini menunjukkan minat orang ramai kepada PKR masih ada. Mereka sanggup datang dari jauh untuk memerhati kongres berkenaan. Rasanya sengaja kongres diadakan di Kota Bharu untuk menguji sejauh mana minat, kesetiaan dan pengorbanan ahli dan penyokong PKR kepada parti itu.

Dari pemerhatian saya apa yang berlaku, tindakan meninggalkan parti oleh beberapa orang ahli parti itu termasuk wakil rakyatnya tidak menjejaskan PKR sebalik membawa rahmat lain kepada PKR. Ia menimbulkan kemarahan kepada pencinta keadilan yang dibawa parti berkenaan dan menjadikan mereka murka kepada tindakan itu. Sebagai hukumannya mereka ramai-ramai datang memberi sokongan kepada kongres berkenaan dan ada juga yang terus menyertai PKR sebagai ahli.

Penambahan ahli parti secara mendadak menjelaskan betapa PKR sedang menuju ke arah pemulihan dan pengukuhan yang jitu. Hari ini kira-kira 5,000 permohonan keahlian diterima pada setiap bulan. Sementara keahlian sah pula sudah mencecah ke angka 300,000. Angka ini sekaligus mengecewakan mereka yang ingin melihat PKR rebah.

Pada saya kongrs ke enam PKR itu ada kelas dan ada rohnya. Ada semangat baru yang berkobar-kobar dicetus atau pun lahir darinya. Mungkin secara keseluruhannya ia boleh disifatkan sebagai sedarhana tetapi sangat mantap. Kongres berkenaan juga boleh disifatkan sebagai penyaringan keahlian untuk membuang mana-mana ahli yang tidak yakin dengan perjuangannya.

Seperti mana kata Setiuasaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, kejayaan kongres di Kota Bharu melambangkan kejayaan PKR. Ia menunjukkan PKR masih utuh, kental dan mampu meneruskan perjuangan membela rakyat. Paling mustahak dari kongres itu ia menyerlahkan bahwa parti itu masih bernyawa dan sedia untuk berhadapan dengan BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Seperti biasanya kehadiran pemerhatian dari beberapa buah kedutaan asing dan juga kepimpinan parti gabungan Pakatan menyerlahkan PKR masih hidup dan menjadi perhatian umum. Lebih bermakna lagi Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik juga hadir diberada di atas pentas utama yang diapi oleh Saifuddin dan Anwar Ibrahim. [wk.kl. 10:15 am 30/05/10]


Dr Wan Azizah sedang menyanpaikan ucapan dasar.

Sebahagian daripada perwakilan memenuhi dewan KTC.


Nik Aziz diapik Saifuddin dan Anwar di pentas utama


Dr Wan Azizah dalam skrin.


Beberapa wakil kedutaan asing yang turut hadir.

Kepimpinan Pakatan, kelihatan Mustapa Ali dan Husam Musa.

Salah satu kounter pendaftaran perwakilan.