Monday, May 5, 2025

Biar biduk berlalu, asalkan kiambang bertaut

PANDANGAN


SEKIRANYA tarikh proses penamaan calon pemilihan MPP Keadilan tidak ditangguh dan diubah, kita sudah pasti dapat mengetahui apakah ada pertandingan untuk jawatan timbalan presiden dan jawatan-jawatan lain. 

Tetapi kerana ia ditangguh daripada 4 dan 5 Mei kepada 8 dan 9 Mei atas sebab-sebab tertentu, menyebabkan kita belum dapat pasti apakah akan ada pertandingan atau pun tidak?

 

Seruan awal agar penyandang jawatan Rafizi Ramli diberikan laluan mudah untuk pertahankan jawatan itu oleh presiden, ia hanya angin semilir saja. Ini kerana ia tidak berupa arahan atau konsensus yang wajib dipatuhi. Rafizi pun tidak mempercyai dan selesa dengan arahan lisan itu.

 

Sebelum ini Saifuddin Nasution Ismail sudah berhadapan dengannya (2022) dan kalah, maka beliau dilihat sosok sesui untuk berhadapan dengan Rafizi buat kali kedua. Perulangan pertandingan itu jauh dari membelas dendam, tetapi menguji kekuatan demi maslahat parti? Makanya nama Saifuddin dijaja-jaja untuk menghangat kongers dengan pertandingan ulangan itu.

 

Lain-lain sosok dalam Keadilan dilihat tidak layak untuk merebut jawatan itu apa lagi apabila diukur dari segi senioriti. Selepas Mohd Azmin Ali, Ezam Muhammad Noor, Zuraidah Kamaduddin meninggalkan parti, maka Saifuddinlah senior dan setiawan yang rela menghambakan diri dalam Keadilan.

 

Walaupun ada beberapa nama lain, tetapi mereka tidak layak kerana tidak berimej dan memiliki karismatik dan gaya untuk menduduki kerusi nombor dua dibawah Anwar Ibrahim selaku presiden. Sebagai presiden dan kelaziman Anwar memerlukan regu yang cocok lagi serasai untuk menggerak parti. 


Keserasian itu bukan sahaja dari segi pemikiran, idealisme, kesetiaan tetapi sedia berkorban. Apa juga yang penting regu yang memahami setiap deham dan batuk presiden. Dalam hal ini ia ada kepada Saifuddin. 

 

Keadilan masih memiliki sederet nama-nama hebat dan teruji, seperti Mustafa Kamil Ayub, Johari Abdul, Fuziah Salleh, Rodhian Ismail, Nurul Izzah Anwar dan lain lain, namun Saifuddin dilihati lebih ampuh berdasarkan pengalaman dan kersetiaan yang tidak berbelah bagi. 

 

Dari segi pengalaman dan penglibatan dalam parti, beliau bekas Setiausah Agung Keadilan, yang banyak menadikan parti serta merupakan pengasas parti dan saraf utama kepemudaan parti diawal reformasi. Bukan itu sahaja hubungan dan jaringan beliau dengan pemimpin parti di luar Keadilan juga menarik. 

 

Beliau pernah aktif dalam pemuda Umno dan menjadi “khadam” Dr Ahmad Zahid Hamidi. Begitu juga dengan para pemimpin Pas seperti Husam Musa, bahkan Saifuddin sempat dibaptiskan oleh Pas.

 

Keberadaan dan pengalaman itu adalah penting dan menjadi asset buat beliau dan parti.

 

Dalam politik perpaduan kini, atau pinjam istilah Tok Dor "politik tidak cukup jomelah" fungsi dan kepakaran serta jaring yang dimiliki Saifuddin adalah penting. Inilah kelebihan dan keistimewaan yang bukan mudah dimiliki dan boleh dibeli di kedai. Kelebihan Saifuddin ini menjadi andalan kepada Anwar.

 

Berbalik kepada perebutan jawatan timban presiden Keadilan itu, ia masih jadi teka teki dan meninggalkan tanda soal di kepala, apakah Menteri Dalam Negeri (Mendane) itu akan mendaftarkan diri tanggal 8/9 Mei untuk mencuba sekali lagi. Situasi sedikit suspen pula apabila Rafizi tiba-tiba bercuti hingga hujung Mei sebaik selesai pemilihan peringkat cabang. Ulah Raifizi itu boleh memberi sesuatu persepsi


Perecutian itu sempat menjadi viral dan isu, ada mengatakan Rafizi membuat tindakan psikologi apabila proses pemilihan peringkat cabang selesai dan mendapati ramai orang-orangnya kalah. Lantaran itu menyebabkan tindakan Rafizi tiu dikatakan sebagai protes merajuk? 

 

Disini telalu naif untuk membilang Menteri Ekonomi (Menkom) itu bersikap seperti budak-budak sebab beliau kini sedang menuju kematangan dan sudah melepas zone politik kebudak budakan. Namun sekiranya benar dia merajuk apa lagi ingin memberi mesej buruk kepada presiden, memang tidak layak orang bersifat demikian dalam sebuah perjuangan besar seperti Keadilan.

 

Dalam teka teki itu, semalam Saifuddin telah membuat kenyataan yang membayangkan apa yang akan diambil dalam tempoh beberapa hari ini. Dalam tempoh beberapa jam ini beliau masih belum membuat keputusan. Tetapi dalam kenyataan itu ada dua atau tiga perkara disebut dan cuba disampaikan Saifuddin. Pertama beliau telah berjumpa dengan sahabatnya Rafizi dan presiden parti dan juga berjumpa dengan semua peringkat dalam parti.

 

Tiga subjek itu penting untuk kita menilai dan menebak apa yang akan dilakukan kelak.

 

Saiufuddin tidak menjelaskan apakah butiran beliau berjumpa dengan Rafizi. Tetapi kerana waktu ini dalam edah pemilihan tentulah ianya dalam konteks pemilihan parti. Apakah Saifduddin menyatakan hasrat akar umbi berkaitan perkara itu kepada Rafizi? Sekiranya ia serius untuk berlawan mungkinkah pertemuan itu mencapai kata sepakat di antara keduanya. Menurut Saifuddin pertemuan itu empat jam, lama. 

 

Seandaianya ada persepaktan, diharap persepakatan itu untuk bertanding secara profesional. Rafizi harus menerima tanpa prasangka untuk bertewas kali kedua. Langkah Saifuddin itu bukan sebagai dendam melain untuk menguji kekuatan dalam rangka membina parti daripada acuannya setelah Rafizi diberi peluang sebelum ini?

 

Sekiranya pertemuan itu membincang dan mengambil persetujuan kedu-dua pihak akan bertanding (jika berlaku) biarlah secara professional. Pertandingan umpama biduk berlalu yang akan merapat dan mengutuhkan lagi pertautan kiambang, membina parti lebih kuat.Jangan pertandingan membocorkan bahtera dan mematahkan pendayung. 

 

Saifuddin juga memberi tahu dia telah berjumpa dengan presiden. Seperti perjumpaan dengan Rafizi beliau tidak memperincikan butiran pertemuan itu. Justeru tidak pantas untuk kita mengagakkan apakah tujuan perjumpaan itu. Jangan membuat spekulasi disini.

 

Dan apa yang memberi cula jelas kepada umum ialah apabila Saifuddin memberi tahu dia sudah berjumpa dengan semua peringkat dalam parti. Penjelasan ini memberi gambaran yang beliau membuat persediaan atau warm-up persiapan untuk bertanding. Sebenarnya juga percuitiaan Rafizi itu juga adalah warm-up untuk turun ke gelanggang.

 

Dari gerak badan dan bicara Saifuddin sekiranya dia melangkah ke gelanggang pada hujung bulan ini untuk berhadapan sekali dengan Rafizi, ia dibuat setelah semua persiapan dan penilaian baik buruk habis dihisab dan dipertimbangkan. Sebagai seorang yang rasionalis dan realistis, Saifuddin tidak main-main dalam kerjanya. Apa lagi beliau tidak seharusnya mengulangi kekalahan kedua berturut-turut kerana ia menjejaskan nilai peribadinya reputasi politiknya.

 

Dalam hal ini juga diharap Saifuddin tidak dipaksa untuk menentang Rafizi atas apa sebab sekali pun, melainkan dengan satu nawaitu untuk memperkasakan parti dan kerajaan demi memastikan Anwar Ibrahim akan terus kekal sebagai PM untuk penggal kedua.

 

Kita tunggu dengan doa dan harapan dan sekiranya Saifuddin mara, janganlah pula Rafizi membuat tindakan akan “mengeligiskan” hati dengan tidak mempertahankan jawatan yang sedang disandangkan itu. Berlawan meskipun penuh dramatik. [wm.kl.12:21 pm 05/05/2025]

 

 

Wednesday, April 30, 2025

Pas lebih cekap ketimbang BN dan PH

RENCANA

PAS Kelantan telah buat anjakan dan pendekatan politik baru di negeri itu. Langkah yang diambil itu boleh disifatkan bijak dan tepat selepas lebih 30 tahun
memerintah Kelantan. Pendekatan dimaksudkan itu ialah berbaik baik dan amalan politik diplomasi dengan kerajaan Persekutuan. 
Tampaknya Pas lebih cekap dalam soal ini ketimbang BN dan PH.

Menteri Besar Nassruddin Daud yang mengangkat sumpah sebagai MB selepas pilihan raya ke-15 lalu menggantikan Ahmad Yakob mengambil dimensi politik baru di Kelantan, berkompromi dengan kerajaan pusat. 


Politik maki hamun dan sinisme seperti sebelum ini sudah dikendurkan. Nassaruddin banyak “berpuasa” sunat sejak jadi Menteri Besar.

 

Langkah itu dilihat suatu keberanian yang positif buat Kelantan sekaligus menyerlahkan kehemahan politik Nassaruddin. Adun Meranti itu belajar daripada kedudukannya itu menjadi lebih dewasa dan faham maknawi politik. 


Dalam tempoh terdekat banyak manfaat dikecapi oleh kerajaan Kelantan. Pas bijak gunakan sikap tasamud Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri untuk bantu Kelantan. Seperti mana diumum dan diakui sendiri oleh Nassaruddin, semua permohonan peruntukan dan projek diluluskan oleh perdana menteri.

 

Kerajaan Persekutuan dibawah pimpinan Anwar sebagai PM kini, mengamankan Pas tidak lagi bersusah payah menangih peruntukan yang seharusnya diterima Kelantan berdasarkan semangat federalimse. Tuduhan kerajan persekutuan melakukan diskriminasi, menganak tirikan Kelantan seperti dahulu tidak lagi kedengaran. Anwar benar-benar memahamai akan hubungan dan tanggungjawabnya sebagai perdana menteri.

 

Ini adalah bijaksana dan proses kematangan dialami Nassaruddin dalam berpolitik. Walaupun ada segelintir dari kalangan Pas yang tidak senang dengan langkah dan cara Nassaruddin itu, namun ia tidak diendahkan. Nassaruddin lebih mengutamakan kepentingan rakyat dan negeri daripada mengikut naluri dan amarah politik jahiliah. 

 

Mereka yang tidak bersetuju itu bukan sahaja jahil memahami pengertian politik, tetapi bertindak atas rasa nafsu dan emosi. Mereka juga cemburu dengan takdir yang berlaku dimana Nassaruddin sebagai Exco individu yang tidak pernah mengimpikan jawatan itu tiba-tiba dipilih sebagai MB. Pemilihan Nassaruddin itu tidak dapat diterima mereka. Sebab itulah katanya ada “grand design” untuk menjatuhkan Nassaruddin sebagai MB. 


Strategi Harapan.

 

Di sini saya tidak mahu mengulas lebih panjang mengenai perubahan politik Pas di Kelantan itu, tetapi apa yang hendak dipersoal dan dipertanyakan apakah pula pelan atau strategi BN dan PH (Harapan) di Kelantan. Setakat ini tidak nampak apa-apa pelan atau startegi kedua-dua gabungan itu untuk Kelantan.

 

Satu sisi semacam kedua komponen itu tidak nampak melakukan apa-apa perubahan, baik sikap maupun komitmen. Persefahaman politik di antara PH dan BN seperti terpamer di Kuala Lumpur kemudian dipraktiskan dalam beberapa siri pilihan raya kecil, tidak mengalir ke Kelantan. Dalam kata lain, baik BN maupun PH seperti tidak ada political will, untuk Kelantan, ini menjadikan mereka seakan masih seperti dahulu bergerak secara bersendirian, disatu-satu sisi masih kelihatan berseteru. Baik BN dan PH tidak pandai mengutip situasi yang terhidang untuk manfaat bersama.

 

Padahal persefahaman dan kerajasama diperingkat atasan, kepimpinan kedua pihak telah wujud dan “bergotel” molek. Tetapi keadaaan itu tidak tersuluh di peringkat negeri khasnya di Kelantan. Kenapa?

 

Apakah yang menghambat mereka? Apakah keadaan ini berlaku kerana pemimpin kedua pihak tidak ada idea untuk memulakan langkah bersama, tidak tahu macam mana hendak “mengotelkan" para pengikut BN dengan PH. Ini berlaku mungkin kerana pemimpin kedua-dua komponen itu tidak ada wibawa, keupayaan dan pengalaman untuk memantapkan perpaduan dan menjalin-eratkan kerjasama di antara keduanya.

 

BN kini dipimpin atau Jazlah Yaacob, dimana beliau adalah pengerusi Umno Kelantan. Manakala dipihak PH pula dipimpinan oleh Adzly Zahri salah seorang naib presiden Parti Amanah Negara, sementara dari Keadilan Supardi Mohd Noor selaku pengerusinya. Adly walaupun ada sedikit pengalaman sebagai Ketua Menteri Melaka dan kini timbalan Menteri Pertahanan, bukan pantas untuk memikul tanggungjawab sebagai pengerusi Harapan Kelantan. Sebagai orang luar beliau tidak mengetahui banyak selok belok dan perangai orang Kelantan.

 

Ketika-tiga mereka ini jika diukur dari prestasi dalam konteks Kelantan tidak mencapai standard yang dikehendaki. Mungkin disebab itu juga mereka tidak ada idea bagaimana untuk “menggotelkan” BN dengan PH bagi menyemarakkan Harapan seiringan dengan kehebatan Pas kini.

 

Dalam sepanjang perhatian saya belum ada apa-apa evet yang dianjurkan oleh BN dan PH secara bersama. Dalam kata lain BN dan PH tidak pernah menguji kekuatan gabungan itu di Kelantan dengan mengadakan suatu himpunan raksasa. Di bulan Ramdahan lalu dimana selalunya digunakan oleh parti politik untuk menunjukkan kekuatan dan mempersatukan ahli serta penyokong dengan menganjur majlis iftar atau rumah terbuka raya, tidak pun diadakan. Ini menjelaskan akan kedaifan Harapan di Kelantan. 

 

Sekiranya PH dan BN diharap memberi sumbangan lebih bermakna dalam politik di Kelantan sewajarnya ketiga-tiga parti membentuk komponen itu menampilkan seorang pemimpin yang berwibawa, yang boleh mempersatukan semua. Ketiga-tiga pemimpin yang ada itu seakan tidak mampu untuk memancing di antara satu sama lain agar “bergotel” bagi memantap hubungan dan kerjasama PH dengan BN.

 

Hal ini seharusnya disedari oleh pemimpin parti berkenaan diperingkat atasan, terutamanya Anwar Ibrahim sebagai pengerusi Harapan. Beliau perlu melihat keadaan di Kelantan ini dengan kanta pembesar bukan hanya menyerahkan apa yang berlaku kepada pengerusi Keadilan Kelantan, Supardi semata-mata.  


Demikian juga Zahid Hamidi boleh membuat semakan terhadap kemampuan dan wibawa Jazlan di Kelantan. Jazlah seperti tiada pamor untuk memperkasakan semula Umno Kelantan. Demikian juga Mohamad Sabu sebagai presiden Amanah, perlu menilai kembali akan kemampuan Adly untuk mengayunkan Amanah dan Harapan di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

 

Melainkan Anwar telah bersepakat dengan Zahid dan Mat Sabu untuk memberi kuasa autonomi kepada Pas memerintah Kelantan, maka tidak perlulah buat apa-apa perubahan, kekallah denga apa yang ada hari ini. [wm.kl.12:25 pm 30/04/2025]

Monday, April 28, 2025

Pirake Ayer Kuning: Tiada siapa dapat mendabik dada


ULASAN

PIRAKE – pilihan raya kecil Ayer Kuning Perak sudah pun selesai lebih 48 jam lalu. Keputusan muktamad, calon BN Dr Mohamad Yusri Bakir menang dengan majoriti 5,006 undi. Selain BN berjaya mengekalkan kerusi tradisinya itu, majoriti kali ini juga meningkat, daripada 2,213 yang dicapai dalam pilihan raya umum lalu kepada 5,006 undi pada pirake pada Sabtu lepas meningkat sebanyak 1,977 undi.

Manakala dipihak PN pula pencapaian undi merosot sebanyak 753 undi, apabila hanya mengutip sebanyak 6,059 undi berbanding 6,812 undi dalam pilihan raya sebelum ini.

 

Bagaimana pun perbezaan undi itu tidak menunjukkan dapatan sebenar kerana peratus pengundi Sabtu lepas menurun sebanyak 58.06 berbanding 74.85 peratus dalam pilihan raya lalu.

 

Berbagai ulasan dan juga rumusan telah dibuat oleh berbagai pihak mengenai pilihan raya berkenaan. Kedua-dua pihak BN dan PH masing-masing mempertahankan pencapaian masing-masing dengan menyatakan berbagai helah untuk menjustifikasikan pencapaian. PN walaupun gagal untuk merampas kerusi berkenaan, mereka tetap tidak mahu mengakui kekalahan kepada BN.

 

Begitu juga BN, menjadikan kemenangan itu sebagai petunjuk yang parti itu (Umno) sudah pulih daripada kemusnahan sebelum itu. Pengaruhnya didakwa telah kembali. Kedudukan Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden Umno yang dikritik dan diperlekeh telah diukur sebagai sudah menguat. Umno kian pulih daripada kecederaan dan pengkhianatan. 

 

Dalam berbagai ulasan itu ada yang lucu, dan dibuat penuh emosi tanpa melihat kepada fakta. Yang paling menyedihkan ada juga cuba eksploit keputusan dengan tujuan pancingan politik masing-masing. Itu perkara biasa, baik kepada BN dan PN, mesti mempertahankan dan buat ulasan yang memihak kepada diri sendiri walaupun tidak berfakta, lantaran itu kita didedahkan dengan propaganda-propanganda politik.

 

Demikian sifat politik. 

 

Namun saya mempunyai bacaan tersendiri mengenai pilihan raya tersebut. Dengan mengenepikan apa-apa sentimen dan perasaan bias, saya melihat pilihan raya itu ada kelebihan dan kekurangan di kedua-dua belah pihak. Maksudnya tiada pihak yang menang secara mutlak dari konteks politik, dan dapat mendabik dada.

 

Dengan melihat secara adil, pilihan raya itu tidak memberi kesan atau impak besar kepada kedua-dua pihak. Bagi PN gabungan Pas – Bersatu itu tidak boleh mengambil apa-apa indikator positif daripada pilihan raya itu. Pas dan Bersatu tidak boleh berbangga dengan pencapaiannya. Jika berdasarkan kepada pencapaian undi mereka, jelas PN gagal menambah jumlah undi diraih sebelum ini.

 

Demikian juga dengan BN, walaupun majoritinya bertambah sebanyak 1,977 undi, tetapi ia belum boleh dibanggakan jika diambil kira sudah berlaku kerjasama daripada PH dalam pilihan raya itu, majoriti sepatunya lebih tinggi daripada itu.

 

Sebelum ini dalam perlawanan lima penjuru PH meraih undi sebanyak 6,875 hampir sama dengan PN sebanyak 6,812, manakala BN sebanyak 9,088. Sekiranya diandaikan undi PH mengalir kepada BN, jumlah undi yang sepatutnya dikaut BN ialah sebanyak 15,963. Sebab itu sebelum ini MB Perak Saarani Mohamadmenganggarkan BN akan mendapat 18,000 undi.  Namun perkiraan itu tidak boleh dipakai kerana peratus keluar mengundi berbeza. 

 

Dalam  pilihan raya Sabtu lalu calon BN mengutip 11,065 undi sahaja berbanding dalam pilihan raya 2022, 9088. Peningkatan undi hanya sebanyak 1,977 undi. Begitu juga dengan PH undi mereka merosot sebanyak 753 undi. 

 

Selain daripada itu, apa juga dapat dilihat kejayaan BN dan kekalahan PN itu bergantung kepada bentuk kempen kedua-dua pihak. PN terus memainkan isu perkauman, agama seperti lazimnya. Apabila ia gagal, menunjukkan isu agama, bangsa dan perkauman sudah tidak relevan lagi, atau tidak berjaya mempesonakan orang Melayu seluruhnya. 

 

Lantaran itu wajar kalau PN khasnya PAS membina naratif atau mencari isu lain dalam pilihan raya akan datang sekiranya mereka mahu menambah undi, khasnya undi bukan Melayu.

 

Berdasarkan keputusan pilihan raya semalam juga mungkin PN (Pas) boleh mula buat muhasabah semula kerjasama dengan Bersatu menerusi PN itu. Pencapaian calon mereka, Abdul Muhaimin Malik dalam pilihan raya itu menjelaskan Bersatu tidak dapat banyak membantu Pas. 

 

Kegagalan ini bukan sahaja di Ayer Kuning, sahaja tetapi di Nenggiri, Pelangai dan juga Mahkota dimana dalam semua pilihan raya itu calon-calon PN gagal menambah undi memberangsangkan.

 

Sekiranya Pas bercadang untuk menjadi sebahagian kerajaan selepas pilihan raya ke-16 kelak, lebih baik Pas bertanding bersendirian menggunakan kekuatan sendiri tanpa bergantung kepada ihsan Bersatu. 

 

Pas sudah mempunyai kekuatan kemuncak walaupun tanpa bersama Bersatu. Pas perlu mengambil kesempatan ini samping memahami dan mengerti Bersatu hanya mahu menunggang mereka tanpa dapat memberi apa-apa manfaat dan benefit. 

 

Kalau sebelum mii Bersatu dapat menyediakan kewangan kepada Pas seperti dalam pilihan raya ke-15 lalu, tetapi tidak lagi untuk pilihan raya akan datang. Banyak aset dan akaun Bersatu telah dibekukan. Pertuduhan ke atas pemimpin Bersatu dengan kes rasuah dan sebagainya menjadikan kekuatan Bersatu bukan seperti sebelum ini lagi. Hakikat ini perlu disedari Pas agar ia tidak tertipu dan mengsia-siakan kekuatan yang ada.

 

Bagi BN pula kemenangan itu bukan muktamad untuk mengukur kedudukan terkini mengenai pencapaian parti itu. BN tidak boleh menjadikan pencapaian pilihan raya itu sebagai petunjuk. Mereka perlu terus membaiki kekuatan parti, Umno, setidak-tidaknya memulihkan kedudukan yang robek sebelum ini, kalau tidak seluruhnya tetapi cukup ke tahap 80 peratus,

 

Apa yang perlu disedari, Bersatu itu wujud kerana tindakan ahli Umno yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan dalam Umno, dan bernafsu besar. Hanya berapa peratus saja ia disertai oleh mereka tidak berparti. Justeru Umno kena berusaha menyakinkan ahli dan penyokong mereka yang berhijrah kepada Bersatu kembali semula kepada pangkal jalan.

 

Tanpa berjaya berbuat demikian BN khasnya Umno tidak boleh merasa yakin mereka akan dapat mengekalkan kedudukannya seperti hari ini, menjadi sebahagian daripada kerajaan. Umno tidak boleh merasa selesa dan mengira mereka akan kekal dalam kerjasama politik dengan PH kini. Ia boleh terlerai bila-bila masa saja, melainkan Umno kuat seperti sedia kala.

 

Tegasnya kedudukan dan senario politik menjelang pilihan raya ke-16 nanti masih kabur, berbaur dan bersimpang siur. [wm.kl. 9:02 pm 28/04/2025]

 

 

Tuesday, April 22, 2025

Langkah JAKIM dialu-alukan

ULASAN

LANGKAH Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) untuk meneliti kenyataan presiden Pas Abdul Hadi Awang yang memberi pandangan politik lebih penting daripada mengerjakan Haji atau umrah seperti mana diucapkan di Ayer Kuning itu dialu-alukan. 

Sudah sampai masanya Jakim tidak melepaskan setiap kenyataan politik oleh Hadi yang berbaur Islam dibiarkan begitu sahaja seperti air hujan turun ke dalam longkang, mengalir ke wadi atau sungai seteruskan ke laut. 

Tanggapan bahawa Hadi berpolitik, maka dia bebas untuk menyatakan apa sahaja atas maslahat untuk menagih sokongan tidak patut dibiarkan. Kandatipun politik Jakim tetap ada peranan dan tanggungjawabnya kepada ummah meluruskan yang belok membenarkan yang salah.

Ini kerana ada kenyataan Hadi berupa fatwa atau dianggap fatwa oleh kalangan pengikutnya dan juga orang ramai sangat merbahaya. Seperti kenyataannya di Ayer Kuning itu, jelas ia mengelirukan.
Semalam Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, berkata pihaknya akan meneliti kenyataan Hadi itu bersama Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan serta pihak-pihak berautoriti yang berkaitan.

"Jakim mengambil maklum berhubung kenyataan yang dilaporkan media bertajuk PRK Ayer Kuning: Kemenangan politik lebih utama daripada tunai umrah, haji," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Banyak pihak memberi respon terhadap pandangan Hadi itu termasuk Menteri Agama, Mohd Na'im Mokhtar, bekas setiausaha Majlis Syura Pas, Dr Khairuddin Aman Razali, pensyarah universiti dan lain-lain.

Khairuddin mengatakan pilihan raya jihad dakwah bukan jihad perang. Manakala Naim lebih lembut agar tidak gelojoh dan berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan serta perlu rujuk kepada pihak berautoriti agama. 

Hanya ketua Dewan Ulama Pas seorang sahaja setakat ini mempertahankan kenyataan Hadi itu dengan mengatakan Hadi berkata demikian kerana mengambil ibrah daripada ulama terdahulu, yang disebut Yusuf al Qaradawi. 

Sepatutnya ulama yang membela Hadi dan memetik Al Qaradawi itu menghuraikan apakah kontreks dimaksudkan ulama kentemporari dunia itu sehingga beliau mengatakan bahawa Haji boleh ditangguhkan kerana kepentingan Islam.

Apakah pilihan raya di Ayer Kuning itu termasuk konteks disebut Qaradawi itu, ia ada kepentingan Islam dan agama. Dan kalau begitu apakah calon BN Dr Mohamad Yusri Bakir itu adalah musuh Islam dipatut diperangi?

Dr Sirajuddin dan Jakim tidak perlu berlengah untuk bertindak terhadap Hadi, kerana bukan baru presiden Pas mengeluarkan pandangan berupa nasihat bersifat fatwa demikian yang boleh mengelirukan, tetapi sudah banyak.

Sebelum ini Hadi telah mengumumkan halal memerangi Barisan Nsional kerana ia telah menggunakan perlembagaan kafir. Lama sebelum ini beliau juga mengeluarkan sebuah nasihat berupa amanat. Turutan daripada amanat bersifat fatwa itu juga menyebabkan seramai 14 orang hilang nyawa dalam persitiwa Memali.

Pihak Jakim tidak perlu merasa gerun atau takut bagi menghadapi kerenah berani Hadi itu kerana melihat dia seorang ulama bertaraf dunia. Status atau pangkat seseorang tidak menghalalkan apa juga perbuatan, kata-kata lisan yang keluar dari mulutnya, kerana yang batil itu tetap batil yang haq itu tetap haq. Ketebalan semutar dan kepanjangan jangut tidak mengesahkan kewarukan seseorang agamawan.

Dengan tertangguh-tangguhnya Jakim atau mana-mana institusi berautoriti dalam agama mengambil tindakan terhadap Hadi, menyebabkan dia jadi besar kepala. Sepatutnya sudah lama Jakim memanggil Hadi untuk memberi penjelasan dan mengesahkan apa-apa yang dilapazkan berupa fatwa selama ini. Jika apa diucapkan Hadi itu kebenaran kenapa perlu takut untuk mewartakannya sebagai benar?

Tindakan segera daripada Jakim juag boleh menepis tanggapan bahawa institusi itu ditebali dengan orang-orang yang simpati dengan perjuangan Pas. Jangan ada deep state dalam Jakim. [wm.kl. 10:56 am 22/04/2025]






Tuesday, April 15, 2025

"Saya sudah berjanji, saya tidak boleh mungkir janji..." Pak Lah


BELASUNGKAWA 


Allahyarham Pak Lah.
SAYA tidak banyak moment dengan Pak Lah, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Bagaimana beliau antara sosok yang menjadi subjek penulisan dalam buku-buku politik saya awal tahun 1990-an. Pak Lah menjadi perhatian dan sorotan saya, apabila membicarakan soal pemimpin masa depan kerana beberapa hal yang lekat pada dirinya. 

Saya mula menyorot kepimpinan Pak Lah dalam buku: Antara Dollah, Anwar dan Sanusi Tuhan Pilih Siapa? (1992). Tiga nama ini adalah seangkatan dan menjadi pemimpin pelapis dikira layak dan pantas untuk mengambil alih tempat Dr Mahathir Mohamad selepas Tengku Razaleigh, Ghazali Shafei dan Musa Hitam tidak lagi relevan. 


Dalam buku itu saya memberi kredit besar untuk Pak Lah, dan maramalkan beliau akan jadi akan dipilih Tuhan.


Ramai juga yang judis dan merasakan mustahil memandangkan populariti Anwar Ibrahim mengatasi dan menjunjung langit kuasa politik Umno ketika itu.


Pesaing sebenar Pak Lah, adalah dengan rakan senegerinya Anwar Ibrahim. Anwar yang lebih dilihat menjadi perhatuan dan anak emas Dr Mahathir. Anwar menyertai Umno dengan hamparan karpet merah. Apa lagi tahun 1987 Pak Lah buat sedikit kekhilafan tidak bersama Mahathir dalam team A, sebaliknya bersama Tengku Razaleigh Hamzah dan lain-lain pemimpin dalam team B.


Pendirian Pak Lah itu menyebabkan beliau dipecat oleh Mahathir dari kabinet kandatipun Pak Lah merupakan seorang naib presiden bersama Anwar dan Sanusi. Untuk beberapa ketika beliau berada di luar kerajaan yang disifatkan beliau mengambil cuti tanpa gaji. Meskipun begitu Pak Lah utuh setia dengan Umno tidak menyertai Semangat 46.


Berkat kesabaran, tuah seperti datang menggolek kepada Pak Lah apabila tercetus pergolakan di antara Mahathir dengan Anwar tahun 1998, apabila Mahathir memecat Anwar daripada Umno dan jawatan kerajaan. 

Ledakan bom reformasi digerakan penyokong Anwar menganggu ketenteraman Mahathir menyebabkan Mahathir mencari pelindung dan penyelamat. Saat ini beliau teringat kepada Pak Lah lalu membawa Pak Lah masuk semula ke dalam kaabah politiknya, dengan melantikan Pak Lah sebagai timbalan perdana menteri, 1999. Secara tidak langsung boleh dimengertikan Pak Lah menyelamat Mahathir dari dikaramkan oleh arus Anwar.


Pak Lah seorang tokoh politik, pemimpin yang semua orang kenal, bersifat sedarhana dan tercermin dengan akhlak yang baik. Pak Lah dikenali orang baik. Sebagai cucu kepada Abdullah Fahim, individu yang bertanggungjawab menetapkan tarikh kemerdekaan negara 31 Ogos 1957. Pak Lah sangat menjaga susila baik keturunan, sebab itu dalam politik Pak Lah menjaga mulut dan lidahnya, bahasanya tidak pernah kotor.


Kelebihan Pak Lah bukan kepada pidato berapi api penuh retorik dan slogan, tetapi kepada patah patah ucapannya yang lemah lembut dan tawaduk.


Saya ada pengalaman dalam hal ini, macam mana beliau menafikan sangkaan saya kepadanya yang berdendam dengan Anwar kerana pernah berlaku sesuatu peristiwa di antara keduanya seperti mana diceritanya sendiri. 


Apabila sangkaan itu sampai kepadanya, beliau mengatakan dia tidak pernah marah dan berdendam dengan Anwar, ktanya; "itu budak itu (saya) yang kata."  Begitulah peribadi Pak Lah dan ini disahkan dengan satu peristiwa apabila beliau secara terbuka memaafkan Mahiaddin Yassin dalam ucapan penangguhan di PAU. "Mahiaddin Pak Lah maafkan kamu," katanya. 


Kata kata dan pengakuan Pak Lah itu boleh dibenarkan, kerana selepas beliau jadi PM, Anwar berhadapan dengan tribulasi perjuangan yang menyakit dan melelahkan, namun beliau sedikit pun tidak menggunakan kedudukannya sebagai PM untuk menyakiti Anwar. Hal ini diakui sendiri oleh Anwar dalam catatan rengkasnya semalam;


"Saya masih ingat sewaktu saya sendiri bergelut dalam episod hidup yang gelap dan derita, beliau tidak pernah menambah luka dengan kata-kata nista. Itulah pribadi Pak Lah yang senantiasa memilih damai meski mudah untuk mambalas." 


Dan dalam satu perbicaraan saya tentang Anwar bersamanya, Pak Lah menyifatkan Anwar sebagai adik adiknya, "buat apa bergaduh dengan adik beradik," ujarnya.


Banyak contoh dan peristiwa Pak Lah kekal dengan kesedarhaan politiknya dan memakai pakaian sifat sabar dan istiqamah. Apabila Tengku Razaleigh tubuh Semangat 46, beliau tidak bersama sedangkan beliau adalah salah seorang dalam team B. 


Apabila dipecat dari kabinet beliau tawakus mendiamkan diri tanpa bertindak melakukan serangan balas. Untuk meneruskan hubungan dengan para penyokongnya, beliau membuka pejabat sendiri di bangunan KWSA di Jalan Raja Laut. Ketika ini saya kerap ke pejabatnya dan memberi secara percuma buku buku yang saya tulis mana mana ada subjek mengenainya.


Masa dipecat dari kabinet adalah masa peralihan yang serit dan sepi buat Pak Lah. Beliau hidup seperti orang biasa, tidak ramai berkawan dan mendekatinya. Pernah dalam satu majlis di DBP  beliau bersendirian berada di barisan belakang tanpa diberi apa-apa fasalitis oleh penganjuran meskipun beliau bekas menteri dan masih naib presiden Umno. 


Ternyata kesabaran dan istiqamahnya dengan parti, membawa berkat kepadanya, akhir beliau diajak ke pangkuan Umno dengan peranan besar. Peristiwa pemecatan Anwar Ibrahim daripada Umno membawa tuah kepadanya bila dilantik menjadi Timbalan Perdana  Menteri. 


Bintang politik Pak Lah terus bersinar, selepas menjadi PM apabila Mahathir berundur. Pilihan raya 2004 adalah kejayaan besar buat UBN dan paling manis kepada Pak Lah. Rakan-rakan yang sebelum ini menjauhi kembali semula mengerumuinya, itulah lumrah. 


Pak Lah seorang yang tidak mahu dan tahu bergaduh dengan sesiapa, berbaik dengan semua orang. Tidak reti mencaci maki orang. Semasa menjadi PM, suasana politik orang Melayu terutama pergeseran Pas dengan Umno tenang dan damai. Usaha menyatukan Melayu dengan mewujudkan Perpaduan Melayu secara global dilakukan dizamannya. Namun sayang ada sedikit kekangan menyebabkan ia gagal walaupun cuba diteruskan Najib Razak. 


Apapun bagi saya, paling terkesan dan nostalgik ialah semasa beliau jadi PM, Anwar Ibrahim yang dipenjara pada zaman regim Mahathir dibebaskan oleh mahkamah. Walaupun ketentuan itu tanpa campur tangan langsung Pak Lah dalam perundangan, tetapi pembebasan Anwar, berlaku diera Pak Lah.


Selain itu Pak Lah juga seorang berpegang kepada janji. Beliau tidak akan mungkir apa yang dilafazkan. Misalnya beliau telah berjanji untuk melepaskan jawatan kepada Najib Razak (2009) sebagai PM. Disebabkan ada keraguan dan kebimbangan terhadap kemampuan Najib, disamping untuk membuka peluang kepada Anwar, ada permintaan agar beliau menarik balik janji itu. Tetapi beliau tetap dengan janjinya.


Semasa pertemuan eksklusif Pak Lah dengan Anwar di Hulu Kangat yang diaturkan pihak sebuah madrasah di sana, dicelah celah keramaian saya sempat berbicara dengan Pak Lah. Saya minta beliau batalkan janji untuk berikan laluan kepada Najib dan hendaklah terus memegang jawatan. Sebelum itu saya juga ada mengutuskan surat kepadanya menerusi Setiausaha Politiknya Ramzi Abdul Rahman. 


Tetapi apa kata Pak Lah, "saya sudah berjanji dengan Najib, saya tidak boleh mungkiri. Bersambung. [wm.kl.11:20 am 15/04/2025]


Sunday, April 6, 2025

Fitnah senjata tertua didunia

RENUNGAN


"Fitnah itu lebih tajam daripada mata pedang".

Fitnah merupakan salah satu perbuatan bertindak menjadi senjata untuk menjatuh ataupun mengkhianati seseorang atau sesebuah kuasa.  Senjata ini dikira tertua dan paling zalim dan berkesan. Natijah dari perbuatan ini ia sangat hina, jauh lebih hina daripada persundalan atau pengelandangan.

Kelanjutan perbuatan itu sampai ke hari ini penggunaanya. Ia tidak dapat dicegah atau dihalang mungkin membawa sampai ke kiamat selagi ada manusia tidak berhati perut, tidak punya akal budi dan mempercayainya ia relevan. Apakah sesudah mati nanti baru perbuatan atau senjata ampuh ini akan hilang?


Perbuatan ini terkhusus dilakukan oleh makhluk bernama manusia saja, kerana makhluk lain seperti haiwan, tumbuh tumbuhan, bukit bukau, gunung ganang, sungai dan lautan tidak dapat berbuat fitnah atau menggunakan senjata itu untuk meneruskan survive.


Dalam  negara ini, senjata fitnah ini digunakan sejak beratus tahun lalu, khasnya dalam zaman awal tamadun lagi. Jatuh atau tumbangnya kerajaan Melaka sehingga kegemilangannya ghaib adalah gara gara fitnah. Akibat fitnah berlaku perbalahan dan peperangan, bunuh membunuh sesama sendiri akhir meruntuhkan empayar Melayu.


Dalam kehidupan di dunia moden hari ini, fitnah turut menyuburkan dunia seperti titik hujan dimusim tengkujuh. Alat ini semakin laku. Dengan adanya kemudahan teknologi maklumat (IT) hari ini seperti internet dengan pelbagai aplikasi, fitnah menjadi makin hebat dan tidak terkawal lagi. Sesiapa pun tanpa memiliki ilmu tinggi atau kepakaran mampu menggunanya asalkan ada sedikit rasa tidak malu, tahu dosa dan pahala dan punya kebodohan, tidak matang tamadun dapat melakukan fitnah dengan mudah. Senjata fitnah boleh dilancar dari jauh oleh sang hipokrit. ia terjual persis mercun dan bunga api menjelang raya.


Hari ini fitnah semacam makanan atau air yang punyai perisa yang lazat yang menyegarkan. Dalam medsos, di semua platform penuh dan bertebaran dengan fitnah. Ia bergerak seperti siang dan malam, atau berputar bagaikan galaksi atau planet seperti matahari dan bumi. Pergerakkan secara istiqamah tidak terhenti walaupun sedikit. Hanya kita merasakan ia statik, sebenarnya tidak, ia tetap bergerak. Begitulah fitnah memakan kehidupan kita seharian bagaikan membiaknya sel kanser.


Dalam politik moden negara ini, kalau boleh dicatat fitnah bermula di era Dr Mahathir Mohamad, apabila beliau menjadikan fitnah sebagai senjata ampuh apabila terdesak untuk menghalang sekaligus menghancurnya Anwar Ibrahim yang dirasakan menjadi ancaman dan penghalang kediktatorannya.  


Fitnah itu dilancar dengan satu konspirasi terancang peringkat tertinggi. Anwar difitnah dengan seribu kebejatan dan kehinaan, perasuah, menjadi agen Yahudi, skandal dan paling terkutuk melakukan liwat. 


Walaupun sebelum ini sudah diguna senjata ini terutama dalam politik di Kelantan tahun 1960an tetapi ia tidak sedahsyat sewaktu digunakan untuk menghancurkan Anwar.


Di Kelantan dulu Allahyarham Mohd Asri Muda difitnah jual balak dan punya kekayaan di Indonesia. Ia setakat itu sahaja, tidak ada fitnah mengenai skandal sexsual. Sebaliknya apa yang dilakukan ke atas Anwar lebih dari itu. Beliau dituduh seorang sodomi, melanggan pelacur berbagai bangsa dan sebagainya.


Fitnah ke atas Anwar merupakan ibu kepada fitnah dalam konteks politik di Malaysia. Fitnah terhadap Anwar dari satu sisi lebih besar dan hebat dari fitnah yang dilakukan ke atas penguasa dan kerajaan Melayu Melaka dahulu. Fitnah itulah yang membiak hari ini. Fitnah itulah menjadi kepala air. Cuba selidik suasana politik negara ini bila ia berkucah. Bukankah diera Dr Mahathir?


Penyebaran fitnah di zaman Mahathir sangat dahsyat, bagaikan seperti ribut taufan dan tsunami. Ia dilancarkan bagaikan peluncuran kapal angkasa, menggegarkan seluruh negara dan dunia. Semua media dunia melaporkan berita fitnah tersebut.  Fitnah kepada Anwar menjadi butir zikir waktu itu. Ia bukan sahaja tersebar di lorong-lorong sepi, tetapi ikut dianginkan ke dalam surau dan masjid. Buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM turut menjadi bahan kuliyyah beberapa orang Imam. 


Kerana fitnah itu negara bergolak apabila Anwar bersama rakyat yang benci perbuatan itu bangkit melawannya. Hunjaman fitnah ke atasnya ditepis dan beliau sesekali tidak mengaku kalah. "Benar tetap benar, lawan tetap lawan", menjadi tagline jihadnya sehinggalah kebenaran itu berada dipihaknya. Namun benih dan semangat fitnah tidak mudah lupus ia terus menjalar digunak pakai sebagai senjata wajib dalam politik merebut kuasa hingga ke saat ini. Fitnah itu menjadi inspirator kepada orang orang selepas itu, yang dapat dikesan hari ini.


Apa yang berlaku hari ini, fitnah bermaharajalela bermula dari pemulaan dilakukan Mahathir itu. Ia kian subur dan membiak dengan bantuan pelbagai peranti hari ini.


Tengoklah hari ini fitnah menjadi senjata semua orang tidak kira kecil atau besar. Ia dibidik oleh orang di bandar dan di kampung. Oleh orang cerdik atau separuh cerdik.  Orang yang tahu hukum hakam dalam agama dan natijah fitnah juga ikut sama memikul dan mengandar senjata fitnah dengan jari sedia dipincu. Senjata fitnah ini akan memakan sesiapa sahaja dihadapan tanpa mengira bangsa.


Justeru saking hebatnya penggunaan senjata fitnah ini pihak berkuasa perlu mengambil langkah tegas dan menyeluruh membasminya. Ia tidak boleh dilihat sebagai suatu budaya baru kerana ia merosakan seluruh rangka dan struktur negara nanti. 


Jika perlu digubal suatu undang undang pencegahannya, guballah tanpa menunggu sebelum ia melarat. Undang undang sedia ada, seperti undang sivil, (sedition act) akta hasutan, SOSMA dan sebebagainya nampaknya tidak memberi bekas kepada pemikul senjata finah ini. Melalui undang undang dan akta yang sedia ada sedikit pun tidak menggerunkan mereka.


Dalam masa sama para agamawan khasnya para Mufti perlu memainkan peranan aktif memberi nasihat dan juga menceritakan akan bahaya fitnah ini, seperti mana yang sering mereka ungkapkan, "fitnah itu lebih bahaya daripada pedang".  [kl. wm. 5:35 pm 06/04/2025]