Friday, April 27, 2007

Catatan Dari Ijok, Akhir

Ada Fenomena Lunas dan Pengkalan Pasir di Ijok
MSO

KURANG 12 jam lagi tempoh berkempen pilihan raya kecil Ijok akan berakhir. Tepat jam 12.00 tengah malam ini (00.00) semua parti politik dan agennya tidak dibenarkan berkempen lagi. Kini parti politik bertanding – BN dan Keadilan sedang menghabiskan sisa-sisa masa kecederaan untuk menghabiskan kempen masing-masing.

Selama lapan hari kempen berlalu. Rasanya hampir kesemua 12,272 pengundi di Ijok termasuk yang berusia sembilan tahun dan 30 orang yang berusia lebih 100 tahun telah pun memakukan keputusan masing-masing. Siapa dan parti mana mereka pilih sudah pun ada di kepalanya.

Apa yang diharapkan keputusan itu mereka buat selepas menimbang segala isu-isu yang ditaburkan kepada mereka. Membandingkan dari segi keupayaan calon-calon yang bertanding dan misi dan visi perjuangan (pemimpin) parti-parti berkenaan.

Hendaknya jangan ada pengundi yang turun mengundi esok membuat pilihan mengikut kadar berapa mereka dibayar ataupun diupah.Dalam suasana pilihan raya kini fenomena upah, sogok dan sebagainya tidak dapat dielakkan. Pengundi dinasihati ambil segala pemberian itu, tetapi jangan membuat penentuan mengikut kadarnya. Gunakan akal yang bijak dan waras!

BN dan Keadilan sama-sama berkeyakinan.

Kedua parti meletakkan harapan dan keyakinan tinggi. BN sebagai parti yang mempertahankan kerusi Ijok berada dalam keadaan terdesak mereka mahu kekalkan kerusi berkenaan begitu yakin akan meraih kemenangan. Dengan sokongan padu komponen BN, menlacurkan makna dan erti keadilan dan mempamirkan perpaduan antara kaum dalam BN, parti itu yakin kerusi itu akan dimenangi dengan majoriti yang tidak sampai memalukan!

Begitu juga Keadilan, ia yakin akan membuat kejutan. Ijok digambarkan sebagai Lunas kedua akan dikejutkan oleh Keadilan. Keyakinan ini berpandukan kepda sambutan dan juga selera orang ramai di dalam pilihan raya itu memihak kepada Keadilan.

Memanglah jika diperhatikan sejak awal lagi, dari segi semangat dan kesungguhan Keadilan mengatasi BN. Walaupun ditekan dan dihalang dengan pelbagai kerenah birokrasi dan kesadisan politik amalan parti pemerintah namun ia tidak mematahkan semangat pekerjanya dan jentera pilihan raya Keadilan.

Sikap yang ditujukkan oleh penasihatnya, Anwar Ibrahim juga menunjukkan Keadilan mempunyai keazaman tinggi untuk menang. Ceramah Anwar yang penuh dengan variasi, isu dan serangan peribadi ke atas Timbalan Presiden Umno, Najib Razak menarik dan mendapat sambutan hangat.

Pun begitu jangan lupa BN ada kekuatan lain? Pengalaman, tenaga – man power dan kewangan yang banyak serta seribu helah yang pernah diamalkan berpihak kepada BN. BN boleh membuat lonjakan pada saat-saat akhir dan juga tindakan yang tidak termampu dicapai parti lawan.

Mengembalikan ingatan.

Melihat kepada pilihan raya Ijok menarik perhatian saya dan mengembalikan kenangan kepada dua pilihan raya kecil sebelum ini. Ada persamaan yang kontras antara satu sama lain pada pilihan raya Ijok. Dua pilihan raya itu ialah Lunas, Kedah dan Pengkalan Pasir, Kelantan. Ada fenomena Lunas dan Pengkalan Pasir di Ijok.

Apa yang dimaksudkan dengan fenomena di Lunas ialah kebangkitan pengundi Cina. Sementara apa yang dimaksudkan fenomena Pengkalan Pasir ialah, mengenai keyakinan umum kepada pembangkang.

Persoalan sekarang ini fenomena manakah bakal mezahirkan realitinya. Apakah soal kencenderungan masyarakat Cina memberi sokongan kepada pembangkang ataupun mengenai fenomena Pengkalan Pasir itu, di mana pembangkang nampak tertekan kemudian bangkit di saat-saat akhir yang bakal berlaku?

Perkiraan ringkas yang boleh dibuat di sini, sekiranya 80 peratus daripada 12,272 pengundi yang keluar, dan sekiranya dakwaan situasi hari ini mengatakan 60 peratus pengundi Melayu, 70 peratus pengundi Cina dan 10 peratus pengundi India berpihak kepada Keadilan benar, ini bermakna Keadilan akan memperolehi kira-kira 4,614 undi berbanding dengan BN sebanyak 4,186 undi. Angka ini menunjukkan Keadilan akan menang dengan majoriti 428 undi.

Bagaimana pun harus diingat ada kira-kira 1,000 pengundi lagi yang dianggarkan tidak dapat ditentukan sikap dan identiti mereka. Sekiranya 60 peratus daripada jumlah itu berpihak kepada BN ini bermakna BN akan menang dengan majoriti sekitar 500 undi.

Petunjuk paling jelas untuk meramalkan parti mana bakal menang ialah berdasarkan kepada jumlah peratusan mengundi. Sekiranya peratus keluar mengundi besok melebihi 85 peratus secara automatik BN akan menang selesa, sebaliknya sekiranya peratusan mengundi di bawah 70 peratus Keadilan mempunyai harapan besar untuk memiliki kerusi Ijok berkenaan.

Selalunya di dalam pilihan raya kecil peratusan tinggi yang mengeluar mengundi ia akan memberi advantage kepada parti Kerajaan!

No comments: