Tuesday, October 30, 2007

Pelancaran Ecer 1

Aksi Mengharukan Di Majlis Pelancaran Ecer

MSO

ALHAMDULILLAH perlancaran pelan Pembangunan Wilayah Ekonomi Timur (Ecer) berjalan lancar dan berjaya. Seperti mana disebut sebelum ini majlis itu akan mencatat sejarah tersendiri.

Ternyata apa yang dibayangkan itu benar. Majlis itu memberi signifiken dalam menzahirkan cita-cita dan kehendak rakyat Kelantan selama ini iaitu pembangunan setanding dengan
negara lain.

Majlis pelancaran itu memberi kesempatan untuk rakyat buat pertama kalinya melihat kedua pemimpin kesayangan mereka, Tok Guru Nik Aziz dan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi duduk sekali.

Tentu ada air mata yang gugur ke riba apabila melihat Abdullah memegang mesra tangan Nik Aziz dan memimpin Menteri Besar Kelantan itu ketika naik dan ketika turun dari petas. Lagak mereka seperti anak dengan bapa yang penuh kasih sayang.

Apakah Abdullah sengaja atau spontan berbuat demikian untuk menarik perhatian hadirin, atau memberi mesej kepada setiap yang hadir khususnya mereka yang bernama pemimpin. Ini kerana di bawah sana ada Husam Musa, ada Annuar Musa. Apakah mereka tidak mahu berpimpinan tangan seperti itu dalam misi perjuangan untuk rakyat Kelantan?

Di bawah juga ada Mustapa Mohamad dan ada Mohd Amar Nik Abdullah, apakah mereka tidak terliur untuk berbuat demikian. Dan di bawah juga ada Awang Adik Hussein dan ada Takiyuddin Hassan apakah mereka tidak teringin untuk beraksi demikian?

Kesedaran dan tanggungjawab

Terima kasih kepada Petronas yang mengaturkan pelan berkenaan dan menyusun aturcaranya tanpa ada motif politik yang jelas. Atas kesedaran dan tanggungjawab itu membolehkan pemimpin tertinggi kedua parti Pas dan Umno berada dibawah satu bumbung dan masa sejemut itu memberi kesematan keada mereka untuk berfikir demi kesejahteraan rakyat Kelantan. Suasana begitu jarang kelihatan sejak ke belakangan ini.

Majlis Ecer bukan sahaja memberi peluang kepada rakyat Kelantan bakal menikmati pembangunan tersusun dan sistemetik dalam berbagai aspek, namun ia memberi bukti bahawa rakyat Kelantan boleh menerima apa juga kebaikan yang diberikan tanpa syarat atau kontras dengan undi yang dihulurkan oleh sesiapa sahaja.

Misalnya majlis petang tadi menterjemahkan sikap liberal dan 'mudah basa' rakyat Kelantan akan menerima dengan baik setiap huluran yang ikhlas dari sesiapa sahaja, termasuk Perdana Menteri. Walaupun projek itu adalah dari kerajaan Pusat namun kerajaan negeri menerimanya dan menjunjungnya dengan baik.

Cuma malang sedikit, ada sesuatu yang dikira kurang sesuai pada majlis berkenaan bagi kaca mata saya. Perkara itu ialah mengenai sedikit sindiran Tok Guru Nik Aziz terhadap pemimpin Kerajaan Pusat yang seharusnya tidak berlaku.

Benar sindiran itu kerana ingin melepas rasa marah berbelas tahun atas sikap tidak adil kerajaan Pusat, dan sikap tidak tahu adat pemimpin Kerajaan Pusat ketika datang ke Kelantan tanpa mengetuk pintu dan terus masuk ke rumah (Kelantan), tetapi rasanya luahan itu tidak pada majlis seperti itu.

Pada saya dalam suasana begitu kurang elok kalau bagi Tok Guru selaku MB menyindir dan bermain politik dalam ucapannya. Misalnya pantun antara yang berbunti "mengharap bulan jatuh ke riba" yang diluahkan terlalu emosional dan boleh menyinggung hati setengah pihak.

Tepuk gemilang

Walaupun tepukan dan sorakan kepada ucapan Tok Guru itu namun ia tidak memberi gambaran tepuk yang ‘gemilang’ melainkan berbau sentimen politik yang kering.

Bagaimana pun dalam hal ini Tok Guru tidak boleh disalahkan. Orang yang perlu disalah dan bertanggungjawab atas patah kata-kata Tok Guru itu ialah penulis ucapannya. Penulis ucapan itu seperti tidak peka dan tahu akan senerio majlis berkenaan dan sepanjang masa ingin berpolitik tidak kira musim. Tidak seharusnya Tok Guru diberikan kesempatan untuk memperli tetamu walaupun tetamu itu sebenarnya ada melakukan kekhilafan.

Kerajaan negeri tampaknya berterima kasih atas pelan pembangunan berkenaan. Tetapi apabila ianya disulam dengan perli dan sindiran, seakan terima kasih itu tidak ikhlas dan jujur.

Tuan rumah yang baik dan sempurna ialah yang memaafi tetamunya!

Apapun majlis tadi meninggalkan kesan dan kenangan tersendiri. Bagi mereka yang cintakan perdamaian akan merasakan, bahawa tidak ada sebab kalau kedua pihak kerajaan Pusat dan kerajaan negeri atau pun Nik Aziz dan Abdullah untuk terus duduk sekali dalam tempoh lebih lama.

Bagi mereka yang terlalu taksub kepada ideaologi parti masing-masing, bersihnya cahaya bulan purnama dan jernih dan damainya warna biru mungkin merasa teramat senang dengan majlis itu manakala yang lain kurang selesa dan menyakitkan!

Apapun yag penting bagi rakyat Kelantan ialah mereka harus menerima pelan berkenaan sebagai hak milik mereka secara mutlak tanpa harus memuji satu pihak dan mencaci pihak yang lain. Mudahan keadaan seperti tadi akan terus wujud dalam usaha merealisasikan perpaduan untuk bangsa Melayu (rakyat Kelantan) suatu hari nanti. [perdana kb. 3: 27 am 30/10/07]

No comments: