Sunday, November 18, 2007

Susupan Pagi

Makin Jelas Siapa Yang Cuba Heret Raja

PIHAK yang terdesak dan gerun dengan himpunan 100,000 rakyat 10 November lalu nampaknya terus berusaha untuk memberi gambaran buruk mengenai himpunan berkenaan.

Kenyataan dan penafian oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Mohd Safiain Wan Musa bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak pernah terlibat memberi sokongan dalam himpunan berkenaan terus dijadikan sandaran untuk menjelaskan kepada umum himpunan itu tidak mendapat perkenan.

Walaupun rakyat umum sudah mengetahui bahwa himpunan itu memang tidak ada kena mengena dengan Yang di-Pertuan Agong, dan tidak ada mana-mana pihak pun mengaitkan dengan Yang di-Pertuan Agong nampaknya pihak-pihak terdesak itu terus menjadikan kekeliruan yang sengaja dicipta itu sebagai isu.

Semua ini dilakukan dan terpaksa dilakukan kerana pihak itu sangat tertekan dengan apa yang berlaku paa 10 November lalu. Sekiranya mereka tidak merasa apa-apa sudah tentu isu kononnya Yang di-Pertuan Agong tidak beri perkenan dan kononnya dukacita itu tidak timbul.

Dalam hal ini, walaupun penjelasan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara itu atas kemahuan dan perkenan Yang di-Pertua Agong, dan walaupun perkara itu tidak berbangkit, rakyat tidak akan berpuas hati selagi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin sendiri tidak tampil menyuarakannya.

Berbagai spekulasi boleh terjadi sekiranya Tuanku Sultan Mizan tidak tampil, termasuklah anggapan bahawa pihak Pengelola Istana itu sebagai telah diperalatkan oleh pihak-pihak tertentu agar mempergunakan nama Yang di-Pertuan Agong untuk memuaskan hati pihak-pihak tertentu.

Kita tidak meragui akan ketelusan di Istana Negara, namun jika mengambil iktibar kepada kisah-kisah lampau bagaimana dengan mudah sultan dan raja di peralatkan atau difitnah hidup-hidup oleh golongan tertentu menyebabkan ketelusan itu boleh dipersoal dan dibimbangi.

Di zaman dulu orang-orang berkepetingan di istana kadang-kadang menjadi dan bertindak lebih daripada kuasa raja. Raja atau sultan hanya diberi tahu sesuatu yang telah selesai atau telah diputuskan di kalangan datuk-datuk di istana. Suasana itu juga tidak mustahil berlaku di zaman ini.

Bagaimana datuk-datuk di istana akan bersemabayam di singgahsana ketika raja atau sultan tidak ada di dalam negeri ataupun ketika sedang gering. Bukankah pada hari kejadian itu Sultan Mizan tidak ada di dalam istana?

Tidak menjadi kesalahan kalau Sultan Mizan sendiri mengulas dan menyatakan perasaanya mengenai hal itu. Rakyat rela dan bersedia apa yang sebenarnya tersekang di sukma jiwa baginda. Rakyat sedia menelan sesuatu yang pahit itu kalau ianya benar.

Saya yakin kalau baginda sendiri melapazkan apa-apa berhubung himpunan itu rakyat bersedia menerimanya dengan baik dan tidak akan mempertikaikannya lagi.

Dari awal-awal lagi ada usaha untuk damage (memburukan) himpunan berkenaan dengan berbagai rumusan dan kenyataan yang tidak tepat mengenainya. Misalnya mengenai jumlah himpunan itu sudah dikucar-kacirkan dengan angka-angka yang tidak munasabah.

Antara usaha bagi damagekan himpunan itu ialah:

1.

1. Jumlah kehadiran himpun itu berbagai-bagai. Pihak polis mengatakan 4,000 sahaja. Menteri Penerangan kata gagal tanpa menyebut kehadiran. Manakala media pula melaporkan di bawah 50,000. Bila media melaporkan di bawah 50,000 sudah tentunya atas arahan kerana angka itu menunjukkan sasaran 50,000 oleh himpunan itu tidak berjaya.

2. Kononnya ia tidak diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

3. Himpunan itu menimbulkan keganasan menyebabkan peniaga kerugian.

4. Ada pihak yang mengumpah dan mengangkut para himpunan ke ibu kota Kuala Lumpur.

5. Ada usaha mengaitkan himpunan itu dengan puak militan.

Manakala usaha paling baru ialah dengan membabitkan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah. Pihak berkenaan telah berjaya ‘memerangkap’ Sultan Ahmad Shah untuk sama memberi komen negatif mengikut kehendak mereka berhubung himpunan itu dengan mengatakan yang di-Pertuan Agong difitnah.

Kita tidak percaya kalau sebagai sultan yang bijak dan berjiwa rakyat, Sultan Ahmad membuat kenyataan yang jelas berat sebelah tanpa terlebih dahulu mendapat penjelasan daripada pihak berwajib mengenai himpunan berkenaan.

Seperti mana katanya; Saya dengan penuh kepercayaan yakin Seri Paduka tidak ambil bahagian apa-apa dalam perhimpunan itu," Memang pun sejak dari mula hingga akhir lagi Yang di-Pertuan Agong tidak mengambil apa-apa bahagian dan teribat menyokongnya.

Adalah dipercayai, usaha-usaha seterusnya akan dilakukan dengan lebih banyak lagi Sultan atau Raja-raja akan ditanya atau dibabitkan untuk memberi pandangan yang memihak kepada mereka.

Usaha ini mungkin tidak akan diperolehi secara serentak tetapi akan diusahakan secara berperingkat.

Tanpa prejudis kepada Sultan Pahang, di sini saya mencadangkan pihak berkenaan supaya meminta pandangan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah. Sultan Azlan adalah paling layak untuk memberi pandangan berhubung himpunan berkenaan apakah ianya haram ataupun tidak.

Selaku bekas Ketua Hakim Negara, Sultan Azlan Shah akan dapat memberi pandangan yang adil dan tepat. Baginda akan mampu menjelaskan sejauh mana himpunan itu cuba mengheretkan raja-raja ke dalam kancah politik.

Selain itu ulasan dan pandangan juga boleh diminta daripada sultan, raja dan Yang di Pertuan Besar Negeri lain. Negara ini ada sembilan orang raja, jadi jangan tanya seorang dua sahaja, sebalik tanya semua sekali. Apa lagi kalau Majlis Raja-Raja sendiri membuat penjelasannya kelak, ia dikira lebih tepat dan muktamad mengenai status himpunan berkenaan. [wm.kl 10:00 18/11/07]

Pemakluman

Catatan Perjumpaan Dengan Pemimpin Pas

Disebabkan menghormati seseorang dan untuk tidak mengeruhkan suasana, maka saya tidak bercadang untuk menyambung dialog pertemuan saya dengan seorang pemimpin tertinggi Pas yang dirakam dalam blog ini beberapa hari lepas.

Walaupun mulanya saya mengira dialog itu penting bagi Pas membuat mahasabah ke atas parti berkenaan terutamanya untuk menyertai pilihan raya depan, namun disebabkan untuk mengelakkan kontroversi maka ia terpaksa dihentikan.

Ada pihak yang bimbang catatan itu boleh menimbulkan masalah kepada sesetengah pihak dalam Pas di Kelantan.

InysaAllah akan saya salurkan pandangan dan juga hikmah yang dapat dikutip daripada perjumpaan itu menerusi saluran lain atau dengan olahan dalam tulisan-tulisan yang tidak terkhusus mengenainya.

Kepada beberapa orang penjenguk blog saya yang minat dengan catatan pertemuan itu, saya pohon maaf. Terima kasih saya ucapan atas kesudian para penjenguk terutamanya yang memberi perhatian kepada tulisan menerusi cacatan berkenaan. [wm.kl 1:00 am 18/11/07]

Friday, November 16, 2007

Susupan Pagi

Tidak Jadi Nak Pakai Baju Kuning

DARI semalam lagi saya terfikir mengenai hari ini, Sabtu. Apa yang tersendak dalam kepala ialah mengenai pemakian baju berwarna kuning sebagai menyahut seruan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih). Bersih menganjurkan orang ramai supaya pakai baju warna kuning setiap Sabtu sebagai simbolik mendesak kerajaan supaya membersihkan pilihan raya yang comot dan kotor.

Jadi pagi-pagi tadi selepas sembahyang Subuh ketika bersiap sedia untuk jongging, saya tersilau kepada baju warna kuning yang disediakan isteri sejak dari malam tadi apabila saya minta siapkan baju kuning. Niat nak pakai, dan biar orang yang sama-sama jongging di taman di belakang rumah tengok.

Dalam pada itu juga terfikir akan kehebatan dan kemegahan warna kuning. Warna kuning adalah warna emas warna rasmi raja. Raja suka warna kuning. Setidak-tidaknya bila pakai baju warna kuning ia menunjukkan rakyat senang dan menghormati kepada raja.

Tiba-tiba niat itu tetarik balik bila terkenangkan berita semalam. Kononnya Yang di-Pertuan Agong dukacita dan menafikan yang baginda memberi perkenan pada bila-bila masa terhadap himpunan 100,000 pada Sabtu minggu lepas.

Bukan main lagi kenyataan dibuat oleh Datuk Pengelola Istana Negara, Datuk Bijaya Wan Mohd Safiain Wan Hasan, kononnya atas kehendak Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin. Jadi bila terkenangkan itu, niat untuk pakai baju warna diraja, (kuning) tidak jadi.

Kalau orang sudah 'murka' dan tidak berkenan untuk apa dicari fasal? Tidak guna hidup menjadi hidung tidak mancung, tetapi pipi pula tersorong-sorong. Kita ada maruah dan prinsip diri sebagai manusia dan makhluk Allah. Hidup tidak perlu kepada sanjungan dan terima kasih orang. Yang penting apa yang kita buat kita tahu!

Selama ini pun saya jarang-jarang pakai baju warna kuning. Bagi saya warna tidak menjadi suatu pilihan dan memberi makna tersendiri. Dalam hidup saya, kalau ditanya apakah warna menjadi pilihan ialah warna dasar, putih dan hitam.

Warna-warna jelmaan yang baru, baik biru atau hijau tidak penting sebab semuanya bercampur dengan unsur-unsur baik dan material.

Bagi saya tidak mengapa kalau tidak pakai baju warna kuning. Biarlah simbol itu tidak ditonjolkan. Apa yang penting sesuatu yang kotor itu perlu dibersihkan. Hakikat itu kena terima. Bagaimana sekalipun kekotoran itu diselindungi, namun kalau ia kotor hakikatnya kotor juga.

Gunalah apa saja kuasa untuk melindungi kekotoran dan kebatilan itu ia tidak akan kekal lama. Lama kelamaan ia akan terbongkar juga. Saya cukup yakin kepada kata-kata kebenaran itu akan mengatasi kebatilan. Masalahnya, kebenaran itu biasanya jauh berada di hujung terowong.

Percayalah tanpa pakai warna kuning pun, kita tetap akan menentang sesuatu yang tidak bersih. Apa yang boleh diharap daripada warna kuning. Dan bagi saya, saya tidak percaya kalau warna kuning dapat memberi sesuatu yang diharapkan. Warna kuning mempunyai kuasa magik (keramat) yang boleh mengubahkan kuasa di zaman moden ini.

Soal tidak bersih ini bukan saja dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), tetapi dalam badan-badan atau bekas-bekas lain juga termasuk 'bekas' kita sendiri. Jadi disamping kita peduli kepada bekas umum, kita juga kena peduli kepada bekas kita sendiri.

Di dalam hati manusia itu ada satu ruang yang dinamakan oleh para aribillah sebagai istana Iblis, jadi istana itulah yang tiap daripada kita harus dibersihkan dulu. Cara hendak membersihkannya ialah dengan berzikir. Tetapi kalau tasbeh sebesar lutut bergantung saja ditangan nak tunjukkan alim, tidak guna juga.

Harapnya dengan penjelasan Wan Mohd Safiain itu janganlah kita cuba mengaitakan lagi nama dan batang tubuh Yang di-Pertuan Agong lagi. Juga pihak yang terdesak dengan himpunan 100,000 itu janganlah mengait atau berselindung di sebalik batang tubuh YAng di-Pertuan Agong. Janganlah sangat mengharapkan warna kuning membantu kita. Marilah kita berhadapan secara mendada tanpa ada naungan atau maunah daripada mana-mana orang mulia. Guna kekuatan dan keyakinan sendiri!

Mengenai penafian (penjelasan) dibuat Datuk Pengelola Istana Negara itu kita sudah faham duduk dan letak perkara sebenarnya. Dan kita juga sudah tahu mengenai tugas-tugas orang besar dalam istana seperti mana digambarkan oleh Seniman Agung lagi "wali" P Ramlee di dalam filem Musang Berjanggut.

Datuk Ahli Nunjum, Datuk Nikah Kahwin, Datuk Mangkubumi, dan banyak jenis lagi datuk sebenarnya masih wujud dan masih tinggal di dalam istana raja-raja Melayu smapai ke hari ini. Semua mereka memainkan peranan penting dan mempunyai kepentingan dan naluri tersendiri sehingga sanggup yang menjadi Musang Berjanggut kerana tergila-gilakan menantu raja! [wm.kl 9:45 am 17/11/07]

Respon Cepat

Penjelasan Pengelola Istana Negara Tidak Mengejutkan

HARI ini mungkin orang ramai sedikit terkejut membaca atau mendengar kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Mohd Safiain Wan Hasan yang menghebahkan bahawa Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin kesal atas dakwaan kononnya baginda dan Istana Negara memperkenankan dan menyokong perhimpunan 100,000 rakyat 10 November lalu.

Bagi mereka yang berfikiran secara betul tentu terkejut dan merasa anih dengan kenyataan oleh Datuk Pengelola Istana Negara itu.

Sebenarnya tidak ada apa yang anih dan perlu rasa terkejut dengan penjelasan itu. Tidak ada mana-mana pihak pun sebelum ini yang mengatakan Yang di-Pertuan Agong memberi perkenaan atas perhimpnan ‘haram’ tersebut.

Sesiapa juga yang cuba mengaitkan nama Yang di-Pertuan Agong berhubung himpunan itu ianya sengaja dibuat secara peribadi dan bersikap tidak profesion dan tidak bertanggungjawab.

Pihak yang bertanggungjawab menganjurkan perhimpunan berkenaan juga, iaitu Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) tidak pernah mendakwa atau memberi tahu orang ramai, atau mengerah orang ramai atas nama Yang di-Pertuan Agong kononnya baginda memberi perkenan perhimpunan 100,000 yang dihadiri lebih 70,000 rakyat dari berbagai lapisan itu.

Apa yang kedengaran sebelum ini, pihak Bersih hanya menyatakan, Yang di-Pertuan Agong berkenaan untuk menerima penyerahan memorandum berhubung tuntutan mereka kepada kerajaan agar pilihan raya di negara ini diadakan secara bersih dan adil.

Penjelasan atau keadaan itu menunjukkan tidak ada mana-mana pihak pun mengguna atau mengaitkan nama Yang di-Pertuan Agong dalam himpunan itu. Jadi pihak Datuk Pengelola Istana Negara tidak pun perlu membuat penjelasan di atas apa-apa yang tidak berlaku.

Persoalan juga timbul di sini kenapa pihak Pengelola Istana Negara baru mengeluarkan hebahan itu hari ini atau semalam, setelah peristiwa itu berlalu lebih 48 jam. Sepatutnya pihak Pengelola Istana terus membuat penjelasan itu dalam kadar segera kerana ia dikira boleh memburukkan nama dan batang tubuh Yang di-Pertuan Agong. Lebih afdal lagi sepatutnya 'penafian' itu dibuat sebelum himpunan itu berlaku.

Tidak dinafikan mungkin ada pihak yang tidak memahami prosuder yang berlaku, apabila mereka melihat memorandum itu diserahkan kepada pihak Istana Negara lalu beranggapan perhimpunan itu sebagai mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Penjelasan yang dibuat oleh Pengelola Istana itu sebenanrya tidak menafikan apa yang tidak berlaku, sebaliknya ia lebih merupakan satu penjelasan kepada umum untuk memahami apa yang berlaku. Justeru orang ramai sepatutnya tidak merasa gempar.

Setiausaha Agung Pas, Kamaruddin Jaaffar (foto) yang dipetik sebagai mendakwa Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima memorandum itu juga tidak mengatakan bahawa perhimpunan itu diperkenan oleh baginda. Apa yang beliau tegaskan bahawa baginda Yang di-Pertua Agong bersedia untuk menerima memorandum, itu saja.

Kenyatan Kamarudidn itu menajdi kenyatan apabila kira-kira jam 3:45 petang 10 November pada hari himpunan itu wakil-wakil Bersih diterima masuk ke dalam Istana Negara untuk menyerahkan memorandum yang dikemukakan Bersih dan diterima oleh pihak Istana Negara sebagai mewakili Yang di-Pertuan Agong.

Sekiranya Yang di-Pertuan Agong tidak berkenan untuk menerima memorandum itu bagaimana wakil-wakil Bersih itu dibenarkan masuk ke istana pada hari berkenaan.

Mungkin mereka yang tidak memahami keadaan sebenar mengira Yang di-Pertuan Agong merestui perhimpunan itu apabila wakil-wakil Bersih diterima masuk ke istana untuk menyerahkan memorandum. [wm.kl.16/11/07]

Berita Semasa

Razaleigh Anggap Himpunan 100,000 Wajar dan Munasabah.

MSO

TENGKU RAZALEIGH Hamzah menganggap tindakan 26 badan-badan NGO dan parti politik yang bergabung dalam Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) menganjurkan himpunan 100,000 rakyat, 10 November lalu sebagai satu tindakan wajar, munasabah dan mengikuti prosedur yang dibenarkan.

Menurut ahli Parlimen Gua Musang itu, kerajaan harus sedar kenapa rakyat berarak ke istana ialah kerana semua jalan atau saluran bagi rakyat mengemukakan bantahan terhadap perjalanan pilihan raya di negara ini didakwa tidak adil telah ditutupdan Perdana Menteri sendiri tidak mahu melayani permintaan dan desakan mereka.

Dalam pertemuan dengannya, Rabu lalu, beliau berkata penyerahan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong itu amalan yang diterima pakai dan pernah digunakan Umno sebelum ini dan bukan sesuatu yang ganjil.

Katanya, pada tahun 1946 Umno sendiri mengepalai perarakan mendesak Istana supaya tidak menerima gagasan Malayan Union yang hendak ditubuhkan.

"Jadi adalah tidak hairan dan mengejutkan kalau saluran sama digunakan rakyat pada 10 November lalu kerana ia pernah berlaku sebelum ini," katanya.

Bekas Menteri Kewangan itu juga kesal dengan tindakan dan keengganan kerajaan untuk memberikan permit kepada himpunan berkenaan. "Kenapa takut hendak berikan permit, walhal perlembagaan memberi jaminan kepada mereka untuk berhimpun," ujarnya.

Tambahnya sepatutnya pihak polis dan kerajaan menyedari dalam gabungan Bersih itu terdapat juga pertubuhan dan badan-badan yang didaftarkan atau sah di mana mereka berhak untuk mengadakan perhimpunan.

Ditanya apakah hasrat rakyat untuk memulih dan membersih pilihan raya di negara ini seperti mana terkandung dalam memorandum itu yang diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong itu, kata Tengku Razaleigh ia terserah kepada sultan atau raja.

Apa yang harus difaham katanya, raja-raja tidak mempunyai kuasa eksekutif seperti mana dimiliki perdana menteri, namun raja boleh serahkan perkara itu kepada perdana menteri.

"Sebagai raja yang berjiwa rakyat, saya percaya Yang di-Pertuan Agong akan menimbang memorandum berkenaan lagi pun ianya adalah untuk kebaikan bersama," tekannya penuh harapan.

Mengenai tuduhan Perdana Menteri ke atas pembangkang mengadakan himpunan itu sebagai usaha hendak mengheret raja-raja ke kancah politik, Tengku Razaleigh dengan tegas menolak tanggapan itu dengan mengatakan, saya tidak berfikir begitu.

"Saya tidak nampak himpunan itu hendak membabitkan raja. Apa yang berlaku mereka hanya menyerahkan memorandum itu kepada Sultan, itu saja. Lagipun itu (saluran) dibenarkan oleh perlembagaan negara,"

"Raja sebagai payung rakyat seharusnya menjadi tempat rakyat tumpang berteduh dan berlindung serta mengharapkan apa-apa pembelaan daripada baginda raja," sambungnya lagi.

Dalam pada itu Tengku Razaleigh juga menyifatkan himpunan 10 November lalu yang bertemakan warna kuning itu sebagai berjaya dan sewajarnya pihak kerajaan termasuk PM mengambil perhatian berat mengenainya.

"Eloklah Perdana Menteri meneliti tuntutan berkenaan sebaik-baiknya," katanya. [wm.kl. 11:30 pm 16/11/07]

Wasilah Terbit

Tahniah Sdr Ramli, Berjaya Sahut Cabaran

DALAM serba kepayahan dan ditohmahan dengan pelbagai tuduhan dan ejekkan, akhirnya sdr Ramli Abdul Halim, mampu dan berjaya juga menerbitkan akhbarnya Mingguan Wasilah sebagai kesenimbungan perjuangan dan jihadnya untuk agama, bangsa dan tanah air.

Isu pertama Mingguan Wasilah di bawah Ramli telah selamat dicetak kira-kira jam 2:00 pagi tadi dan kini sudah beredar di pasaran.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada Raml kerana berjaya menyahut cabaran orang-orang tertentu yang mengejek dan 'menganyen' kepadanya kononnya tanpa bantuan kewangan dan naungan kewangan pihak-pihak tertentu beliau tidak akan mampu menerbitkan Minggun Wasilah.

Dengan keluarnya isu Pertama (38) semalam membuktikan bahawa Ramli bukan sembarang, dan sedia menyahut cabaran dengan tenang.

Susun atur dan juga mashead Wasilah yang kelihatan lebih tegas dan berwibawa memberi harapan Wasilah akan menjadi akbar hal ehwal semasa yang terkemuka di masa akan datang.

Kejayaan itu turut membanggakan saya dan rakan-rakan lain.Didoakan selamat maju jaya kepada Wasilah dan diharap Wasilah ditangan Ramli lebih ceria, lebih adil dan mengekalkan prinsip kebebasan akhbar yang diamalkan Ramli sejak tahun 1970an lagi. Selamat. [wm.kl 8:00 am 16/11/07]

Thursday, November 15, 2007

Intraksi Dengan Pemimpin Pas (1)

Saya Ditanya Soal Kelantan dan Saya Jawab Ikhlas

SUSPEN juga saya apabila seorang pemimpin tertinggi Pas tiba-tiba terbuka hati menghubungi saya. Katanya hendak jumpa sikit tanpa menyebut maksudnya. Dalam kepala tertanya-tanya apakah tujuannya. Disebabkan kedudukannya sebagai orang bertanggungjawab dalam memilih dan memeriksa calon-calon Pas dalam pilihan raya akan datang saya menyangka mengenai itulah agak hajatnya.

Tetapi kenapa harus saya perlu ditemui dan ditanyai?

Tidak semena-mena walaupun sudah lebih seminggu dia menyatakan hajat, tetapi baru semalam (14 November) kami bertemu. Itupun kebetulan terserempak dan kami terus duduk. Lama boleh tahan juga, sekitar satu jam setengah. Hampir keseluruhan yang beliau ingini dari saya diperolehi.

Benar seperti yang disangkakan, pemimpin ini mahu mengetahui senario di Kelantan. Mahu tahu kedudukan (prestasi) Pas dan secara tidak langsung kedudukan Umno. Tentulah dalam hubungan ini apa yang sangat diingini mengenai kedudukan Pas.

Sesuatu yang beliau cuba cungkilkan ialah mengenai ‘hubung kurang enak’ saya dengan salah seorang Exco Kelantan. Tetapi topik itu tidak diutamakan, ia menyelit di tengah-tengah topik lain. Hilang sekejap kemudian timbul balik. Nampaknya pemimpin itu ingin menyelidiki hubungan itu.

Hairan

Macam mana anta dengan ..... (Exco itu)? Tanya pemimpin ini penuh berwaspada. Beliau bimbang takut saya sensitif dengan persoalan itu. Sebab dia tahu perangai saya. Saya juga hairan kenapa orang menjadi 'takut' dengan saya. Menganggap saya keras kepala dan degil. Betulkah? Mungkin betul!

‘Tak ada apa-apa masalah. Ana orang yang ada (ikut) signal dan ada pelunggul (paksi). Apa yang ana kata ana akan kotakan,” jelas saya. “Jangan risau,” tekan saya lagi memberi jaminan.

“Jadi dah selesailah,” tanya beliau sambil ketawa tujuannya agar saya tidak tegang dengan permasalahan itu.

“Selesai...” jawab saya ringkas.

“Ana panggil ni nak tahu soal Kelantan sikit. Anta acap ke balik Kelantan?’ tanyanya memulakan topik yang serius selepas dia mendapat penjelasan yang saya sudah ‘selesai’ dengan ..... (biarlah saya tidak sebut acap kali nama .... takut nanti dia batuk dan terbahak pula. Biar dia tenang dan selesa untuk menghadapi pilihan raya.

“Acap juga. Sekali sebulan tentu, sebab emak masih ada di kampung, kena jenguk silau juga,” balas saya.

“Anta berjalan rata, tentu anta tahu perkembangan di Kelantan, macam mana agaknya? Soalnya jujur dan ikhlas. Saya suka kerana dia mempercayai akan diri saya dan menjadikan saya sebagai sumber maklumatnya, mungkin untuk dijadikan guide olehnya dalam membuat pemilihan calon di Kelantan kelak.

“Jika hendak dikira prestasi, Pas Terengganu lebih baik dari Kelantan. Tetapi ana rasa Pas Kelantan masih boleh menang, cuma dengan sedikit adjustment,” balas saya jujur dan lurus menurut pandangan saya. Pandangan sebegini tidak diminati oleh kebanyakan orang Pas Kelantan. Mereka yang berfikiran sempit dan fanatik kepada parti tidak mengemarinya dan kalau boleh tidak mahu mendengar langsung.

Menghadapi masalah

Kalau boleh mereka mahukan saya memberi cerita indah dengan mengatakan ‘gerenti’ Pas akan menang. Kalau kita mengatakan Pas lemah, Pas menghadapi masalah, walaupun munasabah, mereka enggan menerimanya. Paling malang dituduh orang berkata demikian sebagai musuh Pas.

Sebenarnya sikap suka mendengar perkara indah tetapi tidak minat perkara tidak indah, inilah memberikan bala dan penyakit kepada Pas. Bukan sekarang malahan sejak lama dulu. Dalam pilihan raya 2004 misalnya saya sudah membuat prediction Pas Kelantan akan kalah lapan hingga 12 kerusi namun ramai yang tidak percaya. Ada yang mengatakan ramalan saya tidak masuk akal.

Tetapi selepas selesai pilihan raya, belum pun tamat pengiraan undi sudah ada calon yang menemui saja dengan air mata meleleh kerana dia sudah kalah.

Tokoh veteran itu terdiam saja. Mungkin merasai benar dan bersetuju dengan pandangan saya. Namun dari mimik mukanya dia kurang percaya kalau Pas Terengganu lebih bertenaga dan bersemangat dari Pas Kelantan. Dia nampaknya tidak suka bersikap over confident.

"Tetapi perkembangan akhir ini keadaan Kelantan sungguh baik," tiba-tiba beliau berkata demikian seakan mahu menafikan pandangan saya. Hujahnya ialah memandangkan himpunan 100,000 rakyat mendapat sambutan dan berjaya.

“Dengan apa yang berlaku di Terengganu, semangat rakyat Terengganu, kedudukan Pas melebihi tangga yang dipegang Kelantan kini,” kata saya lagi tanpa mempedulikan hujahnya. Tokoh itu buat endah tidak endah saja.

“Kenapa anta kata begitu. Teruk sangatkah masalah di Kelantan?” tanya beliau sikit teruja dengan kenyatan itu dan seolah tidak percaya dengan pandangan awal beliau tadi yang Kelantan dalam suasana baik. Saya sedar dia juga mahu merisik apa yang ana tahu mengenai Kelantan. [jln pahang. 10:15 pm 15/11/07]

Bersambung...

Wednesday, November 14, 2007

Ulasan Lewat

Jangan Sampai Penyapu Menyapu Khir Toyo

MSO

IDEA Menteri Besar Selangor Mohamad Khir Toyo 'menghadiahkan' penyapu kepada mana-mana pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pejabat daerah (PTD) yang tidak dapat mencapai target untuk merngutip cukai menimbulkan berbagai reaksi umum. Nampaknya idea Khir itu ada yang setuju dan ada yang mengiranya sebagai idea melampau dan biadab.

Pertikaian mengenai tindakan Khir itu sampai terbawa ke dalam Parlimen. Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (MP Larut) Perak, menyifatkan ia sebagai suatu perbuatan biadab dan boleh menjatuhkan maruah seseorang yang menerimanya.

Kelamrin Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) telah dihadiahkan penyapu oleh Khir Toyo kerana tidak mencapai sasaran untuk mengutip cukai. Terpampang gambar Yang Dipertuanya, Tukiman Nail di akhbar sedang menerima penyapu dari Khir Toyo. Saya tadak pasti apakah penyiaran gambar itu hendak memalukan Yang Dipertua MDHS itu ataupun hendak memalukan Khir Toyo sebenarnya.

Apa yang dibuat oleh Khir Toyo itu tidak pernah dibuat oleh mana-mana Kerajaan Negeri sebelum ini. Di Kelantan suatu masa dulu MBnya, Nik Abdul Aziz Nik Mat suruh rakyat kutip sampah sewaktu melancar kempen bersih bandar Kota Bharu. Katanya jumpa sampah kutip. Berbeza dengan kutip sampah dan beri penyapu sampah.

Kena pukul

Penyapu itu ialah barang atau alat yang digunakan untuk sapu sampah. Dalam kehidupan manusia status penyapu sangat rendah dan hina. Sebab itu kalau ada cerita suami kena pukul dengan penyapu betapa hinadinanya suami berkenaan dan sekaligus si suami itu sah seorang yang kena queen control.

Penyapu sebagai sifatnya, menyapu semua kotoran termasuk tahi kucing, tahi anjing, kulit pisang, kertas dan botol-botol kosong. Dalam pandangan umum penyapu itu hina. Tetapi berlainan dalam kaca mata Khir Toyo. Padanya penyapu itu sesuatu yang penuh bermakna itulah sebabnya beliau jadikan penyapu sebagai simbolik agar ketua-ketua PBT dan PTD membersihkan pejabat mereka mempertingkatkan kualiti kerja.

Maknanya PBT atau PTD yang menerima penyapu itu, kenakan berkerja kuat jangan main-main. Kerja sampai ke malam membawa Subuh. Ada pun kenapa Khir Toyo membuat arahan itu bukan main-main. Bukanlah tujuan Khir nak malukan sesiapa tetapi untuk kebaikan umum? Namun kerana kerja itu tidak pernah dibuat, maka banyak pihak yang terkejut dengan tindakan itu.

Seperti mana katanya salah satu tujuannya ialah agar ketua-ketua PBT dan PTD rajin mengutip cuaki. Selaku MB Khir tahu mengenai kedudukan kewangan negeri Selangor pada masa ini. Mungkin kedudukan wang kerajaan Selangor sudah sampai ke peringkat parah menyebabkan Khir tergamak memberi penyapu sebagai balasan kepada PBT dan PTD yang gagal kutup cukai.

Cari wang

Apakah keadaannya kini sudah nazak benar sampai ketua-ketua PBT dan PTD pun kena jadi mangsa dikerahkan mencari wang untuk perbendaharaan Selangor?

Apa yang dilakukan Khir itu bertentangan dan kontras dengan apa yang dilaungkan selama ini. Kononnya Selangor sudah maju tahun 2005. Tetapi kalaulah ketua PTD dan PBT pun dikerah agar cari wang, macam mana boleh dikatakan kaya? Itu namanya kayap! Tidak sepatutnya sebuah negeri yang maju, aman dan bahagia tetapi ketua-letua PBT dan PTDnya disediakan hadiah penyapu atas alasan mereka tidak cekap kutip cukai.

Memang kedudukan kewangan Selangor kini amat teruk sekali. Banyak projek pembangunan yang telah lama siap tidak dibayar kepada kontrektor. Sesetengah kontrektor di Selang0r kini mengeluh dan terpaksa menagih-nangih hutang, itu pun liat untuk membayarnya.

Porjek segera yang dibangunkan di Ijok semasa pilihan raya kecil dulu, khabarnya masih belum di bayar hingga kini. Banyak kontrektor kecil sudah gulung tikar kerana kehabisan modal. Kontrektor besar pula tidak bayar atas alasan kerajaan Selangor tidak bayar kepada mereka. Bila ditagih, alasan Khir Selangor tidak ada wang.

Jadi pihak PBT dan PTD kena faham arahan dan idea Khir itu. Tujuannya ialah untuk cari duit seberapa banyak yang boleh. Gunakan akal dan kerajinan masing-masing. Khir bertindak begitu kerana mungkin dia tidak mahu lampu dalam kawasan majlis daerah atau perbandaran di Selangor akan malap dan mati terus kerana tidak mampu jelaskan bil eletrik.

Idea Khir memberi penyapu itu ada baiknya. Tetapi kerana pemberian hadiah itu sesuatu yang dikira boleh menyentuh soal maruah seseorang mungkin ada yang tidak menyenanginya. Ada yang terasa perbuatan itu diluar batas-batas kesopanan dan tatasula orang Melayu. (Mungkin baik bagi orang Jawa). Mungkin perlu Khir memikir semula jauh manakah pratikalnya idea itu. Jangan pula "sampah" yang Khir harap disapu tetapi beliau pula yang akan tersapu oleh penyapu yang dihadiahkan itu. [wm.kl 3: 15 pm14/11/07]

Tuesday, November 13, 2007

Sebelum Mentari Jatuh

Himpunan 100,000 : Ahli Parlimen Pun Bertelingkah Sesama Sendiri!

SEWAKTU sedang menunggu seorang kawan (ahli Parlimen) di coffee house Hotel Hilton dekat KL Central tengah hari tadi tiba-tiba saya ternampak seorang ahli Parlimen yang mengambil bahagian di parlimen semalam yang membantai himpunan raksasa 100,000, Sabtu lalu.

Mulanya saya tidak ingin bersalam dan menengurnya, tetapi kerana dia sudah ternampak saya, saya menghampirinya. Rasa marah kepadanya kerana sikap buta kayu dan tindakannya membantai secara sambrono mengenai himpunan itu masih meruap dalam hati.

"Hebat di parlimen semalam," puji dan perli saya. Dia tersengeh dan memahami maksudnya. Bersamanya juga turut berada seorang ahli parlimen. Dia ini cool sahaja tidak berkata apa-apa dan tidak membuat apa-apa ulasan terhadap himpunan berkenaan. Mungkin dia benar-benar tidak tahu, ataupun tahu tetapi tidak suka menyembunyikan kebenaran.

"Kenapa Datuk bantai kuat sangat," tanya saya. "Datuk tahukah apa yang berlaku di himpunan berkenaan, secara jujur?" soal saya lagi.

"Tidak boleh ia bahaya. Tidak boleh. Kerana demonstrasi itu menyebabkan para peniaga kerugian, mereka terpaksa kena tutup kedai," beliau memberi alasan. Air yang hendak dihirup diletakkan semula. Dia nampak berminat untuk membicara atau menyambung perbicaraan mengenai himpunan itu di luar dewan.

Bentuk gelas

Saya melabuh punggung di sisinya, sambil itu melihat gelas-gelas yang berselerakan atas meja. Diam-diam saya mencari-cari sesuatu, memerhati bentuk gelas dan apakah air yang dihidang atas meja kecil di hadapan kami.

"Himpunan semalam berlangsung dengan baik. Tidak ada tumpah darah pun, ...." kata saya memberi maklumat. Belum habis saya menjelaskan tiba-tiba ahli Parlimen yang berjanji dengan saya muncul dan terus menyampuk; "apalah Perdana Menteri, penakut sangat, patut ..dibiarkan sahaja la."

"Dia orang tidak minta permit, macam mana nak biarkan," kata ahli parlimen yang mula-mula tadi. Darah saya mula menyirap naik muka bila beliau sebut fasal permit. Nampaknya si ahli parlimen ini cuba hendak menegangkan benang basah. Dia bercakap sesuatu yang beliau tidak tahu. Kabur maklumat!

"Dia orang ada minta permit, tetapi tidak diluluskan!" balas ahli parlimen yang berjanji dengan saya itu. Nampaknya dia lebih advance dan ikhlas dari ahli parlimen berkenaan. Ahli parlimen berkenaan seakan tidak mahu menerimanya dan cuba mengelak dengan memberi alasan lain.

"Tak ada... tak ada minta!" tekannya serba salah.

"Ada, I tahu... lama dah dia orang minta. Dua bulan lalu lagi...bagi I tidak patut. Kalau polis lepaskan, kan senang, tak riuh randah...," sambung ahli Parlimen yang berjanji dengan saya membela himpunan berkenaan.

Ahli parlimen itu, terkial-kial. Sementara rakannya di hadapan tersengih sahaja, memerhati dan mendengar. Dia ni memang bersikap begitu, tenguk dan renung sahaja, tidak berani masuk campur. Di Parlimen pun memang begitu jarang bangkit dan bangun bercakap.

"Tidak adil...polis tidak adil, dan tidakkkk profesional!" tekannya lagi. "Kalau nak bodek pun jangan nampak sangat," tukas ahli parlimen yang berjanji dengan saya itu lagi. Tukasan itu sinis menyebabkab ahli parlimen berkenaan jadi serba salah dan mukanya merah.

"Tidak adil apa, Datuk...!" belum habis ahli Parlimen itu berkata ahli Parlimen yang berjanji dengan saya terus menjawab; "apa adilnya, kalau Khairy buat demo, dilepaskan begitu saja. Kalau nak tangkap, tangkap semua, jangan pilih bulu. Jangan bersikap double standard," katanya lagi kali ini agak serius.

"Ok I ada meting dengan Sayuti, lapar nak berbahas tidak boleh.." ahli parlimen itu mengelak.
"Tapi demon kali ini aman Datuk, tak ada keganasan dan provokasi antara polis dan orang ramai," saya menenangkan keadaan dan bangkit untuk pindah tempat.

"Nak berbahas bukan bila perut kenyang, tetapi kena ada idea dan fikiran..." balas si ahli Parlimen itu sedikit kesal dan malu. Nampak dia kurang berpuas hati dengan hujah yang dilemparkan oleh ahli parlimen yang berjanji dengan saya itu.

"Sudah... saya nak makan dulu, nanti kita sambung semula," balas ahli parlimen yang berjanji dengan saya itu dan kami berlalu, duduk di meja tidak berapa jauh dari kedua ahli Parlimen itu.

Menggeleng kepala

Sebaik saya dan ahli Parlimen itu melabuhkan punggung, belum pun order makanan, ahli Parlimen ini menggeleng kepala, sedikit kesal dengan telatah ahli Parlimen berkenaan dan juga perdana menterinya dan polis. Katanya; "PM bodoh kerana menghalangkan himpunan berkenaan. Kalau saya, saya akan lepaskan apa nak risaunya, mereka nak sampai memornadum, biarkan lah..."

"Inilah negara kita keadaan dan realiti negara kita. Umno pun sudah karut sangat dah. Sudah tidak boleh diharap lagi. Saya ni terus terang kalau saya tidak setuju saya kata tidak setuju saya tidak mengangguk tidak tentu fasal. Bagi saya Umno sudah karutlah, Ti.." tukas dan tekannya lagi marah dan geram.

Saya hanya diam saja. Memang dia ini terkenal dengan sikap kontroverisnya. Dia akan kritik tidak kira siapa. Baginya sesiapa yang bertindak mengikuti lunas-lunas sewajarnya akan dikritik tidak kira siapa orang itu. Sebagai seorang yang menghormati undang-undang beliau akan melihat apakah tindakan seseorang itu menempati undang-undang atau tidak. Kalau ia menyeleweng ia akan ditentang tidak kira siapa.

Pemikiran ahli parlimen ini juga liberal, terbuka. Baginya manusia dilindungi prinsip keadilan mengikuti akal manusia. Apa lagi dalam politik demokrasi yang ada rukun-rukunya, manusia (pemimpin) harus berpegang kepada rukun itu. Jika rukun dan prinsip itu dilanggar, maka orang itu tidak perlu dihormati lagi.

Baginya larangan ke atas himpunan itu sebagai satu pencabulan rukun-rukun dan prinsip demokrasi yang tidak sepatutnya berlaku. Ia melanggari hak-hak yang dibenarkan oleh perlembagaan. Tetapi kerana rasa hormat manusia ke atas prinsip itu tidak ada lagi, kerana mereka suka merogol, menjahanamkannya mereka akan lakukan apa saja asalkan mereka senang dan mereka menang.

"Bagi saya politik seperti ini tidak ada maruah langsung. Dan inilah yang sedang berlaku dalam negara kita specialnya apa yang berlaku dalam Umno. Umno karut!" jelasnya penuh kejengkilan sambil menjebek mulut tanda benci.

Selepas makan beberapa sandwich dan minum green tea kami berpisah. Dalam perjalanan pulang saya tertanya apa yang dikehendaki ahli Parlimen berkenaan sehingga beriya membuat temu janji. Saya kira beliau nak tanya soal pilihan raya, tetapi tidak pula perkara itu dicakapnya. Lama baru saya faham yang beliau hendak mendapat maklumat atau pandangan saya berhubung himpunan raksasa 100,000 kelamrin itu. Untuk apa?

Kurang pasti pula, mungkin untuk dia jadikan modal di Parlimen kelak. Harap-harapnya begitulah bila ada lagi 'penjaga rumah kecil di belakang rumah' yang mendokong dan menungkat punggung Abdullah Ahmad Badawi dan kerajaan, ahli Parlimen ini akan bangkit dan menyuarakan kebenaran yang beliau nampak dan mempertahankan hak-hak rakyat dalam sebuah negara bernama demokrasi. [bangsar. kl. 5:00 13/11/07]

Monday, November 12, 2007

Bingkisan Rasa

Bila Para Pembela Abdullah Bangkit Dengan Kebodohannya

TIDAK dapat dinafikan himpunan raksasa 100,000 rakyat kelmarin telah memberi pukulan hebat kepada kerajaan Abdullah Ahmad Badawi. Himpunan itu menjadi satu phobia dan menganggui minda kerajaan Abdullah. Hari ini di Parlimen beberapa ahli Parlimen termasuk Menteri yang menjadi boy Abdullah bangkit membela Abdullah dan menempelak pihak penganjur himpunan berkenaan.

Jawaban ataupun respons yang diberikan itu menjelaskan bahawa Abdullah dan kerajaannya cukup bimbang dengan apa yang berlaku itu. Mereka nampaknya tidak dapat menyembunyikan rasa takut dan rasa gerun dengan kewujudan estet bunga mentari di sore Sabtu itu!

Di mulut mereka boleh menyatakan ianya tidak ada apa-apa dan memberi apa-apa bekas, namun di dalam hati, hanya Tuhan sahaja yang tahu. Satu masa mereka semacam tidak hairan dengan himpunan berkenaan. Tetapi dalam masa lain mereka turut memberi reaksi dengan cuba memperkecilkan himpunan berkenaan.

Saya percaya dan yakin sejak malam tadi sesetengah para pembela dan pembodek Abdullah termasuk si beruang hitam, (meminjam istilah Ron) mulai 'terkanyat' (tersintak) di dalam tidur. Tidur mereka tidak lena dan sudah ada agaknya yang bermimpi ditindih longgokan bunga mentari (gelombang kuning).

Memandang berat

Realitinya Abdullah dan anak buahnya termasuk juga pasukan polis memandang berat dan merasakan himpunan itu sebagai satu ancaman kepada mereka. Himpunan itu telah memulakan satu momentum yang sangat tidak baik kepada Abdullah dan kerajaan.

Seperti mana saya bilang sebelum ini, sebelum Abdullah tercelupar mulut mencabar rakyat di perhimpunan agung Umno tempoh hari, rakyat tidak marahkannya. Walaupun ada sebilangan rakyat bosan dengan telatah dan tindak tanduknya, namun rakyat hanya diam dan masih belum tergamak untuk mengomelnya secara terbuka. Rakyat masih lagi ada rasa hormat dan malu kepada Abdullah.

Yang benci kepada Abdullah selama ini, hanya mereka yang bencikan menantunya saja atau pun mereka yang menyimpan agenda peribadi dalam Umno. Atau oleh mereka yang tidak tergamak untuk melihat negara ini terus ditadbirkan dalam keadaan tidur dan sesekali membuat kenyataan dalam mamai.

Namun sejak Abdullah mencabar kuasa rakyat itu, (mensia-siakan penghormatan rakyat kepadanya) maka rakyat sudah bangkit dan melihat Abdullah sebagai seekor ular sawa besar yang sedang tidur kekenyangan dan ianya perlu dibuang ataupun dijerut lehernya!

Saya sudah duga ada boy dan pemuka Abdullah akan bangkit membela Abdullah. Masa inilah mereka hendak menunjuk kasih dan berbudi kepada Perdana Menteri itu. Al maklumlah pilihan raya bakal menjelang tiba. Masing-masing hendak menengakkan bulu dan mengangkat ekor yang berlender dengan tahi menunjuk jantan kepada Abdullah. Di Parlimen hari ini, sekurang-kurang dua orang telah bangun membela Abdullah.

Seorang, itu Mohamad Nazri Aziz telah membuat andaian himpunan rakyat itu adalah kerja orang (pembangkang) yang kepada tidak betul. Katanya kononnya pembangkang sengaja menyalahkan Suruhajaya Pilihan Raya (SPR) kerana mereka (pembangkang) sudah tahu akan kalah besar dalam pilhan raya nanti.

Kerana itu menurut Nazri, awal-awal lagi pembangkang menyalahkan SPR. Itu apa yang Nazri nampak dan helahnya. Budak kecil pun boleh faham dan menolak agumentasi Nazri itu. Kalaulah benar pembangkang akan menghadapi kekalahan lebih teruk daripada tahun 2004, untuk apa beliau bising-bising. Biarkanlah apa yang pembangkang hendak buat. Apa perlu takut dan bimbang kerana ia tidak menjejaskan BN?

Tidak payah beliau sekat atau halang himpunan berkenaan. Kenapa sibuk-sibuk hendak perkecilkan himpunan itu? Biarlah pembangkang teruskan dengan kerjanya yang tidak betul itu. Hendak tahu betul tidak betul, tunggulah pada pilihan raya kelak. Lagipun Abdullah sudah mengatakan untuk beradu kekuatan dalam dalam pilihan raya.

Walaupun Nazri cuba memperlecehkan himpunan itu nampaknya ia bukan mudah untuk diterima. Himpunan semalam telah menggerakkan rakyat yang tidur atau dilenakan oleh Umno selama ini. Mulai kelmarin rakyat kini sudah bangkit dalam tidur. Mereka selepas ini tidak mudah lagi untuk tidur walaupun Nazri cuba untuk memperkecilkan himpunan berkenaan.

Apakah Nazri atau Abdullah menyedari bahawa antara yang turut sama menyertai himpunan berkenaan adalah juga yang hadir pada perhimpunan agung Umno pada hari sebelumnya. Bukan semua yang hadir itu pulang, tetapi ada yang extend untuk melihat himpunan berkenaan. Jadi siapakah mereka ini? Abdullah kena faham. Saya percaya Nazri faham mengenai hal ini.

Cuba menentang

Sebenarnya apa yang berlaku semalam, cukup bahaya dan implikasinya dapat dirasai dan dihidu oleh Nazri. Lantaran itulah beliau beriya-iya cuba menentangnya. Beliau akan cuba membuat rivers psikologi agar orang melihat kebangkitan rakyat itu sebagai sesuatu yang sia-sia dan tidak membawa apa-apa bekas.

Bagaiman pun di sebalik kesungguhan Nazri hendak membela Abdullah dan kerajaannya, timbul persoalan, sejauh manakah ahli Parlimen Lenggong itu jujur dan ikhlas dengan kerjanya. Apakah beliau berbuat itu benar-benar hendak membela dan menjaga kredibiliti Abdullah Ahmad Badawi ataupun bertujuan untuk merosakkan lagi Abdullah?

Jika dilihat kepada gelagat melampau Nazri itu ia seolah-olah tergambar kepura-puraanya. Beliau sengaja berbuat begitu kerana ada niat dan tujuan lain. Kalau orang tidak faham politik dan sejarah politiknya orang akan mengatakan, tindakan Nazri itu untuk membantu Abdullah. Namun bagi mereka yang mengetahui hujung jatuh dan pancak silat politiknya akan tahu bahawa sokongan Nazri kepada Abdullah itu sebagai sokong membawah rebah.

Sebenarnya Nazri ada agenda sendiri dalam hal ini. Bagi Nazri mungkin beliau sangat suka kalau Abdullah dilanyak dan dihentam oleh rakyat. Sebabnya mudah, kerana Nazri mahukan bosnya naik. Saiapa bos Nazri? Ianya tidak lain dan tidak bukan melainkan orang bermulut merah! Abdullah bukan sesekali bos Nazri.

Jadi Nazri kena berpura-pura membela Abdullah dalam soal ini. Beliau kena bercakap lebih dan penuh kelunakan agar Abdullah tidak terperasaan. Pada masa saman rakyat akan meluat dengan telatah Nazri itu dan kesannya akan berjangkit kepada Abdullah. Itulah sebenarnya yang diharap oleh Nazri. Sokongan kepada Abdullah tidak jujur!

Seorang lagi ahli parlimen yang berkukuk berderai-derai ekor bergelumang tahi memberi ulasan mengenai himpunan kelmarin ialah Raja Ahmad Zainuddin, yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC). Beliau mencadangkan supaya orang yang bertanggungjawab ke atas himpunan 100,000 rakyat semalam diambil tindakan tegas.

Dalam bahasa mudah ialah tangkap dan dakwa mereka. Kalau tidak boleh dakwa masukkan sahaja mereka dalam ISA. ISA yang selamanya menjadi senjata tajam kepada Umno selaku tulang belakang kerajaan (BN) boleh digunakan bila-bila masa sahaja. Keadaan seperti inilah akta zalim ISA itu akan digunakan, dan sebab itulah kerajaan enggan menghapuskan ISA walaupun sejuta kali ianya didesak dihapuskan kerana ia boleh digunakan waktu terdesak.

Cadangan Raja Ahmad itu lagi tidak masuk akal dan dianggap sebagai sudah melampau. Kalau benar BN dan Umno yakin dengan kekuatan dan sokongan rakyat, jangan peralatan undang-undang. Apa yang mereka patut cadangkan kepada Presiden yang mereka kasihi ialah bubarkan saja Parlimen dan adakan pilihan raya secepat mungkin.

Nazri kata pembangkang akan kalah teruk, nah tunggu apa lagi bubarlah Parlimen!

Ketua Polis Negara, Musa Hassan juga tumpang setengah mangkuk membela Abdullah dan kerajaan sebagai terima kasih atas budi baik Abdullah menyambung perkhidmatannya sebagai KPN. Katanya kanak-kanak telah diperalatkan menjadi perisai himpunan berkenaan.

Saya tidak pasti apakah Musa Hassan kini waras atau tidak? Atau pun beliau masih lagi pening-pening lalat dengan pasukan polis yang hari ini sedang terbelah dua. Kalaulah saya jadi Hassan, saya sudah lepaskan jawatan. Apa guna menjadi ketua kalau kita tidak mendapat sokongan padu.

Nampaknya juak-juak yang hendak membela Abdullah tidak mempunyai akal fikiran yang jilah dan sihat. Mereka juga kehabisan modal. Semua benda kecil, debu sampah sarat diraut untuk memperkuatkan benteng mereka menyokong Abdullah.

Apa haram jadahnya memperalatkan anak-anak? Himpunan itu aman dan bersih. Yang buat kacau ialah anak buah Musa Hassan sendiri. Jadi kalau berlaku apa-apa ke atas kanak-kanak semalam, anak buah Musa Hassan lah yang perlu bertanggungjawab dan dihukum dan bukannya ibubapa.

Sayang dan kasih

Kononnya Musa berkata begitu nak tunjukkan sayang dan kasihnya beliau kepada kanak-kanak. Usahlah bertindak macam hendak membunyikan buah guli dalam seluar, tugas utama Musa yang belum selesai ialah mengawal jenayah. Carilah dulu siapa yang membunuh Nurin Jazlin Jazimin, tangkap dan dakwa si bedebah itu. Selagi pembunuh Nurin tidak ditangkap usahlah bercakap soal nak melindungi kanak-kanak. Malu!

Dan apakah membawa kanak-kanak untuk berjumpa dengan raja mereka, ia dianggap sebagai mengeksploitasikan kanak-kanak? Salahkan ibubapa membawa anak-anak untuk berhimpun dihadapan istana untuk menyampaikan sesuatu kepada raja atau sultan mereka?

Musa tidak membaca sejarah dan buta mengenai sejarah Melayu dalam soal ini. Saya syokkan beliau lebih banyak tonton filem P Ramlee. Perhati bagaimana P Ramlee mendedahkan hubungan rakyat dengan raja. Bagaiman seniman itu mendedahkan perasaan kasih raja terhadap rakyat dan cinta rakyat kepada raja. Bagaimana raja yang adil melindungi rakyat dan raja yang zalim menghinakan rakyat!

Apa guna orang Melayu mempunyai sembilan orang raja kalau ianya untuk dijadikan patong. Apakah Musa berani menghalang budaya dan radisi itu, atau hubungan rakyat dengan raja ini. Kalau berani kita minta beliau mencadangkan atau membuat cadangan atau kenyataan agar rakyat negara ini tidak perlu membuat apa-apa aduan kepada raja atau sultan melainkan PM yang memiliki kuasa eksekutif itu.

Kalau orang-orang yang sayang kepada kebaikan dan kehemahan Abdullah dan hendak membelanya, tidak ada masalah, teruskan. Tetapi carilah pendekatan dan ikhitar lain yang lebih akdemik dan munabsah. Janganlah memperlihatkan kebodohan dan ketololan kita dalam membela seseorang. Jangan kerana orang berikan kita secebis roti maka kita gendung orang itu atas kepala kita. Allah s.w.t. berikan kita akal untuk berfikir bukannya untuk diletakkan di kepala lutut! Samji...! (Hindustan sikit).

Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Unit Amal Malaysia yang diberi tugas mengawal keselamatan dan menjamin himpunan berada dalam keadaan aman damai. Saya lihat antara Unit Amal dan pasukan polis jauh berbeza. Unit Amal benar-benar menunjukkan sifat amal dan diplomasi mereka pada perhimpunan berkenaan.

Intergriti, disiplin dan semangat unit ini lebih tinggi dan mulia daripada sesetengah puak di dalam pasukan keselamatan pada himpunan berkenaan yang bertindak macam anjing mengejar kelinci putih yang jinak.

Sekali lagi tahniah dan syabas kepada anda Unit Amal. Ada gurauan beberapa orang pahlawan himpunan tersebut (yang termakan budi dengan unit itu); katanya kalau suatu hari nanti pembangkang mengambil alih kerajaan kelak, biarlah negara ini diaman dan dikawal oleh Unit Amal Malaysia dan bukannya oleh polis sisa-sisa peninggalam Abdul Rahim Noor itu. Aduh... senaknya peruk! [wm.kl 9:15 pm 12/11/07]