ULASAN
Hishamuddin Hussein menjelaskan tugas pertamanya sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas ialah untuk mengawal keselamatan di Sabah dan Kawasan Keselamatan Khas Sabah (Esscom). Katanya tugas itu bagi membantu perdana menteri Najib Razak. Najib Razak adalah pengerusi Esscom manakala TPM Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Sabah Musa Aman adalah Timbalan Pengerusi bersama lembaga Esszone.
Apa boleh difahamkan, tugas Hishamuddin itu memberi pengertian bahawa Najib kini dalam keadaan terdesak untuk melihat Sabah menjadi negeri simpanan tetap kepada BN bagi memastikan dia kekal sebagai PM. Najib sendiri sudah menyedari bahawa dengan kudrat dan idarat, pengaruh peribadinya dan kapasitinya sebagai PM tidak mampu untuk menyakinkan rakyat Sabah.
Pelantikan Hishamuddin itu juga menunjukkan beliau tidak mempercayai kepada Zahid dan Musa Aman. Peranan Hishamuddin di situ ialah untuk memantau kerja-kerja Zahid dan Musa Aman, tetapi disebaliknya lebih untuk menjadi "mata-mata" kepada Najib.