Monday, October 29, 2007

Ulasan Berita

Antara ECER dan Projek Kerajaan Negeri Kelantan.

MSO

PETANG nanti Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi akan melancarkan pelan Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur, (ECER) di Perkarangan Sekolah Wakaf Mek Zainab Kota Bharu Kelantan. Pelancaran itu akan menjadi satu sejarah dan bakal membuka satu lembaran baru di bidang pembangunan sosial ekonomi dan politik di Kelantan.

Para penjual pelan berkenaan begitu ghairah mencerita yang Kelantan bakal berubah. Rakyat Kelantan bakal menikmati pembangunan secara drastik. Menteri Besar Terengganu Idris Jusoh meramalkan geraf ekonomi negeri-negeri Pantai Timur akan mencecahkan 7% berbanding 5% kini.

Kalangan Umno yang selamanya hidup atas lipatan ringgit sangat bangga dengan pelan berkenaan dan optimis selepas ini Kelantan akan maju. Serentak itu mereka mendakwa pelan itu adalah hasil ilham mereka!

Dalam menerima baik pelan berkenaan rakyat Kelantan harus sedar, bahawa pelan itu bukan seperti menebang pisang yang sudah masak di ladang. Pelan itu adalah pisang putik ia tidak boleh untuk dimakan terus sebaliknya kena peram terlebih dahulu. Selama mana ia akan masak bergantung kepada cara dan sistem pemeramannya.

Begitu juag dengan pelan itu, ia harus diperam. Maksudnya rakyat Kelantan perlu bijak dan pandai dalam mengisikannya. Kerajaan hanya mengemukakan impian dan angan-angannya saja menerusi pelan berkenaan yang dibuat secara sistemetik mengikut stail pembangunan duniawi masakini. Samada ia mencapai tujuan atau tidak bergantung kepada rakyat Kelantan sendiri.

Seperti telor ayam kampung yang lazimnya akan menetas selama 21 hari, tetapi kalau tidak kena kaedah dan cara mengeramkanya ia tidak akan tetas. Telor itu akan boleh jadi akan jadi tembelar (kosong). Begitulah juga dengan pelan itu, ia tidak akan berjaya kalau tidak kena cara dan rakyat Kelantan tidak bangkit mengisinya dengan keringat dan harta benda sendiri.

Maknanya di sini kejayaan dan kemajuan Kelantan bergantung kepada rakyat Kelantan sendiri. Petronas yang mengemukakan pelan itu hanya mengatur dan meluahkan ideanya sahaja. Mereka akan mengatur dari segi teknikal, profesional, nasihat atau perundingan pembangunan, sementara yang menjayakan kelak rakyat Kelantan sendiri.

Bercakap soal pelan pembangunan ini, rasanya rakyat Kelantan lebih bijak. Apa lagi kalau ECER itu ada unsur politik rakyat Kelantan lebih pandai dan arif. Pelan politik rakyat Kelantan lebih canggih dari pelan pembangunan politik di negeri lain. Jika ianya dipancu atas dasar kepentingan politik Umno, saya percaya pembangunan yang digarapkan oleh pelan itu akan gagal.

Kalau ECER itu dibawa dan dijaja untuk jadi umpan bagi memancing rakyat Kelantan agar memilih Uumno dalam pilihan raya akan datang ia silap. Rakyat Kelantan tidak akan mudah dan bodoh menjual dirinya atau untuk menelan joran yang disaluti umpan pembangunan.

Yang menjadi keinginan dan cita-cita rakyat Kelantan ialah keamana dan kedamaian dalam kehidupan serta jaminan kedudukan dan amalan agama mereka tidak tergugat. Sikap orang Kelantan yang dkenali sebagai kuat beragama walaupun ada mereka yang tidak sembahyang dan puasa, namun mereka akan menjaga agama seutuhnya.

Rakyat Kelantan satu bangsa yang sedarhana hidupnya dan ia berpijak kepada hakikat. Rakyat Kelantan bersikap qanaah tidak menjadi harta kekayaan sebagai matlamatnya dan satu bangsa yang telah diajar berdikari sejak lama dulu. Sebab itulah apabila ada pemimpin baru Pas yang ghairah cuba membawa pembangunan (setengahnya retorik) pemimpin itu tidak terus disanjung dan ia dilihat sebagai startegi pemimpin itu untuk mempopularkan dirinya saja.

Dalam soal pembangunan rakyat Kelantan sudah ada pelannya sendiri. Mereka tidak gelojoh dan bangsa yang penyabar dalam mendapatkan imbuhan dunia. Mereka sanggup menunggu seribu tahun lagi asalkan pembangunan itu menempaticitara dan kehendak pegangan mereka. Hakikat ini boleh diperhatikan kepada budaya orang Kelantan dalam membina rumahnya. Mereka membina mengikut kemampuannya dan dibuat sedikit demi sedikit.

Mulanya mereka bangunkan ibu rumah. Bertahun-tahun kerengka itu ditinggalkan bila ada wang mereka akan buat selasar (anjung), dapur tangga dan dinding. Ada kalanya bertahun-tahun baru sebuah rumah siap. Tetapi mereka berpuas hati kerana dapat membina sendiri dan menggunakan wangn hasil jerih perih sendiri.

Demikian dalam budaya beragama dan menjaga maruah agama. Jika diperhatikan setiap buah kampung mesti ada satu surau atau balaisah tidak kira kecil atau besar. Kalau sesebuah kampung itu tidak ada balai sah yang menjadi sesuatu yang mengaibkan, seolah kampung itu jahil. Jadi kecil atau besar, indah atau tidak balaisah atau surau akan diusahakan juga wujud di kampung mereka.

Memahami konsep membina rumah dan mewujudkan surau di kampung itulah kehidupan rakyat Kelantan. Mereka bersedarhana dan sangat menitiberatkan kepada soal agama. Jadi kalau bawa pembangunan yang tidak mendektikan diri mereka kepada halaman koridor syurga mereka akan tolak.

Akhir-akhir ini Kerajaan Kelantan juga nampaknya cuba menjadikan projek material sebagi alat mendekat dan mengambil hati rakyat. Ada seorang baru didalam Pas gahirah menggunakan pendekatan ala-ala Umno itu. Pemimpin ini menjadikan material sebagai modal politik.

Justeru berbagai idea dikemukakan untuk membangun dan memberi kekayaan kepada rakyat. Walaupun setengah idea itu lebih kepada angan dan retorika pemimpin baru, namun ia menyerlahkan bahawa pemimpin itu cuba mengubahkan pegangan penyokong Pas selama ini daripada bertunjangkan kepada keimanan kepada bergayut kepada kebendaan.

Apa yang dilakukan oleh pemimpin baru ini amat bahaya kerana lama kelamaan ia akan meletakan rakyat beranggapan Pas juga lebih kurang Umno sahaja. [klia. 9:35 am 29/10/07]

No comments: