Friday, October 14, 2011

Tazkirah Jumaat

Kelantan Perlu Wujudkan Anugerah Sastera

KERAJAAN negeri Kelantan akan membentang Bajet 2012 pada 17 Oktober ini. Biasalah Bajet itu akan menyenaraikan peruntukan yang akan digunakan pada tahun depan di samping menunjukkan unjuran pendapatannya.

Selalunya Bajet negeri akan mengikut selera Bajet Persekutuan. Misalnya, kalau semasa Bajet persekutuan baru-baru ini Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri Najib Razak mengumumkan beberapa insentif untuk rakyat yang diberi secara one-off , maka Bajet Kelantan juga dipercayai berbuat demikian, dan ia sedang ditunggu.

Walaupun tidak banyak, tetapi sekadar termampu kerajaan Kelantan tetap akan memberi insentif dan habuah kepada semua lapisan rakyatnya, dari pegawai kerajaan, badan swasta, nelayan, petani dan juga para penganggur. Kerajaan Kelantan tidak pernah 'kupik' untuk membantu rakyat Kelantan tanpa memilih bulu dan jambul.

Dalam Bajet itu kelak tentu juga beberapa pendekatan baru ke arah memberi kesejhatraan kepada rakyat akan dilakukan. Para pemikir dan ahli ekonomi Kelantan akan berganding bahu dan berkongsi idea bagaimana hendak mencaturkan kewangan negeri yang terhad dan juga bagaimana hendak menjanakan kewangan negeri untuk masa akan datang.

Misalnya apa dilakukan oleh Husam Musa, Exco yang bertanggung jawab mencari duit untuk Kelantan yang cuba mendapatkan wang dari berbagai agensi kerajaan Pusat yang menyewa atau membabitkan premis kerajaan Kelantan adalah usaha dinamik ke arah menambah kewangan negeri. Sudah banyak yang dilakukan Husam dan setengahnya berjaya menambahkan kewangan Kelantan.

Pemikiran atau idea seperti itulah diperlukan oleh kerajaan Kelantan yang ternafi hak-haknya mengikut semangat federalisme akibat amalan politik diskriminasi oleh UBN. Satu usaha yang masih belum berjaya ialah untuk mendapatkan royalti petronas untuk Kelantan dari Petronas. Kalau usaha ini berjaya, sudah pasti rakyat Kelantan akan lega dan kerajaan Kelantan tidak memerlukan bantuan dari persekutuan.

Usaha untuk mendapat royalti itu mesti diteruskan. Jangan hentikan usaha itu. Biarpun buat masa ini tuntutan itu terlekat di mahkamah apabila kerajaan negeri membawanya ke mahkamah, tetapi usaha lain kena diteruskan. Mahkamah adalah salah satu instrumen sahaja sedangkan masih ada lagi instrument-instrumen lain yang perlu dicuba dan diusahakan.

Berbalik kepada Bajet Kelantan 2012 yang akan dibentang pada minggu depan, di sini ingin saya mencadangkan kepada kerajaan negeri Kelantan supaya menyediakan sedikit peruntukan untuk mewujudkan anugerah atau hadiah bagi mengenang dan mengingati para sasterwan, budayawan dan pengusaha media di Kelantan. Peruntukan itu boleh dimasukan ke dalam mana-mana kepala perbelanjaan yang dimulai tahun depan.

Saya rasa sudah sampai dan kena pada masanya kalau kerajaan Kelantan mewujudkan anugerah begitu bagi mengikhtiraf peranan dan penglibat para penulisa dan budayawan dalam membangunkan Kelantan khususnya dari sudut rohani. Selama ini tanpa ada anugerah sebegitu, para sasterawan dan budayawab semacam terabai. Peranan dan tanggungjawab mereka secara senyap seakan tidak terkelih atau tersilau oleh kerajaan.

Perlu diingat kaum penulis dan budaya ini bukan kaum peminta. Mereka bukan seperti pasukan bola atau pun badan-badan Ngo yang menggerakkan kerja politik. Mereka tidak pandai bersunggut kerana kerana mereka lebih ikhlas memainkan tanggungjawab untuk agama, bangsa dan negeri mengikut cara dan saluran mereka. Walaupun mereka tidak segah pasukan bola sepak tetapi sumbangan mereka dari segi spritual dan minda adalah penting.

Tetapi sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dan mengambil kira semua peranan entiti atau kumpulan rakyatnya kerajaan haruslah peka dan mempedulikan ini. Peruntukan untuk mewujudkan anugerah atau hadiah ini tidak perlu banyak cukup setakat RM20,000 setahun.

Anugerah atau hadiah ini kalau tidak mampu ia boleh dilakukan dalam tempoh dua tahun sekali. Bukan bermaksud untuk membela budayawan dan sasterwan dengan kewangan tetapi sekadar mengikhtiraf peranan dan jasa-jasa mereka.

Kelantan adalah negeri yang terkenal melahirkan ramai penulis-penulis besar berbakat yang sudah mencipta nama. Anihnya setengah mereka sudah pun ada yang mendapat pengikhtiraf dan anugerah dari kerajaan Pusat tetapi persis tidak dipedulikan oleh kerajaan Kelantan. Situasi ini agak ironis dengan kehendak Menteri Besar yang begitu cakna dan memandang berat kepada program mengisi ilmu.

Sayangnya kerajaan Kelantan sejak zaman Pas dekade pertama (1959 hingga 1978) membawa kepada zaman kerajaan BN (1978 - 1990) dan membawa kepada kerajaan Pas dakede kedua (1990 - 2011) tidak pernah mewujudkan anugerah seumpama itu. Ini menyebabkan seolah-olah kerajaan Kelantan tidak begitu prihatin kepada nasib para budaya dan sasterawan di negeri berkenaan.

Sempena Bajet 2012 ini hendaknya kerajaan Kelantan bermurah hati untuk memberi perhatian ini. Sekiranya kerajaan Kelantan tidak ada kepakaran dan pengalaman bagi menguruskan anugerah ini ia boleh diserahkan kepada mana-mana badan bebas termasuk persatuan penulis dan badan kebudayaan di Kelantan atau Dewan Bahasan dan Pustaka (DBP) Wilalah Timur bagi mengendalikannya. Yang penting kerajaan menyedikan peruntukan untuk tujuan ini.

Catatan ringkas ini diharap sangat ianya dibaca oleh Husam Musa dan juga Tik Guru Nik Aziz. [wm.kl.11:34 am 14/10/11]

Thursday, October 13, 2011

Susupan Malam

Jais Jangan Jadi Jahil?

SELEPAS Sultan Selangor hanya melahir rasa tersinggung atas kegiatan memurtadkan umat Islam dan memberi tahu tidak ada pendakwaan ke atas sesiapa berhubungan kejadian di gereja Damansara Utama awal Ramdhan lalu, mata Jais kini berpaling bengkeng kepada Bob Lokman pula.

Penghibur itu yang telah menyertai Pas kini dalam perhatian dan tindakan Jais.

Khabarnya Jais telah menahan Bob Lokman semasa bekas seleberiti tv itu mengadakan syarahan agama di sebuah premis di bawah kelolaaan Jais di Hulu Langat Selangor atas alasan Bob Lokman tidak mempunyai tauliah. Ekoran itu Jais akan mengadakan soal siasat lanjut terhadap Bob Lokman.

Bob Lokman bagaimana pun memutuskan tidak akan hadir ke pejabat Jais. Disebabkan ketegasan Bob Lokman itu Jais katanya akan memohon waran untuk tangkap Bob Lokman. Bob Lokman pula seperti mana dilaporkan portal berita hari ini mengatakan dia tidak akan ke pejabat Jais dan sedia untuk ditangkap oleh Jais.

Kita tidak faham dengan tindak tanduk Jais terhadap Bob Lokman ini. Apakah ia mencari isu baru untuk melepaskan isu sebelum ini di mana kegagalan mendakwa mana-mana pihak berhubung kejadian di gereja itu? Kegagalan Jais mengheret mereka yang dikatakan memurtadkan umat Islam di gereja itu tempoh hari memalukan. Orang mempersoalkan di mana kredibiliti Jais yang seolah-olah macam kambing bercongek ekor sebelum hujan turun.

Atau pun Jais hanya berani bertindak terhadap ikan bilis tetapi kecut perut untuk mengambil tindakan ke atas puak yang terlibat dikatakan melakukan aktiviti permurtadan yang dilindungi oleh para profesional itu?

Kalaulah benar andaian ini nampak sangat Jais jahil di dalam bidang agama dan tugas serta tanggungjawabnya. Jais jangan melenting kalau dituduh sebagai menjadi alat kepada mana-mana pihak dan tidak melaksanakan tugas seperti sepatutnya. Ingatlah tindakan Jasi secara berat sebelah itu menyebabkan institusi agama penguatkuasaan itu akan diketawakan oleh orang ramai.

Kita tunggu nanti apa yang akan diperlakukan oleh Jais tehadap Bob Lokman. Kalau Jais mendakwa Bob Lokman tetapi tidak mengambil apa-apa tindakan ke atas dakwaan aktiviti memurtadkan umat Islam di gereja Damansara Utama itu maka jelaslah Jais bertindak double standard dan bukan atas prinsip tugas dan tanggungjawabnya sebenarnya. Jais juga dilihat sudah menjadi kuda kepang oleh pihak tertentu. [wm.kl. 8:01 pm 13/10/11]

Rencana Khamis

Mahathir Terlewat 12 Tahun, Setelah Terlena 22 Tahun

BEKAS Perdana Menteri Malaysia ke 4, Dr Mahathir bin Mohamad meramalkan orang Melayu akan kehilangan identiti serta kuasa terutamanya hak sosial, politik dan ekonomi dalam 10 tahun lagi. Beliau tidak menyebut kehilangan negeri kerana itu mungkin sensitif?

Ramalan itu dibuatnya berdasarkan kepada trend perpecahan politik yang semakin ketara di kalangan orang Melayu yang sehingga menyaksikan terdapat di antara mereka menjadi pihak minoriti dalam mana-mana perkongsian.

Beliau membayangkan apabila terjadi keadaan ini menyebabkan orang Melayu terpaksa meminta bantuan pihak lain, 'berhutang' dengan pemberian bantuan berkenaan sehingga akhirnya membuat Melayu Islam kerugian.

Beliau lantas memberi contoh mengenai nasib Melayu di Singapura serta keadaan ekonomi golongan Melayu di selatan Thailand.

Saya bersetuju seratus satu peratus apa yang dinyatakan oleh Mahathir itu. Kebimbangan Mahathir itu patut menjadi kebimbangan bersama orang Melayu di negara ini dan bangkit berusaha untuk mengawal bagi mengelakkan ia menjadi kenyataan memeritkan.

Usaha memperkukuhkan Melayu dan memastikan Melayu majoriti perlu dijadikan agenda bersama tanpa mengira fahaman politik. Kalau semua orang Melayu perlu melakukan taubat nasuha, nah lakukanlah...

Untuk tujuan ini mungkin orang Melayu boleh menjadikan agama sebagai alasan atau kaedah untuk membentuk unity - perpaduan dan kesatuan. Barang kali di sinilah benarnya Pas apabila mereka obvious (tegas) kepada agama dari bangsa.

Kewalangan mengenai nasib Melayu bukan boleh dibiarkan lagi tanpa tindakan-tindakan yang konkrit dan konprehensi. Sandaran kepada Perlembagaan mungkin salah satu ikhtiar, tetapi apa yang perlu diingat Perlembagaan negara bukan sesuatu yang mutlak dan rigid. Kalau peraturan di dalam al-Quran yang kudus lagi kadim itu pun manusia boleh pinda dari segi pentafsiran dan perlaksanaannya, mengapa tidak dengan Perlembagaan? Lagi mudah kerana ia tidak perlu berdebat dan disulami dengan ayat-ayat perintah Allah.

Contoh paling jelas ialah mengenai ketetapan Allah tentang hukum hudud, ia dipinda dan ditafsirkan oleh umat dengan berbagai aliran dan maksud sehingga ia bercanggah dan berlaku pergomolan sesama tentangnya. Pandangan Islam Umno dengan pandangan Islam Pas mengenai hudud ini berbeza! Jadi perlembagaan bukan jaminan mutlak yang boleh disandarharapkan oleh orang Melayu. Perlembagaan boleh dipinda dengan kuasa dua pertiga di parlimen.

Justeru orang Melayu harus bermahasab dan memikir serta meletakkan pandangan Mahathir itu sebagai masalah dan cabaran hebat kepada kelangsungan kuasa atau penghakmilikan Melayu ke atas beberapa apsek termasuk politik, ekonomi dan sosial itu. Cuba sama-sama kita meletakkan pandangan Mahathir itu ikhlas dan bukan manipulasi untuk menjamin orang Melayu menyokong Umno. Yang penting di sini orang Melayu harus diberi mandat. Untuk itu bukan bermakna calon atau parti Umno sahaja perlu menang tetapi calon atau parti Melayu seperti Pas juga boleh menjadi ganti kepada Umno sebagai pengawal kuasa politik, ekonomi dan sosial Melayu. Percubaan ini sebenarnya tidak pernah dilakukan.

Melihat kepada situasi hari ini, - percaturan dan strategi - untuk mendapat kuasa di kalangan dua puak Melayu UBN dan Pakatan Rakyat ini ia mencemaskan. Tidak mustahil apa yang dibimbangkan Mahathir itu menjadi kenyataan. Percaturan atau perbalahan itu sudah sampai ke peringkat parah, berkerat rotan berpatah arang, kalah jadi debu menang jadi arang.

Orang Melayu baik di pihak UBN dan Pakatan Rakyat sudah melupai akan kepentingan di antara satu sama lain. Kegilaan kepada kuasa memerintah menyebabkan kedua pihak melupai saudara di keliling rumah. Pepatah berbunyi "bulat air kerana pembentung dan bulat kata kerana sepakat" sudah lupus dari minda umat Melayu. Kepercayaan kepada bentuk persahabatan bebas, liberal tanpa bersendikan adat dan agama menjadi pegangan.

Kalau Mahathir membayangkan 10 tahun lagi, tetapi saya mendekatkan jarak itu menjadi kurang 10 tahun. Mahathir ada alasan kenapa beliau memanjangkan sampai 10 tahun. Bagi saya pilihan raya umum ke-13 adalah momentum jelas ke arah itu - Melayu akan kehilangan kuasa yang kini sudah pun banyak terkikis dan dihakiskan. Ini bererti menjelang pilihan raya ke 14 apa yang dibimbangkan itu bakal menjadi kenyataan.

Sifirnya mudah saja bagaiman untuk melihat keadaan ini akan berlaku. Perbalahan atau pun pemisahan kuasa Melayu hari ini sangat ketara sekali yang dicatur dan dilakukan oleh bukan Melayu di samping kedegilan 'kerak' Melayu sendiri. Orang Cina, sedar atu tidak mengatur strategi memecahkan pemonopolian dan hegemoni Melayu dengan mengasingkan sokongan. Setengah menyokong BN setengah menyokong Pakatan Rakyat. Pemecahan sokongan itu sesuatu yang strategics bukan secara berkebetulan.

Hakikat ini perlu difahami oleh orang Melayu seperti mana mereka menyedari akan tindakan kolonial membahagi-bahagikan kelompok tiga kaum terbesar di negara ini, Melayu, Cina dan India dalam sektor atau lokasi masing-masing. Tindakan itu bukan membahagikan hak atau untuk keadilan tetapi demi melihat mereka tidak bersatu untuk membolehkan mereka terus berkuasa menerusi kaedah divide and role.

Pilihan raya ke 12 menunjukkan tanda-tanda dan 'perca' bagaimana pemonopolian kuasa oleh Umno menerusi BN sudah pecah apabila orang Cina memecahkan penguasaan itu dengan memberi undi kepada Pakatan Rakyat. Gara-gara itu menyebabkan kerajaan BN yang diungguli Umno sudah hilang kuasa majoriti. Sebuah kerajaan di Pulau Pinang yang dilihat kerajaan bersama Gerakan- Umno kini menjadi milik mutlak orang Cina menerusi DAP - Pakatan Rakyat.

Hari ini kuasa politik Cina sudah mewakili Pakatan Rakyat menerusi DAP dan saki bakinya masih ada di dalam UBN. Saya tidak fikir dalam pilihan raya ke 13 kelak orang Cina akan memberi mandat besar kepada Pakatan Rakyat seperti mana didugakan. Orang Cina tetap dengan buah caturnya, mereka akan terus melakukan pemecahan berstrategi dengan menguasai Umno dan PKR - Pas. Mereka akan berada di dalam kedua kelompok itu dengan tujuan dan peranan masing-masing melakukan penggerudian dari dalam kedua kelompok itu.

Orang Cina kini berada dalam zone selesa kerana kedua pihak Melayu; Umno, Pas dan PKR memberi jaminan serta menunjukkan akan keperluan mereka kepada sokongan Cina. Begitu juga dengan Umno yang terdesak untuk mengekalkan kuasa akan menyerahkan apa saja untuk dilihat oleh orang Cina atau memenuhi kehendak mereka hatta memberi seluar dalam. Bak kata Mahathir tadi UBN dan Pakatan Rakyat sedang meminjam sesuatu dari orang Cina.

Bagi masyarakat Cina yang senantiasa dimomokan dengan rasa takut oleh retorika ketuanan Melayu mereka akan bersatu dan berkorban dalam keadaan apa sekali pun. Dengan memecahkan sokongan kepada Umno dan Pakatan Rakyat itu juga merupakan tektik dan helah penyatuan mereka.

Hakikat atau teori ini perlu disedar oleh pemikir politik Melayu. Mereka jangan asyik memikirkan kedudukan atau kuasa memerintah sedangkan kuasa memerintah itu adalah perkongsian ghaib yang lebih memihak kepada orang lain. Benarlah Melayu hanya menjadi tuan yang hanya menjaga hak milik orang.

Berbalik kepada Dr Mahathir tadi, saya tidak mahu berterima kasih atas kesedaran lewat beliau itu kerana kesedaran itu baru menimpa dirinya sesudah lebih 10 tahun setelah beliau tidak berkuasa. Sayang sekali realiti kebimbangan itu baru kini menyengat dirinya. Sepatutnya Mahathir sedar sejak 22 tahun lalu. Sayangnya selama 22 tahun semasa memegang kuasa Mahathir terlena. Beliau juga terlupa berfikir bahawa dengan persepakatan itu terus memberi keuntungan dan kekuatan kepada Melayu. Pemimpin yang bisteri ialah pemimpin yang kahsyaf dan tahu membaca masa depan.

Kenapa saya berkata begitu, kerana kalau Mahathir menyedari ini sejak 22 tahun lalu dia akan membina benteng rahsia untuk menguatkan Melayu menerusi kuasa yang ada kepadanya. Nampaknya mandat itu hanya mengahkan diri sebagai PM terlama negara ini tetapi bukan untuk mengukuhkan Melayu. Dia hanya memberi senang duniawi kepada segelintir Melayu tetapi menyusahkan 12 juta Melayu lain. Mahathir membazirkan masa begitu lama untuk Melayu.

Semasa beliau berkuasa tidak ada usaha mengklonkan ideologi Pas dengan Umno. Mahathir tidak sedikit pun menunjukkan minat ke arah itu. Saya tetap ingat setiap kali beliau merasmikan perhimpinan agung Umno suku dari masa ucapannya diambil untuk membelasah Pas dan pemimpin Pas khasnya Tok Guruku Nik Aziz.

Demikian juga untuk memecahkan kekuatan bukan Melayu tidak pernah diusahakan Mahathir. Dasar-dasar diperkenalkannya mendekati liberalisasi dan ekonomi sosialis telah memusnahkan permaufakatan dan keunggulan Melayu sebaliknya memberi ruang cukup luas kepada bukan Melayu membina kekuatan material bagi mencengkam bumi ini.

Saya keliru bila mana orang mengatakan Mahathir seorang radikal Melayu. Tetapi perancangan dan polisi pentdbirannya terlepas dari pentafisran radikal itu sebenarnya. Dasar penswataan misalnya telah menjadikan orang bukan Melayu menguasai ekonomi. Dasar metrokrasi menyebabkan bangsa Melayu kekurangan tempat di universiti dan begitu juga dengan beberapa polisi dan pendekatan lain.

Penghapusan pemimpin Melayu berbakat juga menyumbang kepada apa yang ditakuti dan dibimbangi oleh Mahathir sekarang ini. Umpamanya kebencian beliau kepada Tengku Razaleigh Hamzah, Musa Hitam dan terbaru dan terus dibenci ialah Anwar Ibrahim. Kasus membabitkan Anwar Ibrahim yang meletakkan Mahathir terjempit diantara kekepentingan bangsa dan kroni menjadi satu sejarah hitam bukan saja kepada Mahathir bin Mohamad tetapi bangsa Melayu seluruhnya.

Mungkin tatkala Mahathir meluahkan perasaan itu - kebimbangan mengenai nasib bangsa Melayu itu matanya mengalir dan rasa kesal menyerang ke dalam dirinya. Mungkin? Bagaimana pun hanya Mat Maslan boleh mentafsirkan air mata Mahathir. [wm.kl.9:47 am 13/10/11]

Wednesday, October 12, 2011

Ulasan Isu

Mujahid Perlu Dakwah Hu Pang Chiaw Agar Fahami Hudud

PENGERUSI Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) Hu Pang Chiaw menafikan yang beliau ada mengeluarkan spekulasi berunsur ugutan Pas kemungkinan akan kehilangan sokongan bukan muslim khasnya yang bergabung dalam DHPP sekiranya masalah hudud tidak dijelaskan tanpa mengambil kira pandangan mereka.

Pang Chiaw kata beliau tidak pernah berkata demikian tetapi tidak juga menjelaskan spekulasi beliau itu merupakan satu kekhalifan media massa atau tidak. Yang jelasnya kenyataan beliau itu menimbulkan kekesalan dan rasa kurang puas hati para penyokong dan ahli Pas.

Kenyataan beliau itu bukan saja dikritik secara diam oleh ahli Pas tetapi DHPP cawanagan Perak juga tidak begitu senang dengan telatah Pang Chiaw itu dan meminta Pang Chiaw menyaman akhbar yang memetik kenyataan itu kalau beliau benar tidak mengeluarkan spekulasi tersebut.

Sehingga kini tidak ada apa-apa tindakan perundangan diambil oleh Pang Chiaw sebaliknya satu kenyataan melegakan dikeluarkan oleh beliau seperti mana disiarkan oleh portal lidah rasmi Pas. Menurutnya DHUPP akan mensasarkan keangotaan sehingga 30,000 akhir tahun ini, begitulah kenyataan pemanis mulut dikeluarkan oleh DUPP semasa bertemu dengan Jabataan Pilihan Raya Pas di Parlimen kelmarin.

Langkah itu pada saya tepat dan itulah sepatutnya dimainkan oleh Pang Chiaw dan DHPP bukannya cuba hendak mencampuri urusan ‘peribadi’ Pas. Tentu sokongan Pas akan bertambah kuat kalau dewan itu berjaya mencapai apa yang diangan-angankan itu. Saya juga merasakan kenyataan terbaru itu sebagai hendak menyapu persoalan sensitif yang beliau (Pang Chiaw) keluarkan sebelum ini.

Sebelum ini saya ada mengulas dan menzahirkan perasaan kuang senang sesetengah orang Pas terhadap Pang Chiaw yang memberi kata dua kepada Pas itu. Bagi saya cara Pang Chiaw itu tidak sepatutnya kerana tindak tanduk beliau seolah-olah sudu hendak melebihi kuah.

Tampaknya kritikan saya terhadap sikap Pang Chiaw dan mempersoalkan kewajaran dewan itu mendapat respons segera dari salah seorang ahli lembaga penasihatnya Mujahid Yusuf Rawa yang juga tokoh muda Pas yang begitu seronok dengan kewujudan dewan itu. Kata Mujahid komen atau persoalan yang saya kemukakan itu tidak berpijak di bumi nyata kerana tidak memahami maslahat dan juga stategi politik menerusi dewan itu.

Sara raya saya tidaklah sejahil mana dalam soal ini dan arif mengenai startegi disebalik pewujudan dewan berkenaan. Seperti mana kata Mujahid untuk memecahkan tembok atau 'mental blok' yang wujud sebelum ini di antara Pas dengan orang Cina dewan itu diperlukan. Saya memahami hakikat itu, tetapi kenapa saya persoalkan bila dewan boleh atau sampai bersikap seperti Pang Chiaw yang bersikap tikus membaiki labu tidak ada gunanya kerana ia boleh menimbulkan masalah kepada Pas.

Saya memahami apa yang diajukan oleh Mujahid itu. Dalam suasan politik hari ini dan semakin rencamnya (liberal) dasar dan polisi Pas di tangan pemimpin muda profesional ini, mereka sangat memerlukan sokongan bukan Islam. Realiti masyarakat Malaysia Pas memerlukan sokongan Cina untuk menang lebih kurusi. Di kala kita meletakkan bendera kemenangan politik lebih penting dari bendera kemenangan Islam tulen, kewujudn dewan itu sangat mustahak. Soalnya apakah itu perjuangan mutlak Pas dan kaedah itu tepat?

Tetapi kalaulah wujud dan lantangnya suara seperti Pang Chiaw itu yang saya lihat sudah banyak fault maka ia wajar difikirkan semula atau meletakkan dewan itu dalam bentuk spra rasmi sahaja dan menghadkan mereka dari membuat kenyataan sesuka hati.

Atau pun ahli lembaga penasihat dewan itu perlu memantaunya agar mana-mana anggota atau pimpinan dewan itu tidak boleh bebas bercakap tanpa meletakkan kepentingan agama di belakang dan mengutamakan kepentingan politik. Betapa pun kita memerlukan sokongan tetapi sokongan itu janganlah sampai menjadi batil.

Satu segi ahli lembaga penasihat dewan seperti Mujahid itu melihat keperluan undi bukan Islam, tetapi dalam masa sama mereka (beliau) juga melihat kepentingan undi orang Melayu yang sedia ada. Satu kajian perlu dibuat sejauh manaka Pas mendapat untung dengan adanya dewan himpunan dan sejauh manakah pula Pas kehilangan undi dengan pendekatan yang diambil kini dan apakah di sini tidak berlaku pertindihan kepengtingan?

Saya pernah mengatakan secara peribadi kepada Mujahid, bahawa Pas begitu ralik dan ghairah menghimpunkan undi bukan Melayu tetapi seakan membiarkan undi Melayu. Sepatutnya hasil retreat yang dibuat Pas yang menerima hakikat Pas mengalami kemerosotan undi Melayu sampai 5 hingga 7% selepas enam pilhan raya disedari dan diperbaiki segera. Perlu ada sepihak dalam Pas kata saya mengambil kira perkara ini.

Tidak ada guna Pas mendapat undi bukan Melayu sampai 85% tetapi dalam masa sama Pas kehilangan undi Melayu lebih 5 peratus menjadi 38% saja berasaskan angka dalam pilihan raya lepas. Realiti yang perlu diingati bahawa undi Melayu kepada Pas alias Pakatan Rakyat berbanding dengan undi bukan Melayu diperolehi oleh UBN sekitar 5 atau 7%.

Kalau Pas atau Pakatan Rakyat tidak dapat mengekalkan undi ini nescaya dalam pilihan raya umum, Pakatan bukan saja tidak dapat menawan Putrajaya tetapi untuk mengekalkan status atau tahap kemenangan yang ada sekarang ini pun agak susah.

Berbalik kepada masalah DHPP tadi tentang hudud, lembaga penasihat hendaklah mengambil usaha memberi kesedaran dan kefahaman kepada anggota dewan itu dari masa ke semasa. Tampaknya pengerusi dewan sendiri masih kabur mengenai hudud. Beliau perlu diterangkan terlebih dahulu kalau tidak bagaimana beliau hendak bercerita fasal hudud kepada orang bawahannya. Kalau Hu Pang Chiaw sudah faham sedalam-dalamnya tidaklah terkeluar komen dan spekulasi yang beliau buat sebelum ini.

Untuk tujuan elok kalau Pang Chiaw perlu disampingi Mujahid sekerap yan boleh untuk memberi faham kepada Pang Chiwa antara kepentingan politik dan tuntutan Allah dalam konteks orang Islam. [wm.kl.5:35 pm 12/10/11]

Susupan Pagi

60 Kumpulan Nasyid Akan Sertai
Himpunan Sejuta Umat


SEBANYAK 60 buah kumpulan nasyid kontemporari yang bergabung dibawah Gabungan Penasyid-Penasyid Malaysia (Munsyid) akan ikut sama mengambil bahagian dalam Himpunan Sejuta Umat yang akan diadakan pada 22 Oktober bertempat di stadium Shah Alam nanti.

Wakil gabungan berkenaan telah menyatakan persetujuan untuk ikut sama memberi komitmen dalam himpunan berkenaan Isnin lalu dalam satu pertemuan dengan pihak Sekretrait Himpunan yang di pejabat kumpulan nasyid Rabbani di Bandar Manjaralara, Kuala Lumpur.

Pengerusi bersama Himpunan Dr Yusri Mohamed besama setiausaha Himpun hadir dalam pertemuan tersebut memberi tahu matlamat himpunan itu dan juga bentuk-bentuk pengisiannya pada majlis berkenaan yang mungkin dapat disumbangkan oleh kumpulan nasyid.

Selain kumpulan Rabbani yang merupakan kumpulan nasyid tersohor dan popular di negara ini yang mempunyai ribuan peminat kumpulan In-team dan Hijazz juga turut sama mengambil bahagian pada himpunan itu dan wakil mereka juga hadir mendapat penjelasan dari sekretariat Himpun.

Difahamlkan Munsyid akan menggubah beberapa lagu khas mengikut tema himpunan berkenaan untuk dipersembahkan kepada orang ramai secara percuma sebagai komitmen mereka kepada pembangunan Islam.

Orang ramai selain dari dapat menyatakan iltizam mereka menerusi himpunan untuk menjaga akidah umat Islam itu, mereka juga dapat berhibur dengan persembahan kumpulan nasyid berkenaan. [wm.kl.10:20 am 12/10/11]

Tuesday, October 11, 2011

Sengeh Malam

Akta Kawalan Kemasukan Pelajar Malaysia
Ke Universiti Asing Diperlukan


ADALAH diharap ada ahli Parlimen yang mengambil bahagian dalam perbahasan Bejet 2012 yang menyentuh Kementerian Pengajian Tinggi memberi perhatian berhubung akiviti kemasukan (mengurus kemasukan) pelajar negara ini di universiti luar yang dilakukan secara persendirian.

Sedar atau tidak kemasukan pelajar negara ini di beberapa buah universiti luar terutamanya di Indonesi, India, di Timur Tengah termasuk di universiti al Azhar Mesir telah menimbulkan masalah. Khabarnya ada semacam sendiket yang membawa atau menaja pelajar negara ini untuk memasuki mana-mana universiti di negara berkenaan.

Atasa alasan untuk memberi peluang penganjian kepada mereka, sendiket berkenaan telah mengenakan banyaran konsultan - urusan kemasukan yang tinggi sehingga mencecah RM5,000 hingga RM10,000 mengikut bidang pengajian yang diambil.

Sebagai contoh untuk kemasukan di bidang kedoktoran di universiti di Indonesia sendiket itu mengenakan bayaran antara RM3,000 hingga RM5,000 setiap pelajar. Manakala untuk tahun pertama bagi kurus perubatan pelajar dikenakan antara USD80,000 hingga USD100,000.

Jumlah ini tidak dipertikaikan oleh sesetengah ibu bapa yang ghairah untuk memberi peluang kepada anak mereka setelah tempat di universiti tempatan tidak dapat selalunya disebabkan tidak cukup nilai yang ditetapkan universiti bagi mengikut sesutau kursus.

Paling malang lagi ada pelajar yang ditipu sendiket berkenaan di mana wang urusan kemasukan sudah dibayar tetapi tempat tidak disediakan dan ada yang terpaksa melupai niat untuk melanjut pelajaran.

Pihak Kementerian Pengajian Tinggi khabarnya mengetahui akan sendiket atau aktviti membawa pelajar Malaysia ke luar ini. Bagaimana pun kementerian tidak dapat membuat apa-apa kerana tidak ada sebarang peruntukan akta atau undang-undang untuk mereka bertindak.

Justeru itu akta atau undang-undang kawalan terhadap kemasukan pelajar Malaysia ke universiti asing ini perlu digubal bagi mengatasi masalah dan memastikan tidak ada ibu bapa atau pelajar yang menjadi mangsa dengan kejadian itu.

Bukan itu saja kawalan itu juga perlu untuk memastikan nilai pendidikan yang diperolehi itu mencapai tahap atau standard yang ditetapkan. Ini kerana ada sesetengah kurus yang ditawarkan oleh universiti asing tidak memenuhi syarat atau piawai pendidikan negara.

Hendaknya ada mana-mana ahli Parlimen akan membawa perkara ini ke tengah semasa perbahasan Bajet 2012 ini. Perkara paling wajar dilakukan ialah dengan mengemukakan kepada Parlimen supaya menggubal satu akta pengawalan mengenai kemasukan pelajaran Malaysia di universiti luar. [wm.kl.8:13 pm 11/10/11]

Monday, October 10, 2011

Laporan Lewat

Ramah Mesra Pemimpin Pas Kota Bharu
Dengan Anak Kelantan Di Perantauan


HARI minggu semalam telah berlangusng majlis ramah mesra Wakil Rakyat Kota Bharu dengan anak-anak Kelantan di perantauan yang bergabung dalam Perkaran bertempat di perumahan Pantai Dalam Perai, Pantai Dalam.

Kesemua wakil rakyat dalam kawasan Kota Bharu hadir kecuali Annuar Tan Abdullah yang tidak dapat hadir kerana keuzuran terseliuh bahu.

Ahli parlimen Kota Bharu yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Kota Bharu, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah hadir bersama isteri pertamanya Kak Jah.

Adun Bunut Payung yang juga Timbalan Yang Dipertua Takiyuddin Hassan hadir tanpa membawa mana-mana isterinya. Manakala Adun Tanjung Emas, Wan Rohani Wan Ibarhim ikut sama hadir.

Adun semarak Wan Hassan Wan Ibrahim juga yang begitu mesra dengan pengundi luar menyempatkan diri ikut hadir sama. Khadiran atau penglibatan Wan Hassan dengan program parti di luar Kelantan sejak akhir-akhir ini begitu ketara. Kerajanan dan keperihatinanya perlu menjadi contoh kepada wakil rakyat lain.

Selain itu beberapa pemimpin Pas kawasan Kota Bharu juga turut sama hadir dalam majlis berkenaan, termasuk Ketua Penerangan dan Bendahari Nik azlan.

Majlis itu adalah kesenimbungan beberapa majlis atau pertemuan tidak rasmi peimpinan Pas Kota Bharu dengan anak-anak Kelantan yang berada di perantauan.

Dalam majlis dihadiri lebih 200 orang itu, selain daripada hadiri dihidang dengan makan tengah hari dan perembahan dikir barat, anak-anak Kelantan dapat penjelasan berapa isu politik semasa khasnya yang bersangkutan dengan Kelantan. Misalnya mengenai ketegasan Pas mengenai hukum hudud.

Takiyuddin Hassan yang juga Anggota Exco menjadi jurucakap dalam pertemuan itu menjelaskan akan kedudukan hukum hudud kini yang mendapat sokongan rakyat Kelantan.

Katanya himpunan kesyukuran hudud yang diakan di stadium Muhammad Ke IV beberapa hari lalu membuktikan sokongan padu rakyat Kelantan terhadap hudud.

Selain itu Takiyuddin juga turut berintraksi dan menjawab beberapa persoalan dan resposn ke atas cadangan yang dibangkit oleh anak Kelantan berhubung masa depan kerajaan Pas Kelantan. Antara yang dibangkitkan mengenai kebersihan, jenayah dan juga tentang bajet 2012 yang baru dibentang serta nasib rakyat Kelantan yang berada di luar.

Menurut Takiyuddin kerajaan Kelantan memang menyedari semua masalah itu dan ia sedang mengatasinya secara berperingkat. Dalam pada itu katanya kerajaan bercadang untuk mewujudkan Little Kelantan di Kuala Lumpur yang akan mempromosikan Kelantan serta menyediakan lokasi khas untuk rakyat Kelantan berniaga atau mempromiskan barangan jualan mereka.

Terlupa turut sama hadir dalam pertemuan itu bekas Ketua Pemuda Umno Ketereh yang kini sudah bersama Pas Soberi Shafii dan juga bekas Timbalan Ketua Umno Rantau Panang yang kini merupakan aktivis Pas di Rantau Panang Rushdan Mustafa. [wm.kl.6:42 am 10/10/11]

Sususpan Petang

MP Pakatan Selamatkan RM30 Juta Wang Rakyat

AKHIRNYA Putrajaya terpaksa menarik balik cadangan untuk menyemak semula kemudahan untuk Ali Parlimen seperti mana diumumkan oleh Menteri Kewangan dalam Bajet 2012 yang dibentangkan pada Jumaat lalu. Perkara itu diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nazri Aziz hari ini.

Kata Nazri beliau telah menarik balik cadangan itu selepas mendapati ahli Parlimen pembangkang tidak bersetuju dengan cadangan untuk menyemak kemudahan untuk ahli Parlimen itu. Cadangan itu katanya membabitkan peruntukan sebanyak RM30 juta.

Nasib baik juga ahli Parlimen pembangkang membuat bising kononnya tidak bersetujuan dengan cadangan berkenaan. Syabas kepada ahli Parlimen pembangkang, penolakan itu menunjukkan mereka tidak pelahap untuk menambahkan kemudahan untuk diri sendiri dan berpadan dengan apa yang ada.

Peruntukan itu mebabitkan RM30 juta ringgit. Dengan perkiraan mudah seorang ahli perlimen akan mendapat RM135,000 seorang di mana dengan wang itu membolehkan mereka mendapat sebuah kereta Honda Civi 1.8 untuk diberikan kepada anak gadis atau kekasih atau isteri muda yang berbaju hijau.

Penolakan ahli Pembangkang itu menjelaskan akan keikhlasan mereka. Apa yang mereka perjuangkan bukan untuk diri sendiri tetapi untuk rakyat. Inilah perbezaan sikap di antara ahli parlimen pembangkang dengan ahli pembangkang UBN yang selamanya ketidakcukupan wang.

Sekiranya Menteri Kewangan atau Nazri bermurah hati untuk membantu ahli Parlimen bukan menambahkan kemudahaan saraan hidup tetapi berikan hak kepada mereka untuk sama mengagihkan wang kepada rakyat yang diperuntukan RM1 juta untuk satu parlimen. Selama ini peruntukan diberikan kepada ahli parlimen UBN saja, manakala ahli parlimen Pakatan Rakyat dikecualikan.

Rasanya kalau menteri kewangan mencadangkan mekanisme itu ahli parlimen pembangkang - tidak termasuk enam orang ahli parlimen hantu, tentu akan bersetuju kerana ia melibatkan kepentingan rakyat.

Dengan tindakan Nazri itu - menarik balik peruntukan bererti semakan untuk saraan tambahan ahli parlimen tidak akan jadi kenyataan ini menyebabkan ahli parlimen UBN yang tidak kecukupan wang termasuk enam orang hantu juga akan kebuluran. Sekali lagi tahniah dan syabas kepada ahli parlimen pembangkang - Pakatan Rakyat yang tidak mengutamakan perut tetapi lebih melihat masalah rakyat. [ttdi.4:56 am 10/10/11]

Sunday, October 9, 2011

Berita Dukacita

Pengarah Pilihanraya PKR Kelantan Kembali Ke Rahmatullah

BARU sekejap tadi saya menerima pemakluman dukacita dari Ketua Cabang PKR Pasir Mas, Dr Wan Suhaimi Wan Daud yang memberi tahu Pengarah Pilihanraya PKR Kelantan Wan Ibrahim Wan Abdullah (foto) telah meninggal dunia akibat serangan jantung jam 5:00 petang tadi. Serangan itu berlaku ketika Allayarham sedang memandu kereta.

Wan Ibrahim baru dilantik sebagai Pengarah Pilihanraya PKR untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang. Allahyarham juga diberi tanggungjawab menyusun strategi PKR untuk menghadapi pilihan raya termasuk berunding menentukan kerusi bersama Pas.

Sebelum ini Wan Ibrahim merupakan seorang tokoh Pas di zaman Mohd Asri Muda yang merupakan seorang pejuang yang gigih dan setia kepada pemimpin.

Semasa berjuang dalam Pas Allahyarham beberapa kali telah dikenakan tindakan tukar ke luar Kelantan namun tindakan itu tidak pernah mengurangkan sokongannya kepada Pas.

Dalam pilihan raya umum tahun 1982 beliau diletakkan bertanding oleh Pas dikerusi parlimen Pasir Mas dan menenangi kerusi tersebut mengalahkan Abdul Rahman Daud dari BN dengan majoriti 964. Allahyarham mendapat 14,574 manakala Abdul Rahman mendapat 13,610.

Sewaktu berlaku krisis kepimpinan dalam Pas yang membawa kepada Asri keluar Pas menubuh Parti Hizbul Muslim (Hamim) Wan Ibrahim ikut bersama Asri. Kesetiaanya bersama Asri bagaimana pun tidak membawa kepada penyertaannya ke dalam Umno.

Ekoran targedi pemcatan Anwar Ibrahim dari Umno tahun 1998 Wan Ibrahim berjinak dengan perjuangan reformasi yang dipelopori Anwar dan akhirnya menyertai Parti Keadilan. Minat dan semangat juangnya menyebabkan beliau sering kelihatan pada majlis-majlis besar anjuran PKR atau pun sewaktu berlangsung pilihan raya kecil membabitkan PKR atau Pakatan Rakyat.

Semasa pilihan raya kecil Dun Tenang Johor lalu beliau turut sama hadir untuk membantu calon Pas Cikgu Mala. Kalau tidak salah kali terakhir saya menemui beliau ialah semasa Kongres Nasional PKR pertengah tahun lalu di MPPJ Petaling Jaya.

Sewaktu para pemimpin PKR menanti ketibaan Anwar Ibrahim di lapangan terbang Sultan Ismail Petra Pengkalan Chepa pada petang Khamis lalu saya tertanya-tanya beliau apabila tidak kelihatan. Selalunya beliau akan hadir untuk menyambut ketibaan Anwar dan tidak pernah terlepas untuk berbual dengan saya dan mengulas isu-isu semasa politik.

Malangnya pertanyaan itu tidak dijawab oleh sesiapa. Ketidakhadirannya pada petang itu seolah-olah sudah menandakan beliau akan pergi selama-lama meninggalkan tugas dan tanggungjawab sebagai pengarah pilihan raya yang belum selesai.

Secara peribadi saya mengenali Wan Ibrahim, yang dimesrai dengan panggil cikgu sejak tahun 1978 lagi. Beliau seorang yang mudah diajak berbual dan menghormati sesiapa saja disamping suka bergurau. Wataknya yang mudah tersenyum menyebabkan beliau mesra dengan sesiapa saja. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan bersama roh para kekasih Allah. Al Fatihah. [wm.kl.7:42 am 09/10/11]

Leteran Hari Minggu

Pang Chaw Jangan Ugut Pas

PENDIRIAN Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong Pas, Hu Pang Chaw (foto) seperti mana dilaporkan oleh sebuah portal berita seakan menempati kebimbangan yang lama bersarang dihati, bahawa kehadiran kelab penyokong itu sesuatu yang tidak perlu diagung-agungkan sangat dan kemungkinan ia bakal mengundang masalah kepada Pas.

Entah kenapa saya kurang yakin dengan keikhlasan himpunan berkenaan yang terdiri dari bukan muslim untuk menyokong perjuangan Pas. Bagi saya adalah silap Pas membentuk sebuah sayap dinamakan Dewan Himpunan Penyokong Pas dengan memberi ruang luas kepada mereka termasuk dapat mengambil bahagian dalam muktamar.

Sesetengah pemimpin Pas begitu ghairah untuk membuka pintu Pas kepada bukan Islam sehingga tidak dapat membaca tanda di hujung perjalanan. Hakikat bahawa iltizam dan azam di antara bukan muslim dengan orang muslim tetap ada perbezaan dan kepentingan yang tidak boleh dialpakan?

Fungsi dan peranaan kelab itu sepatutnya dihadkan sebagai sebuah kelab seperti mana kelab penyokong pasukan bola sepak saja. Mereka boleh bertepuk dan memberi sokongan moral dan material tetapi jangan sampai menganggui kerja-kerja jurulatih dan pihak pengurusan.

Kalau mereka sudah bertindak jauh ingin mengajar jurulatih dan mengajar pihak pengurusan mentadbir ia sudah satu keadaan campur tangan dan agak melampau. Kelab itu juga tidak mengetahui sejauh mana kuasa atau apa yang mereka perlu lakukan.

Itulah apa yang berlaku kini yang saya rasakan. Dewan himpunan itu cuba memainkan peranan jauh ke dalam termasuk menyentuh soal-soal polisi dan dasar Pas. Tindakan seperti itu sudah tidak kondusif lagi sebagai fungsi sebuah himpunan yang bertindak sebagai kelab penyokong.

Peluang atau keterbukaan yang diberikan oleh Pas itu kini sudah menjadi masalah. Kalau ia tidak dilendikkan ia bakal menyerabutkan parti itu. Dengan beberapa tindak tanduk atau kenyataan-kenyataan berupa desaan dikeluarkan oleh sesetengah anggota dewan himpunan itu berpotensi untuk membawa masalah kepada Pas. Adalah wajar kalau penasihat kepada kelab berkenaan mengambil langkah perlu sebelum sesuatu yang lebih buruk berlaku.

Untuk mengelak tindakan ini lebih luas, mungkin satu kod etika kepada kelab berkenaan perlu dikeluarkan untuk pengetahuan umum. Dengan adanya garis panduan itu ia dapat difahami oleh segenap ahli Pas mengenai apakah peranan dan juga tanggungjawab yang perlu dipikul dan tidak perlu dipikul oleh himpunan itu.

Keadaan tidak kondusif ini mulai terasa apabila ketuanya, Hu Pang Chaw bercakap topik yang diluar bidang kuasanya sehingga seolah-olah ia dianggap mempunyai autoriti penuh kepada dewan itu. Terbaru kenyataan (peringatan) beliau mengatakan Pas akan kehilangan sokongan sekiranya gagal memberi penjelasan mengenai pendirian tegas Pas dan Tok Guru Nik Aziz mengenai hukum hudud.

Kata Pang Chaw, Pas kemungkinan akan kehilangan sokongan bukan muslim dan menyebabkan ahli dewan itu akan bertinda keluar kelab beramai-ramai kalau masalah hudud tidak dijelaskan dengan sempurna. Beliau juga membayangkan hubungan atau sokongan bukan muslim seperti orang berkasih di mana kalau sudah tidak sesuai ia boleh memansuhkan sokongan.

Kenyataan itu berbau ugutan dan ancaman serta ia menunjukkan keegoaan beliau sebagai ketua. Pang Chaw juga sombong bila mengatakan Pas perlu mengambil pandangannya sebelum hendak melaksanakan hudud? Jelas kenyataan itu menunjukkan himpunan itu sudah besar kepala. Pang Chaw telah meletakkan dia sebahagian entiti penting di dalam Pas yang boleh menganggu pelaksana dasar dan asas perjuangan awal Pas.

Kenyataan pengerusi himpunan itu anih sedikit. Bukankah Pang Chaw adalah ketua kepada dewan himpunan berkenaan. Kalau beliau ikhlas dan mahu melihat sokongan kepada Pas di kalangan bukan muslim padu, maka beliau sendiri harus memainkan peranan memberi penjelasan. Beliau tidak sepatutnya menzahirkan rasa bimbang berupa ugutan tetapi mengambil langkah mengatasinya khasnya di kalangan ahli yang jahil mengenai hudud dan perjuangan asas Pas.

Dewan himpunan atau Pang Chaw sendiri janganlah ada agenda di sebalik sokongan itu. Kalau mereka juga ada agenda ia tidak akan memberi apa-apa makna dan erti lagi. Pang Chaw sendiri jangan menjadikan dewan itu sebagai kuasa untuk bertarik tali kerana inginkan sesuatu bersifat personal. Saya yakin penerimaan Pas ke atas dewan itu seadanya saja tanpa melupai akan habuannya sekira Pas dan Pakatan Rakyat berjaya menjadi kerajaan.

Sebelum kemenangan tercapai eloklah himpunan itu beperanan seperti yang ada ini bukannya menjadi 'duri kemen' yang membelit kaki apabila tersepak batangnya.

Imbasan hari ini nampaknya Pang Chaw sudah mulai menunjukkan kuasa dan menggunakan dewan berkenaan untuk merealisasikan beberapa keinginan dan juga kehendaknya. Lebih tepat lagi kalau dikatakan dewan itu digunakan untuk mencapai kemenangan peribadi, bukan kemenangan Pas.

Khabarnya sudah ada desakan agar sebuah kerusi senator diberikan kepada ketua himpunan itu.

Bagaimana pun diharap Pas tidak terancam dengan amaran yang diberikan oleh Pang Chaw itu. Hakikat yang ada kepada himpunan itu ahlinya sekitar 20,000 orang saja. Saya yakin bukan Islam yang menyokong Pas kerana Pas bergabung dengan Pakatan Rakyat lebih daripada kekuatan ahli himpunan itu. Dalam konteks Kelantan pula Pas tidak memerlukan sokongan padu dari bukan muslim untuk merealisasikan cita-cita agamanya.

Pas tidak perlu layan kebimbangan negatif disuarakan oleh Pang Chawi itu. Pas tidak akan 'kalah' tanpa sokongan golongan yang menyimpang dari perjuangan asalnya atau yang jahil mengenai Pas sebagai sebuah parti agama. Perjuangan Pas bukan saja hendak memiliki dunia, tetapi Pas mahu keredhaan Allah. Tidak ada guna bagi Pas menang kalau kemenangan itu tidak diredhai Allah. Kekalahan diredahi lebih baik kemenangan yang dimurkai.

Kepada Pang Chaw khasnya janganlah cuba mengambil kesempatan untuk menggeletek Pas dalam suasana hari ini. Kalau dewan itu ingin berkawan dengan Pas berkawanlah dengan ikhlas atas semangat ingin melihat perubahan dan jangan diselit dengan unsur-unsur perdagangan dan perniagaan. Sikap suka mengambil kesempatan atau menahan lukah di pergentingan tidak sesuai di musim ini. [wm.kl.10:16 am 09/10/11]