Wednesday, April 25, 2007

Catatan Dari Ijok 2

Ada Puak Nak ‘Botolkan’ Khir Toyo di Ijok!
MSO

SELAIN Timbalan Perdana Menteri, Najib Razak, Menteri Besar Selangor, Khir Toyo@Erodikrono adalah antara orang yang paling kuat berkerja untuk memastikan calon BN, Parthiban di pilihan raya kecil Ijok menang.

Kesungguhan mereka ini nampak dengan jelas. Semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh mereka sungguh luar biasa dan ini menjadikan mereka layak untuk dinobatkan sebagai bapa perpaduan Malaysia baru.

Sebagai kerabat MIC dalam BN, Khir dan Najib sememangnya perlu bekerja kuat. Itulah semangat perpaduan dan konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi. Berkawan, membantu dan berkerja untuk sesiapa saja, tanpa mengira sempandan, warna kulit dan bersedia melupai hak-hak asasi bangsa sendiri.

Dalam melihat Khir Toyo@Erodikrono bekerja ia menampakkan semacam ada sesuatu yang menghambat menteri besar bermuka putih itu. Semacam ada sebab yang mendesak beliau. Khir semacam terdesak benar dalam menghadapi pilihan raya kecil Ijok itu sehingga beliau rela dan sanggup mengeluar dan melakukan sesuatu yang teralat kalau kita menilainya.

Begitu juga, cara Khir bekerja semacam kerajaan Selangor akan jatuh, sekiranya DUN Ijok kalah pada 28 April nanti. Seolah beliau tidak akan menjadi MB lagi selepas ini.

Misalnya dalam satu kempennya beliau menjelaskan manding, K Sivalingam sering kali memohon peruntukan untuk membina masjid. Orang faham kenapa Khir sanggup dan tergamak mendedahkan budi baik manding itu bagi menggambarkan wakil rakyat India itu mengambil mengenai nasib dan keperluan orang Melayu Islam.

Tetapi soalnya apakah dakwaan Khir itu benar? Atau sekadar dijadikan modal kempen saja. Begitu juga beliau tergesa-gesa membuka pejabat khidmat Menteri Besar di Ijok, untuk membantu dan memberi khdimat kepada rakyat dan penduduk Ijok. Kenapa dalam keadaan sekarang baru teringin hendak membuka pusat khidmat? Apa yang Khir lakukan untuk Ijok 10 tahun lalu?

Sebenarnya tidak banyak yang mengetahui sebab musabab kenapa Khir gila-gila berkempen untuk memastikan calon kerabatnya, Parthiban menang. Ada udang disebalik kerja kerasnya itu. Sebagai MB dan Pengerusi BN, Khir harus memastikan Ijok akan menang, sebab Ijok adalah penentu nasibnya.

Kekalahan di Ijok akan membawa implikasi dan padah kepadanya. Sekiranya pilihan raya itu dimenangi Khalid Ibrahim dari Keadilan, ia menjejaskan maruah dan kehebatan Khir di Selangor. Pemerhati akan melihat kekalahan itu ialah kelemahan kepimpinan Khir di Selangor yang akhirnya bakal memalapkan sinar politiknya.

Mungkin lonjokan kerja keras Khir itu kerana beliau sudah menyedari apa yang sedang berlaku dan bergerak di belakang tabir pada masa ini. Khir sudah dapat menghidu bau bahawa ada usaha dari dalam untuk memalukannya pada pilihan raya berkenaan.

Cakap-cakap dan bisik-bisik kedengaran kononnya ada pihak-pihak tertentu sedang berusaha untuk mengagal dan mengalahkan Parthiban di dalam pilihan raya itu. Mereka ini bukan benci kepada calon BN dari koponen MIC itu, apa lagi bersikap perkauman tetapi kerana tidak senang dengan Khir Toyo.

Mereka mahu mengajar Khir dalam pilihan raya itu yang pada mereka sikap dan feel Khir sudah keterlaluan. Pilihan raya kecil itu ada kesempatan terbaik bagi golongan ini untuk ‘membotolkan’ Khir kemudian menghanyutkan (politiknya) di Pelabuhan Kelang.

Siapakah golongan ini? Khir sendiri sudah dapat mengagaknya. Sebenarnya puak ini lama mengatur strategi secara senyap untuk memusnahkan politik Khir. Usaha puak-puak ini bermula sejak tahun lepas lagi.

Pendedahan mengenai kelemahan pentadbiran Khir Toyo, masalah setinggan, penyelewengan, pemberian tanah dan pendedahan masalah gejala sosial yang berantaian adalah usaha puak-puak ini.

Pendedahan mengenai pemberian tanah untuk tujuan pembangunan kepada beberapa syarikat yang berhampiran Taman Pertanian Bukit Cahaya Seri Alam tahun lepas adalah usaha terbesar puak ini. Tetapi Khir masih bernasib baik, isu itu tidak sampai mengugatkan kedudukannya apabila Abdullah Badawi dikatakan masih memberi peluang kepadanya.

Pun begitu, ia tidak bermakna usaha dan kerja-kerja menjatuhkan Khir itu terhenti setakat itu saja. Golongan atau puak berkenaan masih meneruskan serangan demi serangan secara senyap.Pilihan raya Ijok ini dikatakan kesempatan terbaik untuk mereka memalukan Khir dan menghantar mesej kepada PM bahawa Khir sudah tidak popular.

Apakah usaha ini berjaya? Yang jelas golongan yang merupakan musang berbulu ayam dan menjadi duri dalam daging kepada Khir itu sangat mengharap keputusan pilihan raya kecil Ijok 28 April ini suatu tragedi yang akan memalukan dan menamatkan riwayat politik Khir Toyo@Erodikrono.

No comments: