Saturday, October 20, 2007

Reaksi

Duhai Sdr Anuar Mohd Nor!

MSO

BUKAN bertolak daripada rasa kesian atau simpati, tetapi saya merasakan perlu untuk tanggungjawab untuk memberi secebis kekuatan dan setitik semangat kepada sdr Anuar Mohd Nor berhubung "blurb pengumuman" yang beliau bentangkan di laman webnya - umno-reform.com. Beberapa hari blurb itu tertera di laman webnya, dan ini menjadikan saya terpanggil untuk memberi sedikit respon mengenainya.

Isunya ialah kononnya Anuar telah dibeli oleh Norza Zakaria (Ketua Pemuda Umno Wangsa Maju) sebanyak RM200,000. Untuk apa, tidak diketahui, tetapi mestilah ada sangkut paut dengan hal-hal kerja propaganda, al maklumlah sekarang ini kita semua sedang diserang demam pilihan raya, jadi banyak tokoh politik yang ingin berbaik dengan media.

Berita mengenai tuduhan itu disiarkan dalam blog yang menggunakan nama menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin - antikhairy.blogspot.com

Anuar (foto) menafikan yang dia dibeli. Tuduhan dan laporan itu tidak benar. Ertinya dia bukan bahan dagangan atau toys kepada orang politik. Bagus dan syabas.

Anuar juga tidak ghairah mahu menjawab. Nampaknya dia sudah faham dunia dan rempah ratus serta ranjau dan onak dilalui penulis. Tetpai kerana ramai yang menghubungi dan mendesaknya maka beliau menjawab dan menerakan blurb itu di laman webnya dan berjanji akan menjawab selepas raya secara terperinci. Kita tunggu.

Tuduh menuduh

Apa yang hendak saya jelaskan di sini rasanya Anuar sendiri faham. Tentang tuduh menuduh dan dakwa mendakwi tanpa bukti jelas ini sering berlaku dan akan berlaku dan menimpa diri penulis. Inilah satu cubaan dan ujian besar kepada penulis dan kerjayanya.

Kalau mana-mana penulis (khasnya penulis politik) tidak tahan dengan ujian ini mereka akan kalah dan musuh akan menang. Tujuan mereka berbuat begitu ialah untuk menganggui emosi kita daripada berfikir dan menulis membela bangsa dan negara mendedahkan penyelewengan dan membongkar fiil busuk pemimpin. Dan satu-satu senjata dikira ampuh untuk mereka mendamagekan penulis ialah dengan menuduh ia sebagai penulis upahan!

Ancaman dan tuduhan yang dihadapi sdr Anuar itu belum cukup kuat dan hebat. Akan ada lagi selepas ini fitnah-fitnah kubra yang akan dituju kepadanya. Setakat RM200,000 sedikit sdr Anuar, orang lain pernah difitnahkan berjuta-juta ringgit serta pelbagai insentif lain yang mengalahkan menteri atau perdana menteri.

Dalam melakukan fitnah dan menyebarkan berita ini sebenarnya bukan orang lain. Mereka adalah orang-orang di sekeliling kita juga, yang bersifat 'mulut manis jubur masam'. Teman-teman rapat termasuk penulislah yang sering menjual dan menjaja hal ini. Mereka lebih dipercayai kerana mereka rapat dan mengenali kehidupan kita. Merekalah yang rapuh mulut menceritakan kepada tokoh-tokoh politik dengan niat dan tujuan tertentu pula.

Fitnah akan menimpa penulis bukan memerlukan bukti yang jelas. Tidak payah bersekongkol dengan bank untuk mengorek akaun kita. Tidak payah mereka menyelidiki akaun anak bini kita atau waris warah kita. Tetapi cukup kalau mereka melihat perubahan kehidupan seharian kita saja.

Bahan bukti

Kalau kita pakai kereta, pakai baju berjenama atau nampak rileks, naik kapal terbang dua tiga kali sebulan atau sering berada di restoran kentucky fried chicken atau mcdonalds cukup untuk dijadikan bahan bukti bagi mengatakan kita - seseorang penulis itu kaya dengan cara dibayar upah oleh orang tertentu.

Apa lagi kalau mereka sudah tahu kita tidak lagi duduk di kawasan setinggan atau mendiami flat dua bilik dan telah menginap di perumahan teres, maka kita akan dilemparkan dengan berbagai tuduhan. Kononnya si anu belikan si anu hulurkan wang dan si anu membiayai segala keperluan hidup kita.

Seperkara lagi sering berlaku fitnah ialah apabila kita menulis dan menyokong tindak tanduk seseorang pemimpin, maka kita akan mudah dituduh sebagai telah dibeli oleh tokoh-tokoh yang menjadi musuh kepada tokoh yang kita tulis dan sokong itu.

Dalam hal ini saya ingin turunkan pengalaman yang berlaku ke atas diri saya, bukan untuk pengetahuan sdr Anuar saja tetapi sebagai renungan bersama.

Tahun 1991 apabila saya menulis mengkritik Anwar Ibrahim, saya dituduh dengan pelbagai tuduhan termasuk diupah dan dibayar oleh tokoh yang berseteru dengan Anwar. Bahkan jauh sebelum itu tahun 1986/87 apabila saya menulis menyanjungikan keperibadian politik Abdullah Badawi sebagai tokoh yang bakal jadi PM, saya juga turut dituduh diupah oleh mereka yang dengki dengan Abdullah.

Ironisnya apabila saya menulis membela pemecatan Anwar Ibrahim tahun 1998, saya dituduh diupah dan dibayar oleh orang atau sahabat Anwar. Seorang rakan penulis kelas haprak menjaja kononnya pedagang Arab telah memasukan sejumlah wang ke dalam akaun saya.

Begitu juga halnya apabila saya gila-gila menulis dan memberi ruang kepada Husam Musa dalam tulisan dan buku saya, saya telah dituduh telah dibayar oleh Husam. Husam sendiri pernah menyebut kepada saya, bahawa beliau mendengar tuduhan mengatakan beliau memberikan saya sebanyak RM100,00. (Dan kini apabila saya kurang seronok dengan Husam siapakah pula agaknya yang menghulurkan ringgit kepada saya?)

Jadi sdr Anuar dan sahabat penulis yang budiman, usahlah kita melayan segala tuduhan itu. Ia adalah penyakit yang datang bermusim yang tumbuh dalam hati mereka yang tidak senang dan memang berpenyakit. Ini tidak menghairankan kerana Allah ada berfirman; sesungguhnya di dalam diri mereka ada penyakit (dengki, cemburu dan buat fitnah), maka Allah akan tambahkan lagi penyakit ke atasnya.

Penulis profesional

Dan kalau pun kita dibayar dan diupah dan kebetulan mendapat wang banyak, ia adalah atas hasil usaha kita sendiri dan ingatlah penulis adalah bidang profesional yang mahal harga dan nilainya kerana bukan semua orang yang ingin jadi penulis atau sedang menulis pun masih lagi belum diiktiraf sebagai penulis profesional.

Mereka yang menuduh kena ingat bahawa orang politik di Malaysia tidak sebaik dan semurah hati yang disangka untuk membayar dan membeli penulis begitu mudah sekali untuk kepentingan mereka.

Penulis yang tulen yang jati ada pendirian dan ada prinisp tersendiri. Mereka tidak boleh dibayar hatta seberapa banyak sekalipun. Kami menulis bukan kerana wang tetapi kami menulis ialah kerana semangat, kesedaran untuk membela agama, bangsa dan negara. Kami mengkritik bukan kerana dia musuh, tetapi kami mengkritik kerana dia salah. Kami menyokong bukan kerana dia kawan, tetapi kami menyokong kerana dia bersih, jujur, ikhlas dan tidak hipokrit.

Pun seperti saya sering katakan, saya tidak menafikan ada orang yang berlagak sebagai penulis menggunakan nama dan profesyen selaku penulis politik tetapi untuk menyamun sana dan mengugut sini. Dan janganlah kerana kerbau seekor membawa lumpur maka semua kerbau lain juga dilihat berlumut dan kotor. [wm.kl 20/10/07]

No comments: