Showing posts with label Politik Sabah. Show all posts
Showing posts with label Politik Sabah. Show all posts

Saturday, December 10, 2022

Pas masih ada waktu untuk jadi bijak politik

ULASAN SABTU

PERKEMBANGAN terkini politik di Sabah boleh mencetuskan kemelut politik kebangsaan berterusan. Walaupun ia tidak mengganggu kerajaan Perpaduan yang kian kukuh dan padu, tetapi senario di Sabah itu memberi suasana tidak damai kepada iklim politik negara. Ia mencetuskan satu lagi isu yang memadatkan minda umum. 

Semalam dilaporkan semua wakil rakyat Bersatu Sabah mengumumkan meninggal parti tersebut untuk berada dalam GRS sebagai parti atau pertubuhan mereka. Ketua Bersatu Sabah yang juga Ketua Menteri Hajiji Noor mengumumkan mereka keluar daripada Bersatu beramai-ramai.

Thursday, July 30, 2020

Usaha rampas kerajaan Warisan Sabah gagal, DUN bubar

NOTA PETANG

PEMBUBARAN DUN Sabah menyelamatkan kerajaan Shafei daripada ditumbangkan seperti mana kerajaan PH di peringkat Persekutuan. 

Kemelut politik Sabah meruncing sehari dua ini apabila Musa Aman berjaya mendapat sokongan beberapa orang Adun untuk bersamanya menumbangkan kerajaan Wairsan. Beberapa orang Adun termasuk daripada PKR, DAP dan Warisan dikatakan telah bersetuju untuk berpaling tadah dan bersama Musa Aman. 

Musa yang pernah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri selepas Piraum lalu, kemudian dinafikan oleh Shafei mula menggerakkan agenda merampas kerajaan Warisan sebaik sahaja beliau dibebaskan daripada kesemua 47 pertuduhan pengubahan wang haram apabila selepas kerajaan PH ditumbangkan. 

Thursday, December 13, 2018

Gelora politik Sabah timbulkan beberapa implikasi

ULASAN SUBUH

Wakil rakyat Umno Sabah umum keluar parti.
TINDAKAN 13 wakil rakyat Umno Sabah bersama 21 ketua bahagian mengumum meninggalkan Umno semalam menjadikan lautan siasah di negara itu bergelombang dan kesannya turut memberi beberapa implikasi kepada politik Malaysia. Mereka yang bertindak keluar Umno terdiri daripada sembilan ahli parlimen, enam Adun serta dua ahli Dewan Negara. 

Tuesday, April 18, 2017

Najib terdesak di Sabah terpaksa hantar Hishamuddin

ULASAN

Hishamuddin Hussein menjelaskan tugas pertamanya sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas ialah untuk mengawal keselamatan di Sabah dan Kawasan Keselamatan Khas Sabah (Esscom). Katanya tugas itu bagi membantu perdana menteri Najib Razak. Najib Razak adalah pengerusi Esscom manakala TPM Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Sabah Musa Aman adalah Timbalan Pengerusi bersama lembaga Esszone.

Apa boleh difahamkan, tugas Hishamuddin itu memberi pengertian bahawa Najib kini dalam keadaan terdesak untuk melihat Sabah menjadi negeri simpanan tetap kepada BN bagi memastikan dia kekal sebagai PM. Najib sendiri sudah menyedari bahawa dengan kudrat dan idarat, pengaruh peribadinya dan kapasitinya sebagai PM tidak mampu untuk menyakinkan rakyat Sabah.

Pelantikan Hishamuddin itu juga menunjukkan beliau tidak mempercayai kepada Zahid dan Musa Aman. Peranan Hishamuddin di situ ialah untuk memantau kerja-kerja Zahid dan Musa Aman, tetapi disebaliknya lebih untuk menjadi "mata-mata" kepada Najib.

Friday, March 29, 2013

Demi Kemenangan UBN di Sabah, Rakyat Filipina Perlu Pulang

TAZKIRAH JUMAAT                                                                                                        

Sebahagian besar peniaga dalam pasar ini orang Filipina.
Kalau kita menerima pandangan dan analisa sesetengah orang dan pemerhati politik, tragedi pencerobohan Lahad Datu yang membawa pertumpahan darah sesama serumpun dan segama, ianya sebagai satu tektik atau sandiwara orang akan marah. Kerajaan akan melenting 'murih' kepada penuduhan demikian. Pasukan keselamatan juga marah kerana anggota mereka sudah terkorban, tinggal anak dan isteri, masakan ia satu sandiwara. Nyawa bukan barang boleh dimain-mainkan walaupun nyawa Altantuya dilayan seperti nyawa seekor semut hitam.

Apa yang berlaku di Lahad Datu itu, pencerobohan, serangan, pembunuhan dan kematian adalah realiti. Ia sesuatu yang betul-betul berlaku akibat nafsu dan kurang bijaknya manusia dalam menguruskan kehidupan atau pun terlupa dengan kata-kata sendiri.

Polis mati.. sahih. Penceroboh mati... sahih. Orang awam berpindah randah dan ketakutan.. sahih. Kedamaian di Sabah Timur yang dikecap dan dinikmati selama ini terganggu dan tercemar adalah sahih. Semuanya sahih belaka.

Wednesday, August 22, 2012

Sarawak Pula Bakal Terbelah?

ANALISA SEMASA

Keretakan BN Sabah sudah pun terserlah, ia bukan lagi retak yang menanti belah tetapi sudah terbelah. Cuma apa yang terbelah itu belum berpisah (tercabut) lagi, umpama kelapa yang dibelah dua, di antara satu sama hanya terikat dengan beberapa urat sabut sahaja. Apakah majlis atau himpunan sempena hari Malaysia pada 15 dan 16 September yang bakal diadakan di Sabah dan Sarawak kelak akan menyaksikan dua 'tempurung' itu akan berpecah dan terpisah di antara satu sama lain?

Tanggal itu nanti akan ada beberapa tokoh BN di Sarawak mengistyharkan meninggalkan komponen yang mengusang itu?

Anwar sebelum masuk ke bilik mesyuarat di Sabah.
Kita tunggu saja perkembangan di Sabah yang begitu mencemaskan UBN dan memberi sinar dan harapan baru kepada Pakatan Rakyat kini. Anwar Ibrahim sendiri nampaknya begitu konfiden dengan apa yang berlaku di Sabah dan Sarawak muasir ini. Buktinya kalau beliau tidak konfiden Sabah dan Sarawak akan mengenapkan korum untuk menguasai parlimen Malaysia, penasihat umum PKR itu tidak akan bermain dengan kata-kata atau janji lisan politik; kalau tak menang dia akan bersara. Sudah dua kali Anwar menzahirkan kononnya dia akan bersara kalau pilihan raya kali ini tetap juga tidak berpihak kepada Pakatan Rakyat.

Amat 'rohok' bagi seorang politik melafazkan perkataan bersara secara mudah. Perkataan bersara tidak ada dalam kamus orang politik. Betapa pun kalau sudah sampai masa bersara, di dalam persaraan itu pun mereka masih aktif dan terus memainkan peranan. Itu Mahathir Mohamad walaupun sudah pensiun tetapi ada kalanya lebih laju dan lantang dari mereka yang masih memegang kuasa. Mahathir tidak akan bersara penuh selagi Udin anak Yassin belum jadi PM dan anaknya Mukhriz menjadi timbalan Udin. Kalau pun dia ditakdirkan meninggal sebelum anaknya berjaya dalam politik mungkin keranda dan batu nisannya tetap akan berkempen untuk Mukhriz?

Mahathir berbeza dengan Abdullah Badawi yang mengotakan katanya bila sudah pensiun dia terus pensiun dan menjadi negarawan dihoarmti.

Apa tah lagi dengan Anwar yang gelora perjuangannya bukan berdebur dan mengamuk sejak beliau mengenali politik Umno, (1982) tetapi ia bermula di bangku sekolah lagi. Jadi saya tidak fikir Anwar semudah itu akan bersara, melainkan kata-kata yang dilafazkan itu satu ejekan atas keyakinannya selepas ini rakyat akan menukar kerajaan dan beliau bakal dinobat sebagai Perdana Menteri.

Munasabah dan berasas kalau Anwar berkeyakinan begitu. Malaysia Timur nampaknya akan menjadi pemacu kepada perubahan kerajaan di Malaysia. Istidraj politik nampaknya akan berlaku di negara ini. Yang akan menjadi pemangkin membalikkan kerajaan BN bukan di Semenanjung tetapi di Sabah dan Sarawak?

Tanda-tanda awal ini sudah jelas dan kini sedang menanti tanda-tanda pertengahan. Selapas Sabah terbelah, kini ia sudah memborak (merebak) ke Sarawak pula. Mungkin perpecahan di Sarawak tidak begitu ketara lagi. Justeru ada yang merasakan Sarawak masih menjadi simpanan tetap BN. Umno khasnya masih menyanyi lagu simpanan tetap 1 Malaysia. Tetapi sedarkah dengan beberapa perkembangan terbaru yang menjadi negatif kepada UBN sehari dua ini sedang berlaku di Sarawak? Adalah satu kesilapan bagi UBN dan Ha Najib Razak kalau menerima apa yang berlaku ini perkara biasa. Sikap menganggap fenomena itu perkara remeh bakal menjerat leher UBN dan Ha Najib.

Perkembangan yang bakal menyebabkan Najib akan menggaru kepala separuh botak yang tidak gatal itu ialah apabila beberapa pemimpin tertinggi BN di Sarawak termasuk Taib Mahmud sudah mula membuat jentikan minda kepada Najib dan memberi mesej jelas apabila beliau mahukan kerajaan Persekutuan (Petronas) membuat semakan ke atas royalti minyak 5% untuk Sarawak? Apakah maksud Taib Mahmud ini? Ia tidak boleh dipandang mudah dan makna di sebalik mesej itu yang dibuat dalam situasi hari ini hendaklah difahami searif mungkin.

Jika hubungan Taib dengan Najib lendik, tidak mungkin Taib akan membuat usikan itu. Taib tidak akan bergurau dengan Najib dalam keadaan seperti hari ini. Gurauan itu adalah gurauan biawak! Gurauan yang boleh meresahkan Najib. Atau kalau Sarawak hendakkan juga, Taib harus bersuara dalam senyap dengan membisikkan kepada Najib. Tetapi apabila dua menteri kanan Sarawak turut bersuara hal itu menunjukkan Sarawak sedang bermasalah dengan Kuala Lumpur, dan desakan itu terbuka.

Dua menteri kanan yang meminta kadar royalti petroleum untuk Sarawak dikaji ialah James Masing dan Fatimah Abdullah, demikian menurut sdr Musli Oli menerusi Fbnya. Mereka ini tidak akan menyuarakan subjek yang sensitif ini kalau tanpa restu Taib. Soalnya pula kenapa Taib mengizinkannya mereka menimbulkan perkara itu? Persoalan dan keluarbiasan inilah yang perlu dimasukkan ke dalam mahkmal politik Najib untuk dianalisis.

Bagi seorang pemain politik yang bijak dan licit persis Taib waktu inilah untuk dia membuat apa-apa tuntutan kepada Najib. Taib adalah pengguna wang paling handal untuk ketahanan politiknya di rantau ini. Masa ini adalah terbaik. Dalam Najib belum selesai dan gagal menyelesaikan tuntutan beberapa perkara di Sabah menyebabkan tokoh-tokoh dan kerabat BN meninggalkan parti itu, inilah masanya untuk Taib mengerudi Najib. Politik mana ada belas kesihan dan simpati dan selalunya orang politik akan menyerang musuh dan kawannya sendiri waktu mereka sakit. Opotunis dan hipokrasi adalah dua dari empat rukun politik, 4C.

Apa perlu diingatkan Taib ada terasa hati dengan Najib semasa pilihan raya negeri Sarawak dulu bila mana Najib secara terbuka meminta Taib berundur demi menyelamatkan Sarawak. Gesaan itu meninggalkan kesan mendalam di hati Taib. Taib tidak akan melupai sama sekali gesaan itu yang dianggap ia adalah cabaran jiwa terbesar untuknya. Apakah dengan kesan itu tidak mustahil kalau Taib ingin mengajar Najib bagamainan untuk bermain dengan kuasa politik?

Anwar dalam satu pertemuan di Sarawak.
Mungkin Taib sedar tuntutan atau permintaan Sarawak itu akan dilayan. Dalam keadaan Najib memerlukan Sarawak setelah Sabah terbelah kini, bagi fikiran Taib, Najib akan memenuhinya. Kerana itulah beliau mengacah beruk ke atas Najib. Waluapun sukar Najib akan cuba memenuhinya demi menyelamatkan simpanan tetap dalam banknya di Sarawak.

Taib pula boleh saja untuk terus ugut Najib dengan membuat kenyataan kemungkinan PBB juga akan meninggalkan BN. Kalau inilah dibuat Taib Najib boleh jantuh pengsan terus dan Rosmah juga boleh tersalah ambil fesyen coli yang hendak dipakainya.

Kerenah Taib dan beberapa orang menteri kabinet Sarawak ini merimaskan Najib dan memberi denyutan baru di kepala Najib. Ia mungkin menyebabkan Najib akan terbang malam ke Sarawak pula kali ini seperti mana pernah dilakukan ke atas Sabah baru-baru ini. Beliau akan jadi seperti kucing kejatuhan anak, ke hulur dan ke hilir menyelesaikan masalah yang makin bertimbun dan menyerabut.

Dalam pada itu usikan Taib di Sarawak itu tambah menyakinkan padangan ramai bahawa pilihan raya umum ke-13 mungkin dilewatkan sampai ke tahun depan dan menyebabkan ramalan Sabah dan Sarawak bakal menjadi pemancu sebenar kepada perubahan kerajaan negara ini semakin nyata. [kb.10:20 am 22/08/12] Tan edit.

Sunday, August 12, 2012

Pertemuan Sulit Yang Terbuka Di Sabah

 DARI KOTA KINABALU

[kemaskini] Mungkin terlalu awal untuk saya mengatakan Sabah akan tumbang dan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum akan datang. Tetapi kalau orang bertanya saya mengenai Sabah, saya akan jawab Sabah kini sudah separuh dalam genggaman Pakatan Rakyat.

Kedudukan Sabah kini berbanding dengan Sarawak, Sabah lebih bahaya kepada BN. Wajar kalau Najib Razak perlu kerap turun ke Sabah untuk menyelamatkan kapalnya yang bakal karam.

Anwar berkata sesuatu sebelum memasuki ke bilik pertemuan.
Alhamdulilah saya dapat saksi sendiri apa yang berlaku di Sabah kini. Berbaloilah saya turun ke Sarawak dan Sabah bagi mengikuti perkembangan yang sedang berlaku.

Sabah kini bagi UBN ibarat sebuah kapal yang sedang karam. Makin hari kapal itu makin senget dan bakal ghaib akan ditelan lautan. Sudah tidak ada iktiar dan usaha untuk menyalamatkan Sabah. Umno kini hanya boleh berdoa dan menyediakan mangku untuk menanda air mata saja. Selepas ini ketua menteri Sabah bukan lagi dari Umno tetapi dari Pakatan Rakyat.

Seorang pegawai tinggi kerajaan dipetik sebagai berkata, ..Najib bawalah berapa ratus billion ke Sabah tidak boleh menyelamatkan Sabah. BN akan kalah di Sabah. Sejajar itu saya teringat kata-kata seorang hartawan Sarawak malam tadi yang mengatakan dia kini sedang berkempen supaya rakyat Sarawak ambil duit tetapi undi pembangkang.

Maksudnya wang tidak akan memberi apa-apa erti dan jaminan lagi untuk Umno selamatkan Sabah.  Rakyat Sabah memang mahukan wang, tetapi kali ini mereka tidak mungkin akan mengundi BN lagi. Mungkin kerana menyedari itu... dengan melihat body language rakyat Sabah menyebabkan pegawai kerajaan itu bermadah demikian. Ertinya Sabah sudah tenat dan sukar untuk diselamatkan lagi.

Cerita Sabah akan tumbang ini saya dengar sejak beberapa minggu lagi. Sejak keberanian Lajim Ukin dan Wilfred Bamburing mengambil tindakan keluar parti meninggakkan BN. Tindakan itu mencetus semangat baru di kalangan rakyat Sabah dan menjadi membentuk momentum hari ini. Tetapi saya tidak begitu yakin kerana saya tidak apat melihat sendiri perkembangan di Sabah. Menjadi perangai saya sukar untuk mempercayai sesuatu yang hanya dikhabarkan sehinggalah saya lihat, rasa dan alamai sendiri.

Semasa di Makkah dua minggu lepas juga saya sudah medapat berita berkenaan. Bahawa berlaku gelombang dan kesedaran politik dahsyat di Sabah. Anihnya gelombang itu bukan kerana ia meriak dari Kuala Lumpur, tetapi ia meletus di Sabah sendiri. Gelombang yang bakal menenggelamkan kerajaan UBN Sabah bukan berwabak dari Kuala Lumpur tetapi ia muncul dari Sabah sendiri.

Atas tanggungjawab itu maka saya menyusahkan diri terbang ke Kuching kemudian ke Sabah untuk  semata-mata melihat dengan mata kepala saya sendiri mengenai apa yang berlaku. Pada catatan permulaan ini saya tidak mahu membongkar berbagai kepelikan dan keanihan yang berlaku di Sabah yang mengarah kepada perubahan besar politik di negeri bawah bayu ini.

Cukup kalau saya menyebut pertemuan Anwar dengan para pemimpin politik Sabah tengah hari tadi mengesahkan kata-kata bahawa Sabah di ambang kehancuran buat UBN. Para arkitek politik Sabah sedang merangka bagaimana proses penumbangan itu dan memikirkan pula bagaimana untuk membangun bentuk politik baru yang lebih diterima serta menyakinkan.

Belum pernah rasanya peristiwa seperti ini berlaku. Dan ini amat menggembirakan Anwar saya kira yang secara tidak langsung perjuangannya selama lebih 10 tahun dalam kandang penderitaan sudah disedari akan kepentingan dan keperluannya. Anwar kini sedang mengutip hasil dari perjuangannya menyedar dan membela rakyat yang dilakukannya. Sebagaimana apa yang Anwar sebutkan, kebangkitan ini adalah kebangkitan rakyat yang perlu ditangani sebaik mungkin hendaklah tersemat di dalam hati.

Bertempat di sebuah hotel terkemuka di bandaraya Kota Kinabalu Anwar mengadakan satu pertemuan separuh sulit dengan beberapa tokoh politik Sabah. Sebaik tiba di airport Anwar ke hotel berkenaan. Di situ sudah sedia menanti tokoh-tokoh politik Sabah untuk berjumpa dengan beliau bagi membincangkan masa depan Sabah. Anwar hari ini diletak sebagai dewa yang akan membuka lembaran baru di Sabah.

Ketika saya menjenguk masuk ke dalam bilik pertemuan itu ditingkat satu hotel berkenaan, ternampak Yong Teck Lee, Jefery Ketingan serta beberapa orang pimpinan kanan PKR dan juga DAP serta beberapa tokoh lain termasuk dari parti Star. Sejurus itu mereka berdua keluar dan menaiki ke tingkat atas untuk bertemu dengan Anwar. Lajim Ukin dan beberapa tokoh lain sudah pun bersama Anwar, mungkin dalam bilik peristirehatan Anwar di hotek berkenaan. Pertemuan beberapa biji mata itu penting dan membuahkan sesutau yang mengejutkan.

Menurut maklumat pertemuan itu antara lain memulakan rangka kerja lebih mantap bagaimana hendak menyelaraskan parti-parti politik yang akan memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat. Dalam pengamatan saya ada empat fraksi yang akan bergabung untuk menumbangkan kerajaan UBN Sabah.

Ikut sama hadir dalam pertemuan itu ialah pemimpin DAP Sabah dan Kuala Lumpur. Tokoh yang saya nampak dan kenal benar ialah Teresa Kok. Presiden parti yang belum didaftar Kadir Sheikh Fadzir juga ada sama. Pertemuan itu mesra dan penuh bersemangat. Setiap wajah yang tersapa oleh mata kelihatan ceria dan sumringah.

Cuma apa yang mungkin sedikit mengilankan, saya tidak nampak wakil Pas yang hadir. Kalau wakil Pas turut sama hadir maka boleh disifatkan pertemuan tengah hari tadi penting dan menjadi titik tolak ke arah pakatan menyeluruh untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Musa Aman. Apakah Pas disisih dari konsperasi ini?

Ulasan selanjut akan bersambung sekembali ke KL nanti. [k.k sabah. 4:17 pm 11/08/12]

Sunday, July 29, 2012

Tanda-Tanda Kiamat Untuk UBN Sabah Makin Jelas

ULASAN SELINTAS

Pemimpin Umno tidak lagi boleh 'berdendang perantau' mempersendakan Pakatan Rakyat amnya dan Anwar Ibrahim khususnya yang dianggap sebagai bermimpi di siang hari untuk mengambil alih pemerintahan negara. Beberapa perkembangan terbaru menunjukkan sokongan rakyat kepada PR semakin hangat dan menyakinkan. Saham Pakatan Rakyat tampaknya lebih berpotensi dari saham FGVH.

Kalau beberapa minggu lalu Pas menjadi perhatian dan kebimbangan Umno dengan penyertaan beberapa orang pegawai tinggi kerajaan, pegawai tinggi polis dan artis, kini perkembangan dan kebangkiktan politik di Sabah pula mengambil temnpat untuk menganggu emosi UBN. 
 
Welfred Bumburing
Penyertaan bekas pegawai tinggi kerajaan ke dalam Pas memberi nilai tambah kepada parti berkenaan dan secara tidak langsung menyuntik semangat dan keyakinan umum kepada PR. Penyertaan di atas kesedaran sendiri itu kerana bosan dengan corak dan stail pemerintah BN menunjukkan makin ramai orang cerdik hilang keyakinan kepada kerajaan UBN.

Perhijrahan atau bangkangan secara fizikal para pegawai kerajaan itu juga menunjukkan transformasi politik dan pentadbiran ditawarkan Ha Najib Razak tidak memberi apa-apa bekas. Ia tidak 'bersera' ke hati. Mereka menyedari bahawa segala perubahan dan janji-janji itu adalah retorik semata-mata. Ketidakpedulian kepada anjakan Najib itu menggambarkan perdana menteri itu tidak ada wibawa dan kredibilitinya lemah.


Kini di Sabah pula berlaku tindakan yang dianggap sebagai drastik dan dramatik. Dua orang pemimpin utama negeri itu yang lebih merupakan pembela rakyat, Lajim Ukin dan Wilfred Bumburing telah melakukan “hara kiri” dalam politik apabila mereka mengumumkan meletak jawatan dalam parti dan keluar dari BN. 

Paling merujakan tindakan mereka ini bukan bersendirian tetapi disambut ribuan rakyat. Rakyat Sabah bangkit bersama mereka. Sebelum ini bekas timbalan menteri kabinet BN, Kalakau Untul juga telah keluar meninggalkan parti dan menyertai PKR.

Tindakan mereka itu benar-benar menjadikan Najib bukan saja terkejut tetapi terlupa waktu berbuka puasa dan sahur. Rambutnya juga yang sudah tipis menjadi bertambah menipis menyebabkan daerah kebotakannya semakin meluas. 


Najib tidak terfikir bahawa akhirnya kedua tokoh rakyat yang berpengaruh itu mengambil keputusan. Mungkin selama ini Najib dan pemimpin UBN lain menganggap mereka hanya mengugut dan bermain dengan kata-kata. Shafei Afdal yang sebelum ini menganggap keluar parti adalah perkara biasa juga mungkin, sudah menjadi loyak dan mumai dengan apa yang berlaku. Pengistyharan rasmi penubuhan Angkatan Perubahan Sabah (APS) yang dikepalai mereka boleh memabukkan Shafei.
 
Usaha Najib disaat akhir untuk menyelamatkan BN Sabah dari gara-gara goyangan mereka karam tidak berjaya. Sebelum ini katanya Najib terpaksa membatal beberapa majlis di Kuala Lumpur dan terbang malam ke Sabah bagai menyelesaikan kemelut dan ugutan, namun tidak berjaya. Najib pulang ke Kuala Lumpur dengan tangan kosong.

Apa yang berlaku itu bukan salah siapa melainkan salah Najib juga sebagai perdana menteri. Sudah lama mereka berkokok menimbulkan rasa kurang senang baik secara lisan maupun menerusi parlimen tetapi tidak dipedulikan. Najib membiarkan mereka dan menganggap suara mereka hanya suara peribadi dan bukan suara rakyat. 

Najib juga mungkin berfikir mereka berdua dan sekalian rakyat boleh dibeli dengan wang ringgit. Cara Najib berpolitik dengan mengumpankan wang ternyata sudah tersilap.

Bekas ketua penerangan Umno Malaysia Hussein Ahmad penah menyebut kepada saya cara Najib berpolitik tidak ubah seperti pemelihara harimau yang suka memberi harimau daging di mana akhirnya pemelihara itu akan dibaham harimau apabila suatu hari dia gagal menyediakan daging nuntuk harimau. “Politik Najib amat bahaya,” tegas Hussein.

Najib begitu angkuh dengan kekuasaan dan politik tabur janji dan wang. Sudah ratusan billion yang beliau taburkan kepada rakyat. Najib mengira semua rakyat boleh dibeli dan wang adalah kuasa mutlak. Sebenarnya fatwa dan petua itu silap sama sekali kerana bukan semua orang akan lalai dan ralik dengan wang.

Sejujurnya juganya Najib tidak ada cara lain untuk menawan rakyat melainkan dengan memberi wang seberapa sen kepada rakyat. Najib tidak ada modal dan aset peribadi. Dia menyedari akan kelemahannya serta kemampuannya sebagai pemimpin. Najib tidak mempunyai kekuatan diri sebagai pemimpin baik idea, wawasan dan juga  track rekod sebagai pemimpin. Sebagai orang yang tidak pernah diuji dan melalui liku perjuangan panjang Najib kering dengan pengalaman dan sejarah.

Apabila sudah sampai satu tahap di mana ketidakadilan berleluasa, kekejaman berlaku dalam apa juga sudut, penipuan di mana-mana rakyat tidak akan pedulikan lagi kepada wang dan kebendaan. Naluri manusia tidak kira siapa mahukan kepada keadilan dan kebenaran, benci kepada kemungkaran berterusan. Manusia yang sihat boleh ditipu sebanyak dua kali bukan untuk ketiga dan seterusnya melainkan yang otaknya bertompok dengan doktri Umno ala-ala Ahmad Maslan.

Lajim Ukin
Apa lagi bagi orang seperti Wilfred dan Lajim atau Kalakau itu, bagi mereka wang tidak memberi apa-apa makna lagi. Mereka sudah mempunyai wang. Sebagai orang yang ada ehsan dan sisa perjuangan rakyat mereka akan melihat kepada nasib rakyat. Apa yang dilakukan saya melihat kerana mereka ingin membela nasib rakyat negeri mereka yang tidak dipedulikan oleh Kuala Lumpur. Mereka juga sudah mulai sedar dari diperbodohkan oleh pemimpin UBN Semenanjung.

Manusia boleh bersabar, setahun, 10 tahun 20 tahun tetapi tidak selama-lamanya. Dalam kes ini rasa sabar mereka itu sudah pun mencair maka tindakan itu diambil.

Sesungguhnya apa yang berlaku di Sabah membahayakan UBN. Jika dilihat kepada sejarah masa lalu, tidak syak lagi dalam pilihan raya kali ini dunia akan menyaksikan sekali lagi kerajaan Sabah akan bertukar tangan. Kali ini Pakatan Rakyat nampak seperti mendapat keuntungan itu.

Tawarikh telah dicatat di Sabah apabila berlaku perpecahan di dalam parti atau ada pemimpin meninggalkan parti, maka kerajaan yang wujud sebelum itu akan tumbang dan kerajaan baru akan naik. 

Dalam tahun 1967 kerajaan Sabah ketika itu tumbang apabila beberapa pemimpin Pertubuhan Pasokmongun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) keluar parti dan bergabung dengan Usno pimpinan Tun Datu Mustapa Harun.

Manakala pada tahun 1976 kerajaan BN Sabah pula tumbang apabila Salleh Sulung dan Haris Salleh meninggalkan parti dan menubuhkan parti Berjaya. Berjaya berjaya memerintah Sabah.

Nasib dialami Usno ikut sama dirasai Berjaya selepas itu apabila Pairin Ketigan dan Mark Koding keluar meninggakan parti dan menubuh parti baru PBS berfeudamental Kristian tahun 1985 berjaya menmgambil alih kerajaan. Bagaimana pun kerajaan BN yang dirampas PBS itu terselamat apabila BN bertindak ‘merampas’ kuasa seperti mana berlaku ke atas kerajaan Pakatan Rakyat di Perak.

Berdasarkan sejarah dan pengalaman serta hukum karma itu sudah pasti apabila ada tiga pahlawan rakyat Sabah bergabung untuk memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat, kejadian sama akan berulang di mana kerajaan UBN Sabah akan tumbang dan tergolek jatuh dari gunung Kota Kinabalu dalam pilihan raya ke-13 ini. 

Sesiapa pun jika membelakangkan rakyat akhirnya akan dibalas rakyat. Kuasa rakyat adalah kuasa mutlak yang boleh mengugagat mana-mana kerajaan kandatipun sekuat Mahathir maupun Firaun. [wm.kl.5:40 pm 29/07/12]

Friday, May 21, 2010

Susupan Petang

Benarkah Sabah dan Sarawak
Masih Jadi Simpanan Tetap BN?


BEKAS KM Sabah, Salleh Said Keruak tidak bersetuju dengan pandangan berupa peringatan oleh Timbalan Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Sabah, Chin Su Phin bahawa BN tidak boleh terus beranggapan Sabah dan Sawarak adalah simpanan tetap kepada komponen itu.

Su Phin memberi peringatan berdasarkan perkembangan semasa apabila BN tewas dalam pilihan raya kecil Sibu beberapa hari lalu. Bagi LDP kekalahan calon SUPP itu mungkin merupakan amaran yang perlu diberikan peduli segera.

Sebaliknya Salleh menafikan apa yang dirasai oleh Su Pin itu. Menurutnya rakyat Sabah dan Sarawak masih menyokong ketua menteri masing-masing.

Semacam ada salah ukur dalam soal ini. Salleh yakin akar umbi di Sabah dan Sarawak masih menyokong BN. Kekalahan di Sibu tegasnya adalah kes terpencil yang tidak boleh dijadikan ukuran sebenarnya. Nampaknya Salleh masih cuba menyembunyikan kenyataan yang kini sedang mengheret BN.

Dalam pada itu Salleh berkata rakyat juga menyokong kepimpinan Ketua Menteri, Musa Aman? Apakah begitu juga rakyat Sarawak turut menyokong Taib Mahmud? Tidak dapat siapa memastikan apakah cakap Salleh itu benar dalam hal ini, atau ia lebih merupakan bodekan beliau kepada Musa Aman. Ataupun kata-kata itu sebagai untuk tidak mengakui hakikat yang bergelora di Sabah dan Sarawak waktu ini bertujuan menyembunyikan masalah yang berladum di dalamnya.

Tetapi untuk apa pula kalau Salleh hendak menyembunyikan hakikat dalam perkara ini. Bukankah dengan memperakui kesilapan dan kelemahan itu lebih baik daripada terus memdabik dada? Misalnya menerima kata-kata Su Pin itu membuatkan Umno Sabah dan PBB Sarawak memperbaiki kelemahan mereka dengan segera.

Saya tidak percaya kalau Salleh tidak mengetahui isu yang membelenggu Ketua Menterinya ketika ini. Apakah Salleh sudah lupa satu kejadian di lapangan terbang di mana penahanan seorang taukeh Cina yang dikatakan membawa wang berjuta-juta ringgit? Apakah peristiwa itu boleh disenyapkan begitu saja.

Bukankah penahanan taukeh Cina itu ada sangkut paut dengan Musa Aman. Wang yang dibawa oleh Cina itu khabarnya wang Musa Aman. Cina itu hanya jadi hamba Musa Aman saja. Ada juga mengatakan wang itu untuk dibawa ke pilihan raya kecil Permatang Pauh? Kes ini dalam penyiasatan suruhanjaya bebas anti rasuah Hong Kong (ICAC).

Mungkin Salleh atau rakyat Sabah sudah melupai kejadian ini tetapi bukan sejarah dan rakyat Sarawak lain yang celik. Ia mungkin akan menjelma bila-bila masa saja. Kalau tidak percaya cuba adakan pilihan di mana-mana kerusi di Sabah. Tentu isu penahanan Cina berkenaan yang membawa berjuta-juta wang itu akan muncul.

Selain itu masih ada banyak lagi isu yang menimpa Musa Aman. Isu kronisme katanya menjadi-jadi di Sabah. Tindak tanduk Musa Aman dikatakan lebih teruk dari zaman Tun Datu Mustapa Datu Harun.

Pendeknya Sabah tidak akan aman selagi Musa Aman menjadi Pengerusinya dan Ketua Menteri. Lainlah kalau Umno Kuala Lumpur menukarkan Musa kepada orang lain, mungkin masalah Sabah yang dikaitkan dengan penyelewengan dan kroni akan lengsai. Dengan cara itu saja kalau BN ingin terus berandaian Sabah merupakan salah satu negeri menjadi bank simpanan tetapnya.

Kata-kata Salleh Said Keruak itu mungkin akan menjadi benar misalnya beliau sendiri menerajui semula Umno Sabah. Tetapi apakah dalam suasana hari ini Salleh akan diminta untuk berada di situ? Perlantikan Salleh menjadi Timbalan Perngerusi Umno Sabah dilihat sebagai untuk menempelkan imej baiknya kepada Umno Sabah.

Salleh bukan seorang yang fighter yang baik dalam memperjuangkan hak-hak rakyat Sabah dan juga kuasa politiknya. Tetapi beliau mempunyai keperibadian yang yang sukar untuk digugat oleh mana-mana tokoh. Justeru kepada saya kata-kata Salleh itu adalah sebuah sinikal yang perlu difahami oleh Kuala Lumpur. [wm.kl 4:00 pm 21/05/10]